Views: 130
Sdri. Wong Siew Ha
Dalam nama Tuhan Yesus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Wong Siew Ha, berasal dari gereja Sandakan.
Saya seorang yang sangat takut akan kesakitan. Saya juga sangat takut untuk pergi ke hospital. Saya berasa suasana di hospital amat menakutkan. Namun, disebabkan hamil dan bersalin, perkara yang ditakuti ini tidak dapat saya elakkan.
Saya melalui kehidupan kira-kira 90% daripada hari-hari dalam bulan Oktober di hospital. Semasa pembedahan bersalin, saya tinggal di dalam hospital selama 3 hari. Selepas itu, saya berasa gembira kerana boleh pulang ke rumah. Namun tanpa disangka-sangka, anak saya terpaksa ditahan di dalam hospital selama 6 hari kerana kulitnya terlalu kuning. Doktor bimbang dia diserang penyakit hempedu kuning lalu memasukkannya ke dalam Bilik Pesakit Bayi. Walaupun saya belum genap sebulan selepas bersalin dan luka saya masih sakit, saya terpaksa pergi ke hospital setiap hari untuk menjaga anak. Enam hari tersebut memang susah untuk dilalui. Anak yang begitu kecil terpaksa menanggung kesakitan suntikan. Dia terpaksa disuntik untuk diambil darahnya sebanyak 3 kali sehari. Setiap kali saya melihat jururawat mengambil darah daripada anak, saya akan berasa sakit hati! Saya melalui beberapa hari tersebut dengan emosional. Pemikiran yang negatif muncul dalam otak saya! Saya asyik berdoa untuk memohon Tuhan menyembuh dan menjaga anak saya. Walaupun saya berasa letih untuk berulang-alik ke hospital dan rumah, saya terpaksa kuatkan semangat dan bertahan sahaja.
Akhirnya, Tuhan mendengar doa saya. Peratus kekuningan pada kulit anak saya semakin berkurang. Kadang-kala, walaupun meningkat tetapi masih pada tahap yang stabil. Syukur kepada Tuhan kerana menjaga anak saya.
Anak sembuh dan pulang ke rumah tetapi saya terpaksa masuk ke dalam hospital sekali lagi kerana luka pembedahan saya berdarah. Ini mungkin disebabkan saya terlalu sibuk untuk menjaga anak lalu melalaikan kesihatan diri sendiri. Doktor berkata bahawa jahitan pada luka saya terkoyak dan bernanah. Oleh itu, pada hari ke-9 selepas bersalin, saya ditahan di hospital sekali lagi. Terdapat seorang wanita di sebelah katil saya juga mengalami keadaan yang sama. Dia dimasukkan ke dalam hospital beberapa hari lebih awal daripada saya. Dia memberitahu saya bahawa proses mencuci luka adalah sangat sakit, ianya perlu dicuci sebanyak 3 kali sehari sebelum dijahit untuk membunuh kuman sehingga tidak bernanah lagi. Selepas saya mendengarnya, saya berasa sangat takut. Luka dalaman saya belum sembuh tetapi terluka lagi pada bahagian luar. Menyapu ubat pada luka yang biasa sudahpun begitu sakit, apatah lagi luka saya yang besar ini sekarang? Semasa saya terfikir akan anak saya di rumah, tetapi saya pula berada di hospital dan tidak dapat menjaganya, saya berasa sangat sedih sehingga teringin mati! Sejak hari bersalin sehingga kini, saya bagaikan sudah terjatuh ditimpa tangga pula, masalah timbul tanpa berhenti-henti. Ya Tuhan, mampukah saya bertahan lagi? Hati saya asyik berdoa untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan kepada saya untuk menghadapi semua kesusahan. Setiap kali selepas berdoa, saya berasa terdapat keberanian disuntik ke dalam tubuh saya. Sememangnya, ini adalah kekuatan yang diberikan Tuhan kepada saya.
Pada hari pertama di dalam hospital, semasa saya melihat wanita di sebelah katil saya itu pergi mencuci lukanya, saya berasa dia seperti seorang berdosa yang sedang berjalan ke tempat penghukuman. Proses pembersihan luka yang sakit adalah saat-saat seperti dihukum! Saya berbaring di atas katil sambil berdoa untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan supaya saya sanggup bertahan dalam proses pembersihan luka. Selepas luka wanita itu dicuci, saya melihat mukanya pucat dan air mukanya menunjukkan kesakitan. Hati saya berfikir: Orang yang “dihukum” seterusnya adalah saya. Namun, setelah saya menunggu sekian lama, jururawat masih tidak memanggil saya untuk mencuci luka. Adakah dia terlupa? Akhirnya, saya menunggu sampai tengah malam dan tidak dapat masuk tidur. Luka wanita tersebut telah dicuci sebanyak 2 kali tetapi masih belum sampai giliran saya. Saya berasa gembira tetapi takut. Apakah luka saya tidak perlu dicuci? Namun, jika jururawat terlupa, bukankah luka saya akan menjadi semakin susah untuk sembuh? Selepas hati saya bergelut suatu jangka masa, saya memberanikan diri untuk bertanya kepada jururawat. Jururawat menjawab bahawa dia akan menyemak dahulu. Kemudian, dia berbincang dengan jururawat yang lain dan saya terus menunggu. Lama-kelamaan, saya tertidur.
Keesokan hari, semasa doktor meronda bilik, saya bertanya kepadanya: “Berapa kalikah luka saya perlu dicuci dan berapa hari lagi saya perlu ditahan di hospital?” Doktor menjawab: “Sepatutnya, luka kamu perlu dicuci sebanyak 2 atau 3 kali sehari dan kamu perlu ditahan di dalam hospital kira-kira 5 atau 6 hari. ” Aduhai, saya berfikir bahawa luka saya belum dicuci kelmarin, bukankah saya harus ditahan di hospital lama lagi? Kemudian, saya menangis kerana berasa bimbang, takut dan rindu akan anak. Selepas doktor beredar, jururawat memanggil saya untuk mencuci luka. Saya berasa sangat takut sehingga memegang tangan jururawat dengan kuat. Proses pembersihan luka memang sakit. Namun ajaib sekali, saya boleh mengharunginya. Ini disebabkan saya berdoa kepada Tuhan tanpa berhenti-henti. Saya menghitung masanya dan ia hanya mengambil masa selama 7 hingga 8 minit, tetapi wanita itu mengambil masa selama 15 minit. Doktor berkata bahawa luka saya amat bersih dan boleh dijahit semula. Selepas mendengarnya, hati saya amat bersyukur kepada Tuhan.
Pada asalnya, saya terpaksa melalui proses kesakitan secara berterusan. Namun tanpa disangka-sangka, selepas dicuci satu kali, jururawat tidak lagi memanggil saya untuk mencuci luka. Sebaliknya, luka wanita di sebelah katil saya telah dicuci sebanyak 4 hari secara berterusan dan dicuci 3 kali sehari, tetapi lukanya masih tidak boleh dijahit. Pada hari ke-3 semasa doktor meronda bilik, doktor memberitahu saya bahawa luka saya hanya perlu dicuci sekali lagi sebelum dijahit. Saya berasa gembira. Saya sembuh dengan cepat disebabkan saya memohon Tuhan menyembuhkan saya secepat mungkin. Semasa saya tidur semalam, saya merasa luka saya sedang sembuh. Sesungguhnya Tuhan Yesus mendengar doa saya. Syukur kepada Tuhan!
Pada awal pagi hari ke-4, jururawat meminta saya memakai jubah putih pembedahan. Emosi saya tidak tenang. Saya berasa gembira, takut dan mengharapkan sesuatu. Kira-kira pada pukul 11 pagi, saya diusung ke dalam bilik pembedahan. Doktor berkata bahawa ini cuma suatu pembedahan yang kecil. Oleh itu, hanya sebahagian tubuh saya dibiuskan. Dalam keseluruhan proses pembedahan, saya mesih terjaga. Saya dapat merasa jarum dicucuk ke dalam kulit saya satu demi satu. Saya berasa cemas dan sejuk. Saya asyik berdoa dalam hati untuk memohon Tuhan memberikan kekuatan kepada saya.
Syukur kepada Tuhan, pembedahan dijalankan dengan lancar. Saya keluar dari hospital pada keesokan hari. Kini, saya dan anak berada dalam keadaan yang sihat.
Syukur atas penjagaan Tuhan selama ini yang membolehkan saya mengharungi kesusahan sekali demi sekali. Semasa saya mengimbas kembali keadaan pada masa itu, memang menakutkan! Rupa-rupanya, melahirkan seorang anak bukanlah sesuatu perkara yang mudah! Selain menanggung kesakitan, ibu juga menghadapi ketakutan dan bimbang akan anak serta diri sendiri. Syukur kepada pimpinan Tuhan, kasih karunia Tuhan memang cukup bagi saya! Syukur kepada Tuhan!
Catatan: Saya yang tidak mahir mengarang ini berharap dapat meluahkan kesyukuran kepada Tuhan melalui karya ini. Saya juga ingin menggenggam peluang ini untuk berterima kasih kepada para seiman yang prihatin akan saya dan mendoakan saya.
