Untuk belia yang merancang untuk belajar di luar negeri Sabah
| |

Untuk belia yang merancang untuk belajar di luar negeri Sabah

Chung Qian Ying

Lembaran Baru

Masa berlalu hari demi hari, akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan untuk membuka lembaran baru dalam hidup – menempuhi hidup di menara gading. Dewasa ini, memang banyak belia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Sabah, khasnya di Semenanjung Malaysia. Seringkali kita berfikiran ideal akan masa depan kita, namun tidak rugi untuk menjangkakan perkara-perkara yang akan dihadapi di luar dugaan. Justeru, tatkala kita melonjak kegirangan menerima surat tawaran daripada IPT, janganlah lupa membuat persediaan bagi cabaran-cabaran yang bakal menanti kita. Belajar di luar negeri bukan setakat berjauhan dengan keluarga dan kampung halaman kita, persekitaran yang berbeza juga menandakan bahawa kita perlu sekali lagi menyesuaikan diri bukan saja dalam aspek kehidupan jasmani, tetapi juga dalam aspek  kehidupan rohani.

Keutamaan

Sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar (GYB), perkara pertama yang harus kita ambil berat sewaktu ingin belajar di luar negeri ialah mencari gereja atau khemah doa yang berdekatan dengan kampus kita. Kita boleh memberitahu penguasa gereja, penatua, pendeta atau diaken untuk membantu menghubungi gereja tempatan di situ dan memaklumkan maklumat kita kepada mereka. Dengan demikian, gereja tempatan tersebut akan dapat menghubungi kita sebaik saja kita tiba di situ. Jangan sekali-kali pergi tanpa memaklumkan kepada pihak gereja terlebih dahulu kerana ini akan menyukarkan kita untuk mencari tempat  berkebaktian apatah lagi kalau berada di tempat yang asing.

Cabaran

Satu cabaran yang mungkin kita hadapi ialah gereja terletak di kawasan yang agak jauh sungguhpun itulah gereja yang paling dekat dari tempat kediaman kita.  Satu lagi cabaran lain ialah pengangkutan tidaklah begitu memudahkan.  Pada waktu itu, kita mungkin mula membandingkan keadaan sewaktu kita berada di tempat asal. Namun begitu, kita haruslah bersyukur sekiranya ada pengangkutan yang dapat membawa kita ke gereja sungguhpun itu mungkin hal yang sukar.  Sebagai contoh, mengambil masa yang lama, memerlukan kos tinggi, perlu bertukar dua atau tiga kali pengangkutan, atau perlu pergi bersendirian kerana tidak ada seiman lain dari kawasan yang sama. Kesemua ini benar-benar menguji ketahanan iman kita, khasnya sewaktu kita berasa lemah kerana berada di tempat yang asing serta berjauhan dengan keluarga. Renungkanlah, adakah kita akan mengetepikan hubungan kita dengan Tuhan atas sebab kesukaran dan kesepian? Sememangnya sekiranya kita boleh memilih IPT untuk belajar, pilihlah IPT yang berdekatan dengan gereja atau sekurang-kurangnya dapat dihubungkan ke gereja terdekat.

Menyesuaikan diri

Dari segi pelajaran pula, secara amnya, kebanyakan penuntut berasa kurang biasa dengan cara pembelajaran di IPT. Ini disebabkan penuntut tidak lagi dibimbing langkah demi langkah tetapi sebaliknya dibiarkan berdiri atas kaki sendiri. Dari pemilihan dan pendaftaran subjek-subjek yang akan diambil hingga mendapatkan jadual-jadual kuliah dan peperiksaan, semuannya dilakukan oleh penuntut sendiri. Dalam kuliah pula, pensyarah menjangkakan penuntut mencari maklumat lanjut sendiri di perpustakaan tentang kuliah yang disampaikan. Namun secara perlahan-lahan kita akan dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran sedemikian. Ingatlah bahawa asalkan kita tekun berdoa meminta bantuan Tuhan ditambah dengan usaha diri yang bersungguh-sungguh, maka kita pasti akan dapat lulus dalam peperiksaan. Justeru, kita harus tahu menguruskan masa kita dalam mengulang kaji. Janganlah mula mengulang kaji apabila tiba musim peperiksaan sehinggakan kita menjadikan persediaan peperiksaan sebagai alasan untuk tidak menghadiri kebaktian dan melakukan kerja suci. Sebagai kata dorongan kepada belia dalam pekerjaan suci, kita boleh merujuk kepada artikel ruangan belia dalam Vol. 3[1] – “Pengurusan masa antara pelajaran dan pekerjaan suci”. Kesimpulannya ialah kita umat Tuhan harus mempunyai pegangan hidup yang berlainan dengan orang duniawi termasuk dalam pelajaran, yakni mendahulukan Tuhan dalam segala perkara. Kita haruslah percaya bahawa segala sesuatu adalah mungkin bagi Tuhan sungguhpun bagi manusia hal itu tidak mungkin.

Menguduskan Hari Sabat

Sebagai makluman, kebanyakan gereja di Semenanjung Malaysia menyelitkan banyak aktiviti pada hari Sabat. Contohnya selepas kebaktian hari Sabat pada sebelah petang, akan diadakan latihan koir dan selepas makan malam pula mereka akan mengadakan kebaktian belia atau kebaktian membaca alkitab. Maka seboleh-bolehnya kita meluangkan seluruh Hari Sabat itu untuk Tuhan.

Memuliakan Tuhan

Memang tidak boleh dinafikan kita perlu menyesuaikan diri dalam kehidupan komuniti sekiranya kita tinggal di asrama IPT. Besar kemungkinan kita perlu tinggal dengan teman sebilik yang bukan seiman. Kekadangnya perkara-perkara yang remeh pun boleh menimbulkan perselisihan. Maka dalam hal ini, kita harus berusaha untuk mengejar kedamaian dan juga bertolak-ansur serta bertimbang rasa dalam pelbagai perkara. Ia merupakan cara yang baik bagi kita untuk bersinar untuk Tuhan. Dengan itu rakan-rakan kita akan berasa yakin akan kepercayaan kita apabila kita menginjil kepada mereka.

Berdoa

Selain itu, satu masalah lain yang mungkin kita hadapi ialah berdoa. Kita mungkin berasa segan untuk berdoa sekiranya teman sebilik yang bukan seiman berada dalam bilik. Maka ada yang memilih untuk berdoa dalam bilik air. Sebenarnya memang tidak menjadi masalah jika kita mahu berdoa dalam bilik asalkan kita menjelaskan dahulu kepercayaan termasuk cara doa kita kepada teman sebilik kita. Kita mungkin perlu berdoa dengan suara yang sangat perlahan agar tidak mengganggu orang lain. Yang penting ialah jangan mengabaikan kehidupan berdoa tidak kira di mana kita berada. Sudah tentu lebih baik jika ada seiman yang belajar dalam IPT yang sama kerana kita boleh mengadakan perhimpunan untuk sama-sama berdoa dan membaca alkitab. Namun sekiranya kita melakukannya dalam bilik gerakan kampus haruslah kita sedar akan peraturan-peraturan IPT kerana mungkin perlu mendapatkan kebenaran pihak IPT dahulu.

Pergaulan

Dalam pergaulan sosial pula, sesungguhnya kita perlu belajar untuk bersosial dengan orang lain khasnya seiman gereja. Haruslah kita mengambil inisiatif diri untuk saling berkenalan agar jangan kita memencilkan diri kerana berasa diketepikan. Sudah tentu ini tidak baik khasnya dalam konteks gereja kerana jemaat seharusnya hidup berkumpulan. Namun begitu, dari perspektif yang lain, kita juga harus selalu berwaspada dalam hal pergaulan. Janganlah kita menganggap diri kita bebas kerana jauh dari pengawasan keluarga. Memang tidak salah berkawan dengan rakan-rakan bukan seiman tetapi janganlah biarkan kehidupan kepercayaan kita dipengaruhi oleh mereka. Mereka mungkin mengajak kita ke luar untuk menonton wayang, membeli-belah atau melawat ke tempat peranginan pada Hari Sabat. Alasan mereka mungkin peluang itu hanya sekali saja atau kita hanya ‘ponteng’ ke gereja sekali saja. Dalam hal ini janganlah berkompromi kerana sekiranya ada ‘sekali’, maka ia mungkin akan berulang lagi. Di samping itu, kita juga harus berwaspada dalam hal pergaulan dengan teman berlainan jantina, khasnya dalam hal percintaan. Bukan dikatakan salah untuk bercinta dalam kehidupan kampus tetapi biarlah segala perbuatan kita menepati pengajaran Tuhan. Sekiranya kalian berminat tentang soal mencari pasangan hidup, sila rujuk artikel “Keputusan Besar” dalam Vol. 3.

Kesimpulan

Kita perlu membuat perancangan awal dan persediaan kerohanian diri untuk menghadapi cabaran-cabaran di tempat yang baru. Bersabarlah ketika menghadapi kesukaran kerana ia baik untuk melatih keimanan kita seperti yang tercatat dalam Alkitab, Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia (Rom 8:28). Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku (Fil 4:13). Semoga kita berdiri teguh dalam kasih karunia Tuhan tidak kira di mana saja untuk selama-lamanya. ☺


[1] Hujan Musim Semi, Terbitan 3

Lalu anak bongsu menyedari keadaannya…
| |

Lalu anak bongsu menyedari keadaannya…

James Yapp

Peristiwa tentang seorang anak bongsu yang pernah menderhakai ayahnya; dia menuntut harta bahagiannya daripada ayahnya, kemudian menjual seluruh bahagiannya itu lalu pergi ke negeri yang jauh.  Di sana, dia memboroskan harta miliknya itu dengan hidup berfoya-foya.

Sewaktu ditimpa penderitaan dalam hidupnya, anak bongsu ini sedar kembali atas keadaan yang dialaminya, teringat kembali status asalnya dan mengetahui kesalahan yang telah dilakukan olehnya.  Justeru, tercetus kekesalan dari lubuk hatinya; “aku telah berdosa terhadap syurga dan terhadap bapa ”.  Dengan tekad yang bulat, dia mengambil keputusan untuk  bangkit dan kembali ke rumah bapanya.

            Ketika ia masih jauh, ayahnya telah melihatnya, lalu tergeraklah hatinya oleh belas kasihan. Ayahnya itu berlari mendapatkan dia lalu merangkul dan mencium dia (Luk 15:11-24).

Perumpamaan tentang “Anak yang hilang telah kembali” ini sangat menyentuh hati dan perasaan. Yesus menggunakannya sebagai suatu penyataan bahawa Dia ingin menerima semula anak-anak Tuhan yang hilang untuk kembali ke sisi-Nya.  Saudara yang dikasihi, di manakah engkau berada pada saat ini?

Dalam masa terdekat ini, apakah kita sudah melupai kasih karunia Tuhan? Adakah kita semakin menjauhi jalan kebenaran Tuhan?  Atau masa kita dihabiskan untuk mengusahakan rancangan peribadi, mencari-cari impian sendiri?  Adakah kita sekadar ingin mencipta kerjaya di dunia dan terus mengejar segala kenikmatan dunia kini? Atau sudah bosankah menjalani hidup sebagai seorang Kristian sejati?  Adakah terasa tidak ingin lagi berdoa mahupun menghadiri kebaktian? Adakah tidak ingin lagi melibatkan diri dengan giat dalam pekerjaan suci…?

  • (Efesus 5:13-14) Tetapi segala sesuatu yang sudah ditelanjangi oleh terang itu menjadi nampak, sebab semua yang nampak adalah terang. Itulah sebabnya dikatakan: “Bangunlah, hai kamu yang tidur dan bangkitlah dari antara orang mati dan Kristus akan bercahaya atas kamu.”

Di kala engkau melihat sinaran terang tersebut, bangunlah supaya Kristus dapat bercahaya ke atas kamu.

Alangkah baiknya jika wujud perasaan sedar kembali dalam kerohanian seseorang itu.  Banyak tokoh dalam Kitab Suci telah melakukan hal-hal yang istimewa bermula daripada kesedaran diri.

Pengakuan tepat terhadap kebaikan Tuhan (Rut 1:6-7)

Keluarga Elimelekh yang hidup di Betlehem[1]  telah meninggalkan tempat itu dan pergi ke Moab kerana terjadinya kelaparan dalam zaman hakim-hakim[2].  Berdasarkan peristiwa ini, jelas menunjukkan bahawa kemerosotan rohani telah berlaku.  Sepuluh tahun kemudian, Naomi berkemas ingin kembali ke tanah Yehuda setelah mendengar bahawa Tuhan memperhatikan umat-Nya.

Adakah wujud kebahagiaan yang lebih bernilai di luar Tuhan yang empunya segala berkat?  Tuhan Yesus berfirman: Akulah pokok anggur dan kamulah ranting-rantingnya. Barangsiapa tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia, ia berbuah banyak, sebab di luar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa (Yoh 15:5). Oleh sebab itu, kunci dan keyakinan untuk memperolehi berkat yang berkelimpahan, pasti dan jitu hanya terdapat dalam Tuhan Yesus.  Ada nas mazmur yang berbunyi: “Engkaulah Tuhanku, tidak ada yang baik bagiku selain Engkau!” (Mzm 16:2).  Marilah saudara seiman sekalian, bertekadlah supaya dalam seumur hidup ini, kita dapat diam dalam Bait Tuhan sambil menyaksikan segala kemurahan Tuhan (Mzm 27:4).

Suara kesyukuran (Luk 17:11-19)

Sewaktu seorang Samaria di antara sepuluh orang yang berpenyakit kusta itu telah melihat bahawa dia telah disembuhkan oleh Tuhan Yesus dalam perjalanan, dia telah kembali sambil memuliakan Tuhan dengan suara yang nyaring, tersungkur di depan kaki Yesus dan mengucap syukur.

Dalam perjalanan hidup kita yang penuh kepahitan dan tekanan ini, bukankah ada kasih karunia Tuhan Yesus yang pernah kita terima semasa dalam perjalanan?  Perasaan bersyukur akan lahir apabila seseorang itu tahu untuk menghitung kasih Tuhan.  Lebih kerap kita menghitung anugerah Tuhan, maka lebih banyak kita mempersembahkan puji-pujian dan kesyukuran kepada-Nya.

Kidung pujian gereja kita nombor 90 mengandungi lirik yang sangat membangunkan dan menggerakkan.  Respon seorang kristian yang tahu menghitung dan mengingat berkat Tuhan dapat mencerminkan bahawa hidupnya senantiasa sedar akan kasih karunia Tuhan. Jangan lupa bahawa hidup bersyukur kepada Tuhan dalam segala hal adalah kehendak Tuhan dalam Yesus Kristus  (1Tes 5:18).

Kuatkanlah saudara-saudaramu (Luk 22:31-32)              

“Petrus”… Siapa sangka bahawa rasul yang digelar “Rasul Beriman” ini pernah lemah dalam imannya?  Sewaktu berbicara dengan Yesus, dia telah cuba menunjukkan sifat keberaniannya dalam darah dan daging, iaitu sanggup masuk penjara dan mati bersama-sama dengan Tuhan Yesus.  Namun Tuhan Yesus sudah tahu bahawa Petrus pasti akan menyangkal Dia tiga kali sebelum ayam berkokok pada pagi berikutnya (Luk 22:33-34).

  • Luk 22:32 tetapi Aku telah berdoa untuk engkau, supaya imanmu jangan gugur…

Iman yang hampir gugur dapat dikuatkan kerana didahului dengan doa syafaat.  Selepas ayam berkokok pada kali ketiga, Yesus berpaling memandang Petrus.  Hal ‘menidakkan-Nya’ yang pernah diingatkan Yesus kepada Petrus sebelum itu sudah genap maka dia teringat kata-kata Tuhan Yesus…lalu dia pergi ke luar dan menangis dengan sedihnya (Luk 22:60-62).

  • (Luk 22:32b) …Dan engkau, jikalau engkau sudah insaf, kuatkanlah saudara-saudaramu.”

Di kemudian hari, dorongan rasul Petrus sangat memainkan peranan penting dalam penubuhan organisasi gereja, khutbah penginjilan, orang lumpuh di gerbang pintu Indah dapat berjalan. Adakah saudara di sekeliling kita yang memerlukan dorongan dan keprihatinan untuk pembangunan iman? Bolehkah kita membantu mereka?

Menjadi saksi Tuhan (Luk 8:47)

  •  (Luk 8:43-48) Adalah seorang perempuan yang sudah dua belas tahun menderita pendarahan dan yang tidak berhasil disembuhkan oleh siapapun. Ia maju mendekati Yesus dari belakang dan menjamah jumbai jubah-Nya, dan seketika itu juga berhentilah pendarahannya. Lalu kata Yesus: “Siapa yang menjamah Aku?” Dan karena tidak ada yang mengakuinya, berkatalah Petrus: “Guru, orang banyak mengerumuni dan mendesak Engkau.”Tetapi Yesus berkata: “Ada seorang yang menjamah Aku, sebab Aku merasa ada kuasa keluar dari diri-Ku.” Ketika perempuan itu melihat, bahwa perbuatannya itu ketahuan, ia datang dengan gemetar, tersungkur di depan-Nya dan menceriterakan kepada orang banyak apa sebabnya ia menjamah Dia dan bahwa ia seketika itu juga menjadi sembuh. Maka kata-Nya kepada perempuan itu: “Hai anak-Ku, imanmu telah menyelamatkan engkau, pergilah dengan selamat!”

Yesus bertanya: “Siapa yang menjamah Aku?”…  “Ada seorang yang menjamah Aku.”  Apabila perempuan yang cuba merahsiakan perbuatan dirinya yang sudah mengecapi kasih Yesus, melihat keadaan ini tidak boleh disembunyikan lagi; dia menceritakan kepada orang banyak apa sebabnya dia menjamah Tuhan Yesus dan bagaimana penyakitnya telah disembuhkan.

Tuhan Yesus masih bertanya siapa yang pernah menerima anugerah…? Memang kita semua masing-masing pernah melalui detik-detik dan saat-saat anugerah Tuhan dalam hidup seharian. Tahukah saudara bahawa Tuhan sedang menantikan kesaksian yang dapat memuliakan nama-Nya?  (Mzm 71:14-17).

Siapakah yang tidak pernah merasa lemah? Siapakah yang tidak pernah gagal? Siapakah yang tidak pernah silap? Renungan tragedi penawanan umat Yehuda ke Babel telah menginsafkan sejumlah besar umat yang ingin kembali, mencari dan berharap kepada Tuhan. Berikut merupakan nas yang menghiburkan dan menjadi sinaran terang umat Yehuda:

“TUHAN adalah baik bagi orang yang berharap kepada-Nya, bagi jiwa yang mencari Dia” (Rat 3:25).

Haleluya, Amin.


[1] Ertinya ‘Rumah yang ada makanan’

[2] …tidak ada raja di antara orang Israel; setiap orang berbuat apa yang benar menurut pandangannya sendiri (Hak 21:25)