Views: 461

Oleh Pdt. Hagai Tang 

                  Gereja Yesus Benar mempunyai tiga sakramen iaitu Sakramen Pembaptisan, Sakramen Pembasuhan Kaki dan Sakramen Perjamuan Kudus. Ketiga – tiga  sakramen ini merupakan kunci – kunci  Kerajaan Syurga yang dapat membuka pintu Kerajaan Syurga untuk memperoleh  keselamatan (Mat 16:19). Tuhan Yesus telah memberikan kunci – kunci  tersebut kepada gereja – Nya. Ini menandakan anugerah keselamatan hanya dapat diperolehi melalui gereja yang didirikan oleh Tuhan Yesus dengan menerima ketiga – tiga  sakramen tersebut. Namun banyak gereja dan dinominasi agama di dunia tidak percaya bahawa pembasuhan kaki yang dilakukan Tuhan Yesus di dalam Injil Yohanes 13 merupakan satu sakramen. Sebaliknya mereka mengatakan pembasuhan kaki itu hanyalah adat istiadat orang Yahudi. Namun Gereja Yesus Benar percaya bahawa pembasuhan kaki yang dilaksanakan oleh Tuhan Yesus adalah sakramen yang berkaitan dengan keselamatan.

Asal Usul Sakramen Pembasuhan Kaki      

a)      Tuhan Yesus memberi contoh dan teladan (Yoh 13:4-5)

i)       Tuhan menanggalkan jubahNya, mengambil sehelai kain lenan dan mengikatkannya pada pinggangNya, mengambil rupa seorang hamba (4).

ii)      Tuhan sendiri menuangkan air ke dalam sebuah basi dan membasuh kaki murid – muridNya lalu menyekanya dengan kain yang terikat pada pinggangNya (5).

b)      Tuhan memerintahkan  murid–muridNya  melakukan sama seperti yang telah dilakukanNya (Yoh 13:15)

i)        Tuhan memberikan suatu teladan sakramen pembasuhan kaki supaya murid – muridNya tahu bagaimana harus melaksanakannya.

ii)       Memerintah murid–muridNya  supaya melakukan sama seperti yang telah dibuatNya.

c)        Tuhan berjanji  sesiapa yang melakukannya akan berbahagia (Yoh 13:17).

i)         Murid–murid  telah memahami nasihat dan pengajaran sakramen pembasuhan kaki.

ii)       Melaksanakan sakramen dan melakukan pengajaran pembasuhan kaki pasti diberkati.

Tujuan Sakramen Pembasuhan Kaki

~ Sakramen Pembasuhan kaki mempunyai dua bahagian iaitu bahagian sakramen dan  bahagian pengajaran.

a)  Bahagian Sakramen

Bahagian ini mempunyai khasiat rohani dan ada hubungan dengan keselamatan . Namun banyak gereja di dunia  menganggap pembasuhan kaki adalah  adat orang Yahudi dan bukannya sakramen. Mereka juga berkata Tuhan Yesus membasuh kaki murid – muridNya  untuk mengajar mereka  supaya melayani dengan rendah hati.

Gereja Yesus Benar percaya  bahawa pembasuhan kaki Tuhan Yesus bukan saja mengandungi pengajaran tetapi juga merupakan sakramen. Ini disebabkan apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Tuhan Yesus semasa membasuh kaki  murid – muridNya  telah melebihi skop adat orang Yahudi. Oleh itu kita perlu melihat dengan jelas perbandingan di antara keduanya ini.

i) Tujuan Sakramen Pembasuhan  Kaki dan Pembasuhan  Kaki Menurut  Adat Yahudi.

Tujuan Sakramen Pembasuhan Kaki adalah untuk mendapat bahagian dalam Tuhan. Sesiapa yang  menolak pembasuhan kaki Tuhan Yesus  tidak mendapat bahagian dalam Tuhan (Yoh 13:8). Pada    malam paskah ketika makan malam, Tuhan Yesus menuangkan air ke dalam sebuah basi lalu membasuh kaki murid – muridNya  (Yoh 13:1-5). Ketika tiba giliran rasul Petrus, dia berasa hairan akan tindakan Tuhan Yesus yang membasuh kaki murid – muridNya  dan  berkata “Tuhan, Engkau hendak membasuh kakiku?”. Petrus menolak dengan keras supaya kakinya  tidak dibasuh oleh Tuhan Yesus dengan berkata “Engkau tidak akan membasuh kakiku sampai selama-lamanya”. Ini disebabkan Petrus tidak memahami apakah kepentingan pembasuhan kaki yang dijalankan oleh Tuhan Yesus. Tuhan Yesus menjawabnya “Jikalau Aku tidak membasuh engkau, engkau tidak mendapat bagian dalam Aku”. Perkataan ‘bagian’ dalam bahasa asal adalah ‘meros’, yang sama dengan perkataan ‘bagian’ dalam Why 22:19 yang ada hubungan dengan keselamatan. Selepas Petrus mengetahui betapa seriusnya pelaksanaan pembasuhan kaki maka dengan serta merta dia meminta Tuhan supaya jangan hanya membasuh kakinya tetapi juga tangan dan kepalanya.

Apakah tujuan basuh kaki orang Yahudi? Jawapannya ialah untuk kebersihan. Orang Yahudi  biasanya mandi sebelum menghadiri sesuatu perjamuan dan  memakai  ‘sandals’ ketika berjalan , oleh itu kaki mereka mudah  menjadi kotor. Itulah sebabnya mereka perlu  membasuh kaki.

ii)  Siapa yang membasuh kaki?

Menurut adat orang Yahudi, hamba yang akan membasuh kaki tuannya atau murid yang membasuh kaki gurunya (1Sam 25:41). Apa yang dilakukan  oleh Tuhan Yesus adalah sebaliknya. Tuhan Yesus sebagai Guru dan Tuhan telah membasuh kaki murid – muridNya (Yoh 13:13-14).

iii) Bila kaki dibasuh?

Biasanya orang  Yahudi akan membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah  (Hak19:21, Luk 7:44). Pembasuhan kaki Tuhan Yesus adalah berbeza iaitu semasa mereka sedang makan bersama (Yoh 13:2), Yesus bangun dari perjamuan itu lalu membasuh kaki murid – muridNya (Yoh 13:4). Justeru itu, kita mendapati bahawa pembasuhan kaki Tuhan Yesus sama sekali berbeza dengan pembasuhan kaki orang Yahudi sebab membawa tujuan yang berbeza. Apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Tuhan Yesus semasa membasuh kaki murid – muridNya  telah melebihi skop adat orang Yahudi.

b)      Bahagian Pengajaran

Bahagian pengajaran ini berhubung rapat  dengan kemajuan dan kegagalan  sesebuah gereja. Saling membasuh kaki dalam Yoh 13:14  merupakan bahagian pengajaran yang perlu dilakukan selalu. Melalui  pembasuhan kaki Tuhan Yesus kita dapat mempelajari empat  pengajaran yang penting dalam hidup seorang kristian.

i)   Saling mengasihi  dengan sesungguhnya (Yoh 13:1)

Pembasuhan kaki yang dilakukan oleh Tuhan Yesus  telah menyatakan betapa besar kasih Tuhan Yesus kepada murid – muridNya. Apakah sifat kasih Tuhan Yesus kepada  murid – muridNya? –  Pertama ialah kasih Tuhan yang spontan (1 Yoh 4:10). Kedua ialah kasih yang sampai kepada kesudahannya (1 Yoh 3:16). Apakah tujuan Tuhan Yesus menunjukkan kasihNya ini? – Supaya mereka semua mendapat bahagian dalam Tuhan. Tuhan Yesus tahu bahawa iman mereka akan tergoncang apabila Dia ditangkap. Tuhan Yesus juga mengetahui Yudas Iskariot mulai merencanakan pengkhianatannya. Namun Tuhan Yesus tetap menunjukkan kasihNya dengan membasuh kaki murid – muridNya  supaya mereka mendapat bahagian di dalamNya. Tuhan tidak menghendaki seorang pun binasa (II Pet 3:9) dan Tuhan tidak  melepaskan peluang untuk memulihkan dan menyelamatkan kembali orang yang rohaninya hampir mati  (Mat 12:20).

Justeru itu, kita harus saling mengasihi dengan sesungguhnya (Yoh 13:34-35) dan mempelajari kasih Tuhan yang sanggup menyerahkan nyawaNya (1Yoh  3:16). Khususnya seiman yang lemah dalam iman kepercayaan memerlukan dorongan dan sokongan kasih yang lebih supaya mereka memperoleh kekuatan dan kesedaran untuk kembali kepada Tuhan (Gal 6:1).

iii)       Menjaga Kekudusan (Yoh 13:10-11)

‘Mandi’ diumpamakan ‘pembaptisan’. ‘Kaki’ diumpamakan ‘perbuatan’. Ini bererti siapa yang percaya dan dibaptis, dosanya diampuni.  Sekiranya dia memelihara ‘kaki’ supaya bersih maka dia adalah orang yang kudus. Dengan kata lain, Tuhan menghendaki kita menjaga kekudusan selepas menerima Sakramen Pembaptisan. Pada waktu itu terdapat masalah di antara murid – muridNya kerena mereka berebut kuasa,  siapa yang terbesar di antara mereka. Ini telah merosakkan hubungan mereka yang damai. Selain itu, Yudas mempunyai fikiran yang dicemari dengan ketamakan dan ingin menyerahkan Tuhan Yesus  (Yoh 13:2,11). Melalui perkataan dan perbuatan Tuhan Yesus dalam pembasuhan kaki, Tuhan Yesus  ingin menyedarkan mereka bahawa mereka harus menjaga kekudusan agar jangan dinodai dengan kemarahan, kebencian dan ketamakan (Mrk 10:41). Lebih – lebih lagi Tuhan ingin menyedarkan Yudas supaya membuang segala kejahatan di dalam hatinya. Malangnya Yudas berkeras hati dan tidak bertobat (Yoh13:26-27). Bagaimana kita menjaga kekudusan? – Iaitu dengan menjaga hati dengan segala kewaspadaan (Ams 4:23), menyimpan firman Tuhan  di dalam hati (Mzm 119:9) dan hidup damai dengan semua orang (Ibr 12:14).

iv)         Melayani dengan rendah hati (Yoh 13:4-5)

Tuhan Yesus memberi dan melayani dengan rendah hati. Tuhan Yesus adalah ‘guru’ dan ‘Tuhan’  bagi murid –muridNya (Yoh13:13-16). Ini menandakan status dan kedudukan Tuhan Yesus lebih tinggi daripada kedua belas muridNya, tetapi Tuhan Yesus telah merendahkan diri dan melayani mereka :-

  • Bangun dari jamuan (Yoh 13:4): Menandakan Tuhan tidak mempertahankan kedudukan dan tahktaNya yang mulia di Sorga.
  • Menanggalkan jubah (Yoh 13:4): Menandakan Tuhan meninggalkan identitiNya yang mulia (Fil 2:6).
  • Mengikat pinggang dengan kain lenan (Yoh 13:5): Menandakan Tuhan mengambil rupa sebagai hamba dan bersiap sedia untuk melayani (Fil 2:7-8).
  • Membasuh kaki murid – muridNya  (Yoh 13:5): Menandakan melayani semua orang.
  • Menyekanya dengan kain  ( Yoh13:5): Menandakan pelayananNya sempurna dan lengkap.

Melalui perbuatan Tuhan Yesus, mengajar murid – muridNya  tentang sistem dan semangat di gereja tidak sama dengan sistem dan semangat masyarakat dunia. Sistem di dalam masyarakat ialah orang terkemuka dan orang besar akan dilayani oleh hamba atau  orang bawahan. Tetapi sistem di dalam gereja ialah semakin melayani akan semakin dipandang besar dan terkemuka oleh Tuhan (Mrk 10:42-45). Maka kita haruslah rendah hati dan saling melayani.

v)        Pengampunan

Walaupun Tuhan Yesus mengetahui hati Yudas Iskariot merencanakan pengkhianatan terhadapNya (Yoh 13:10-11). Namun Tuhan Yesus masih membasuh kakinya. Ini menunjukkan Tuhan berlapang dada dan mengampuni Yudas. Bukan saja membasuh kakinya  bahkan menyekanya sampai kering ( Yoh 13:5). Ini menandakan pengampunan yang tidak  meninggalkan sebarang bekas. Dengan kata lain,  itulah pengampunan yang sempurna tanpa mengira dan membangkit – bangkitkan sebarang perkara. Keluarga rohani kita yang besar ini, tidak dapat dielakkan daripada berlakunya perselisihan dan salah faham di antara satu dengan yang lain. Pada masa itulah kita harus mengingati bagaimana semangat pengampunan Tuhan Yesus. Jika kita mengampuni orang lain yang bersalah terhadap kita maka Bapa di Sorga juga akan mengampuni kita (Mat 6:12,14-15).

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *