Jennifer Zon – Dallas, Texas, USA
Kita dibebani dengan pekerjaan, keluarga, dan kemungkinan juga tugas-tugas di gereja yang akan membuatkan kita merasa berat dengan beban dan kerisauan, tidak dapat mengalami kegirangan dan kebebasan yang Tuhan telah janjikan. Sekembali ke rumah dari kelas suatu hari, saya mendapati rumah saya begitu berselerak – pinggan mangkuk perlu dicuci, stoking-stoking perlu dipungut, anak-anak memerlukan perhatian – dan saya perlu lagi meluangkan masa untuk gereja dan kerja sekolah. Saya ingin sekali berteriak sekuat hati, “Berikan saya rehat!”
Saya berasa marah dan cukup bosan. “Kehidupan adalah sangat tidak adil!” Saya berbantah kepada diri saya sendiri. Kesemua tanggungjawab ini semakin menimbun seperti beban pada bahu saya. Saya tertanya-tanya, “Adakah kehidupan seperti ini yang Tuhan aturkan untuk saya?”
Sifat Rendah Hati Adalah Kunci
Pada suatu malam ketika kebaktian, kami merujuk Matius 11:28. Perkataan lemah lembut daripada Tuhan Yesus memberi kesan di hati saya: “Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberikan kelegaan kepadamu.” Saya telah berfikir, “Inilah yang sebenarnya saya perlukan, tetapi bagaimana?” Ayat 29 dan 30 memberikan penjelasan, “Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah daripadaKu, kerana Aku lemah-lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan. Sebab kuk yang kupasang itu enak dan bebanKu pun ringan.”
Pada malam itu, Tuhan Yesus telah memberikan saya jawapan yang saya cari-cari selama ini! Dia mengarahkan saya untuk belajar daripada-Nya, untuk menjadi lemah- lembut dan rendah hati. Hanya dengan itu jiwa saya akan mendapat ketenangan. Tetapi saya mempunyai satu soalan: Apakah ‘rendah hati’? Rendah hati memiliki makna yang sangat abstrak. Bagaimanakah seseorang dapat memahaminya? Saya telah berazam untuk mencari jawapan tersebut.
Mengalihkan Perhatian daripada Dirimu
Suatu fakta yang menarik tentang kerendahan hati dan maruah telah mencuit perhatian saya sewaktu saya membaca sebuah keluaran Kristian. Keluaran tersebut menjelaskan bahawa kerendahan hati ialah fokus kepada luaran, manakala maruah adalah fokus kepada dalaman. Dengan perkataan lain, maruah adalah pencarian diri, tetapi kerendahan hati ialah sebaliknya. Bagi saya, perkara tersebut tidak begitu saya fahami pada mulanya, tetapi berdasarkan pada kajian selanjutnya, perkara tersebut benar-benar memberi kesan di hati saya. Kerendahan hati bukanlah tentang menidakkan pujian atau memandang rendah terhadap diri sendiri; tetapi ia adalah berkenaan tidak memikirkan tentang diri sendiri sama sekali.
Apabila Tuhan memanggil Musa untuk memimpin umat Israel keluar dari Mesir, Musa asyik menolak sehingga Tuhan murka kepadanya (Kel 4:14). Mengapakah Tuhan murka kepadanya kerana mengatakan pernyataan yang sangat rendah hati seperti “Siapakah saya?” dan “Saya tidak petah bicara?” Dengan mengatakan perkara tersebut, dia lebih memuliakan dan menyanjung pendapatnya sendiri daripada perintah Tuhan. Dia mengatakan bahawa dia lebih mengetahui dirinya sendiri, dan Tuhan telah salah memilih orang.
Tambahan pula, Musa tidak memikirkan tentang kebebasan teman-teman sebangsanya, bani Israel tetapi sebaliknya berfikir tentang dirinya. Dia bimbang akan kemungkinan bertindak bodoh di hadapan ramai orang, walaupun selepas Tuhan meyakinkannya berulang-kali dari semasa ke semasa bahawa Dia akan menyertainya. Musa lebih bimbang tentang kebolehannya sendiri daripada mempercayai kekuasaan Tuhan.
Saul dan Daud juga adalah contoh klasik Kitab Suci yang mendemonstrasikan watak mengenai ‘maruah’ lawan ‘kerendahan hati’. Apabila Saul mendengar perempuan-perempuan Israel menyanyi dan memuji Daud melebihi dirinya (1 Sam 18:7), dia telah menjadi marah dan iri hati. Mengapa? Kerana Saul angkuh. Berbanding bergembira bersama dengan rakyat atas kemenangan yang dicapai dalam perjuangan mengalahkan Goliat, fokusnya adalah pada dirinya sendiri. Dia risau tentang reputasi dan kerajaannya, dan dia marah kerana dia tidak mendapat pujian daripada orang ramai sebagaimana yang diterima Daud.
Dalam pada itu, Daud mendemonstrasikan kerendahan hatinya dalam dua peristiwa yang berlaku, iaitu dia menyelamatkan nyawa Saul. Daripada mencari keuntungan dirinya sendiri, fokusnya adalah pada kehendak Tuhan. Baginya, menghormati orang yang diurapi Tuhan adalah lebih penting daripada segala-galanya, walaupun ketika nyawanya berada di hujung tanduk (1 Sam 26:9). Akhirnya, Tuhan meninggikan Daud lebih daripada Saul, kerana “Tuhan menentang orang yang congkak, tetapi mengasihani orang yang rendah hati” (Yak 4:6).
Mencari Keperluan Orang Lain
1 Petrus 5:6-7 memberitahu kita, “Kerana itu rendahkanlah dirimu di bawah tangan Tuhan yang kuat, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktunya. Serahkanlah segala kekhuatiranmu kepada-Nya, sebab Ia yang memelihara kamu.” Dengan menyerahkan semua kekhuatiran kita kepada Tuhan, kita mengalihkan perhatian daripada diri kita, dan beban berat kita diringankan.
Ada seorang pemuda yang telah melawat seorang pastor di Dallas; dan kesedihan telah mencengkamnya selama 9 bulan. Selepas mendengar ceritanya, pastor tersebut tidak menawarkan nasihat tetapi menuliskan satu nama dan nombor bilik hospital di atas sekeping kertas dan berkata, “Orang ini harus dikunjungi pada hari ini, tetapi saya tidak mempunyai waktu. Bolehkah kamu singgah dalam perjalanan pulang kamu dan melawatnya untuk saya?”
Pemuda tersebut terkejut, namun dia bersetuju untuk pergi. Kemudian sesuatu yang luar biasa telah berlaku. Apabila dia melawat pesakit tersebut, tahap keperitan kesedihannya telah dihancurkan. Dia telah dibebaskan. Mengapa? Sebab akhirnya ia fokus kepada seseorang yang lain, berbanding dengan memfokuskan kepada dirinya saja.[1]
Melalui mengajar kanak-kanak dalam kelas pendidikan agama, saya mempunyai pengalaman yang hampir sama. Biasanya, kelas selalu sahaja tidak dapat diuruskan, dan kebanyakan pelajar juga kurang menghormati orang dewasa. Saya tidak memahami kenapa mereka bersikap demikian, tetapi saya tiada waktu untuk memikirkannya, atau peduli dengan semua itu. Walaupun saya melakukan perkara yang baik dengan bekerja untuk Tuhan, saya tidak dapat merasakan ketenangan dan kegembiraan. Sebaliknya, ia merupakan suatu beban.
Namun , apabila saya mengalihkan tumpuan daripada diri saya, sesuatu yang ajaib telah mula berlaku. Saya memilih untuk mengambil perkataan Tuhan untuk perkara tersebut dan “menyerahkan semua kekhuatiran saya kepada-Nya. Kemudian saya menyenaraikan keperluan kanak-kanak tersebut – emosi yang sihat, berasa selamat, kasih sayang, penghargaan, bebas daripada perasaan bersalah dan juga pengalaman baru. Sebelum saya mula untuk merancang sesuatu pembelajaran, saya mengutarakan soalan ini, “Bagaimanakah saya memenuhi keperluan mereka?” Keputusannya sangat menakjubkan. Kanak-kanak tersebut bertambah minat dan lebih menumpukan perhatian; Tuhan turut menggerakkan hati mereka.
Betapa berbezanya apabila saya mengambil perkataan Tuhan dan mengalihkan perhatian daripada diri saya kepada murid-murid saya. Saya dibebaskan daripada kebimbangan saya, dan beban mengajar juga terasa ringan. Sukacita daripada Tuhan terasa dalam diri saya. Salah satu ciri kasih ialah “Tidak mencari keuntungan diri sendiri” (I Kor 13:5). Terdapat suatu hubungan secara langsung di antara kerendahan hati dan kasih, kerana hanya mereka yang rendah hati saja yang benar-benar mampu untuk mengasihi. Dalam Yohanes 15:11-12, Tuhan Yesus berkata:
“Semuanya itu Kukatakan kepadamu, supaya sukacita-Ku ada di dalam kamu dan sukacitamu menjadi penuh. Inilah perintah-Ku, iaitu supya kamu saling mengasihi, seperti Aku telah mengasihi kamu.”
Yesus mengetahui kerendahan hati yang sebenar dan Dia adalah yang Maha Penyayang dan yang paling mengambil berat. Tambahan pula, Dia diurapi dengan minyak kesukaan melebihi semua orang (Mzm 45:7). Kerendahan hati memberikan kebaikan kepada seseorang dalam pelbagai cara. Kerendahan hati memberi kita bukan sahaja istirahat dan ketenangan, malah ia turut mengundang berkat kesukacitaan hadir bersama-sama.
Beristirahat Dalam Kasih Tuhan
Sebelum kita mempunyai hubungan yang berjaya dengan orang lain, kita harus memastikan bahawa hubungan kita dengan Tuhan adalah dalam kedudukan yang tepat. Alkitab berkata, “Kita mengasihi kerana Dia lebih dahulu mengasihi kita” (I Yoh 4:19).
Apabila seseorang itu memerlukan kasih, dia adalah seperti cawan kosong yang perlu diisi. Salah satu senjata maut Syaitan adalah menimbulkan keraguan kita tentang kasih Tuhan. Syaitan berbisik kepada kita, “Kamu tidak cukup bagus untuk-Nya,” dan “Mengapa Tuhan akan menyayangi seseorang seperti kamu?” Syaitan menekankan ketidakcukupan kita sendiri, melebihi anugerah, penyucian dan juga kekuasaan Tuhan. Itulah sebabnya mengapa kita perlu untuk membentengi diri sendiri dengan iman untuk menghalang panah api (Efe 6:16).
Tuhan berkata, “Aku mengasihi engkau dengan kasih yang kekal” (Yer 31:3), dan “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan beroleh hidup yang kekal (Yoh 3:16).” Kitab Suci mengisytiharkan bahawa tidak ada apa-apapun yang boleh memisahkan kita daripada kasih Tuhan.
“Sebab aku yakin, bahawa baik maut, maupun hidup, baik malaikat-malaikat, maupun pemerintah-pemerintah, baik yang ada sekarang, maupun yang akan datang, atau kuasa-kuasa, baik yang di atas, maupun yang di bawah, ataupun sesuatu makhluk lain, tidak akan dapat memisahkan kita dari kasih Allah, yang ada dalam Kristus Yesus, Tuhan kita”(Rom 8:38-39).
Kasih yang dijanjikan Tuhan adalah memenuhi dan tidak gagal. Hanya apabila kita yakin akan kasih Tuhan, barulah akan mengubah pandangan kita. Kita berubah daripada sebuah cawan kosong kepada cawan yang penuh, bersedia untuk memberi. Kita tidak akan lagi bermasalah dengan dunia kebimbangan kita sendiri tetapi sebaliknya mula untuk berfikir tentang apa yang boleh kita lakukan untuk membantu orang lain. Itu mungkin akan membina dan meneguhkan kepercayaan mereka dan untuk memajukan Kerajaan Allah.
Setiap hari kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, “ Apakah panggilan Tuhan untuk saya?” Janganlah meremehkan walaupun hanya perbuatan yang kecil, kerana meskipun sekadar mimik atau aksi, atau kata-kata yang baik, ia seumpama titik-titik air yang menitis; membantu untuk membentuk lautan yang luas. Perkara terpenting adalah untuk menjadi sebahagian daripadanya dan untuk menyedari bahawa setiap satu daripada kita boleh menjadi titisan yang penting.
Kesedaran tersebut telah memperkayakan pengalaman saya. Pekerjaan berat semalam telah menjadi suatu peluang berharga kepada saya untuk melayani pada saat ini. Walaupun adakalanya saya mempunyai suatu kecenderungan untuk berbalik kepada yang asal, kembali kepada gaya pencarian diri, dengan kasih karunia Allah dan dengan lebih banyak latihan, masa depan nampaknya agak cerah.
Mencari ketenangan untuk jiwa kita tidak bermakna membebankan diri kita dengan tanggungjawab yang kita pikul, tetapi berdepan dengan komitmen tersebut dengan sikap yang baru; dengan hadirnya kekuatan kata-kata dan janji di sebaliknya kepada kita, kerana kita telah “diubah oleh pembaharuan budi kita” (Rom 12:2). Belajarlah daripada kerendahan hati dan Roh Yesus yang lemah-lembut, dan kamu akan memenuhi hukum kasih. Paling penting ialah tinggal tetap dalam Yesus (Yoh 15:5). Teruslah bertumbuh dalam iman melalui doa dan kata-kata yang berharga di dalam Alkitab. Hanyalah di dalam Kristus kita akan menemui hidup, harapan, sukacita dan damai sejahtera. “Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku” (Flp 4:13).
[1] “Dispelling the Gloom of Depression,” in Rick Howard, Jamie Lash, and Jack W. Hayford, This Was Your Life!: Preparing to Meet God Face to Face (Chosen Books, 1998)