Telah Mati, Hidup Kembali
| |

Telah Mati, Hidup Kembali

Matias Yohanes

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku ke atas adik bongsu saya iaitu Hamry bin Akal pada tahun 1983, ketika itu adik saya berumur 2 tahun. Sebenarnya keluarga kami menetap di kampung Sungai Apih tetapi pada waktu itu kami sekeluarga berada di kampung Pangarawan kerana ibu bapa saya sedang mengusahakan tanah di situ.

Pada suatu petang, abang saya iaitu Kasim bin Akal telah membawa adik bongsu kami bersiar-siar di kawasan sekitar. Rumah kediaman kami agak jauh dari perumahan lain. Selepas pulang ke rumah, adik saya kelihatan sihat sahaja dan selepas makan malam lalu kami tidur. Lebih kurang jam 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana terdengar suara doa yang kuat. Rupa-rupanya ibu bapa saya sedang berdoa untuk adik saya. Menurut bapa saya, adik saya tiba-tiba sakit demam dan suhu badannya meningkat secara mendadak. Pada masa itu kami sekeluarga berdoa bersama-sama untuk satu jangka masa namun, keadaan adik saya tidak ada perubahan malah suhu badannya semakin naik menyebabkan kami semua sangat risau dan mulai menangis.

Jarak hospital yang terdekat letaknya lebih kurang 20 kilometer dari rumah kami, sedangkan tidak ada kenderaan untuk menghantarnya ke hospital. Tambahan pula rumah kami jauh dari rumah-rumah yang lain dan sukar untuk mendapatkan bantuan. Pada waktu itu, saya merasakan tidak ada harapan lagi. Adik saya pasti akan mati; keadaannya sudah begitu lemah. Sejurus kemudian, saya sedar hari sudah mulai siang. Keadaan adik saya pula semakin tenat, malah nafas dan nadinya telahpun terhenti. Bapa saya mengatakan bahawa adik saya sudah tiada harapan lagi[1].  Bapa saya mulai menangis tetapi kami terus berdoa. Selepas jam 11 pagi, tiba-tiba keadaan adik saya mulai menampakkan perubahan. Mukanya yang pucat kembali seperti keadaan semula. Pada saat itu, kami sekeluarga amat gembira dan terus berdoa. Pada masa yang sama, jemaat kampung Pangarawan juga telah datang dan turut membantu doa. Syukur kepada Tuhan Yesus, akhirnya doa kami didengar-Nya. Keadaan adik saya beransur-ansur pulih.

Sejak kejadian itu, iman saya telah dibangunkan dan semangat untuk melayani Tuhan terus berkobar-kobar. Beberapa tahun kemudian saya telah berkhidmat untuk Ibu Gereja sebagai guru penuh masa (GPM). Selepas beberapa tahun sebagai GPM, saya telah mempersembahkan diri sebagai pendeta. Ayah saya merupakan diaken (Dn. Yohanes) di gereja Sungai Apih. Syukur kepada Tuhan Yesus yang telah memimpin dan menjaga keluarga saya. Semoga segala pujian dan kemuliaan diberikan kepada nama-Nya yang kudus.  Amin.


[1] Maksudnya adik saya itu sudah mati.

Sebab daging-Ku adalah benar-benar makanan…
| |

Sebab daging-Ku adalah benar-benar makanan…

Rostina Thomas

Dalam Nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku pada 18hb Ogos 2007.  Gereja Tinuhan melaksanakan sakramen perjamuan kudus mengikut ketetapan iaitu sekali dalam masa tiga bulan. Pada doa awal sebelum penyampaian firman Tuhan, saya telah berdoa kepada Tuhan, jika menurut kehendak-Nya saya teringin melihat penglihatan tentang perjamuan kudus demi menguatkan iman dan memberi penghiburan kepada saya.  Saya duduk di bahagian hadapan kerana saya menaip khutbah dalam power point untuk dipaparkan kepada jemaat. Ketika Dn. Hananya menghulurkan roti ke arah saya, maka seperti biasa saya telah mengambil seketul roti.  Ketika saya mengucapkan syukur sebelum memakannya, saya terasa tangan kanan saya yang sedang memegang roti itu bergegar dan  hangat seolah-olah ada arus yang mengalir dari hujung jari sehingga ke siku saya.  Hati saya tiba-tiba terlalu sebak dan saya menangis sehingga berlinangan air mata.  Agaknya saya mengambil masa 3 hingga 5 minit bersyukur kerana saya tidak dapat berhenti berdoa dengan spontan.  Saya tidak dapat menceritakan bagaimana sebaknya hati saya ketika itu.

Semasa saya membuka mata dan melihat ke arah roti yang saya pegang, saya amat terkejut. Tangan saya menggeletar kerana roti yang saya pegang itu seperti seketul daging yang empuk separuh masak.  Saya menangis dan tidak sanggup untuk menelannya.  Saya cuba bertenang dalam beberapa minit itu, dan memohon agar Tuhan memberi kekuatan kepada saya. Dalam keadaan yang amat terharu bercampur-baur dengan perasaan tidak sanggup menelan, saya terus menutup mata dan memasukkan daging itu ke mulut dan terus menelannya.  Saya menyangkakan mungkin akan termuntah apabila daging itu masuk ke mulut saya, namun syukur kepada Tuhan kerana setelah roti itu masuk ke mulut saya, rasanya seperti biasa iaitu sama seperti perjamuan kudus yang telah sering kali saya terima.

Penglihatan ini mendatangkan kesan mendalam di hati saya kerana ketika menerima darah Tuhan yang dihidangkan oleh Dn. Gideon, saya mengambil cawan dan bersyukur lalu meminumnya. Saya tidak sanggup melihatnya kerana khuatir sekiranya melihat jus anggur itu seperti darah pula.  Sebenarnya secara kebetulan pada hari Sabat itu saya sedang berpuasa untuk tujuan meneguhkan iman dan penyempurnaan rohani anak-anak saya.  Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana menunjukkan kasih-Nya yang begitu besar kepada saya.  Semoga nama Tuhan dimuliakan.

Penglihatan Sewaktu Perjamuan Kudus
| |

Penglihatan Sewaktu Perjamuan Kudus

Timotius Borubui

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku kira-kira dua puluh tahun lalu yakni, sekitar tahun 1980-an. Kesaksian ini saya simpan dalam hati selama ini, syukur puji Tuhan, tahun 2007 saya ungkitkan semula pengalaman rohani ini untuk dikongsi bersama demi menguatkan lagi dasar kepercayaan kita terhadap kebenaran sakramen perjamuan kudus.

Peristiwa ini berlaku semasa Kebaktian Kebangunan Rohani dan Penginjilan (KKR) di Gereja Yesus Benar, Berungis, Tuaran. Pada kemuncak kebaktian itu, sakramen perjamuan kudus telah dilaksanakan. Pdt. Stefanus Tham[1] sedang memberkati roti perjamuan kudus dengan doa kata-kata akal (menggunakan bahasa Cina), sementara kata-kata doa pendeta itu diterjemahkan oleh Pdt. Thomas Kam ke dalam bahasa Malaysia.

Niat dalam hati saya sewaktu kata-kata berkat itu diucapkan adalah mendengar dengan teliti dan cuba menghafal isi kandungan doa pendeta itu. Tujuan saya berbuat demikian supaya saya dapat menggunakan kata-kata berkat itu apabila saya mengendalikan perjamuan kudus pada masa hadapan.

Sementara saya mendengar dengan penuh perhatian kata-kata doa pemberkatan itu, tiba-tiba suara Pdt. Stefanus Tham dan Pdt. Thomas Kam hilang daripada pendengaran saya. Saya seperti berada di suatu tempat yang sunyi, tenang dan udaranya nyaman. Pada saat itu saya tidak tahu berada di mana kerana bunyi kipas gereja dan suara orang di sekeliling saya juga tidak kedengaran lagi.

Tiba-tiba saya melihat di depan saya seorang lelaki yang baru mati terbungkus seperti roti gulung. Sangat hairan bahawa walaupun kelihatan terbungkus namun jelas kelihatan seluruh tubuh, muka, kepala, badan dan kakinya bengkak. Sementara saya memerhatikannya, timbul dalam hati saya untuk mengetahui siapakah orang yang telah mati itu.

Tiba-tiba suasana itu berubah! Saya berada dalam keadaan seperti sedang menonton televisyen yang tiba-tiba terputus bekalan elektrik. Keadaan gelap beberapa saat lamanya, dalam fikiran saya ketika itu masih tertanya-tanya siapakah orang yang mati itu. Kemudian saya melihat suatu benda seperti kain yang lebar terbentang turun dari atas. Serentak dengan itu tempat itu menjadi terang semula.

Saya melihat benda yang turun dari atas itu adalah seekor kambing jantan besar putih bersih yang baru mati. Kambing itu disembelih lehernya dengan luka yang besar dan darahnya sedang mengalir ke tanah. Oleh kerana posisi kambing itu adalah kepalanya menghadap ke arah saya, maka saya dapat melihat dengan jelas, darah itu masih mengalir. Tiba-tiba saya mendengar orang berkata “amin”.

Penglihatan itu hilang sebaik sahaja saya mendengar perkataan “amin” yang diucapkan oleh Pdt. Stefanus, saat itu baru saya sedar bahawa apa yang berlaku adalah suatu penglihatan yang ajaib.

Apabila selesai perjamuan kudus waktu itu, saya berasa ada sesuatu yang mendorong saya untuk menyampaikan kesaksian ini kepada jemaat. Lantaran itu, saya memberitahu  peristiwa yang saya lihat semasa doa pemberkatan roti kepada semua yang hadir di gereja ketika itu. Semoga Tuhan dimuliakan. ☺


[1] Kini Penatua Stefanus Tham

Darah Yesus Merendahkanku,  Meneguhkanku
| |

Darah Yesus Merendahkanku, Meneguhkanku

CP Chin

Dalam nama Tuhan Yesus bersaksi.

Tahun 1980-an adalah permulaan perlunya penterjemahan daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu semasa kebaktian.  Pada awal tahun 1984, saya mula melibatkan diri dalam kerja suci menterjemah dengan anggapan bahawa pelayanan ini bukanlah tugas yang terlalu sukar. Saya begitu yakin saya boleh menterjemah dengan baik, malah lebih baik daripada sesiapapun.

Kesaksian ini berlaku 23 tahun yang lalu di Gereja Sandakan (tapak lama di Batu 1). Gereja Sandakan mengadakan Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) dan saya juga turut dipanggil untuk membantu menterjemah.  Segalanya berjalan lancar sehinggalah pada hari terakhir, iaitu semasa sesi perjamuan kudus. Ini adalah kali pertama saya menterjemah khutbah perjamuan kudus. Saya seperti seorang yang terencat akal,  banyak perkataan Hakka yang saya tidak fahami dan tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkannya.

Saya menyelesaikan tugas saya dengan perasaan yang terseksa. Sebaik saja saya turun dan duduk di bangku hadapan, air mata saya sudah berlinangan. Saya malu dan kesal dengan kesombongan diri selama ini. Saya mengambil kesempatan untuk bertaubat semasa mengucap syukur atas roti dan jus anggur kerana keangkuhan dan kesilapan saya.  Saya memohon agar Tuhan membantu saya untuk menjadi hamba yang lebih baik dan rendah hati untuk melayani-Nya.

Setelah selesai doa ucapan berkat ke atas jus anggur, semasa menyanyi kidung saya masih berdoa  dalam hati memohon pengampunan daripada Tuhan. Sewaktu pendeta menuangkan jus anggur ke dalam cawan, tiba-tiba suasana sekeliling berubah menjadi putih bersinar-sinar! Suasana bertukar menjadi sunyi dan tenang. Saya melihat bahawa jus anggur yang dituang dari teko adalah titisan-titisan darah. “Darah!”  Serta merta hati saya terasa kepedihan yang begitu menyakitkan. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesakitan ini.

Saya tidak faham mengapa Tuhan memberikan penglihatan ini kepada saya; lalu saya bertanya kepada pendeta. Setelah mendengar luahan hati saya, pendeta menasihatkan saya agar lebih giat berdoa dan memohon karunia daripada Tuhan serta mempergunakan apa yang diterima itu dengan baik.

Banyak peristiwa telah berlaku dalam jangkamasa yang panjang ini yang memberikan saya pelbagai alasan untuk berhenti berkebaktian serta menjauhi Tuhan. Tetapi penglihatan titisan darah-Nya senantiasa muncul di saat saya merasa lemah. Syukur puji Tuhan kerana sehingga kini saya masih berpeluang untuk melayani-Nya malah telah memberikan banyak pengalaman untuk meneguhkan iman saya. Doa dan permohonan saya ialah agar Tuhan membantu saya menjadi seorang hamba yang baik dan tidak mensia-siakan kasih karunia-Nya.

Semoga segala kemuliaan dan kehormatan serta puji pujian diberikan pada nama-Nya dari sekarang sampai selama-lamanya.  Amin!