Tuhan senantiasa mengingatkan umat-Nya yang telah lalai untuk memperingati Hari Sabat. Berikut adalah rujukan kesaksian.
Sabat yang membawa berkat
Saksian Lin Zhi-Hong
Pada tahun 1987, saya seorang pelajar menengah tinggi yang sangat sibuk kerana persaingan yang sengit untuk melanjutkan pelajaran. Saya mengetahui kepentingan kebaktian Sabat kerana sejak kecil lagi saya telah menerima pendidikan agama. Dalam hidup persekolahan yang sibuk, saya berasa kebaktian Sabat menjadi lebih berharga.
Sesudah sibuk dengan kuliah yang banyak dan berat sepanjang minggu, maka saya akan berasa sangat sukacita dan pergi ke gereja pada setiap hari Sabat. Selain mendengar firman dalam kebaktian, saya juga berdoa dengan lebih panjang dan mendalam, serta menyanyi kidung bersama tiga hingga lima seiman. Inilah perkara-perkara yang tidak boleh atau terkurang untuk menikmati hari Sabat. Kebaktian kelas menengah adalah perjamuan rohani yang dipimpin dan dirancang oleh senior kami.
Disebabkan kebaktian Sabat adalah sepanjang hari, maka keluarga saya membantah saya meluangkan terlalu banyak masa di gereja. Dengan itu, saya bergegas balik ke rumah selepas habis kebaktian Sabat. Saya juga tidak dapat menumpukan perhatian dalam kebaktian kerana berasa gelisah akan tugasan sekolah yang belum siap. Saya langsung tidak berasa sukacita.
Tidak sangka pula menjelang peperiksaan, didapati ada batu dalam ginjal saya sehingga kencing berdarah selama seminggu lebih. Pada masa itu, diaken dan penguasa gereja memberi keprihatinan dan datang ke rumah untuk melawat saya. Setelah berbincang dengan ibu bapa, baru tahu kejadian ini adalah kehendak Tuhan yang indah. Selepas ahli keluarga dan saya berdoa dan bertobat bersama-sama, serta bantuan doa daripada kasih seiman-seiman, ahli keluarga saya pun tidak membantah lagi. Dalam sinaran pagi semasa saya mengingati Sabat semula dengan hati yang girang, batu tersebut dapat disalirkan dan sembuhlah sakit saya.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana Dia menetapkan Hari Sabat bagi saya sejak dunia dijadikan. Saya memuji-Nya kerana Dia berbelas kasihan terhadap tubuh saya yang lemah dan berbeban berat. Saya mahu menyanyi kidung memuji-Nya kerana Tuhan memberi sukacita kepada saya pada hari Sabat. Betapa berkelimpahannya kasih karunia Tuhan.
Apabila engkau tidak menginjak-injak hukum Sabat dan tidak melakukan urusanmu pada hari kudus-Ku; apabila engkau menyebutkan hari Sabat “hari kenikmatan”, dan hari kudus TUHAN “hari yang mulia”; apabila engkau menghormatinya dengan tidak menjalankan segala acaramu dan dengan tidak mengurus urusanmu atau berkata omong kosong, maka engkau akan bersenang-senang kerana TUHAN, dan Aku akan membuat engkau melintasi puncak bukit-bukit di bumi dengan kenderaan kemenangan; Aku akan memberi makan engkau dari milik pusaka Yakub, bapa leluhurmu, sebab mulut Tuhanlah yang mengatakannya. (Yes 58:13-14)
Tidak memegang Sabat dan dihukum oleh Tuhan
Saksian Chen Xue-jin
Pada tahun 1972, saya menjadi seorang pemandu lori di kilang gula terletak di Tai-tung. Pada pukul 5.30 pagi setiap hari, saya akan masuk ke bilik pengurusan pengangkutan untuk melihat destinasi yang ditentukan. Selepas itu, barulah saya dan pembantu saya bertolak ke destinasi.
Pada Sabat pertengahan bulan Julai, disebabkan mesin dalam kilang telah rosak, maka pihak atasan memaklumkan kami bahawa tidak perlu terlalu banyak tebu kerana masalah kerosakan mesin. Oleh itu, kami hanya diminta untuk mengangkut tebu sekali saja dan lepas itu boleh berehat. Dengan itu, setiap lori masing-masing berangkat ke destinasi masing-masing. Pagi itu adalah hari Sabat. Saya diminta pergi ke ladang Feng-nong. Saya berfikir dalam lori, saya boleh berehat hari ini. Saya pun memberitahu pekerja-pekerja menaikkan tebu ke lori dengan perlahan-lahan kerana hanya diangkut sekali sahaja pada hari itu. Saya juga meminta mereka berehat jika berasa penat. Tujuan saya berbuat begitu adalah untuk melengah-lengahkan masa supaya saya dapat mengelak diri dari kebaktian Sabat.
Pada masa itu, terdapat empat orang pekerja, dua orang pekerja di atas lori dan dua orang lagi berada di sebelah kiri lori. Biasanya, kami hanya menggunakan masa selama 40 minit untuk mengisi muatan ke dalam lori. Tetapi pada hari itu, kami terpaksa menggunakan masa selama 4 jam untuk mengisi muatan yang seberat kira-kira 8 hingga 9 tan. Saya melihat masa pada jam tangan saya menunjukkan jam sepuluh pagi. Kira-kira jam 11 pagi lebih baru saya dapat sampai di kilang, dan waktu itu kebaktian pun hampir tamat. Dengan itu, saya pun bersiap berangkat balik ke kilang. Sewaktu menghidupkan enjin, saya terasa ada suatu yang akan berlaku. Dalam masa yang singkat, lori saya tiba-tiba terbalik ke sebelah kiri. Saya terus memegang stering dengan kuat dan menjerit ‘Haleluya’. Saya terdengar bunyi rebah yang kuat, dan terfikir dalam hati saya, pekerja-pekerja yang berada di atas lori dan di sebelah kiri lori pasti akan cedera parah atau mati dihimpit oleh muatan tebu yang seberat 8 hingga 9 tan itu. Saya segera keluar dari lori, tetapi mereka semua selamat dan berdiri di tepi melihat kepada saya.
Mengikut keadaan itu, mereka sudah pasti tidak dapat mengelakkan diri kerana lori terbalik secara tiba-tiba, bahkan jatuh ke tempat mereka berdiri dan lagipun tempat mereka berdiri itu adalah semak duri. Tambahan pula, mereka yang berada di atas lori sudah tentu tidak dapat mengelakkan diri dan akan cedera ditindih tebu ketika lori itu terbalik. Sungguhpun demikian, empat orang pekerja itu dapat melarikan diri dalam masa yang suntuk dan tidak ada yang mati atau cedera. Saya berfikir inilah kasih karunia Tuhan, lalu air mata saya terus mengalir. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan. Sekiranya berlaku sesuatu yang di luar dugaan, sudah tentu akibatnya sangatlah teruk. Dalam hal ini, saya dapat mengalami perkataan dalam Alkitab ini bahawa:
Allah itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti. (Mzm 46:1)
Kasih setia dan belas kasihan Tuhan memang ajaib dan di luar jangkaan. Sewaktu saya memberontak, Tuhan masih menghulurkan tangan-Nya untuk melindungi saya. Sabat merupakan salah satu daripada 10 firman yang tidak boleh diingkari oleh setiap seiman. Kiranya hajaran yang saya terima ini dapat menjadi peringatan kalian. Segala kemuliaan diberikan kepada nama Yesus. Amin. (Dipetik daripada majalah Roh Kudus tahun 1975)
Dihajar Tuhan kerana tidak memegang Sabat dan tidak bersaksi tentang kasih karunia Tuhan
Laporan Xu Tong-lin
Ini adalah saksian saudari Wang Xie, seorang peniaga, berumur 35 tahun dan tinggal di No. 226-15, Jalan Tong Men, Bandar Tai Nan. Setelah percaya Tuhan, dia haus akan kebebasan memegang hari Sabat dan memohon Tuhan memberi peluang perniagaan yang baik kepadanya. Akhirnya, dia mendapat apa yang dihajatnya dan amat gembira.
Tidak lama kemudian, perniagaannya bertambah baik. Dia pun berfikir dalam hati tidaklah menjadi masalah besar sekiranya memegang Sabat setengah hari saja. Akhirnya, dia tidak mengikuti Sabat kira-kira dua bulan. Pada suatu pagi Sabat, dia bersiap untuk keluar menjual baju. Tiba-tiba perutnya sakit dan kencingnya berdarah dan ada lendir yang berbau busuk. Dia berasa tersangat sakit, lalu dia pun pergi ke hospital dan mendapati dirinya telah menghidapi radang pundi kencing. Dengan itu, dia mengetahui bahawa perkara ini adalah peringatan dan hajaran dari Tuhan. Setelah sampai di rumah, dia pun segera bertobat dan berdoa meminta Tuhan mengampuni dan berjanji akan bersaksi demi Tuhan apabila sembuh. Syukur kepada Tuhan kerana setelah berdoa sejam, dia pun pergi membuang air kecil, dan didapati warna kencingnya telah menjadi jernih. Dia tidak lagi berasa sakit pada bahagian pundi kencingnya. Pada pukul 8.30 pagi, dia mengenakan pakaian untuk pergi ke gereja. Sesudah habis mengikuti kebaktian, dia dapat pergi ke suatu perkampungan dan membawa barangan kembali. Jadi, kelihatan penyakitnya telah sembuh.
Selepas seminggu, dia masih tidak berani bersaksi di atas mimbar pada hari Rabu minggu tersebut. Sesudah habis kebaktian dan sampai di rumah, penyakitnya datang kembali. Dia segera mengetahui Tuhan memperingatkan- nya. Dia pun sujud berdoa selama satu jam, lalu berasa tidak lagi sakit. Oleh yang demikian, dia meminta supaya diberi kesempatan untuk menyampaikan saksian pada minggu yang akan datang. Syukur kepada Tuhan, selama ini segalanya damai sejahtera dan setiap Sabat dia pasti berehat sepanjang hari untuk mengikuti kebaktian Hari Sabat. (Dipetik daripada Siri Kesaksian Tanda Mukjizat Gereja-gereja Taiwan tahun 1974, halaman ke-34)
Tidak memegang Sabat kerana ribut dan ditegur
Laporan Wu Shun-Qing
Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus saya menyampaikan saksian. Saya bernama Lo Dai-yu dan berumur 43 tahun. Saya tinggal di rumah No. 125, Lorong 5, Kampung Jia-le, Mukim Jian-se, daerah Tao-yuan. Pada hari Sabtu bersamaan 18 September 1971, semasa ribut taufan melanda, saya dan keluarga masih sempat mengikuti kebaktian Sabat pada sebelah pagi. Disebabkan ribut kuat pada waktu petang dan perjalanan kaki ke gereja agak licin, saya pun membuat keputusan untuk tidak pergi ke kebaktian dan tidur di rumah. Semasa tidur, saya mendengar orang berkata dengan nyaring,
“Mengapa kamu masih tidur di sini! Masa kebaktian hampir tiba, lekas pergi!”
Rupa-rupanya satu mimpi. Biarpun hujan lebat, saya masih pergi ke kebaktian Sabat kerana hari ini amatlah penting. Apabila sampai di sana, saya sempat lagi mengikuti nyanyian kidung. Syukur kepada Tuhan kerana mengingatkan saya tepat pada waktunya sehingga saya lebih memahami bahawa kebaktian Sabat harus diikuti. Bagi nama Tuhan segala kemuliaan. Amin. (Dipetik daripada Siri Kesaksian Tanda Mukjizat Gereja-gereja Taiwan tahun 1971, halaman ke-17)
Tidak memegang Sabat dan dihajar Tuhan
Saksian Lin Yi-Shou, dicatat oleh Zhou Fui-On
Nama saya Lin Yi-shou. Saya tinggal di Kampung Xi-pin, Mukim Gu-kan, daerah Yun-lin, Taiwan. Saya dari Gereja Mei-shan. Sejak percaya kepada Tuhan, saya menerima kasih karunia Tuhan yang tidak terhingga. Syukur kepada Tuhan. Saya melakukan perniagaan membuat alas pemotong. Saya akan membeli kayu yang sesuai, kemudian memprosesnya menjadi sekeping-keping alas pemotong, lalu mengedarkanya ke tempat lain untuk dijual. Oleh sebab perkakas ini amat diperlukan oleh setiap rumah, maka permintaannya juga sangat tinggi melebihi penawaran. Terutama pada musim perayaan, jumlah jualan akan meningkat secara mendadak. Hal ini menyebabkan saya sangat sibuk.
Semasa musim perayaan mendekat, kerja semakin sibuk sehingga 4, 5 minggu tidak menghadiri kebaktian Sabat. Semasa Sabat, hati berfikir sudah lama tidak pergi ke gereja dan harus berehat sehari untuk memegang Sabat. Tetapi apabila terfikir tidak mahu melepaskan peluang mencari keuntungan, niat untuk pergi ke gereja terus dilupakan.
Masa itu tengah hari, ajaran Tuhan benar-benar menimpa saya. Semasa saya naik tangga, tiba-tiba saya terjatuh sehingga mengeluarkan bunyi kuat yang memeranjatkan jiran saya. Masa itu saya keseorangan di rumah dan jiran telah datang dan menolong saya untuk bangun. Lengan kiri, belakang, pinggang, kaki telah bengkak dan rasanya ada retak tulang juga. Syukur kepada Tuhan, ini telah menyedarkan saya supaya sedar bahawa ini adalah ajaran Tuhan. Sabat ditetapkan bagi manusia agar manusia mendapat istirehat jiwa dan raga, Tuhan menguduskan kita supaya beribadah kepada-Nya, memperingati kasih karunia Tuhan dan mengharapkan hari Sabat yang kekal abadi di Kerajaan Syurga. Tidak boleh melalaikan Sabat demi hal duniawi (Kej 2:1-3). Kerugian dan kesakitan yang diterima kerana tidak memegang Sabat memang besar!
Tuhan mengajar saya sehingga ada kecederaan tetapi Tuhan juga menyembuhkan saya, retak tulang saya telah sembuh dalam 5 hari dan dapat bergerak, doktor pun hairan. Hal ini adalah jarang terutamanya bagi seorang yang berumur 62 tahun seperti saya.
Tuhan adalah penuh pengasih dan saya seperti domba yang sesat, Tuhan mengingatkan saya melalui penghajaran supaya saya “menyelidiki sendiri sedalamnya”; tongkat-Nya memimpin supaya tidak menyimpang dan seumur hidup berada di atas jalan kebenaran.
Sebab mereka mendidik kita dalam waktu yang pendek sesuai dengan apa yang mereka anggap baik, tetapi Dia menghajar kita untuk kebaikan kita, supaya kita beroleh bagian dalam kekudusan-Nya.
Memang tiap-tiap ganjaran pada waktu ia diberikan tidak mendatangkan sukacita, tetapi dukacita. Tetapi kemudian ia menghasilkan buah kebenaran yang memberikan damai kepada mereka yang dilatih olehnya. (Ibr 12:10-11)
Melalui ajaran kali ini, seumur hidup saya akan patuh dan memandang berat Sabat dan tidak melakukan hal duniawi (Yes 56:2; 58:13). Amin.