Untuk belia yang merancang untuk belajar di luar negeri Sabah
| |

Untuk belia yang merancang untuk belajar di luar negeri Sabah

Chung Qian Ying

Lembaran Baru

Masa berlalu hari demi hari, akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan untuk membuka lembaran baru dalam hidup – menempuhi hidup di menara gading. Dewasa ini, memang banyak belia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Sabah, khasnya di Semenanjung Malaysia. Seringkali kita berfikiran ideal akan masa depan kita, namun tidak rugi untuk menjangkakan perkara-perkara yang akan dihadapi di luar dugaan. Justeru, tatkala kita melonjak kegirangan menerima surat tawaran daripada IPT, janganlah lupa membuat persediaan bagi cabaran-cabaran yang bakal menanti kita. Belajar di luar negeri bukan setakat berjauhan dengan keluarga dan kampung halaman kita, persekitaran yang berbeza juga menandakan bahawa kita perlu sekali lagi menyesuaikan diri bukan saja dalam aspek kehidupan jasmani, tetapi juga dalam aspek  kehidupan rohani.

Keutamaan

Sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar (GYB), perkara pertama yang harus kita ambil berat sewaktu ingin belajar di luar negeri ialah mencari gereja atau khemah doa yang berdekatan dengan kampus kita. Kita boleh memberitahu penguasa gereja, penatua, pendeta atau diaken untuk membantu menghubungi gereja tempatan di situ dan memaklumkan maklumat kita kepada mereka. Dengan demikian, gereja tempatan tersebut akan dapat menghubungi kita sebaik saja kita tiba di situ. Jangan sekali-kali pergi tanpa memaklumkan kepada pihak gereja terlebih dahulu kerana ini akan menyukarkan kita untuk mencari tempat  berkebaktian apatah lagi kalau berada di tempat yang asing.

Cabaran

Satu cabaran yang mungkin kita hadapi ialah gereja terletak di kawasan yang agak jauh sungguhpun itulah gereja yang paling dekat dari tempat kediaman kita.  Satu lagi cabaran lain ialah pengangkutan tidaklah begitu memudahkan.  Pada waktu itu, kita mungkin mula membandingkan keadaan sewaktu kita berada di tempat asal. Namun begitu, kita haruslah bersyukur sekiranya ada pengangkutan yang dapat membawa kita ke gereja sungguhpun itu mungkin hal yang sukar.  Sebagai contoh, mengambil masa yang lama, memerlukan kos tinggi, perlu bertukar dua atau tiga kali pengangkutan, atau perlu pergi bersendirian kerana tidak ada seiman lain dari kawasan yang sama. Kesemua ini benar-benar menguji ketahanan iman kita, khasnya sewaktu kita berasa lemah kerana berada di tempat yang asing serta berjauhan dengan keluarga. Renungkanlah, adakah kita akan mengetepikan hubungan kita dengan Tuhan atas sebab kesukaran dan kesepian? Sememangnya sekiranya kita boleh memilih IPT untuk belajar, pilihlah IPT yang berdekatan dengan gereja atau sekurang-kurangnya dapat dihubungkan ke gereja terdekat.

Menyesuaikan diri

Dari segi pelajaran pula, secara amnya, kebanyakan penuntut berasa kurang biasa dengan cara pembelajaran di IPT. Ini disebabkan penuntut tidak lagi dibimbing langkah demi langkah tetapi sebaliknya dibiarkan berdiri atas kaki sendiri. Dari pemilihan dan pendaftaran subjek-subjek yang akan diambil hingga mendapatkan jadual-jadual kuliah dan peperiksaan, semuannya dilakukan oleh penuntut sendiri. Dalam kuliah pula, pensyarah menjangkakan penuntut mencari maklumat lanjut sendiri di perpustakaan tentang kuliah yang disampaikan. Namun secara perlahan-lahan kita akan dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran sedemikian. Ingatlah bahawa asalkan kita tekun berdoa meminta bantuan Tuhan ditambah dengan usaha diri yang bersungguh-sungguh, maka kita pasti akan dapat lulus dalam peperiksaan. Justeru, kita harus tahu menguruskan masa kita dalam mengulang kaji. Janganlah mula mengulang kaji apabila tiba musim peperiksaan sehinggakan kita menjadikan persediaan peperiksaan sebagai alasan untuk tidak menghadiri kebaktian dan melakukan kerja suci. Sebagai kata dorongan kepada belia dalam pekerjaan suci, kita boleh merujuk kepada artikel ruangan belia dalam Vol. 3[1] – “Pengurusan masa antara pelajaran dan pekerjaan suci”. Kesimpulannya ialah kita umat Tuhan harus mempunyai pegangan hidup yang berlainan dengan orang duniawi termasuk dalam pelajaran, yakni mendahulukan Tuhan dalam segala perkara. Kita haruslah percaya bahawa segala sesuatu adalah mungkin bagi Tuhan sungguhpun bagi manusia hal itu tidak mungkin.

Menguduskan Hari Sabat

Sebagai makluman, kebanyakan gereja di Semenanjung Malaysia menyelitkan banyak aktiviti pada hari Sabat. Contohnya selepas kebaktian hari Sabat pada sebelah petang, akan diadakan latihan koir dan selepas makan malam pula mereka akan mengadakan kebaktian belia atau kebaktian membaca alkitab. Maka seboleh-bolehnya kita meluangkan seluruh Hari Sabat itu untuk Tuhan.

Memuliakan Tuhan

Memang tidak boleh dinafikan kita perlu menyesuaikan diri dalam kehidupan komuniti sekiranya kita tinggal di asrama IPT. Besar kemungkinan kita perlu tinggal dengan teman sebilik yang bukan seiman. Kekadangnya perkara-perkara yang remeh pun boleh menimbulkan perselisihan. Maka dalam hal ini, kita harus berusaha untuk mengejar kedamaian dan juga bertolak-ansur serta bertimbang rasa dalam pelbagai perkara. Ia merupakan cara yang baik bagi kita untuk bersinar untuk Tuhan. Dengan itu rakan-rakan kita akan berasa yakin akan kepercayaan kita apabila kita menginjil kepada mereka.

Berdoa

Selain itu, satu masalah lain yang mungkin kita hadapi ialah berdoa. Kita mungkin berasa segan untuk berdoa sekiranya teman sebilik yang bukan seiman berada dalam bilik. Maka ada yang memilih untuk berdoa dalam bilik air. Sebenarnya memang tidak menjadi masalah jika kita mahu berdoa dalam bilik asalkan kita menjelaskan dahulu kepercayaan termasuk cara doa kita kepada teman sebilik kita. Kita mungkin perlu berdoa dengan suara yang sangat perlahan agar tidak mengganggu orang lain. Yang penting ialah jangan mengabaikan kehidupan berdoa tidak kira di mana kita berada. Sudah tentu lebih baik jika ada seiman yang belajar dalam IPT yang sama kerana kita boleh mengadakan perhimpunan untuk sama-sama berdoa dan membaca alkitab. Namun sekiranya kita melakukannya dalam bilik gerakan kampus haruslah kita sedar akan peraturan-peraturan IPT kerana mungkin perlu mendapatkan kebenaran pihak IPT dahulu.

Pergaulan

Dalam pergaulan sosial pula, sesungguhnya kita perlu belajar untuk bersosial dengan orang lain khasnya seiman gereja. Haruslah kita mengambil inisiatif diri untuk saling berkenalan agar jangan kita memencilkan diri kerana berasa diketepikan. Sudah tentu ini tidak baik khasnya dalam konteks gereja kerana jemaat seharusnya hidup berkumpulan. Namun begitu, dari perspektif yang lain, kita juga harus selalu berwaspada dalam hal pergaulan. Janganlah kita menganggap diri kita bebas kerana jauh dari pengawasan keluarga. Memang tidak salah berkawan dengan rakan-rakan bukan seiman tetapi janganlah biarkan kehidupan kepercayaan kita dipengaruhi oleh mereka. Mereka mungkin mengajak kita ke luar untuk menonton wayang, membeli-belah atau melawat ke tempat peranginan pada Hari Sabat. Alasan mereka mungkin peluang itu hanya sekali saja atau kita hanya ‘ponteng’ ke gereja sekali saja. Dalam hal ini janganlah berkompromi kerana sekiranya ada ‘sekali’, maka ia mungkin akan berulang lagi. Di samping itu, kita juga harus berwaspada dalam hal pergaulan dengan teman berlainan jantina, khasnya dalam hal percintaan. Bukan dikatakan salah untuk bercinta dalam kehidupan kampus tetapi biarlah segala perbuatan kita menepati pengajaran Tuhan. Sekiranya kalian berminat tentang soal mencari pasangan hidup, sila rujuk artikel “Keputusan Besar” dalam Vol. 3.

Kesimpulan

Kita perlu membuat perancangan awal dan persediaan kerohanian diri untuk menghadapi cabaran-cabaran di tempat yang baru. Bersabarlah ketika menghadapi kesukaran kerana ia baik untuk melatih keimanan kita seperti yang tercatat dalam Alkitab, Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia (Rom 8:28). Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku (Fil 4:13). Semoga kita berdiri teguh dalam kasih karunia Tuhan tidak kira di mana saja untuk selama-lamanya. ☺


[1] Hujan Musim Semi, Terbitan 3

Perasaan Selepas Menyertai Kumpulan Sukarela Ibu Gereja Sabah
| |

Perasaan Selepas Menyertai Kumpulan Sukarela Ibu Gereja Sabah

Sdri. Tang En Tze

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus, saya mengongsikan kasih karunia Tuhan. Syukur kepada pengaturan Tuhan yang baik, saya berpeluang untuk menyertai Rombongan Visi Sukarela (VMT) Sabah pergi ke Filipina untuk membantu kerja Kursus Teologi Jangka Pendek pada 15~22 Mac 2009. Perkara-perkara yang dapat saya belajar selepas menyertai VMT adalah seperti berikut.

Pada 15 Mac 2009 (Ahad), saya bertolak dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada waktu pagi. Kemudian, saya dan ahli-ahli VMT bertolak dari Kota Kinabalu ke Filipina pada waktu petang. Kami tiba di Lapangan Terbang Clark, Filipina pada pukul 5.30 petang. Selepas itu, kami manaiki bas dan teksi selama 2 jam setengah ke Gereja Manila. Kami tiba di Gereja Manila pada pukul 8.00 malam. Semasa tiba di gereja, perkara petama yang kami lakukan adalah sehati berdoa untuk bersyukur kepada Tuhan. Walaupun kami tiba di sebuah tempat yang asing dengan letih dan lapar, tetapi semasa berdoa, kami menggunakan bahasa Roh yang sama, kepercayaan kami adalah sama, kami semua adalah anak-anak Bapa Syurga. Pada masa itu, saya dapat merasai “Kita adalah sekeluarga di dalam Tuhan.” Oleh itu, doa kami penuh dengan kesyukuran, sukacita dan kesejahteraan.

Keesokan hari, kami bertolak ke Lapangan Terbang Manila pada pukul 5 pagi. Kami menaiki kapal terbang dari Manila ke Bacolod. Kemudian, kami menaiki “Jeepney” ke Gereja Mansilingan. Kami tiba di Gereja Mansilingan pada pukul 12 tengah hari. Pemercaya di sana melayan kami dengan ghairah dan lemah-lembut. Selain itu, mereka juga tekun berdoa. Terdapat pemercaya berdoa di dalam gereja sebelum pukul 6 pagi.

Terdapat seorang saudari yang sangat mengasihi Tuhan di Gereja Mansilingan. Beliau ialah Saudari Tessie. Semasa gereja mengadakan aktiviti, beliau bangun awal-awal pagi selepas tidur 4 atau 5 jam. Kemudian, beliau berjalan kaki selama 20 minit ke gereja untuk menyediakan sarapan, makanan tengah hari, makanan malam dan sebagainya. Oleh itu, Tuhan memberkatinya dengan khas sehingga anak-anaknya sangat berkebolehan. Antaranya, seorang anak perempuannya yang bernama Teresa, pernah menjadi pensyarah di Amerika Syarikat dan menguntung Dollar Amerika lalu membeli sebuah rumah banglo di Mansilingan untuk didiami ahli-ahli keluarganya. Jelaslah bahawa Tuhan tidak berhutang kepada orang yang mengasihiNya. Sebaliknya, Tuhan akan memberkati mereka secara besar-besaran.

Selain itu, satu lagi segi yang patut saya pelajari ialah pemercaya di sana sangat menitikberatkan Hari Sabat. Satu jam sebelum Kebaktian Hari Sabat bermula, terdapat pemercaya tiba di gereja dengan berpakaian sopan dan kemas untuk menerima berkat Hari Sabat. Terutamanya guru-guru pendidikan agama. Mereka awal sampai ke gereja untuk mengemaskan bilik darjah. Guru yang sama memimpin kelas pendidikan agama pada setiap minggu. Namun, dia tidak bersungut-sungut. Sebaliknya, dia melakukannya dengan sukacita. Saya bertanya dengan hairan: “Jika kamu jatuh sakit, siapakah yang menggantikan anda?” Dia tersenyum dan menjawab: “Saya tidak pernah jatuh sakit sehingga tidak dapat pergi ke gereja.” Selepas mendengar jawapannya, saya berasa sangat bersyukur kepada Tuhan kerana ini adalah berkat Tuhan.

Pada hari terakhir Kursus Teologi Jangka Pendek, penuntut-penuntut mengedarkan kad jemputan di dua buah kampung yang berhampiran dengan gereja untuk menjemput mereka menyertai Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung pada malam itu. Syukur kepada Tuhan, pada malam itu, Tuhan telah menggerakkan hati lebih daripada 30 orang pencari injil untuk datang ke gereja. Kebanyakan mereka adalah kanak-kanak.

Akhir kata, penyertaan VMT membolehkan saya merasai kasih karunia Tuhan yang berkelimpahan. Ini amat memanfaatkan saya sehingga saya berasa berat hati untuk balik ke rumah.

Pada setiap tahun, Ibu Gereja Sabah akan mengutus Rombongan Visi Sukarela (VMT) ke Filipina untuk membantu pelbagai kerja suci. Contohnya, melatih pianist, pemimpin dan pekerja suci, mengadakan Hari Kanak-kanak, Hari Belia, Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung dan lain-lain. Saudara-saudari dialu-alu untuk menyertai VMT. Sesiapa yang berminat, sila hubungi Koordinator VMT Zon Timur, Saudari Tracy Tang Choi Ngan (Alamat Emel: tcngan@yahoo.com Nombor telefon: 014-655 8124) Keterangan lanjut adalah seperti berikut.

Pasukan Sukarelawan Ibu Gereja Sabah ke Filipina
TARIKH: JULAI, OKTOBER
TEMPAT: Manila, Mansilingan
PERBELANJAAN: Lebih kurang RM600, Lebih kurang RM1,000
(Tiket Bagi Kapal Terbang & Kereta, Persembahan Dan Lain-Lain)

Kiranya Tuhan memperkukuh kerja yang dilakukan oleh kami dan memperingati jerih-payah yang dicurahkan dalam Tuhan oleh para sukarelawan.