Views: 162

Oleh: Pdt. Lemuel Leong

Intro

Kitab Injil Yohanes 13:1-30 mencatatkan perihal Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya semasa perjamuan paskah; berabad-abad lamanya perenggan ini ditafsir sebagai satu sakramen yang sama pentingnya dengan Pembaptisan air dan Perjamuan Kudus[1].  Boismard selanjutnya menterjemahkan peristiwa tersebut dengan memisahkannya kepada dua aspek yakni ayat 1-2, 4-5, 12-15, 17-19 sebagai huraian moral pembasuhan kaki; manakala di ayat 3, 4-5, 6-10, 21-30 beliau telah menemui nilai sakramen dalam pembasuhan kaki.

Sejak zaman bapa gereja awal (early church fathers period) terdapat tiga jenis pembasuhan kaki yang telah diamalkan di kalangan agama Kristian iaitu:

1.  Pembasuhan kaki dilaksanakan sekaligus sebaik sahaja dibaptis.

Jenis proto pembasuhan kaki ini telah direkodkan secara umum dari zaman dahulu sehingga zaman pertengahan. Merujuk kepada pengkajian E. Peterson[2], murid-murid Yesus hanya dapat memahami hubungan pembasuhan kaki dengan pembaptisan apabila Roh Kudus dicurahkan pada Hari Pentakosta.

Menurut Ambrosius (333-397 Masihi),  ketua bishop di Milan; guru kepada Augustinus de Hippo, sakramen pembasuhan kaki yang diadakan sekaligus selepas pembaptisan air sebenarnya dibawa oleh rasul-rasul dari Yerusalem ke Antiokhia dan seterusnya disebarkan ke Milan dari Antiokhia, Meskipun menerima bantahan dan tentangan hebat daripada banyak pihak, Ambrosius tetap bersungguh-sungguh mempertahankan sakramen ini dalam karya teologinya.  Dia berpendapat bahawa hanya menerusi ilham Roh Kudus sahaja barulah dapat memahami rahsia pembasuhan kaki yang bersifatkan sakramen;  sedangkan Rasul Petrus yang telah tiga tahun mengikuti Tuhan Yesus pun gagal memahami misteri ini [3](Yoh13:6-7).  Dengan merujuk kepada pelbagai contoh, Ambrosius memastikan bahawa pembasuhan kaki yang diamalkan di Milan merupakan kebenaran yang ortodoks;  dia juga medakwa bahawa dioces[4] Roma yang memansuhkan pembasuhan kaki merupakan akibat daripada merosotnya firman kebenaran yang tulen[5].  Di samping itu juga membahaskan pandangan yang beranggapan bahawa pembasuhan kaki hanyalah mengandungi nilai moral semata-mata seperti saling mengasihi, kekudusan, melayani, rendah hati dan saling mengampuni sebagai ajaran menyeleweng[6].

Menurut Augustustinus pula, setelah menyaksikan pelaksanaan pembasuhan kaki di Milan,  dia mendapati ada orang yang tidak rela dibasuh kaki pada hari mereka dibaptis dengan alasan agar tidak mengurangkan kesan baptisan; lebih malang lagi, terdapat pula orang yang sanggup memansuhkan pembasuhan kaki sebagai sakramen semata-mata takut menyalahgunakannya [7].

Jenis proto pembasuhan kaki yang bersifat sakramen ini kemudiannya telah dimansuhkan pada tahun 306 Masihi, dalam sidang gereja di Spanyol. Di Perancis pembasuhan kaki dihentikan pada abad ke-8 hingga ke-9 manakala di Ireland, Wales dan Scotland hentikan pada abad ke-12 [8].  Bagi diocese Milan yang pernah seketika bermati-matian mempertahankan pembasuhan kaki ortodoks ini akhirnya juga lenyap dalam sejarah pada abad ke-14.  Namun yang sungguh menghairankan ialah sedang pembasuhan kaki yang bersifat sakramen ini dianggap ”telah lenyap” dalam sejarah agama Kristian, Gereja Yesus Benar telah muncul pada tahun 1917 di Beijing, China; secara unik dan tunggal telah memulihkan Sakramen Pembasuhan Kaki  yang terpendam berabad-abad lamanya setelah menerima ilham Roh Kudus.

2. Satu amalan pelayanan dilaksanakan setiap Khamis sebelum hari Easter (Maundy Thursday).

Jenis pembasuhan kaki ini diperkenalkan oleh kebiaraan.  Setiap hari Khamis sebelum Easter (hari kebangkitan), ketua bishop diwajibkan sekurang-kurangnya membasuh kaki 12 orang miskin dalam daerah mereka; sehingga pada zaman pertengahan di Vatican, kawasan Pope juga mengamalkannya. Malah sejak tahun 1955, setiap gereja tempatan Roman Catholic juga diberi mandat melaksanakan pembasuhan kaki pada hari Khamis sebelum Easter sebagai satu pelayanan.

3.  Satu amalan yang diadakan sebelum Perjamuan Kudus.

Pada zaman pertengahan, aliran The Waldenses akan membasuh kaki sebelum mengambil bahagian dalam Sakramen Perjamuan Kudus, lazimnya akan dilaksanakan oleh ketua biara atau penatua.  Sejak zaman reformasi agama sebahagian protestant yang salih juga turut melaksanakan pembasuhan kaki sebelum menerima perjamuan kudus.  Jenis pembasuhan kaki ini kemudiannya diturun-temurunkan sehingga hari ini, dan masih ada agama Kristian yang saling membasuh kaki sebelum menerima Sakramen Perjamuan Kudus; sebagai contoh Dunkers (German Baptists), General Baptists, The Church of God, Brethren-In-Christ-Church, The United Missionary Church, The Seventh Day Adventist dan sebagainya.  Mereka setia meneladani semangat pelayanan Tuhan Yesus dalam Yohanes 13:14.

Pembasuhan Kaki yang tepat dan lengkap

Walaupun tidak sedikit agama Kristian melaksanakan pembasuhan kaki pada hari ini, namun hanya Gereja Yesus Benar sahaja yang menganggapnya sebagai satu sakramen, dan juga pelayanan.  Berdasarkan  rekod yang berkaitan dalam Yohanes fasal 13, ia dapat diperhatikan seperti berikut:

I.  Rahsia dan kesan pembasuhan kaki sebagai sakramen.

Motif Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya  ialah demi mengasihi mereka sampai kepada kesudahannya (1).  Sasaran kasih Tuhan Yesus ialah murid-murid-Nya, Idios (Yunani), lebih tepat diterjemahkan sebagai orang  milik-Nya, menunjukkan sasaran pembasuhan oleh Tuhan Yesus bukanlah terbuka secara umum kepada sesiapapun, melainkan hanya untuk mereka yang telah dibaptis untuk menjadi murid-murid-Nya atau orang milik-Nya sahaja (10).

Cara Tuhan Yesus memperlihatkan kasih abadi ini adalah melalui pembasuhan kaki. Apabila Petrus dengan sungguh-sungguh menolak kakinya dibasuh; Tuhan Yesus dengan tegas berkata: ”Jikalau Aku tidak membasuh engkau, engkau tidak mendapat bahagian dalam Aku”(7-8).  Pada saat itu Tuhan Yesus telah mengilhamkan implikasi dan tujuan utama pembasuhan kaki adalah demi mendapat bahagian dalam Tuhan.  Perkataan ’bahagian’ ini ’meros’ (Yunani),  merupakan istilah yang sama dengan Wahyu 22:19, yakni orang yang mengurangkan perkataan dalam kitab nubuat akan diambil bahagiannya dari pohon kehidupan dan dari kota kudus. Petrus, seorang rasul yang cukup senior dan rapat dengan Tuhan Yesus pun boleh kehilangan bahagiannya di dalam Tuhan jika kakinya tidak dibasuh; apatah lagi kita, Kristian hari ini boleh dikecualikan daripada pembasuhan kaki Tuhan Yesus!? Kesan sakramen ini diperoleh dengan serta-merta apabila membasuh kaki sekaligus dalam nama Tuhan Yesus Kristus.

II.  Aspek moral dalam pembasuhan kaki sebagai pelayanan.

Selepas Tuhan Yesus mengambil rupa sebagai hamba dan membasuh kaki murid-murid-Nya, Dia kembali ke tempat duduk-Nya dengan identiti sebagai Rabi atau guru dan mengatakan agar murid-murid-Nya wajib meneladaninya dengan saling membasuh kaki (15-17).  Ini menunjukkan adanya hubungan interaksi antara murid-murid dan Tuhan Yesus. Hakikatnya teladan yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus ialah sentiasa mengasihi murid-murid-Nya (1), sentiasa rendah hati melayani (Mk10:45), sentiasa kudus (1 Pet 2:22; 1 Yoh 3:5), dan sentiasa mengampuni (Mt 18:21-22). Kenyataan ini boleh disokong melalui peristiwa Tuhan Yesus menghadiri perjamuan di rumah Simon orang Farisi, Dia telah memberi komen tentang pembasuhan kaki sebagai satu kasih dalam penyambutan tetamu sebagai suatu yang berpatutan (Luk 7:44), Rasul Paulus juga merujuk kepada janda yang membasuh kaki saudara-saudara seiman terbukti telah melakukan pekerjaan yang baik (1Tim 5:10).

Teladan oleh Tuhan Yesus telah menentukan corak kehidupan murid-murid-Nya yang sangat istimewa dan berbeza daripada dunia.  Ia perlulah sentiasa berterusan dan konsisten, bukan setakat diamalkan apabila menjelangnya Easter atau sebelum menerima Sakramen Perjamuan Kudus; melainkan ia merupakan akhlak-akhlak yang dimestikan dan  tanda identiti sebagai murid-murid Tuhan selagi hidup di dunia.

Kesimpulan

Sungguh indah dan ajaibnya firman Tuhan, khususnya firman tentang pembasuhan kaki itu merupakan pedang Roh yang bermata dua (Efe 6:17; Ibr 4:12), suatu sakramen yang menjaminkan bahagian murid-murid Tuhan di dalam-Nya. Teladan Tuhan Yesus yang menunjukkan semangat pembasuhan kaki seperti kasih, kekudusan, pelayanan yang rendah hati dan saling mengampuni turut menjadi kewajipan dalam sepanjang jalan menuju ke syurga! Segala kemuliaan hanya untuk Tuhan Yesus sampai selama-lamanya.

Bibliografi

Thesis Pengkajian Kebenaran, HH Koh, 2005.
Gospel of John, George R.  Beasley-Murray, World Biblical Commentary.
Lima dogma, Hsieh Hsun Tao.
History Of The Christian Church, Williston Walker, 1953.
Jewish Cultural Tradition and the Bible, Andrew Chiu, Th. D, 1999.


[1] George R.  Beasley-Murray

[2] Fruehkirehe, Judentum und Gnosis, 1959, S224-234

[3] Myst, 6, 31 (CSEL 73,102)

[4] Kawasan uskup

[5] Sacr. 3.5 (CSEL 73, 40)

[6] Sacr 3.1.5 (CSEL 73, 40).

[7] Ep.55,3D (CSEL 34. 2, 207F)

[8] Das Konzil Von

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *