Gereja Wangkod
GEREJA WANGKOD
Gereja Wangkod telah ditubuhkan pada tahun 1936. Pada tahun 1935 adalah diketahui bahawa seorang wanita bernama Lumbihan bte Gimpit telah memasuki Gereja Benar di Kampung Wangkod. Sdri Lumbihan terdahulunya adalah seorang kafir yang menyembah berhala dan dipercayai mempunyai kuasa ghaib. Kemudian dia menjadi ahli Gereja Roman Katholik. Apabila Dn John Chin dari Tanjung Tuaran menyaksikan kepadanya Injil Benar dia percaya lalu dibaptiskan. Kemudian Sdri Lumbihan telah menyebarkan Injil dari Kg Wangkod ke Linungkuan, Tinuhan, Puhus, Tamparuli, Rombituon, Madang, Rungus, Topokon, Menguou, Kosusu, Rongalis dan lain-lain.
Dalam pertengahan tahun 1938 Sdra Kadayang Angkal memasuki Gereja Benar dan ramai yang telah mengikutinya, antara lain ialah Sdra Bacheh Lasak [ kini Dn Simon ], setelah dia sembuh dari penyakitnya. Sebelum Bacheh di baptiskan dia sangat menentang Gereja Benar sehingga pada suatu ketika dia cuba menendang emaknya [Sdri Lumbihan] semasa dia berdoa. Syukur kepada Tuhan kerana tendangannya tidak kena pada sasaran bahkan Bacheh sendiri terjatuh lalu pengsan.
Setelah Sdra Bacheh percaya, rumahnya dijadikan rumah doa. Pada 20 Mei 1939 Borubui Agan [ kini Dn Yakub ] juga telah menjadi anggota Gereja Benar. Dari itu kedua-dua mereka menyebarkan injil ke Kg Timbou, Tinuhan dan Puhus.
Pada tahun 1942-45, Perang Dunia Kedua berlaku dan oleh itu kemajuan gereja telah tersekat buat sementara. Pada 1946 selepas peperangan, terdapat satu cadangan untuk membina gereja. Pada 1947 sebuah gereja berukuran 6.1m X 5.5 m [ 20 kaki X 18 kaki ] telah dibina. Inilah gereja pertama yang dibina di Wangkod. Pada tahun yang sama 3 diakon dilantik iaitu Dn Lumbihan, Diakon Simon dan Diakon Yakub.
Dari 1951-1954 bilangan pemercaya bertambah lebih banyak sehingga sebuah gereja lebih besar perlu dibina. Bangunan gereja kedua berukuran 12.2m X 9.1m [ 40 kaki X 30 kaki] dibina. Pada 1968 bangunan gereja yang ketiga dibina. Pada masa sekarang sebuah gereja baru lagi dibina. Ianya berukuran 18.3m X 12.2m [ 60 kaki X 40 kaki ]. Ia mempunyai bangunan gereja sendiri. Sejk penubuhannya, Gereja Wangkod berkembang dengan maju, ia mempunyai carta organisasi yang baik dan telah menyebarkan injil dengan berkesan melalui usahasama 5 gereja berdekatan. Lebih pentingnya ialah bilangan anggota telah bertambah dari tahun ke setahun, dan kini hampir semua penduduk kampung adalah anggota Gereja Yesus Benar. Syukur kepada Tuhan. Cawangan-cawangan gereja adalah Timbou dan Somodon yang telah ditubuhkan baru-baru ini.
Pada 1986 ada seramai 153 pemercaya dan 2 orang diakon. Selain dari kebaktian Hari Sabat kebaktian malam juga diadakan setiap malam kecuali Hari Isnin. Kelas Pendidikan Agama berjumlah 4 dengan 50 orang kanak-kanak dan 16 orang guru. Penguasanya ialah Sdra Garangon Longkod dibantu oleh Sdra Jausin Kindingan.
Ahli-ahli Jawatankuasa adalah seperti berikut:-
Hal Ehwal Agama : Benjamin Sinduman, Yakub Agan [ Timbalan ]
Hal Ehwal Am : Kindingan Limbun
Bendahari : Ridayah Sambulan, Sigim Pantai [ Pembantu ]
Setiausaha : Jausin Kindingan, Dalus Logidu [ Pembantu ]
