Views: 85

Sepulot adalah sebuah pekan kecil sejauh lebih kurang 129KM di sebelah selatan Keningau. Penduduknya hampir semua terdiri daripada suku kaum Murut yang bekerja sebagai petani pindah-randah. Ram,ai di antara mereka adalah juga pemburu yang mahir. Kawasan ini adalah salah satu tempat yang paling terpencil di Sabah. Mereka hidup dalam kesusahan dan boleh dikatakan di antara kaum yang paling miskin dalam Negeri Sabah. Seperti Murut di tempat lain mereka kebiasaannya tidak mempunyai agama. Namun demikian, Roman Katholik, Sidang Injil Borneo dan Basel Mission telah tersebar di antara para penduduk tempatan buat beberapa lama dan mempunyai anggota-anggota yang tidak kurang ramainya.

Pada 2 Mei 1981, Sdra Juperin Sumil dan Rudy Julasim, dua orang belia dari Gereja Keningau yang bekerja di Rumah Sakit Kerajaan Keningau telah ditugaskan di sebuah rumah sakit di Sepulot untuk tempoh empat bulan. Setelah digerakkan oleh Tuhan, mereka telah memulakan kerja kesaksian kepada rakan sejawat yang baharu dan sahabat handai. Syukur kepada Tuhan kerana melalui ilhamNya, beberapa orang telah menerima Kebenaran. Kemudian semasa menghadiri Kebaktian Kebangunan Rohani Murid-murid Bumiputera di Gereja Wangkod yang dibiayai oleh Ibu Gereja, Sdra Juperin telah mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan khabar baik ini kepada para penginjil Bumiputera Ibu Gereja dan pada masa yang sama meminta supaya mereka pergi ke Sepulot untuk meneruskan tugas penginjilan serta penggembalaan.

Akhirnya pada 21 Ogos 1981 Ibu Gereja menghantarkan dua orang penginjil Bumiputera iaitu Pdt Timotius Borubui dan Pdt Titus Suyan yang diiringi oleh penginjil-penginjil pelatih iaitu Malius Gusti dan Alun Ambarat ke Sepulot bagi “membajak tanah yang belum ditanam”. Sebagai hasil 9 orang telah dibaptiskan dan menjadi benih yang pertama. Oleh itu, Gereja Sepulot telah ditubuhkan.

Kasih Tuhan jelas kelihatan berlimpah ke atas Gereja Sepulot. Tuhan telah menambbahkan iman serta meneguhkan minat jemaat melalui mujizat dan tanda-tanda ajaib. Mereka menjadi lebih berani dalam penyaksian bagi Tuhan. Tuhan telah menambahkan bilangan pemercaya dengan banyaknya. Pada tahun 1984, bilangan pemercaya mencapai 94 orang. Dalam tahun yang sama melalui kerjasama setiap ahli dan bantuan kewangan Ibu Gereja sebuah gereja yang sederhana berukuran 12.2m x 7.3m (40 kaki x 24 kaki) telah didirikan dan ditahbiskan kepada Tuhan dalam tahun yang sama.

Bilangan pemercaya masa kini adalah seramai 148 orang. Kerja penginjilan dijalankan dengan licinnya melalui pimpinan dan asuhan Sdra Awang bin Kawah dan Sdra Ansaat Talikur. Baru-baru ini Ibu Gereja telah memasukkan Gereja Sepulot dalam jadual penggembalaan penginjil. Terdapat sebuah kelas Pendidikan Agama dengan 29 orang murid. Penguasanya ialah Sdra Awang bin Kawah dan dibantu oleh Sdra Ansaat Talikur.

Ahli-ahli Jawatankuasa kini terdiri daripada berikut:-
Hal Ehwal Agama : Awang Kawah, Ansaat Talikur (Timbalan)
Hal Ehwal Am: Tambuloi bin Ambalau
Bendahari: Sanumping bin Anggaris, Agustin bin Amboi (Pembantu)
Setiausaha: Linaun bin Antaim, Raunah bte Bubuton (Pembantu)

Semoga Tuhan mencucuri rahmatnya dengan berlimpah ke atas tempat yang terpencil dan mundur di Negeri Sabah ini.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *