Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Sakramen Perjamuan Kudus

Zakheus Yong

“Barang siapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, ia mempunyai hidup yang kekal dan Aku akan membangkitkan dia pada akhir zaman” (Yoh 6:54)[1].

Yesus Kristus sendiri telah menetapkan perjamuan kudus pada waktu malam sebelum Dia dikhianati oleh Yudas Iskariot. Pada malam tersebut, Tuhan Yesus memakan perjamuan kudus Paskah bersama dengan murid-murid-Nya di Yerusalem. Tuhan Yesus memberkati roti dan cawan berisi jus anggur untuk menjadikannya sebagai perjamuan kudus (Luk 22: 7-15, 19-20).

Pada zaman perjanjian lama, perayaan Paskah dirayakan untuk memperingati anugerah penyelamatan Tuhan kepada bangsa Israel ketika keluar dari tanah Mesir. Namun dalam perjanjian baru, sakramen perjamuan kudus adalah paskah demi mengingati Tuhan Yesus yang mati demi kita (Luk 22:19; I Kor 11:24-25).

Tuhan Yesus dilahirkan ke dunia dalam keadaan miskin, rela diseksa, dihina, dan dihukum tanpa keadilan. Yesus Kristus mati tergantung di salib semata-mata menanggung dosa manusia (II Kor 8:9; Rom 4:24; Ibr 2:9). Justeru, kita perlu mengingati kematian Tuhan Yesus, kerana bilur-bilur-Nya kita disembuhkan (I Pet 2:24). Lebih-lebih lagi dalam perjamuan kudus kita mendapat persekutuan dalam darah dan tubuh Tuhan (I Kor 10:16; Yoh 6:56).

Bahan-bahan yang digunakan membuat Perjamuan Kudus

Sakramen Perjamuan Kudus adalah perkara yang amat rahsia kerana menerima daging dan darah Tuhan membawa erti bersekutu dengan-Nya (I Kor 10:21-22). Lantaran itu, bahan-bahan yang dibuat untuk dijadikan perjamuan kudus harus murni dan kudus. Oleh yang demikian, bahan-bahan perjamuan kudus yang TEPAT menurut kebenaran alkitab adalah:

a.     Sekeping roti yang tidak beragi.

Dalam perayaan Paskah, umat Tuhan diperintahkan untuk menggunakan roti yang tidak ada ragi (Im 23:4-6). Justeru dalam perjamuan kudus wajib menggunakan roti yang tidak beragi. Ini disebabkan ragi melambangkan dosa dan kejahatan (1 Kor 5:7-8). Roti yang digunakan hanya satu kerana tubuh Tuhan Yesus adalah satu sahaja (Ef 4:4). Walaupun ramai orang yang menerima perjamuan kudus, namun harus menggunakan sekeping roti yang tidak beragi (I Kor 10:16-17).

Kita tidak boleh menggunakan biskut atau roti yang dikeluarkan oleh kilang. Ini kerana biskut atau roti di pasaran adalah mengandungi ragi.

b.    Hasil pohon anggur (Jus buah anggur).

Tidak boleh menggunakan sebarang jus buah-buahan seperti air kelapa atau air sirap. Penggunaan arak atau jus anggur yang ditapaikan juga tidak dibenarkan dalam perjamuan kudus. Semua bahan ini mengandungi ragi. Oleh yang demikian, gereja harus menggunakan jus buah anggur yang tulen tanpa ragi seperti yang diajarkan oleh Yesus Kristus (Mat 26:29; Mrk 14:25).

Para pembaca harus meneliti bahan perjamuan kudus dalam kitab suci tentang bahan-bahan yang diajarkan oleh Yesus Kristus kepada kita. Jangan sampai ada sesetengah orang mengubah ketetapan Tuhan ini.

Sakramen Perjamuan Kudus adalah perjamuan Tuhan, maka perlu dilaksanakan dengan teliti. Cara pelaksanaan sakramen perjamuan kudus adalah seperti berikut:

  1. Orang yang layak melaksanakan Perjamuan Kudus adalah mereka yang memegang jawatan kudus melalui pengurapan. Contohnya penatua, pendeta dan diaken (Kel 30:30).
  2. Harus dilaksanakan dalam nama Tuhan Yesus Kristus (Kol 3:17).
  3. Firman kebenaran tentang Perjamuan Kudus disampaikan terlebih dahulu, diikuti dengan doa memberkati roti tidak beragi menggunakan bahasa akal. Roti yang sudah diberkati itu telah menjadi tubuh Yesus Kristus yang rohani, kemudian dipecah-pecahkan[2] dan diedarkan kepada para pemercaya (Mat 26:26).
  4. Selanjutnya, jus anggur yang tidak beragi diberkati menggunakan bahasa akal agar jus itu menjadi darah Tuhan Yesus dalam rohani. Selepas itu darah Tuhan itu diedarkan kepada para pemercaya (Mat 26:27).

Setiap kali selepas memberkati roti tidak beragi itu, pekerja suci berkata “Inilah tubuh Tuhan Yesus yang dipecah-pecahkan untuk kita” begitu juga selepas memberkati jus anggur, pekerja suci berkata “inilah darah Yesus Kristus yang ditumpahkan demi kita”. Kata-kata ini diucapkan demikian kerana Yesus Kristus juga mengucapkan kata-kata demikian pada waktu malam ketika mengadakan perjamuan kudus. Dalam hal ini setiap kali kita menerima perjamuan kudus, ia menyingkapkan rahsia rohani bahawa perjamuan kudus merupakan darah dan daging Yesus Kristus agar kita memperoleh hidup kekal.

Syarat Menerima Perjamuan Kudus

Perjamuan kudus haruslah diterima dengan tertib iaitu;

  1. Menyediakan diri agar sentiasa kudus.

Kita harus membuang segala ragi dalam diri kita (I Kor 5:6-7). Dengan demikian kita perlu sentiasa menguji diri sendiri sama ada layak menerima perjamuan kudus (I Kor 10:28). Orang yang layak menerima perjamuan kudus harus menerima, tidak boleh dengan sengaja tidak menerimanya (Bil 9:13).

  1. Harus mengakui bahawa roti dan jus anggur yang kita terima adalah tubuh dan darah Tuhan.   Jangan menganggap itu adalah roti dan jus anggur yang biasa kerana Tuhan akan mendatangkan kecelakaan ke atas diri kita (I Kor 11:29-30).
  2. Harus menerimanya dengan penuh syukur, ketenangan, salih dan penuh iman (I Kor 11:33).
  3. Harus menerima di satu tempat, jangan dibawa keluar ke mana-mana (Kel 12:46).
  4. Sisa perjamuan kudus tidak boleh disimpan sampai keesokan harinya (Kel 12:10; Bil 9:12).
  5. Mereka yang belum dibaptis tidak diperbolehkan untuk menerimanya (Kel 12:43).
  6. Pemercaya yang telah melakukan dosa maut seperti menyembah berhala, berzina dan membunuh tidak boleh menerimanya (I Kor 11:27-31).

Tekad Setelah menerima Perjamuan Kudus

Setiap orang yang menerima perjamuan kudus harus bertekad dalam hidupnya untuk menjadi pengikut Tuhan Yesus, bertekad menjaga kekudusan, saling mengasihi sesama manusia dan dengan penuh iman menanti kedatangan Tuhan Yesus untuk pulang ke syurga.

Jika kita menerima daging dan darah Tuhan Yesus dengan cara yang layak, maka kita memperoleh hidup kekal dan Tuhan akan membangkitkan kita pada akhir zaman (Yoh 6:53-54).


[1] Lembaga Alkitab Indonesia.1996. Jakarta.Indonesia.

[2] Dibahagi-bahagikan kepada cebisan kecil dengan menggunakan tangan

Inti Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Inti Sakramen Perjamuan Kudus

Lemuel Leong

Intro

Ketika Tuhan Yesus dan murid-murid-Nya bersama-sama pada malam jamuan Paskah, Dia mengambil roti tidak beragi dan mengucapkan berkat, seterusnya memecah-mecahkannya dan berkata: ”Inilah tubuhku, ambil dan makanlah”.  Kemudian Dia mengambil cawan[1] dan selepas  mengucapkan berkat Dia berkata: ”Inilah darah perjanjian-Ku, yang ditumpahkan untuk pengampunan dosa” (Mt 26:26-28).  Sejak Tuhan Yesus menubuhkan perjamuan kudus maka ia telah kerap kali diamalkan oleh para rasul dan pemercaya peringkat awal. Selepas Hari Pentakosta, mereka memecah-mecahkan roti setiap hari.  Ini bukan setakat jamuan kasih tetapi juga menunjukkan bahawa mereka menerima perjamuan kudus setiap hari memandangkan ”setiap hari” ada jiwa baru yang ditambahkan kepada kumpulan pemercaya.  Jiwa-jiwa baru ini dibaptis terlebih dahulu dan seterusnya menerima perjamuan kudus (Ras 2:42, 46-47).  Di samping itu, rasul Paulus turut menerima ilham secara langsung daripada Tuhan Yesus agar mengamanatkan jemaat supaya kerapkali menerima  perjamuan kudus demi memperingati kematian Tuhan (1 Kor 11:23-26).  Perjamuan kudus, sejak itu telah menjadi warisan kebenaran yang diturun-temurunkan dalam sejarah agama Kristian sehingga diiktiraf sebagai satu sakramen. Ia diberi gelaran yang berlainan seperti jamuan malam Tuhan (The Lord’s supper), Jamuan malam terakhir (The Last Supper), Jamuan kesyukuran (Eucharist), persekutuan kudus (Holy Communion) dan sebagainya.

Apakah Inti Perjamuan Kudus selepas doa ucapan berkat?

Dalam sejarah agama Kristian, satu topik kebenaran yang hangat diperdebatkan selama berkurun-kurun ialah apakah inti perjamuan kudus selepas diucap berkat.  Berikut adalah pengenalan tentang beberapa konsep pengenalan yang berbeza tentang perjamuan kudus.

1.   Perubahan unsur kebendaan (Transubstansiasi)

Satu ideologi yang percaya bahawa selepas ucapan berkat maka sesuai dengan prefix[2] ”tran”, satu perubahan dalam inti roti dan wain telah berlaku. Justeru tubuh Tuhan dan darah Tuhan ternyata secara material namun warna, bentuk, bau dan rasa roti dan anggur kekal tak berubah.  Istilah ini pertama kali muncul dan diambilguna pada sidang Lateran ke-4 pada tahun 1215S.M.  Ia disahkan secara rasmi melalui sidang Trent sebagai dogma pada tahun 1551S.M.   Dengan konsep kefahaman tersebut maka selepas ucapan berkat perjamuan kudus, adakalanya roti dan wain dibawa dalam perarakan untuk disembah oleh pemercaya. Semasa menerimanya pemercaya biasa dilarang menyentuh roti manakala imam akan menyuapkan ke dalam mulut pemercaya, namun mereka dilarang mengunyah atau menggigit roti sebaliknya membiarkan roti sendiri hancur dalam mulut.  Hanya imam yang akan minum wain perjamuan kudus manakala pemercaya biasa dilarang minum.  Ajaran ini dipeluk oleh Roman Katolik dan ia juga secara rasmi dijadikan dogma Gereja Orthodox Yunani sejak sidang gereja di Yerusalem (Synod of Jerusalem, 1672S.M).

2.   Teori kewujudan bersama (Konsubstansiasi)

Konsep ini diperkenalkan sejak abad ke-16 oleh Martin Luther (1483-1546S.M.) melalui  penulisan beliau.  Istilah ini mula digunapakai oleh Melanchthon, seorang ahli reformasi yang  lebih muda dan seangkatan dengan Martin Luther. Martin Luther pernah menjawat jabatan sebagai seorang imam di Roman Catholic yang seringkali melaksanakan perjamuan kudus. Namun kemudian dia menentang kesahihan transubstansiasi dengan memperkenalkan konsep konsubstansiasi ini. Teori ini beranggapan bahawa Yesus wujud ”bersama, di dalam dan di bawah” roti dan wain perjamuan kudus.  Tidak ada sebarang  perubahan dalam unsur roti dan wain, dalam prefix ”kon” menunjukkan roti dan wain wujud bersama dengan tubuh fizikal Tuhan dan darah fizikal Tuhan.  Martin Luther mempertahankan konsep ini dengan alasan bahawa Yesus mempunyai sifat ketuhanan dan sifat kemanusiaan bersama. Kanak-kanak dilarang menerima memandangkan mereka kurang keupayaan untuk menguji diri sendiri (1 Kor 11:28).  Ajaran ini didukung oleh aliran Penginjilan Lutheran dan Episcopal atau Anglikan serta sekumpulan Orthodox Timur Yunani.

3.   Simbolisme

Huldreich Zwingly (1484-1531S.M.), pengasas aliran gereja refomasi di Switzerland, pada mulanya merupakan seorang teman sekerja Martin Luther yang baik.  Namun kemudiannya kerana tidak bersetuju dengan tafsiran Martin Luther tentang perjamuan kudus, akhirnya mereka berpisah dan masing-masing membentuk aliran baru.  Zwingly beranggapan bahawa hubungan antara perjamuan kudus dengan tubuh dan darah Tuhan semata-mata adalah simbolik.  Dalam frasa Yesus berkata ”ini adalah (esti) tubuh-Ku” hanya bermaksud ”ini menggambarkan (significat)[3] tubuh-Ku”.  Dia mempertahankan bahawa pemercaya yang menerima tubuh dan darah Tuhan secara rohani hanya menunjukkan bahawa mereka menaruh kepercayaan dalam kebaikan dan kemurahan Tuhan dengan segenap hati dan jiwa, satu kaedah untuk percaya terhadap Tuhan.  Dia menjelaskan bahawa tubuh Tuhan dan darah Tuhan hanya wujud apabila pemercaya membuat renungan dengan iman.  Pelaksanaan perjamuan kudus cuma untuk memperingati penebusan melalui kematian Kristus dan menunjukkan seseorang itu rela mempersembahkan diri demi melayani Tuhan. Dengan nada bergurau, Zwingly turut mengatakan bahawa roti perjamuan kudus tiada bezanya dengan roti biasa di pasar, konsep makan dan minum adalah keanak-anakan, hanya boleh diterima di kalangan puak yang memakan daging manusia (cannibal).

Terdapat konsep lain seperti Calvinism yang juga sangat berpengaruh dalam sejarah agama Kristian. Namun pada hakikatnya pandangan John Calvin (1509-2564) hanyalah kombinasi daripada konsep Lutheran dan Zwingly iaitu satu usaha dan pergerakan yang cuba mempersatukan percanggahan antara Konsubstansiasi dan Symbolisme. Oleh itu tidak perlulah dijelaskan di si

Komentar tentang konsep perjamuan kudus tersebut.

Penulis cuba membuat komentar terhadap konsep-konsep tersebut berdasarkan alkitab.

1.  Transubstansiasi?

  • Ketika Tuhan Yesus menubuhkan perjamuan kudus dan selepas mengucapkan berkat, Dia masih menyebut anggur sebagai hasil pokok anggur (Mat 26:29).   Jelas menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan unsur selepas pemberkatan, anggur masih kekal sebagai anggur dalam unsur materialnya.
  • Selepas Tuhan Yesus memberkati anggur, Dia berkata: ”Minumlah, kamu semua, dari cawan ini” (Mat 26:27). Semua murid Tuhan Yesus minum anggur perjamuan kudus, tiada seorangpun yang dikecualikan.

Paulus berkata:  “bukankah cawan pengucapan syukur, yang atasnya kita ucapkan syukur, adalah persekutuan dengan darah Kristus?”  Mesej Paulus ditujukan kepada setiap jemaat Korintus secara umum, juga menunjukkan bahawa mereka semua minum daripada anggur perjamuan kudus dan tiada sesiapapun yang dikecualikan. Minum dari anggur perjamuan kudus bukan hak istimewa bagi imam gereja.

  • Tuhan Yesus berkata:  ”Ambillah, makanlah, inilah tubuh-Ku” (Mat 26:26).  Senario yang dipamerkan di sini ialah murid-murid mengambil roti dengan tangan sendiri dan makan.  Mereka juga tidak pernah dilarang mengunyah atau menggigit roti perjamuan kudus itu.  Mereka hanya disuruh makan, bukannya disuruh untuk menyembah roti perjamuan kudus. Tuhan adalah roh, penyembah yang benar hanya menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran (Yoh 4:21-24).
  1. Konsubstansiasi?
  • Kata Tuhan Yesus:  “inilah tubuh-Ku…inilah darah-Ku (Mat 26:26; 28).  Frasa yang diungkapkan oleh Tuhan Yesus langsung tidak menyentuh bahawa tubuh fizikal dan darah fizikal-Nya wujud atau hadir bersama dengan roti dan anggur perjamuan kudus. Selepas mengucap berkat, Tuhan Yesus hanya secara langsung menyebut roti sebagai tubuh-Nya dan anggur sebagai darah-Nya, tiada yang lebih daripada itu.
  • Semasa di dunia Tuhan Yesus tidak menolak kanak-kanak datang kepada-Nya (Luk 18:15-17).  Kesan menerima perjamuan kudus adalah mendapat hidup kekal dan bersekutu dengan Tuhan.  Kanak-kanak juga layak mendapat bahagian dalam janji berkat yang penting ini (Yoh 6:54,56). Justeru, tiada alasan untuk mengecualikan kanak-kanak daripada menerima perjamuan kudus.
  1. Simbolisme?
  • Secara harfiah[4] Yesus menjelaskan ”ini adalah tubuh-Ku…dan…ini adalah darah-Ku” (Mat 26:26; 28). Dia langsung tidak mengatakan bahawa itu menggambarkan tubuh-Nya mahupun itu simbol tubuh-Nya.
  • Sebaliknya Yesus menegaskan bahawa ”daging-Ku adalah benar-benar makanan dan darah-Ku benar-benar minuman” (Yoh 6:55).  Ia bukanlah perlambangan, gambaran ataupun simbol.

Apakah inti perjamuan kudus selepas ucapan berkat?

Selepas diucap berkat, perjamuan kudus telah menjadi tubuh Tuhan dan darah Tuhan secara rohani.  Ringkas kata ia menjadi makanan dan minuman rohani berdasarkan kuasa firman Tuhan dan Roh Kudus.  Konsep ini boleh difahami apabila merujuk kepada ayat-ayat berikut:-

  • Ketika Tuhan Yesus memperkenalkan diri-Nya sebagai roti dari syurga, Dia menekankan kepentingan untuk mengusahakan makanan yang bertahan sampai selama-lamanya, bukan makanan yang binasa (Yoh 6:27).
  • Khasiat perjamuan kudus ialah untuk mendapat hidup kekal;  hanya nyawa rohani yang akan hidup selama-lamanya bukan tubuh fizikal.  Oleh itu perjamuan kudus adalah makanan kepada nyawa rohani (Yoh 6:53-54).
  • Sebaik sahaja menjelaskan firman roti dari syurga, Yesus menekankan ’rohlah yang memberi hidup, daging sama sekali tidak berguna’ menunjukkan bahawa Dia mahu murid-murid-Nya lebih mementingkan hidup rohani daripada hidup jasmani (Yoh 6:63).

Kesimpulan

Memandangkan perjamuan kudus adalah makanan rohani:

  1. apabila menerima, tidak bergantung kepada kuantitinya (I Kor 10:16)   ”sungguhpun banyak tetapi mendapat bahagian dalam roti yang satu itu”
  2. bayi boleh menerima khasiat daripada perjamuan kudus itu walau hanya memakan secebis roti kecil seperti butir pasir ataupun setitis anggur yang diminum cukup mengandungi khasiat perjamuan kudus yang sempurna.
  3. khasiat perjamuan kudus adalah satu rahsia yang tidak boleh dirasai secara fizikal namun kita harus menerima dan percaya dengan iman maka khasiat perjamuan kudus seperti hidup kekal, bersekutu dengan Tuhan, dan janji kebangkitan pada akhir zaman pasti akan melimpahi kita.

Bibliografi:

  1. The Lord’s Supper Is A Celebration of Grace, Gordon Keddie.
  2. Encarta Premium Encyclopedia.
  3. Penjelasan Lima Doktrin,  Hsieh Soon Tao.


[1] yang berisi jus anggur

[2] bermaksud awalan

[3] dalam bahasa Yunani

[4] hurufiah