Menghitung Berkat Tuhan
Saksian oleh: Chong Mui Ha
Tarikh: 1987
Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus, saya menyampaikan saksian. Syukur atas kasih karunia Tuhan kerana Dia telah memilih saya dan mencurahkan Roh KudusNya yang berharga ke atas saya.
Saya dibaptiskan dalam namaNya pada 2 Januari 1984. Tidak lama selepas pembaptisan, saya bertekad untuk membuangkan kesemua tabiat buruk saya. Sebagai seorang penjaja di pasar, saya selalu mendengar kawan-kawan saya dari tempat menjaja yang berdekatan berbual-bual dengan bahasa yang kesat. Disebabkan oleh pengaruh mereka, saya juga telah mempunyai tabiat yang buruk ini. Namun begitu, amat bersyukur kepada Tuhan yang mahakuasa dan kuasa Roh Kudus kerana setiap kali apabila saya ingin meluahkan kata-kata kesat ini dari mulut saya, saya dapat menghalangi diri sendiri. Dalam jangka masa yang pendek, Tuhan telah memberi kekuatan agar saya dapat mengatasi tabiat buruk saya itu melalui doa.
Namun begitu, tidak lama kemudian selepas pembaptisan dan disebabkan oleh pengetahuan Alkitab yang terhad, saya mulai berasa sangsi iaitu samada saya telah membuat pilihan yang betul dan dibaptiskan dalam Gereja Benar. Secara umum, pada anggapan orang ramai, adalah satu dosa besar sekiranya seorang itu menukar kepercayaannya. Dengan itu saya berasa kurang senang hati. Pada masa yang sama, saya juga berasa ragu-ragu memegang hari Sabat pada hari Sabtu kerana orang Katolik memegangnya pada hari Ahad, jadi saya pun teragak-agak mana satu yang bertepatan dengan pengajaran Alkitab. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana melalui pimpinan Roh Kudus, saya mula membaca buku cetakan pengkajian Alkitab yang dibeli oleh suami saya. Saya sentiasa berdoa memohon pimpinan Tuhan dan kuasa untuk memahami maksud sebenar firmanNya sebelum saya membaca Alkitab. Selepas beberapa hari membaca dogma penting seperti “Hari Sabat”, “Pembaptisan”, “Pembasuhan Kaki”, “Roh Kudus” dan sebagainya, iman saya diteguhkan dan saya mula memahami Gereja Benar sesungguhnya memberitakan Injil Keselamatan yang sempurna. Selepas itu, melalui berkebaktian dan mendengar khotbah, corak hidup saya berubah semenjak diperbaharui oleh Roh Kudus seperti yang tercatat dalam Filipi 4:13, “Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku.”
Semasa saya merenungkan kasih karunia Tuhan ke atas kami, saya mengingatkan satu kejadian menjelang kemasukan saya dalam Gerja Benar. Ianya berlaku ke atas anak lelaki saya, Chi Kwong. Pada satu malam semasa berada dalam rumah saya yang terletak di Penampang, dia demam panas dan pada tengah malam, tiba-tiba dia menjerit dengan suara yang tajam, “Hantu”. Pada masa yang sama, bekalan elektrik terputus pada malam itu. Walaupun saya tidak dapat melihat perasaan mukanya tetapi saya dapat merasakan bahwa tubuhnya adalah sejuk. Saya bersama suami saya berasa sungguh bimbang lalu dia bertanyakan sama ada kami harus menghantarnya pergi berjumpa dengan doktor segera. Tetapi saya berpendapat hari telah larut malam dan memberitahu agar kami berdoa.
Saya sendiri juga percayakan Tuhan Yesus tetapi denominasi yang lain. Lalu suami saya berdoa dalam bahasa Roh dengan tekunnya. Semakin suami saya berdoa, Chi Kwong semakin kuat menjerit bahwa ada satu hantu di situ dan jarinya juga menunjukkan kesemua arah. Tiba-tiba dia berkata bahwa orang tua yang menjual suratkhabar telah mati. Saya berasa terkejut kerana orang tua yang dikatakannya masih hidup. Oleh kerana bimbangkan sesuatu buruk yang terjadi ke atasnya, kami berdoa dengan lebih bersungguh-sungguh memohon bantuan Tuhan. Selepas lebih kurang dua puluh minit, suara Chi Kwong semakin lemah lalu saya menyuruhnya agar bersama-sama berdoa dengan kami dalam nama Yesus untuk mengusir iblis.
Setelah dia sembuh, saya bertanyakannya mengapa dia mengatakan orang tua yang menjual suratkhabar itu mati dan dia menjawab, “saya tidak tahu”. Selepas itu kami berdoa lagi dan kemudian pergi tidur.
Selepas kejadian itu, Chi Kwong menjadi seorang yang penakut. Kadang-kadang apabila saya meninggalkannya seorang diri di bilik tidur, dia menjadi takut dan tidak berani pergi ke bilik air. Apabila saya jauh dari pandangan matanya, dia akan mula menjerit dan berpeluh seluruh tubuhnya.
Pada suatu kali, semasa suami saya membersihkan bilik tidur, dia telah menjumpai beberapa jampi di atas tingkap. (Sebelum itu rumah kami disewakan kepada orang kafir). Dalam nama Tuhan Yesus, suami saya pun membakar jampi tersebut. Dahulu Chi Kwong juga telah belajar tabiat buruk dan berbahasa kasar di pasar. Saya selalu memarahi dan memukulnya tetapi sia-sia saja. Jadi saya pun menyuruhnya berdoa sebelum tidur. Oleh kerana dia masih kecil dan tidak tahu bagaimana untuk berdoa, saya menyuruhnya mengikuti saya berdoa memohon Tuhan membantu dan memberi kekuatan kepadanya untuk mengusir iblis dan mengatasi tabiat buruknya.
Oleh itu, setelah sebulan anak perempuan saya memberitahu saya bahawa abangnya tidak berbahasa kasar lagi, saya ragu-ragu dan bertanya sama ada benar atau tidak dan pada ketika itu juga, Chi Kwong lari ke arah saya dan berkata, “Mak, itu adalah benar. Saya tidak berbahasa kasar lagi.” Syukur kepada Tuhan, melalui peristiwa itu ternyata berkat Tuhan berkelimpahan dan tidak terhitung.
Syukur kepada Tuhan atas kasih dan belas kasihanNya ke atas kami. Saya bersyukur kepada Tuhan atas segala berkat yang dicurahkanNya kepada kami. Bagaimanakah saya dapat membalasNya? Melainkan mencatatkannya sebagai saksian. Semoga segala kemuliaan diberikan kepada Tuhan Yesus. Amin!