Menghitung Kasih Karunia Tuhan
| |

Menghitung Kasih Karunia Tuhan

Sdri. Chung Miao Ching

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Chung Miao Ching dari gereja Sibuga, Sandakan.

Kira-kira pada tahun 50-an, saya dipilih oleh Tuhan. Pada masa itu, saudara Chong dari Tenom memperkenalkan Gereja Yesus Benar kepada kami kerana ibu bapa kami adalah sanak saudaranya. Pada masa itu, adik perempuan dan saya berumur belasan tahun. Oleh itu, kami tidak mengenali Tuhan secara mendalam. Pada tahun 1960, sekeluarga kami berpindah ke Kawasan Perumahan Imigran, Batu 17, Tawau. Syukur kepada Tuhan, terdapat beberapa keluarga seiman di situ. Pada setiap Hari Sabat, kami menyembah Tuhan dengan sehati di dalam rumah Diaken James Pung.

Selepas berkahwin, saya berpindah ke Ulu Dusun, Batu 30, Sandakan. Pada masa itu, suami saya ialah seorang pegawai kerajaan. Selepas 10 tahun, Tuhan mengaruniakan 5 orang pusaka kepada kami, iaitu 2 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Pada masa itu, tempat tinggal kami jauh dari gereja, iaitu belasan batu. Tambahan pula, anak-anak masih kecil dan kami tidak mempunyai kenderaan sendiri. Oleh itu, kami jarang pergi ke gereja.

Syukur kepada Tuhan, pada tahun 1982, kami berpindah dari Ulu Dusun ke Batu 8, Sandakan. Pada tahun 1983, kami telah membeli sebuah rumah teres di Taman Tai Fui Yen, Batu 8, Sandakan. Setelah mempunyai rumah dan kenderaan sendiri, anak-anak dapat menghadiri kelas pendidikan agama. Kami juga selalu menghadiri Kebaktian Hari Sabat.

Sememangnya hidup kami selepas percaya kepada Tuhan bukanlah lancar dalam segala hal. Kadang-kala, kami jatuh dalam kesusahan, kesakitan, kesedihan, kehampaan, ketidaklancaran dan sebagainya. Namun, kadang-kala kami memperoleh kesejahteraan, kegembiraan, kelancaran dan lain-lain. Tuhan Yesus pernah berkata: “Dalam dunia, kamu menderita penganiayaan, tetapi kuatkanlah hatimu, Aku telah mengalahkan dunia.” (Yoh 16:33). Tuhan Yesus juga berkata: “Kerajaan Syurga diserong dan orang yang menyerongnya mencuba menguasainya.” (Mat 11:12).

Semasa Pentahbisan Gereja Sibuga, para seiman berasa sangat gembira! 20 tahun telah berlalu tanpa disedari. Kini, anak-anak telah menjadi dewasa dan berumah tangga. Syukur atas kasih karunia dan penjagaan Tuhan selama ini. Semoga Tuhan memberkati para pekerja suci, penatua, pendeta, diaken, saudara dan saudari. Mari kita berusaha untuk mengembangkan injil dengan sehati, percaya teguh kepada Tuhan, berdoa dengan tekun, mempraktikkan iman, pengharapan dan kasih.

Ahkir kata, kasih karunia Tuhan tidak terhitung. Semoga segala kemuliaan, kehormatan, kuasa dan puji-pujian diberi kepada Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.

Tuhan Mengubati Kaki Yang Sakit
| |

Tuhan Mengubati Kaki Yang Sakit

Sdri. Wong Kun Ying

​Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus menyampaikan kesaksian.

​Pada tahun 2005, kaki saya mula bermasalah di mana saya akan berasa sakit apabila berdiri dengan lama dan berjalan. Keadaan ini telah berlanjutan lebih kurang setahun lebih dan semakin melarat sehingga tidak boleh berdiri lama dan berjalan jauh. Setiap kali, ketika saya membeli belah di pasar raya, sesudah mengambil barang yang hendak dibeli dan ingin membuat bayaran di kaunter, kaki saya akan terasa sakit sehingga tidak dapat bertahan. Dengan itu, saya akan membongkokkan badan saya dan memapah pada meja kaunter sambil menunggu giliran saya.

Keadaan ini sering kali menyebabkan saya berasa malu. Kaki kanan saya akan mula terasa sakit sebaik saja saya sujud untuk berdoa. Apabila kaki kanan tidak lagi terasa sakit, kaki kiri pula mula rasa sakit. Saya sering kali terpaksa menghentikan doa saya di pertengahan doa kerana kesakitan tersebut. Keadaan ini berlanjutan selama setahun. Saya telah menaruh perkara ini dalam hati semasa berdoa, biarlah saya menghabiskan doa tersebut, saya akan berasa puas, perkara lain tidak menjadi masalah. Adalah amat kasihan sekiranya tidak dapat sujud untuk berdoa.

​Pada suatu petang 21 Julai 2007, seperti biasa saya berdoa dengan seorang diri di dalam bilik. Dalam doa, saya berfikir sekiranya masalah kaki saya semakin serius, kemungkinan saya tidak dapat berdoa untuk masa yang panjang pada hari kelak kerana saya amat jelas akan keadaan kaki saya. Saya berasa amat resah dan sedih apabila berfikir sedemikian. Saya juga menangis dengan kuat dalam doa dan memohon belas kasihan Tuhan dengan sungguh-sungguh untuk mengubati kaki saya.

​Pada suatu petang hari keempat, semasa berdoa, saya mendengar dengan jelas pintu bilik saya telah dibuka dan ditutup dan kedengaran bunyi ‘hu’. Pada masa itu, saya seorang saja berada di rumah dan saya terpaksa menamatkan doa saya kerana beranggapan bahawa suami saya telah pulang ke rumah untuk mengambil barang. Apabila saya bangun dari doa, saya mendapati pintu bilik saya masih tertutup, tetapi rantai besi di sebelah pintu masih lagi berayun disebabkan pintu yang dibuka dan ditutup kembali. Saya berasa hairan, dan mula berasa takut serta berfikir mungkinkah ada pencuri yang masuk. Saya memberanikan diri saya untuk membuka pintu dan keluar, tetapi semua pintu dalam rumah masih ditutup dengan rapi. Selepas itu, saya membuka pintu di belakang rumah dan melihat angin bertiup dengan kencang di luar. Angin yang kencang telah menyebabkan kain baju jatuh bertaburan di atas lantai. Semasa saya memungut baju-baju yang terjatuh itu, saya berkeputusan untuk meneruskan doa saya selepas itu. Saya tidak harus berhenti doa hanya disebabkan terdapat gangguan semasa berdoa. Apabila saya sujud berdoa sekali lagi, saya merasa kaki saya telah sembuh dengan banyak kerana kesakitan hanya pada kaki kiri dan kaki kanan tidak sakit lagi.

​Pada hari kelima jam 4 petang, semasa saya sujud untuk berdoa. Saya merasa kedua-dua kaki saya telah sembuh sepenuhnya tanpa ada rasa kesakitan sedikit pun dan saya sendiri juga berasa susah untuk mempercayainya. Pada hari tersebut, saya telah menyelesaikan doa saya dengan lancar dan hati saya berasa amat gembira dan terharu. Kasih karunia Tuhan yang begitu menghairankan telah dinyatakan pada diri saya.

Sehingga kini peristiwa itu telah berlalu lebih kurang 4 tahun lebih, kaki saya tidak lagi berasa sakit baik semasa berdoa mahupun pada masa yang lain. Di sini saya ingin memberitahu bahawa saya tidak berani mengakui diri saya adalah penuh dengan iman, namun dalam sepanjang proses ini, saya bersandar kepada Tuhan dengan sepenuhnya tanpa bergantung pada ubat-ubatan dan doktor. Belas kasihan Tuhan telah mengubati saya. Kasih Tuhan sukar untuk dibalas. Oleh itu, saya membuat kesaksian di sini demi memuliakan nama Tuhan.

Semoga segala kemuliaan, kehormatan, kuasa dan puji-pujian diberi kepada Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.

Tuhan Menyelamatkan Saya Dari Kemalangan
| |

Tuhan Menyelamatkan Saya Dari Kemalangan

Sdri. Ng Min Kun

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, saya menyampaikan kesaksian. Saya bernama Ng Min Kiun. Saya berasal dari Gereja Tenom. Selepas berkahwin, saya berpindah ke Sandakan mengikut suami (Pendeta Zakheus Yong).

Pada 28 November 2006, cuti sekolah hujung tahun bermula. Terdapat seorang rakan sejawat dinaikkan pangkat dan dipindah ke sekolah lain. Oleh itu, dia menjemput para guru untuk menghadiri majlis perpisahannya. Pada 12 tengah hari, semua guru memandu ke Bandar Indah untuk menghadiri jamuan tersebut.

Pada masa itu, hujan turun dengan lebat. Saya memandu dari SRJK (C) Lok Yuk ke Bandar Indah, Batu 4. Semasa tiba di lereng bukit SJK. Sung Siew, saya merasa kereta saya telah hilang kawalan, saya menekan brek dengan serta-merta. Namun, kereta itu tidak mengikut arahan dan berpusing ke kanan tanpa berhenti. Saya menjerit: ”Haleluya”.

Pada masa itu, kereta saya berpusing ke kanan sebanyak 180 darjah dan hampir terlanggar tiang elektrik di tepi jalan. Saya terfikir bahawa pasti terdengar bunyi ”bang!”. Tanpa disangka-sangka, kereta saya tidak terlanggar tiang elektrik tersebut. Selepas berpusing 180 darjah ke kanan, kereta saya berhenti di sebelah tiang elektrik. Pada asalnya, kereta saya menuju ke arah Batu 4. Namun sekarang, kereta saya menghala ke Jalan Cecily (arah yang bertentangan).

Pada masa itu, saya mendapati banyak kenderaan yang lalu-lalang di depan dan belakang. Saya berasa amat takut. Syukur kepada Tuhan, semasa kereta hilang kawalan dan berpusing ke kanan, tidak terdapat kenderaan yang lalu-lalang di depan dan belakang. Jika tidak, akibatnya pasti amat teruk. Syukur kepada Tuhan kerana telah menyelamatkan saya daripada kemalangan. “Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti.” (Maz 46:2)

Semoga segala kemuliaan, kepujian, kesyukuran diberikan kepada Tuhan.

Perasaan Selepas Menyertai Kumpulan Sukarela Ibu Gereja Sabah
| |

Perasaan Selepas Menyertai Kumpulan Sukarela Ibu Gereja Sabah

Sdri. Tang En Tze

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus, saya mengongsikan kasih karunia Tuhan. Syukur kepada pengaturan Tuhan yang baik, saya berpeluang untuk menyertai Rombongan Visi Sukarela (VMT) Sabah pergi ke Filipina untuk membantu kerja Kursus Teologi Jangka Pendek pada 15~22 Mac 2009. Perkara-perkara yang dapat saya belajar selepas menyertai VMT adalah seperti berikut.

Pada 15 Mac 2009 (Ahad), saya bertolak dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada waktu pagi. Kemudian, saya dan ahli-ahli VMT bertolak dari Kota Kinabalu ke Filipina pada waktu petang. Kami tiba di Lapangan Terbang Clark, Filipina pada pukul 5.30 petang. Selepas itu, kami manaiki bas dan teksi selama 2 jam setengah ke Gereja Manila. Kami tiba di Gereja Manila pada pukul 8.00 malam. Semasa tiba di gereja, perkara petama yang kami lakukan adalah sehati berdoa untuk bersyukur kepada Tuhan. Walaupun kami tiba di sebuah tempat yang asing dengan letih dan lapar, tetapi semasa berdoa, kami menggunakan bahasa Roh yang sama, kepercayaan kami adalah sama, kami semua adalah anak-anak Bapa Syurga. Pada masa itu, saya dapat merasai “Kita adalah sekeluarga di dalam Tuhan.” Oleh itu, doa kami penuh dengan kesyukuran, sukacita dan kesejahteraan.

Keesokan hari, kami bertolak ke Lapangan Terbang Manila pada pukul 5 pagi. Kami menaiki kapal terbang dari Manila ke Bacolod. Kemudian, kami menaiki “Jeepney” ke Gereja Mansilingan. Kami tiba di Gereja Mansilingan pada pukul 12 tengah hari. Pemercaya di sana melayan kami dengan ghairah dan lemah-lembut. Selain itu, mereka juga tekun berdoa. Terdapat pemercaya berdoa di dalam gereja sebelum pukul 6 pagi.

Terdapat seorang saudari yang sangat mengasihi Tuhan di Gereja Mansilingan. Beliau ialah Saudari Tessie. Semasa gereja mengadakan aktiviti, beliau bangun awal-awal pagi selepas tidur 4 atau 5 jam. Kemudian, beliau berjalan kaki selama 20 minit ke gereja untuk menyediakan sarapan, makanan tengah hari, makanan malam dan sebagainya. Oleh itu, Tuhan memberkatinya dengan khas sehingga anak-anaknya sangat berkebolehan. Antaranya, seorang anak perempuannya yang bernama Teresa, pernah menjadi pensyarah di Amerika Syarikat dan menguntung Dollar Amerika lalu membeli sebuah rumah banglo di Mansilingan untuk didiami ahli-ahli keluarganya. Jelaslah bahawa Tuhan tidak berhutang kepada orang yang mengasihiNya. Sebaliknya, Tuhan akan memberkati mereka secara besar-besaran.

Selain itu, satu lagi segi yang patut saya pelajari ialah pemercaya di sana sangat menitikberatkan Hari Sabat. Satu jam sebelum Kebaktian Hari Sabat bermula, terdapat pemercaya tiba di gereja dengan berpakaian sopan dan kemas untuk menerima berkat Hari Sabat. Terutamanya guru-guru pendidikan agama. Mereka awal sampai ke gereja untuk mengemaskan bilik darjah. Guru yang sama memimpin kelas pendidikan agama pada setiap minggu. Namun, dia tidak bersungut-sungut. Sebaliknya, dia melakukannya dengan sukacita. Saya bertanya dengan hairan: “Jika kamu jatuh sakit, siapakah yang menggantikan anda?” Dia tersenyum dan menjawab: “Saya tidak pernah jatuh sakit sehingga tidak dapat pergi ke gereja.” Selepas mendengar jawapannya, saya berasa sangat bersyukur kepada Tuhan kerana ini adalah berkat Tuhan.

Pada hari terakhir Kursus Teologi Jangka Pendek, penuntut-penuntut mengedarkan kad jemputan di dua buah kampung yang berhampiran dengan gereja untuk menjemput mereka menyertai Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung pada malam itu. Syukur kepada Tuhan, pada malam itu, Tuhan telah menggerakkan hati lebih daripada 30 orang pencari injil untuk datang ke gereja. Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak.

Akhir kata, penyertaan VMT membolehkan saya merasai kasih karunia Tuhan yang berkelimpahan. Ini amat memanfaatkan saya sehingga saya berasa berat hati untuk balik ke rumah.

Pada setiap tahun, Ibu Gereja Sabah akan mengutus Rombongan Visi Sukarela (VMT) ke Filipina untuk membantu pelbagai kerja suci. Contohnya, melatih pianist, pemimpin dan pekerja suci, mengadakan Hari Kanak-kanak, Hari Belia, Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung dan lain-lain. Saudara-saudari dialu-alu untuk menyertai VMT. Sesiapa yang berminat, sila hubungi Koordinator VMT Zon Timur, Saudari Tracy Tang Choi Ngan (Alamat Emel: tcngan@yahoo.com Nombor telefon: 014-655 8124) Keterangan lanjut adalah seperti berikut.

Pasukan Sukarelawan Ibu Gereja Sabah ke Filipina
TARIKH: JULAI, OKTOBER
TEMPAT: Manila, Mansilingan
PERBELANJAAN: Lebih kurang RM600, Lebih kurang RM1,000
(Tiket Bagi Kapal Terbang & Kereta, Persembahan Dan Lain-Lain)

Kiranya Tuhan memperkukuh kerja yang dilakukan oleh kami dan memperingati jerih-payah yang dicurahkan dalam Tuhan oleh para sukarelawan.

Penglihatan Dalam Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Penglihatan Dalam Sakramen Perjamuan Kudus

Sdri. Ng Siew Wei

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Ng Siew Wei, berasal dari Gereja Labuan.

Bermula 27 November hingga 17 Disember saya telah menyertai Kursus Teologi Jangka Pendek di gereja Tuaran.

Pada 5 Disember 2009 bersamaan dengan hari Sabat, gereja Tuaran telah mengadakan Sakremen Perjamuan Kudus pada petang tersebut, iaitu pada kebaktian hari Sabat sesi kedua. Pada waktu itulah saya mendapat penglihatan. Saya mula melihat penglihatan apabila khotbah pendeta hampir tamat.

Pada masa itu, tiba-tiba bibirku kehilangan kepekaannya, sangat kering, seolah-olah dibakar oleh api. Saya cuba untuk minum air secukup-cukupnya, tetapi tidak terasakan air mengalir melalui bibir saya. Saya berasa takut. Saya bertanya kepada kawan saya dan dia memberitahu bahawa bibir saya tidak kelihatan kering, bertambah takutlah saya dan mula gementar. Pada masa itu, saya terasa ada satu intuitif bahawa selepas menerima perjamuan kudus, situasi ini akan berhenti. Oleh itu saya menunggu dan menahan kesakitan itu.

​Tidak lama kemudian, apabila pendeta berkata, “Sekarang kita akan mengucap syukur ke atas roti tidak beragi ini.” Saya memandang ke arah mimbar. Saya melihat terlebih empat orang di atas mimbar. Jumlahnya ialah enam orang termasuk pendeta dan penterjemah. Saya bertanya kepada kawan saya adakah dia melihat empat orang yang lain di atas mimbar, dia memberitahu hanya melihat dua orang sahaja iaitu pendeta dan penterjemah. Saya makin berasa takut. Lalu saya menitiskan beberapa titis ubat mata kerana beranggapan bahawa kanta sentuh saya telah beralih dari tempat asal sehingga mengakibatkan saya melihat terlebih empat bayang hitam di bawah sinaran lampu. Selepas menitis, saya mendapati kanta sentuh saya bukan sahaja tidak beralih dari tempat asal malah masih melekat di mata saya dengan baik.

​Apabila sekali lagi saya memandang ke arah mimbar, empat bayang-bayang tersebut masih wujud. Di antara bayang-bayang tersebut, satu berdiri di belakang pendeta dan satu lagi berdiri di belakang penterjemah. Dua bayang-bayang lagi berdiri di tepi pentas mimbar. Bayang-bayang tersebut kelihatan seperti manusia, tetapi sayang sekali saya tidak dapat melihat wajah mereka. Kepala bayang-bayang tersebut berbentuk bulat, tetapi terdapat sedikit bentuk yang tajam di atas kepala mereka. Bayang-bayang tersebut berwana hitam tetapi mempunyai sedikit kelabu. Bayang-bayang tersebut bercahaya, saya beranggapan bahawa itu merupakan cahaya akibat sinaran lampu. Tetapi apabila saya menelitinya, saya mendapati bahawa atas cahaya tersebut adalah gelap kelabu, dan cahaya tersebut sangat terang, sehingga mata saya hampir tertutup dan saya tidak berani memandang ke arah tersebut.

Apabila pendeta mengambil roti tanpa beragi, sekali lagi saya memandang ke arah mimbar, tetapi saya mendapati roti tidak beragi di atas pinggan yang dipegang pendeta itu berwarna hitam. Seharusnya ia berwarna putih. Sekali lagi saya menitiskan ubat mata kerana beranggapan bahawa kanta sentuh saya beralih dari tempat asalnya, tetapi kanta sentuh tersebut tidak beralih. Selepas itu, pendeta berkata sujud berdoa untuk mengucap syukur.

​Selepas berlutut, apabila saya melihat ke atas mimbar melalui tempat duduk saya, saya hanya melihat sebahagian kecil kepala pendeta dan penterjemah. Saya melihat dua bayang tersebut telah menutupi pendeta dan penterjemah, dan yang saya lihat ialah bahagian belakang bayang tersebut. Pada masa itu, saya tidak berani untuk melihat ke atas lagi, saya menumpukan perhatian dalam doa. Semasa berdoa, saya berfikir adakah sebelum ini saya telah melakukan sesuatu yang tidak patut dalam gereja. Saya lupa bahawa tidak boleh menjalankan urusan jual beli di dalam gereja, tetapi saya dan kawan saya telah berdosa secara tidak sengaja. Dalam doa, saya tidak berhenti-henti memohon Tuhan untuk mengampuni dosaku, kerana saya berasa Tuhan sedang menghukum saya. Selepas selesai berdoa, saya ingat bayang-bayang tersebut akan hilang, tetapi ia masih ada.

​Pada kali ini, pendeta menjemput seorang lagi pendeta dan diaken gereja tempatan ke atas mimbar untuk memecahkan roti tidak beragi yang telah diucap syukur, penterjemah juga turun dari mimbar. Bayang-bayang yang berada di belakang penterjemah turut ikut turun. Tetapi apabila penterjemah telah turun dari mimbar, tiba-tiba bayang tersebut hilang. Belakang pendeta dan diaken gereja tempatan masing-masing terdapat satu bayang hitam. Di atas mimbar, empat bayang tersebut telah menjadi tiga, ketinggian bayang yang mengikuti belakang dua pendeta dan seorang diaken adalah tidak sama iaitu ketinggian lebih setengah kepala sehingga satu kepala. Saya tidak berani melihat ke atas lagi. Saya teruskan nyayian kidung. Tidak lama kemudian, pendeta memanggil seorang lagi pendeta, diaken gereja tempatan, diakenis dan seorang saudara untuk mambahagikan roti tidak beragi. Selepas roti dibahagikan, ada satu bayang hitam kelabu di belakang mereka semua.

​​Pada masa itu, diakenis membahagikan roti di barisan saya, semasa dia berjalan ke arah saya, saya tidak berani untuk memandangnya. Pada masa itu, saya melihat cahaya di belakangnya amat terang. Apabila diakenis sampai di tepi saya, saya mengambil secebis roti tidak beragi yang telah diucap syukur dengan segera. Saya memakannya selepas berdoa dalam hati. Tetapi anehnya, walaupun roti itu telah dikunyah dalam mulut saya, tetapi ia tidak dapat ditelan. Hal ini menakutkan saya lagi, saya fikir bahawa roti suci tersebut tidak masak, tetapi perkara seperti ini tidak mungkin berlaku. Saya membiarkan roti tersebut berada di dalam mulut saya dan terus menyanyi kidung. Tetapi apabila saya mula menyanyi, tanpa disedari roti suci tersebut telah ditelan. Bibir saya kembali berderia, tidak lagi mempunyai rasa dibakar. Walaupun bibir saya tidak bermasalah, tetapi perut saya pula rasa sakit. Saya bertanya pada kawan saya:” Bolehkah saya pergi ke tandas?”. Dia menjawab mungkin boleh.

​Saya melihat sakramen perjamuan kudus hampir tamat, saya cuba bersabar sehingga sakramen tamat. Tetapi saya tidak terfikir bahawa apabila saya mendongak kepala dan melihat, saya melihat empat barisan di depan saya iaitu dari tempat duduk saudara sehingga saudari, sedang bercahaya. Badan setiap orang bercahaya tanpa henti. Tetapi tempat duduk selepas barisan keempat pula tidak bersinar. Tidak lama kemudian, saya melihat diakenis menghulurkan roti suci kepada pianist, saya ingat bahawa muzik piano akan berhenti. Oleh itu, saya juga bersedia untuk menyanyi secara A Cappella. Tetapi tanpa dijangka muzik bukan sahaja tidak berhenti malah sangat merdu. Saya sangka telinga saya yang bermasalah. Oleh itu saya melihat ke arah piano tetapi pemain piano telah mula memainkan piano. Oleh itu saya berkeputusan untuk memerhatikannya sekali lagi semasa menerima darah Tuhan.

​Selepas 5 minit, kami mula menerima darah Tuhan. Pendeta memanggil kami sujud untuk berdoa dan mengucap syukur. Tetapi dalam doa kesyukuran, saya langsung tidak tahu apa yang sedang saya doakan. Apabila saya mendengar perkataan ‘Amin’ diucapkan, saya pun berhenti berdoa. Semasa saya memandang ke atas mimbar, saya mendapati bayang-bayang tersebut masih wujud dan terdapat dua bayang baru. Kedua-dua bayang ini mempunyai sedikit perbezaan dengan bayang-bayang sebelum ini, iaitu berwarna putih dan cahayanya amat terang, lebih terang daripada bayang sebelum ini. kedua-dua bayang putih ini berdiri di dinding tepi mimbar. Tangan bayang putih yang berdiri di sebelah kanan seolah-olah sedang memegang sesuatu yang seperti obor api atau kayu. Tangan bayang putih yang berdiri di sebelah pula memegang sebuah buku yang amat besar. Buku tersebut kelihatan seperti yang sangat lama.

Selanjutnya, kami teruskan nyayian sehingga diakenis menghulurkan jus anggur (darah Tuhan) kepada saya, saya melihat cahaya yang bersinar daripada bayang yang berada di belakangnya amatlah terang. Tetapi saya tidak dapat bertahan dengan keterangan cahaya tersebut, oleh itu saya tidak memandangnya lagi. Saya menunggu giliran pemain piano untuk menerima cawan. Semasa saya berdoa dalam hati atas darah Tuhan, saya tidak mengetahui apakah yang saya doakan sehingga kawan saya menggerakkan saya, saya melihat seorang saudara berdiri di depan saya dan sedang menunggu cawan perjamuan kudus tersebut. Dengan segera saya meminumnya. Tiba-tiba saya merasa seperi terdapat suatu arus elektrik yang masuk ke dalam badan saya melalui kepala.

​Ketika saya kembali dari tandas, doa telah bermula. Pada masa yang sama, saya melihat tiga barisan tempat duduk di belakang mempunyai sedikit cahaya, warnanya seperti warna langit yang kebiru-biruan dan seluruh gereja adalah bercahaya. Saya juga melihat dua bayang putih itu tidak lagi berdiri di atas mimbar, iaitu berdiri di bawah pentas mimbar. Cahaya yang dihasilkan dari kayu yang dipegang oleh bayang di sebelah kanan kelihatan lebih terang daripada cahaya bayang tersebut. Buku yang berada di tangan bayang sebelah kiri telah dibuka dan saya melihat cahaya yang terpancar dari buku tersebut amatlah terang. Dengan segera, saya memejamkan mata dan mula berdoa. Selepas doa tamat, saya melihat gereja telah kembali ke rupa yang asal. Dalam sakramen perjamuan kudus ini, saya telah menerima satu perjamuan kudus yang belum pernah saya terima sebelum ini.

​Sesungguhnya saya berasa saya telah menerima darah dan daging Tuhan, telah mendengar suara muzik yang merdu dan indah dan yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Saya juga mengalami penyertaan Tuhan dan meneliti ketidaksempurnaan diri sendiri (menjual beli dalam gereja). Oleh itu, saya telah memberi kesempatan kepada Iblis. Namun, bayang putih telah menghalau bayang hitam dengan kayu tersebut.

Semoga segala kemuliaan, kehormatan, kuasa dan puji-pujian diberi kepada Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.

Kekuatan Tuhan
| |

Kekuatan Tuhan

Sdri. Wong Siew Ha


Dalam nama Tuhan Yesus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Wong Siew Ha, berasal dari gereja Sandakan.

Saya seorang yang sangat takut akan kesakitan. Saya juga sangat takut untuk pergi ke hospital. Saya berasa suasana di hospital amat menakutkan. Namun, disebabkan hamil dan bersalin, perkara yang ditakuti ini tidak dapat saya elakkan.

Saya melalui kehidupan kira-kira 90% daripada hari-hari dalam bulan Oktober di hospital. Semasa pembedahan bersalin, saya tinggal di dalam hospital selama 3 hari. Selepas itu, saya berasa gembira kerana boleh pulang ke rumah. Namun tanpa disangka-sangka, anak saya terpaksa ditahan di dalam hospital selama 6 hari kerana kulitnya terlalu kuning. Doktor bimbang dia diserang penyakit hempedu kuning lalu memasukkannya ke dalam Bilik Pesakit Bayi. Walaupun saya belum genap sebulan selepas bersalin dan luka saya masih sakit, saya terpaksa pergi ke hospital setiap hari untuk menjaga anak. Enam hari tersebut memang susah untuk dilalui. Anak yang begitu kecil terpaksa menanggung kesakitan suntikan. Dia terpaksa disuntik untuk diambil darahnya sebanyak 3 kali sehari. Setiap kali saya melihat jururawat mengambil darah daripada anak, saya akan berasa sakit hati! Saya melalui beberapa hari tersebut dengan emosional. Pemikiran yang negatif muncul dalam otak saya! Saya asyik berdoa untuk memohon Tuhan menyembuh dan menjaga anak saya. Walaupun saya berasa letih untuk berulang-alik ke hospital dan rumah, saya terpaksa kuatkan semangat dan bertahan sahaja.

Akhirnya, Tuhan mendengar doa saya. Peratus kekuningan pada kulit anak saya semakin berkurang. Kadang-kala, walaupun meningkat tetapi masih pada tahap yang stabil. Syukur kepada Tuhan kerana menjaga anak saya.

Anak sembuh dan pulang ke rumah tetapi saya terpaksa masuk ke dalam hospital sekali lagi kerana luka pembedahan saya berdarah. Ini mungkin disebabkan saya terlalu sibuk untuk menjaga anak lalu melalaikan kesihatan diri sendiri. Doktor berkata bahawa jahitan pada luka saya terkoyak dan bernanah. Oleh itu, pada hari ke-9 selepas bersalin, saya ditahan di hospital sekali lagi. Terdapat seorang wanita di sebelah katil saya juga mengalami keadaan yang sama. Dia dimasukkan ke dalam hospital beberapa hari lebih awal daripada saya. Dia memberitahu saya bahawa proses mencuci luka adalah sangat sakit, ianya perlu dicuci sebanyak 3 kali sehari sebelum dijahit untuk membunuh kuman sehingga tidak bernanah lagi. Selepas saya mendengarnya, saya berasa sangat takut. Luka dalaman saya belum sembuh tetapi terluka lagi pada bahagian luar. Menyapu ubat pada luka yang biasa sudahpun begitu sakit, apatah lagi luka saya yang besar ini sekarang? Semasa saya terfikir akan anak saya di rumah, tetapi saya pula berada di hospital dan tidak dapat menjaganya, saya berasa sangat sedih sehingga teringin mati! Sejak hari bersalin sehingga kini, saya bagaikan sudah terjatuh ditimpa tangga pula, masalah timbul tanpa berhenti-henti. Ya Tuhan, mampukah saya bertahan lagi? Hati saya asyik berdoa untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan kepada saya untuk menghadapi semua kesusahan. Setiap kali selepas berdoa, saya berasa terdapat keberanian disuntik ke dalam tubuh saya. Sememangnya, ini adalah kekuatan yang diberikan Tuhan kepada saya.

Pada hari pertama di dalam hospital, semasa saya melihat wanita di sebelah katil saya itu pergi mencuci lukanya, saya berasa dia seperti seorang berdosa yang sedang berjalan ke tempat penghukuman. Proses pembersihan luka yang sakit adalah saat-saat seperti dihukum! Saya berbaring di atas katil sambil berdoa untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan supaya saya sanggup bertahan dalam proses pembersihan luka. Selepas luka wanita itu dicuci, saya melihat mukanya pucat dan air mukanya menunjukkan kesakitan. Hati saya berfikir: Orang yang “dihukum” seterusnya adalah saya. Namun, setelah saya menunggu sekian lama, jururawat masih tidak memanggil saya untuk mencuci luka. Adakah dia terlupa? Akhirnya, saya menunggu sampai tengah malam dan tidak dapat masuk tidur. Luka wanita tersebut telah dicuci sebanyak 2 kali tetapi masih belum sampai giliran saya. Saya berasa gembira tetapi takut. Apakah luka saya tidak perlu dicuci? Namun, jika jururawat terlupa, bukankah luka saya akan menjadi semakin susah untuk sembuh? Selepas hati saya bergelut suatu jangka masa, saya memberanikan diri untuk bertanya kepada jururawat. Jururawat menjawab bahawa dia akan menyemak dahulu. Kemudian, dia berbincang dengan jururawat yang lain dan saya terus menunggu. Lama-kelamaan, saya tertidur.

Keesokan hari, semasa doktor meronda bilik, saya bertanya kepadanya: “Berapa kalikah luka saya perlu dicuci dan berapa hari lagi saya perlu ditahan di hospital?” Doktor menjawab: “Sepatutnya, luka kamu perlu dicuci sebanyak 2 atau 3 kali sehari dan kamu perlu ditahan di dalam hospital kira-kira 5 atau 6 hari. ” Aduhai, saya berfikir bahawa luka saya belum dicuci kelmarin, bukankah saya harus ditahan di hospital lama lagi? Kemudian, saya menangis kerana berasa bimbang, takut dan rindu akan anak. Selepas doktor beredar, jururawat memanggil saya untuk mencuci luka. Saya berasa sangat takut sehingga memegang tangan jururawat dengan kuat. Proses pembersihan luka memang sakit. Namun ajaib sekali, saya boleh mengharunginya. Ini disebabkan saya berdoa kepada Tuhan tanpa berhenti-henti. Saya menghitung masanya dan ia hanya mengambil masa selama 7 hingga 8 minit, tetapi wanita itu mengambil masa selama 15 minit. Doktor berkata bahawa luka saya amat bersih dan boleh dijahit semula. Selepas mendengarnya, hati saya amat bersyukur kepada Tuhan.

Pada asalnya, saya terpaksa melalui proses kesakitan secara berterusan. Namun tanpa disangka-sangka, selepas dicuci satu kali, jururawat tidak lagi memanggil saya untuk mencuci luka. Sebaliknya, luka wanita di sebelah katil saya telah dicuci sebanyak 4 hari secara berterusan dan dicuci 3 kali sehari, tetapi lukanya masih tidak boleh dijahit. Pada hari ke-3 semasa doktor meronda bilik, doktor memberitahu saya bahawa luka saya hanya perlu dicuci sekali lagi sebelum dijahit. Saya berasa gembira. Saya sembuh dengan cepat disebabkan saya memohon Tuhan menyembuhkan saya secepat mungkin. Semasa saya tidur semalam, saya merasa luka saya sedang sembuh. Sesungguhnya Tuhan Yesus mendengar doa saya. Syukur kepada Tuhan!

Pada awal pagi hari ke-4, jururawat meminta saya memakai jubah putih pembedahan. Emosi saya tidak tenang. Saya berasa gembira, takut dan mengharapkan sesuatu. Kira-kira pada pukul 11 pagi, saya diusung ke dalam bilik pembedahan. Doktor berkata bahawa ini cuma suatu pembedahan yang kecil. Oleh itu, hanya sebahagian tubuh saya dibiuskan. Dalam keseluruhan proses pembedahan, saya mesih terjaga. Saya dapat merasa jarum dicucuk ke dalam kulit saya satu demi satu. Saya berasa cemas dan sejuk. Saya asyik berdoa dalam hati untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan kepada saya.

Syukur kepada Tuhan, pembedahan dijalankan dengan lancar. Saya keluar dari hospital pada keesokan hari. Kini, saya dan anak berada dalam keadaan yang sihat.

Syukur atas penjagaan Tuhan selama ini yang membolehkan saya mengharungi kesusahan sekali demi sekali. Semasa saya mengimbas kembali keadaan pada masa itu, memang menakutkan! Rupa-rupanya, melahirkan seorang anak bukanlah sesuatu perkara yang mudah! Selain menanggung kesakitan, ibu juga menghadapi ketakutan dan bimbang akan anak serta diri sendiri. Syukur kepada pimpinan Tuhan, kasih karunia Tuhan memang cukup bagi saya! Syukur kepada Tuhan!​

Catatan: Saya yang tidak mahir mengarang ini berharap dapat meluahkan kesyukuran kepada Tuhan melalui karya ini. Saya juga ingin menggenggam peluang ini untuk berterima kasih kepada para seiman yang prihatin akan saya dan mendoakan saya.