Hari Sabat merupakan perintah keempat dalam kesepuluh firman. Ada orang beranggapan bahawa kesepuluh firman merupakan sesuatu yang lama, yang dipegang oleh orang Israel, maka Kristian tidak perlu memegangnya. Jika begitu, marilah kita bersama-sama mengkaji sama ada kesepuluh firman telah ditiadakan.
- Ada orang yang menggunakan Luk 24:44; Kis 13:29, 15:5, 24; Rm 10:4; Luk 3:19-25; Yeh 2:14-17; Ibr 7:18-19 dan ayat-ayat yang lain (untuk maklumat terperinci, sila rujuk bab-bab seterusnya) untuk mengatakan bahawa Tuhan telah meniadakan kesepuluh firman. Namun jika kita mengkaji setiap ayat di atas secara terperinci, tidak ada satu pun ayat yang membincangkan tentang kesepuluh firman secara khususnya.
- Sebenarnya di sini Tuhan sedang menegaskan bahawa hukum Taurat perjanjian lama bukan sahaja tidak ditiadakan, sebaliknya digenapi dan diperkukuhkan:
“Janganlah kamu menyangka, bahawa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakannya, melainkan untuk menggenapinya (Mat 5:17).
Jika demikian, adakah kami membatalkan hukum Taurat kerana iman? Sama sekali tidak! Sebaliknya, kami meneguhkannya. (Rm 3:31)
Malah Tuhan juga pernah berfirman bahawa sekiranya ada orang yang ingin menurut “perintah” (bukan hukum Taurat) ini dan mengajar manusia melaksanakannya, ia akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Syurga. Jelas sekali barangsiapa menuruti dan menyebarkan kesepuluh firman maka pasti diselamatkan, malah akan mendapat kemuliaan yang lebih besar:
Kerana itu siapa yang meniadakan salah satu perintah hukum Taurat sekalipun yang paling kecil, dan mengajarkannya demikian kepada orang lain, ia akan menduduki tempat yang paling rendah di dalam Kerajaan Sorga; tetapi siapa yang melakukan dan mengajarkan segala perintah-perintah hukum Taurat, ia akan menduduki tempat yang tinggi di dalam Kerajaan Sorga (Mat 5:19).
‘Menggenapi’ yang dikatakan oleh Tuhan adalah menjelaskan Kesepuluh Firman dan Hukum Taurat yang lain, supaya bayangan menjadi objek yang nyata.
- Seterusnya Dia berkata bahawa jika hidup keagamaanmu tidak lebih benar dari pada hidup keagamaan ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, sesungguhnya kamu “tidak akan masuk” ke dalam Kerajaan Sorga, tidak dapat diselamatkan:
Maka Aku berkata kepadamu: Jika hidup keagamaanmu tidak lebih benar dari pada hidup keagamaan ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi, sesungguhnya kamu tidak akan masuk ke dalam Kerajaan Sorga (Mat 5:20).
Kemudiannya Dia mengambil firman keenam dari kesepuluh firman sebagai contoh. Tuhan sememangnya membincangkan kesepuluh firman di sini; malah ditegaskan bahawa Kristian harus memegang kesepuluh firman lebih daripada pemimpin-pemimpin agama Yahudi barulah mempunyai kemungkinan untuk diselamatkan. Mengapa pula terdapat orang yang membantah Tuhan dan mengatakan bahawa Kristian tidak perlu memegang kesepuluh firman?
- Ada orang mengatakan bahawa Tuhan pernah memberi petunjuk agar kita melakukan sembilan daripada sepuluh firman, namun hanya firman keempat di mana Tuhan tidak pernah memberi petunjuk untuk melakukannya. Sila rujuk:
Mereka tiba di Kapernaum. Setelah hari Sabat mulai, Yesus segera masuk ke dalam rumah ibadat dan mengajar (Mrk 1:21).
Kemudian Yesus pergi Kapernaum, sebuah kota di Galilea, lalu mengajar di situ pada hari-hari Sabat (Luk 4:31).
Pada suatu hari Sabat lain, Yesus masuk ke rumah ibadat, lalu mengajar. Di situ ada seseorang yang mati tangan kanannya (Luk 6:6).
Pada suatu kali Yesus sedang mengajar dalam salah satu rumah ibadat pada hari Sabat (Luk 13:10).
Tuhan Yesus sendiri bukan sahaja memegang hari Sabat, Dia juga menyatakan bahawa Dia ialah Tuhan atas hari Sabat (Mat 12:8; Mrk 2:28; rujuk nas sebelum ini); Nampaknya Dia bukan sahaja memberi petunjuk, malah juga melakukannya. Cuma terdapat kelainan dari segi cara Tuhan memegangnya dan konsep dengan orang Yahudi. Adakah teladan yang ditunjukkan oleh Tuhan sendiri masih tidak mencukupi?
- Sila lihat kembali isi kandungan kesepuluh firman, perintah yang manakah diperbolehkan untuk tidak dipegang oleh Kristian:
Perintah Pertama: Jangan ada padamu allah lain di hadapan-Ku; Adakah Kristian boleh mengakui allah-allah lain selain daripada Tuhan Yesus, Allah yang benar? Bolehkah menganggap baal, penunggu kota, Venus, sebagai Allah?
Perintah Kedua: Jangan membuat bagimu patung dan jangan sujud menyembah kepadanya: Adakah Kristian boleh mengukir patung berhala dan menyembah kepadanya?
Perintah Ketiga: Jangan menyebut nama Tuhan, Allahmu, dengan sembarangan: Adakah Kristian boleh menyebut nama kudus Tuhan dengan sembarangan?
Perintah Kelima: Hormatilah ayahmu dan ibumu: Bolehkah Kristian tidak menghormati ibu bapa?
Perintah Keenam: Jangan membunuh: Adakah Kristian boleh membunuh manusia?
Perintah Ketujuh: Jangan berzinah: Adakah Kristian boleh berzinah dan melakukan percabulan?
Perintah Kelapan: Jangan mencuri: Adakah Kristian boleh menjadi pencuri dan perompak?
Perintah Kesembilan: Jangan mengucapkan saksi dusta tentang sesamamu: Adakah Kristian boleh mengucapkan saksi dusta untuk mencelakakan orang lain?
Perintah Kesepuluh: Jangan mengingini rumah sesamamu: Adakah Kristian boleh mengingini isteri dan harta orang lain?
Adakah semuanya ini hanya dipatuhi oleh orang-orang Yahudi? Jelas sekali, Kristian perlu memegang sembilan firman di atas. Adakah dari antara kesepuluh firman, hanya perintah keempat sahaja yang lain daripada yang lain dan diperbolehkan untuk tidak memegangnya? Di mana tercatat perintah sebegini dalam Alkitab? Tambahan pula, Dia bukan sahaja membincangkan perintah keempat, malah juga telah melaksanakannya sendiri!
Terdapat orang mengatakan bahawa pada Zaman Perjanjian Baru, kesepuluh firman merupakan hukum moral (moral law), atau dipanggil sebagai hukum semula jadi (natural law), tidak perlu dilaksanakan secara praktiknya. Namun daripada analisis di atas, tidak kira apakah yang diperintahkan di dalam kesepuluh firman, tidak ada satu pun perintah yang tidak dipegang oleh Kristian. Lagi pula, mengapa Tuhan menyenaraikan hukum memegang hari Sabat, takut akan Allah dan menghormati ayah dan ibu ke dalam sepuluh firman? Dari sini kita dapat melihat betapa Tuhan mementingkan hari Sabat.