Dengan kasih karunia, rahmat atau damai sejahtera sebagai satu salam berkat sejak masa dahulu sehingga sekarang, bukanlah sekadar kata-kata menjamu sahaja tetapi ia mengandungi maksud yang setia dan mendalam untuk kita renungkan dengan baik. Yang mendengar itu akan mendapat manfaat dari kata-kata berkat ini sekiranya dia merasai bahawa berkat itu bermakna. Apabila pemercaya zaman dahulu bersua muka atau mengutus surat kepada mereka sering saling bersalaman dengan berkat dan menanyakan khabar. Apabila Paulus menulis surat kepada Timotius, dia juga bersalam dengan berkat dan menanyakan khabar. Dia kata : “Dari Paulus, rasul Kristus Yesus oleh kehendak Tuhan untuk memberitakan janji tentang hidup dalam Kristus Yesus, kepada Timotius, anakku yang kekasih : kasih karunia, rahmat dan damai sejahtera dari Tuhan Bapa dan Kristus Yesus, Tuhan kita, menyertai engkau.” (II Tim 1 : 1-2 ).
Ini adalah satu salam berkat yang penuh dengan kasih yang boleh mengharukan orang. Menurut kebiasaan, apabila orang Yunani bersua muka, mereka berkata, “Semoga engkau menerima kasih karunia”. Orang Roma pula seringkali berkata, “ Semoga kamu menerima rahmat Tuhan”. Orang Yahudi selalu berkata, “Semoga kamu menerima damai sejahtera”. Ternyata sekali di sini Paulus telah menggabungkan ketiga-tiga salaman ini dalam satu. Dia telah menggunakan ketiga-tiga corak salam ini untuk diterima semua orang.
KASIH KARUNIA
Tuhan adalah gembala kita. Daripada pemeliharaan kasih karuniaNya kita telah menerima segala yang kita perlu, dan menjauhkan kita dari kejahatan: “ TongkatNya telah menghiburkan kita, serta piala kita telah dipenuhiNya. Seumur hidupku kasih karuniaNya menghiburku”. Ini adalah kata-kata kesyukuran dari Daud kerana dia merasakan bahawa kehidupan di bawah kasih karunia Tuhan penuh dengan kebahagiaan dan rasa cukup (Mzm 23 : 1-6). Yang mencari Tuhan telah mencari hidup dan akan mendapat kasih karuniaNya (Ams 8 : 34-35).
Apabila Orang Israel bersungut-sungut terhadap Tuhan di padang gurun, mereka membangkitkan amarah Tuhan, lalu Tuhan berfirman kepada mereka, “ Di padang gurun ini bangkai-bangkaimu akan berlantaran, yakni semua orang di antara kamu yang dicatat, semua tanpa terkecuali yang berumur dua puluh tahun ke atas kerana kamu telah bersungut-sungut kepadaKu. Bahwasanya kamu tidak akan masuk ke negeri yang dengan mengangkat sumpah telah Kujanjikan akan Kuberi kamu diami, kecuali Kaleb bin Yefune dan Yosua bin Nun.” (Bil 14:29-30). Dari sini boleh diketahui bahawa barangsiapa yang bersungut-sungut terhadap Tuhan tidak akan menerima kasih karuniaNya. Hanyalah Kaleb dan Yosua yang mencari Tuhan dengan sepenuh hati dan tidak bersungut-sungut kepada Tuhan telah menerima kasih karuniaNya.
Setelah orang Israel masuk ke tanah Kanaan, Kaleb telah berumur lapan puluh lima tahun. Walaupun dia sudah tua, tetapi tetap masih kuat lagi. Dia berkata, “Pada waktu itu, Musa bersumpah, katanya : “Tanah yang diinjak oleh kakimu itu akan menjadi milik pusakamu dan anak-anakmu sampai selama-lamanya, sebab engkau tetap mengikuti Tuhanku dengan sepenuh hati. Jadi sekarang, sesungguhnya Tuhan telah memelihara hidupku, seperti yang dijanjikannya. Kini sudah empat puluh lima tahun lamanya, sejak diucapkan Tuhan firman itu kepada Musa dan selama itu orang Israel mengembala di padang gurun. Jadi sekarang telah berumur lapan puluh lima tahun aku hari ini, pada waktu ini aku masih sama kuat seperti pada waktu aku disuruh Musa; seperti kekuatanku pada waktu itu demikianlah kekuatanku sekarang untuk berperang dan untuk keluar masuk” (Yos 14:9-11). Setelah mendengar kata-kata Kaleb ini maka barangsiapa yang mengikuti Tuhan dengan sepenuh hati akan menerima kasih karunia yang besar, sama seperti Kaleb. Sebagai pengganti Musa, orang yang benar, Yosua pernah menasihatkan umat lalu berkata, : Oleh itu, takutlah akan Tuhan dan beribadahlah kepadaNya dengan tulus ikhlas dan setia. Jauhkanlah tuhan yang kepadanya nenek moyangmu telah beribadah di seberang sungai Efrat dan di Mesir dan beribadahlah kepada Tuhan. Tetapi jika kamu anggap tidak baik untuk beibadah kepada Tuhan, pilihlah pada hari ini kepada siapa kamu akan beribadah : tuhan yang kepadanya nenek moyangmu beribadah di seberang sungai Efrat atau tuhan orang Amori yang negerinya kamu diami ini. Tetapi aku dan seisi rumahku, kami akan beribadah kepada Tuhan (Yos 24:14-15). Yosua telah melayani Tuhan dengan setia dan taat, maka ia mempunyai kepimpinan melalui teladan untuk menasihati umat supaya melayani Tuhan dan menghapuskan tuhan palsu. Maka dia adalah orang yang menerima kasih karunia Tuhan.
Dahulu kala kita telah mati di bawah dosa, tetapi Bapa di Syurga yang pengasih telah mengutus Tuhan Yesus Kristus untuk menyelamatkan kita dari kuasa dunia yang gelap ini dan memindahkan kita ke dalam Kerajaan AnakNya yang dikasihi. Maka kita ditebus di bawah kasihNya, lalu pelanggaran kita diampuni (Kol 1:13-14). Kita diselamatkan berdasarkan kasih karunia yang menurut kehendak Tuhan yang telah ditetapkan. Maka melalui darah anakNya yang dikasihi, kita menerima gelaran juga sebagai anak. Di mana kita telah menjadi ahli waris untuk mewarisi harta pusaka yang suci. Ini juga merupakan kasih karunia Tuhan. Oleh itu, kita harus bediri teguh dan tetap berada di dalam kasih karuniaNya (Rm 11:22).
RAHMAT
Berbahagialah orang yang menerima rahmat. Kita memang sukar mengelakkan berbuat salah terhadap manusia dan juga Tuhan. Sekiranya sesuatu pihak akan menghukum kita dengan keras, siapakah yang dapat bertahan? Dan sekiranya pihak yang lain telah mencucuri rahmatnya dan mengampuni kita, bukankah itu menghiburkan? Peliharalah dirimu demikian dalam kasih Tuhan sambil menantikan rahmat Tuhan kita, Yesus Kristus untuk hidup yang kekal. Tunjukkanlah belas kasihan kepada mereka yang ragu-ragu, selamatkanlah mereka dengan jalan merampas mereka dari api. Tetapi tunjukkanlah belas kasihan yang disertai ketakutan kepada orang-orang lain juga dan bencilah pakaian mereka dicemarkan oleh keinginan-keinginan dosa (Yud 1:21-23). Kita telah sangat memahami bahawa sekiranya kita menerima belas kasihan dari orang lain, maka kita juga harus menunjukkan belas kasihan kepada orang lain. “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri”, ini adalah rangkap yang kedua tentang pengajaran kasih akan Tuhan. Oleh rahmat dan belas kasihan dari Tuhan kita, dengan mana Ia akan melawat kita, Surya pagi dari tempat yang tinggi, untuk menyinari mereka yang diam dalam kegelapan dan dalam naungan maut untuk mengarahkan kaki kita kepada jalan damai sejahtera (Luk 1:78-79). Kerana dahulu kita juga hidup dalam kejahilan : tidak taat sesat, menjadi hamba berbagai-bagai nafsu dan keinginan, hidup dalam kejahatan dan kedengkian, keji, saling membenci. Tetapi ketika nyata kemurahan Tuhan, Juruselamat kita, dan kasihNya kepada manusia pada waktu itu Dia telah menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik yang telah kita lakukan tetapi kerana rahmatNya oleh pembaharuan yang dikerjakan oleh Roh Kdus yang sudah dilimpahkannya kepada kita oleh Yesus Kristus, Juruslamat kita, supaya kita sebagai orang yang dibenarkan oleh kasih karuniaNya berhak menerima hidup yang kekal, sesuai dengan pengharapan kita (Tit 3:3-7). Yeus mengajar kita untuk mengampuni saudara kita sampai tujuh puluh kali tujuh. Janganlah mencontohi orang yang telah dicucuri rahmat dan telah dihapuskan hutangnya sebanyak sepuluh ribu talenta oleh rajanya tetapi tidak menunjukkan belas kasihan kepada kawannya yang berhutang seratus dinar kepadanya. Akhirnya tuannya menegur dia dengan berkata, “Hai hamba yang jahat! Seluruh hutangmu telah ku hapuskan kerana engkau memohonkannya kepadaku. Bukankah engkaupun harus mengasihani kawanmu seperti aku telah mengasihani engkau?” Oleh itu haruslah kita mengampuni saudara kita dari dalam hati dengan menyatakan hati yang berbelas ksihan (Mat 18:21-35). Sebab penghakiman yang tidak berbelas kasihan akan berlaku atas orang yang tidak berbelas kasihan (Yak 2:13). Oleh itu, pemberkatan yang disalamkan kepada orang lain dengan mengatakan, “Semoga kamu menerima rahmat” ternyata inilah salam berkat yang penuh dengan kasih.
DAMAI SEJAHTERA
Setelah Tuhan Yesus telah bangkit, Dia menyatakan diri kepada murid-muridNya, lalu berkata kepada mereka, “Damai sejahtera bagi kamu” (Yoh 20:21). Ini adalah ucapan berkat dari Tuhan kepada murid-murid yang membawa maksud kasih. Apabila Yesus telah dilahirkan ke dalam dunia ini, Dia membawa damai sejahtera dan anugerah keselamatan kepada orang yang diperkenankannya (Luk 2:14).
Tuhan Yesus berfirman, “Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahteraKu, Kuberikan kepadamu dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Janganlah gelisah dan gentar hatimu” (Yoh 14:27).
Damai sejahtera yang diberikan oleh Tuhan adalah yang benar dan yang sama sekali tidak dapat diberikan oleh manusia dalam dunia ini. Orang duniawi tidak dapat memberi damai sejahtera kepada sesamanya. Manusia tidak dapat menyebabkan sesamanya dalam keadaan damai sejahtera. Orang kaya juga tidak dapat memberi damai sejahtera kepada manusia kerana orang kaya sendiri juga tidak mempunyai damai sejahtera. Malahan, ia sendiri seringkali menghadapi kecelakaan oleh kerana harta kekayaannya. Orang yang berkuasa juga tidak dapat memberi damai sejahtera kepada manusia kerana kuasa itu bukanlah yang kekal. Hari ini seseorang itu berkuasa atas dunia ini, tetapi pada keesokan hari dia pula digulingkan dan melarikan dirinya ke negara lain untuk perlindungan. Keselamatan diri sendiri pula tidak terjamin. Orang yang berpendidikan juga tidak dapat memberi damai sejahtera kepada manusia kerana dalam banyak hikmat ada banyak susah hati dan siapa memperbanyak pengetahuan, memperbanyak kesedihan (Pkh 1:18). Oleh itu, hanya Tuhan sahaja yang dapat memberi damai sejahtera kepada tubuh kita, dan juga kepada jiwa rohani kita. Seandainya kita bersandar kepadaNya dengan sepenuh hati pasti kita akan menikmati damai sejahtera dan ketenteraman. Paulus berkata, “Janganlah hendaknya kamu kuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakan dalam segala hal keinginanmu kepada Tuhan dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Tuhan yang melampaui segala akal akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Kristus Yesus (Flp 4:6-8). Kita tahu siapa yang kita percaya dan kita juga benar-benar percaya Dia dapat memelihara segala yang kita serahkan kepadaNya. Oleh itu haruslah serahkan dengan sepenuh hati kepadanya. Maka pastilah kita akan menikmati damai sejahtera dalam jasmani dan juga jiwa rohani. Berlakulah ramah terhadap Dia supaya engkau tenteram; dengan demikian memperoleh keuntungan (Ayb 22:21). Barangsiapa menerima orang yang diutus Tuhan akan memperolehi damai sejahtera. Tuhan Yesus mengutus dua belas orang untuk memberitakan injil dan berpesan kepada mereka dengan berkata, “Apabila kamu masuk kota atau desa, carilah di situ seorang yang layak dan tinggallah padanya sampai kamu berangkat. Apabila kamu masuk rumah orang berilah salam kepada mereka. Jika mereka layak menerimanya, salammu itu turun ke atasnya, jika tidak, salammu itu kembali kepadamu” (Mat 10:11-13). Oleh itu, barangsiapa yang diutus ke rumah seseorang akan membawa damai sejahtera bersamanya dan orang yang menerima yang diutus oleh Tuhan itu akan diberikan damai sejahtera oleh Tuhan. Dahulunya perempuan Sunem telah menerima abdi Tuhan Elisa, kemudiannya apabila anaknya mati, Elisa berdoa baginya dan anaknya itu pun telah bangkit, lalu dia menyerahkan anak itu kembali kepada perempuan yang diberkati itu (II Raj 4:32-35). Barangsiapa yang menerima pengajaran tanpa bersungut-sungut akan diberkati dengan damai sejahtera. Barangsiapa yang berdoa dengan hati yang murni untuk orang dunia juga akan diberkati dengan damai sejahtera oleh Tuhan. Paulus berkata kepada Timotius, “Pertama-tama aku menasihatkan : Naikkanlah permohonan doa syafaat dan ucapan syukur untuk semua orang, untuk raja-raja dan untuk semua pembesar, agar kita dapat hidup tenang dan tenteram dalam segala kesalehan dan kehormatan (I Tim 2:1-2). Para seiman dalam Tuhan, tidak kira lelaki, perempuan, tua atau muda haruslah saling memberkati apabila bersua muka dengan berkata, : “Semoga damai sejahtera bagi kamu!” Kebiasaan ini akan menyatakan kasih kita yang terpancar dari dalam hati kepada orang lain. Nyanyian ziarah Daud mencatatkan, “Sesungguhnya aku telah menenangkan dan mendiamkan jiwaku seperti anak yang disapih berbaring dekat ibunya, yang seperti anak yang disapih jiwaku dalam diriku. Berharaplah kepada Tuhan, hai Israel dari sekarang sampai selama-lamanya” (Mzm 131:2-3). Kita hidup di dalam pangkuan kasih Tuhan dan melaluiNya kita menerima kasih karunia, rahmat dan damai sejahteraNya yang amat mencukupi untuk menjalani kehidupan kita dengan saleh, maka penuhlah dengan pengharapan dan penghiburan.