I. Proses Perkembangan Hari Sabat Dalam Sejarah
1. Ditetapkan sejak penciptaan dunia
Δ Lalu Allah memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya, kerana pada hari itulah Ia berhenti daripada segala pekerjaan penciptaan yang telah dibuatNya itu (Kej 2:3)
Δ Kerja penciptaan Allah diselesaikan dalam masa 6 hari, maka ditetapkan ‘hari ketujuh’ sebagai ‘hari Kudus’, iaitu ‘hari Sabat’, serta ‘memberkati’ hari ini ~ inilah asal-usul hari Sabat. (Kej 2:1, 2; Kel 20:8-11).
2. Ditunjukkan lagi di padang gurun Sin.
Δ Alkitab tidak menyentuh hari Sabat lagi setelah Adam berdosa. Ketika orang Israel sampai di padang gurun Sin setelah keluar dari Tanah Mesir, Musa berkata kepada mereka: “Inilah yang dimaksudkan Tuhan: Esok adalah hari Perhentian Penuh, Sabat yang kudus bagi Tuhan” (Kel 16:1, 23), sekali lagi menunjukkan hari Sabat.
Δ Sewaktu umat Israel berada di padang gurun, Tuhan menurunkan manna kepada mereka sehingga mereka tidak perlu khuatir tentang ‘makan’ sama seperti sewaktu Adam tinggal di Taman Eden (Kej 2:16). Tetapi mereka yang berada dalam kasih karunia ini, tidak pula rela memegang hari Sabat terhadap Tuhan (Kej 16:35-30)
3. Menyenaraikan dalam Kesepuluh Firman di Gunung Sinai.
Δ Memandangkan umat tidak memegang hari Sabat, maka Tuhan memasukkan hari tersebut ke dalam Kesepuluh Firman yang ditulis oleh jariNya sendiri, membuktikan kepentingan memegang hari ini (Ul 9:10) Bahasa asal bagi hukum keempat dalam Kesepuluh Firman adalah seperti berikut: “Ingatlah dan kuduskanlah hari Sabat: enam hari lamanya engkau akan bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, tetapi hari ketujuh adalah hari Sabat Tuhan, Allahmu. Sebab enam hari lamanya Tuhan menjadikan langit dan bumi, laut dan segala isinya, dan Ia berhenti pada hari ketujuh; itulah sebabnya Tuhan memberkati hari Sabat dan menguduskannya” (Kel 20:8-11)
Δ Tuhan menetapkan hukum ini dengan mengimbas kembali semasa penciptaan dunia, jelaslah pada zaman Adam lagi Tuhan menginginkan mereka memperingati hari ini.
4. Ditawan ke Babel disebabkan tidak memegang hari Sabat
Δ Umat Tuhan tidak menguduskan hari Sabat (Yer 17:21-23; Yeh 20:12-13). Tuhan memberi amaran yang tegas melalui Yeremia: “Tetapi apabila kamu tidak mendengarkan perintahKu untuk menguduskan hari Sabat, maka di pintu-pintu gerbangnya Aku akan menyalakan api, yang akan memakan habis puri-puri Yerusalem, dan yang tidak akan terpadamkan” (Yer 17:27). Tetapi malangnya umat tidak mendengar, akhirnya pada zaman raja Zedekia, Bait Suci dan puri-puri dibakar oleh raja Nebukadnezar, banyak umat yang mati, yang tertawan ke Babel, menjadi hamba di sana, supaya tanah beristirahat, sehingga 70 tahun (II Taw 36:22,23) Antara umat pada masa itu masih ada yang melanggar hari Sabat, oleh itu Nehemia menegur pemuka-pemuka: “Kejahatan apa yang kamu lakukan ini dengan melanggar kekudusan hari Sabat? Bukankah nenek moyangmu telah berbuat demikian, sehingga Allah kita mendatangkan seluruh malapetaka ini atas kita dan atas kota ini? Apakah kamu bermaksud memperbesar murka yang menimpa Israel dengan melanggar kekudusan hari Sabat?” (Neh 13:15-18) Oleh sebab itu orang Lewi disuruh mengunci pintu gerbang, tidak dibuka sehingga lewat hari Sabat untuk menguduskan hari Sabat (Neh 13:19-22). Sejak itu, orang Yahudi terus memegang hari Sabat dengan tegas sehingga zaman rasul, tidak pernah terputus (Kis 15:21)
II. Tujuan Tuhan Menetapkan Hari Sabat
Tuhan Yesus berkata: “Hari Sabat diadakan untuk manusia” (Mrk 2:27) Jelaslah hari Sabat diasaskan supaya manusia memperoleh faedah.
1. Supaya manusia mengingati bahawa Tuhan ialah Pencipta.
Δ Hari Sabat merupakan hari peringatan kerja penciptaan Tuhan yang sudah selesai. Tuhan menetapkan hari ini supaya manusia mengetahui Tuhan ialah Pencipta, tidak melupai anugerah Tuhan, atau digodai menyembah kepada tuhan-tuhan palsu lalu menerima akibat yang padah (Rujuk: Kel 20:8-11; Yeh 20:20)
2. Supaya manusia menikmati istirahat dalam tubuh dan jiwa.
Δ Tuhan berfirman: “Enam harilah lamanya engkau melakukan pekerjaanmu, tetapi pada hari ketujuh haruslah engkau berhenti, supaya lembu dan keledaimu tidak bekerja dan supaya anak budakmu perempuan dan orang asing melepaskan lelah” (Kel 23:12). Alkitab menunjukkan: “Tuhan yang menciptakan bumi dari ujung ke ujung, Ia tidak menjadi lelah dan tidak menjadi lesu” (Yes 40:28). Tuhan tidak memerlukan istirahat, Dia menetapkan hari Sabat disebabkan kasihNya akan manusia, supaya yang diciptaNya, baik yang merdeka, ataupun hamba dan ternakan juga mendapat kelegaan. Keperluan hari ini bermula pada zaman Adam, kerana dia ‘mengusahakan dan memelihara’ (Kej 2:15) dan berkuasa atas bumi (Kej 1:28). Oleh itu Tuhan mengasaskan hari ini sejak mencipta bumi, supaya Adam menikmati hari ini. Hari ini merupakan hari yang diberkati Tuhan (Kej 2:3), orang-orang yang memperingatinya tidak akan menghadapi kesusahan dalam hidup semata-mata kerana berhenti bekerja (Rujuk : Kel 16:29)
3. Supaya manusia mengingati anugerah keselamatan Tuhan.
Δ “Sebab haruslah kau ingat, bahawa engkaupun dahulu budak di tanah Mesir dan engkau dibawa keluar dari sana oleh Tuhan, Allahmu dengan tangan yang kuat dan lengan yang teracung, itulah sebabnya Tuhan, Allahmu, memerintahkan engkau merayakan hari Sabat” (Ul 5:15). Manusia mudah sekali melupai kasih Tuhan, oleh itu Tuhan menghendaki orang Israel mengadakan Perhimpunan Khas pada hari Sabat, untuk memperingati kasih karunia Tuhan yang melepaskan mereka dari Tanah Mesir. Umat pilihan pada zaman Perjanjian Baru haruslah lebih memperingati kasih karunia Tuhan Yesus yang mengalirkan darah untuk menebuskan dosa pada hari ini (Im 23:3; Mzm 103:2-3; II Kor 5:14-15; Kis 26:18).
4. Supaya manusia mengetahui Tuhan menguduskan manusia.
Δ “Hari-hari SabatKu juga Kuberikan kepada mereka menjadi peringatan di antara Aku dan mereka, supaya mereka mengetahui bahawa Akulah Tuhan, yang menguduskan mereka” (Yeh 20:12). Hari Sabat dikaruniakan oleh Tuhan, bagi orang yang menerimanya merupakan sejenis kasih karunia. Ketika mencipta langit dan bumi, Tuhan memberkati hari ketujuh, di samping itu ‘menetapkan sebagai hari kudus’ (Kej 2:3), menjadikan hari tersebut tidak sama dengan hari-hari yang lain. Tuhan menghendaki umat ‘menguduskan’ hari ini, tidak melakukan kerja-kerja duniawi (Neh 13:22; Yes 58:13-14), berhimpun menerima pengajaran, berhubung dengan Tuhan dan mengejar kekudusan, kerana tanpa kekudusan, manusia tidak dapat melihat Tuhan (I Ptr 1:15; Ibr 12:14). Di samping itu supaya manusia mengetahui bahawa hanyalah Tuhan yang dapat menguduskan manusia (Ibr 10:10, 14; II Tes 2:13)
5. Supaya manusia mengharapkan istirahat di kerajaan Sorga.
Δ Istirahat pada hari ketujuh mempunyai ‘perlambangan’nya. Ini melambangkan setelah Tuhan menyelesaikan kerja penebusan, Dia menghendaki umatNya menikmati istirahat yang kekal di kerajaan Sorga. Alkitab menyatakan:”Jadi masih tersedia suatu hari perhentian bagi umat Allah. Sebab barangsiapa telah masuk ke tempat perhentianNya, ia sendiri telah berhenti dari segala pekerjaannya (Ibr 4:9, 10. Versi Li Zhen Zhong). Di dalam dunia tiada tempat perhentian (Mzm 90:10), hanya Tuhan Yesus dapat memberikan istirehat kepada kita. (Mat 11:28, 29) Memandangkan kita memperoleh janji dapat masuk ke dalam perhentianNya, haruslah memegang hari Kudus di dunia, di samping mengharapkan kedatangan Juruselamat, dibawa memasuki istirehat yang kekal. (Ibr 4:1; Rm 8:22, 23)
III. Adakah gereja awal memegang hari yang pertama dalam seminggu?
Hari Sabat ialah hari ketujuh (Kej 2:1-3), iaitu hari Sabtu sekarang (Luk 23:56-24:2). Banyak gereja sekarang menjadikan sebab-sebab berikut sebagai bukti untuk memegang hari Ahad, namun semua sebab ini tidak boleh menjadi bukti gereja awal memegang hari yang pertama (hari Ahad) dari tujuh hari.
1. Mereka berkata: Tuhan Yesus bangkit pada hari yang pertama dari tujuh hari, oleh itu haruslah memegang hari ini. Tetapi Alkitab tidak mencatatkan harus memegang hari kebangkitan sebagai hari Sabat.
Δ Empat kitab Injil mencatatkan ‘hari pertama dari tujuh hari’ sebanyak 6 kali (Mat 28:1; Mrk 16:2, 9; Luk 24:1; Yoh 20:1, 19), tetapi tidak kelihatan murid-murid Tuhan mengadakan kebaktian untuk memperingati kebangkitan Tuhan pada hari tersebut.
Δ Mat 28:1; Mrk 16:2, 9; Luk 24:1; Yoh 20:1 ~ Kelima-lima ayat kitab ini mengatakan ‘hari pertama dari tujuh hari’ adalah untuk membuktikan ketepatan nubuat tentang kebangkitan Tuhan setelah mati selama 3 hari.
Δ Yoh 20:19 ~ Tuhan menampakkan diri pada ‘hari pertama dari tujuh hari’ juga tidak dapat membuktikan Tuhan menghendaki murid-muridNya memegang hari pertama. Ini disebabkan Tuhan bukan hanya menampakkan diri pada ‘hari pertama’, melainkan juga tercatat dalam Alkitab: “Tuhan menampakkan diri delapan hari kemudian” (Yoh 20:26; rujuk: Kis 1:3)
Δ Ada orang menggunakan Yoh 20:19 sebagai bukti para rasul mengadakan kebaktian pada hari pertama untuk memperingati kebangkitan Tuhan. Tetapi Alkitab mencatatkan: “Berkumpullah murid-murid Yesus di suatu tempat dengan pintu-pintu yang terkunci kerana mereka takut kepada orang-orang Yahudi”. Setelah Tuhan menampakkan diri pada hari pertama, ada di antara murid-muridNya tidak percaya akan kebangkitanNya (Yoh 20:25; Mrk 16:14; Mat 28:17). Bagaimana dikatakan murid-murid Tuhan telah mengadakan kebaktian pada hari pertama minggu itu untuk memperingati kebangkitan Tuhan?
2. Kis 20:7 dijadikan dasar oleh mereka sebagai sebab memegang hari Ahad. Sebenarnya sebab ini tidak boleh diterima.
Δ Pertama, mengadakan kebaktian dan memecahkan roti bukan pada suatu hari yang tertentu, tetapi diadakan di Bait Suci, di rumah setiap hari (Kis 2:46, 47). Kedua, kebaktian itu ialah kebaktian waktu malam, kerana kitab mengatakan: “Di ruang atas, di mana kami berkumpul, dinyalakan banyak lampu” (Kis 20:8) Di samping itu Paulus berbicara sehingga tengah malam (7, 11). Ketiga, kebaktian kali ini disebabkan: “Paulus akan berangkat pada keesokan harinya”, iaitu kebaktian perpisahan. Bagaimana pula dijadikan dasar untuk memegang hari pertama.
3. Mereka berdasarkan I Kor 16:2. Tetapi ini juga tidak dapat menjadi sebab memegang hari pertama.
Δ “Pada hari pertama daripada tiap-tiap minggu hendaklah kamu masing-masing sesuai dengan apa yang kamu peroleh menyisihkan sesuatu dan menyimpannya di rumah.” Penterjemahan baru: “Berdasarkan lebihan yang diperoleh, menyimpannya di sisi”. Jelaslah bukan mengadakan kebaktian pada setiap hari pertama, cuma itu ialah tentang memberi persembahan. Hanya menyuruh para pemercaya supaya ‘menyimpan’ wang yang ingin dipersembahkan pada hari pertama minggu itu, agar jangan pengumpulan wang itu diadakan hanya apabila Paulus datang.
4. Mereka berdasarkan Why 1:10. Tetapi ‘hari Tuhan’ bukanlah ditujukan kepada hari kebangkitan.
Δ Orang-orang yang memegang hari Ahad menjelaskan ‘hari Tuhan’ sebagai hari kebangkitan Tuhan, tetapi mereka hanya membuat andaian, tidak berasas dalam Alkitab atau cara-cara yang lain.
Δ Tuhan berkata: “Anak Manusia adalah juga Tuhan atas hari Sabat” (Mrk 2:28; Mat 12:8). Oleh itu ‘hari Tuhan’ sepatutnya hari Sabat. Kitab nabi berkata: “Apabila engkau tidak menginjak-injak hukum Sabat dan tidak melakukan urusanmu pada hari KudusKu; apabila engkau menyebutkan hari Kudus Tuhan ‘hari yang mulia’ (Yes 58:13, 14). Di sini mengatakan ‘hari Sabat’ sebagai ‘hariKu (Tuhan) yang mulia’, sepatutnya ditujukan kepada hari Sabat iaitu hari ketujuh.
IV. Adakah umat Kristian tidak perlu memegang hari Sabat?
Orang-orang yang memegang hari Ahad mengatakan umat Kristian tidak perlu memegang hari Sabat seperti orang Yahudi. Sebab-sebab mereka adalah seperti berikut :
1. Hari Sabat diberikan kepada orang Yahudi, tidak berkaitan dengan umat Kristian. Jawapan kita seperti berikut :
Δ Tuhan menunjukkan hari Sabat kepada orang Yahudi sekali lagi disebabkan mereka adalah umat pilihan. Tuhan mahu menyampaikan kehendakNya melalui mereka (Rujuk: Rm 3:1, 2)
Δ Tuhan Yesus berkata: “Hari Sabat diadakan untuk manusia” (Mrk 2:27). Oleh itu Tuhan mengasaskan hari Sabat setelah mencipta manusia pada hari keenam. Adakah ‘untuk manusia’ hanya ditujukan kepada orang Yahudi, tidak pula kepada bangsa-bangsa lain.
Δ Alkitab menyatakan orang asing yang bersekutu dengan Tuhan juga berhak menikmati kasih karunia hari Sabat (Yes 56:2-7)
Δ Antara satu tujuan Tuhan mengasaskan hari Sabat adalah supaya manusia memperingati kerja penciptaanNya. Adakah Tuhan hanya Allah bagi orang Yahudi? Apakah bangsa-bangsa asing tidak perlu memperingati Tuhan yang menciptanya? (Pkh 12:1, 13; I Kor 8:6)
2. Memandangkan umat Kristian telah menerima anugerah keselamatan kerana kasih karunia, maka tidak perlu memegang hukum. Jawapan kita seperti berikut:
Δ Diselamatkan kerana iman, dan darah Tuhan, bukan kerana melakukan hukum Taurat. Ini adalah yang mutlak. (Rm 3:28, 25)
Δ Tetapi orang-orang yang di bawah kasih karunia, tidak dapat membatalkan hukum Taurat kerana iman, atau sembarangan melakukan dosa. Paulus mengatakan sebaliknya meneguhkan hukum Taurat (Rm 3:31; 6:15; Rujuk: Mat 19:17; I Kor 7:19; Why 14:12; 12:17). Tuhan telah meniadakan ketentuan-ketentuan hukum dengan kayu salib (Kol 2:14, 16; Ef 2:15; Ibr 9:10). Oleh itu kita tidak perlu memegangnya.
Δ Tetapi tidak bermakna boleh melanggar Kesepuluh Firman, melainkan bersandarkan Roh Kudus memegangnya dengan lebih sempurna daripada orang-orang yang berada di bawah hukum Taurat (Rujuk: Mat 5:17, 18, 21-28)
Δ Umat Kristian memegang hari Sabat bukanlah dengan takut dan gentar seperti orang Israel yang berada di bawah hukum Taurat (Kel 35:1-3; Bil 15:32-36), rasa amat terikat (Mat 12:1, 2; Mrk 3:1-2), sebaliknya seperti di dalam Taman Eden, tiada ketakutan, melainkan menikmati anugerah Tuhan dengan penuh sukacita (Rujuk: Kej 2:3; Kel 16:23-25)
3. Hari Sabat ialah “bayangan dari apa yang harus datang”, memandangkan Kristus telah datang, maka tidak perlu memegang lagi. Jawapan kita seperti berikut:
Δ Kitab Kolose 2:16-17 mengatakan: makanan dan minuman, hari raya, bulan baru, hari Sabat ialah bayangan dari apa yang harus datang, wujudnya ialah Kristus. ‘Bayangan’ ini ditiadakan kerana Kristus telah dipakukan di kayu salib. Seperti hari raya Paskah telah wujud dari bayangannya (I Kor 5:7, 8). Ketetapan-ketetapan yang ada pada makanan dan minuman pada zaman Perjanjian Lama, juga dituruti sehingga masa pemulihan yang ditentukan, namun makanan dan minuman itu tidak ditiadakan. Sama juga ketetapan-ketetapan memegang hari Sabat pada Perjanjian Lama tidak dipegang pada Perjanjian Baru; jangan kerana hal ini kamu dihakimi orang. Tetapi hari Sabat tidak ditiadakan, sama seperti makanan dan minuman tidak ditiadakan. Terselindung di sebalik hari Sabat ialah haruslah menanti kedatangan kembali Kristus untuk memasuki perhentian yang kekal.(Ibr 4:10)
4. Berdasarkan Galatia 4:10 dan Roma 14: 5, 6. Orang-orang yang memegang hari Ahad menggunakan ayat-ayat kitab ini sebagai dasar: jangan bertelingkah kerana hari, memegang hari Sabat juga baik, memegang hari Ahad juga baik, kerana memegang untuk Tuhan. Jawapan kita seperti berikut:
Δ ‘Hati yang satu’, ‘hari yang lain’, ‘semua hari’ dalam kitab Roma langsung bukan ditujukan kepada ‘hari Sabat’ atau ‘hari Ahad’. Konteks atas dan bawah nas kitab membincangkan persoalan ‘makan’, jelaslah ianya untuk peraturan makanan dan minuman (Ibr 9:10), atau ditujukan kepada hari berpuasa dan hari raya. Di dalam kitab Perjanjian Lama ada banyak hari perayaan, masih ada banyak hari berpuasa.
Contohnya :
Δ Puasa pada hari penghapus dosa (Im 16:29-31; 23:27-31)
Δ Puasa pada hari Purim (Est 9:31)
Δ Puasa pada bulan yang keempat, bulan yang kelima, bulan ketujuh dan bulan yang kesepuluh (Za 8:19; rujuk: Yer 39:2; 52:12, 13; II Raj 25:25; Yer 39:1)
Δ Pemercaya pada masa itu masih memegang Perjanjian Lama, memegang hari (hari perayaan atau hari puasa), bulan, hari raya atau peraturan makanan dan minuman. Oleh itu Paulus berkata: “Aku khuatir tentang mereka” (Gal 4:11). Memandangkan Galatia 4:10 dan Roma 14:5-6 bukan ditulis untuk persoalan memegang hari Sabat, maka tidak patut digunakan sebagai bukti adakah perlu memegang hari Sabat.
V. Kristus dan Hari Sabat
Orang-orang yang memegang hari Ahad menyangka Kristus telah meniadakan hari Sabat, oleh itu kita perlu mengkaji persoalan tentang hari Sabat berdasarkan sikap dan penjelasan tentang ‘Tuhan atas hari Sabat’ (Mat 12:8).
1. Orang Yahudi salah menafsirkan hari Sabat.
Orang Yahudi ditawan ke Babel, menjadi hamba selama 70 tahun disebabkan mereka tidak memegang hari Sabat (Yer 17:27; II Taw 36:17-21). Oleh itu, setelah balik dari Babel, mereka menganggap bahawa kewujudan atau kemusnahan negara bergantung kepada adakah memegang hukum Tuhan dan hari Sabat (Neh 13:15-22). Mereka pun ‘bersumpah kutuk’ bahawa semenjak itu mesti memegang hari Sabat (Neh 10:29-31). Kemudian, para rabi orang Yahudi menambah banyak peraturan untuk memegang hari Sabat. Kononnya ada 39 jenis peraturan, serta bahagian, ayat, peraturan dan tajuknya. Sekiranya melanggar peraturan-peraturan itu dan diketahui para rabi, mereka akan dihukum atau diusir dari rumah ibadat.
2. Kristus memegang hari Sabat.
Ketika Tuhan ada di dunia, kitab mencatatkan: “…dan menurut kebiasaanNya pada hari Sabat Ia masuk ke rumah ibadat, lalu berdiri hendak membaca dari Alkitab” (Luk 4:16). “Kemudian Yesus pergi ke Kapernaum, mengajar di situ pada hari-hari Sabat” (Luk 4:31). Bukan itu saja, Tuhan sebagai Anak Manusia di dunia, kerjaNya juga diatur selesai sehingga hari keenam (Yoh 19:31), kemudian beristirehat di dalam kuburan, menunggu kebangkitan dari kematian pada hari pertama, terus menjalankan kerja suci menyelamatkan orang dunia (Luk 23:55-56; 24:1, 2)
3. Kristus menunjukkan cara memegang hari Sabat.
Disebabkan persoalan hari Sabat, selalu menimbulkan perbalahan antara Tuhan Yesus dengan orang Farisi, sehingga Tuhan dibunuh kerana hal ini (Mrk 3:1-6; Mat 12:9-14). Sebabnya bukan Yesus tidak memegang hari Sabat, tetapi pandangan mereka terhadap hari Sabat berlainan dengan Yesus (Rujuk: Yoh 9:14-16). Orang Yahudi pada masa itu menurut ajaran Musa, hidup di bawah hukum Taurat, ditambahi peraturan-peraturan para rabi untuk memegang hari Sabat. Menurut hukum Taurat:
Δ Jangan melakukan sebarang pekerjaan pada hari Sabat (Kel 20:10)
Δ Jangan memasang api di manapun dalam tempat kediaman pada hari Sabat (Kel 35:3)
Δ Walaupun pada musim membajak dan musim menuai, haruslah berhenti kerja memegang hari Sabat (Kel 34:21)
Δ Jika melanggar hari Sabat atau bekerja pada hari Sabat akan dihukum mati (Kel 31:12-17; 35:2; Bil 15:32-36)
Tuhan Yesus adalah Tuhan atas hari Sabat, Dia membawa kasih karunia yang berkelimpahan (Yoh 1:14, 17), mahu menebuskan kita dari hukum Taurat (Gal 4:5). Oleh itu Tuhan memegang hari Sabat dengan tidak terikat oleh peraturan-peraturan hukum Taurat, melainkan di bawah kasih karunia; berdasarkan kehendak Allah yang indah mengasaskan hari Sabat bagi manusia di Taman Eden, merupakan sejenis kenikmatan dan bukanlah bebanan; kebebasan bukanlah belenggu; yang menggembirakan bukanlah yang menggelisahkan (rujuk: Kej 2:3; Kel 16:23-25; Yes 58:13). Hari yang dipegang sama, tetapi disebabkan satu di bawah kasih karunia, satu lagi di bawah hukum Taurat. Oleh itu tidak hairan Tuhan Yesus dianggap melanggar hukum Taurat, dan tidak memegang hari Sabat oleh orang Farisi. Tetapi Tuhan tidak mengikuti ajaran turun-temurun yang salah, tidak takut terhadap ancaman dan penindasan di sekitarnya, menjadikan diri sebagai contoh, meninggalkan teladan bagaimana Anak Tuhan memegang hari Sabat.
4. Titik perbalahan orang Farisi dengan Tuhan Yesus.
(1) Orang Farisi membantah murid-murid Tuhan memetik bulir gandum dan memakannya pada hari Sabat.
Pada suatu hari Sabat, Tuhan dan murid-muridNya berjalan di ladang gandum. Kerana lapar, murid-muridNya memetik bulir gandum dan memakannya. Orang-orang Farisi menyerang Yesus dengan berkata: “Murid-muridMu berbuat sesuatu yang tidak diperbolehkan pada hari Sabat” (Mat 12:1, 2). Terhadap teguran ini, Tuhan Yesus menjelaskan 2 sebab bahawa tidak bersalah:
(a) Daud dan pengikut-pengikutnya makan roti sajian yang tidak boleh dimakan tetapi tidak bersalah, disebabkan dilakukan semasa lapar (Mat 12:3, 4, 7)
(b) Imam melanggar hari Sabat di Bait Suci juga tidak bersalah. Ini disebabkan apa saja yang dilakukan di dalam Bait Suci adalah pelayanan terhadap Allah. Bait Suci melambangkan Yesus (Yoh 2:19, 21). Murid-murid Tuhan ialah imam (Why 5:9, 10) Maksudnya murid-murid Tuhan melakukan kerja-kerja milik Tuhan dalam kasih karuniaNya, walaupun tidak berhenti bekerja pada hari Sabat juga tidak bersalah (Mat 12:5, 6, 8).
(2) Orang-orang Farisi membantah Yesus menyembuhkan penyakit pada hari Sabat.
(a) Suatu kali Tuhan Yesus ingin menyembuhkan seorang yang mati sebelah tangannya pada hari Sabat, tetapi dibantah oleh orang-orang Farisi. Tuhan berkata kepada mereka: “Jika seorang dari antara kamu mempunyai seekor domba dan domba itu terjatuh ke dalam lobang pada hari Sabat, tidakkah ia akan menangkapnya dan mengeluarkannya? Bukankah manusia jauh lebih berharga daripada domba? Kerana itu boleh berbuat baik pada hari Sabat” (Mat 12:9-13)
(b) Tuhan menyembuhkan seorang pesakit yang sudah sakit selama 38 tahun, ketika difitnah dan diserang, Dia berkata: “Jikalau seorang menerima sunat pada hari Sabat, supaya jangan melanggar hukum Musa, mengapa kamu marah kepadaKu, kerana Aku menyembuhkan seluruh tubuh seorang manusia pada hari Sabat” (Yoh 7:22, 23; 5:5-18).
(c) Sekali lagi Tuhan menyembuhkan seorang perempuan yang sakit selama 18 tahun kerana kerasukan roh jahat. Tetapi kepala rumah ibadat gusar dan berkata kepada orang banyak: Ada enam hari untuk bekerja. Kerana itu datanglah pada salah satu hari itu untuk disembuhkan dan jangan pada hari Sabat. Pada masa itu Tuhan berkata: “Hai orang-orang munafik, bukankah setiap orang di antaramu melepaskan lembunya dan keledainya pada hari Sabat dari kandangnya dan membawanya ke tempat minuman? Bukankah perempuan ini, yang sudah delapan belas tahun diikat oleh Iblis, harus dilepaskan dari ikatannya itu, kerana ia adalah keturunan Abraham?” (Luk 13:10-16)
Dari sini, jelaslah titik perbalahan Yesus dengan orang-orang Farisi bukanlah ‘hari’ (Dia tidak bermaksud mengubah hari Sabat), melainkan cara memegang hari Sabat. Mereka memegangnya berdasarkan hukum Taurat dan pengajaran melalui warisan keturunan. Yesus pula memegang hari itu berdasarkan ‘hari Sabat diadakan untuk manusia’. Kesimpulan daripada petunjuk Tuhan ada dua:
(a) Menguruskan hal-hal berkaitan dengan Tuhan pada hari Sabat diperbolehkan (Yoh 7:23; Mat 12:5)
(b) Berbuat baik dan menyelamatkan jiwa pada hari Sabat juga diperbolehkan (Mat 12:12; Mrk 3:4)
Oleh itu umat Kristian haruslah mengikut jejak Kristus, menghentikan hal-hal duniawi pada hari Kudus yang ditetapkan oleh Tuhan, mengingati kasih karunia Tuhan pada hari ini, beribadah kepada Tuhan, di samping melakukan perkara-perkara yang memuliakan Tuhan dan memanfaatkan manusia (Mat 15:9; Kej 2:3; Yes 58:13, 14)
VI. Para Rasul Memegang Hari Sabat
Orang-orang yang memegang hari Ahad sentiasa mempertanggungjawabkan pertukaran memegang hari pertama kepada Tuhan Yesus dan rasul-rasulNya. Tetapi kita bukan sahaja tidak dapat mencari bukti Tuhan meniadakan hari Sabat dari Kitab Suci, malahan rasul-rasulNya seperti rasul Paulus juga memegang hari Sabat seperti yang biasa dilakukan (Kis 17:1, 2). Disenaraikan seperti berikut:
1. Paulus dan Barnabas di Antiokhia: “Pada hari Sabat mereka pergi ke rumah ibadat, lalu duduk di situ. Setelah selesai pembacaan dari hukum Taurat dan kitab nabi-nabi, …; “Pada hari Sabat berikutnya datanglah hampir seluruh kota itu berkumpul untuk mendengar firman Allah” (Kis 13:14, 15, 44).
2. Paulus dan Silas di Filipi: “Pada hari Sabat kami ke luar pintu gerbang kota. Kami menyusur tepi sungai dan menemukan tempat sembahyang Yahudi, yang sudah kami duga ada di situ; setelah duduk, kami berbicara kepada perempuan-perempuan yang ada berkumpul di situ (Kis 16:13).
3. Paulus dan Silas di Tesalonika: “Di situ ada sebuah rumah ibadat orang Yahudi. Seperti biasa Paulus masuk ke rumah ibadat itu. Tiga hari Sabat berturut-turut ia membicarakan dengan mereka bagian-bagian dari Kitab Suci” (Kis 17:1, 2).
4. Paulus di Korintus: “Dan setiap hari Sabat Paulus berbicara dalam rumah ibadat dan berusaha menyakinkan orang-orang Yahudi dan orang-orang Yunani (Kis 18:4)
5. Ketika Yakobus menetapkan peraturan bagi bangsa-bangsa asing yang percaya kepada Tuhan di Yerusalem, menyaksikan kenyataan memegang hari Sabat: “Sebab sejak zaman dahulu hukum Musa diberitakan di tiap-tiap kota, dan sampai sekarang hukum itu dibacakan tiap-tiap hari Sabat di rumah-rumah ibadat” (Kis 15:21).
6. Tuhan Yesus menunjukkan kepada murid-muridNya bahawa ketika melarikan diri semasa Kota Yerusalem dimusnahkan, berdoalah supaya jangan hari itu jatuh pada hari Sabat. Jelaslah ketika tentera Roma menyerang Kota Suci pada tahun 70 selepas masehi, murid-murid masih memegang hari Sabat. (Mat 24:20)
VII. Siapakah yang mengubahnya dengan memegang hari Ahad?
Tuhan dan para rasul tidak meniadakan hari Sabat, jadi siapakah yang mengubahnya sehingga memegang hari Ahad? Berikut dibentangkan bukti-bukti sebagai kajian bersama berdasarkan penulisan yang berwibawa:
1. Keluaran mingguan Akhbar Pentas New York pada 24 Mei 1900 ada catatan berikut: “Adakah tiada hukum yang nyata memesan kita memegang hari pertama dalam seminggu sebagai hari Sabat, untuk menggantikan hari ketujuh? Tiada. Biar Kristus, murid-muridNya, mahupun umat Kristian zaman awal, tidak memegang hari pertama dalam minggu itu sebagai hari Sabat untuk menggantikan hari ketujuh”.
2. Dr.E.T.Hiscock, D.D., pengarang risalah Gereja Baptis, pernah berucap kepada para pastor Gereja Baptis yang berhimpun di New York: “Dahulu dan sekarang adanya hukum memegang hari Sabat sebagai hari yang kudus, tetapi hari Sabat bukanlah hari Ahad. Tetapi ada orang berkata, hari Sabat dan kewajiban hari itu, faedah dan persetujuan telah diubah dari hari ketujuh ke hari pertama setiap minggu. Saya telah mengkaji persoalan ini selama beberapa tahun, di samping mencari pengetahuan tentang persoalan ini dengan ikhlas. Saya pernah bertanya: Di manakah dapat dicari catatan tentang perubahan ini? Tidak dapat dalam Perjanjian Baru – yakin tiada di dalamnya. Sistem hari Sabat diubah dari hari ketujuh ke hari pertama setiap minggu, tidak dapat dicari bukti dari Kitab Suci” – Rujuk: Majalah Examiner, 16 November 1893.
3. Pensyarah N. Summerbell merupakan seorang pastor terkenal di Amerika Syarikat, pernah menyandang jawatan Pengetua Universiti Antiokhia. Pada muka surat 418 “Sejarah Umat Kristian”, hasil penulisannya, beliau memberikan saksian secara langsung: “Ia (Gereja Roma) telah memutarbalikkan hukum keempat, membatalkan hari Sabat dalam Kitab Suci, dan menetapkan hari Ahad sebagai hari Kudus.” Pada muka surat 163 “Perbincangan Hari Tuhan” yang dikarang olehnya, menggunakan kata-kata Prynnes: “Para rasul dan umat Kristian zaman awal merayakan hari ketujuh sebagai hari Sabat, sehingga persidangan di Laodikia, barulah membatalkan sama sekali untuk memegang hari ini”. Bukti-bukti tersebut diambil dari Denominasi Reformasi. Yang berikut dipetik daripada karya agama Roman Katholik.
4. Dalam terbitan Catholic Press, 25 Ogos 1900 di Sydney, Australia, adanya catatan berikut: “Hari Ahad ialah sistem agama Katholik, hanya berdasarkan prinsip Agama Katholik, barulah dapat membela pegangan terhadap hari ini. Tidak ada sebuah ayat dari permulaan hingga akhir Alkitab mengatakan hari perhimpunan setiap minggu diubah dari hari terakhir ke hari pertama minggu itu”.
5. Soal jawab berikut dipetik daripada “Soal Jawab Doktrin Pemercaya” karya Geirermann, buku ini pernah diberkati oleh pope pada tahun 1910.
Soalan: Bilakah hari Sabat ?
Jawapan: Hari Sabtu ialah hari Sabat.
Soalan: Mengapakah kita memegang hari Ahad dan bukan hari Sabtu ?
Jawapan: Disebabkan semasa persidangan Laodikia (tahun 336 atau tahun 364), Agama Katholik mengubah upacara ini dari hari Sabtu ke hari Ahad. Oleh itu kita memegang hari Ahad dan tidak memegang hari Sabtu.
6. Ketika T. Enright sebagai pengetua di Redemptorist Fathers College, adanya seperenggan daripada ucapannya seperti ini (tahun 1893): “Di bumi hanya ada sebuah gereja yang berhak menetapkan hukum yang mengikat hati nurani, yang harus dipegang di hadirat Tuhan, di samping jika melanggarnya akan menerima hukum api di neraka. Contohnya sistem hari Ahad. Apakah hak gereja-gereja lain memegang hari ini? Kamu mengatakan berdasarkan hukum yang keempat: ‘Ingatlah dan kuduskanlah hari Sabat’. Namun hari Ahad bukan hari Sabtu. Gereja Roman Katholik yang mengubah hari Sabat dari hari Sabtu (hari ketujuh minggu itu) ke hari Ahad. Dunia bertamadun hari ini menurut gereja apa? Alkitab mengatakan: ‘Ingatlah dan kuduskanlah hari Sabat.’. Tetapi Roman Katholik mengatakan: ‘Tidak! Haruslah memegang hari pertama setiap minggu’. Dengan itu seluruh dunia tunduk menuruti perintah Roman Katholik.”
Berdasarkan bukti-bukti yang tersenaraikan di atas membuktikan Roman Katholiklah yang meniadakan hari Sabat. Gereja tersebut bukan saja mengakui, malahan bermegah atas perubahan itu. Oleh itu setiap pemercaya yang benar, jangan menolak tanggungjawab mengubah hari Sabat kepada Tuhan dan para rasul, haruslah dengan berani menolak pengajaran keturunan Roman Katholik, memegang hari Sabat yang diasaskan oleh Tuhan (Rujuk: Mat 15:9; Why 22:18, 19)
VIII. Bagaimanakah Memperingati Hari Sabat yang Kudus?
Umat Kristian dapat memahami dasar dan semangat memegang hari Sabat dari butir-butir di atas. Pengajaran-pengajaran Alkitab berikut menunjuk kepada kita harus bagaimana mengingati hari Sabat.
1. Ketepikan urusan duniawi: “Apabila engkau tidak menginjak-injak hukum Sabat dan tidak melakukan urusanmu pada hari kudusKu; apabila engkau menyebut hari Sabat ‘hari kenikmatan’, dan hari kudus Tuhan ‘hari yang mulia’; apabila engkau menghormatinya dengan tidak menjalankan segala acaramu dan dengan tidak mengurus urusanmu atau berkata omong kosong” (Yes 58:13).
2. Menghadiri pertemuan kudus: “Enam hari lamanya boleh dilakukan pekerjaan, tetapi pada hari yang ketujuh haruslah ada Sabat, hari perhentian penuh, yakni hari pertemuan kudus” (Im 23:3). “Dan menurut kebiasaanNya pada hari Sabat Ia masuk ke rumah ibadat, lalu berdiri hendak membaca dari Alkitab” (Luk 4:16). “Pada hari Sabat berikutnya datanglah hampir seluruh kota itu berkumpul untuk mendengar firman Allah” (Kis 13:44).
3. Memberitakan Injil, berbuat baik: “Mereka tiba di Kapernaum. Setelah hari Sabat mulai, Yesus segera masuk ke dalam rumah ibadat dan mengajar” (Mrk1:21). “Pada hari Sabat kami ke luar pintu gerbang kota. Kami menyusur tepi sungai dan menemukan tempat sembayang Yahudi, yang sudah kami duga ada di situ; setelah duduk, kami berbicara kepada perempuan-perempuan yang ada berkumpul di situ” (Kis 16:13). “Tuhan berkata, boleh berbuat baik pada hari Sabat” (Mat 12:11, 12; Mrk 3:4-5).
Δ Tentang persoalan masa memegang hari Sabat, menurut pengiraan Alkitab ialah: “Dari matahari terbenam sampai matahari terbenam” (Im 23:32; Rujuk: Mrk 1:21, 32), iaitu malam hari Jumaat sehingga malam hari Sabtu sekarang. Tentang kita merentasi ‘Garisan Tarikh Antarabangsa’ seolah-olah menyukarkan pemegangan hari Sabat. Tetapi kita berdasarkan pengiraan kalendar orang tempatan, memegang hari Sabat pada hari ketujuh mengikut masa tempatan.