GEREJA TINUHAN
Gereja Tinuhan telah ditubuhkan pada 6 Februari 1956. Sdra Kadir, seorang Ketua Kampung, mempunyai seorang anak perempuan yang mati selepas melahirkan anak. Bayi yang hidup itu selalu sakit dan kurus sehingga seperti tulang dan kulit tetapi jenis penyakitnya tidak diketahui.
Pada masa itu banyak tanda ajaib dan mujizat sangat nyata di Gereja Wangkod dan seorang pemercaya memberitahu Sdra Kadir bahawa bayi tersebut akan sembuh jika dia dibaptiskan. Bayi telah dibaptiskan oleh Dn John Chin di Gereja Wangkod dan melalui kuasa Tuhan dia disembuhkan dan menjadi sihat. Perkara ini menggerakkan hati Sdra Kadir dan kemudian dia pun percaya dan dibaptiskan. Oleh yang demikian bilangan pemercaya bertambah setiap hari melalui pengaruh Sdra Kadir sebagai Ketua Kampung.
Pada masa itu tiada rumah doa di Tinuhan. Oleh itu para pemercaya menghadiri kebaktian di Wangkod yang dijalankan oleh Sdra Apuk bin Gimba [ kini Dn Thomas ]. Apabila bilangan pemercaya bertambah dan beberapa saudara di Wangkod berpindah ke Tinuhan barulah sebuah gereja berukuran 9.1m X 6.1m [ 30 kaki X 20 kaki ] didirikan di Kg Tinuhan dengan bantuan besar dari pemercaya-pemercaya di Kg Wangkod.
Belia di sini merupakan tulang belakang kemajuan gereja. Mereka mula menjadi aktif pada penghujung tahun 1982. Sebuah gereja baru berharga $75,065 termasuk perabot dan alat-alat kelengkapan yang berukuran 18.3m X 12.2m [ 60 kaki X 40 kaki ] telah dibina dan ditahbiskan pada 1986.
Terdapat kerjasama yang baik di antara diakon, ibubapa dan belia dalam kerja suci. Syukur kepada Tuhan atas berkatNya.
Pada 1986 terdapat 105 pemercaya termasuk 2 diakon. Selain dari Kebaktian Sabat, kebaktian juga diadakan setiap malam. Terdapat juga kebaktian belia, kajian Alkitab, belajar berkhotbah, lawatan dan latihan koir belia dan kanak-kanak. Kelas Pendidikan Agama berjumlah lima buah dengan 38 kanak-kanak dan 20 guru. Penguasanya ialah Sdri Rostina Dn Thomas.
Ahli-ahli Jawatankuasa adalah yang berikut:-
Hal Ehwal Agama : Thomas Gimba, Pinehas Sombulan [ Timbalan ]
Hal Ehwal Am : Pinehas Sombulan, Markus Lipuk [ Pembantu ]
Bendahari : George Thomas, Hongsui Gelong [ Pembantu ]
Setiausaha : Jane Solunda, Shoney Gelong [ Pembantu ]