Tuhan Yesus berfirman : “ Hendaklah pinggangmu tetap berikat dan pelita tetap menyala.” ( Luk 12 : 35 )
Sebagai seorang hamba yang menantikan kepulangan tuannya, bila diketuk pintu akan membukakan pintu bagi tuannya. Berbahagialah hamba itu jika dia berjaga-jaga ketika tuannya datang. Maka, “ Berikatkan pinggang” dan “menyalakan pelita” menunggu kedatangan Tuhan adalah kewajipan bagi seorang hamba Tuhan.
BERIKATKAN PINGGANG
1. Mengambil rupa sebagai seorang hamba.
Ketika Yesus membasuh kaki murid-muridNya, Dia bangun dan menanggalkan jubahNya. Dia mengambil sehelai kain lenan dan ‘mengikatkannya pada pinggangNya’. Kemudian Dia menuangkan air ke dalam sebuah basi dan membasuh kaki murid-muridNya lalu menyekanya dengan kain yang diikat pada pinggangNya itu. Tuhan Yesus memberi teladan kepada kita agar kita melakukan apa yang telah dilakukanNya. Tentu sekali seseorang hamba tidak boleh lebih besar daripada tuannya. Kita sudah tahu perkara ini. Maka berbahagialah jika kita melakukannya.
Syarat utama melayani Tuhan adalah dengan meninggalkan kedudukannya yang mulia, meninggalkan kedudukan istimewa duniawinya, mengambil kedudukan sebagai seorang hamba dan “mengikatkan” pinggangnya dengan kain dari pekerjaan-pekerjaan yang biasanya serta menyeka kakinya. Cara pelayanan yang ikhlas dan sempurna boleh dijadikan sebagai seorang hamba dan menanggung kerja pelayanan sebagai seorang hamba, maka hendaklah sehati sefikir; janganlah memikirkan perkara-perkara yang tinggi, tetapi arahkanlah diri kepada perkara-perkara yang sederhana. Janganlah menganggap diri sendiri pandai ( Roma 12 : 16 ). Sebaliknya, lebih giat lagi dan sentiasa melayani Tuhan serta menjadikan Kebenaran sebagai pengikat pinggang di dalam hati. Saling melayani dengan rendah hati, menguasai hati sendiri, berwaspada dan meletakkan pengharapan seluruhnya atas kasih karunia yang dianugerahkan kepada kita pada waktu penyataan Yesus Kristus ( I Pet 1 : 13 ).
2. Bersedia menempuhi perjalanan padang gurun.
Ketika umat Tuhan tinggal di Mesir, dalam hidup duniawi selama kira-kira 430 tahun, hati mereka telah meninggalkan Tuhan. Umat Tuhan telah menerima penindasan dari pengawas-pengawas rodi dan orang-orang Mesir. Tuhan telah mendengarkan seruan mereka dan memperhatikan dengan sungguh kesengsaraan mereka. Maka Tuhan memutuskan untuk melepaskan mereka dari tangan orang Mesir dan menuntut mereka ke suatu negeri yang baik dan luas, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya.
Pada malam sebelum umat Israel dibawa keluar dari Mesir seperti yang dirancangkan oleh Tuhan, Perayaan Paskah ditetapkan. Pada malam itu, mereka mesti memakan domba dengan pinggang berikat, kasut pada kaki dan tongkat di tangan mereka serta memakannya dengan terburu-buru sebab Tuhan membunuh tiap-tiap anak sulung di tanah Mesir. Kemudian orang-orang Israel bertolak dari Ramses untuk bersedia menempuhi perjalanan padang gurun yang jauh itu.
Pada masa lalu, kita tidak ada kaitan dengan Kristus dan kita adalah orang asing tetapi sekarang kita berada di dalam Kristus Yesus. Kita mendekati Tuhan dnegan bersandar kepada darahNya. Dengan demikian, kita bukan lagi orang asing dan pendatang melainkan kawan sewarga dari orang-orang kudus dan anggota-anggota keluarga Allah ( Efe 2 : 19 ). Adalah perlu “berikatkan pinggang”…ini adalah perlengkapan semangat untuk menempuhi perjalanan ke syurga …agar bersemangat dan bertenaga untuk menuju ke arah perjalanan syurga yang susah dan sempit itu.
Setelah Nabi Elia ke gunung Karmel untuk menguji kebenaran dengan nabi-nabi Baal, seramai 450 orang nabi Baal telah dikalahkan akhirnya. Dia naik ke puncak gunung Karmel lalu ia bersungkur ke tanah memohon Tuhan menurunkan hujan. Roh Tuhan dicurahkan ke atas dirinya dan dia pun segera “mengikat” pinggangnya dengan bersemangat dan lari mendahului Raja Ahab sampai ke jalan yang menuju Yizreel.
Oleh itu, seorang Kristian perlu meninggalkan perkara duniawi untuk menjalani kehidupan yang berpengharapan dan menuju ke jalan syurga; lebih-lebih lagi perlu berikatkan pinggang kebenaran, bersandar kepada kuasa Tuhan dalam segala hal dan melangsungkan perjalanan hidup hari ini.
MENYALAKAN PELITA
1. Simbol berjaga-jaga tanpa tidur.
Hal kerajaan syurga seumpama 10 orang gadis yang mengambil pelitanya dan pergi menyongsong mempelai lelaki. Lima di antaranya bodoh dan lima adalah bijak. Gadis-gadis yang bodoh itu membawa pelitanya tetapi tidak mengisikan minyak sedangkan gadis-gadis yang bijaksana itu membawa pelitanya dan juga mengisi minyak dalam buli-buli mereka. Mereka mengantuk sebab mempelai lelaki itu lambat datang. Waktu tengah malam terdengarlah suara orang berseru : “Mempelai datang! Songsonglah dia!” Gadis-gadis itu pun bangun semuanya lalu membereskan pelita mereka.
Saudara-saudara yang dikasihi, ada seperkara yang kamu tidak boleh lupa bahawa di hadapan Tuhan satu hari sama seperti seribu tahun dan seribu tahun sama seperti satu hari. Tuhan tidak lalai menepati janjiNya, sekalipun ada orang yang menganggapnya sebagai kelalaian, tetapi ia sabar terhadap kamu kerana Ia mengkehendaki supaya jangan ada yang binasa melainkan supaya semua orang berbalik dan bertobat ( II Pet 3 : 8-9 ). Hari Tuhan akan tiba seperti pencuri. Ada masa itu, tidak seorang pun yang mengetahuinya. Mungkin waktu tengah malam, ketika orang keletihan dan hilang kewaspadaan lalu tertidur. Jika kita mengharapkan diri sendiri dapat menyediakan pelita dan menyalakannya untuk menyambut kedatangan Tuhan pada masa itu, bukankah seharusnya perlu sentiasa bersiap sedia untuk menyediakan minyak dan menyalakan pelita kita?
Jika kita menghendaki pelita itu sentiasa menyala, perlulah ada minyak. Gadis-gadis yang bijaksana itu telah membuat persiapan yang sepenuhnya dengan memenuhkan buli-buli mereka dengan minyak. Dengan demikian, barulah pelita itu akan terus menyala sehingga kedatangan Tuhan Yesus untuk menyambut pengantin perempuan, bergembira bersama dengan Tuhan dan sama-sama menikmati kegembiraan jamuan pernikahan yang mulia.
2. Menyalakan pelita di atas kaki dian.
Selain daripada pelita kita yang dipenuhi dengan minyak dapat menggembirakan hati Tuhan dan menerima kedatanganNya untuk menyambut pengantin perempuan. Di samping itu juga pelita berminyak yang menyala dapat menerangi semua penjuru agar orang yang di sekeliling turut memperolehi faedahnya. Perbuatan baik sama seperti terang. Lebih jauh ia pergi lebih jauhlah kawasan yang mendapat terang dan lebih besar terang itu, lebihlah Tuhan dapat dimuliakan.
Oleh itu, orang tidak menyalakan pelita lalu meletakkannya di bawah gantang, melainkan di atas kaki dian sehingga menerangi semua orang di dalam rumah itu. Demikianlah hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapamu yang di syurga ( Mat 5 : 15-16 ). Malahan, setiap orang mestilah sentiasa mengharapkan kedatangan Tuhan dengan Roh kebenaran yang penuh di dalam hati kita. Barangsiapa yang melakukan segala hal dengan bersandarkan Roh Kudus dan menghasilkan buah-buah Roh Kudus dapat memberi faedah kepada manusia di dunia serta menikmati faedah Injil bersama dengan sanak-saudara dan sahabat.
3. Mengisi penuh pelita dengan minyak selagi hari masih siang.
Sebab utama Yesus mengatakan lima orang gadis adalah yang bodoh bukan kerana mereka tidak ada hikmat tetapi mereka telah lalai akan kewajipan mereka. Mereka tidak membuat persediaan yang lengkap. Mereka hanya tahu membawa pelita tetapi tidak tahu mengisi minyak. Sungguhpun mereka mempunyai sedikit minyak dalam pelita tetapi tidak seperti gaids-gadis yang bijaksana yang mengisi penuh buli-buli mereka dengan minyak. Itulah sebabnya tidak lama kemudian pelita mereka hampir padam. Kita sepatutnya menyediakan minyak selagi hari masih siang supaya minyak dalam pelita mencukupi dan tidak padam pada pertengahan jalan untuk mengelak daripada disingkirkan oleh Tuhan.
Namun, bagi gadis-gadis bijaksana bukanlah bermaksud intelek mereka luar biasa tetapi merujuk kepada kecekapan mereka menggunakan kebijiksanaan mereka dengan bersesuaian. Ia menunjukkan perbezaan di antara umat Kristian yang sebenar dengan umat Kristian yang hanya ada nama sahaja. Dari segi luarannya, gadis-gais yang bodoh dan gadis-gadis yang bijaksana sama sahaja sebab tujuan mereka adalah keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Mereka juga sama-sama berharap dapat menjamu selera bersama pengantin lelaki. Hanya kesudahan mereka sahaja yang berlainan. Kita perlu tanya pada diri sendiri : “Saya adalah milik jenis yang mana satu?” Apabila ditinjaukannya, para pemercaya perlu bersiap sedia dari pelbagai aspek untuk menanti kedatangan Juruselamat dengan sentiasa saling menasihati agar tidak ada orang yang disesatkan oleh dosa yang menjadikan hatinya keras. Sekarang adalah masa untuk bangun dari tidur dan menyediakan minyak sebab kita menerima anugerah keselamatan adalah lebih dekat lagi dibandingkan dengan pada waktu mula-mula kita menjadi percaya supaya kita tidak menyesal dan cemas jika tidak ada lagi peluang kelak.
PENUTUP
Malam sudah larut dan hari akan siang, kita mestilah menanggalkan perbuatan yang milik kegelapan, sebaliknya mengenakan perlengkapan senjata milik terang. Perbuatlah perkara yang baik terhadap orang lain seperti melakukannya pada waktu siang hari agar apa yang kita lakukan tidak bersalah terhadap Tuhan. Dalam segala hal itu diperkenankan oleh Tuhan bagi menghasilkan buah-buah yang baik. Adalah perlu bagi kita menggunakan hikmat kita untuk menyimpan Kebenaran Kristus dengan segala kekayaan di dalam hati kita.Tidak kira sama ada penyempurnaan rohani individu, dalam kehidupan keluarga atau kerja pelayanan di gereja, adalah memerlukan iman untuk mengerjakan keselamatan. Bertahan dalam kesusahan dengan kasih sebab mengharapkan Tuhan Yesus Kristus maka timbullah kesabaran. Sungguhpun ada kerumitan yang tidak dapat dielakkan tetapi ia tidak dapat diperhitungkan jika dibandingkan dengan buah-buah terang yang dihasilkan dan kegembiraan serta kemuliaan yang diperolehi.
Pada masa kini kita telah pun hidup bersandar kepada Roh Kudus, maka “berikatkan rendah hati” taat kepada Kebenaran: bersandar Roh Kudus dalam melakukan segala hal supaya tiada bernoda sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela di tengah-tengah angkatan yang bengkok hatinya dan sesat ini sehingga bercahaya di antara mereka seperti bintang-bintang di dunia agar dapat bermegah pada hari Kristus, bahawa tidak percuma berlumba dan tidak percuma bersusah-susah ( Filipi 2 : 15-16 ).