Sdri. Lee See Ryong
Berdoa Di Dalam Roh
Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Lee See Ryong, berasal dari gereja Da Tong, Taiwan. Kini, saya dan suami saya telah berhijrah dan menetap di Kota Kinabalu.
Kami mendapat 3 orang cahaya mata. Anak sulung saya ialah anak perempuan Yuan Jing Yee, anak kedua ialah anak lelaki Yuan Qi Enn, dan anak bongsu ialah anak lelaki Yuan Xiang En. Pada 1 Februari 2008, anak lelaki bongsu saya, Xiang Enn dilahirkan. Syukur kepada Tuhan, selepas genap bulan dia telah dibaptis bersama dengan kakak dan abangnya pada bulan Mac. Segala-galanya adalah kerana belas kasihan daripada Tuhan.
Tuhan Yesus tahu akan segala niat hatiku. Saya tahu bahawa menerima pembaptisan merupakan hal yang amat penting bagi dasar kepercayaan anak-anak saya. Ini kerana suami saya masih belum menjadi pemercaya gereja pada masa itu. Mengimbas kembali, saya telah terlepas 2 kali peluang untuk mendaftarkan pembaptisan bagi Jing Yee dan Qi Enn. Oleh itu, sebelum saya memberitahu suami saya tentang berkat yang dapat diperolehi selepas dibaptis, saya mendoakan perkara ini terlebih dahulu. Saya memohon kepada Tuhan Yesus supaya suami saya dapat menerima kenyataan ini. Pada suatu hari, ketika saya mengungkitkan hal ini kepada suami saya, tanpa disangka-sangka, suami saya berasa tidak perlu begitu cemas. Dia ingin menunggu sehingga anak-anak meningkat dewasa barulah memberi diri mereka dibaptis. Namun, saya sayang akan anak-anak saya. Saya rasa tidak boleh ditangguhkan lagi. Oleh itu, saya berdoa dengan giat, doa saya telah didengari Tuhan, pintu anugerah terbuka. Suami saya bersetuju untuk menandatangani borang permohonan pembaptisan. Selepas mendapat kelulusan daripada pihak gereja, suami saya membawa kami sekeluarga seramai lima orang untuk pergi ke tempat pembaptisan. Hati saya menyanyi korus kidung pujian bilangan 291 secara semula jadi yang berbunyi, “Syukur nugrah-Nya, Syukur nugrah-Nya, kasih Tuhan amatlah besar, syukur nugrah-Nya…” Bagi saya, segala anugerah yang sukar didapati ini hanya dapat digenapi kerana belas kasihan daripada Tuhan. Syukur kepada Tuhan Yesus kerana memenangi peperangan rohani ini bagi saya.
Seperti yang tercatat dalam kitab Efesus fasal 6 ayat 12, ”Karena perjuangan kita bukanlah melawan darah dan daging, tetapi melawan pemerintah-pemerintah, melawan penguasa-penguasa, melawa penghulu-penghulu dunia yang gelap ini, melawan roh-roh jahat di udara. Oleh itu, kita mestilah memohon kepada-Nya dengan meneladani Hana yang berdoa dengan penuh giat serta doa Musa yang penuh dengan iman. Ini adalah kerana kita tidak akan dapat menggenapkan kerja suci rohani jika hanya bergantung pada niat dan tekad kita sendiri. Seperti juga dalam kitab Filipi fasal 4 ayat 6-7 yang berbunyi, ”Janganlah hendaknya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Yesus Kristus.”
Kasih Seiman Di Dalam Tuhan
Syukur kepada Tuhan, apabila suami saya melihat kasih saudara dan saudari serta proses pembaptisan yang teratur, dia mempunyai imej yang baik terhadap gereja. Walaupun dalam proses pembaptisan, dia sangat risau akan keselamatan anak-anak kami. Tambahan lagi, anak bongsu saya Xiang En, baru sahaja genap sebulan. Namun, syukur kepada Tuhan, semua anak-anak saya berkelakuan tenang. Bukan sahaja mereka tidak menangis, malahan memperoleh kesejahteraan rohani setelah menjadi milik Tuhan.
Selepas kembali ke gereja, suami saya membantu anak-anak menukar baju yang formal dengan teliti. Dia juga menemani anak-anak dengan penuh sabar semasa sakramen pembasuhan kaki dan sakramen perjamuan kudus dijalankan. Daripada pergerakannya, saya dapat merasa suami saya berperanan sebagai seorang bapa yang menemani anak-anak menerima baptisan. Dia lebih memahami tentang cara pembaptisan gereja benar dan dia juga mempunyai tanggapan yang positif terhadap gereja kita. Dia juga dapat melihat ketegasan gereja benar terhadap kebenaran. Selepas kebaktian itu, dia memberitahu saya bahawa dia berasa sangat cemas ketika para penatua dan diaken menjalankan pembaptisan. Ini adalah kerana dia takut dan bimbang akan-anak bayi tidak dapat menyesuaikan diri dengan air sungai atau terjatuh ke dalam sungai. Tanpa disangka-sangka, segalanya berjalan dengan begitu lancar. Saya tahu bahawa semuanya ini adalah kerana Tuhan Yesus. Oleh itu, dalam sanubari hati saya, saya bergirang sambil memuji Tuhan: “Syukur puji Tuhan! Syukur puji Tuhan!”
Mengambil Kesempatan Dan Peluang
Iman saya sangat lemah. Semasa doa, saya teringat nas kitab dalam kitab Pengkhotbah fasal 9 ayat 11 yang berbunyi, “Lagi aku melihat di bawah matahari bahwa kemenagan perlombaan bukan untuk yang cepat, dan keunggulan perjuangan bukan untuk yang kuat, juga roti bukan untuk yang berhikmat, kekayaan bukan untuk yang cerdas, dan karunia bukan untuk yang cerdik cendekia, karena waktu dan nasib dialami mereka semua.” Syukur kepada Tuhan, Dia telah menambah dan mengukuhkan iman saya dalam doa supaya saya dapat mengambil peluang ini. Ini adalah kerana peluang yang ada ini hanyalah sementara dan ia akan hilang lenyap. Kini, 4 daripada 5 orang anggota ahli keluarga kami telah ditebus oleh Tuhan Yesus dengan upah yang besar untuk menjadi milik kepunyaan Tuhan. Oleh itu, hati saya tergerak oleh kasih karunia-Nya. Setiap hari, semasa kesyukuran mezbah keluarga dan sesi membaca Alkitab dan menyanyi kidung dijalankan, saya mengajar anak-anak saya agar hidup berkenan kepada Tuhan di samping berusaha demi hal pembaptisan bapa mereka.
Kesimpulan
Namun, pembaptisan bukanlah garisan penamat anugerah keselamatan. Ia juga bukanlah alasan untuk kita melegakan hati dan merasa tidak perlu berjaga-jaga lagi. Sebaliknya, menerima pembaptisan adalah permulaan bagi anugerah keselamatan. Kita perlu berjaga-jaga seperti yang dikatakan dalam alkitab , “burung telah mengambil setiap biji benih Injil yang sukar didapati sebelum ia sempat bertunas”. Terutamanya hidup dalam zaman yang penuh dengan kejahatan ini telah memperlihatkan pelbagai ragam cara yang mempengaruhi manusia untuk berbuat dosa. Kewajipan ibu bapa dari segi menyelidiki anak-anak menjadi semakin berat saban hari. Tambahan pula, tugas mengajar dan menerapkan pengajaran Roh Kudus yang berharga ke dalam hati anak-anak juga tidak boleh ditangguhkan.
Semenjak anak-anak saya dibaptis dan bersandar pada kata-kata Tuhan dalam Alkitab serta pengembalaan daripada gereja, anak-anak saya semakin memahami tentang perbezaan di antara “di dalam bahtera dan di luar bahtera” secara perlahan-lahan. Ia adalah firman yang kudus membuatkan hati sering ingin mendekati Tuhan dan berasa girang untuk menyanyi kidung rohani. Di dalam rumah, hati saya berasa begitu girang sekali dan terdorong apabila terdengar lagu kidung dinyanyikan dengan suara anak-anak yang riang. Seperti yang tercatat dalam buku Amsal, “Didikah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanya pun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu.” (Ams 22:6). Kiranya Tuhan Yesus berbelas kasihan dengan kami dan mencurahkan berkat-Nya serta membantu kami agar kami dapat hidup dalam kasih karunia-Nya menerusi usaha-usaha ini.
Kiranya segala kemuliaan dan puji-pujian diberikan kepada nama Yesus Kristus, juruselamat yang maha tinggi. Amin.