Mengasihi Musuh-Musuh Kita
| |

Mengasihi Musuh-Musuh Kita

TETAPI AKU BERKATA KEPADAMU: KASIHILAH MUSUHMU, BERKATILAH MEREKA YANG MENGUTUK KAMU BERBUAT BAIKLAH KEPADA MEREKA YANG MEMBENCI KAMU DAN BERDOALAH UNTUK MEREKA YANG SUKA MENGAMBIL KESEMPATAN KE ATAS KAMU DAN MENGANIAYA KAMU. (MAT 5:44)

Inti Alkitab berkisar tentang kasih, mengajar kita cara untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi manusia. Kasih adalah tujuan dan motivasi untuk hidup. Dengan adanya kasih, hidup lebih mengagumkan dan ceria; tanpanya, hidup ini begitu membosankan, juga tidak menarik. Tuhan Yesus memberitahu bahawa kita perlu memikul salib sendiri dan mengikuti-Nya.  Ajaran di sebalik salib ini adalah pengajaran kasih, yang melambangkan hubungan antara Tuhan dan kita, juga hubungan antara sesama kita.

Ia adalah mudah, sudah tentu, untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi orang yang mengasihi kita adalah balasannya. Namun, bukannya mudah untuk mengasihi mereka yang tidak tahu mengasihi kita. Malah Tuhan Yesus sendiri mengajar kita bukan sekadar mengasihi musuh tetapi juga mendoakan mereka yang menganiaya kita (Mat 5:44).  Nampaknya, perkara ini akan menjadi tugas yang lebih sukar, namun apabila kita mempertimbangkan bagaimana Yesus dan Stefanus mampu melakukannya, patutkah kita sebagai orang yang bersungguh-sungguh mengikuti Kristus boleh gagal dalam hal ini?  Kita harus mengingat bahawa beban salib terletak pada jenis kasih seperti ini.  Alkitab ada memberitahu kita alasannya, mengapa kita patut mengasihi musuh kita.

MENGAPA KITA PATUT MENGASIHI

Kerana Yesus Terlebih Dahulu Telah Mengasihi Kita

Sekiranya Yesus tidak datang ke dunia ini dalam rupa manusia dan membebaskan kita daripada dosa dengan menumpahkan darah-Nya sendiri, suatu hari kelak kita tidak akan mampu untuk berdiri di hadapan Tuhan tanpa dimurkai. Sewaktu kita masih berdosa, Tuhan telah menghantar Anak-Nya yang tunggal sebagai korban untuk menebus dosa kita kerana Dia amat mengasihi kita.

Kerana  begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal. Sebab Allah mengutus Anak-Nya ke dalam dunia bukan untuk menghakimi dunia, melainkan untuk menyelamatkannya oleh Dia. Barangsiapa percaya kepada-Nya, ia tidak akan dihukum; barangsiapa tidak percaya, ia telah berada di bawah hukuman, sebab ia tidak percaya dalam nama Anak Tunggal Allah. (Yoh 3:16-18)

Adalah suatu anugerah yang menghairankan kerana menjadi umat pilihan Tuhan pada hari ini. Ini merupakan suatu perubahan besar yang berlaku kepada kita;  suatu ketika dahulu, kita berada di ambang kemusnahan, tetapi sekarang kita adalah Anak-Nya. Disebabkan Tuhan begitu mengasihi kita, sepatutnya kita mencontohi kasih Kristus dengan cara mengasihi mereka yang memerlukan kasih kita.

Dalam Matius 18:23-35, Yesus menceritakan perumpamaan tentang hamba yang berhutang kepada tuannya sebanyak 10 ribu talenta. Seringkali kita adalah seperti hamba ini – kita tahu bagaimana untuk menerima kasih Tuhan, tetapi kita tidak tahu bagaimana untuk melaksanakannya ke atas orang yang memerlukan. Kita mungkin menjadi marah apabila kita membaca tentang hamba tersebut dalam perumpamaan ini kerana kita berfikir bahawa dia terlalu kejam. Tetapi kita tidak menyedari bahawa kita sebenarnya tidak jauh berbeza daripada hamba yang kejam itu; apabila kita mengkritiknya, sesungguhnya kita mengkritik diri kita sendiri.

Menyisihkan Halangan Doa

“Sebab itu,  jika engkau mempersembahkan persembahanmu di atas mezbah dan engkau teringat akan sesuatu yang ada dalam hati saudaramu terhadap engkau, tinggalkanlah persembahanmu di depan mezbah itu dan pergilah berdamai dahulu dengan saudaramu, lalu kembali untuk mempersembahkan persembahanmu itu.” (Mat 5:23-24)

Dalam ayat tersebut, Yesus mengingatkan kita akan kepentingan perdamaian.  Mezbah mewakili doa, sebagai satu cara untuk bertemu dan mendekati Tuhan.  Jika kita memohon untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan Tuhan, dan inginkan agar Dia menerima persembahan kita, pertama sekali kita haruslah berdamai semula dengan mereka yang telah melakukan sesuatu yang menentang kita; kerana Tuhan akan menerima doa dan persembahan kita hanya setelah kita dapat menyempurnakan tanggungjawab ini.

Pergaduhan biasanya disebabkan oleh kelemahan kedua-dua belah pihak.  Petikan daripada ayat alkitab tersebut memberikan penekanan mengenai orang yang cuba untuk membuat persembahan kepada Tuhan; dan yang terpenting lagi, petikan ini mengatakan bahawa ada seseorang yang berdendam terhadapnya, bukan dia yang mempunyai dendam terhadap orang lain. Kemungkinan orang yang cuba untuk membuat persembahan tersebut pernah ada perbantahan atau sedikit perselisihan pendapat dengan orang lain dan sudahpun melupakan tentang perkara tersebut atau telahpun memaafkan pihak yang lain. Namun, dia  tidak ada membuat percubaan untuk berdamai, sementara pihak lain pula masih tidak puas hati terhadapnya. Kesannya, persembahannya tidak akan dibenarkan dan juga tidak mampu untuk menyenangkan hati Allah apabila dia mempersembahkan korban persembahannya kepada Allah.

Sekiranya kita inginkan doa-doa dan pekerjaan kita diterima oleh Allah, kita haruslah terlebih dahulu mengasihi musuh-musuh kita, dan mereka yang masih tidak menyenangi kita.  Ini adalah satu-satunya cara agar Tuhan berkenan dengan semua yang kita persembahkan.

Allah Mengampuni Kita Apabila Kita Mengampuni Orang Lain

“Kerana jikalau kamu mengampuni kesalahan orang, Bapamu yang di sorga akan mengampuni kamu juga. Tetapi jikalau kamu tidak mengampuni orang, Bapamu juga tidak akan mengampuni kesalahanmu.”

Jika kita mampu untuk memaafkan orang lain, lalu jika kita kebetulan menyinggung perasaan seseorang, orang tersebut kemungkinan besar akan memaafkan kita. Hanya melalui kitaran positif seperti ini, perhubungan sesama  orang dapat kekal bahagia. Juga, dengan membuka halangan di antara Tuhan dan kita yang ditimbulkan oleh dosa, kita akan memperolehi keampunan-Nya untuk kesalahan-kesalahan kita yang lalu, dan juga merapatkan jarak antara kita dan Tuhan.

Petrus pada suatu ketika dahulu pernah bertanya kepada Yesus tentang berapa kerapkah kita patut memaafkan orang lain (Mat 18:21-22). Petrus berfikir bahawa adalah suatu pencapaian yang agak hebat untuk mampu memaafkan orang lain sebanyak tujuh kali bagi kesalahan yang mereka lakukan, tetapi jawapan yang diberikan Yesus telah mengejutkannya: Yesus berkata bahawa kita harus mengampuni orang lain sebanyak tujuh puluh kali tujuh kali. Kelihatannya sukar bagi kita walaupun sekadar bersua muka dengan orang yang telah bersalah terhadap kita, justeru, adalah sesuatu yang benar-benar menakjubkan untuk mampu memaafkan seseorang sebanyak tujuh puluh kali tujuh kali.  Sebenarnya, apa yang dimaksudkan Yesus ialah kita tidak sepatutnya memikirkan tentang berapa kerapnya orang lain menyakitkan hati kita, tetapi kita patut memaafkan mereka tanpa syarat, sebagaimana Dia telah mengampuni kita. Dengan berbuat demikian kita boleh dianggap sebagai anak-anak Tuhan yang sebenar.

Kita Mengasihi Allah dengan Mengasihi Mereka yang Berada di sekeliling Kita

“Kita mengasihi kerana Allah lebih dahulu mengasihi kita. Jikalau seseorang berkata: “Aku mengasihi Allah,” dan ia membenci saudaranya, maka ia adalah pendusta, kerana barangsiapa tidak mengasihi saudaranya, maka ia adalah pendusta, kerana barangsiapa tidak mengasihi saudaranya yang dilihatnya, tidak mungkin mengasihi Allah yang tidak dilihatnya. Dan perintah ini kita terima dari Dia: barangsiapa mengasihi Allah, ia harus juga mengasihi saudaranya.” (I Yoh 4:19-21)

Yesus juga ada memberitahu kita, “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam Roh dan kebenaran” (Yoh 4:24). Ramai orang meletakkan usaha yang sangat banyak dalam penyembahan mereka sendiri kepada Tuhan tetapi mereka sendiri masih samar dan kurang jelas akan maksud perintah-perintah-Nya. Demi menunjukkan kasih mereka terhadap Tuhan, mereka membaca Alkitab, mengadakan persahabatan dan doa, dan menyanyikan pujian kepada-Nya setiap hari. Tetapi mereka tidak sempurna dalam kasih untuk Tuhan, kerana mereka gagal untuk mengasihi orang lain tanpa syarat. Seringkali juga mereka terus menyimpan dendam dan membenci orang lain, dan mereka mempunyai ramai musuh.  Terdapat percanggahan yang ketara di antara cara mereka menyembah dan cara mereka memperlakukan orang lain.  Rasul Yohanes turut memikirkan sikap-sikap yang dinyatakan tadi apabila dia mengatakan, “Jikalau seseorang berkata: ‘Aku mengasihi Allah,’ dan ia membenci saudaranya, maka ia adalah pendusta”  (I Yoh 4:20).  Kasih yang kita tunjukkan terhadap saudara-saudara kita adalah yang terbaik dan cara yang paling sesuai untuk menunjukkan kasih kita kepada Allah.

Berdasarkan apa yang diketengahkan, kita telah mempertimbangkan sebab dan alasan mengapa kita patut mengasihi musuh-musuh kita. Tetapi, bagaimanakah kita patut mengasihi mereka?

BAGAIMANA UNTUK MENGASIHI DENGAN SEMPURNA

Mengasihi dari dalam Hati Kita

Ramai orang mengingat bahawa sudah memadai mengasihi musuh dengan tidak berkata apa-apa dan hanya menanggung semua serangan dengan kata-kata saja.  Mereka mungkin akan membenci orang lain jauh ke dalam lubuk hati mereka, namun mereka mampu untuk menyembunyikan kemarahan mereka dan tidak mendedahkannya di depan musuh mereka.  Kemungkinan selepas itu, mereka kemudiannya akan mengatakan hal yang buruk tentang orang itu di belakang sebagai usaha untuk melegakan kekecewaan yang mereka rasakan atau cuba untuk mendapatkan sokongan dan persetujuan daripada orang lain. Kemungkinan juga mereka akan menghadapi masalah dalam pemakanan, atau tidur mereka akan terganggu selagi mereka terus memikirkan tentang kejadian-kejadian yang menyedihkan.  Mereka melalui kesukaran sebegini kerana mereka belum memaafkan orang lain.

Ini bukanlah cara yang Yesus ajarkan kepada kita dalam hal mengasihi musuh kita. Dia mengajar kita untuk memaafkan mereka sepenuhnya, daripada lubuk hati kita yang dalam, dan membiarkan mereka merasai kasih kita; dengan demikian kita akan dapat mengubah mereka daripada musuh menjadi sahabat kita. “Tetapi kepada kamu yang mendengarkan Aku, Aku berkata: Kasihilah musuhmu, berbuatlah baik kepada orang yang membenci kamu; berdoalah bagi orang yang mencaci kamu. Barangsiapa menampar pipimu yang satu, berikanlah juga kepadanya pipimu yang lain” (Luk 6:27-29).

Yesus menekankan perlunya bagi kita untuk benar-benar memaafkan seseorang yang menyalahkan kita, bukan setakat bertindak balas kepadanya secara pasif.  Jika kita benar-benar mengasihi orang lain, kita akan mampu memaafkan bukan hanya mereka yang menampar pipi kita tetapi juga mereka yang memukul kita dengan kayu atau bahkan yang mencuba untuk membunuh kita.  Kalaulah kita mempunyai jenis kasih seperti ini, kita adalah di antara mereka yang memikul salib bersama Kristus.

Memberkati Mereka

Tuhan akan menghakimi kita melalui perkataan yang kita ucapkan sebagai orang Kristian. Itulah sebabnya Paulus mendorong pemercaya di Roma dengan mengatakan: “Berkatilah siapa yang menganiaya kamu, berkatilah dan jangan mengutuk!” (Rom 12:14). Apabila kita memperkatakan tentang tindakan mengasihi musuh kita, kita patut mengingati ayat yang berikut:

“Kamu telah mendengar firman: Mata ganti mata dan gigi ganti gigi. Tetapi Aku berkata kepadamu: Janganlah kamu melawan orang yang berbuat jahat kepadamu, melainkan siapa pun yang menampar pipi kananmu, berilah juga kepada pipi kirimu. Dan kepada orang yang hendak mengadukan engkau kerana mengingini bajumu, serahkanlah juga jubahmu. Dan siapa pun yang memaksa engkau berjalan sejauh satu mil, berjalanlah bersama dia sejauh dua mil. Berilah kepada orang yang meminta kepadamu dan janganlah menolak orang yang mau meminjam dari padamu. (Mat 5:38-42)

Biasanya, kita mungkin berasa bahawa penyataan sebenar tentang mengasihi musuh-musuh kita adalah agak mustahil, dan ini memang masih tidak mencukupi untuk mengekalkan keharmonian pada zahirnya; kita perlu melangkah mara ke depan dengan memohon kepada Tuhan agar memberkati musuh kita. Ajaran ini tidak dapat dicari dalam mana-mana buku, hanya di dalam Alkitab kita mampu menemui kasih yang sempurna. Sebelum Stefanus mati demi Yesus, dia berdoa kepada Tuhan dengan mengatakan, “Tuhan, janganlah tanggungkan dosa ini kepada mereka!” (Kis 7:60). Stefanus adalah manusia biasa seperti kita, dan dia merasakan kesakitan ketika dia diserang. Bukan sahaja dia tidak meminta Tuhan mengutuki mereka yang menganiayanya, sebaliknya dia memohon agar Tuhan tidak menanggungkan dosa tersebut kepada mereka.

Kasih seperti ini adalah sesuatu yang harus dimiliki oleh setiap umat Kristian, kerana Allah kita adalah kasih dan Dia mahu kita mempunyai kasih seperti-Nya (I Yoh 4:7-8). Tuhan Yesus telah memerintahkan 12 orang murid-Nya untuk mengabarkan Injil dan untuk menyampaikan salam kepada setiap keluarga yang mereka temui.  Jika keluarga tersebut layak menerima salam tersebut, salam yang diucapkan itu akan akan turun ke atas mereka; tetapi jika keluarga tersebut tidak layak, salam akan kembali kepada murid-murid-Nya (Mat 10:11-13), kerana hanya berkat yang patut diberikan, dan bukannya kutukan.

Berdoa untuk Mereka

Mungkin kelihatan sudah cukup untuk memberikan musuh kita kasih tambahan dan memberkati mereka. Tetapi itu masih bukan kasih yang sempurna, kerana kita juga harus mendoakan mereka (Luk 6:28). Kita yang bersifat daging adalah selalu lemah, dan mungkin ada masanya kita bertindak terburu-buru, ada kalanya panas baran kita timbul dengan mudah sekali, dan ada masanya kita memandang rendah kemampuan orang lain atau memandang mereka dengan benci. Kesemua kelemahan ini boleh membawa kepada kebarangkalian berlakunya konflik. Oleh itu, di samping berdoa untuk musuh kita, kita juga berdoa untuk diri kita sendiri. Kita harus mampu mengaku pelanggaran kita sendiri dan saling mendoakan (Yak 5:16) agar dalam pandangan Allah, kita dapat menyenangkan hati-Nya.

Jangan Bermegah Terhadap Nasih Malang Mereka

Ams 24:17-18 memberitahu kita, “Jangan bergembira apabila musuhmu jatuh, jangan hatimu beria-ia kalau ia terperosok, supaya TUHAN tidak melihatnya dan menganggapnya jahat, lalu memalingkan murkanya daripada orang itu…”

Walau betapa teruk sekalipun musuh kita, kita harus menerima apa yang berlaku tanpa menyalahkan mereka. Jika kita mempersalahkan mereka, perasaan marah, kecewa, dan dendam akan menguasai pemikiran kita.  Paulus memberitahu kita bahawa kita tidak boleh membalas dendam untuk diri kita tetapi memberi jalan dan menunggu penghakiman daripada Allah. Kerana ada tertulis, “Pembalasan itu adalah hakKu. Akulah yang menuntut pembalasan, firman Tuhan” (Rom 12:19).   Dengan berbuat baik kepada seteru kita, kita akan menumpukkan bara api di atas kepalanya. (Rom 12:20)

Jika kita melihat musuh kita dihukum atau didisiplinkan oleh Tuhan, kita tidak patut bermegah-megah. Sebaliknya kita patut mempunyai hati simpati supaya Tuhan tidak akan mengarahkan kemurkaan-Nya kepada kita.

Petrus mendorong kita untuk mengasihi antara satu sama lain dan mengasihi mereka yang menganiaya kita supaya kita  dapat mewarisi berkat (I Ptr 3:8-9).  Dalam cara ini kita layak menjadi Anak-anak Tuhan, dapat mewarisi Kerajaan Syurga yang kekal, kerana di dalam Kerajaan Syurga, tiada kebencian.  Marilah kita semua bergantung kepada Tuhan untuk mengasihi antara satu sama lain.

Mencari Kedamaian
| |

Mencari Kedamaian

Jennifer Zon – Dallas, Texas, USA

Kita dibebani dengan pekerjaan, keluarga, dan kemungkinan juga tugas-tugas di gereja yang akan membuatkan kita merasa berat dengan beban dan kerisauan, tidak dapat mengalami kegirangan dan kebebasan yang Tuhan telah janjikan.  Sekembali ke rumah dari kelas suatu hari, saya mendapati rumah saya begitu berselerak – pinggan mangkuk perlu dicuci, stoking-stoking perlu dipungut, anak-anak memerlukan perhatian – dan saya perlu lagi meluangkan masa untuk gereja dan kerja sekolah.  Saya ingin sekali berteriak sekuat hati,  “Berikan saya rehat!”

Saya berasa marah dan cukup bosan. “Kehidupan adalah sangat tidak adil!” Saya berbantah kepada diri saya sendiri. Kesemua tanggungjawab ini semakin menimbun seperti beban pada bahu saya. Saya tertanya-tanya, “Adakah kehidupan seperti ini yang Tuhan aturkan untuk saya?”

Sifat Rendah Hati Adalah Kunci

Pada suatu malam ketika kebaktian, kami merujuk Matius 11:28.  Perkataan lemah lembut daripada Tuhan Yesus memberi kesan di hati saya: “Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberikan kelegaan kepadamu.” Saya telah berfikir, “Inilah yang sebenarnya saya perlukan, tetapi bagaimana?” Ayat 29 dan 30 memberikan penjelasan, “Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah daripadaKu, kerana Aku lemah-lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan. Sebab kuk yang kupasang itu enak dan bebanKu pun ringan.”

Pada malam itu, Tuhan Yesus telah memberikan saya jawapan yang saya cari-cari selama ini! Dia mengarahkan saya untuk belajar daripada-Nya, untuk menjadi lemah- lembut dan rendah hati. Hanya dengan itu jiwa saya akan mendapat ketenangan. Tetapi saya mempunyai satu soalan: Apakah ‘rendah hati’?  Rendah hati memiliki makna yang sangat abstrak. Bagaimanakah seseorang dapat memahaminya?  Saya telah berazam untuk mencari jawapan tersebut.

Mengalihkan Perhatian daripada Dirimu

Suatu fakta yang menarik tentang kerendahan hati dan maruah telah mencuit perhatian saya sewaktu saya membaca sebuah keluaran Kristian. Keluaran tersebut menjelaskan bahawa kerendahan hati ialah fokus kepada luaran, manakala maruah adalah fokus kepada dalaman. Dengan perkataan lain, maruah adalah pencarian diri, tetapi kerendahan hati ialah sebaliknya.  Bagi saya, perkara tersebut tidak begitu saya fahami pada mulanya, tetapi berdasarkan pada kajian selanjutnya, perkara tersebut benar-benar memberi kesan di hati saya.  Kerendahan hati bukanlah tentang menidakkan pujian atau memandang rendah terhadap diri sendiri; tetapi ia adalah berkenaan tidak memikirkan tentang diri sendiri sama sekali.

Apabila Tuhan memanggil Musa untuk memimpin umat Israel keluar dari Mesir, Musa asyik menolak  sehingga Tuhan murka kepadanya (Kel 4:14).   Mengapakah Tuhan murka kepadanya kerana mengatakan pernyataan yang sangat rendah hati seperti “Siapakah saya?” dan “Saya tidak petah bicara?”   Dengan mengatakan perkara tersebut, dia lebih memuliakan dan menyanjung pendapatnya sendiri daripada perintah Tuhan. Dia mengatakan bahawa dia lebih mengetahui dirinya sendiri, dan Tuhan telah salah memilih orang.

Tambahan pula, Musa tidak memikirkan tentang kebebasan teman-teman sebangsanya, bani Israel tetapi sebaliknya berfikir tentang dirinya. Dia bimbang akan kemungkinan bertindak bodoh di hadapan ramai orang, walaupun selepas Tuhan meyakinkannya berulang-kali dari semasa ke semasa bahawa Dia akan menyertainya. Musa lebih bimbang tentang kebolehannya sendiri daripada mempercayai kekuasaan Tuhan.

Saul dan Daud juga adalah contoh klasik Kitab Suci yang mendemonstrasikan watak mengenai ‘maruah’ lawan ‘kerendahan hati’.  Apabila Saul mendengar perempuan-perempuan Israel menyanyi dan memuji Daud melebihi dirinya (1 Sam 18:7), dia telah menjadi marah dan iri hati. Mengapa?  Kerana Saul angkuh.  Berbanding bergembira bersama dengan rakyat atas kemenangan yang dicapai dalam perjuangan mengalahkan Goliat, fokusnya adalah pada dirinya sendiri. Dia risau tentang reputasi dan kerajaannya, dan dia marah kerana dia tidak mendapat pujian daripada orang ramai sebagaimana yang diterima Daud.

Dalam pada itu, Daud mendemonstrasikan kerendahan hatinya dalam dua peristiwa yang berlaku, iaitu dia menyelamatkan nyawa Saul.  Daripada mencari keuntungan dirinya sendiri, fokusnya adalah pada kehendak Tuhan.   Baginya, menghormati orang yang diurapi Tuhan adalah lebih penting daripada segala-galanya, walaupun ketika nyawanya berada di hujung tanduk (1 Sam 26:9).  Akhirnya, Tuhan meninggikan Daud lebih daripada Saul, kerana “Tuhan menentang orang yang congkak, tetapi mengasihani orang yang rendah hati” (Yak 4:6).

Mencari Keperluan Orang Lain

1 Petrus 5:6-7 memberitahu kita, “Kerana itu rendahkanlah dirimu di bawah tangan Tuhan yang kuat, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktunya. Serahkanlah segala kekhuatiranmu kepada-Nya, sebab Ia yang memelihara kamu.” Dengan menyerahkan semua kekhuatiran kita kepada Tuhan, kita mengalihkan perhatian daripada diri kita, dan beban berat kita diringankan.

Ada seorang pemuda yang telah melawat seorang pastor di Dallas; dan kesedihan telah mencengkamnya selama 9 bulan. Selepas mendengar ceritanya, pastor tersebut tidak menawarkan nasihat tetapi menuliskan satu nama dan nombor bilik hospital di atas sekeping kertas dan berkata, “Orang ini harus dikunjungi pada hari ini, tetapi saya tidak mempunyai waktu. Bolehkah kamu singgah dalam perjalanan pulang kamu dan melawatnya untuk saya?”

Pemuda tersebut terkejut, namun dia bersetuju untuk pergi. Kemudian sesuatu yang luar biasa telah berlaku.  Apabila dia melawat pesakit tersebut, tahap keperitan kesedihannya telah dihancurkan. Dia telah dibebaskan. Mengapa? Sebab akhirnya ia fokus kepada seseorang yang lain, berbanding dengan memfokuskan kepada dirinya saja.[1]

Melalui mengajar kanak-kanak dalam kelas pendidikan agama, saya mempunyai pengalaman yang hampir sama. Biasanya, kelas selalu sahaja tidak dapat diuruskan, dan kebanyakan pelajar juga kurang menghormati orang dewasa. Saya tidak memahami kenapa mereka bersikap demikian, tetapi saya tiada waktu untuk memikirkannya, atau peduli dengan semua itu.  Walaupun saya melakukan perkara yang baik dengan bekerja untuk Tuhan, saya tidak dapat merasakan ketenangan dan kegembiraan. Sebaliknya, ia merupakan suatu beban.

Namun , apabila saya mengalihkan tumpuan daripada diri saya, sesuatu yang ajaib telah mula berlaku. Saya memilih untuk mengambil perkataan Tuhan untuk perkara tersebut dan “menyerahkan semua kekhuatiran saya kepada-Nya. Kemudian saya menyenaraikan keperluan kanak-kanak tersebut – emosi yang sihat, berasa selamat, kasih sayang, penghargaan, bebas daripada perasaan bersalah dan juga pengalaman baru. Sebelum saya mula untuk merancang sesuatu pembelajaran, saya mengutarakan soalan ini, “Bagaimanakah saya memenuhi keperluan mereka?”  Keputusannya sangat menakjubkan. Kanak-kanak tersebut bertambah minat dan lebih menumpukan perhatian;  Tuhan turut menggerakkan hati mereka.

Betapa berbezanya apabila saya mengambil perkataan Tuhan dan mengalihkan perhatian daripada diri saya kepada murid-murid saya. Saya dibebaskan daripada kebimbangan saya, dan beban mengajar juga terasa ringan.  Sukacita daripada Tuhan terasa dalam diri saya. Salah satu ciri kasih ialah “Tidak mencari keuntungan diri sendiri” (I Kor 13:5). Terdapat suatu hubungan secara langsung di antara kerendahan hati dan kasih, kerana hanya mereka yang rendah hati saja yang benar-benar mampu untuk mengasihi. Dalam Yohanes 15:11-12, Tuhan Yesus berkata:

“Semuanya itu Kukatakan kepadamu, supaya sukacita-Ku ada di dalam kamu dan sukacitamu menjadi penuh. Inilah perintah-Ku, iaitu supya kamu saling mengasihi, seperti Aku telah mengasihi kamu.”

Yesus mengetahui kerendahan hati yang sebenar dan Dia adalah yang Maha Penyayang dan yang paling mengambil berat. Tambahan pula, Dia diurapi dengan minyak kesukaan melebihi semua orang (Mzm 45:7). Kerendahan hati memberikan kebaikan kepada seseorang dalam pelbagai cara. Kerendahan hati memberi kita bukan sahaja istirahat dan ketenangan, malah ia turut mengundang berkat kesukacitaan hadir bersama-sama.

Beristirahat Dalam Kasih Tuhan

Sebelum kita mempunyai hubungan yang berjaya dengan orang lain, kita harus memastikan bahawa hubungan kita dengan Tuhan adalah dalam kedudukan yang tepat. Alkitab berkata, “Kita mengasihi kerana Dia lebih dahulu mengasihi kita” (I Yoh 4:19).

Apabila seseorang itu memerlukan kasih, dia adalah seperti cawan kosong yang perlu diisi. Salah satu senjata maut Syaitan adalah menimbulkan keraguan kita tentang kasih Tuhan. Syaitan berbisik kepada kita, “Kamu tidak cukup bagus untuk-Nya,” dan “Mengapa Tuhan akan menyayangi seseorang seperti kamu?” Syaitan menekankan ketidakcukupan kita sendiri, melebihi anugerah, penyucian dan juga kekuasaan Tuhan. Itulah sebabnya mengapa kita perlu untuk membentengi diri sendiri dengan iman untuk menghalang panah api (Efe 6:16).

Tuhan berkata, “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal” (Yer 31:3), dan “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal (Yoh 3:16).”  Kitab Suci mengisytiharkan bahawa tidak ada apa-apapun yang boleh memisahkan kita daripada kasih Tuhan.

“Sebab aku yakin, bahawa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita”(Rom 8:38-39).

Kasih yang dijanjikan Tuhan adalah memenuhi dan tidak gagal. Hanya apabila kita yakin akan kasih Tuhan, barulah akan mengubah pandangan kita. Kita berubah daripada sebuah cawan kosong kepada cawan yang penuh, bersedia untuk memberi. Kita tidak akan lagi bermasalah dengan dunia kebimbangan kita sendiri tetapi sebaliknya mula untuk berfikir tentang apa yang boleh kita lakukan untuk membantu orang lain. Itu mungkin akan membina dan meneguhkan kepercayaan mereka dan untuk memajukan Kerajaan Allah.

Setiap hari kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, “ Apakah panggilan Tuhan untuk saya?” Janganlah meremehkan walaupun hanya perbuatan yang kecil, kerana meskipun sekadar mimik atau aksi,  atau kata-kata yang baik, ia seumpama titik-titik air yang menitis; membantu untuk membentuk lautan yang luas. Perkara terpenting adalah untuk menjadi sebahagian daripadanya dan untuk menyedari bahawa setiap satu daripada kita boleh menjadi titisan yang penting.

Kesedaran tersebut telah memperkayakan pengalaman saya. Pekerjaan berat semalam telah menjadi suatu peluang berharga kepada saya untuk melayani pada saat ini. Walaupun adakalanya saya mempunyai suatu kecenderungan untuk berbalik kepada yang asal, kembali kepada gaya pencarian diri, dengan kasih karunia Allah dan dengan lebih banyak latihan, masa depan nampaknya agak cerah.

Mencari ketenangan untuk jiwa kita tidak bermakna membebankan diri kita dengan tanggungjawab yang kita pikul, tetapi berdepan dengan komitmen tersebut dengan sikap yang baru; dengan hadirnya kekuatan kata-kata dan janji di sebaliknya kepada kita, kerana kita telah “diubah oleh pembaharuan budi kita” (Rom 12:2). Belajarlah daripada kerendahan hati dan Roh Yesus yang lemah-lembut, dan kamu akan memenuhi hukum kasih.  Paling penting ialah tinggal tetap dalam Yesus (Yoh 15:5). Teruslah bertumbuh dalam iman melalui doa dan kata-kata yang berharga di dalam Alkitab. Hanyalah di dalam Kristus kita akan menemui hidup, harapan, sukacita dan damai sejahtera. “Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku” (Flp 4:13).


[1] “Dispelling the Gloom of Depression,”  in Rick Howard, Jamie Lash, and Jack  W. Hayford, This Was Your Life!:  Preparing to Meet God Face to Face (Chosen Books, 1998)