Tuhan Penolongku Dalam Kesusahan
| |

Tuhan Penolongku Dalam Kesusahan

Dn. Gabriel Chong

“Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti.” (Mzm 46:2)

Haleluya! Dalam nama kudus Yesus Kristus saya membuat kesaksian. Saya ialah Diaken Gabriel Chong, berasal dari gereja Tanjung Aru. Di sini saya ingin menyatakan anugerah dan pertolongan-Nya yang begitu hairan sekali yang berlaku pada diri saya sendiri.

Kesaksian saya yang pertama ialah berkenaan dengan penjagaan Tuhan terhadap saya daripada ditimpa kecederaan. Pada waktu itu, anak lelaki saya hanya berumur seminggu. Saya telah mengupah seorang pembantu rumah untuk menjaganya di rumah. Saya masih ingat pada suatu petang, rumah saya ada tertanam sebuah pokok mangga dan saya ingin memetik buah mangga yang berada di atas pokok. Semasa saya memanjat pokok itu, kaki saya tergelincir dan saya terjatuh ke bawah. Saya menjerit “Haleluya” dengan suara yang kuat. Sungguh menghairankan, pada masa itu tangan saya dapat memegang dahan pokok dengan begitu cepat.

Lazimnya, dahan pokok mangga adalah sangat rapuh dan mudah patah. Syukur kepada Tuhan, semasa saya memegang dahan tersebut, saya terdengar bunyi dahan pokok itu terpatah. Namun sangat menghairankan, dahan pokok itu tidak patah semuanya dan saya juga tidak terjatuh ke bawah. Ini merupakan pemeliharaan Tuhan. Jika saya terus terjatuh dari atas pokok, akibatnya tidak dapat saya gambarkan.

Namun, saya masih berjuntai di atas pokok. Disebabkan pada masa itu ialah waktu petang, tidak ada orang yang berhampiran di situ. Di antara mereka ada yang sedang bekerja di luar, ada yang sedang tidur sejenak pada waktu petang. Tetapi disebabkan aturan Tuhan yang menghairankan, ibu saya keluar secara tiba-tiba di belakang rumah saya. Biasanya pada waktu ini dia sedang tidur. Dia menanya saya apa yang telah berlaku. Saya memberitahunya bahawa saya tergelincir dan terjatuh sewaktu ingin memetik buah mangga.

Mujur saya masih sempat memegang sebatang dahan pokok. Ibu saya menyuruh pembantu rumah untuk mengambilkan anak tangga dengan segera. Apabila anak tangga itu diambil barulah saya dapat melepaskan tangan dan memegang pada tangga itu. Pada ketika itu, barulah saya merasa keperitan tangan saya kerana kedua-dua belah bahu saya telah terseliuh. Saya berfikir jika bantuan diberi dengan lambat sedkit, kemungkinan saya tidak dapat bertahan lagi.

​Ketika kaki saya dapat memijak di pemukaan tanah, hati saya penuh dengan kesyukuran. Jikalau dahan pokok itu terpatah atau bahu saya mengalami kekejangan, ia akan mendatangkan akibat yang begitu menakutkan. Saya dapat mengalami anugerah Tuhan yang begitu menghairankan, terutamanya semasa saya mengalami kesusahan, Dia memberi pertolongan tepat pada masanya dan membantu saya melalui kesusahan.

​Kesaksian saya yang kedua adalah berlaku pada tahun 2005. Saya masih ingat pada masa itu, saudara Tham Onn Wah telah balik dari Kanada ke Kota Kinabalu. Masa itu ialah waktu malam hari Isnin. Saya dan isteri saya pergi ke gereja untuk menghadiri latihan koir Persahabatan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, ketika kereta kami melalui Taman Sunny, tiba-tiba bahagian depan kereta kami berasap bergumpal-gumpal. Selepas itu, kereta kami terhenti dan enjinnya telah mati. Saya tidak tahu apa yang harus dibuat pada ketika itu. Syukur kepada Tuhan, ada sebuah kereta yang berlalu di situ dan berhenti di depan kami.

Selepas saya melihatnya, rupa-rupanya dia ialah diakenis Suzana Lo. Kebetulan dia juga ingin balik ke rumah selepas latihan koir Persahabatan. Saya memberitahunya apa yang telah berlaku. Pada masa ini, tiba-tiba terdapat sebuah kereta yang berhenti di belakang kami pula. Kemudian saya melihat saudara Tham Onn Wah keluar dari kereta tersebut. Saudara Tham ialah seorang mekanik kereta yang berkelulusan. Dia mempunyai sebuah kilang membaiki kereta di Kolombong.

​Syukur kepada Tuhan kerana Dia mengaturkan seorang yang reti membaiki kereta. Dengan spontan, saudara Tham meletakkan satu papan tanda amaran tiga segi di belakang kereta saya supaya kereta yang berlalu dapat melihat dan mengelak daripada berlakunya kemalangan. Selepas itu, saudara Tham membuka bahagian depan kereta saya dan memeriksa enjin kereta dengan menggunakan lampu suluh. Dia mendapati ada wayar yang mengalami kejutan litar. Dia memerlukan wayar yang baru dan masa yang mencukupi untuk memperbaikinya.

Namun, di manakah wayar itu boleh diperolehi? Semasa kami sedang menghadapi jalan buntu, ketika itu juga ada sebuah kereta yang berlalu tepat pada masanya. Ia adalah sebuah kereta syarikat yang menyediakan perkhidmatan menarik kenderaan, malahan pemandunya adalah seorang saudara gereja kita. Saudara Tham memberitahu saya bahawa dia akan membantu untuk menarik kereta saya ke kilangnya. Sementara itu, saya boleh menumpang kereta diakenis Lo balik ke rumah. Syukur kepada Tuhan, akhirnya kami dapat sampai ke rumah dengan selamat.
Pada waktu senja keesokan harinya, kereta saya juga telah siap dibaiki dan dihantar balik ke rumah saya. Kesemua ini merupakan kasih karunia Tuhan dan menjadi pertolonganku semasa ditimpa kesusahan. Oleh itu, saya ingin membuat kesaksian di sini dan bersyukur pada kasih-Nya yang besar itu. Syukur pada kasih besar Tuhan, Dia akan menjaga umat-Nya seperti biji mata-Nya. (Ul 32:10)

​Kiranya segala kemuliaan dan kesyukuran diberikan kepada nama Tuhan.

Terpelihara Dalam Kemalangan
| |

Terpelihara Dalam Kemalangan

Sdra. Tham Onn Wah

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya membuat kesaksian. Saya ialah saudara Tham Onn Wah, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Disebabkan pekerjaan saya dan anak saya yang ingin melanjutkan pelajaran, maka kami pun berhijrah dan menetap di Edmonton, Kanada. Edmonton ialah ibu kota bagi daerah Alberta di sebelah utara Kanada.

Peristiwa ini berlaku pada suatu hari Sabat yang bermusim sejuk pada tahun 2007. Pada awal pagi hari Sabat itu, saya memandu kereta membawa seisi keluarga saya seramai 5 orang pergi ke gereja untuk memegang hari Sabat. Disebabkan turun salji sebelum itu, maka ia menyebabkan keadaan jalan raya menjadi amat licin. Saya masih ingat cuaca waktu pagi hari itu adalah mendung. Suhunya adalah di bawah negatif sepuluh lebih darjah celcius. Ketika saya memandu, masih lagi turun salji. Saya menumpukan sepenuh perhatian untuk memandu. Pada waktu itu, saya hanya memandu lebih kurang 70km sejam.

Pada hari itu, kami berada di jalan raya yang mempunyai tiga lorong. Saya memandu kereta saya di lorong tengah. Kemungkinan saya memandu dengan agak perlahan sedikit, kereta di belakang saya berasa tidak sabar dan dengan tiba-tiba dia memecut dan memintas kereta saya. Keretanya dipandu dengan begitu laju sekali. Selepas pemandu itu memintas kereta saya, lalu dia pun membelok ke lorong sebelah kiri. Semasa jarak di antara kereta saya dan keretaya hanya sejauh kira-kira 100 meter, kemalangan telah berlaku. Saya melihat kereta itu berputar sebanyak 360 darjah. Ini adalah kerana adanya salji di atas jalan raya. Lazimnya, jika memandu dengan laju dalam keadaan sebegini adalah sangat merbahaya kerana kenderaan akan menjadi mudah tergelincir. Keadaan pada waktu itu sangat merbahaya kerana kereta saya hampir terlanggar dengan kereta tersebut. Mengikut pengalaman memandu saya, pada ketika itu tidak boleh menekan brek kereta. Jika saya berbuat demikian, kereta saya akan menjadi tidak terkawal dan terus memecut ke hadapan. Ketika saya melihat kereta saya hampir terlanggar dengan kereta itu, saya menjerit “Haleluya”! Tanpa disedari, tangan saya memusing stereng kereta ke sebelah kanan. Kereta itu tadi masih lagi berputar! Akhirnya kereta itu berhenti di tengah-tengah jalan raya dan bahagian depan kereta itu menghadap ke arah kami.

Pada ketika itu, kereta saya juga berada di lorong tengah. Jika bukan kerana Tuhan yang membuatkan saya membelok kereta ke sebelah kanan pada saat-saat yang bahaya itu, kereta saya pasti akan berlanggar dengan kereta itu. Akibatnya memang tidak dapat saya bayangkan. Sesungguhnya hidup atau mati dapat ditentukan dalam sekelip mata itu saja. Semasa saya melewati kereta yang menghadapi kemalangan itu, jarak di antara kereta saya dengan kereta itu hanya beberapa inci sahaja. Jarak itu dapat menentukan segala-galanya.

Mengimbas kembali kejadian ini, apabila sesuatu peristiwa yang mengejutkan berlaku di depan mata, biasaannya respon manusia adalah terperanjat dan tindak balas anggota badan akan menjadi lembap. Ini merupakan tindak balas semula jadi apabila menghadapi hal yang mengejutkan. Manalah mungkin masih lagi dapat memandu dan membelokkan kereta ke sebelah kanan? Ini adalah penjagaan Tuhan yang memberikan saya satu hati yang senantiasa berjaga-jaga sehingga saya dapat terlepas daripada kemalangan. Syukur kepada Tuhan, akhirnya kami dapat sampai ke gereja dengan selamat. Tuhan merupakan Tuhan Hari Sabat, Dia juga merupakan Tuhan yang memberi damai sejahtera!

“Janganlah hendakya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapa syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Yesus Kristus.” (Flp 4:6-7)

Kiranya segala kesyukuran, kepujian, dan kemuliaan diberikan atas nama Tuhan.

Balik Ke Rumah Yang Di Syurga
| |

Balik Ke Rumah Yang Di Syurga

Dn. Timothy Wong

“Siapakah aku ini, ya TUHAN Allah, dan siapakah keluargaku, sehingga Engkau membawa aku sampai sedemikian ini?” (1Taw 17: 16)

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah Diaken Timotius Wong, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Di sini saya ingin menyampaikan satu kesaksian yang kecil untuk memuliakan nama Tuhan dan memuji Tuhan yang benar.

Pada hari raya Ching Ming, kita akan lebih terkenang dengan ibu bapa kita yang telah meninggal dunia. Sememangnya kita sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar tidak mengikuti budaya orang dunia ini. Ibu saya meninggal dunia pada hari raya Ching Ming. Hari raya Ching Ming pada tahun ini, merupakan ulang tahun pertama ibu saya meninggal dunia. Seperti satu pepatah, apabila ingin menjaga, tidak ada lagi yang perlu dijaga.

Ibu saya merupakan seorang wanita cina yang tradisional. Dia berasal dari keluarga yang miskin, tetapi mempunyai sikap yang teguh dan tahan lasak dalam kesusahan. Sejak kecil lagi, dia suka belajar. Akhirnya dia menjadi seorang guru dan mengajar di sebuah sekolah rendah di Tenom. Tetapi dia menjadi seorang janda pada usia yang muda dan membesarkan kami beberapa orang adik beradik dengan jerih payah. Dia selalu mendorong kami supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar kami menjadi orang yang berguna pada hari kelak.

Harta paling bernilai yang ditinggalkannya untuk kami adalah kepercayaan ini. Pada waktu kecil, dia selalu membawa kami menghadiri kebaktian supaya kami boleh hidup dalam kasih karunia Tuhan, disertai dengan kasih Tuhan dan mempunyai pengharapan untuk masuk ke dalam Kerajaan Syurga.

Saya masih ingat dia pernah berkata, hari yang paling menghiburkan hatinya adalah hari saya diurapi. Dalam doa itu, tiba-tiba dia diangkat ke atas dan menikmati kesejukan angin dalam taman yang indah dan hatinya penuh dengan sukacita.

Saya tahu dia amat menyukai sinaran matahari. Oleh itu, saya telah memilih sebuah rumah yang mendapat sinaran cahaya matahari yang cukup baginya. Pada waktu malam, apabila matahari terbenam di sebalik bukit, cahaya senja akan menyinari katil ibu dan dia akan merenung ke arah cahaya itu. Pada ketika itu, dia telah mengalami penyakit alzheimer.

“Hari-hariku seperti bayang-bayang memanjang, dan aku sendiri layu seperti rumput.” (Mzm 102:11). Kehidupan manusia seperti cahaya matahari, dan bagaikan bayang yang bergerak ditiup angin, lalu hilang lenyap dalam masa yang singkat. Apa yang kita harapkan adalah rumah sorgawi yang indah. Itulah sesuatu yang kekal abadi.

Kadang kala, terdapat kebaktian atau aktiviti di gereja pada waktu malam. Kami pulang dengan agak lewat. Dia kelihatan duduk seorang diri di dalam bilik sambil menyeru nama anak-anaknya. Pada waktu itu, penjaga yang digaji telah pun berehat. Saya masuk ke dalam bilik ibu dan bertanya kepadanya jika dia inginkan sesuatu, tetapi dia menggerakkan tangannya dan menggelengkan kepala. Dia hanya membuka mulutnya yang tidak lagi bergigi, dan bibirnya yang kering sedang bergerak seperti ingin berkata sesuatu. Saya melihat warna rambutnya yang sudah menjadi kelabu, matanya yang lekung dan kulit yang berkedut. Ya ibu, apakah benar engkau telah menjadi tua dengan begitu cepat? Terkenang kembali masa yang lalu, ketika dia masih lagi seorang guru di sekolah, dia merupakan seorang yang begitu bersemangat. Tetapi usia tidak menanti, selepas ayah meninggal dunia, kepergian ayah telah memberi tamparan yang agak kuat kepadanya. Pada ketika itu, walaupun keluarga amat miskin, tetapi dia tetap menguatkan hati. Dia menanam sayur, memelihara babi, dan menjual di pasar untuk membesarkan kami.

Sekarang usianya telah lanjut, bagaikan mimpi Yusuf dan Firaun, gandum yang baik dimakan oleh gandum yang jahat. Manusia ada zaman kegemilangannya dan zaman kemerosotannya. Pada waktu muda, ibu bagaikan lilin menerangi orang lain. Sekarang dia telah menjadi tua, tubuh badan menerima banyak siksaan. Keadaan ini menyedarkan saya bahawa hidup manusia itu terhad. Hidup dan mati bukan di dalam tangan kita, yang memberi itu adalah Tuhan, yang mengambil balik itu juga adalah Tuhan. Segala sesuatu ada masanya. Tuhan tidak akan menjadi penonton sahaja. Dia akan menyertai kita tatkala kita berada dalam kesusahan. Dia mendekati kita lebih daripada sesiapa pun. Hanya dengan berdoa kepada Tuhan, barulah hati kita akan mendapat kesejahteraan, mendapat kekuatan dari Tuhan dan penuh dengan penghiburan.

Pada suatu malam, ibu memanggil kami masuk ke biliknya untuk mendoakannya. Kali ini anak saya Mei Jia, tiba-tiba naik marah, lalu berlari ke luar bilik dan tidak mahu berdoa. Apabila ditanya kembali, dia kelihatan termenung sahaja dan tidak berkata-kata. Kami pun berdoa untuk anak perempuan. Selepas berdoa, anak saya mula bercakap. Dia melihat enam bayangan hitam, ada yang tinggi dan ada yang rendah. Bayangan yang tinggi itu setinggi almari dalam bilik, sangat besar seolah-olah datang menyerang. Selepas itu, dia melihat ayah berdoa dengan kuat untuk mengusir iblis, lalu bayangan hitam itu hilang satu demi satu. Saya teringat ibu selalu menyeru nama saudara mara yang telah meninggal dunia. Adakah si iblis datang mambuat kecoh semasa seseorang berada dalam keadaan iman yang lemah. Hanya dengan bersandarkan doa, menentangnya dengan iman, barulah kita dapat menghalau iblis itu. Selepas kejadian itu, ibu telah melelapkan mata sehingga hari menjadi siang.

Semasa ibu menjadi tua, dia telah banyak kali patah tulang. Doktor berkata itu adalah disebabkan oleh penyakit osteoporosis. Jika pergerakannya kuat sikit, tulangnya akan patah. Kejadian yang paling teruk berlaku pada bulan Januari 2001, semasa dia pergi melawat rumah makcik saudara saya. Dengan tidak sengaja dia terjatuh dan duduk di atas lantai mengakibatkan tulang pinggulnya menjadi retak dan tulang bahagian pahanya juga pecah. Dia dimasukkan ke hospital dengan segera untuk menjalani pembedahan. Selepas pembedahan besar yang mengambil masa selama 5 jam, barulah tulang-tulang yang telah patah dicantum semula. Biasanya, pada usia yang tua sebegini, pembedahan yang rumit ini mempunyai risiko yang amat besar kerana pesakit berbadan lemah dan mempunyai penyakit lain serta perlu dibius untuk jangka masa yang panjang. Sebenarnya doktor juga tidak berasa yakin. Dia mahu kami menandatangani surat pemberitahuan risiko. Syukur kepada Tuhan, melalui doa yang berterusan, akhirnya pembedahan telah selesai. Ibu telah mengharunginya dengan selamat. Kesusahan merisaukan orang, tetapi harus bersandar pada Tuhan, kerana Dia berada di sisi kita, mencurahkan kasih setia-Nya.

Walaupun mengharungi hidup yang penuh dengan pelbagai cabaran, namun dipenuhi dengan kasih Tuhan. Terang kehidupan ibu saya akhirnya telah terpadam. Masa yang paling saya tidak ingin hadapi telah tiba. Pada hari itu, saya masih memimpin kebaktian di gereja. Apabila sampai di rumah, kelihatan ibu saya telah muntah benda yang berwarna putih dan putus nafas. Saya memanggilnya ‘mak’, lalu air mukanya menjadi kemerah-merahan, mungkin dia sedang menunggu saya pulang ke rumah. Selepas itu, dia pergi dengan meninggalkan wajah yang sejahtera, seperti seorang yang sedang tidur.

Dengan kesedihan, saya menelefon Diaken Titus Yong. Dia bergegas datang untuk mengurus hal-hal bagi menghantar mayat mendiang ke rumah jenazah. Pada waktu itu adalah pukul 11:15pm. Tiba-tiba anak saya mendengar ada orang yang sedang menyanyi kidung bilangan ke-5. Suara itu indah dan merdu, seperti suara malaikat. Dia bertanya kepada saya samada saya juga mendengarkannya, saya menjawabnya tidak. Saya melihat samada ada orang yang lain berada di sekitar atau tidak, tetapi tidak ada juga. Apakah benar malaikat sedang bernyanyi? Saya juga terfikir, pada hari pemercaya meninggalkan dunia, dikatakan ada malaikat yang akan datang membawanya pergi. Saya percaya dengan teguh bahawa orang yang mati dalam Kristus adalah orang yang berbahagia. Sekarang ibu telah pergi, sebenarnya Tuhan telah membawanya ke suatu halaman rumah yang lebih indah.

Pada malam pertama ibu meninggal dunia. Anak saya mendapat suatu mimpi di mana pada waktu petang, dia sedang menyuap neneknya makan nasi. Tiba-tiba nenek berkata, “Saya mahu pergi sudah, janganlah kamu sedih, manusia tetap akan mati.” Selepas itu, dia menghadiahkan barangan kemas yang paling dihargainya kepada anak saya. Anak saya berasa keberatan hati. Semasa dia berasa sedih, tiba-tiba ternyata ada sebuah tangga di hadapannya. Tinggi dan lurus sampai ke langit, hujungnya sambung ke tempat yang tidak diketahui. Selepas itu, dia melihat nenek, berjalan di atas tangga, lalu pintu Syurga terbuka dan ada tiga orang sedang berdiri di sana, orang yang berada di tengah-tengah itu bersinar terang. Dia seperti Tuhan Yesus. Orang yang berdiri di kanan memegang sebuah buku, seperti buku kehidupan, yang berada di kiri meniup seruling, bunyinya indah. Nenek senyum dengan gembira, tidak seperti keadaannya pada waktu tua. Selepas itu, dia berjalan sambil melambai-lambai.

Syukur kepada Tuhan kerana Tuhan menggunakan mimpi untuk menghiburkan kami pada masa yang sedih ini. Siapakah kami sehingga menerima kasih daripada Tuhan? Tuhanlah batu sandaran pada waktu kesusahan. Dialah sandaran kita, ini membuatkan saya mengingati-Nya selama-lamanya.

Pada hari ibu dikebumikan, saya duduk dalam kereta mayat. Melihat ke luar tingkap, sinaran yang masih sama, tetapi segalanya telah berubah. Sekarang ibu sedang berbaring secara diam-diam di situ, tidak boleh berborak dengan kami lagi. Jalan ini merupakan tempat yang pertama sewaktu saya membawa ibu pergi berjalan-jalan. Jika dia berasa bosan, dia ingin saya membawanya keluar berjalan-jalan. Jalan yang kami lalui, ialah jalan besar yang menuju ke Sepangar. Selepas itu, kami akan pusing di UMS dan balik ke Luyang. Sekarang saya masih menemaninya di jalan ini, tetapi dalam keadaan yang berbeza. Hari ini hari ke berapa? Teringat akan hal ini, hati saya berasa pedih dan air mata mula mengalir. Dalam sepanjang jalan, air mata menemani saya. Tetapi ini bukan air mata kesakitan, melainkan kesyukuran, dan juga penghiburan.

Selepas itu, isteriku memberitahu kepadaku, ”Kau tahukah? Semasa kau mengalirkan air mata, saya terdengar ada suara doa yang berbahasa roh.” Semasa saya memusingkan kepala dan melihat, saya tidak nampak ada orang yang berdoa di dalam kereta. Tetapi suara doa itu amat jelas sehingga kami tiba di tanah perkuburan Nirvana. Syukur kepada Tuhan kerana selepas bersedih, saya dapat merasa damai sejahtera dalam hati ibarat terlepas dari beban yang berat. Damai sejahtera ini dari Tuhan kerana Tuhan berjanji bahawa

“Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu, dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Janganlah gelisah dan gentar hatimu.” (Yoh 14: 27)

Hati saya berasa gembira kerana Tuhan berada di sebelah kanan Bapa.

Berdoa dengan permohonan yang tak putus-putusnya untuk segala orang Kudus. Sebab Tuhan-Mu telah mengurapi Engkau dengan minyak sebagai tanda kesukaan, melebihi teman-teman sekutu-Mu. (Ibr 1: 9)

Selepas 3 hari, isteri saya pula bermimpi. Apabila hari hampir siang, dia bermimpi bahwa ibu saya ketawa dengan riang dan berkata kepada isteri saya harus saling mengampuni terhadap apa-apa kesalahan dahulu. Jangan letak dalam hati. Selepas itu, dia naik tangga ke Syurga. Tangga ini seperti yang dilihat oleh anak saya, sangat tinggi, sangat lurus, sehingga ke langit yang tidak dapat dipandang. Dia melihat ibu saya berada di hujung. Dia melambai kepada isteriku lalu hilang.

Sememangnya, kepergian saudara mara akan membawa kesedihan kepada kita. Tetapi dalam kesusahan, Tuhan sebagai sandaran kita, kekuatan kita dan pertolongan kita dalam kesusahan. Dia memimpin kita dengan tangan kudusnya, menemani kita melalui lembah maut. Apa yang penting adalah kita tetap mengikuti Tuhan, jangan terpesong. Dengan pastinya, perpisahan itu hanyalah sementara. Satu hari nanti, kita akan berjumpa di Syurga.

Selepas itu, kasih Tuhan bagaikan embun, membasahi kami sekeluarga. Selepas mengharungi kehidupan manusia yang tidak dapat diduga, hanya Tuhan sebagai sandaran, tiada lagi permintaan dalam hidup ini. Saya hanya memohon dalam hidup ini, boleh melayani Tuhan dengan hidup saya untuk membalas kasih-Nya.

Semoga segala kemuliaan, kepujian dan kesyukuran diberikan kepada nama Tuhan.

Tuhan Allah Ialah Pengembala Ku, Aku Tidak Akan Kekurangan
| |

Tuhan Allah Ialah Pengembala Ku, Aku Tidak Akan Kekurangan

Sdri. Teo Syn Yie

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Teo Syn Yie, berasal dari gereja Kota Kinabalu.

Dalam ingatan saya, selepas saya menamatkan pembelajaran di sekolah menengah Kota Kinabalu, Sabah, saya pun melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia.

Masa berlalu dengan cepat, dalam sekelip mata saya telah tinggal di luar selama empat tahun. Dalam masa empat tahun ini, saya telah beralih dari peringkat diberi minum susu ke peringkat menerima makanan keras, daripada sikap yang bergantung menjadi sikap yang berdikari. Walaupun pengalaman dalam empat tahun ini agak sukar tetapi berbaloi.

Dalam masa empat tahun ini, Tuhan telah membentuk saya menjadi seorang yang lain. Saya memahami bahawa Tuhan ingin membentuk saya menjadi perkakas yang berkenan kepada-Nya, dan melaksanakan kehendaknya. Oleh itu, saya belajar bersabar. Apabila saya jatuh, saya bersabar. Apabila saya keseorangan dan tiada pertolongan, saya bersabar. Apabila saya rasa sakit hati, saya bersabar. Mengimbas kembali masa lampau, saya mendapati sejak saya kecil lagi, Tuhan tetap berada di sisiku. Dia tidak pernah meninggalkan saya, sekali pun tidak. Terutama pada waktu saya pada titik yang paling rendah dalam hidup saya, Dia mengharungi bersama dengan saya. Saya tidak pernah mengetahui adanya kekuatan yang begitu kuat dalam diri saya, saya juga tidak sedar akan kekuatan itu sehinggalah saya mengimbas kembali. Rupa-rupanya Tuhan adalah kekuatanku.

​Hidup bersendirian di luar bukanlah sesuatu perkara yang senang. Saya meninggalkan rumah, ahli keluarga dan kawan, datang ke satu tempat yang tidak dikenali dan hidup di luar lingkungan yang aman dan selesa. Saya bertanya kepada diri saya, ”Apakah saya mampu melakukannya?” Oleh itu, dengan membawa perasaan hati yang teringin sangat dan takut, saya memulakan kehidupan yang baru.

Kuala Lumpur merupakan bandar terbesar di Malaysia. Seperti bandar yang lain, apa pun ada, dari pangkal kepala ke hujung kaki, tidak ada yang berkurangan. Namun disebaliknya, iman saya sedang menghadapi cabaran yang besar. Ibu saya telah menemani saya selama sebulan di sana. Selepas mengatur segala-galanya, dia pun pulang ke rumah.

Ibu telah meninggalkan dua benda kepada saya, iaitu kunci ke arah kebebasan dan kepercayaan. Hidup keseorangan, saya memegang kunci kebebasan ini, saya boleh memilih untuk makan atau tidak makan. Saya boleh memilih untuk hadir ke kelas atau ponteng. Sebenarnya apa yang paling penting ialah saya boleh memilih untuk pergi ke gereja atau tidak. Ibu saya telah memberi saya hak kebebasan ini, dia percaya bahawa saya mempunyai kebijaksanaan yang cukup untuk membuat pilihan. Dia juga melihat perkara ini sebagai masa dan peluang untuk melepaskan tangan supaya saya boleh membesar.

Ibu selalu mengajar saya memancing ikan dan bukan memberi ikan kepada saya. Oleh itu, dia ingin melihat berapa banyak yang telah saya belajar daripada kelas memancingnya.

Sebenarnya saya tahu bahawa untuk melepaskan tangan bukanlah sesuatu perkara yang mudah bagi ibu. Saya masih ingat kesakitan yang ada di dalam matanya. Apabila ibu menghantar saya ke lapangan terbang setiap kali, masing-masing kami akan menahan air mata dan matanya yang penuh dengan kegembiraan semasa menyambut saya pulang di lapangan terbang. Kami pun tahu perkara ini tidak mudah tetapi ia merupakan apa yang terbaik untuk saya. Oleh itu, ibu saya menahan air matanya. Dia percaya Tuhan dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan. Dia percaya bahawa Tuhan pasti akan memimpin hidupku dan Tuhan memang memimpin hidupku.

Semasa berada di Kuala Lumpur, Tuhan telah mengatur banyak peluang supaya saya boleh mengikuti kebaktian. Setiap hari Jumaat dan Sabtu, ada orang yang menghantar saya ke gereja. Ada seorang saudari yang bekerja di tempat yang berhampiran dengan universiti saya. Pada setiap Jumaat, saya akan pergi ke syarikatnya selepas tamat kuliah dan dia akan membawa saya pulang ke rumah untuk makan malam dan pergi ke kebaktian selepas itu. Selepas kebaktian, saudari itu akan menghantar saya pulang ke rumah makcik saudara saya yang perlu mengambil masa setengah jam untuk tiba. Jika berlaku kesesakan lalu lintas, maka kena mengambil masa selama sejam untuk tiba di situ. Saya menghabiskan masa hujung minggu di rumah makcik saudara dan mengikutinya ke kebaktian Sabat. Saya telah mengharungi kehidupan yang begitu baik ini di Kuala Lumpur selama setahun setengah.

Kehidupan di Kuala Lumpur yang sibuk membuat saya berasa tertekan. Kehidupan juga tidak menentu, tetapi saya memberitahu kepada diri saya di mana saya harus bertahan dan Tuhan tetap menyertai aku sepanjang tahun itu. Akhirnya saya mendapati bahawa jika kehidupan menjadi semakin susah, kita harus makin kuat berdoa, tidak ada cara yang lain. Oleh itu, saya telah belajar untuk berdoa dengan pelbagai jenis cara, daripada doa yang memohon kepada doa yang bersyukur. Pada waktu dahulu, saya selalu berdoa memohon banyak perkara daripada Tuhan, tetapi tidak tahu untuk bersyukur kepada Tuhan atas segala sesuatu. Lama-kelamaan, saya semakin kurang memohon daripada Tuhan, melainkan kerap bersyukur kepada Tuhan. Tetapi apabila saya bersedia untuk menuntut di Brisbane, bapa saya telah jatuh sakit.

Ayah saya telah menghidapi barah limfa. Penyakitnya telah sampai ke fasa terakhir semasa kami menyedari akan penyakit itu. Dalam masa setahun yang singkat, Tuhan telah menyambutnya pulang ke Syurga dan itu juga merupakan tahun yang paling ajaib dalam hidup saya.

Saya teah melihat pelbagai pekerjaan Tuhan yang ajaib. Seperti yang diketahui orang ramai, pesakit yang menghidapi barah tidak dapat melarikan diri daripada kesakitan. Tetapi sungguh ajaib, walaupun bapa mengalami penyakit yang tenat, tetapi dia tidak mengalami sebarang kesakitan. Penyakit tersebut telah menyebabkan kekuatan tubuh ayah saya semakin lemah dari hari ke sehari. Walaupun demikian, saya dapat melihat kekuatan Tuhan atas tubuh bapa saya. Bapa saya tetap berusaha, kami berusaha sehingga ke akhir dan Tuhan senantiasa menyertai kami. Saya dapat merasa damai sejahtera Tuhan berada di antara kami.

Dari saat kami tahu bapa telah menghidapi penyakit barah, kami tidak pernah menjadi cemas dan huru-hara. Terutamanya ibu saya, dia tetap berani. Ibu memberitahu saya, segala-galanya berada di dalam tangan Tuhan buat selama-lamanya. Kita hanya perlu belajar untuk mentaat dan bersandar saja. Dorongan daripada ibu memberikan saya kekuatan di dalam iman. Syukur kepada Tuhan kerana terdapat seorang pendeta yang memberitahu saya bahawa dia melihat kepercayaan yang hidup pada ibu saya.

Setiap lawatan ke hospital yang saya pernah alami, proses-proses kemoterapi, dan prosedur-prosedur pemindahan sum-sum tulang masih begitu baru dalam ingatan saya. Melalui bapa, Tuhan mengeratkan hubungan keluarga kami dengan-Nya. Tuhan mengertikan saya apa itu kehidupan. Ia bukan hanya keperluan dan perolehan sahaja, tetapi juga adalah memberi dan menerima. Walaupun saya telah kehilangan perkara yang paling bernilai dalam hidupku, tetapi ini membolehkan saya lebih mengenali ayah saya.

Saya masih ingat, apabila ayah melihat saya pulang dari Brisbane buat pertama kali, senyumannya itu merupakan senyuman yang paling indah yang pernah saya lihat. Saya menemani ayah dalam minggu yang terakhir sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Doktor berkata bahawa dia telah hidup melebihi masa yang dijangkakan. Ini merupakan satu keajaiban.” Syukur kepada Tuhan. Itulah yang dapat saya katakan dan juga ingin katakan. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana saya berpeluang menemani ayah pada saat-saatnya yang terakhir. Dalam masa tujuh hari yang singkat itu, ayah mengajar saya tentang keberanian, mengasihi dan dikasihi. Dia membuatkan saya memahami perkara yang paling penting, iaitu apa itu perbuatan yang beriman. Ayah saya tekun berdoa, dia memegang imannya sampai akhir. Bapa telah meninggal dunia, tetapi dia telah meninggalkan kenangan yang indah. Kenangan ini memenuhi hati saya dan menjadi kekuatan yang mendorong saya untuk berusaha sampai ke Kerajaan Syurga. Saya harus lebih berusaha dalam penyempurnaan rohani agar boleh memperoleh Syurga yang indah itu dan berjumpa dengan ayah saya di sana. Oleh itu, saya akan terus berjuang.

Akhirnya , saya ingin mengakhiri kesaksian saya dengan beberapa ayat di bawah.

(Mzm 23: 1~4)
“TUHAN adalah gembalaku, takkan kekurangan aku. Ia membaringkan aku di padang yang berumput hijau, Ia membimbing aku ke air yang tenang; Ia menyegarkan jiwaku. Ia menuntun aku di jalan yang benar oleh karena nama-Nya. Sekalipun aku berjalan dalam lembah kekelaman, aku tidak takut bahaya, sebab Engkau besertaku; gada-Mu dan tongkat-Mu, itulah yang menghibur aku.”

(1 Sam 2: 6~10)
“TUHAN mematikan dan menghidupkan, Ia menurunkan ke dalam dunia orang mati dan mengangkat dari sana. TUHAN membuat miskin dan membuat kaya; Ia merendahkan dan meninggikan juga. Ia menegakkan orang yang hina dari dalam debu, dan mengangkat orang yang miskin dari lumpur, untuk mendudukkan dia bersama-sama dengan para bangsawan, dan membuat dia memiliki kursi kehormatan.”

“Sebab TUHAN mempunyai alas bumi; dan di atasnya Ia menaruh daratan. Langkah kaki orang-orang yang dikasihi-Nya dilindungi-Nya, tetapi orang-orang fasik akan mati binasa dalam kegelapan, sebab bukan oleh karena kekuatannya sendiri seseorang berkuasa.”

“Orang yang berbantah dengan TUHAN akan dihancurkan; atas mereka Ia mengguntur di langit. TUHAN mengadili bumi sampai ke ujung-ujungnya; Ia memberi kekuatan kepada raja yang diangkat-Nya dan meninggikan tanduk kekuatan orang yang diurapi-Nya.”

(Rm 8:28)
“Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana Allah. Amin!”

Anugerah Yang Ajaib
| |

Anugerah Yang Ajaib

Sdri. Wong Vun Ya​

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Wong Vun Ya, berasal dari gereja Putatan. Syukur kepada Tuhan kerana memberi peluang kepada saya untuk menyatakan kasih Tuhan.

Pada jam 9 pagi bersamaan 26 Februari 2010 yang merupakan hari cuti umum, ketika saya sedang sibuk menyediakan sarapan pagi untuk anak, tiba-tiba saya terdengar bunyi yang bising. Saya pun pergi melihat kerana ingin tahu apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya terdapat sebuah rumah yang berdekatan telah terbakar.

Saya nampak jiran tetangga pergi ke situ untuk melihat apa yang berlaku. Tetapi tidak lama kemudian, mereka berlari balik ke rumah. Saya berfikir mungkin sesuatu yang buruk telah berlaku. Rupa-rupanya api itu sedang menjalar dan mungkin rumah-rumah yang lain juga akan terbakar. Ini adalah kerana rumah-rumah di sini adalah berdekatan antara satu dengan yang lain. Demi keselamatan, mereka mula mengemaskan barang. Ketika melihat keadaan ini, hatiku pun terikut-ikut menjadi cemas. Oleh itu, saya mengemas beberapa dokumen yang penting, lalu menyuruh anak bersedia untuk keluar.

Disebabkan cuaca yang panas, maka kelihatan banyak asap di udara dalam masa yang singkat. Kebakaran itu tidak terkawal. Pada waktu yang sama, suami saya sedang mengikuti suatu aktiviti di gereja Kolombong dan tidak dapat dihubungi. Pada ketika itu, saya berasa cemas dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya hanya menyebut: “heleluya” tanpa berhenti-henti untuk memohon penjagaan Tuhan.

Tidak lama kemudian, kelihatan jiran tetangga meletakkan barang-barang mereka di jalan raya yang sempit. Keadaan ini telah menyukarkan kereta bomba untuk masuk ke kawasan kebakaran dan melengahkan masa pasukan penyelamat menjalankan tugas. Ketika melihat keadaan yang menakutkan ini, saudari Kam yang pulang ke rumah dari tempat kerja pun menyuruh kami supaya berdoa. Saya berasa sedih dan kosong apabila terfikir mungkin akan kehilangan rumah kediaman. Oleh itu, saya berdoa sambil mengalirkan air mata. Saya memohon Bapa yang di Syurga mengasihani dan menjaga. Saya menyerahkan semuanya kepada Tuhan. Saya percaya Dia pasti akan mendengar doa kami.

Syukur kepada Tuhan, selepas kami berdoa, hati saya berasa tenang dan terhibur. Kami mengambil kesempatan untuk mengalih beberapa benda berharga dengan pertolongan abang, adik lelaki dan seiman. Angin yang kencang juga mempercepatkan kebakaran membara ke tempat lain. Pada waktu itu, kami dinasihati untuk pergi ke tempat yang lebih selamat iaitu di sebuah padang. Menurut berita, terdapat sebuah kereta bomba telah kehabisan air dan terpaksa menggunakan air kolam untuk memadamkan api. Suami saya pun datang melihat keadaan selepas mendapat berita. Rumah jiran kelihatan sedang dijilat api. Seterusnya rumah sebelah pun sedang terbakar. Pada saat yang genting itu, sepasukan ahli bomba tiba dan mengawal kebakaran ini. Jika bukan kerana pertolongan Tuhan Yesus tepat pada masanya, sudah tentu saya akan kehilangan rumah kediaman.

Menurut laporan, terdapat 42 buah rumah telah menjadi musnah dalam kebakaran ini. Seramai 500 penduduk dianggar telah kehilangan kediaman. Jika kembali ke tempat yang telah dibakar, semuanya kelihatan musnah teruk. Rumah saya pula terselamat dari kebakaran ini. Sesungguhnya peristiwa ini di luar jangkaan kami. Tetapi ini adalah satu kesaksian yang benar.

Syukur atas kasih karunia Tuhan. Semoga kemuliaan dan kepujian diberikan kepada nama Tuhan dari sekarang sampai selama-lamanya. Amin.

Betapa Indahnya Jalan Tuhan, Siapa Yang Dapat Menemukannya?
| |

Betapa Indahnya Jalan Tuhan, Siapa Yang Dapat Menemukannya?

Sdra. Teo Jing Horng

Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian.

Keluarga saya merupakan keluarga bersifat tradisional iaitu menyembah nenek moyang. Saya masih ingat pada tahun 2006, pada masa itu saya sedang belajar di sebuah sekolah menengah tempatan. Seorang rakan telah menjemput saya untuk menyertai satu kelas sim baptisan di sebuah gereja karismatik. Kelas ini telah menyampaikan doktrin Kristus dengan bersistematik. Selepas menyertainya selama beberapa minggu, saya merasa kursus ini amat menarik terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan kasih Kristus. Kemudian saya mendapati bahawa terdapat banyak mazhab yang berlainan dalam dunia ini. Saya berpendapat bahawa gereja yang benar haruslah mamatuhi Alkitab sepenuhnya. Oleh itu, saya mula mengkaji alkitab dan ingin mencari sebuah gereja yang sesuai.

Menerima Tuhan Dalam Kehidupan Saya

Pada November 2006, ibu bapa saya mencadang supaya saya pergi ke Gereja Yesus Benar dengan seorang saudara. Ini merupakan kali pertama saya berkenalan dengan Gereja Yesus Benar. Saya telah dikejutkan dengan cara berdoa mereka, tetapi setelah saya menjadi biasa dengan doa mereka, hati saya amat mendahagakan karunia Roh Kudus. Oleh itu, pada suatu kebaktian malam Jumaat, apabila pemimpin khotbah mengumumkan bahawa sesiapa yang ingin ditumpangkan tangan boleh tampil ke hadapan, tanpa berasa ragu-ragu lagi saya pun berdoa di depan. Selepas mengkaji Alkitab untuk satu tempoh masa, hati saya yakin bahawa Gereja Yesus Benar merupakan gereja yang saya cari-carikan selama ini, kerana gereja ini disertai kebenaran. Selepas itu, saya senantiasa mengikuti kebaktian di gereja.

​Syukur kepada Tuhan, dalam satu Kebaktian Kebangunan Rohani pada pertengahan tahun 2008, saya telah mendapat gerakan Roh Kudus. Saya masih ingat dalam doa kali itu, saya memohon dengan hati yang bersungguh-sungguh. Tidak lama kemudian, saya merasa badan saya mula bergoyang, seperti terdapat suatu tenaga yang sedang menggoyangkan saya. Ini merupakan goyangan yang amat berdisiplin dan mempunyai rentak tertentu, amat bertenaga, tetapi tidak akan menyebabkan orang kehilangan keseimbangan dan terjatuh. Pada masa itu, saya berfikir ini mestilah Roh Kudus yang sedang menggerakkan saya. Namun, saya berasa kecewa kerana saya masih belum berkata-kata dalam bahasa Roh.

Pada Ogos 2008, saya pergi ke Singapura untuk belajar. Saya juga menghadiri kebaktian di gereja tempatan. Pada masa itu, saya mempunyai keinginan untuk menerima pembaptisan kerana saya semakin merasakan kasih Tuhan yang memenuhi hati saya. Saya berfikir mungkin Tuhan ingin saya menerima anugerah keselamatan-Nya yang berharga. Saya berkeputusan untuk menerima pembaptisan pada bulan November, tetapi bapa saya membantah pula. Dia ingin saya menangguhkannya sehingga saya berumur 21 tahun barulah membuat keputusan menerima pembaptisan atau tidak.

Pada suatu malam dalam bulan Januari tahun 2009, semasa saya sedang berdoa seperti biasa, saya merasa lidah saya sedang berputar. Dengan serta-merta hati saya memberitahu saya bahawa itu merupakan Roh Kudus! Saya telah berbahasa Roh! Saya berasa sangat sukacita dan mengucap syukur kepada Tuhan tanpa berhenti-henti. Selepas beberapa hari, saya mendapat penglihatan dalam mimpi. Saya melihat seorang yang berpakaian putih, badan-Nya sangat besar dan tinggi, penuh dengan kemuliaan. Saya tidak dapat melihat muka-Nya dengan jelas tetapi saya mengetahui bahawa Dia merupakan Tuhan Yesus. Selepas itu, Tuhan Yesus menghulurkan tangan-Nya dan memeluk saya ke dalam pangkuan kasih-Nya. Hati saya berasa hangat, iaitu perasaan yang digerakkan oleh kasih Tuhan.

Selepas mengalami kasih Tuhan ini, hasrat hati saya untuk menerima pembaptisan menjadi semakin kuat. Saya meminta abang saudara saya untuk menanyakan perkara ini kepada ayah. Sekali lagi saya ditolak olehnya. Dia inginkan saya menundakannya lagi buat seketika. Walaupun saya tidak memperoleh kelulusan daripada ayah saya, tetapi hati saya telah bertekad untuk menerima baptisan. Akhirnya, pada Mei 2009, saya mendaftarkan nama untuk menerima pembaptisan di Singapura. Selepas ibu saya mengetahui hal ini, dia telah datang ke Singapura hanya kerana ingin menyaksikan sakramen ini. Selepas itu, dia memberitahu saya haruslah menyebarkan injil kepada semua saudara mara terutamanya ayah saya. Saya bertanya kepadanya ‘Bagaimana pula dengan engkau?’, dengan suara yang lembut dia mengatakan ‘Jangan pedulikan saya’.

Mempelajari Bersadar Kepada Tuhan

Syukur kepada Tuhan, pada November 2009 saya telah menyertai kumpulan koir. pada bulan Disember, ada kebaktian penginjilan melalui kidung dan kami akan menbuat persembahan koir. Pada hari tersebut sebelum persembahan koir, tekak saya telah tercekik dengan tulang ikan sewaktu makan, saya berdoa dan cuba mengeluarkan tulang ikan itu, tetapi tidak dapat. Oleh sebab waktu itu amat tergesa-gesa, saya tidak ingin mendapatkan rawatan daripada doktor kerana saya tidak ingin kehilangan peluang untuk membuat persembahan koir. Saya memberitahu hal ini kepada saudara-saudari yang duduk semeja dengan saya. Mereka turut berdoa untuk saya. Selepas itu, saya mendapati tulang ikan itu telah hilang. Walaupun hal ini merupakan perkara yang kecil tetapi saya belajar untuk bersandar pada Tuhan dalam apa jua keadaan melalui peristiwa ini.

Pada pertenghan April 2010, saya telah mengalami masalah kesihatan buat seketika. Pada awalnya, tekak saya telah sakit selama 3 bulan. Selepas berjumpa dengan doktor, dia memberikan saya ubat antibiotik. Pada awalnya, ubat tersebut juga berhasil tetapi selepas itu badan saya penuh dengan bintik-bintik merah akibat alahan terhadap ubat. Doktor telah menukarkan ubat saya tetapi keadaan saya juga tidak bertambah baik. Saya berasa lenguh pada seluruh badan, suara menjadi garau, gigi juga sakit akibat keradangan. Apa yang menghairankan ialah sakit ini bukan datang secara serentak, tetapi datang satu demi satu. Selepas itu, gigi saya telah dicabut.

​Dalam tempoh itu, para seiman berasa aneh terhadap keadaan saya, kerana melihat kesakitan saya datang satu demi satu, malah ada saudara yang menanyakan saya adakah saya telah melakukan dosa, kerana saya seperti menghadapi banyak masalah. Saya juga tidak dapat menjawab soalannya itu. Mungkin Tuhan sedang memberi pengajaran kepada saya. Saya memohon Tuhan mengampuni segala dosa saya yang tersembunyi itu.

Pada suatu malam, saya menangis dalam doa kerana tidak dapat bertahan dengan penderitaan yang dibawa oleh sakit ini. Selepas itu, saya membuka Alkitab dan ayat yang terpapar di hadapan mata saya ialah Mazmur fasal 73 ayat 26 “Sekalipun dagingku dan hatiku habis lenyap, gunung batuku dan bagianku tetaplah Allah selama-lamanya.”

Saya percaya Tuhan pasti akan mengubati penyakit saya, sama seperti Dia menghilangkan tulang ikan yang tercekik pada tekak saya. Pada masa yang sama, saya juga menyedari bahawa Tuhan inginkan saya bersabar dengan segala kesusahan. Tuhan akan menambahkan kekuatan saya dalam kesusahan.

Berkat Dalam Kesusahan

​Pada Jun 2010, saya balik ke kampung saya, Kota Kinabalu, Sabah untuk berehat di samping merawat penyakit. Saya berdoa kepada Tuhan agar saya dapat berehat dengan tenteram dan tidak perlu melakukan sebarang hal lagi. Namun, sangat menghairankan iaitu apabila saya berdoa sedemikian, bahasa Roh yang dihasilkan dari lidah saya menjadi tidak lancar. Saya memohon dan bertanya kepada Tuhan, apakah tujuan sebenar saya balik ke sini? Selepas itu, saya berfikir saya sepatutnya menyebarkan injil kepada ahli keluarga saya, meskipun saya pernah mengingati mereka dalam doa saya. Saya memilih ibu saya sebagai sasaran pertama untuk menyebarkan injil. Saya tidak mengenal penat dan letih untuk memberitahunya tentang perbezaan antara Gereja Yesus Benar dengan denominasi gereja Kristian yang lain. Namun, saya sedar dia tidak menumpukan perhatian semasa saya menyampaikan injil kepadanya. Akhirnya, saya telah berputus asa. Saya hanya berdoa dan memohon agar Tuhan memimpin ahli keluarga saya percaya kepada-Nya. Pada masa itu, apabila saya melihat diri saya di depan cermin, saya mendapati ada satu tumor besar di bahagian leher saya. Ia lebih kurang sebesar biji bola ping pong. Saya pergi mendapatkan rawatan. Saya mendapat tahu bahawa ia adalah satu tumor yang baru saja tumbuh. Ahli keluarga saya menasihati saya supaya menjalankan pembedahan untuk menyingkirkan tumor ini. Saya berdoa kepada Tuhan sama ada saya dapat mengelak daripada pembedahan ini. Saya juga memohon agar Tuhan menggenapkannya menuruti kehendak-Nya dan bukannya kehendak saya.

Pada Ogos 2010, saya telah menjalani dua pembedahan di Singapura. Saya balik untuk mendapatkan pemeriksaan semula pada 20 Ogos. Apa yang menggembirakan saya ialah Tuhan telah mengabulkan doa saya. Kesakitan ini telah berlalu. Namun, apabila doktor rawatan memberitahu saya bahawa tumor itu belum dibuang sepenuhnya kerana ia adalah satu tumor yang berbahaya, lalu perasaan hati saya ibarat jatuh ke dalam gaung gunung. Terutamanya ibu saya, dia terperanjat sehingga tidak dapat berkata apa-apa lagi. Bermula dari saat itu, ibu saya belajar berdoa untuk saya. Apa yang menghairankan adalah hati saya menjadi tenang kembali selepas berdoa beberapa hari. Selepas dua minggu ibu saya berdoa, dia mendapat gerakan roh. Badannya mula bergetar dan bergoyang. Tidak lama kemudian, dia mula berbahasa roh. Saya amat bersyukur kepada Tuhan.

Saya berasa amat pilu kerana mendapat penyakit barah ini. Saya berfikir mengapa saya mendapat penyakit yang tidak dapat diubati ini sementara masih muda. Pada masa itu, pendeta gereja tempatan mendapat tahu tentang perkara ini, maka dia pun datang menasihati saya. Dia menggunakan buku Roma fasal 8 ayat 28 yang berbunyi “Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia, yaitu bagi mereka yang terpanggil sesuai dengan rencana Allah” untuk menasihati saya. Hati saya asyik merenung nas kitab ini. Saya percaya bahawa Tuhan membiarkan saya mengalami kesukaran ini adalah bertujuan supaya ahli keluarga saya berpeluang untuk percaya kepada Tuhan. Bukankah ibu saya telah menerima Roh Kudus sekarang? Ini membuktikan tanggapan saya itu adalah benar.
Pada 9 September 2010, saya telah dimasukkan ke dalam hospital untuk menjalani pembedahan kali yang kedua. Pembedahan ini adalah bertujuan membuang tiroid. Saya memohon agar Tuhan dapat mengelakkan saya daripada pembedahan ini. Namun sesudah itu, saya berfikir, biarlah kehendak Tuhan itu digenapi. Pembedahan ini sangat berjaya. Namun, ia meninggalkan kesan sampingan. Kesan pertama ialah tekanan darah saya menjadi tinggi tanpa sebab. Saya perlu tinggal di wad rawatan khas supaya keadaan saya dapat dipantau. Selepas beberapa hari, luka saya pula dijangkiti kuman. Saya perlu menggunakan ubat antibiotik. Kemudian, tekak saya hilang suara dan saya tidak dapat bercakap. Saya perlu menggunakan sebuah mesin untuk menyingkirkan nanah di dalam badan saya. Saya juga terpaksa tinggal di dalam hospital selama dua minggu kerana luka saya yang belum sembuh.

​Apabila luka saya pulih, doktor mendapati bahawa hidung saya tumbuh dua tumor kecil. Maka, doktor itu mengambil tisu-tisu untuk diperiksa. Syukur kepada Tuhan kerana ia bukan tisu barah yang merebak. Ia cuma tumor yang tidak merbahaya. Oleh itu, doktor membuat keputusan untuk membuangkannya. Pada malam itu, luka saya tidak berhenti berdarah. Dengan itu, saya perlu mendapatkan rawatan yang lebih teliti dan mendalam lagi. Pada November, akhir tahun 2010, saya telah keluar dari hospital.

​Syukur kepada Tuhan! Dalam proses menerima rawatan, hati saya berasa damai dan tenang kerana Tuhan menyertai saya. Kadang kala, saya terfikir mungkin saya tidak dapat terlepas daripada kesusahan ini namun saya berfikir apakah saya dapat berjumpa dengan Tuhan dengan hati yang tenang? Semasa hati saya berasa pilu, Tuhan juga menasihati dan mendorong saya dengan perantara saudara dan saudari. Terdapat nas kitab suci yang mencatatkan ”Buluh yang patah terkulai tidak akan diputuskannya, dan sumbu yang pudar nyalanya tidak akan dipadamkannya, tetapi dengan setia ia akan menyatakan hukum.” (Yes 42:3). Syukur kepada Tuhan, saya mendapat dorongan daripada-Nya semasa dalam kesusahan.

Jalan Tuhan Melebihi Manusia

​Sepanjang waktu saya sakit, ibu saya telah menemani saya untuk melaluinya. Pada waktu saya tidak perlu tinggal di dalam wad hospital, saya akan mengambil kesempatan untuk menghadiri kebaktian bersama dengan ibu. Pada mulanya, ibu saya tidak menghirau tentang kepercayaan saya, namun selepas mendapat tahu bahawa saya menghidapi penyakit, dia mula menyembah Tuhan dengan hati yang saleh. Ibu saya berharap agar Tuhan dapat menolong saya. Dia pun meminta saya mengajarnya cara untuk berdoa supaya Tuhan dapat mengubati penyakit saya.

​Apabila dia berasa panik dan tidak mendapat sebarang bantuan, dia akan berlutut untuk berdoa. Syukur kepada Tuhan, setiap kali selepas dia berdoa, hatinya mendapat kelegaan daripada Tuhan. Hatinya menjadi lebih tenang. Dalam hal ini, dia juga dapat mengalami penyertaan Tuhan. Selepas itu, dia juga menerima Roh Kudus yang berharga. Kasih Tuhan telah menggerakkan hatinya. Pada hujung bulan November 2010, ibu saya telah dibaptis ke dalam nama Tuhan.

​Pada awal tahun 2011, saya mula kembali ke sekolah. Rakan sekolah memberitahu saya bahawa sebenarnya dia telah nampak ada sesuatu yang timbul di bahagian leher saya setahun yang lepas. Saya bertanya kepadanya mengapa tidak memberitahu saya dari awal lagi. Syukur kepada Tuhan, pada waktu itu saya masih belum percaya kepada Tuhan dan mungkin pada masa itu masih awal bagi saya untuk mengetahuinya. Pada masa itu, mungkin saya masih belum dapat menerima tamparan yang sebegini. Saya percaya semuanya ini adalah aturan Tuhan yang indah.

​Pada Julai 2011, saya kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan seluruh badan. Laporan yang dikeluarkan menyatakan bahawa semua sel barah yang ada dalam tubuh saya telah dihapuskan. Saya hanya perlu membuat pemeriksaan badan secara tetap dan mengambil ubat. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memimpin setiap langkah kaki kami. Pertama, saya mendapat tahu bahawa Tuhan sememangnya adalah Tuhan yang Mahakuasa. Kedua, saya dapat mempelajari bagaimana untuk menanti Tuhan sewaktu dalam penderitaan dan kesakitan. Ketiga, semasa dalam proses mengubati penyakit saya itu, Tuhan meringankan penderitaan saya supaya saya dapat menanggung segala penderitaan daripada pembedahan. Keempat, Tuhan membolehkan saya mengetahui apakah jenis ubat antibiotik yang saya alah supaya saya tidak akan tersalah mengambil ubat semasa dalam kecemasan.

Kesimpulannya, semasa saya merenung kembali semua pengalaman saya itu, saya bersyukur kepada Tuhan dengan sedalam-dalamnya. Ia juga membolehkan saya mengalami ”Sebab rancangan-Ku bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalan-Ku, demikianlah firman TUHAN.” (Yes 55:8-9) Betapa indahnya jalan Tuhan, jalan-Nya tidak dapat dijangka manusia. Walaupun secara permukaannya kelihatan seperti yang ternyata dalam kidung rohani bilangan 164, “Walau lalui jalan bahaya, penuh dengan semak duri, Roh Kudus selalu jaga, tetap sejahteralah” Kiranya segala kemuliaan dan kesyukuran diberikan kepada nama Tuhan Yesus Kristus.