Gereja Tamparuli
| |

Gereja Tamparuli

GEREJA TAMPARULI

Tamparuli adalah sebuah pekan kecil kira-kira 35km dari Ibu Negeri, Kota Kinabalu. Sebilangan besar penduduk terdiri dari kaum cina dan kadazan. Kaum Cina adalah peniaga dan pemilik gerai manakala Kadazan adalah petani dan pekebun. Sebilangan besar jemaat kita bekerja di Jabatan-jabatan Kerajaan, swasta atau sebagai buruh di Kota Kinabalu.

Sebelum Perang Dunia Kedua anggota-anggota di Gereja Tamparuli berbakti di Gereja Tuaran. Semasa pendudukan Jepun, anggota-anggota tidak dapat memegang Hari Sabat di Gereja Tuaran. Oleh itu, mereka terpaksa mengadakan kebaktian Sabat di rumah Sdra Chong Tshun Yit di Kg Mangkaladoi sejak 28 Disember 1940. Di masa itu kerja suci diuruskan oleh Dn Peter Kwong dan Dn Titus Yap dari Labuan.

Pada satu petang hari Jumaat, ketika 18 pemercaya sedang mengadakan kebaktian keluarga, semasa berdoa, tiba-tiba tentera Jepun datang dan menangkap 17 pemercaya kecuali Sdra Chong Tshun Yit kerana ia lanjut umur. Kesemua 17 pemercaya bersama penduduk kampung yang lain dihantar ke penjara di Tuaran. Mereka diikat, dipukul dan menunggu penghakiman pada hari keesokan kerana telah lewat malam. Ke-17 pemercaya berdoa bersama-sama sehati sejiwa dalam penjara, dan Sdra Chong juga mendoakan bagi mereka atas sebuah gunung, letaknya di hadapan bangunan gereja sekarang. Hari keesokan setelah penghakiman, syukur kepada Tuhan, semua 17 pemercaya telah dibebaskan dengan selamat. Kemudian, mereka lebih tekun dalam iman mereka.

Pada 28 Disember 1940, rumah doa pertama ditubuhkan di rumah Sdra Chong Tshun Yit di Menggatal. Kemudian, pada tahun 1942 rumah doa telah ditukar ke rumah Dn Peter Kwong yang letaknya lebih kurang 0.4km [ ½ batu ] dari pekan. Pada masa itu hal ehwal gereja adalah di bawah jagaan Dn Peter Kwong, dibantu oleh Sdra Yong Liam [ Yong Tze Liam ], Sdra Chong Tet Kong, Sdra Chong Tshun Yit dan Sdra Tham Sen Yu.

Pada tahun 1946, gereja bersimen/papan dibina di tapak seluas 0.2 hektar [ ½ ekar ] tanah yang didermakan oleh Dn Kwong. Pada pertengahan 1946 Dn Kwong meninggal dunia. Pada tahun 1950 Sdra Yong Tze Liam dilantik sebagai Dn Titus Yong dan menjadi Penguasa gereja. Pada 3-5 Julai 1948 Kebaktian Kebangunan Rohani yang pertama diadakan.

Pada awal tahun 1960an disebabkan bilangan pemercaya yang meningkat gereja terpaksa diubahsuai sebanyak lima kali bagi menampung bilangan anggota menghadiri kebaktian Sabat. Akibatnya, terdapat satu rancangan untuk membina dewan gereja. Berikutan dengan itu, pada awal 1962, dewan gereja tetap yang boleh menampung 200 orang telah siap dibina. Gereja ini telah ditahbiskan kepada Tuhan pada 13 April 1962.

Pada 1965, Ibu Gereja Taiwan telah menghantar Dn John Yang dan Dn Lin Fong Shen ke Sabah untuk membantu kerja suci. Mereka menggalak dan memberi panduan kepada jemaat serta membantu mereka menubuhkan Kelas Pendidikan Agama. Bilik-bilik kelas juga didirikan pada tahun yang sama. Pada awal 1966 kelas belia dan kanak-kanak dimulakan.

Pada awal 1978 kerajaan mula membina lebuhraya dari Tamparuli ke Ranau. Lebuhraya baru ini adalah lebih kurang 30.5m [ 100 kaki ] dari gereja. Oelh itu gereja boleh dihubungi melalui lebuhraya. Terdahulu dari ini, para pemercaya terpaksa berjalan sejauh 61m [ 200 kaki ] melalui sawah padi yang dimiliki oleh orang lain dan gereja terpaksa membayar bulanan untuk melalui sawah tersebut.

Pada 1980 disebabkan bilangan kanak-kanak yang meningkat dalam kelas Pendidikan Agama, adalah diputuskan bahawa bilik darjah yang sedang digunakan dirobohkan dan membina bilik darjah dua tingkat di tapak yang sama. Kini terdapat 5 kelas Cina dan 2 Kelas Bumiputera Pendidikan Agama dengan 94 orang murid dan 24 orang guru. Penguasa ialah Sdra Wong Yit En dan dibantu oleh Sdra Chin Soo Pin.

Mengikut buku daftar terdapat 300 orang ahli tetapi sebilangan besar telah berpindah ke tempat lain. Akibatnya jumlah pemercaya yang menghadiri Kebaktian Sabat hanyalah 100 orang. Terdapat 4 orang diakon.

Jawatankuasa gereja adalah seperti berikut:-

Penguasa                                  :           Titus Yong, Pain Ampai  [ Timbalan ]

Pembantu-pembantu                 :           Chin Soo Pin, Thien Chee Kong

Bendahari                                 :           Liew Kiang Ming

Setiausaha                                :           Chong Kiang Chung, Yong Tze Lan [ Pembantu ]

Selain daripada kebaktian Sabat kebaktian malam dan latihan koir juga diadakan, pada hari-hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Jumaat.

 

Gereja Sugiang
| |

Gereja Sugiang

GEREJA SUGIANG

Sugiang ialah salah satu kampung dalam kawasan pedalaman di tenom. Orang yang pertama sekali percaya ialah Sdra Ampakat @ Lindu Surutan yang telah menerima baptisannya di Gereja Marais pada 10 Februari 1968. Beliau telah memperkenalkan Injil Kebenaran kepada ibu bapa dan keluarganya. Namun tidak ada orang yang menerima baptisan.

Pada 2 September 1969 sekumpulan lima orang yang terdiri dari Dn Samuel Chin, Sdra Sahoh Ahar, Dn Eparas, Sdra Ganenang bin Tanduoi dan Dn Thomas Angek telah membuat lawatan ke Kg Sugiang. Dalam lawatan ini seramai 25 orang telah dibaptiskan. Rumah Sdra Surutan bin Gimban telah digunakan sebagai rumah doa manakala Sdra Bolos bin Bungkalat telah dilantik sebagai pemimpinnya.

Bangunan gereja pertama yang berukuran 5.5m X 3.7m [18 kaki X 12 kaki ] telah didirikan pada bulan April 1971. Tetapi sayang sekali kebaktian telah terganggu dan tergendala selama 2 hingga 3 tahun setelah Ketua Gerejanya Sdra Bolos meninggal dunia.

Dalam tahun 1975 kebaktian diadakan semula apabila Sdra Surutan dilantik sebagai ketua gereja. Beliau hanya memegang jawatan ini selama lebih kurang 3 bulan, kemudiandiganti oleh Sdra Ampakat sehingga hujung tahun 1979. Dalam masa ini sangat sedih sekali kerana bangunan gereja telah dimusnahkan oleh air bah dan tempat kebaktian terpaksa ditukarkan ke rumah Sdra Rasamon bin Anganduk.

Dengan kurnia Tuhan, sebuah gereja baru yang berukuran 5.5m X 3.7m [ 18 kaki X 12 kaki ] telah didirikan pada penghujung tahun 1982 dan ketuanya ialah Sdra Sani bin Surutan. Pada hujung tahun 1984 sebuah gereja baru berukuran 11m X 7.3m [ 36 kaki X 24 kaki ] telah dibangunkan dan ketua gereja ialah Sdra Songgong bin Maransan. Gereja ini telah ditahbiskan kepada Tuhan pada Oktober 1984.

Pada masa sekarang ada 149 pemercaya dari 16 keluarga. Jawatankuasa Gereja terdiri daripada yang berikut:-

Pengerusi                      :           Songgong Marasan, Samuel Surutan [ Timbalan ]

Setiausaha                    :           Andikau Bali, Ambaas Ribeh [ Pembantu ]

Bendahari                     :           Ampakat Surutan

Ahli-ahli                        :           Malindok Onsogoh, Tausul Matawang, Widi Malindok, Ribih Jawatankuasa                              Antulus

Gereja Somodon
| |

Gereja Somodon

GEREJA SOMODON

Jemaat Gereja Somodon dan jemaat di Kampung Madang mempunyai kaitan yang rapat.

Pada tahun 1974 Sdra Guntarak bin Lombut dari kampung Madang telah memohon kepada Dn Yakub Agan dari Gereja Wangkod I untuk membina sebuah rumah doa di Kg Madang. Ini disebabkan jaraknya dari Madang ke Kg Wangkod terlalu jauh bagi jemaat dan jika cuaca tidak baik mereka tidak dapat pergi sama sekali.

Atas permintaan Sdra Guntarak Dn Yakud bersetuju. Akibatnya Sdra Santul bin Kodou dilantik untuk mengadakan kebaktian di rumah Sdra Guntarak yang kemudiannya menjadi rumah doa. Tidak lama kemudian rumah doa ditukarkan ke rumah Sdra Buan bin Bois yang kosong dan sesuai untuk digunakan.

Diantara 1974-79 mereka ingin mendirikan sebuah gereja tetapi gagal kerana ketua mereka Sdra Guntarak dan juga beberapa ahli yang lain bertukar iman. Akhirnya hanya sedikit yang masih aktif. Diantara 1979-80 anggota-anggota yang tinggal di Kg Madang kembali ke Gereja Wangkod I untuk menghadiri kebaktian Sabat.

Syukur kepada Tuhan kerana pada 9 Mei 1981 semua anggota dari Kg Madang dan Somodon mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pembinaan sebuah gereja di Somodon. Dn Benjamin Sinduman dari Gereja Wangkod dijemput untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut. Adalah dipersetujui bahawa rumah Sdra Bangilan bin Panganting digunakan sebagai rumah doa. Para pemercaya dari Kg Madang dan Somodonakan berhimpun di rumah Sdra Bangilan.

Pada 16 Mei 1981 kebaktian Sabat yang pertama bermula di rumah Sdra Bangilan, diketuai Pdt Timotius Borubui dan dihadiri oleh lebih kurang 30 orang.

Pada 23 Mei 1981 pembinaan sebuah gereja berukuran 12.2m dengan 7.3m [40 kaki dengan 24 kaki] dengan harga lebih kurang $4,000 bermula. Setiap keluarga memberi derma persepuluhan dan juga tenaga terhadap pembinaan gereja ini. Pada 3 Julai 1982 gereja tersebut telah mula digunakan dan ditahbiskan pada 9 Ogos 1982 sempena Kebaktian Kebangunan Rohani.

Sejak gereja ditubuhkan para belia sangat giat menyertai aktiviti-aktiviti khasnya dalam segi Pendidikan Agama. Sebuah asrama yang dapat memuatkan 45 orang telahpun dibinakan kemudian. Pada masa sekarang ada 116 orang anggota. Ahli-ahli Jawatankuasa adalah seperti berikut:-

Hal Ehwal Agama         :           George Lo, Bangilan Panganting [Timbalan]

Hal Ehwal Am              :           Gindog Buan, Sinton Lunggoi  [ pembantu ]

Bendahari                     :           Sopinah bte Maradan

Setiausaha                    :           Gimolon bin Kandaring

Gereja Sibuga
| |

Gereja Sibuga

GEREJA SIBUGA

Gereja Sandakan sekarang terletak di tanah mendiang Sdra Lee Siak Lin disebabkan tapak yang sesuai bagi sebuah gereja barutiada diperolehi sejak beberapa tahun yang lalu. Syukur kepada Tuhan dalam bulan Ogos 1978, adalah diketahui bahawa terdapat sekeping tanah seluas 0.7 hektar [ 1.75 ekar ] dijual dengan harga yang telah dikurang ke $ 9,000 seekar di Sibuga.

Jawatankuasa Eksekutif dalam beberapa tahun lalu telah memutuskan untuk meneruskan rancangan 3 tahun untuk membina sebuah bangunan gereja baru. Dengan tubuhnya Jawatankuasa Bangunan,  Sdra Yong Yung sebagai Pengerusi dan Dn Andrew Pang sebagai Naib Pengerusi, sejumlah $413,000 telah diderma. Pembinaan Gereja telah bermula pada Disember 1986 dan ianya dijangka akan siap pada pertengahan bulan Oktober 1987. Pentahbisan bangunan gereja baru akan dijadualkan pada 13-15 November 1987 sempena Ulangtahun ke-60 Gereja Kita di Sabah.

Gereja ini berukuran 29m dengan 16.8m [ 95 kaki X 55 kaki ] dan dianggar berharga $380,000. Gereja juga merancang untuk membina asrama dan bilik=bilik kelas untuk pendidikan Agama. Kemudahan ini bertujuan untuk perkembangan Pendidikan Agamanya dan fungsi-fungsi besar agama di hari kemudian. Bangunan ini akan berukuran 37m X 24m [ 120 kaki X 78 kaki ] dan dijangka berharga $150,000.

Syukur kepada Tuhan tujuan kita bagi bangunan gereja baru telah menjadi satu kenyataan dan adalah berharap agar anggota-anggota gereja lain akan berdoa bagi bimbingan Tuhan supaya kita maju dalam kerja suci dan lebih ramai orang yang akan percaya daloam Tuhan.

 

Gereja Sungai Paal
| |

Gereja Sungai Paal

GEREJA SUNGAI PAAL

Sungai Paal terletak di km 16 sebelah selatan Tenom. Pada awal tahun 1955, Dn James Pung dan Sdra Kichik, serta keluarga mereka seramai 18 orang telah meninggalkan Klias dan berpindah ke tanah yang dimiliki oleh Ladang Lagut, satu estet untuk bercucuk tanam. Pada masa itu Dn John Chin dari Lembaga Cawangan dan Dn Timothy Ho dari Beaufort mendengar bahawa di tempat estet itu ada pemercaya-pemercaya, lalu mereka membuat lawatan ke situ dan mendapati bahawa terdapat 20 lebih orang pemercaya. Dengan itu mereka menubuhkan sebuah rumah doa di rumah Dn Pung dan kebaktian Sabat dipimpin olehnya. Pada 1957, keluarga Sdra Fung Min Sang berpindah ke Sungai Paal untuk menanam padi dan jagung.

Pada penghujung 1958, Dn Philip Tyan dihantarkan di Sungai Paal untuk menginjil. Syukur kepada Tuhan, pada 23 Oktober 1958, seorang yang bernama Chong Kai Wee telah percaya kebenaran dan dibaptiskan. Rumah Sdra Chong dijadikan rumah doa. Kebaktian Hari Sabat diadakan disitu. Kerja suci sangat maju.

Pada 5-7 Februari 1960 Kebaktian Kebangunan Rohani pertama telah diadakan. Dengan penyertaan Roh Kudus, bilangan yang dibaptis kian bertambah. Pada masa itu terdapat ruang di rumah Sdra Chong yang tidak mencukupi. Sdra Chew Chen Cho mencadangkan pembinaan sebuah bangunan gereja. Sdra Fung Min Sang dengan murah hati mempersembahkan tanahnya yang seluas 0.2 hektar [ ½ ekar ] untuk tapak bangunan gereja. Sdra Chew dan semua pemercaya bekerjasama mendirikan bangunan gereja.

Syukur kepada Tuhan, bangunan gereja telah siap didirikan dan ditahbiskan pada 7 April 1961, pada satu Kebaktian Kebangunan Rohani diadakan.

Kemudian, Dn James Pung dan keluarganya berpindah ke Tawau dan tiada lagi ketua bagi gereja. Oleh itu pihak Ibu Pejabat telah mengirimkan Dn Mark Chin untuk mengangkat penatua/diakon-diakon/diakones berikut untuk menguruskan gereja: Sdra Chew Chen Cho sebagai Dn Thomas Chew, Sdra Chang Seng Shsu sebagai Dn Thaddaeus Chang; dan Sdra Fung Min Sang sebagai Penatua Zephaniah Fung; Sdri Chin Yun Len sebagai Dns Dorcas Chin. Pada masa ini kerja suci berkembang dengan baiknya, dengan kehadiran banyak mujizat dan tanda ajaib.

Akan tetapi, memandangkan keperluan untuk mencari nafkah hidup, semua diakon meninggalkan Sg Paal seorang demi seorang ke bandar besar. Oleh itu tiada lagi orang menggembalakan gereja lalu gereja menjadi lemah hari demi hari. Dalam keadaan yang demikian, Sdra Chong Yuh Hiong dari Gereja Pahat bersukarela untuk datang membantu kerja suci bagi beberapa tahun.

Dalam 1986, terdapat 30 orang ahli, 2 buah kelas Pendidikan Agama dengan 9 orang murid dan 4 orang guru. Penguasa Pendidikan Agama ialah Sdra Tham Yun Foh.

 

 

 

Jawatankuasa gereja adalah seperti berikut:-

Hal Ehwal Agama         :           Wong Shau Vui, Tham Yun Foh  [ Timbalan ]

Hal Ehwal Am              :           Yong Lan Vui

Bendahari                     :           Lee Sui Choon,Wong Wui Cho [ Pembantu ]

Setiausaha                    :           Wong Yun Cheong

Gereja Sungei Apih
| |

Gereja Sungei Apih

GEREJA SUNGEI APIH

Sungei api adalah sebuah kampung terletak di 14.5km sebelah selatan pekan Tenom, di pedalaman Sabah. Inilah tempat permulaan Injil Benar disebarkan kepada kaum Murut. Sdra Sahoh Ahar ialah orang yang pertama mempercayai Injil Benar ini. Pada suatu hari dalam 1960 Sdra Sigoh pergi ke rumah Sdra Chong Kai Wee, seorang kawan baiknya yang tinggal di Kampung Sg Paal. Pada masa itu rumah Sdra Chong adalah rumah doa. Pada 1960 Dn Philip Tyan dari Sandakan datang mengkhutbahkan Injil. Sungguhpun pada mulanya Sdra Sahoh merupakan penganut Gereja Sidang Injil Borneo namun beliau menerima Kebenaran selepas mendengar saksian yang diberikan oleh Dn Philip Tyan.

Puji Tuhan, sejak pertemuan ini, Sdra Sahoh menjemput Dn Philip Tyan ke kampungnya untuk menyebarkan injil kepada penduduk-penduduk Kampung Sungai Apih. Setelah mendengar saksian Injil Benar dengan kurnia Tuhan lebih kurang 30 orang menerima Sakramen Pembaptisan.

Kemudian, ramai lagi penduduk-penduduk menjadi anggota Gereja Yesus Benar melalui gerekan Roh Kudus. Gereja berkembang maju dengan perlahan. Faktur-faktur yang menyebabkan perkembangan ini ialah kerana: ( 1 ) Sdra Sahoh adalah seorang yang dihormati dan pengaruhnya terhadap jemaat adalah kuat; ( 2 ) Disebabkan banyak tanda mujizat dan ajaib; ( 3 ) Oleh kerana ramai pemercaya dapat menerima Roh  Kudus, oleh itu pengikut-pengikut gereja lain juga datang ke gereja kita.

Gereja Yesus Benar terus berkembang pesat. Menurut banci yang dibuat, hampir semua penduduk di Sungai Apih sekarang adalah anggota-anggota Gereja Yesus Benar. Puji Tuhan!

Tempat kebaktian pertama ialah di rumah Sdra Sahoh yang telah dijadikan sebagai rumah doa dan beliau sendiri telah dipilih sebagai pemimpin gereja. Kerana bertambahnya bilangan pemercaya rumahnya tidak dapat memuatkan jemaat. Oleh itu tempat kebaktian ditukarkan ke rumah Sdra Akal Tapikon yang lebih besar dan sesuai.

Pada 17 April 1961 sebuah gereja berukuran 12.2m X 8.5m [ 40 kaki X 28 kaki ] telah didirikan. Gereja ini digunakan selama 21 tahun sehingga sebuah gereja yang lebih besar dan selesa didirikan. Gereja ini berukuran 15.2m X 9.1m [ 50 kaki X 30 kaki ], beratap zink, berlantai simen dan berdinding papan.

Sejak kematian Sdra Sahoh pada 2 Februari 1970, Sdra Biou Suyan telah mengambilalih tugas memimpin gereja. Organisasi gereja telah disusun semula. Satu Jawatankuasa Eksekutif ditubuhkan dan di samping juga jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang lain. Kelas Pendidikan Agama diadakan dan kumpulan koir telah ditubuhkan.

Sehingga penghujung 1986 bilangan pemercaya berjumlah 363 ahli, 5 Kelas Pendidikan Agama dengan 75 orang kanak-kanak dan 10 orang guru. Penguasanya ialah Sdra Panguot lambang, dibantu oleh Sdra Biou Suyan.

 

 

Ahli-ahli Jawatankuasa gereja terdiri daripada berikut:-

Hal Ehwal Agama         :           Ombow Jallius Suyan, Anduul Ekup  [ Timbalan ]

Hal Ehwal Am              :           Biou Suyan, Tingkorou Palau [ pembantu ]

Bendahari                     :           Panguot Lambang

Setiausaha                    :           Ruben Kumuah, Marom Ensor [ Pembantu ]