Dn. Timothy Wong
“Siapakah aku ini, ya TUHAN Allah, dan siapakah keluargaku, sehingga Engkau membawa aku sampai sedemikian ini?” (1Taw 17: 16)
Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Saya ialah Diaken Timotius Wong, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Di sini saya ingin menyampaikan satu kesaksian yang kecil untuk memuliakan nama Tuhan dan memuji Tuhan yang benar.
Pada hari raya Ching Ming, kita akan lebih terkenang dengan ibu bapa kita yang telah meninggal dunia. Sememangnya kita sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar tidak mengikuti budaya orang dunia ini. Ibu saya meninggal dunia pada hari raya Ching Ming. Hari raya Ching Ming pada tahun ini, merupakan ulang tahun pertama ibu saya meninggal dunia. Seperti satu pepatah, apabila ingin menjaga, tidak ada lagi yang perlu dijaga.
Ibu saya merupakan seorang wanita cina yang tradisional. Dia berasal dari keluarga yang miskin, tetapi mempunyai sikap yang teguh dan tahan lasak dalam kesusahan. Sejak kecil lagi, dia suka belajar. Akhirnya dia menjadi seorang guru dan mengajar di sebuah sekolah rendah di Tenom. Tetapi dia menjadi seorang janda pada usia yang muda dan membesarkan kami beberapa orang adik beradik dengan jerih payah. Dia selalu mendorong kami supaya belajar dengan bersungguh-sungguh agar kami menjadi orang yang berguna pada hari kelak.
Harta paling bernilai yang ditinggalkannya untuk kami adalah kepercayaan ini. Pada waktu kecil, dia selalu membawa kami menghadiri kebaktian supaya kami boleh hidup dalam kasih karunia Tuhan, disertai dengan kasih Tuhan dan mempunyai pengharapan untuk masuk ke dalam Kerajaan Syurga.
Saya masih ingat dia pernah berkata, hari yang paling menghiburkan hatinya adalah hari saya diurapi. Dalam doa itu, tiba-tiba dia diangkat ke atas dan menikmati kesejukan angin dalam taman yang indah dan hatinya penuh dengan sukacita.
Saya tahu dia amat menyukai sinaran matahari. Oleh itu, saya telah memilih sebuah rumah yang mendapat sinaran cahaya matahari yang cukup baginya. Pada waktu malam, apabila matahari terbenam di sebalik bukit, cahaya senja akan menyinari katil ibu dan dia akan merenung ke arah cahaya itu. Pada ketika itu, dia telah mengalami penyakit alzheimer.
“Hari-hariku seperti bayang-bayang memanjang, dan aku sendiri layu seperti rumput.” (Mzm 102:11). Kehidupan manusia seperti cahaya matahari, dan bagaikan bayang yang bergerak ditiup angin, lalu hilang lenyap dalam masa yang singkat. Apa yang kita harapkan adalah rumah sorgawi yang indah. Itulah sesuatu yang kekal abadi.
Kadang kala, terdapat kebaktian atau aktiviti di gereja pada waktu malam. Kami pulang dengan agak lewat. Dia kelihatan duduk seorang diri di dalam bilik sambil menyeru nama anak-anaknya. Pada waktu itu, penjaga yang digaji telah pun berehat. Saya masuk ke dalam bilik ibu dan bertanya kepadanya jika dia inginkan sesuatu, tetapi dia menggerakkan tangannya dan menggelengkan kepala. Dia hanya membuka mulutnya yang tidak lagi bergigi, dan bibirnya yang kering sedang bergerak seperti ingin berkata sesuatu. Saya melihat warna rambutnya yang sudah menjadi kelabu, matanya yang lekung dan kulit yang berkedut. Ya ibu, apakah benar engkau telah menjadi tua dengan begitu cepat? Terkenang kembali masa yang lalu, ketika dia masih lagi seorang guru di sekolah, dia merupakan seorang yang begitu bersemangat. Tetapi usia tidak menanti, selepas ayah meninggal dunia, kepergian ayah telah memberi tamparan yang agak kuat kepadanya. Pada ketika itu, walaupun keluarga amat miskin, tetapi dia tetap menguatkan hati. Dia menanam sayur, memelihara babi, dan menjual di pasar untuk membesarkan kami.
Sekarang usianya telah lanjut, bagaikan mimpi Yusuf dan Firaun, gandum yang baik dimakan oleh gandum yang jahat. Manusia ada zaman kegemilangannya dan zaman kemerosotannya. Pada waktu muda, ibu bagaikan lilin menerangi orang lain. Sekarang dia telah menjadi tua, tubuh badan menerima banyak siksaan. Keadaan ini menyedarkan saya bahawa hidup manusia itu terhad. Hidup dan mati bukan di dalam tangan kita, yang memberi itu adalah Tuhan, yang mengambil balik itu juga adalah Tuhan. Segala sesuatu ada masanya. Tuhan tidak akan menjadi penonton sahaja. Dia akan menyertai kita tatkala kita berada dalam kesusahan. Dia mendekati kita lebih daripada sesiapa pun. Hanya dengan berdoa kepada Tuhan, barulah hati kita akan mendapat kesejahteraan, mendapat kekuatan dari Tuhan dan penuh dengan penghiburan.
Pada suatu malam, ibu memanggil kami masuk ke biliknya untuk mendoakannya. Kali ini anak saya Mei Jia, tiba-tiba naik marah, lalu berlari ke luar bilik dan tidak mahu berdoa. Apabila ditanya kembali, dia kelihatan termenung sahaja dan tidak berkata-kata. Kami pun berdoa untuk anak perempuan. Selepas berdoa, anak saya mula bercakap. Dia melihat enam bayangan hitam, ada yang tinggi dan ada yang rendah. Bayangan yang tinggi itu setinggi almari dalam bilik, sangat besar seolah-olah datang menyerang. Selepas itu, dia melihat ayah berdoa dengan kuat untuk mengusir iblis, lalu bayangan hitam itu hilang satu demi satu. Saya teringat ibu selalu menyeru nama saudara mara yang telah meninggal dunia. Adakah si iblis datang mambuat kecoh semasa seseorang berada dalam keadaan iman yang lemah. Hanya dengan bersandarkan doa, menentangnya dengan iman, barulah kita dapat menghalau iblis itu. Selepas kejadian itu, ibu telah melelapkan mata sehingga hari menjadi siang.
Semasa ibu menjadi tua, dia telah banyak kali patah tulang. Doktor berkata itu adalah disebabkan oleh penyakit osteoporosis. Jika pergerakannya kuat sikit, tulangnya akan patah. Kejadian yang paling teruk berlaku pada bulan Januari 2001, semasa dia pergi melawat rumah makcik saudara saya. Dengan tidak sengaja dia terjatuh dan duduk di atas lantai mengakibatkan tulang pinggulnya menjadi retak dan tulang bahagian pahanya juga pecah. Dia dimasukkan ke hospital dengan segera untuk menjalani pembedahan. Selepas pembedahan besar yang mengambil masa selama 5 jam, barulah tulang-tulang yang telah patah dicantum semula. Biasanya, pada usia yang tua sebegini, pembedahan yang rumit ini mempunyai risiko yang amat besar kerana pesakit berbadan lemah dan mempunyai penyakit lain serta perlu dibius untuk jangka masa yang panjang. Sebenarnya doktor juga tidak berasa yakin. Dia mahu kami menandatangani surat pemberitahuan risiko. Syukur kepada Tuhan, melalui doa yang berterusan, akhirnya pembedahan telah selesai. Ibu telah mengharunginya dengan selamat. Kesusahan merisaukan orang, tetapi harus bersandar pada Tuhan, kerana Dia berada di sisi kita, mencurahkan kasih setia-Nya.
Walaupun mengharungi hidup yang penuh dengan pelbagai cabaran, namun dipenuhi dengan kasih Tuhan. Terang kehidupan ibu saya akhirnya telah terpadam. Masa yang paling saya tidak ingin hadapi telah tiba. Pada hari itu, saya masih memimpin kebaktian di gereja. Apabila sampai di rumah, kelihatan ibu saya telah muntah benda yang berwarna putih dan putus nafas. Saya memanggilnya ‘mak’, lalu air mukanya menjadi kemerah-merahan, mungkin dia sedang menunggu saya pulang ke rumah. Selepas itu, dia pergi dengan meninggalkan wajah yang sejahtera, seperti seorang yang sedang tidur.
Dengan kesedihan, saya menelefon Diaken Titus Yong. Dia bergegas datang untuk mengurus hal-hal bagi menghantar mayat mendiang ke rumah jenazah. Pada waktu itu adalah pukul 11:15pm. Tiba-tiba anak saya mendengar ada orang yang sedang menyanyi kidung bilangan ke-5. Suara itu indah dan merdu, seperti suara malaikat. Dia bertanya kepada saya samada saya juga mendengarkannya, saya menjawabnya tidak. Saya melihat samada ada orang yang lain berada di sekitar atau tidak, tetapi tidak ada juga. Apakah benar malaikat sedang bernyanyi? Saya juga terfikir, pada hari pemercaya meninggalkan dunia, dikatakan ada malaikat yang akan datang membawanya pergi. Saya percaya dengan teguh bahawa orang yang mati dalam Kristus adalah orang yang berbahagia. Sekarang ibu telah pergi, sebenarnya Tuhan telah membawanya ke suatu halaman rumah yang lebih indah.
Pada malam pertama ibu meninggal dunia. Anak saya mendapat suatu mimpi di mana pada waktu petang, dia sedang menyuap neneknya makan nasi. Tiba-tiba nenek berkata, “Saya mahu pergi sudah, janganlah kamu sedih, manusia tetap akan mati.” Selepas itu, dia menghadiahkan barangan kemas yang paling dihargainya kepada anak saya. Anak saya berasa keberatan hati. Semasa dia berasa sedih, tiba-tiba ternyata ada sebuah tangga di hadapannya. Tinggi dan lurus sampai ke langit, hujungnya sambung ke tempat yang tidak diketahui. Selepas itu, dia melihat nenek, berjalan di atas tangga, lalu pintu Syurga terbuka dan ada tiga orang sedang berdiri di sana, orang yang berada di tengah-tengah itu bersinar terang. Dia seperti Tuhan Yesus. Orang yang berdiri di kanan memegang sebuah buku, seperti buku kehidupan, yang berada di kiri meniup seruling, bunyinya indah. Nenek senyum dengan gembira, tidak seperti keadaannya pada waktu tua. Selepas itu, dia berjalan sambil melambai-lambai.
Syukur kepada Tuhan kerana Tuhan menggunakan mimpi untuk menghiburkan kami pada masa yang sedih ini. Siapakah kami sehingga menerima kasih daripada Tuhan? Tuhanlah batu sandaran pada waktu kesusahan. Dialah sandaran kita, ini membuatkan saya mengingati-Nya selama-lamanya.
Pada hari ibu dikebumikan, saya duduk dalam kereta mayat. Melihat ke luar tingkap, sinaran yang masih sama, tetapi segalanya telah berubah. Sekarang ibu sedang berbaring secara diam-diam di situ, tidak boleh berborak dengan kami lagi. Jalan ini merupakan tempat yang pertama sewaktu saya membawa ibu pergi berjalan-jalan. Jika dia berasa bosan, dia ingin saya membawanya keluar berjalan-jalan. Jalan yang kami lalui, ialah jalan besar yang menuju ke Sepangar. Selepas itu, kami akan pusing di UMS dan balik ke Luyang. Sekarang saya masih menemaninya di jalan ini, tetapi dalam keadaan yang berbeza. Hari ini hari ke berapa? Teringat akan hal ini, hati saya berasa pedih dan air mata mula mengalir. Dalam sepanjang jalan, air mata menemani saya. Tetapi ini bukan air mata kesakitan, melainkan kesyukuran, dan juga penghiburan.
Selepas itu, isteriku memberitahu kepadaku, ”Kau tahukah? Semasa kau mengalirkan air mata, saya terdengar ada suara doa yang berbahasa roh.” Semasa saya memusingkan kepala dan melihat, saya tidak nampak ada orang yang berdoa di dalam kereta. Tetapi suara doa itu amat jelas sehingga kami tiba di tanah perkuburan Nirvana. Syukur kepada Tuhan kerana selepas bersedih, saya dapat merasa damai sejahtera dalam hati ibarat terlepas dari beban yang berat. Damai sejahtera ini dari Tuhan kerana Tuhan berjanji bahawa
“Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu, dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Janganlah gelisah dan gentar hatimu.” (Yoh 14: 27)
Hati saya berasa gembira kerana Tuhan berada di sebelah kanan Bapa.
Berdoa dengan permohonan yang tak putus-putusnya untuk segala orang Kudus. Sebab Tuhan-Mu telah mengurapi Engkau dengan minyak sebagai tanda kesukaan, melebihi teman-teman sekutu-Mu. (Ibr 1: 9)
Selepas 3 hari, isteri saya pula bermimpi. Apabila hari hampir siang, dia bermimpi bahwa ibu saya ketawa dengan riang dan berkata kepada isteri saya harus saling mengampuni terhadap apa-apa kesalahan dahulu. Jangan letak dalam hati. Selepas itu, dia naik tangga ke Syurga. Tangga ini seperti yang dilihat oleh anak saya, sangat tinggi, sangat lurus, sehingga ke langit yang tidak dapat dipandang. Dia melihat ibu saya berada di hujung. Dia melambai kepada isteriku lalu hilang.
Sememangnya, kepergian saudara mara akan membawa kesedihan kepada kita. Tetapi dalam kesusahan, Tuhan sebagai sandaran kita, kekuatan kita dan pertolongan kita dalam kesusahan. Dia memimpin kita dengan tangan kudusnya, menemani kita melalui lembah maut. Apa yang penting adalah kita tetap mengikuti Tuhan, jangan terpesong. Dengan pastinya, perpisahan itu hanyalah sementara. Satu hari nanti, kita akan berjumpa di Syurga.
Selepas itu, kasih Tuhan bagaikan embun, membasahi kami sekeluarga. Selepas mengharungi kehidupan manusia yang tidak dapat diduga, hanya Tuhan sebagai sandaran, tiada lagi permintaan dalam hidup ini. Saya hanya memohon dalam hidup ini, boleh melayani Tuhan dengan hidup saya untuk membalas kasih-Nya.
Semoga segala kemuliaan, kepujian dan kesyukuran diberikan kepada nama Tuhan.