Mencari Kedamaian
| |

Mencari Kedamaian

Jennifer Zon – Dallas, Texas, USA

Kita dibebani dengan pekerjaan, keluarga, dan kemungkinan juga tugas-tugas di gereja yang akan membuatkan kita merasa berat dengan beban dan kerisauan, tidak dapat mengalami kegirangan dan kebebasan yang Tuhan telah janjikan.  Sekembali ke rumah dari kelas suatu hari, saya mendapati rumah saya begitu berselerak – pinggan mangkuk perlu dicuci, stoking-stoking perlu dipungut, anak-anak memerlukan perhatian – dan saya perlu lagi meluangkan masa untuk gereja dan kerja sekolah.  Saya ingin sekali berteriak sekuat hati,  “Berikan saya rehat!”

Saya berasa marah dan cukup bosan. “Kehidupan adalah sangat tidak adil!” Saya berbantah kepada diri saya sendiri. Kesemua tanggungjawab ini semakin menimbun seperti beban pada bahu saya. Saya tertanya-tanya, “Adakah kehidupan seperti ini yang Tuhan aturkan untuk saya?”

Sifat Rendah Hati Adalah Kunci

Pada suatu malam ketika kebaktian, kami merujuk Matius 11:28.  Perkataan lemah lembut daripada Tuhan Yesus memberi kesan di hati saya: “Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberikan kelegaan kepadamu.” Saya telah berfikir, “Inilah yang sebenarnya saya perlukan, tetapi bagaimana?” Ayat 29 dan 30 memberikan penjelasan, “Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah daripadaKu, kerana Aku lemah-lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan. Sebab kuk yang kupasang itu enak dan bebanKu pun ringan.”

Pada malam itu, Tuhan Yesus telah memberikan saya jawapan yang saya cari-cari selama ini! Dia mengarahkan saya untuk belajar daripada-Nya, untuk menjadi lemah- lembut dan rendah hati. Hanya dengan itu jiwa saya akan mendapat ketenangan. Tetapi saya mempunyai satu soalan: Apakah ‘rendah hati’?  Rendah hati memiliki makna yang sangat abstrak. Bagaimanakah seseorang dapat memahaminya?  Saya telah berazam untuk mencari jawapan tersebut.

Mengalihkan Perhatian daripada Dirimu

Suatu fakta yang menarik tentang kerendahan hati dan maruah telah mencuit perhatian saya sewaktu saya membaca sebuah keluaran Kristian. Keluaran tersebut menjelaskan bahawa kerendahan hati ialah fokus kepada luaran, manakala maruah adalah fokus kepada dalaman. Dengan perkataan lain, maruah adalah pencarian diri, tetapi kerendahan hati ialah sebaliknya.  Bagi saya, perkara tersebut tidak begitu saya fahami pada mulanya, tetapi berdasarkan pada kajian selanjutnya, perkara tersebut benar-benar memberi kesan di hati saya.  Kerendahan hati bukanlah tentang menidakkan pujian atau memandang rendah terhadap diri sendiri; tetapi ia adalah berkenaan tidak memikirkan tentang diri sendiri sama sekali.

Apabila Tuhan memanggil Musa untuk memimpin umat Israel keluar dari Mesir, Musa asyik menolak  sehingga Tuhan murka kepadanya (Kel 4:14).   Mengapakah Tuhan murka kepadanya kerana mengatakan pernyataan yang sangat rendah hati seperti “Siapakah saya?” dan “Saya tidak petah bicara?”   Dengan mengatakan perkara tersebut, dia lebih memuliakan dan menyanjung pendapatnya sendiri daripada perintah Tuhan. Dia mengatakan bahawa dia lebih mengetahui dirinya sendiri, dan Tuhan telah salah memilih orang.

Tambahan pula, Musa tidak memikirkan tentang kebebasan teman-teman sebangsanya, bani Israel tetapi sebaliknya berfikir tentang dirinya. Dia bimbang akan kemungkinan bertindak bodoh di hadapan ramai orang, walaupun selepas Tuhan meyakinkannya berulang-kali dari semasa ke semasa bahawa Dia akan menyertainya. Musa lebih bimbang tentang kebolehannya sendiri daripada mempercayai kekuasaan Tuhan.

Saul dan Daud juga adalah contoh klasik Kitab Suci yang mendemonstrasikan watak mengenai ‘maruah’ lawan ‘kerendahan hati’.  Apabila Saul mendengar perempuan-perempuan Israel menyanyi dan memuji Daud melebihi dirinya (1 Sam 18:7), dia telah menjadi marah dan iri hati. Mengapa?  Kerana Saul angkuh.  Berbanding bergembira bersama dengan rakyat atas kemenangan yang dicapai dalam perjuangan mengalahkan Goliat, fokusnya adalah pada dirinya sendiri. Dia risau tentang reputasi dan kerajaannya, dan dia marah kerana dia tidak mendapat pujian daripada orang ramai sebagaimana yang diterima Daud.

Dalam pada itu, Daud mendemonstrasikan kerendahan hatinya dalam dua peristiwa yang berlaku, iaitu dia menyelamatkan nyawa Saul.  Daripada mencari keuntungan dirinya sendiri, fokusnya adalah pada kehendak Tuhan.   Baginya, menghormati orang yang diurapi Tuhan adalah lebih penting daripada segala-galanya, walaupun ketika nyawanya berada di hujung tanduk (1 Sam 26:9).  Akhirnya, Tuhan meninggikan Daud lebih daripada Saul, kerana “Tuhan menentang orang yang congkak, tetapi mengasihani orang yang rendah hati” (Yak 4:6).

Mencari Keperluan Orang Lain

1 Petrus 5:6-7 memberitahu kita, “Kerana itu rendahkanlah dirimu di bawah tangan Tuhan yang kuat, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktunya. Serahkanlah segala kekhuatiranmu kepada-Nya, sebab Ia yang memelihara kamu.” Dengan menyerahkan semua kekhuatiran kita kepada Tuhan, kita mengalihkan perhatian daripada diri kita, dan beban berat kita diringankan.

Ada seorang pemuda yang telah melawat seorang pastor di Dallas; dan kesedihan telah mencengkamnya selama 9 bulan. Selepas mendengar ceritanya, pastor tersebut tidak menawarkan nasihat tetapi menuliskan satu nama dan nombor bilik hospital di atas sekeping kertas dan berkata, “Orang ini harus dikunjungi pada hari ini, tetapi saya tidak mempunyai waktu. Bolehkah kamu singgah dalam perjalanan pulang kamu dan melawatnya untuk saya?”

Pemuda tersebut terkejut, namun dia bersetuju untuk pergi. Kemudian sesuatu yang luar biasa telah berlaku.  Apabila dia melawat pesakit tersebut, tahap keperitan kesedihannya telah dihancurkan. Dia telah dibebaskan. Mengapa? Sebab akhirnya ia fokus kepada seseorang yang lain, berbanding dengan memfokuskan kepada dirinya saja.[1]

Melalui mengajar kanak-kanak dalam kelas pendidikan agama, saya mempunyai pengalaman yang hampir sama. Biasanya, kelas selalu sahaja tidak dapat diuruskan, dan kebanyakan pelajar juga kurang menghormati orang dewasa. Saya tidak memahami kenapa mereka bersikap demikian, tetapi saya tiada waktu untuk memikirkannya, atau peduli dengan semua itu.  Walaupun saya melakukan perkara yang baik dengan bekerja untuk Tuhan, saya tidak dapat merasakan ketenangan dan kegembiraan. Sebaliknya, ia merupakan suatu beban.

Namun , apabila saya mengalihkan tumpuan daripada diri saya, sesuatu yang ajaib telah mula berlaku. Saya memilih untuk mengambil perkataan Tuhan untuk perkara tersebut dan “menyerahkan semua kekhuatiran saya kepada-Nya. Kemudian saya menyenaraikan keperluan kanak-kanak tersebut – emosi yang sihat, berasa selamat, kasih sayang, penghargaan, bebas daripada perasaan bersalah dan juga pengalaman baru. Sebelum saya mula untuk merancang sesuatu pembelajaran, saya mengutarakan soalan ini, “Bagaimanakah saya memenuhi keperluan mereka?”  Keputusannya sangat menakjubkan. Kanak-kanak tersebut bertambah minat dan lebih menumpukan perhatian;  Tuhan turut menggerakkan hati mereka.

Betapa berbezanya apabila saya mengambil perkataan Tuhan dan mengalihkan perhatian daripada diri saya kepada murid-murid saya. Saya dibebaskan daripada kebimbangan saya, dan beban mengajar juga terasa ringan.  Sukacita daripada Tuhan terasa dalam diri saya. Salah satu ciri kasih ialah “Tidak mencari keuntungan diri sendiri” (I Kor 13:5). Terdapat suatu hubungan secara langsung di antara kerendahan hati dan kasih, kerana hanya mereka yang rendah hati saja yang benar-benar mampu untuk mengasihi. Dalam Yohanes 15:11-12, Tuhan Yesus berkata:

“Semuanya itu Kukatakan kepadamu, supaya sukacita-Ku ada di dalam kamu dan sukacitamu menjadi penuh. Inilah perintah-Ku, iaitu supya kamu saling mengasihi, seperti Aku telah mengasihi kamu.”

Yesus mengetahui kerendahan hati yang sebenar dan Dia adalah yang Maha Penyayang dan yang paling mengambil berat. Tambahan pula, Dia diurapi dengan minyak kesukaan melebihi semua orang (Mzm 45:7). Kerendahan hati memberikan kebaikan kepada seseorang dalam pelbagai cara. Kerendahan hati memberi kita bukan sahaja istirahat dan ketenangan, malah ia turut mengundang berkat kesukacitaan hadir bersama-sama.

Beristirahat Dalam Kasih Tuhan

Sebelum kita mempunyai hubungan yang berjaya dengan orang lain, kita harus memastikan bahawa hubungan kita dengan Tuhan adalah dalam kedudukan yang tepat. Alkitab berkata, “Kita mengasihi kerana Dia lebih dahulu mengasihi kita” (I Yoh 4:19).

Apabila seseorang itu memerlukan kasih, dia adalah seperti cawan kosong yang perlu diisi. Salah satu senjata maut Syaitan adalah menimbulkan keraguan kita tentang kasih Tuhan. Syaitan berbisik kepada kita, “Kamu tidak cukup bagus untuk-Nya,” dan “Mengapa Tuhan akan menyayangi seseorang seperti kamu?” Syaitan menekankan ketidakcukupan kita sendiri, melebihi anugerah, penyucian dan juga kekuasaan Tuhan. Itulah sebabnya mengapa kita perlu untuk membentengi diri sendiri dengan iman untuk menghalang panah api (Efe 6:16).

Tuhan berkata, “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal” (Yer 31:3), dan “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal (Yoh 3:16).”  Kitab Suci mengisytiharkan bahawa tidak ada apa-apapun yang boleh memisahkan kita daripada kasih Tuhan.

“Sebab aku yakin, bahawa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita”(Rom 8:38-39).

Kasih yang dijanjikan Tuhan adalah memenuhi dan tidak gagal. Hanya apabila kita yakin akan kasih Tuhan, barulah akan mengubah pandangan kita. Kita berubah daripada sebuah cawan kosong kepada cawan yang penuh, bersedia untuk memberi. Kita tidak akan lagi bermasalah dengan dunia kebimbangan kita sendiri tetapi sebaliknya mula untuk berfikir tentang apa yang boleh kita lakukan untuk membantu orang lain. Itu mungkin akan membina dan meneguhkan kepercayaan mereka dan untuk memajukan Kerajaan Allah.

Setiap hari kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, “ Apakah panggilan Tuhan untuk saya?” Janganlah meremehkan walaupun hanya perbuatan yang kecil, kerana meskipun sekadar mimik atau aksi,  atau kata-kata yang baik, ia seumpama titik-titik air yang menitis; membantu untuk membentuk lautan yang luas. Perkara terpenting adalah untuk menjadi sebahagian daripadanya dan untuk menyedari bahawa setiap satu daripada kita boleh menjadi titisan yang penting.

Kesedaran tersebut telah memperkayakan pengalaman saya. Pekerjaan berat semalam telah menjadi suatu peluang berharga kepada saya untuk melayani pada saat ini. Walaupun adakalanya saya mempunyai suatu kecenderungan untuk berbalik kepada yang asal, kembali kepada gaya pencarian diri, dengan kasih karunia Allah dan dengan lebih banyak latihan, masa depan nampaknya agak cerah.

Mencari ketenangan untuk jiwa kita tidak bermakna membebankan diri kita dengan tanggungjawab yang kita pikul, tetapi berdepan dengan komitmen tersebut dengan sikap yang baru; dengan hadirnya kekuatan kata-kata dan janji di sebaliknya kepada kita, kerana kita telah “diubah oleh pembaharuan budi kita” (Rom 12:2). Belajarlah daripada kerendahan hati dan Roh Yesus yang lemah-lembut, dan kamu akan memenuhi hukum kasih.  Paling penting ialah tinggal tetap dalam Yesus (Yoh 15:5). Teruslah bertumbuh dalam iman melalui doa dan kata-kata yang berharga di dalam Alkitab. Hanyalah di dalam Kristus kita akan menemui hidup, harapan, sukacita dan damai sejahtera. “Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku” (Flp 4:13).


[1] “Dispelling the Gloom of Depression,”  in Rick Howard, Jamie Lash, and Jack  W. Hayford, This Was Your Life!:  Preparing to Meet God Face to Face (Chosen Books, 1998)

Pembasuhan Kaki Dalam Sejarah
| |

Pembasuhan Kaki Dalam Sejarah

Oleh: Pdt. Lemuel Leong

Intro

Kitab Injil Yohanes 13:1-30 mencatatkan perihal Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya semasa perjamuan paskah; berabad-abad lamanya perenggan ini ditafsir sebagai satu sakramen yang sama pentingnya dengan Pembaptisan air dan Perjamuan Kudus[1].  Boismard selanjutnya menterjemahkan peristiwa tersebut dengan memisahkannya kepada dua aspek yakni ayat 1-2, 4-5, 12-15, 17-19 sebagai huraian moral pembasuhan kaki; manakala di ayat 3, 4-5, 6-10, 21-30 beliau telah menemui nilai sakramen dalam pembasuhan kaki.

Sejak zaman bapa gereja awal (early church fathers period) terdapat tiga jenis pembasuhan kaki yang telah diamalkan di kalangan agama Kristian iaitu:

1.  Pembasuhan kaki dilaksanakan sekaligus sebaik sahaja dibaptis.

Jenis proto pembasuhan kaki ini telah direkodkan secara umum dari zaman dahulu sehingga zaman pertengahan. Merujuk kepada pengkajian E. Peterson[2], murid-murid Yesus hanya dapat memahami hubungan pembasuhan kaki dengan pembaptisan apabila Roh Kudus dicurahkan pada Hari Pentakosta.

Menurut Ambrosius (333-397 Masihi),  ketua bishop di Milan; guru kepada Augustinus de Hippo, sakramen pembasuhan kaki yang diadakan sekaligus selepas pembaptisan air sebenarnya dibawa oleh rasul-rasul dari Yerusalem ke Antiokhia dan seterusnya disebarkan ke Milan dari Antiokhia, Meskipun menerima bantahan dan tentangan hebat daripada banyak pihak, Ambrosius tetap bersungguh-sungguh mempertahankan sakramen ini dalam karya teologinya.  Dia berpendapat bahawa hanya menerusi ilham Roh Kudus sahaja barulah dapat memahami rahsia pembasuhan kaki yang bersifatkan sakramen;  sedangkan Rasul Petrus yang telah tiga tahun mengikuti Tuhan Yesus pun gagal memahami misteri ini [3](Yoh13:6-7).  Dengan merujuk kepada pelbagai contoh, Ambrosius memastikan bahawa pembasuhan kaki yang diamalkan di Milan merupakan kebenaran yang ortodoks;  dia juga medakwa bahawa dioces[4] Roma yang memansuhkan pembasuhan kaki merupakan akibat daripada merosotnya firman kebenaran yang tulen[5].  Di samping itu juga membahaskan pandangan yang beranggapan bahawa pembasuhan kaki hanyalah mengandungi nilai moral semata-mata seperti saling mengasihi, kekudusan, melayani, rendah hati dan saling mengampuni sebagai ajaran menyeleweng[6].

Menurut Augustustinus pula, setelah menyaksikan pelaksanaan pembasuhan kaki di Milan,  dia mendapati ada orang yang tidak rela dibasuh kaki pada hari mereka dibaptis dengan alasan agar tidak mengurangkan kesan baptisan; lebih malang lagi, terdapat pula orang yang sanggup memansuhkan pembasuhan kaki sebagai sakramen semata-mata takut menyalahgunakannya [7].

Jenis proto pembasuhan kaki yang bersifat sakramen ini kemudiannya telah dimansuhkan pada tahun 306 Masihi, dalam sidang gereja di Spanyol. Di Perancis pembasuhan kaki dihentikan pada abad ke-8 hingga ke-9 manakala di Ireland, Wales dan Scotland hentikan pada abad ke-12 [8].  Bagi diocese Milan yang pernah seketika bermati-matian mempertahankan pembasuhan kaki ortodoks ini akhirnya juga lenyap dalam sejarah pada abad ke-14.  Namun yang sungguh menghairankan ialah sedang pembasuhan kaki yang bersifat sakramen ini dianggap ”telah lenyap” dalam sejarah agama Kristian, Gereja Yesus Benar telah muncul pada tahun 1917 di Beijing, China; secara unik dan tunggal telah memulihkan Sakramen Pembasuhan Kaki  yang terpendam berabad-abad lamanya setelah menerima ilham Roh Kudus.

2. Satu amalan pelayanan dilaksanakan setiap Khamis sebelum hari Easter (Maundy Thursday).

Jenis pembasuhan kaki ini diperkenalkan oleh kebiaraan.  Setiap hari Khamis sebelum Easter (hari kebangkitan), ketua bishop diwajibkan sekurang-kurangnya membasuh kaki 12 orang miskin dalam daerah mereka; sehingga pada zaman pertengahan di Vatican, kawasan Pope juga mengamalkannya. Malah sejak tahun 1955, setiap gereja tempatan Roman Catholic juga diberi mandat melaksanakan pembasuhan kaki pada hari Khamis sebelum Easter sebagai satu pelayanan.

3.  Satu amalan yang diadakan sebelum Perjamuan Kudus.

Pada zaman pertengahan, aliran The Waldenses akan membasuh kaki sebelum mengambil bahagian dalam Sakramen Perjamuan Kudus, lazimnya akan dilaksanakan oleh ketua biara atau penatua.  Sejak zaman reformasi agama sebahagian protestant yang salih juga turut melaksanakan pembasuhan kaki sebelum menerima perjamuan kudus.  Jenis pembasuhan kaki ini kemudiannya diturun-temurunkan sehingga hari ini, dan masih ada agama Kristian yang saling membasuh kaki sebelum menerima Sakramen Perjamuan Kudus; sebagai contoh Dunkers (German Baptists), General Baptists, The Church of God, Brethren-In-Christ-Church, The United Missionary Church, The Seventh Day Adventist dan sebagainya.  Mereka setia meneladani semangat pelayanan Tuhan Yesus dalam Yohanes 13:14.

Pembasuhan Kaki yang tepat dan lengkap

Walaupun tidak sedikit agama Kristian melaksanakan pembasuhan kaki pada hari ini, namun hanya Gereja Yesus Benar sahaja yang menganggapnya sebagai satu sakramen, dan juga pelayanan.  Berdasarkan  rekod yang berkaitan dalam Yohanes fasal 13, ia dapat diperhatikan seperti berikut:

I.  Rahsia dan kesan pembasuhan kaki sebagai sakramen.

Motif Tuhan Yesus membasuh kaki murid-murid-Nya  ialah demi mengasihi mereka sampai kepada kesudahannya (1).  Sasaran kasih Tuhan Yesus ialah murid-murid-Nya, Idios (Yunani), lebih tepat diterjemahkan sebagai orang  milik-Nya, menunjukkan sasaran pembasuhan oleh Tuhan Yesus bukanlah terbuka secara umum kepada sesiapapun, melainkan hanya untuk mereka yang telah dibaptis untuk menjadi murid-murid-Nya atau orang milik-Nya sahaja (10).

Cara Tuhan Yesus memperlihatkan kasih abadi ini adalah melalui pembasuhan kaki. Apabila Petrus dengan sungguh-sungguh menolak kakinya dibasuh; Tuhan Yesus dengan tegas berkata: ”Jikalau Aku tidak membasuh engkau, engkau tidak mendapat bahagian dalam Aku”(7-8).  Pada saat itu Tuhan Yesus telah mengilhamkan implikasi dan tujuan utama pembasuhan kaki adalah demi mendapat bahagian dalam Tuhan.  Perkataan ’bahagian’ ini ’meros’ (Yunani),  merupakan istilah yang sama dengan Wahyu 22:19, yakni orang yang mengurangkan perkataan dalam kitab nubuat akan diambil bahagiannya dari pohon kehidupan dan dari kota kudus. Petrus, seorang rasul yang cukup senior dan rapat dengan Tuhan Yesus pun boleh kehilangan bahagiannya di dalam Tuhan jika kakinya tidak dibasuh; apatah lagi kita, Kristian hari ini boleh dikecualikan daripada pembasuhan kaki Tuhan Yesus!? Kesan sakramen ini diperoleh dengan serta-merta apabila membasuh kaki sekaligus dalam nama Tuhan Yesus Kristus.

II.  Aspek moral dalam pembasuhan kaki sebagai pelayanan.

Selepas Tuhan Yesus mengambil rupa sebagai hamba dan membasuh kaki murid-murid-Nya, Dia kembali ke tempat duduk-Nya dengan identiti sebagai Rabi atau guru dan mengatakan agar murid-murid-Nya wajib meneladaninya dengan saling membasuh kaki (15-17).  Ini menunjukkan adanya hubungan interaksi antara murid-murid dan Tuhan Yesus. Hakikatnya teladan yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus ialah sentiasa mengasihi murid-murid-Nya (1), sentiasa rendah hati melayani (Mk10:45), sentiasa kudus (1 Pet 2:22; 1 Yoh 3:5), dan sentiasa mengampuni (Mt 18:21-22). Kenyataan ini boleh disokong melalui peristiwa Tuhan Yesus menghadiri perjamuan di rumah Simon orang Farisi, Dia telah memberi komen tentang pembasuhan kaki sebagai satu kasih dalam penyambutan tetamu sebagai suatu yang berpatutan (Luk 7:44), Rasul Paulus juga merujuk kepada janda yang membasuh kaki saudara-saudara seiman terbukti telah melakukan pekerjaan yang baik (1Tim 5:10).

Teladan oleh Tuhan Yesus telah menentukan corak kehidupan murid-murid-Nya yang sangat istimewa dan berbeza daripada dunia.  Ia perlulah sentiasa berterusan dan konsisten, bukan setakat diamalkan apabila menjelangnya Easter atau sebelum menerima Sakramen Perjamuan Kudus; melainkan ia merupakan akhlak-akhlak yang dimestikan dan  tanda identiti sebagai murid-murid Tuhan selagi hidup di dunia.

Kesimpulan

Sungguh indah dan ajaibnya firman Tuhan, khususnya firman tentang pembasuhan kaki itu merupakan pedang Roh yang bermata dua (Efe 6:17; Ibr 4:12), suatu sakramen yang menjaminkan bahagian murid-murid Tuhan di dalam-Nya. Teladan Tuhan Yesus yang menunjukkan semangat pembasuhan kaki seperti kasih, kekudusan, pelayanan yang rendah hati dan saling mengampuni turut menjadi kewajipan dalam sepanjang jalan menuju ke syurga! Segala kemuliaan hanya untuk Tuhan Yesus sampai selama-lamanya.

Bibliografi

Thesis Pengkajian Kebenaran, HH Koh, 2005.
Gospel of John, George R.  Beasley-Murray, World Biblical Commentary.
Lima dogma, Hsieh Hsun Tao.
History Of The Christian Church, Williston Walker, 1953.
Jewish Cultural Tradition and the Bible, Andrew Chiu, Th. D, 1999.


[1] George R.  Beasley-Murray

[2] Fruehkirehe, Judentum und Gnosis, 1959, S224-234

[3] Myst, 6, 31 (CSEL 73,102)

[4] Kawasan uskup

[5] Sacr. 3.5 (CSEL 73, 40)

[6] Sacr 3.1.5 (CSEL 73, 40).

[7] Ep.55,3D (CSEL 34. 2, 207F)

[8] Das Konzil Von

Dogma Sakramen Pembasuhan Kaki
| |

Dogma Sakramen Pembasuhan Kaki

Oleh Pdt. Hagai Tang 

                  Gereja Yesus Benar mempunyai tiga sakramen iaitu Sakramen Pembaptisan, Sakramen Pembasuhan Kaki dan Sakramen Perjamuan Kudus. Ketiga – tiga  sakramen ini merupakan kunci – kunci  Kerajaan Syurga yang dapat membuka pintu Kerajaan Syurga untuk memperoleh  keselamatan (Mat 16:19). Tuhan Yesus telah memberikan kunci – kunci  tersebut kepada gereja – Nya. Ini menandakan anugerah keselamatan hanya dapat diperolehi melalui gereja yang didirikan oleh Tuhan Yesus dengan menerima ketiga – tiga  sakramen tersebut. Namun banyak gereja dan dinominasi agama di dunia tidak percaya bahawa pembasuhan kaki yang dilakukan Tuhan Yesus di dalam Injil Yohanes 13 merupakan satu sakramen. Sebaliknya mereka mengatakan pembasuhan kaki itu hanyalah adat istiadat orang Yahudi. Namun Gereja Yesus Benar percaya bahawa pembasuhan kaki yang dilaksanakan oleh Tuhan Yesus adalah sakramen yang berkaitan dengan keselamatan.

Asal Usul Sakramen Pembasuhan Kaki      

a)      Tuhan Yesus memberi contoh dan teladan (Yoh 13:4-5)

i)       Tuhan menanggalkan jubahNya, mengambil sehelai kain lenan dan mengikatkannya pada pinggangNya, mengambil rupa seorang hamba (4).

ii)      Tuhan sendiri menuangkan air ke dalam sebuah basi dan membasuh kaki murid – muridNya lalu menyekanya dengan kain yang terikat pada pinggangNya (5).

b)      Tuhan memerintahkan  murid–muridNya  melakukan sama seperti yang telah dilakukanNya (Yoh 13:15)

i)        Tuhan memberikan suatu teladan sakramen pembasuhan kaki supaya murid – muridNya tahu bagaimana harus melaksanakannya.

ii)       Memerintah murid–muridNya  supaya melakukan sama seperti yang telah dibuatNya.

c)        Tuhan berjanji  sesiapa yang melakukannya akan berbahagia (Yoh 13:17).

i)         Murid–murid  telah memahami nasihat dan pengajaran sakramen pembasuhan kaki.

ii)       Melaksanakan sakramen dan melakukan pengajaran pembasuhan kaki pasti diberkati.

Tujuan Sakramen Pembasuhan Kaki

~ Sakramen Pembasuhan kaki mempunyai dua bahagian iaitu bahagian sakramen dan  bahagian pengajaran.

a)  Bahagian Sakramen

Bahagian ini mempunyai khasiat rohani dan ada hubungan dengan keselamatan . Namun banyak gereja di dunia  menganggap pembasuhan kaki adalah  adat orang Yahudi dan bukannya sakramen. Mereka juga berkata Tuhan Yesus membasuh kaki murid – muridNya  untuk mengajar mereka  supaya melayani dengan rendah hati.

Gereja Yesus Benar percaya  bahawa pembasuhan kaki Tuhan Yesus bukan saja mengandungi pengajaran tetapi juga merupakan sakramen. Ini disebabkan apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Tuhan Yesus semasa membasuh kaki  murid – muridNya  telah melebihi skop adat orang Yahudi. Oleh itu kita perlu melihat dengan jelas perbandingan di antara keduanya ini.

i) Tujuan Sakramen Pembasuhan  Kaki dan Pembasuhan  Kaki Menurut  Adat Yahudi.

Tujuan Sakramen Pembasuhan Kaki adalah untuk mendapat bahagian dalam Tuhan. Sesiapa yang  menolak pembasuhan kaki Tuhan Yesus  tidak mendapat bahagian dalam Tuhan (Yoh 13:8). Pada    malam paskah ketika makan malam, Tuhan Yesus menuangkan air ke dalam sebuah basi lalu membasuh kaki murid – muridNya  (Yoh 13:1-5). Ketika tiba giliran rasul Petrus, dia berasa hairan akan tindakan Tuhan Yesus yang membasuh kaki murid – muridNya  dan  berkata “Tuhan, Engkau hendak membasuh kakiku?”. Petrus menolak dengan keras supaya kakinya  tidak dibasuh oleh Tuhan Yesus dengan berkata “Engkau tidak akan membasuh kakiku sampai selama-lamanya”. Ini disebabkan Petrus tidak memahami apakah kepentingan pembasuhan kaki yang dijalankan oleh Tuhan Yesus. Tuhan Yesus menjawabnya “Jikalau Aku tidak membasuh engkau, engkau tidak mendapat bagian dalam Aku”. Perkataan ‘bagian’ dalam bahasa asal adalah ‘meros’, yang sama dengan perkataan ‘bagian’ dalam Why 22:19 yang ada hubungan dengan keselamatan. Selepas Petrus mengetahui betapa seriusnya pelaksanaan pembasuhan kaki maka dengan serta merta dia meminta Tuhan supaya jangan hanya membasuh kakinya tetapi juga tangan dan kepalanya.

Apakah tujuan basuh kaki orang Yahudi? Jawapannya ialah untuk kebersihan. Orang Yahudi  biasanya mandi sebelum menghadiri sesuatu perjamuan dan  memakai  ‘sandals’ ketika berjalan , oleh itu kaki mereka mudah  menjadi kotor. Itulah sebabnya mereka perlu  membasuh kaki.

ii)  Siapa yang membasuh kaki?

Menurut adat orang Yahudi, hamba yang akan membasuh kaki tuannya atau murid yang membasuh kaki gurunya (1Sam 25:41). Apa yang dilakukan  oleh Tuhan Yesus adalah sebaliknya. Tuhan Yesus sebagai Guru dan Tuhan telah membasuh kaki murid – muridNya (Yoh 13:13-14).

iii) Bila kaki dibasuh?

Biasanya orang  Yahudi akan membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah  (Hak19:21, Luk 7:44). Pembasuhan kaki Tuhan Yesus adalah berbeza iaitu semasa mereka sedang makan bersama (Yoh 13:2), Yesus bangun dari perjamuan itu lalu membasuh kaki murid – muridNya (Yoh 13:4). Justeru itu, kita mendapati bahawa pembasuhan kaki Tuhan Yesus sama sekali berbeza dengan pembasuhan kaki orang Yahudi sebab membawa tujuan yang berbeza. Apa yang dilakukan dan dikatakan oleh Tuhan Yesus semasa membasuh kaki murid – muridNya  telah melebihi skop adat orang Yahudi.

b)      Bahagian Pengajaran

Bahagian pengajaran ini berhubung rapat  dengan kemajuan dan kegagalan  sesebuah gereja. Saling membasuh kaki dalam Yoh 13:14  merupakan bahagian pengajaran yang perlu dilakukan selalu. Melalui  pembasuhan kaki Tuhan Yesus kita dapat mempelajari empat  pengajaran yang penting dalam hidup seorang kristian.

i)   Saling mengasihi  dengan sesungguhnya (Yoh 13:1)

Pembasuhan kaki yang dilakukan oleh Tuhan Yesus  telah menyatakan betapa besar kasih Tuhan Yesus kepada murid – muridNya. Apakah sifat kasih Tuhan Yesus kepada  murid – muridNya? –  Pertama ialah kasih Tuhan yang spontan (1 Yoh 4:10). Kedua ialah kasih yang sampai kepada kesudahannya (1 Yoh 3:16). Apakah tujuan Tuhan Yesus menunjukkan kasihNya ini? – Supaya mereka semua mendapat bahagian dalam Tuhan. Tuhan Yesus tahu bahawa iman mereka akan tergoncang apabila Dia ditangkap. Tuhan Yesus juga mengetahui Yudas Iskariot mulai merencanakan pengkhianatannya. Namun Tuhan Yesus tetap menunjukkan kasihNya dengan membasuh kaki murid – muridNya  supaya mereka mendapat bahagian di dalamNya. Tuhan tidak menghendaki seorang pun binasa (II Pet 3:9) dan Tuhan tidak  melepaskan peluang untuk memulihkan dan menyelamatkan kembali orang yang rohaninya hampir mati  (Mat 12:20).

Justeru itu, kita harus saling mengasihi dengan sesungguhnya (Yoh 13:34-35) dan mempelajari kasih Tuhan yang sanggup menyerahkan nyawaNya (1Yoh  3:16). Khususnya seiman yang lemah dalam iman kepercayaan memerlukan dorongan dan sokongan kasih yang lebih supaya mereka memperoleh kekuatan dan kesedaran untuk kembali kepada Tuhan (Gal 6:1).

iii)       Menjaga Kekudusan (Yoh 13:10-11)

‘Mandi’ diumpamakan ‘pembaptisan’. ‘Kaki’ diumpamakan ‘perbuatan’. Ini bererti siapa yang percaya dan dibaptis, dosanya diampuni.  Sekiranya dia memelihara ‘kaki’ supaya bersih maka dia adalah orang yang kudus. Dengan kata lain, Tuhan menghendaki kita menjaga kekudusan selepas menerima Sakramen Pembaptisan. Pada waktu itu terdapat masalah di antara murid – muridNya kerena mereka berebut kuasa,  siapa yang terbesar di antara mereka. Ini telah merosakkan hubungan mereka yang damai. Selain itu, Yudas mempunyai fikiran yang dicemari dengan ketamakan dan ingin menyerahkan Tuhan Yesus  (Yoh 13:2,11). Melalui perkataan dan perbuatan Tuhan Yesus dalam pembasuhan kaki, Tuhan Yesus  ingin menyedarkan mereka bahawa mereka harus menjaga kekudusan agar jangan dinodai dengan kemarahan, kebencian dan ketamakan (Mrk 10:41). Lebih – lebih lagi Tuhan ingin menyedarkan Yudas supaya membuang segala kejahatan di dalam hatinya. Malangnya Yudas berkeras hati dan tidak bertobat (Yoh13:26-27). Bagaimana kita menjaga kekudusan? – Iaitu dengan menjaga hati dengan segala kewaspadaan (Ams 4:23), menyimpan firman Tuhan  di dalam hati (Mzm 119:9) dan hidup damai dengan semua orang (Ibr 12:14).

iv)         Melayani dengan rendah hati (Yoh 13:4-5)

Tuhan Yesus memberi dan melayani dengan rendah hati. Tuhan Yesus adalah ‘guru’ dan ‘Tuhan’  bagi murid –muridNya (Yoh13:13-16). Ini menandakan status dan kedudukan Tuhan Yesus lebih tinggi daripada kedua belas muridNya, tetapi Tuhan Yesus telah merendahkan diri dan melayani mereka :-

  • Bangun dari jamuan (Yoh 13:4): Menandakan Tuhan tidak mempertahankan kedudukan dan tahktaNya yang mulia di Sorga.
  • Menanggalkan jubah (Yoh 13:4): Menandakan Tuhan meninggalkan identitiNya yang mulia (Fil 2:6).
  • Mengikat pinggang dengan kain lenan (Yoh 13:5): Menandakan Tuhan mengambil rupa sebagai hamba dan bersiap sedia untuk melayani (Fil 2:7-8).
  • Membasuh kaki murid – muridNya  (Yoh 13:5): Menandakan melayani semua orang.
  • Menyekanya dengan kain  ( Yoh13:5): Menandakan pelayananNya sempurna dan lengkap.

Melalui perbuatan Tuhan Yesus, mengajar murid – muridNya  tentang sistem dan semangat di gereja tidak sama dengan sistem dan semangat masyarakat dunia. Sistem di dalam masyarakat ialah orang terkemuka dan orang besar akan dilayani oleh hamba atau  orang bawahan. Tetapi sistem di dalam gereja ialah semakin melayani akan semakin dipandang besar dan terkemuka oleh Tuhan (Mrk 10:42-45). Maka kita haruslah rendah hati dan saling melayani.

v)        Pengampunan

Walaupun Tuhan Yesus mengetahui hati Yudas Iskariot merencanakan pengkhianatan terhadapNya (Yoh 13:10-11). Namun Tuhan Yesus masih membasuh kakinya. Ini menunjukkan Tuhan berlapang dada dan mengampuni Yudas. Bukan saja membasuh kakinya  bahkan menyekanya sampai kering ( Yoh 13:5). Ini menandakan pengampunan yang tidak  meninggalkan sebarang bekas. Dengan kata lain,  itulah pengampunan yang sempurna tanpa mengira dan membangkit – bangkitkan sebarang perkara. Keluarga rohani kita yang besar ini, tidak dapat dielakkan daripada berlakunya perselisihan dan salah faham di antara satu dengan yang lain. Pada masa itulah kita harus mengingati bagaimana semangat pengampunan Tuhan Yesus. Jika kita mengampuni orang lain yang bersalah terhadap kita maka Bapa di Sorga juga akan mengampuni kita (Mat 6:12,14-15).

Tuhan Telah Menyembuhkan Mataku
| |

Tuhan Telah Menyembuhkan Mataku

Oleh: Sdra. Lee Chin Vui

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian. Nama saya Lee Chin Vui, pemercaya yang berasal dari Gereja Yesus Benar Penampang. Kejadian ini berlaku semasa saya masih belajar di bangku sekolah rendah, iaitu ketika berada dalam tahap 2 (tahun 4-6).  Kejadian ini berlaku antara tahun 1998-2000.

Pada ketika itu, hari sedang hujan. Saya dan beberapa kawan saya pergi ke Centre Point dengan menaiki kereta salah seorang kawan saya. Setelah sampai ke destinasi, saya dan kawan-kawan pun turun dari kereta dan menuju ke pintu masuk bangunan Centre Point.

Semasa menuju ke pintu masuk, tanpa disangka saya telah tergelincir ke lantai luar bangunan Centre Point yang basah akibat air hujan, lalu terjatuh ke lantai sehingga kepala dan tengkuk saya terhantuk dengan kuat sekali.

Selepas kejadian itu, penglihatan saya terus menjadi kabur, lalu perlahan-lahan menjadi gelap. Saya telah meminta kawan saya agar memapah saya ke Burger King dan duduk sebentar. Saya memberitahu mereka bahawa saya pening tetapi sebenarnya saya tidak dapat melihat agar mereka tidak bimbang.

Saya cuba membuka mata saya luas-luas tetapi masih tidak dapat melihat. Lalu saya teringat satu kejadian dalam drama tv iaitu seseorang boleh menjadi buta kerana saraf penglihatannya terganggu akibat kepala yang terhantuk dengan kuat. Oleh itu, saya menjadi takut kerana bimbang perkara ini terjadi ke atas diri saya.

Tetapi, syukur puji Tuhan, kerana tiba-tiba saya teringat akan nasihat guru pendidikan agama saya iaitu supaya menyebut ‘Haleluya’ apabila menghadapi kesusahan kerana Tuhan pasti akan membantu. Tanpa berfikir banyak, sayapun menyebut ‘Haleluya’ berulang-kali dalam hati saya.

Selepas itu, penglihatan saya menjadi terang semula secara perlahan-lahan. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana telah menyelamatkan saya.  Jika bukan kerana kuasa penyembuhan Tuhan yang agung, mungkin saya sudah menjadi buta. Kesaksian saya sampai di sini saja. Semoga nama Tuhan dapat dimuliakan. Amen.

Tuhan, Allahku, kepada-Mu aku berteriak tolong, dan Engkau telah menyembuhkan aku. (Mazmur 30:3)

Terpujilah TUHAN, kerana Ia telah mendengar suara permohonanku. (Mazmur 28:6)

Bertemu Di Syurga
| |

Bertemu Di Syurga

”Berharga di mata Tuhan kematian semua orang yang dikasihi-Nya”(Maz116:15)

Intro

Pada 21 Jun 2007, jam 5 awal pagi Pendeta pelatih Sdr.  Masneh Singkul telah dihantar ke wad kecemasan hospital Keningau kerana sakit tenat sehingga tidak sedarkan diri; pendeta Seraya dan saudara seiman yang berada di sisinya segera mengirim sms menghubungi seiman lain membantu doa.  Sebelah petang beliau dihantar ke wad hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan disahkan mengalami ”mati otak” (brain death) oleh doktor akibat pendarahan lebih daripada 35% dalam otak. SMS yang mengejut ini segera tersebar ke seluruh Sabah dan Semenanjung Malaysia, ramai yang prihatin dengan sungguh-sungguh mendoakannya, gereja-gereja tempatan di Sabah masing-masing membuat pengumuman untuk membantu doa, malahan ada yang  berpuasa dan tekun mendoakan agar Tuhan menunjukkan belas kasihan-Nya.  Namun, pada jam 7 pagi, 23 Jun, sms memberitahu bahawa Sdr.  Masneh yang dikasihi telah pun dipanggil oleh Tuhan, beristirahat di pangkuan Tuhan pada awal hari Sabat. Mesej ini memilukan banyak jiwa dan mencucurkan air mata ramai seiman dan saudara-mara, ramai turut sedih; berkabung dengan keluarga dan tunang mendiang. Walau tidak sudi berpisah dengan beliau, namun kita akur dengan ketentuan;  ”Jadilah kehendak Tuhan!”

Kesihatan Dinaungi Anugerah Tuhan Yang Mencukupi

Sejak berumur 9 bulan Sdr.  Masneh telah didapati mengalami masalah jantung berlubang. Oleh itu beliau terpaksa menjalani rawatan setiap bulan sehingga berumur 12 tahun. Rawatan kemudiannya terhenti sejak 1990 sehingga tahun 1999. Bagi kebanyakan orang kemungkinan penyakit sedemikian akan membantutkan daya tumbesaran dan aktiviti seharian, namun sungguh menghairankan beliau hidup sebagai seorang yang dinamik dan rajin bekerja.  Corak hidupnya langsung tidak menampakkan beliau sebagai orang berpenyakit. Beliau mampu membuat segala kerja pertanian di ladang, membaiki enjin kereta, memandu mesin excavator, dan sebagainya.  Hasil tanaman dan  kolam-kolam bertingkat tiga binaannya di kampung beliau menjadi saksi-saksi nyata bahawa anugerah Tuhan sentiasa menyertainya.

Malahan pada 28 Feb tahun 1995 beliau telah berjaya menakluki kemuncak Gunung Kinabalu yang merupakan gunung  tertinggi di Asia tenggara.

Selepas mengalami pembedahan untuk membuang apendiks pada Januari 1999, doktor mendapati selain menghadapi  masalah jantung berlubang, salah satu injap kanan  beliau   telah rosak  teruk.  Doktor   meramalkan  bahawa jika tidak menerima rawatan jantung dengan segera, nyawa beliau hanya dapat bertahan selama lima tahun sahaja.

Dua tahun kemudian, pada Mei 2001, beliau dimasukkan di Sabah Medical Centre untuk menjalani rawatan jantung selama 4 hari, dan kemudiannya dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan bagi menggantikan injap jantungnya yang telah rosak teruk.  Dalam perjalanan ke IJN, beliau telah bernazar untuk mempersembahkan hidupnya bagi Tuhan sekiranya pembedahan itu berjaya[1].   Pembedahan itu berhasil dan beliau telah sembuh daripada penyakitnya.  Walaupun pada November 2002, sekali lagi beliau telah diwadkan selama 1 minggu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu kerana ‘overdose warfarin’ dan doktor mengatakan bahawa besar kemungkinan beliau tidak dapat berjalan lagi kerana urat saraf kakinya telah pecah.  Namun dengan kasih Tuhan, beliau telah sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.  Sekali lagi Tuhan menyatakan mukjizat dalam hidup beliau.

Dalam Enam tahun terakhir melayani Tuhan – Kemuncak kehidupan Sdr.  Masneh

Sungguhpun mengalami pembedahan besar jantung pada tahun 2001, namun penyakit ini telah menjadi berkat yang menawarkan peluang baginya untuk melayani Tuhan.  Pada tahun berikutnya beliau mula menunaikan nazarnya kepada Tuhan.

Tahun 2002 merupakan titik permulaan Sdr. Masneh melayani Tuhan sebagai pekerja suci penuh masa.

Secara kebetulan dan sememangnya peluang yang disediakan Tuhan itu terbuka bagi beliau sewaktu Pdt. Lemuel Leong yang ketika itu bertugas di pantai Timur sedang mencari seorang calon Guru Penuh Masa apabila mendapati keperluannya yang sangat mendesak di kawasan Telupid, Bukit Garam dan Penangah. Pada masa yang sama, Dn. Gideon pernah memberitahu pendeta tentang semangat penginjilan beliau yang sanggup mengedarkan risalah gereja dari rumah ke rumah, dengan itu mencadangkan Sdr. Masneh kepada Ibu Gereja dan beliau telah diterima sebagai Guru Penuh Masa.

Pada tahun 2002 beliau mula bertugas di kawasan Telupid bersama Pdt. Lemuel Leong, dan pada tahun berikutnya pula bertugas dengan Pdt. Zakheus Yong di tempat yang sama; namun beliau bukan sekadar memainkan peranan sebagai guru pendidikan agama kepada kanak-kanak malah berjaya melatih guru pendidikan agama dan menubuhkan kelas pendidikan agama di Telupid.  Beliau turut bergiat dalam membantu kerja penggembalaan dan penginjilan. Sebagai contoh, keluarga Sdr. Albert adalah hasil usaha penginjilan beliau. Sememangnya beliau menjadi teman sekerja yang baik kepada pendeta-pendeta yang bertugas pada waktu itu.  Sebenarnya bertugas di kawasan Telupid dan Penangah merupakan kerja yang berat dan agak mencabar disebabkan perjalanan yang sukar, jauh, dan sunyi.  Namun semangat beliau yang setia dan cekal, anugerah Tuhan sentiasa menyertai beliau sehingga dapat mengharungi segala dugaan dan cabaran dalam tugas.

Pada tahun 2003, Maktab Teologi Sabah telah mengadakan pengambilan siswa teologi. Apabila diketahui bahawa beliau berniat untuk menjadi pekerja suci sepenuh masa, beberapa pemimpin veteran seperti Pnt Stefanus Tham, Pdt. Thomas Kam dan Pnt Apolos Wai dengan senang hati memberi sokongan dalam pencalonan beliau untuk diterima sebagai siswa maktab teologi kerana melihat sikap spontan dan usahanya yang bersungguh-sungguh untuk melayani Tuhan. Ini merupakan peluang yang disediakan oleh Tuhan agar meluaskan dan mempelbagaikan lagi pelayanan beliau di dalam Tuhan.

Tahun 2004-2006, beliau menuntut di Maktab Teologi Sabah sebagai penuntut angkatan yang keempat, bersama-sama dengan enam orang rakan sekelas.  Mereka ialah Sdr.Jaihnol Kindingan, Sdr. Liew En Yin, Sdr. Narius Sapau, Sdr. Yakus Ambaan dan Sdr.  Order Mansyah (Pendeta Pelatih dari Indonesia). Dalam masa tiga tahun itu, beliau dapat  mengunjungi banyak gereja tempatan di seluruh negeri; sekaligus melayani Tuhan di seluruh Sabah. Tahun 2007, beliau menjalani latihan praktikum dengan mengikuti:

Pnt Matias (Jan – Feb)

Bermula Jun ini, beliau mengalami sakit-sakit otot dan demam. Sepatutnya mereka mula bertugas pada 2 Jun namun disebabkan kurang sihat, Pdt. Seraya mencadangkan agar beliau menangguhkan perjalanan dan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Bagaimanapun,  pada 4 Jun beliau bertolak ke Zon Bingkor dengan menunggang motosikal.  Pada 16 Jun, beliau pulang ke kampung atas urusan rumah yang sedang dibina serta menguruskan beras sebanyak 5 guni yang akan didermakan untuk KKR Gereja Penangah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pagi 18 Jun, beliau telah kembali semula ke zon Bingkor.  Pada malam 20 Jun; walaupun tidak sihat namun beliau masih bertahan untuk menyampaikan khotbah yang terakhir dalam hidupnya yang bertajuk ”Peluang” di Khemah Doa Motomou – sungguhpun Pdt. Seraya bersedia untuk menggantikan tugas beliau.

Selepas kebaktian, beliau masih bercerita dengan Pdt. Seraya sehingga tengah malam.

21 Jun – jam 3 pagi, Pdt. Seraya mendapati Sdr. Masneh sedang duduk dan mengikat kepalanya dengan selimut kerana kepalanya sakit.  Merekapun berdoa bersama; dan beliau kemudiannya meminta panadol.  Pendeta menyangka keadaannya akan menjadi semakin baik, namun selepas itu beliau muntah-muntah sebanyak tiga kali sehingga tubuhnya tidak bermaya lagi.  Mereka berdoa dan cuba menghubungi seiman yang mempunyai kereta untuk datang menghantar beliau ke hospital. Namun, bantuan lambat tiba. Kemungkinan tiada yang membuka telefon bimbit kerana belum tiba masa untuk bangun pagi. Pada jam 5 pagi, seorang saudara telah datang menghantarnya ke hospital, akan tetapi pada masa itu beliau sudah tidak sedarkan diri lagi.

Dalam keadaan yang sangat kritikal ini, pihak hospital menangani beliau dengan bantuan alat pernafasan sahaja, sedangkan beliau sendiri sudah berada dalam keadaan koma.  Walaupun hanya jantung sahaja yang berfungsi tetapi beliau menunjukkan respon melalui tahap (indeks) oksigen terhadap kidung[2] yang dinyanyikan oleh tunangnya Sdri. Morina dan adiknya Sdri. Lili Maslinah ketika mereka menyanyikan kidung di tepi katil beliau.

Dua hari bergelut dengan kesakitan, akhirnya beliau telah dipanggil oleh Tuhan dan beristirahat daripada segala jerih-lelahnya. Beliau telah berjaya menunaikan nazarnya kepada Tuhan dengan mempersembahkan hidupnya untuk Tuhan,  malahan setia melayani sehinggalah saat-saat terakhir dalam hidup beliau.

Penghiburan Tuhan Melalui Penglihatan

Kepergian beliau yang mendadak amat sukar diterima oleh jemaat terutamanya pihak keluarga dan tunang beliau[3]; juga merupakan satu dugaan yang terlalu berat ditanggung oleh mereka.  Namun Tuhan Yesus, Bapa, Tuhan yang penuh belas kasihan dan sumber segala penghiburan sentiasa menghibur mereka yang menderita dan dukacita (II Kor 1:3).  Beberapa penglihatan ajaib telah dinyatakan melalui mimpi dan doa demi menghibur dan memberi pengharapan kepada mereka yang ditenggelami dengan kesedihan yang amat sangat. 

Penglihatan 1:

Lebih kurang pertengahan bulan Jun 2007, pada suatu malam, Sdri.  Lourence Singkul iaitu kakak kepada Sdr.  Masneh telah mendapat suatu mimpi. Dalam mimpinya itu, dia melihat Sdra. Masneh sedang menjalani praktikal di sub-zon Bingkor  bersama dengan Pdt. Seraya. Mereka seolah-olah berada di suatu tempat yang lapang, seakan-akan berada di puncak bukit yang datar bersama dengan sekumpulan orang yang berpakaian putih dan berseluar hitam.  Perasaan Sdri. Lourence ketika itu ialah mengatakan mereka adalah sekumpulan pendeta.  Dalam kumpulan itu, ada yang sedang berdiri dan ada pula yang sedang duduk seperti keadaan ketika mengambil gambar atau foto. Pada masa itu, tiba-tiba ada suatu suara yang datang dari arah kumpulan itu yang berbunyi “Saudara Masneh perlu direhatkan buat sementara waktu, sebab dia sangat menderita kerana sakit  dan badannya terlalu penat dengan pekerjaannya”. Namun Sdri. Lourence tidak melihat siapakah sebenarnya yang berkata-kata. Dia terbangun dan memikirkan perkataan ‘rehat’ yang dikatakan dalam mimpinya; kerana ada perasaan bimbang kalau-kalau perkataan ‘rehat’ yang dimaksudkan dalam mimpi itu adalah mati, maka dia berdoa sebelum  menyambung tidur semula.

Beberapa hari selepas itu, dia mendengar khabar bahawa Sdr.  Masneh sedang sakit tenat di Hospital Queen Elizabeth, KK pada 21 Jun 2007, barulah dia teringat semula tentang mimpinya itu. Pada 23 Jun 2007, Sdra. Masneh telah dipanggil oleh Tuhan tepat seperti suara yang kedengaran dalam mimpi tersebut. Sdri.  Lourence mengetahui bahawa rupa-rupanya Tuhan telah cuba memberitahunya lebih awal bahawa Sdr.  Masneh akan dipanggil oleh Tuhan dalam masa terdekat.

Penglihatan ke-2:

Pada 21 Jun 2007, khamis malam, Sdri.  Alinah Kisus mendapat penglihatan ketika mengikuti doa khas di gereja Tinuhan.  Semasa dia mendoakan Sdr.  Masneh yang sedang sakit tenat di hospital, tiba-tiba dia melihat satu senario di mana mereka sedang melawat Sdr.  Masneh di hospital.  Di sana, dia melihat Sdri.  Morina dan Sdri.  Florence Singkul.  Sdr. Masneh pula sedang berbaring di katil dengan selimutnya.  Dia melihat semua pelawat membantu doa dan selepas doa berakhir, Sdri. Alinah melihat roh Sdr. Masneh keluar dari tubuh dengan jubah putih yang panjang dan kain putih yang terikat di kepalanya sambil bersenyum dan melihat di sekeliling.  Ketika itu, Sdri. Alinah terasa sangat sedih dan tiba-tiba terdengar suara yang jelas berbunyi mengatakan:  ”Saya memang akan ambil dia”. Selepas pemberitahuan suara tersebut, Sdri. Alinah tersedar daripada penglihatan dan menyedari semula bahawa dia sedang berdoa di gereja Tinuhan.  Dia terhenti berdoa seketika merenungkan hal ini, dan seterusnya dia berdoa semula meminta agar jadilah kehendak Tuhan dan kiranya Tuhan menghibur tunang Sdr.  Masneh iaitu Sdri.  Morina.

Penglihatan ke-3:

Pada 22 Jun, semasa kebaktian malam di Gereja Tinuhan, ketika dalam doa penutup semua jemaat sedang tekun mendoakan Sdr.  Masneh yang sakit tenat.  Pada masa itu, Sdri. Lintar Bikat[4] mendapat satu penglihatan.  Dalam doa dia melihat Sdr. Masneh berjubah putih yang panjang dengan kain putih terikat di bahagian kepalanya, sedang duduk bersila dengan jubahnya menutupi tempat duduk empat segi yang tidak berkaki dan tanpa tempat bersandar, di sekitarnya terdapat lebih kurang 20 orang yang duduk di lantai sedang mendiamkan diri, kemudian beliau perlahan-lahan terangkat ke langit dengan senyuman sambil melambai-lambaikan kedua-dua tangannya. Ketika itu, kelihatan seorang perempuan yang seperti ibu Sdr. Masneh sedang membelakanginya.  Melalui penglihatan ini  Sdri. Lintar memahami bahawa ada tanda-tanda Tuhan akan memanggil Sdr.  Masneh ke pangkuan-Nya.

Penglihatan ke-4:

23 Jun, pada 4.30 petang, satu kebaktian khas diadakan di rumah Sdr.  Masneh.  Kebaktian tersebut dipimpin oleh Pnt.  Timotius dengan tajuk ”Tuhan Pergi Menyediakan Tempat”.  Semasa doa penutup berlangsung, Sdri.  Solima, Puan kepada Pdt. Seraya telah mendapat satu penglihatan.  Dia melihat satu tempat yang tinggi melangit, seolah-olah dilitupi awan atau kabus; seperti di awang-awangan.  Kelihatan ramai orang sedang berduyun-duyun menuju ke tempat yang lebih tinggi untuk menghadiri upacara pernikahan; dan mereka semua mengenakan jubah pengantin perempuan yang putih dan panjang. Sdri. Solima kemudiannya melihat Sdr. Masneh berdiri di tepi sedang berpakaian kot yang sangat baru, seperti seorang pengantin lelaki. Tempat yang mereka sedang tujui terdapat lebih ramai orang yang mengenakan jubah seperti pengantin perempuan dan mereka sedang bersedia menyambut  ketibaan Sdr.  Masneh.  Beliau memalingkan dirinya ke arah Sdri. Solima dengan wajah yang tersenyum, air mukanya berseri-seri dan sangat ceria.  Sdri. Solima merasakan bahawa jarak tempatnya dengan tempat  di mana Sdr. Masneh berada itu seolah-olah sangat jauh, tambahan pula tidak ada sebarang tangga atau laluan yang dilihat untuk menuju ke sana.  Penglihatan ini telah menghilangkan kesedihan yang dirasai  dan meyakinkan bahawa beliau benar-benar sudah berada di tempat yang terindah. Penglihatan ini lenyap ketika doa diakhiri. Penglihatan ini bukan hanya menghibur tetapi juga menghasilkan pengharapan yang hidup yang diimpikan oleh umat Tuhan.

Kesimpulan

Jika ditinjau dari sudut pandangan manusia,  kepergian Sdr.  Masneh seolah-olah terlalu awal dan kita semua belum bersedia dengan ketiadaannya. Namun kita perlu menerima kehendak Tuhan dengan iman dan kesyukuran, kerana rencana-Nya adalah yang terbaik dan masa-Nya adalah yang sempurna (Rom 12:2).  Dalam  Wahyu 14:13 memberi penghiburan dengan mengatakan:-

Berbahagialah orang yang mati dalam Tuhan, kerana mereka beristirahat daripada jerih-lelah dan perbuatan mereka menyertai mereka.

Bila mengenangkan status kesihatan beliau yang begitu lemah, sememangnya tidak mengizinkan beliau untuk meneruskan pelayanannya.  Hakikat yang perlu kita akui,  selama ini beliau cukup menderita dengan penyakitnya;  dan kini beliau telah beristirahat dan lega daripada segala penyakitnya. Tambahan pula misi beliau yang diamanatkan Tuhan di muka bumi ini telah selesai, telah tiba masa beliau menikmati hasil daripada jerih-payahnya. Sesungguhnya besar upah dan kemuliaan yang menanti beliau di Syurga. Namun kita turut bersimpati dan merasakan kesedihan daripada keluarga dan tunang Sdr. Masneh.  Marilah bersama-sama mendoakan mereka dan mengambil berat akan mereka. Kita yakin anugerah Tuhan tetap mencukupi sebagaimana Tuhan mengasihi Sdr.  Masneh dalam hidupnya, demikian juga Tuhan pasti menjaga keluarga dan tunang yang dikasihinya. Kita tidak kehilangan beliau, cuma beliau mendahului kita dan menanti saat untuk bertemu dengan kita di Syurga. Sungguh, kita amat mengharapkan saat pertemuan dengan Sdr.  Masneh di Syurga!

”Semoga Allah sumber pengharapan memenuhi kamu dengan segala sukacita dan damai sejahtera dalam iman kamu supaya oleh kekuatan Roh Kudus kamu berlimpah-limpah dalam pengharapan”.(Rom15:13)

Biografi Sdr.  Masneh Singkul  

  • Lahir pada 07 September 1978
  • Anak keenam daripada 7 orang adik beradik
  • Didapati mengalami masalah jantung berlubang pada umur 9 bulan
  • Menjalani rawatan setiap bulan sehingga berumur 12 tahun
  • Rawatan terhenti sejak 1990 sehingga tahun 1999
  • Selepas mengalami pembedahan untuk membuang apendiks pada Januari 1999, doktor memberi komen tentang masalah jantungnya
  • Bernazar akan mempersembahkan hidupnya kepada Tuhan sekiranya pembedahan jantung berjaya
  • Berjaya menjalani pembedahan untuk membaiki jantung berlubang dan mengganti injap yang rosak pada Jun 2001 di Institut Jantung Negara, KL
  • Pada November 2002, ditahan selama 1 minggu di HQE, KK kerana ‘overdose warfarin’
  • 31 Mei 2006 Sdr.  Masneh bertunang dengan Sdri.  Morina Yamin
  • Dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Keningau pada pagi 21 Jun 2007, dipindahkan ke HQE, KK pada petang 21 Jun 2007
  • Disahkan oleh doktor mengalami ’intracranial bleeding’ melebihi 35%
  • Meninggal dengan tenang pada pagi Sabat, 23 Jun 2007
  • Seorang anak, adik dan abang yang bertanggungjawab, prihatin dan penuh kasih[5]
  • Seorang tunang yang penyayang dan pengasih[6]
  • Seorang rakan yang peramah, mudah mesra, dikasihi orang & pendamai
  • Seorang hamba Tuhan yang setia, taat, cekal, inisiatif, sangat prihatin tentang jemaat dan teman sekerja[7]

[1] Ibu Sdr.  Masneh terbaca dalam buku catatannya

[2] Kidung bil. 407, 164 (tidak sempat dihabiskan, sdr Masneh dipanggil Tuhan ketika lagu ini sedang dinyanyikan)

[3] Sdr.  Masneh telah bertunang dengan Sdri.  Morina Yamin pada 31 Mei 2006

[4] Pdt. Lemuel Leong menemuramah Sdri. Lintar pada 30 Jun 2007

[5] Komen daripada keluarga

[6] Komen daripada tunangnya Sdri. Morina

[7] Komen daripada para pendeta

Sidang Editor
| |

Sidang Editor

Anda mungkin merupakan manusia biasa, yang tidak terpelajar, tidak ada status di masyarakat, bukan orang kenamaan, bukan orang penting, juga bukan orang kaya di dunia. Tetapi apabila anda mendapat layanan kasih dan penghormatan yang mulia daripada seorang raja, apakah reaksi anda?

Tentu ada di kalangan pembaca berasa bangga, rasa terharu, berasa benar-benar tidak layak dan pelbagai lagi perasaan timbul. Saat pendeta atau diakon melaksanakan sakramen membasuh kakimu, sebenarnya yang membasuh kaki anda adalah Tuhan Yesus Kristus sendiri.

Siapalah kita ini sehingga Tuhan Yesus menjamah kaki kita yang penuh dosa? Bukan setakat dijamahNya, malah dibilas dengan air, dibasuh lalu menyeka dengan kain lenan. Perasaan segan, rasa tidak layak diperlakukan sedemikian dan benar-benar terharu kepada Tuhan Yesus. Perasaan rasul Petrus juga pernah timbul di kalangan kita tatkala menerima Sakramen Pembasuhan Kaki.

Pembaca yang sudah menerima sakramen pembasuhan kaki tentu amat bersyukur kerana menerima bahagian dalam kekudusan dan anugerah keselamatan Tuhan.

Sidang pembaca, mari kita bertekad melaksanakan kasih, pelayanan, saling mengampuni dan menjaga kekudusan demi membalas kasih Yesus Kristus. Kiranya buku kecil ini menyajikan dorongan dan semangat baru bertitik tolak dari semangat sakramen pembasuhan kaki. Amen.