Kursus Pernikahan (Bab 4) Suami Berdasarkan Konsep Alkitab
|

Kursus Pernikahan (Bab 4) Suami Berdasarkan Konsep Alkitab

4.1 Suami Hanya ada Satu Isteri Sahaja
Adalah baik setiap laki-laki mempunyai isterinya sendiri (1 Kor 7:2). Perkataan isterinya bermaksud tunggal.

– Pada mulanya Allah hanya mencipta satu perempuan dari salah satu tulang rusuk Adam (Kej 2:21).
– Apabila Allah mendirikan pernikahan di Taman Eden, Adam dan Hawa menjadi satu daging (Mrk 10:6-8).
– Hanya dua sebab suami boleh bernikah semula iaitu:
i. Isteri meninggal dunia.
ii. Isteri telah berzinah dan sudah bernikah dengan lelaki lain. Sekiranya menceraikan isteri dengan apa sahaja alasan tetapi tidak berzina, dan suami bernikah dengan orang lain, maka dia juga telah berzinah (Mat 19:9).

4.2 Berkuasa Terhadap Isteri
Tidak ada alasan yang dapat diterima bahawa isteri menjadi kepala dalam keluarga. Jelas dalam Alkitab bahawa Allah telah menetapkan suami sebagai kepala dalam keluarga. Namun, jika isteri membetulkan kesilapan suami atau memberi pendapat, ini tidak bermakna bahawa dia memerintah suami.

i. Firman Tuhan kepada Hawa “ia akan berkuasa atasmu” (Kej 3:16).
ii. Kepala dari perempuan ialah lelaki (1 Kor 11:3).
iii. Kerana suami adalah kepala isteri (Efe 5:23).

Walaupun suami adalah kepala bagi isteri tetapi ini tidak bermakna suami boleh memperlakukan isteri sesuka hati contohnya, menjadikan isteri seperti seorang hamba. Suami harus melihat isteri sebagai penolong di dalam membentuk sebuah keluarga bahagia.

4.3 Kewajipan Suami Terhadap Isteri
Suami yang baik berusaha untuk memenuhi kewajipannya terhadap isteri dan isteri yang merasakan dirinya dihargai oleh suami sudah pasti menikmati kebahagiaan keluarganya.

4.3.1 Hidup Bijaksana Dengan Isteri (1 Pet 3:7)
Bermaksud harus belajar memahami isteri:
– Perasaan isteri
– Keperluan isteri

Seorang suami yang berjaya memahami isteri dapat membahagiakan isteri dan terhindar daripada menyakitkan hati diselaraskan dengan firman Tuhan (Efe 4:15).

4.3.2 Menghormati Isteri ( 1 Pet 3:7)
“Menghormati” bermakna suami haruslah menghargai perasaan, fikiran, keinginan dan pendapat isterinya.

4.3.2 Harus mengasihi Isteri (Efe 5:25-29)
Bagaimanakah cara mengasihi isteri?
a. Sebagaimana Kristus telah mengasihi jemaat (25) – bermaksud sanggup berkorban bagi isteri.
– Mengasihi isteri sama seperti tubuh sendiri (28) – seperti setiap orang mementingkan diri sendiri, bermaksud harus mementingkan atau mengutamakan isteri dalam hidup.

4.3.4 Jangan berlaku kasar terhadap isteri (Kol 3:19)
Walaupun isteri bersalah namun harus menguasai diri agar tidak mengucapkan kata-kata yang tidak wajar diucapkan (Efe 4:29).

i. Tidak sedikit suami yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang kasar terhadap isteri misalnya mengucapkan perkataan: ‘bodoh, gila, tiada guna dan sebagainya’ ketika menengking isteri. Hal ini sama sekali tidak boleh berlaku dalam keluarga Kristian.

ii. Ada pula yang tidak banyak bercakap namun memperhatikan bahasa badan yang kasar terhadap isteri.

iii. Sama sekali tidak boleh mendera isteri seperti menampar atau memukul.

4.3.5 Memenuhi keperluan nafkah batin (1 Kor 7:3)
Jangan saling menjauhi kecuali dengan persetujuan bersama (1 Kor 7:5).

4.3.6 Membantu isteri mendidik anak-anak
– Mendidik anak harus dari kecil (Ams 22:6).
– Mendidik anak berulang-ulang (Ul 6:6-7).
– Anak yang bersalah harus dirotan dengan tujuan untuk mengajar (Ams 2#:14).
– Contohilah tokoh suami isteri teladan iaitu Amran dan Yokhebed yang berjaya mendidik anak sehingga menjadi alat Tuhan (Bil 26:59).

Kursus Pernikahan (Bab 3) – Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa
|

Kursus Pernikahan (Bab 3) – Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa

3.1 Harus berbakti kepada ayah dan ibu
3.1.1 Suatu perintah penting daripada Allah (Kel 20:12).
Tuhan Yesus adalah Allah sendiri yang datang ke dunia menjadi manusia. Maria hanyalah ibu kandung yang dipinjam sahaja dan Yusuf ayahnya ayah angkat-Nya sahaja, namun Tuhan Yesus menghormati mereka. Ini disebabkan Yesus amat mementingkan bakti. Yesus telah memberikan satu teladan yang sangat baik buat kita pada masa sekarang (Luk 2:41-45; Yoh 19:26-27).

3.1.2 Sesiapa yang menurutinya akan berbahagia (Efe 6:2-3)
Tercatat dalam kitab bahawa anak yang berbakti kepada orang tua beroleh berkat:
a. Yusuf dan Yehuda anak Yakub (Kej 37-49,44).
b. Ester anak angkat Mordekhai (Est 2-8).

Juga tercatat contoh anak derhaka atau tidak menghormati orang tua menerima kutuk:
a. Hofni dan Peinehas anak Imam Eli (1 Sam 1-4).
b. Ham anak Nuh (Kej 9:20-27).
c. Absalom anak Daud (2 Sam 14-18).

3.2 Harus menghormati Mertua
Setelah bernikah, ibu bapa kita telah bertambah kerana mertua kini menjadi ibu bapa kita juga. Kita harus menunjukkan hormat kita kepada mertua sama seperti kita menghormati ibu bapa kandung. Kita bukan sahaja sekadar memanggil mereka emak, atau bapa tetapi juga kebajikan dan tanggungjawab terhadap mereka perlu kita tunjukkan.

Berikut adalah tokoh contoh dalam Alkitab tentang menantu yang sangat menghormati mertua:
a. Rut terhadap mertuanya Naomi (Rut 1-4).
b. Petrus terhadap ibu mertuanya (Mrk 1:29-31).
c. Musa terhadap mertuanya (Kel 18:5-7).

3.2.1 Bagaimana cara menghormati ibu bapa dan mertua ?
a. Mentaati (Kol 3:20, Ams 6:20-22).
b. Menerima ajaran (Ams 13:24; 23:13-14; Ibr 12:11).
c. Tidak memandang rendah (Ams 15:17,27; 1 Tim 6:6-10).
d. Tidak menghina (Ams 23:22).
e. Tidak mengutuk dan menyiksa (Im 20:9; AMs 19:26).
f. Harus memelihara mereka (Mat 15:3-9; Yoh 16:22-23).
g. Sentiasa mendoakan (Mat 6:25; Yoh 16:22-23).

Walau bagaimanapun, prinsip dan cara menghormati ibu bapa dan mertua, haruslah ‘mentaati orang tua di dalam Tuhan (Efe 6:1)’. Ini bukanlah membabi buta, sebaliknya kita harus menghormati ibu bapa dan mertua di dalam kebenaran. Jika arahan yang tidak sesuai dengan Alkitab, janganlah kita taati (Kis 5:29). Misalnya, tidak dapat datang berkebaktian kerana dilarang oleh ibu bapa atau mertua yang bukan seiman.

Dalam dunia hari ini bahkan terdapat juga pemercaya gereja kita yang tidak hormat kepada mertuanya, bukan sahaja tidak mendengar nasihat, malah ada juga yang begitu berani melawan mertuanya. Kita perlu mencontohi tokoh yang menghormati mertua sebagaimana contoh di atas. Kita perlulah berhati-hati kerana setiap perbuatan ada pembalasannya, apa yang kita tanam maka itulah yang akan kita tuai (Gal 6:7).

Perbincangan dan renungan
Apakah pandangan anda terhadap ibu bapa atau mertua yang dihantar ke rumah orang tua? Bincangkan.

Kursus Pernikahan (Bab 2) Kehidupan Keluarga Kristian
|

Kursus Pernikahan (Bab 2) Kehidupan Keluarga Kristian

2.1 Suami mengasihi isteri
Suatu perintah yang sangat jelas tercatat dalam Alkitab dan harus dilakukan oleh suami seorang Kristian.
i. Nasihat Paulus (Efe 5: 28-29,33)
ii. Nasihat Petrus ( 1 Pet 3:7)
* Mencontohi sikap Ishak terhadap isterinya Ribka (Kej 24:67).

2.1.1 Bagaimana suami menunjukkan kasihnya terhadap isterinya?
Perempuan dicipta daripada tulang rusuk laki-laki (Kej 2:21–22). Apakah makna rohani perempuan diciptakan dari tulang rusuk lelaki?

i. Allah mengambil satu dari tulang rusuk Adam ketika Ia menciptakan Hawa.
– Bererti suami harus memiliki hanya seorang isteri sahaja.

ii. Tulang rusuk dekat dengan hati
– Bererti isteri harus dikasihi oleh suaminya dan tidak boleh berlaku kasar terhadapnya.

iii. Tulang rusuk terletak di bawah lengan
– Bererti isteri sebagai teman yang lebih lemah haruslah mendapat perlindungan daripada suaminya.

iv. Tulang rusuk terletak di tengah-tengah tubuh
– Bererti isteri adalah kemuliaan lelaki harus bersyukur memiliki penolong sepadan dengannya.

2.1.2 Isteri Harus Tunduk kepada Tuhan
Lelaki setelah bernikah dengan perempuan menjadi satu daging (Kej 2:24). Menjadi satu tubuh bermaksud tidak membandingkan dari segi tinggi rendahnya darjat mereka. Suami isteri adalah satu tubuh dan mempunyai rumahtangga teratur, maka ketika Allah menciptakan manusia, Ia tidak menetapkan untuk mencipta mereka pada waktu yang sama tetapi menciptakan lelaki terlebih dahulu, kemudian barulah mencipta wanita. Oleh sebab itulah suami adalah kepala isteri, sama seperti Kristus adalah kepala jemaat (Efe 5:24). Hubungan suami isteri seperti itu bukanlah hubungan tinggi rendahnya kedudukan, tetapi adalah perbezaan urutan dan pekerjaan. Bahkan menurut nasihat Petrus, isteri juga harus tunduk kepada suami yang belum percaya pun ( 1 Pet 3:1-6). Maksud Petrus adalah dengan cara tunduk kepada suami yang belum percaya dapat menyaksikan perbuatan baik daripada isteri yang beriman.

2.1.3 Bagaimana Isteri harus tunduk kepada suami?
1. Tunduk kepada suami dalam segala sesuatu.
– ‘Segala sesuatu’ jangan disalah ertikan bahawa apa yang tidak baik dan bertentangan dengan kehendak Tuhan juga harus tunduk. Sebagai contoh, apabila Sarai tunduk kepada suaminya dalam hal yang tidak baik hampir menerima padah yang buruk (Kej 12:10-20).

2. Tunduk kepada suami bermakna tidak boleh memerintah serta menguasai suami (Queen control).
– (1 Tim 2:11-12) walaupun isteri bijak, berpelajaran, berkedudukan namun tidak boleh dijadikan alasan bahawa isteri seharusnya menjadi kepala dalam keluarga. Jika suami silap, isteri berhak menegur atau menasihati dan ini bukanlah memerintah tetapi membetulkan yang salah.

Firman Tuhan menggalakkan kita saling menasihati maka sudah tentu amat perlu bagi sepasang suami isteri.

2.1.4 Kehidupan sebagai suami isteri
Kadang – kadang berlaku dalam kalangan isteri yang masih muda iaitu tidak mengerti akan keperluan seks suaminya. Apabila berlaku sedikit pertelingkahan maka ia menjadikannya sebagai senjata iaitu menolak permintaan suami untuk melakukan hubungan seks sebagai hukuman terhadap suami. Perbuatan ini adalah tidak wajar kerana tindakan sedemikian hanya merosakkan hubungan suami isteri dan bukan saja tidak membantu malah akan lebih merumitkan keadaan ( 1 Kor 7:3-5).

Beberapa butir yang dibincangkan di atas adalah merupakan perkara yang harus diperhatikan sebagai suami isteri dalam keluarga kristian. Jika sekiranya dipatuhi dan meletakkan Yesus sebagai Ketua dalam keluarga, pastilah akan terbina sebuah keluarga yang bahagia.

2.2 Melahirkan Generasi yang beriman
2.2.1 Mewarisi Iman yang tulus ikhlas
Sungguh alangkah baiknya jika semua ibu bapa yang beriman berjaya mewariskan iman kepercayaan mereka kepada anak cucu mereka. Lois berjaya mewariskan iman kepada anaknya Eunike dan Eunike pula mewariskan iman itu kepada anaknya Timotius ( 2 Tim 1:5). Allah menghendaki keluarga kita melahirkan keturunan yang ilahi (Mal 2:15), harus ada tekad seperti Yosua menetapkan seisi keluarganya beribadah kepada Allah (Yos 2$:15).

2.2.2 Seisi Rumah Beribadah kepada Allah
i. Seisi keluarga telah dibaptis dalam Gereja Yesus Benar
– Seperti Keluarga Lidia (Kis 16:14-15).
– Seperti Keluarga kepada penjara (Kis 16:33).

ii. Seisi keluarga takut akan Tuhan dan menurut jalan yang ditunjukkan-Nya (Maz 128:1).
– Seperti keluarga Kornelius (Kis 10:1-2).

iii. Seisi keluarga melayani Tuhan
– Sebuah keluarga yang sangat agung tercatat dalam Alkitab iaitu dari ibu bapa sehingga anak-anak melayani Tuhan (BIl 26:59).
– Amran dan Yokhebed
* Harun – Menjadi Imam Allah (Kel 31:10).
* Musa – Menjadi nabi agung perjanjian lama (U;l 34:10).
* Miryam – Seorang nabiah (Kel 15:20).

(Urutan kelahiran anak-anak Amran: Harun adalah Putera sulung, tiga tahun lebih tua daripada Musa ; (Kel 7:7), Miryam adalah kakak kepada Harun dan Musa, ia memelihara Musa selagi bayi (Kel 2:4).

2.3 Krisis Keluarga dan Cara menanganinya
Dalam dunia ini tidak ada yang sempurna, perselisihan tidak dapat dielakkan dan ini akan menimbulkan krisis dalam rumah tanga. Itulah sebabnya dalam dunia ini sering berlaku perpecahan keluarga. Akibat krisis dalam rumah tangga maka anak-anak menjadi mangsa ketandusan kasih sayang. JIka perpecahan keluarga berlaku dalam kalangan seiman, kesannya bukan sahaja menyebabkan pelajaran anak-anak di sekolah terjejas, malah lebih malang lagi ialah anak-anak akan menyimpang dari jalan Tuhan.

2.3.1 Bagaimana mengelakkan / mengurangkan krisis dalam keluarga?
i. Menjadikan Kristus sebagai ketua keluarga: Memegang Firman Tuhan, menasihati ahli keluarga berlandaskan kasih.

ii. Menetapkan mezbah keluarga: menyanyi, membaca Alkitab, perkongsian dan berdoa bersama.

iii. Saling mendoakan: Tidak mengkritik, tidak menyimpan dendam, saling mengampuni, sentiasa mendoakan kelemahan pasangan hidup dengan penuh kasih.

iv. Belajar teknik berkomunikasi: Perkataan harus lemah lembut, mendengar dengan tenang.

v. Jangan beri kesempatan kepada Iblis, berdoa dan selidiki sesuatu tuduhan sebelum bertindak.

vi. Menjalinkan hubungan baik dengan semua orang, menerima dengan baik keluarga dan saudara-mara pasangan hidup.

Walaupun kita cukup berhati-hati, pasti berlaku juga krisis dalam keluarga dan jika kita tidak tahu menanganinya, maka kesempatan itu akan digunakan oleh iblis untuk menghancurkan keluarga kita. Maka itu, umat Tuhan harus tahu bagaimana menghadapi krisis.

2.3.2 Menghadapi Krisis
Utamakan doa apabila berlaku tanda-tanda krisis (1 Pet 5:7) Sama sekali tidak ada niat untuk bercerai. Apa yang dipersatukan tidak boleh diceraikan manusia (Mat 19:6) Mencari pertolongan dari kaunseling pernikahan dan para Penatua/ Pendeta/ Diaken.

Kursus Pernikahan (Bab 1)
|

Kursus Pernikahan (Bab 1)

“Hendaklah kamu semua penuh hormat terhadap perkahwinan dan janganlah mencemarkan tempat tidur, sebab orang-orang sundal dan perzinahan akan dihakimi Allah (Ibr 13:4).

Pendahuluan
Kesejahteraan dan keharmonian dalam keluarga tidak datang dengan sendiri. Kerjasama daripada anggota keluarga amat diperlukan. Ibu bapa terutamanya perlu bersikap penyayang. Pemaaf, bersimpati, bertimbang rasa, sanggup berkorban dan bersedia menerima cadangan anggota keluarga yang lain. Didikan akan menjadi ikutan anak-anak dan seterusnya melahirkan sebuah keluarga yang bahagia dan yang lebih penting lagi ialah keluarga yang diberkati Tuhan. Oleh itu, bakal ibu bapa haruslah mempunyai pengetahuan kefahaman dan kesedaran yang cukup lengkap dan mendalami berhubung dengan ilmu mendidik anak lebih-lebih lagi dari aspek pendidikan rohani. Ibu bapa harus sedar bahawa sebuah keluarga adalah seperti sebuah kapal. Yang mana, Ibu bapa adalah nakhodanya dan anak-anak adalah kelasinya. Bagi menjamin kapal tersebut bergerak menuju lautan mengharungi cabaran ombak dan angin di lautan, maka nakhoda dan kelasi harus mampu memahami antara satu sama lain dan perlu bekerjasama. Kesemuanya sama penting. Kesemua harus faham pelabuhan mana yang akan sampai ke pelabuhan yang didiamkan. Begitulah pentingnya peranan ibu bapa dalam membentuk sebuah keluarga rohani yang mampu bersinar bagi Tuhan.

Tujuan mengadakan seminar Pra-pernikahan ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada bakal-bakal ibu bapa supaya lebih bersedia untuk menjadi nakhoda dalam sebuah kapal agar mereka mampu mengharungi menjadi nakhoda dalam sebuah kapal agar mereka mampu mengharungi taufan dan ombak besar. Pelabuhan yang kita tuju tiada lain selain Sorga yang indah. Kejayaan di dunia memang amat penting namun bagi kita sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar ini, kecemerlangan dan kegemilangan lebih tertuju kepada mahkota yang kekal. Perjuangan kita ialah seisi keluarga akan berjaya mencapai garis akhir seperti rasul Paulus.

Selamat mengikuti seminar Pra-Pernikahan, Tuhan memberkati setiap usaha kita.

Jabatan Kesusasteraan,
Ibu Gereja Sabah.

Bahagian 1 : Kebenaran Tentang Pernikahan

1.1 Pendahuluan
Hati manusia di akhir zaman ini sangat jahat dan manusia kehilangan nilai moral sehingga pandangan mereka terhadap pernikahan sudah berubah. Mereka tidak lagi menghormati pernikahan. Pernikahan dan perceraian terjadi di mana-mana. Sebagai anggota Gereja Yesus Benar, kita haruslah melaksanakan ajaran Alkitab iaitu menghormati pernikahan. Pandangan dan sikap kita terhadap pernikahan haruslah berbeza dengan orang – orang duniawi, sebab kita adalah umat Allah. Kita harus melakukan sistem pernikahan yang ditetapkan Allah sejak dunia dijadikan.

1.2 Pandangan yang salah terhadap pernikahan
Berikut adalah perkara yang harus ditolak oleh pemercaya Gereja Yesus Benar:
1. Hidup sebumbung sebelum bernikah.
2. Bertukar-tukar pasangan.
3. Menikah tetapi tidak melahirkan anak (disengajakan).
4. Menikah dengan sama jantina.
5. Menukar / menambah isteri.

1.3 Pernikahan berdasarkan Alkitab
Pernikahan yang didirikan oleh Tuhan mempunyai makan yang agung dan kudus.

1.3.1 Asal – Usul Pernikahan
1. Pernikahan dimulakan di Taman Eden (Kej 2: 8; 18-25)
2. Pernikahan diadakan oleh Allah (Mrk 10:6-9).

1.3.2 Makna Pernikahan
1. Dua orang menjadi satu daging (Kej 2:24).
a. saling membantu, saling memperhatikan, dan memenuhi keperluan seksual (1 Kor 7:3-9).
b. Dari aspek rohani, saling mendorong dan memberi penghiburan dan persekutuan yang erat dalam Roh.
2. Belajar menguasai kasih yang tidak berkesudahan
3. Sebagai teman pewaris dari kasih karunia (1 Ptr 3:7).
4. Mengerti rahsia hubungan Kristus dan jemaat (Efe 5:22-23) – Suami mengasihi isteri dan isteri tunduk kepada suami).

1.3.3 Tujuan Pernikahan
1. Saling membantu, saling memperhatikan dan memenuhi keperluan seksual (Kej 2:18,20; Pkh 4:9-11; 1 Kor 7:3-9).
2. Supaya manusia beranak- cucu dan bertambah banyak (Kej 1:27-28, Mal 2:15).
3. Supaya tidak terjadi perzinahan (1 Kor 7:2,8,-9).
4. Melahirkan dan mendidik anak – anak yang saleh (Ul 6:4-9).

1.4 Pergaulan dan pernikahan

1.4.1 Bagaimana membangun perhubungan yang kudus?
a. Dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan jangan melampaui batas kesopanan.
b. Mengutamakan persekutuan membaca Alkitab, doa dan pelayanan.
c. Harus berhati-hati dalam pergaulan sama ada dalam kalangan sejenis ataupun berlainan jantina.

1.4.2 Jangan Sembarangan Bergaul
a. Perbuatan dan tingkah laku harus sepadan dengan kehidupan orang Kristian.
b. Pergaulan bermula sejak peringkat kanak-kanak tetapi pernikahan adalah urusan orang dewasa sahaja.

1.4.3 Orang Dewasa Seeloknya bernikah
1. Prinsip memilih pasangan hidup jangan serupa dengan orang duniawi (Rm 12:2).
– Jangan mementingkan kekayaan.
– Jangan menginginkan keelokan rupa.
– Jangan terpengaruh dengan kepercayaan “Fungsui”.

a. Semasa mengatur pertunangan, haruslah melalui badan telangkai dan menurut aturcara yang ditetapkan oleh pusat.
b. Serahkan kepada Tuhan dan bukan menurut pandangan sendiri.

2. Pernikahan adalah untuk orang dewasa yang sudah matang dari segi fikiran dan pemikiran
– Memahami ajaran tentang kebenaran.
– Mampu membezakan perkara yang baik dan jahat (Ibr 5:13-14).
– Matang dan boleh berdikari iaitu tidak bersandar kepada orang tua dan saudaranya.
– Mempunyai sumber ekonomi yang halal.

Sekiranya sudah ada sumber pendapatan, bolehlah menetapkan masa yang sesuai untuk bernikah dengan seiman. Pernikahan yang membawa kepada kebahagiaan bukan hanya mencari orang yang sesuai melainkan diri sendiri haruslah tahu masyarakat dan keluarga. Berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan semua orang.

1.4.4 Menghormati Pernikahan
Setelah layak untuk bernikah, maka amatlah penting untuk menghormati pernikahan. Menghormati pernikahan ini merangkumi 3 peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas pernikahan.

1. Sebelum bernikah, tidak boleh menajiskan tempat tidur (Ibr 13:4).

2. Perjanjian pernikahan adalah untuk selama-lamanya (Rm 7:2; Mal 2:16).

3. Setelah melangsungkan pernikahan, menghormati Kristus sebagai kepala keluarga. Ini bermakna harus mengakui suami sebagai kepala dan isteri adalah tubuh. Maka haruslah saling mengasihi.

4. Satu suami, satu isteri, menjauhi percabulan dan pencobaan – pencobaan (1 Kor 6:15-20).

Pada zaman sekarang, nampaknya manusia semakin kehilangan rasa takut akan Tuhan. Sebaik sahaja bertunang, tidak segan lagi untuk tinggal bersekedudukan seperti suami isteri. Mereka gagal membezakan antara hubungan bertunang dengan hubungan sebagai suami isteri.

Kenapakah perlu bertunang sebelum bernikah?
Tujuan pertunangan:
Supaya kedua belah pihak mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan persiapan yang cukup dari segi mental dan material sebelum pernikahan.

Hubungan semasa bertunang:
Kedua belah pihak haruslah menjaga kekudusan (2 Kor 11:2).

1.4.5 Bagaimana cara menjaga kekudusan?
1. Membatasi percintaan
– Terlalu banyak bukti yang dapat dikemukakan tentang kegagalan dalam menjaga kekudusan oleh kerana semasa dalam percintaan tidak ada batasan (Mat 5:28).

2. Sebelum bernikah tidak dibenarkan bersedudukan
– Lot dan dua orang anak perempuannya tinggal bersama sehingga melakukan perbuatan sumbang (Kej 19:30-38).

3. Harus takut akan Tuhan
– Orang yang takut akan Tuhan membenci kejahatan (Ams 8:13).

Antara Agama dan Perayaan (Menelusuri Budaya Orang Cina)

Gamaliel Wai

KONSEP KEBUDAYAAN DAN KEPERCAYAAN
Skop definisi ‘kebudayaan’ agak luas. ‘Kebudayaan’ melibatkan huruf dan perkataan, penerbitan, adat istiadat, corak amalan, disiplin kehidupan dan pegangan keagamaan serta kepercayaan. Secara dasarnya, ‘kebudayaan’ itu terpelihara melalui warisan dalam hierarki masyarakat dan dipraktikkan dalam kehidupan harian. ‘Kebudayaan’ ini bertentangan dengan konsep ‘alam semulajadi’. Segala bentuk kebudayaan yang terhasil itu merupakan kesan adapatasi dalam rutin hidup yang terakumulasi dan diselaraskan dengan tradisi hidup masyarakat manusia.

Berdasarkan Kitab Kejadian, Kita dapat memahami bahawa ‘penciptaan’ itu merupakan perbuatan Tuhan dan ‘kebudayaan; itu adalah hasil perbuatan manusia. Istilah ‘kota’ buat pertama kalinya muncul dalam Kitab Kejadian apabila Kain mendirikan sebuah kota dan menamainya Henokh (Kej 4:17). Ini menunjukkan bahawa Kain merupakan orang pertama yang mendirikan kota dan dengan demikian dia merupakan pengasas kebudayaan yang pertama. Pada masa yang masa, Kain juga merupakan orang pertama yang membunuh akibat rasa takut yang menghantuinya sehingga membentuk kebudayaan yang negatif ini (Kej 4:8).

Perkataan ‘kebudayaan’ dalam Kamus Dewan bermaksud ‘keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara bertindak, tingkah laku, cara berfikir serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban dan kemajuan’. Oleh hal yang demikian, kita dapat memahami bahawa kebiasaan cara hidup yang dipraktikkan secara berpanjangan dan berterusan memberi kesan secara langsung iaitu proses perubahan berkalu sehingga sebati dalam kehidupan manusia. Hal ini menjelaskan bahawa kebudayaan adalah ideologi manusia. Semata-mata dan kembali mempengaruhi cara hidup manusia.

Masyarakat Taiwan hari ini dapat dilihat melalui sistem kepercayaan mereka. Dalam lingkungan tempat tinggal masyarakat yang mempercayai roh-roh atau dewa-dewi, kita dapat melihat bangunan kuil atau tokong yang tinggi nilai seni binanya, yang menonjolkan keunikan binaan tersebut. Senario yang sama turut berlaku di Benua Eropah iaitu pembinaan bangunan gereja yang mencerminkan ‘kepercayaan’ dan ‘kebudayaan’ masyarakat tempatan. Kalaulah ini dikatakan warisan budaya, maka banyak adat istiadat, hari-hari perayaan dan upacara-upacara pemujaan yang diadakan di tempat ibadat turut diwariskan dari generasi terdahulu hingga ke generasi hari ini.

‘Kepercayaan’ merupakan suatu sandaran dan sasaran kebergantungan yang diertikan sebagai satu keadaan batiniah. Oleh hal yang demikian, abanyak pihak yang menyifatkan kepercayaan itu sebagai satu fahaman idealistik, fahaman tokoh yang dipuja dan suatu semangat yang dikejar-kejar. Kepercayaan (belief) turut ditujukan kepada manusia, perkara, kebendaan, keagamaan, fahaman politik yang membentuk akta dan peraturan yang menjadi pegangan semua penganut. Ada olahan dan acuan yang belum tampak, namun kita terpaksa menerimanya secara beriman dan penuh kepercayaan.

‘Kepercayaan’ turut menggambarkan konsep kehidupan seseorang, konsep nilai murni dan konsep duniawi yang dipegang oleh seseorang dalam masyarakatnya. ‘Kepercayaan’ wujud oleh tindakan konkrit manusia yang menjadi bukti sokongan hidup manusia kerana konsep nilai, corak kehidupan dan erti kehidupan bagi mereka yang berlandasan kepada konsep kepercayaan.

Agama dan keagamaan merupakan elemen penting dalam kepercayaan. Kepercayaan melibatkan hubungan timbal balik antara dua pihak iaitu kelompok manusia itu sendiri dengan allah mereka. Ini menunjukkan kelompok manusia yang menganuti sesuatu kepercayaan yang membariskan banyak pegangan dogma sehingga melahirkan fahaman kukuh yang berlandaskan persefahaman sarwajagat melalui pemujaan yang dilakukan bersama sehingga menaklukkan diri sepenuhnya. Fahaman dan penaklukan diri menjana kesungguhan yang dapat dilihat melalui tindakan beragama, upacara pemujaan dan aktiviti keagamaan. Fahaman sedemikian diaplikasikan sebagai cara untuk mengekang dan mengawal tingkah laku penganut dalam dunia sekular. Ini bukan setakat fenomena budaya malah juga merupakan suatu ideologi sosial.

Ketika Paulus berjalan-jalan di Kota Altena, beliau menjumpai sebuah mezbah dengan tulisan, ‘kepada allah yang tidak dikenal’. Paulus berasa hairan kerana allah tidak dikenali dapat dijadikan pegangan keagamaan (Kis 17:23). Mengapakah tuhan yang tidak dikenali boleh disembah? Implikasi konkrit ini bertitik tolak daripada kebudayaan, adat resam serta segala peninggalan konsep dan warisan nenek moyang yang telah sebati malah diadun dengan begitu rapi dalam masyarakat.

Oleh sebab itu, ‘kepercayaan’ bersifat subjektif dan tidak dapat ditafsir melalui pemikiran logikal dan saintifik semata-mata. ‘Kepercayaan’ merangkumi prinsip, politik, falsafah dan dogma. Adakalanya ‘kepercayaan’ terbentuk melalui pengaruh emosi dan perasaan. Apabila sudah terpesong, perkara yang betul dan salah tidak dapat dibezakan lagi.

APAKAH KEPERCAYAAN GEREJA YESUS BENAR?
Injil adalah kekuatan Tuhan yang menyelamatkan setiap orang yang percaya (Rm 1:16). Ini merupakan pengenalan kepada atas kepercayaan kita dan dasar kepada kepercayaan bersama. Dogma merupakan teras kepercayaan. Asas kepercayaan Gereja Yesus Benar merupakan dogma penting dalam Alkitab. Mereka yang mengejar kebenaran Tuhan, wajar faham dan jelas tentang kepercayaan dan pegangan mereka.

Adalah perlu difahami bahawa ‘kebudayaan’ dan ‘kepercayaan’ adalah dua perkara yang berbeza. Dua perkara ini saling bertentangan dan berkonflik sehingga saling menolak. Dalam masyarakat Cina (dan juga masyarakat Bumiputera yang lain) yang masih dipengaruhi oleh pemikiran kolot, walaupun ada yang telah percaya kepada Tuhan Yesus, akan berlaku juga keadaan yang renggang kerana persefahaman tidak dapat dicapai. Inilah yang dikatakan Tuhan Yesus, ‘musuh orang ialah orang-orang seisi rumahnya’ (Mat 10:36).

APAKAH ITU AMALAN RITUAL?
Amalan ritual lebih dikenali sebagai ‘kepercayaan masyarakat setempat’. Istilah yang lebih ala akademik pula ialah ‘folklore religion’ atau ‘diffused religion’ yang diberikan oleh para penyelidik ilmu sains sosial. Lazimnya, masyarakat tempatan yang telah sebati dengan kebudayaan yang diwariskan akan membentuk kepercayaan terhadap tuhan, hantu, nenek moyang, para wali keramat, ilmu tentang pemujaan langit dan sebagainya. Oleh itu, hubungan renggang akan wujud apabila pertembungan budaya berlaku antara agama Kristian dan agama – agama lain?

Lazimnya, amalan ritual didasari dengan didasari dengan dukungan fahaman Taoisme yang turut mengandungi Konfusianisme, Buddisme dan amalan ilmu hitam primitif yang saling bercantum atau saling mempengaruhi. Kepercayaan yang pelbagai ini saling menyerap namun saling bersaing secara halus kerana keinginan untuk menjadi superior dan memenangi hati masyarakat. Ringkasnya, kebanyakan amalan ritual adalah berdasarkan ajaran dan fahaman. Konfusianisme keran ini merupakan akar tunjang bagi kebudayaan Cina. Adalah ditegaskan bahawa fahaman Konfusianisme tidak mempunyai pengasasnya. Tok Guru Konfusius menyatakan bahawa dirinya hanya pengikut fahaman ini dengan setia dan bertanggungjawab untuk mengembangkan dan mewariskannya sehingga kepada keturunan yang seterusnya.

Dapat dijelaskan bahawa amalan ritual adalah gabungan fahaman Konfusianisme, Budhhisme dan Taoisme yang mendukung fenomena alam semulajadi sebagai intisari yang penting. Mereka boleh memuja matahari, bulan, bintang-bintang, gunung, laut serta arwah malahan memuja apa saja unsur yang dirasai boleh disembah. Secara kasarnya, kita dapat mengamati kehidupan kepercayaan mereka dari aspek seni bina dan adam resam yang beroperasi sepanjang tahun serta yang berkisarkan kehidupan rutin mereka. Ini merupakan perubahan langsung yang telah meresap ke dalam kehidupan mereka tanpa disedari.

Senario ini sama seperti Orang Yahudi yang sangat mementingkan hal membasuh tangan sebelum makan kerana mereka berpegang pada adat istiadat nenek moyang mereka (Mak 7: 2-7). Bagi mereka, firman Tuhan boleh diketepikan bagi memberikan satu tempat yang mereka rasakan lebih mulia untuk adat istiadat. Perkara ini telah menjadi salah satu faktor orang Yahudi menolak Tuhan Yesus (Mak 7: 12-13). Pada hari ini, keadaan yang sama turut berlaku dalam masyarakat sejagat.

APAKAH ITU KEPERCAYAAN KARUT?

Petikan daripada Kamus Chi Hai menjelaskan bahawa ‘kepercayaan karut’ merujuk kepada kebenaran yang tidak diselidiki dan bersifat sekularisme yang diterima seadanya tanpa dikaji.

Menurut Kamus Merriam-Webster pula, ‘kepercayaankarut’ ialah ‘Superstition’ yang didasari rasa takut, kepercayaan terhadap perkara-perkara yang ajaib dan reaksi batin yang tidak masuk akal kerana rasa takut pada sesuatu.

Rev. Dr. Lukas Tjandra pernah berkata bahawa ‘kepercayaan karut’ ialah tindakan percaya sembarangan, percaya tidak masuk akal atau percaya secara membuta tuli. Kepercayaan sedemikian ialah kepercayaan yang langsung tidak membezakan antara yang benar atau palsu, betul atau salah, baik atau jahat, logik atau tidak logik dan terus percaya kerana orang lain mempercayainya. Ringkasnya, kepercayaan karut ialah tindakan percaya pada sesuatu yang tidak benar dan yang tidak dikenali.

Paulus berasa hairan kerana orang ramai di Atena sanggup untuk memuja allah yang tidak dikenali (Kis 17: 23). Menyembah kepada allah yang tidak dikenali bermaksud kepercayaan karut. Dengan kata yang lain, menyembah Tuhan yang dikenali barulah disebut kepercayaan yang sebenarnya. Oleh itu, Paulus pernah berkata: “Aku tahu kepada siapa aku percaya” ( 2 Tim 1: 12). Yesus berkata: “…Kami menyembah apa yang kami kenal…” (Yoh 4: 22). Paulus terus memperkenal kepercayaan yang sebenar. Katanya, “kita tidak menerima roh dunia, tetapi roh yang berasal dari Allah, supaya kita tahu, apa yang dikaruniakan Allah kepada kita” (1 Kor 2: 12). Umat Kristian harus mengenal siapa yang dipercayainya. Mengenal siapa yang kita percaya barulah menjadi kepercayaan yang sebenarnya iaitu kepercayaan yang dibina secara rasional dan melalui pemikiran yang sihat. Kepercayaan sedemikian bukanlah kepercayaan yang karut, sebaliknya merupakan kepercayaan yang mengetahui dan mengenal Kebenaran Tuhan.

Kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat tempatan lebih cenderung mengagung-agungkan seseorang iaitu tokoh sehingga menjadikannya setaraf dengan tuhan. Ini jelas dilihat dalam kepercayaan masyarakat Cina di Negara China iaitu amalan memuja langit dan memuja nenek moyang (respecting god and abiding to ancients). Ini merupakan asas kepercayaan mereka. Kepercayaan ini sudah diwarisi berabad-abad lamanya. Di samping itu, fahaman Konfusianisme yang menjadi falsafah
yang didukung dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan turut mengutamakan amalan memuja langit dan memuja nenek moyang ini. Oleh sebab itu, memuja langit dan memuja nenek moyang telah sebati dalam kepercayaan masyarakat Cina.

Kepercayaan sedemikian cukup merungsingkan masyarakat Cina kerana mereka selalu digolongkan sebagai golongan yang kolot dan karut akibat tidak mengetahui sasaran yang disembah. Dalam hati mereka, konsep tentang ‘sembah saja apa yang mujarab, tidak kira benar atau tidak’ menyebabkan mereka dikenali sebagai kelompok yang sangat malang. Tidak kira langit, tanah, kilat ataupun suami sendiri boleh disembah. Masyarakat Cina memuja moyang kerana menganggap mereka ialah tuhan dan hantu. Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Sekiranya pemercaya kita pun berpandangan sedemikian, maka kita turut tergolong sebagai golongan yang malang. Alkitab memberitahu kita, ‘Jikalau kita hanya dalam hidup ini saja menaruh pengharapan pada Kristus, maka kita adalah orang-orang yang paling malang dari segala manusia’ (1Kor 15: 19).”

Keinginan untuk mendapatkan pengaruh daripada fahaman Konfusianisme merupakan sasaran pemujaan. Oleh itu, ‘langit’ merupakan lambang tuhan yang tidak boleh diketepikan. Mereka tidak membuat perbandingan terhadap dewa, buddha, bidadari dan sebagainya malah kesemua unsur dan elemen ini boleh dipuja bersama. Setelah ajaran Buddhisme dibawa masuk ke Tanah Besar China, segala kepercayaan masyarakat tempatan turut menerima pemujaan dewa-dewi yang lain.

Nampaknya, jelaslah bahawa masyarakat Cina mempercayai ‘Langit’ sebagai yang maha tinggi dan maha agung. Menurut pandangan mereka, tidak kira di mana kita berjalan, kita tetap berada di bawah kolong langit. Semua perkara yang dilakukan oleh manusia diketahui oleh langit. Jika manusia melakukan hal yang baik, ‘Langit’ pasti tahu dan sebaliknya jika manusia berbuat jahat, ‘Langit’ pasti menghukum. Namun demikian, kita amat berterima kasih dan bersyukur kepada Tuhan kerana Tuhan telah menuntun mereka sejak lima ribu tahun yang lalu. Sebenarnya moyang kita tidak jauh dari Kerajaan Tuhan (Mak 12: 34; Kis 17: 27). Namun begitu, mereka pula pergi memuja langit dan menyembah berhala serta menjadi penganut yang berfikiran karut. Di dalam hal ini mereka sendiri menjadikan hidup mereka sangat malang.

MENGAPA MEMUJA LANGIT?
Amalan ritual seperti ini sangat kompleks. Masyarakat Cina khususnya mengutamakan pemujaan nenek moyang sebagai titik utama dalam kepercayaan mereka. Ini merupakan asas penting bagi Tanah Besar China yang bersebati dalam masyarakat dan keluarga Cina. Konsep sedemikian telah mempengaruhi masyarakat cina dalam kelompok bangsa yang lebih besar. Bagi mereka, memuja ‘Langit’ tidak setanding memuja nenek moyang. Oleh hal yang demikian, agama Kristian menjadi penghalang bagi masyarakat Cina, khasnya dari golongan atasan dan golongan bawahan yang sangat peka terhadap isu pemujaan moyang.

Masyarakat Cina yakin dan percaya bahawa manusia yang melakukan perbuatan baik (banyak melakukan kebajikan) akan mengumpul berkat supaya mendapat pahala yang besar selepas meninggal dunia. Bagi mereka yang banyak memberi sumbangan atau kebajikan kepada masyarakat, mereka akan menjadi tuhan dan boleh dipuja. Ungkapan tentang「積善之家,必有餘慶」 (maksudnya ‘keluarga yang berbuat baik pasti ada lebihan’) menunjukkan bahawa mendiang yang pernah berbuat baik, pasti akan membawa berkat dan pahala yang besar untuk ahli keluarganya serta keturunannya.

Sebenarnya kepercayaan sedemikian agak mudah difahami dan tiada unsur karut. Konsep begini hanya mengajar orang agar mengenang budi dan membalas jasa orang lain. Konsep ini turut memberi pengajaran kepada penganutnya supaya ‘mencari akar umbi’ kerana ‘akar’ kepada ‘hidup kekal’ merupakan semangat yang dikejar dan wajib diajar kepada anak cucu agar mereka tahu mengenang budi serta membalas jasa. Berdasarkan fahaman ini, mereka menganggap masyarakat akan menjadi stabil dan terkawal dengan adanya pegangan kepercayaan seperti ini.

Seperkara yang perlu kita tahu, pemujaan tuhan dan hantu oleh masyarakat Cina adalah bertujuan untuk berdoa memohon berkat dicurahkan agar Yin dan Yang dapat disebatikan sehingga air hujan serta musim dapat berjalan dengan lancarnya. Pemujaan tersebut turut berharap agar hasil yang bakal dituai berlimpah-limpah, beranak cucu banyak serta haiwan peliharaan turut sihat sejahtera. Oleh itu, konsep Yin dan Yang menjadi asas kepada kepercayaan dan sumber kehidupan masyarakat Cina. Agak menghairankan, kenapakah manusia sengaja tidak mengenal bahawa Tuhanlah yang menurunkan air hujan tepat pada masanya untuk gandum, anggur dan minyak yang dihasilkan (Ul 11:14)?

Di samping itu, pemujaan nenek moyang telah menyalurkan fahaman menghormati warga tua secara berterusan. Mereka mengajar tentang konsep etika, menghormati warga tua dan mengajar upacara perkabungan sehingga menyebabkan setiap keluarga turut memuja arwah nenek moyang dengan protokol yang amat ringkas untuk memupuk nilai murni. Jika difikirkan lebih dalam, bukankah konsep menghormati warga tua lebih bermakna ketika orang tua masih hidup (1Tim 5: 4) ?

Kita dapat melihat dalam keluarga masyarakat Cina, apabila mereka meraikan sesuatu secara besar-besaran seperti pernikahan, memasuki rumah baharu, meraikan anak yang memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik dan menyambut sesuatu perayaan, mereka pasti akan memuja nenek moyang serta dewa-dewi dapur. Ketika melangsungkan perkahwinan, mempelai lelaki bukan setakat memuja nenek moyang keluarga sendiri, malah turut pergi ke rumah ibu, rumah nenek sebelah ibu dan keluarga isterinya untuk memuja nenek moyang mereka.

Tidak hairanlah bahawa asas kebudayaan Cina adalah akhlak murni seseorang yang secara lumrahnya berasal daripada keluarga. Orang Cina menganggap akhlak yang dimiliki itu dapat menggantikan kepercayaan. Oleh hal yang demikian, mereka menganggap pemujaan langit merupakan sistem yang amat penting dan paling sesuai dalam kepercayaan mereka.

Langit wajar dijunjung kerana ia melampaui segala kedudukan manusia, mempunyai maha kuasa yang sedang menguasai, boleh memberi dan menghukum. Oleh itu, manusia meletakkan atau menyimpan rasa takut akan langit dan upacara pemujaan langit adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan. Rasional pemujaan seperti ini ialah ingin menghubungkan langit dengan bumi. Oleh itu, mereka sangat takut akan langit dan perlu menampilkan sikap soleh terhadap langit. Sungguhpun orang Cina begitu mengenali langit, malangnya mereka tidak tahu bahawa langit itu adalah takhta dan tempat Tuhan bersemayam (Mat 23:22).

Pemujaan langit dan nenek moyang lebih dikenali sebagai kepercayaan kepada langit kerana ia menjadikan langit sebagai tuhan. Pada masa yang sama, apabila pemujaan moyang diadakan, segala berkat akan dipohon daripada nenek moyang. Pada masa yang sama, mereka berharap segala kebaikan daripada nenek moyang dapat dipelajari oleh cucu-cucu mereka. Jelaslah, pemujaan langit dan moyang ini telah lama terbentuk sehingga menjadi adat resam yang diwariskan berkurun lamanya di Tanah Besar China. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pemujaan langit dan pemujaan nenek moyang memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat cina.

MENGAPAKAH BERFIKIRAN KOLOT?
Ramai cendekiawan berpendapat bahawa kesedaran beragama (Religious consciousness) masyarakat Cina amat tawar dan hambar. Ironinya, di satu sisi yang lain kehidupan harian mereka dikekang oleh amalan ritual. Tambahan pula, amalan ritual dan kepercayaan masyarakat setempat telah berakar umbi sampai ke peringkat paling bawah dalam masyarakat Cina. Oleh itu, dapatlah kita lihat betapa banyaknya dan pelbagai aneka kepercayaan tentang kuasa ghaib wujud dalam kepercayaan mereka. Pemujaan terhadap moyang dan hantu sehingga ke pelbagai aspek dalam kehidupan mereka turut menggambarkan kepercayaan yang beraneka sehingga terbentuknya sub-budaya yang tersendiri.

Kepercayaan mereka ini bukan sahaja mewariskan keistimewaan kepercayaan yang asli dan kepercayaan Politeisme, malah turut mengandungi unsur-unsur kepercayaan yang lain seperti mengharapkan perlindungan daripada moyang, ‘hidup kembali dan mati dua kali’, fahaman Karma, ilmu hitam dan ilmu memanggil arwah roh.

Sejak awal abad ke-20, kepercayaan masyarakat Cina dianggap sebagai “Kepercayaan Kolot yang Berfeudalisme”. Selepas tahun 1950-an, keadaan ini bertambah rumit apabila revolusi kebudayaan yang besar berlaku menyebabkan semua kepercayaan yang lain wajib dihapuskan. Selepas 1980-an, seiring dengan pengenalan dasar terbuka, kepercayaan dan amalan ritual masyarakat setempat mula dihidupkan semula. Senarionya lebih jelas kelihatan di kawasan pinggir bandar. Perkembangannya sangat pesat sehingga mengatasi pencapaian agama Buddha dan agama Kristian sebelumnya.

Perkembangan pesat kepercayaan masyarakat setempat dapat dilihat dengan pembinaan semula lebih banyak tokong dan kuil. Di Sabah, keadaan yang sama turut berlaku. Kita dapat melihat banyak
tokong dan kuil dibina sebab penghijrahan masyarakat cina ke tempat ini yang disebut Nan Yang. Masyarakat Cina kerap mencari tanah lapang untuk dijadikan persemadian mewah untuk nenek moyang mereka yang telah meninggal. ‘Villa Nirvana’ ialah contoh tanah kuburan mewah yang
banyak didapati di negara kita. Bukankah keadaan ini membuktikan pemulihan atau kelahiran kembali kepercayaan masyarakat setempat serta amalan ritual yang pernah lenyap suatu ketika dulu?

Bilangan ahli sihir atau dukun juga semakin bertambah seiring dengan perkembangan kepercayaan ini. Secara langsung, bilangan pengikut mereka turut meningkat. Pengikut datang mendapatkan mereka
yang mempunyai kuasa ilmu hitam untuk menilik nasib dan meminta nombor. Keadaan ini dapat dilihat di merata-rata tempat. Buku-buku tentang ‘feng shui’ semakin banyak diterbitkan dan pasarannya semakin luas (Ruj Kis 19:19). Di samping itu, banyak penganut kepercayaan kolot ini merisik kesejahteraan dengan membeli nombor ‘8’ yang membawa bunyi “Fatt”, yang bermaksud ‘menjadi kaya-raya’. Ada juga yang meminta khidmat penilik agar dapat memilih hari yang sesuai untuk melakukan sesuatu upacara agar dapat mengelakkan sial. Semua ini memakan kos yang tinggi namun sanggup dibayar semata-mata untuk mendapat sesuatu yang mereka percayai sebagai berkat.

Dengan itu, jelaslah bahawa kepercayaan masyarakat setempatdan amalan ritual telah ‘hidup kembali’ dan membangun dengan pesat. Konsep hukum ‘punca dan akibat’ menjelaskan kepada kita bagaimana kepercayaan ini bertumbuh kerana ia telah lama sebati dan diadun dengan baik dalam masyarakat Cina sejak dahulu lagi.

Menukar Nasib kerana Nasib tidak baik?
Apakah rasional bagi isu ‘mengubah nama mengubah nasib’? Ini kerana kebanyakan orang berasa nasib mereka kurang baik. Bertitik tolak dari perasaan sedemikian, maka mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk ‘mengubah nasib’. ‘Ubah nasib’ ialah perubahan nasib mengikut sistem putarannya. Seandainya menguasai prinsip ini, nasib akan diubah mengikut kemahuan. Oleh itu, mereka yang berfikiran kolot menganggap bahawa nasib terletak di tangan sendiri. Jika berfikiran positif, mereka akan menjalani hidup dan tetap bahagia. Benarkah demikian?

Sikap masyarakat terhadap tradisi konfusianisme dan sikap masyarakat setempat terhadap nasib adalah berbeza. Perbezaan dua unsur ini boleh menunjukkan konsep nasib yang berlainan. Mereka boleh menggunakan sistem yang berkenaan untuk meramal pelbagai keadaan yang bakal berlaku dalam kehidupan mereka. Menurut kajian, hampir 90% daripada rakyatnya percaya pada ‘nasib’ dan 75% daripada jumlahnya pernah pergi menilik nasib. Bagi penduduk China yang Atheisme, dalam satu tahun ini lebih 3.6 billion orang pernah menilik nasib. Ini satu angka yang cukup menakjubkan.

Ini jelas menunjukkan bahawa apabila manusia mengalami jalan buntu, timbul keinginan untuk mengubah nasib yang dianggap malang bagi meneruskan hidup mereka. Keadaan ini mendorong kemunculan banyak tukang tilik yang mengatakan diri mereka hebat untuk menilik nasib orang dan mampu membantu mereka yang dianggap malang untuk mengubah nasib malang itu. Persoalan tentang sejauhmana tilikan itu betul tidak diendahkan kerana mereka sanggup mengambil risiko (diperbodoh dan diperangkap) semata-mata untuk ‘mengubah nasib’.

Sesungguhnya, nasib kita terletak di tangan Tuhan. Alkitab memberitahu kita, “Dari satu orang saja Ia telah menjadikan semua bangsa dan umat manusia untuk mendiami seluruh muka bumi dan Ia telah menentukan musim-musim bagi mereka dan batasbatas kediaman mereka” (Kis 17:26). Hidup kita, perbuatan kita, hidup mati manusia semuanya tertakluk pada Tuhan yang Maha Esa. Malangnya, masih banyak orang gagal memahami kebenaran ini sebaliknya mempercayai kata-kata si jahat yang menyesatkan.

Semoga artikel ini dapat membantu pembaca untuk lebih memahami firman Tuhan dan melepaskan diri daripada belenggu dosa (Gal 5:1). Kita ialah anak Tuhan dan hidup kita terletak di tangan-Nya. Tuhan Yesus pernah berkata, “rambut kepalamu pun terhitung semuanya” (Mat 10:30). Kita dianggap sangat bernilai di mata Tuhan. Akitab berkata, “Engkau memeriksa aku, kalau aku berjalan dan berbaring, segala jalanku Kaumaklumi” (Mzm 139: 3). Oleh itu, apakah yang kita takut?

Penilik nasib menganggap bahawa ‘nasib manusia sudah ditakdirkan’ melalui tahun kelahiran, bulan kelahiran, hari lahir dan masa dilahirkan. Kita merupakan anak-anak Tuhan yang telah dilahir kembali melalui Roh Kudus (Tit 3:5), dan menerima Roh Kudus serta anugerah-Nya. Tambahan pula, Roh Kudus menjadi pengantara bagi kita semua, maka kita tidak dikuasai oleh ‘birthday character’. Setelah kelahiran kembali, kita semua merupakan ciptaan baru kerana Tuhan menempatkan kita di dalam Kristus. Alkitab memberitahu kita, “Jadi siapa yang ada di dalam Kristus, ia adalah ciptaan baru: yang lama sudah berlalu, sesungguhnya yang baru sudah datang” (2 Kor 5: 17).

Dari sudut lain, tidak kira betapa baik nama yang ada, apakah gunanya jika hubungan kita dengan Tuhan telah terputus kerana pelanggaran? Kita bersandarkan nama ‘Yesus’ untuk menjalinkan hubungan intim dengan Tuhan. Melalui nama ‘Yesus’, kita menjadi anak Tuhan, memperoleh kelahiran kembali dan menjadi manusia ciptaan baru. Melalui nama ‘Yesus’, Roh Kudus menyertai kita dan memimpin kita sehingga menjadi pedoman hidup kita. Nama ‘Yesus’ menyinari mereka yang diamdalam kegelapan dan dalam naungan maut untuk mengarahkan kaki mereka kepada jalan damai sejahtera” (Ruj; Luk 1:79). Bersandarkan nama ‘Yesus’, kita memperoleh kekuatan dari atas dan memperoleh berkat yang abadi. Oleh itu, di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan (Kis 4:12).

Dari sudut lain, tidak kira betapa baik nama yang ada, apakah gunanya jika hubungan kita dengan Tuhan telah terputus kerana pelanggaran? Kita bersandarkan nama ‘Yesus’ untuk menjalinkan hubungan intim dengan Tuhan. Melalui nama ‘Yesus’, kita menjadi anak Tuhan, memperoleh kelahiran kembali dan menjadi manusia ciptaan baru. Melalui nama ‘Yesus’, Roh Kudus menyertai kita dan memimpin kita sehingga menjadi pedoman hidup kita. Nama ‘Yesus’ menyinari mereka yang diam dalam kegelapan dan dalam naungan maut untuk mengarahkan kaki mereka kepada jalan damai sejahtera” (Ruj; Luk 1:79). Bersandarkan nama ‘Yesus’, kita memperoleh kekuatan dari atas dan memperoleh berkat yang abadi. Oleh itu, di bawah kolong langit ini tidak ada nama lain yang diberikan kepada manusia yang olehnya kita dapat diselamatkan (Kis 4:12).

Mereka yang menerima Tuhan Yesus sebagai Juruselamat bermaksud mereka telah menyerahkan nyawa dan ‘nasib’ mereka sepenuhnya kepada Yesus. Oleh itu, tiada lagi keperluan bagi kita untuk mengambil kisah sama ada nama kita itu baik atau tidak, nasib baik atau tidak. Bukankah kita wajib berdiri di atas pendirian sedemikian?

Hidup kita ditentukan Tuhan dan bukan oleh nama kita. Oleh itu, apakah kelebihan dari ilmu pengkajian nama untuk kita? Tiada! Seseorang yang berjalan bersama Tuhan tidak kisah baik atau buruknya nasib dalam seumur hidupnya. Kita faham pemikiran kita tidak boleh mempengaruhi kehendak Tuhan terhadap damai sejahtera, kesukacitaan, keimanan dan pengharapan di dalam Tuhan. Pujangga Mazmur memberitahu kita bahawa ada kebajikan dan kemurahan dari Tuhan menyertai kita seumur hidup (Mzm 27:6). Inilah refleksi Daud tentang kepercayaannya terhadap Tuhan yang Maha Esa sebagai Tuhan yang mengasihi, memimpin, membantu dan mendorongnya seumur hidupnya.

Oleh itu, nama seseorang tidak menjejaskan atau mempengaruhi seseorang yang sudah menerima Tuhan Yesus dan memperoleh kelahiran kembali. Malah, nama seseorang tidak akan menjejaskan berkat daripada Tuhan. Ini kerana orang yang telah percaya kepada Tuhan telah keluar dari ‘trayo dhatavah’ yang bermaksud tidak lagi terlibat dengan dunia keinginan nafsu, dunia seks dan dunia material. Tuhan berkuasa dalam seumur hidup seorang umat Kristian dan tidak terbatas oleh baik buruk sesuatu nama.

Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu memberi nama merupakan satu ilmu disiplin daripada kebudayaan masyarakat Cina. Ketika menentukan atau memilih nama bagi seseorang, Alkitab turut membariskan banyak contoh dan bukti. Secara keseluruhannya, sekiranya ada orang yang sanggup menyerahkan seumur hidupnya dan kebahagiaan serta kegembiraannya kepada teori memberi nama ini, pasti dikuasai si syaitan dan menjadi satu kepercayaan kolot.

Perbuatan menilik nasib dan mengubah nama merupakan perkara yang biasa dalam kalangan masyarakat Cina. Apabila mereka mengalami masalah dan jalan buntu, mereka akan mencari penilik nasib. Pada satu tahap apabila mereka sukar kembali ke pangkal jalan, mereka nekad untuk mengubah nama. Tindakan ini dianggap sebagai kaedah yang paling cepat untuk mencari harapan baharu kerana tidak perlu memaksa diri agar berdiam dan menenangkan diri pada saat paling sukar. Alkitab ada menegaskan, “Dengan bertobat dan tinggal diam kamu akan diselamatkan, dalam tinggal tenang dan percaya terletak kekuatanmu” (Yes 30:15) .

Masyarakat Cina percaya bahawa nama seseorang membawa harapan ibu bapa supaya anak berkenaan dapat menjadi insan yang baik dan berjasa kepada nusa dan bangsa. Lazimnya, nama Cina seseorang secara khusus diperolehi daripada ilmu menilik nasib kerana wujudnya kepercayaan bahawa nama yang baik akan membawa tuah seumur hidup. Persoalannya, mengapakah manusia memerlukan nama? Benarkah nama itu mempengaruhi nasib seseorang?

Masyarakat Cina sangat menitik berat hal pemilihan nama kerana mereka yakin bahawa nama mempunyai kuasa wibawa dan gerakan roh untuk mempengaruhi keperibadian, kesihatan, hubungan sesama orang serta kejayaan seumur hidup. Usaha mengubah nama mampu mempengaruhi nasib mereka dan beransur baik. Apabila mendapati nama seseorang tidak baik, mereka akan berusaha untuk mengubahnya beberapa kali sehinggalah berjaya memperoleh nama yang difikirkan membawa tuah atau kebaikan. Secara lahiriah mereka telah berubah 3600, namun secara rohani keadaan mereka tetap sama. Tindakan sedemikian menyebabkan mereka tidak menikmati ketenteraman seumur hidup. Bagi umat Tuhan, jika kita hendak memperoleh damai sejahtera dan kesukacitaan, doa adalah cara yang terbaik untuk memohon kepada Tuhan (Flp 4: 7; 1Tes 5: 16-18; 1Yoh 5: 14-15; Why 5: 8-12).

Manusia mahu mempunyai nama yang baik bagi diri sendiri dan generasi yang seterusnya agar berkat dan tuah dapat dipelihara. Sebenarnya, ada sebahagian umat Kristian turut memiliki pemikiran sedemikian. Ada umat Kristian yang turut terikut-ikut untuk mengubah nama mereka agar menjadi suatu nama yang baik. Ini merupakan kepercayaan kolot dan iman yang membuta tuli. Umat Kristian sewajarnya mengenali apa itu ilmu memberi nama dan mencari kelemahannya. Kita turut dinasihati agar mengenali nama dan hubungannya dengan manusia berdasarkan iman serta hikmat. Hal ini telah melampaui apa yang tercatat dalam ilmu memberi nama. Oleh hal yang demikian, barulah kita mengerti bahawa segala ketidaklancaran yang berlaku, bukanlah disebabkan oleh nama yang diberi .

Jika ditinjau dari sudut Alkitab, nama melambangkan seseorang dan juga mencatatkan berkat serta pengharapan orang tua terhadap anak. Oleh itu, tidak mudah bagi mereka untuk mengubah nama sesuka hati atau meminta orang lain untuk mengubahnya, melainkan nama itu diubah oleh Tuhan. Ini perbezaannya. Andai kata umat kristian pun terikut-ikut untuk mengubah nama hanya kerana nama tersebut tidak sedap didengar, apakah bezanya antara kita dengan mereka yang belum percaya? Umat Kristian wajib mengetahui bahawa kita semua dikuasai oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Tuhan menguasai hal hidup dan mati manusia. Alkitab memberitahu bahawa kepentingan nama itu bukan bergantung pada ‘huruf dan perkataan’. Sebaliknya, hal yang lebih mustahak untuk kita perjuangkan ialah untuk memastikan nama kita tercatat dalam kitab kehidupan (Flp 4: 3; Why 21: 27).

ILMU HITAM ATAU SIHIR: SATU KEPERCAYAAN KUNO?
‘Ilmu hitam’ (atau lebih dikenali sebagai magis) merupakan salah satu cara yang digunakan oleh masyarakat awal Cina untuk berdepan dengan alam sekitar. ‘Ilmu hitam’(witchcraft) merupakan sejenis kaedah yang menggunakan kuasa alam yang misteri untuk mempengaruhi dunia ini. Ini merupakan amalan animisme dan satu daya khayalan yang berdasarkan kuasa luar biasa bagi mengawal sesuatu objek dan aktiviti. Ia adalah kepercayaan awal masyarakat setempat. ‘Ilmu hitam’ turut berkait rapat dengan ilmu hisab yang mempengaruhi dan mengawal sesuatu sasaran atau fenomena keagamaan secara objektif.

‘Ilmu hitam’ perlu dikira atau dihitung kerana ini adalah kaedahnya. Perkiraan di sini tergolong dalam kegiatan menilik nasib, memilih masa, Yin Yang dan sebagainya. Oleh itu, ‘Ilmu hitam’ ini ditambah dengan kepercayaan terhadap sihir yang telah wujud sejak awal tamadun lagi.

Dalam masyarakat primitif, pengertian dan daya modifikasi manusia pada kuasa alam tidak kuat kerana berasa takut pada perubahan alam yang beraneka ragam dan tidak menentu. Mereka percaya bahawa terdapat satu kuasa luar biasa yang menopang segala perubahan yang berlaku pada alam semula jadi ini. Memandangkan ada perasaan takut, kenapakah bukan rasa takut akan Tuhan, Pencipta alam semesta ini?

Perubahan alam semula jadi membawa suatu misteri menyebabkan masyarakat primitif percaya bahawa terdapat satu kuasa roh yang mengawal alam semesta ini. Kuasa ini telah menjadikan alam sekitar ini mempunyai ‘sifat magik’ (Magic Virture) dan ‘kuasa magik’ (Magical Power). Manusia terpaksa meneruskan hidupnya dengan pengetahuan khayalan yang sedikit dan rasa misteri terhadap alam. Perkara ini telah menjadi rangkaian sistem yang merangkumi pelbagai ilmu hitam yang tersendiri agar dapat merealisasi semua impian mereka. Ilmu ini digelar sebagai ‘ilmu hitam’.

Banyak pantang larang terkandung dalam ‘ilmu hitam’ yang digunakan sebagai konsep dan tindakan kawalan sosial serta panduan aktiviti pemujaan. Istilah yang biasa digunakan ialah ‘Taboo’. Istilah ini berasal dari Bosnia yang membawa maksud
bahawa orang biasa tidak boleh menyentuh kuasa alam melalui manusia, benda atau tanah. Rasionalnya benda-benda ini menjadi pantang dipegang oleh orang lain kerana benda-benda ini dianggap suci. Selain daripada itu, benda-benda ini menjadi pantang dipegang orang lain kerana dianggap sebagai barang-barang yang membawa sial. Di sini terkandungnya unsur-unsur kolot. Taboo dianggap sebagai sesuatu yang negatif dan akan membawa malapetaka. Oleh itu, masyarakat meminta orang ramai agar tidak mendekati benda-benda seperti ini.

Pantang larang terbentuk daripada pelbagai faktor. Ada yang terbentuk kerana rasa takut pada kuasa alam dan rasa sayang pada orang tua serta kanak-kanak. Selain itu, ada pula yang terbentuk kerana kepercayaan karut terhadap sesuatu yang tidak masuk akal. Contohnya, tidak boleh menuding jari ke arah pelangi kerana difikirkan jari berkenaan akan reput (ada yang mengatakan bahawa jari tersebut akan bengkok).

Ada yang berpendapat bahawa manusia wajar menghormati totem, tanah suci, tempat persemadian nenek moyang (atau lebih kepada papan tanda bersemayam nenek moyang ) dan rasa menghormati bomoh serta ahli majus. Bagi kaum wanita yang sedang mengandung, adalah pantang bagi mereka untuk makan halia dan daging arnab. Dari aspek perkahwinan, ia tidak boleh diadakan jika sifat lahiriah kedua-dua mempelai bertentangan. Upacara pernikahan pantang diadakan pada bulan nombor ganjil dan semasa gerhana bulan kerana dipercayai bahawa suami isteri pasti bergaduh selepas berkahwin.

Pantang larang berkaitan tumbuh-tumbuhan dan binatang juga wujud dalam masyarakat dunia. Bagi kaum Mongolia yang nampak kucing hamil, adalah pantang untuk menyimpan sumpit makanan ke dalam bekas sumpit yang sebenarnya kerana difikirkan perbuatan ini akan menyebabkan kucing berkenaan mengalami keguguran. Bagi mereka yang menjual haiwan ternakan sebagai sumber rezeki, mereka diingatkan supaya mengambil secubit bulu haiwan yang dijual agar tidak mengalami kerugian.

Banyak orang memuja arwah nenek moyang dan menyembah betara atau dewa-dewi untuk mencari perlindungan kerana wujudnya perasaan takut pada kuasa alam. Mereka mengenakan gelang tangan sakti atau cincin keramat dan meminum air jampi. Ada juga yang menyapu air ‘guna-guna’ yang telah dijampi di atas tubuh badan bagi mengelakkan diri daripada didekati roh-roh jahat. Selain itu, ada pula yang menyembunyikan azimat di bawah katil atau di bawah tanah untuk mendapatkan perlindungan. Didapati juga ada yang membawa azimat bersama
agar kerjaya dan peperiksaan serta jodoh mereka lancar. Apa yang ditakuti oleh nenek moyang kita itu sebenarnya merupakan penghulu-penghulu dunia yang gelap dan roh-roh jahat di udara yang mengawal dunia gelap ini (Ef 6: 12).

Sebaliknya, apabila pemercaya gereja benar diserang oleh roh jahat maka mereka akan mengusir roh itu dengan kaedah rohani, yakni dengan bersandarkan doa. Kita berdoa agar Tuhan melindungi dan menjaga kita. Selain itu, kita memohon Tuhan menambah kekuatan untuk mengukuhkan keimanan kita agar dapat menanggung penderitaan (1Ptr 5: 9-10) dan tidak takut akan ancaman (1Ptr 3: 6).

Konsep ketuhanan dan konsep hantu yang dipercayai oleh masyarakat Cina merupakan jelmaan daripada konsep pantang larang dan ‘ilmu hitam’. Menurut Hukum Musa, Tuhan melarang umat-Nya melibatkan diri dengan mereka yang berpaling kepada arwah atau kepada roh-roh peramal serta mereka yang melakukan sihir (Im 19: 31; 20: 6; Ul 18: 10-11).

Raja Saul pernah menghapuskan mereka yang berpaling kepada arwah atau kepada roh-roh peramal dan mereka yang melakukan sihir. Tuhan mengetahui bahawa umat Israel perlu mencari petunjuk. Oleh itu, Tuhan mengurapi para nabi sebagai pengantara antara Dia dengan umat-Nya. Tuhan melakukan hal ini kerana Dia tidak ingin umat-Nya mencontohi tradisi Tanaah Kanaan yang merisik roh-roh dan ‘ilmu hitam’. Tidak hairanlah Alkitab mencatatkan bahawa, “……ia mempersembahkan anaknya sebagai korban dalam api, melakukan ramal dan telaah dan menghubungi para pemanggil arwah dan para pemanggil roh peramal. Ia melakukan banyak yang jahat di mata TUHAN, sehingga ia menimbulkan sakit hati-Nya.” (2 Raj 21: 6; 2 Taw 33: 6). Jelaslah bahawa Tuhan sangat geram apabila umat-Nya terlibat dengan sihir dan ilmu hitam.

Alkitab jelas memberitahu kita bahawa orang yang berpaling kepada arwah atau kepada roh-roh peramal adalah sama dengan mereka yang terlibat dalam soal perzinahan (Im 20: 6). Menyembah allah lain atau sesuatu selain Tuhan Yesus merupakan perbuatan menyembah si jahat. Alkitab turut memberitahu kita bahawa: “Mintalah petunjuk kepada arwah dan roh-roh peramal yang berbisik-bisik dan komat-kamit,” maka jawablah, “bukankah suatu bangsa patut meminta petunjuk kepada allahnya? Atau haruskah mereka meminta petunjuk daripada orang yang telah mati bagi orang yang masih hidup?”(Yes 8: 19). Jika kita menghadapi kesusahan dan kemusykilan, kita sepatutnya terus berdoa untuk memohon petujuk daripada Tuhan. Mengapakah kita menggadaikan nyawa rohani dengan melibatkan diri kita dengan kuasa kegelapan?

MENYEMBAH-NYA DALAM ROH DAN KEBENARAN
Alkitab berkata, “Allah itu Roh dan barangsiapa menyembah Dia, harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran” (Yoh 4: 24)

Banyak umat Kristian menggunakan Alkitab sebagai benda sakti untuk mengusir roh jahat. Ada yang membalutnya dengan kain merah dan meletakkannya di tepi bantal. Selain itu, ada yang memakai rantai leher berbentuk salib ketika keluar dari rumah kerana mereka percaya bahawa tindakan tersebut akan melindungi mereka daripada sebarang kesusahan atau kemalangan. Mengapakah umat Kristian mempunyai pandangan sedemikian?

Senario seperti ini amat ketara dalam kalangan masyarakat peringkat bawah (status rendah) kerana masalah kemiskinan dan desakan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Hal yang mustahak ialah mereka tidak mempunyai cara lain untuk mengubah kemelut yang dihadapi. Namun, bagi umat Kristian yang berada dalam masyarakat sedemikian, agama Kristian yang mereka terima merupakan satu-satunya cara untuk memohon damai sejahtera, kecukupan hidup seharian dan harapan baru bagi mereka. Oleh itu, tidak hairanlah bagi pemercaya sedemikian, mereka menganggap Yesus ialah pengganti bagi dewa-dewi pujaan dan buddha yang mereka sembah sebelum percaya kepada Tuhan Yesus. Oleh sebab itulah, mereka asyik menganggap bahawa Yesus itu pembekal setiap masa dan akan memberi apa yang mereka minta. Mereka berharap agar Yesus dapat menyembuhkan mereka daripada semua penyakit. Inilah yang dikatakan pengaruh akibat ‘Pragmatik Kepercayaan’ dan ‘Utilitarian Kepercayaan’.

Pada hari ini, impak fahaman Pragmatis (Pragmatism) sangat jelas kelihatan. Sebelum memberi diri dibaptis, banyak orang akan bertanya, “apakah kelebihan atau manfaat yang mereka perolehi jika saya memberi diri dibaptis?” Nampaknya mereka mempercayai Yesus kerana ingin mendapat sesuatu manfaat atau kelebihan dari gereja. Memang malang sekali bagi mereka yang mendirikan hubungan dengan Tuhan Yesus semata-mata kerana faktor utiliti. Senario ini sama seperti Yakub pada peringkat awal iaitu ketika dia melarikan diri daripada Esau dan meninggalkan kampung halamannya. Ketika itu Yakub lebih cenderung untuk memenuhi keperluan hidup jasmaninya sebelum percaya sepenuhnya akan kewujudan dan kehendak Tuhan terhadapnya (Kej 28: 20).

Ketika kita menikmati banyak kesenangan dan merasa bahawa gereja memberikan kita banyak kemudahan, kita terdorong untuk giat melayani dalam gereja dan sangat ‘mencintai’ Tuhan. Sebaliknya, ketika kita merasa tidak memperoleh apa-apa kebaikan daripada kepercayaan dan usaha kita di gereja, kita merasakan Tuhan tidak memberikan kelancaran dalam kehidupan kita. Kita seolah-olah menyedari bahawa
doa kita tidak didengar dan dimakbul oleh Tuhan. Jika demikian, apakah kita akan mengikut jejak langkah Yudas Iskariot untuk mengkhianati kepercayaan kita

Kepercayaan yang terlalu mementingkan utiliti atau faedah (ataupun mujarab) akan menyebabkan kepercayaan Kristian hanyalah suatu ciri sosio-budaya masyarakat tempatan. Ini kerana mereka selalu memutuskan sama ada kepercayaan ini mujarab atau tidak. Sudah tentu keadaan ini akan mendorong seseorang umat Kristian memandang remeh terhadap dogma dan sebaliknya mengagung-agungkan pemikiran logik. Ini juga menyebabkan mereka lebih mengutamakan mukjizat dan pengalaman kendiri seperti disembuhkan daripada penyakit dan terlepas daripada serangan roh jahat. Kepercayaan sedemikian lama-kelamaan akan berubah menjadi kepercayaan utiliti sehingga boleh tawar-menawar dengan Tuhan. Apabila kepercayaan yang terhasil daripada ‘perjanjian’ tercapai, maka usaha menyelidiki firman Tuhan dan tekun mengejar kehendak Tuhan tidak lagi dianggap penting. Manusia akan bersikap acuh tak acuh. Hal yang dititik beratkan ialah memastikan kerabat dan kelompoknya mempunyai pengalaman baharu sehingga kedua-dua pihak memperoleh kebaikan. Contohnya, jika ada ahli keluarga yang sakit tenat
dapat disembuhkan, maka barulah seisi keluarga memberi diri dibaptis. Jika demikian maka hubungan tersebut akan diteruskan.

Sesuai dengan senario yang dinyatakan, fahaman Utilitilisme ini juga dikenali sebagai ‘fahaman manfaat’(atau lebih kepada “Benefitism”) iaitu salah satu mod etika manusia. Fahaman ini mendukung prinsip bahawa manfaat secara makro ialah mendapat kesukacitaan dan hilangnya kesengsaraan. Kalaulah kesengsaraan yang dihadapi oleh seseorang dalam satu kelompok masyarakat yang agak besar dapat diatasi, maka kegembiraan dan kesukacitaan dalam keluarga ini diperoleh sehingga menyebabkan mereka semua akan mengubah kepercayaan menjadi satu kepercayaan yang milik keluarga mereka.

Utilitilisme juga merupakan sejenis ‘fahaman tuntutan hasil’ (lebih dikenali sebagai “consequentialism”)*. Fahaman ini menganggap bahawa semua hasil tindakan dan perbuatan tidak ada betul atau salahnya. Ini berbeza dengan ‘fahaman manfaat’ yang memikirkan kebaikan masyarakat setempat dan mengambil peduli hal tentang haiwan. Oleh itu, tidak hairanlah kita mendapati bahawa jemaat awal boleh mencapai target seisi keluarga memberi diri dibaptis kerana warga senior yang telah menerima anugerah Tuhan. Namun, persoalan yang timbul ialah sedalam manakah asas kepercayaan iman generasi kedua dan seterusnya? Kita mampu menjangka jawapan bagi persoalan ini. Tentu kita tahu bahawa orang sedemikian tidak mendirikan asas kepercayaan mereka terhadap Tuhan dengan sepenuhnya.

* Juga dikenali sebagai fahaman kesimpulan, fahaman tuntutan hasil dan bicara tentang hasil yang merupakan teori yang terkandung dalam etika manusia. Rasionalnya ialah untuk membezakan piawaian dan tindakan terhadap kepercayaan sama ada boleh atau tidak menghasilkan tuntutan tindakan kepercayaan seseorang. Kalaulah tindakan sesuatu usaha mencari kepercayaan berhasil, maka tindakan secara makro untuk menerima agama dan kepercayaan berkenaan merupakan satu moral yang difikirkan logik.

Fahaman Utilitarian percaya bahawa kegembiraan ialah satu nilai yang amat signifikan dan peranannya cukup penting apabila ia dapat diperoleh oleh semua ahli dalam masyarakat setempat berkenaan. Oleh itu, piawaiannya ialah kegembiraan yang dicapai secara maksimum dan inilah prinsip fahaman Utilitarian. Tidak hairanlah timbul banyak isu tentang jemaat yang malas menghadiri kebaktian ketika hidup mereka dalam suasana yang yang tenang dan damai sejahtera.

Petrus pernah berkata: “Emas dan perak tidak ada padaku, tetapi apa yang kupunyai, kuberikan kepadamu: Demi nama Yesus Kristus, orang Nazaret itu, berjalanlah!” (Kis 3: 6). Cuba kita bayangkan jika Tuhan Yesus tidak memberikan emas dan perak kepada kita serta tidak menyembuhkan si tempang itu apakah kita masih mempercayai Tuhan Yesus?

Percaya kepada Tuhan Yesus bukan diasaskan atas sesuatu pemberian dan pertukaran. Sebaliknya kepercayaan merupakan hasil kewajipan dan derma bakti (yang lebih dikenali sebagai usaha dan masa serta kewangan yang digunakan untuk kepercayaan seperti pergi berkebaktian). Kewajipan dan derma bakti yang terutama ialah mengejar perdamaian dengan Tuhan kerana anugerah-Nya dan menjalinkan
hubungan yang mesra sehingga rela mengorbankan diri untuk Tuhan. Langkah yang terakhir barulah meminta hal yang diperlukan. Ini selaras dengan firman Tuhan Yesus: “carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu” (Mat 6: 33).

Daripada beberapa penjelasan di atas, kita dapat melihat senario kehidupan suatu masyarakat yang masih mendukung kepercayaan karut dalam keimanan mereka kerana fahaman sedemikian sudah lama berakar umbi dalam hidup mereka. Mereka enggan menerima Tuhan dengan sepenuhnya. Ini kerana mereka tidak menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran. Oleh itu, mereka tidak mampu membezakan kepercayaan lama mereka dengan kepercayaan kepada Kristus!

KESIMPULAN

Secara tuntasnya, kepercayaan masyarakat Cina masih mengandungi unsur-unsur kepercayaan Tamadun Cina yang bercampur aduk dengan corak budaya masyarakat Asia Tenggara yang tersendiri. Selain itu, mereka turut menerapkan konsep nilai masyarakat barat sehingga membentuk kebudayaan yang beraneka ragam. Namun, hal sedemikian bukanlah kehendak atau permintaan Tuhan terhadap kita.

Alkitab berkata: “Tidak ada seorangpun yang dapat datang kepadaKu, jikalau ia tidak ditarik oleh Bapa yang mengutus Aku, dan ia akan Kubangkitkan pada akhir zaman” (Yoh 6: 44). Ayat ini wajib menjadi renungan kita semua. Mengimbas kembali sepanjang masa kita memperjuangkan kepercayaan kita, apabila kehidupan kita dituntut Tuhan, dapatkah kita merasakannya? Apakah kita tidak tahu bahawa Tuhan tidak mengambil kira kemampuan dan kejayaan kita sebaliknya selalu melimpahi kita dengan anugerah-Nya?

Ketika kita mendapati bahawa Tuhan memimpin dan menuntun kita selangkah demi selangkah sehingga kita memperoleh kesejahteraan, apakah kita masih mengungkapkan pelbagai alasan untuk tawar-menawar dengan Tuhan agar menerima perlindungan yang kedua? Apakah alasan yang sesuai bagi kita untuk meninggalkan Tuhan (Ibr 10: 38)?

Firman dan kebenaran yang diberitakan oleh Gereja Yesus Benar adalah tepat menurut Alkitab. Kita sebagai jemaat gereja benar bukanlah orang yang mengundurkan diri dan binasa. Kita adalah orang-orang yang percaya dan yang beroleh hidup (Ibr 10: 39). Oleh hal yang demikian, masakan kita tidak menyembah Tuhan Yesus Kristus kita dalam Roh dan Kebenaran?

Antara Agama dan Perayaan (Pengenalan Kepercayaan dan Perayaan Masyarakat India di Malaysia)

LATAR BELAKANG MASYARAKAT INDIA DI MALAYSIA
Pada zaman penjajahan British, sistem tanaman ladang seperti tebu, kopi dan getah telah diperkenalkan di Tanah Melayu. Pengusaha pertanian ladang ini memerlukan tenaga pekerja yang ramai. Penduduk tempatan (orang Melayu) pula terlibat dalam pertanian sara diri. Mereka juga tidak berminat untuk bekerja dengan penjajah. Oleh itu, pihak British terpaksa mencari tenaga buruh di tanah-tanah jajahan mereka yang lain. Dalam kes ini, tanah jajahan India menjadi pilihan utama. Ini kerana buruh India mudah diperolehi dan kos upahnya lebih murah.

Keadaan ekonomi yang melarat di India menjadi faktor penolak yang utama. Sebaliknya, peluang pekerjaan yang tterdapat di Tanah Melayu menjadi faktor tarikan utama bagi orang India berhijrah ke Tanah Melayu. Ada yang datang ke Tanah Melayu menerusi sistem kontrak tetapi ramai lagi datang menerusi Sistem Kangani. Tahun 1911 hingga 1930-an menyaksikan penghijrahan orang India dalam bilangan yang sangat banyak. Pada tahun-tahun tersebut sekurang-kurangnya 90 ribu orang India berhijrah ke Tanah Melayu setiap tahun (Sandhu, K.s., 1969).

Lebih kurang 85 peratus orang India yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah berketurunan Tamil. Selebihnya adalah kaum Telugu, Malayalam dan orang India Utara (Sandhu, yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah beragama Hindu (Arasaratnam, S., 1980).

Hampir keseluruhan orang India yang berhijrah ke Tanah Melayu bekerja serta menetap di ladang-ladang tebu, kopi dan getah. Golongan migran ini majoritinya berasal dari kawasan desa di India Selatan. Kadar celik huruf (literasi) dalam kalangan penghijrah tadi adalah rendah. Dari segi taraf ekonomi, mereka boleh dikategorikan sebagai golongan bawahan. Agama dan budaya yang mereka warisi turun-temurun dari India dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Pihak majikan iaitu pengusaha ladang mendapat manfaat yang besar dengan adanya bekalan buruh yang murah dan mudah diuruskan seperti buruh India. Mereka harus mengekalkan dan memastikan buruh India tetap bekerja di ladang mereka. Oleh itu, pihak majikan berusaha menjaga kebajikan keluarga buruh India dengan menyediakan rumah kediaman secara percuma dan sekolah rendah aliran Tamil. Kedai-kedai runcit dan kedai-kedai todi turut dibuka. Kuil-kuil turut dibina di setiap ladang. Kemudahan-kemudahan tersebut telah mewujudkan persekitaran tertutup di mana tiada sebab bagi seorang buruh India keluar dari ladang majikannya.

Sekurang-kurangnya sekali setahun diadakan sambutan perayaan agama di kuil secara besar-besaran. Lazimnya, pihak majikan akan menanggung sebahagian daripada kos perbelanjaan perayaan tersebut. Perayaan-perayaan lain masyarakat India tidak begitu popular kecuali Deepavali, Thaipusam dan Thai Ponggal. Ini berterusan sehingga kemerdekaan Tanah Melayu menjelang tahun 1957.

Selain daripada masyarakat India di ladang-ladang, ada sebahagian kecil orang India dan Sri Lanka yang menetap di kawasan bandar. Mereka ini kehbanyakannya beragama Hindu. Agama Hindu yang yang diamalkan oleh golongan ini lebih bersifat agama teks. Kuil-kuil besar dan teratur dibina oleh golongan inil. Mereka juga menyambut beberapa perayaan agama yang penting.

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, corak pemikiran orang India di negara ini juga turut berubah. Pada awalnya, masyarakat India menganggap negara ini hanya sebagai tempat mencari nafkah. Namun, anggapan ini mulai berubah dan memikirkan Tanah Melayu sebagai tanah air mereka sendiri.

Selepas kemerdekaan, situasi dan polisi negara membolehkan orang India memperkukuhkan lag itradisi dan agama yang mereka warisi sejak awal lagi. Kemakmuran dan pembangunan negara telah membawa perubahan kepada taraf hidup, ekonomi serta pendidikan orang India. Ini menolong perkembangan agama dan budaya masyarakat India dengan lebih baik.

Apabial taraf ekonomi dan pendidikan orang India bertambah baik, pemikiran agama juga trut berkembang. Ini secara langsung menanmbah bilangan perayaan yang disambut oleh mereka. Perkembangan ini boleh dikatakan bermula di kawasan-kawasahn bandar dan kemudiannya turut diikuti oleh masyarakat desa.

Pertubuhan-pertubuhan agama, sosial dan politik orang India turut memainkan perana penting dalam usaha memperkembang kebudayaan serta agama orang India. Usaha ini nampaknya berterusan sehingga sekarang. Sumbangan dan galakan kerajaan Malaysia juga merupakan suatu faktor yang sangat penting bagi memperkembang kebudayaan dan agama orang India.

Kini masyarakat India di Malaysia boleh dikatakan kaya dengan ciri-ciri kebudayaan mereka. Amalan agama dan sambutan perayaan turut mendapat perhatian ramai. Beberapa perayaan orang India kini lebih bersifat sosial kerana masyarakat bukan penganut agama Hindu juga turut menyertai sambutan tersebut.

DEEPAVALI
Hari Deepavali ialah perayaan masyarakat Hindu yang paling popular. Perayaan Deepavali bersifat kebangsaan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina dan Hari Wesak. Kerajaan Malaysia mengiktiraf perayaan ini dengan mengisytihar cuti am pada hari tersebut. Perayaan ini bukan sahaja dirayakan oleh Kaum Tamil yang beragama Hindu tetapi turut dirayakan oleh Kaum Malayalam, Telugu, Punjabi, Sindhi, amil Sri Lanka dan lain-lain lagi.

Di Malaysia, Perayaan Deepavali dirayakan secara besar-besaran oleh Kaum India. Pada hari perayaan ini, aktiviti kunjung-mengunjung menjadi suatu amalan yang penting. Ramai orang India mengadakan rumah terbuka untuk melayan dan berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan Melayu dan Cina. Pelbagai juadah tradisional dan moden disediakan untuk para tetamu. Kunjungan orang Melayu dan Cina ke rumah rakan-rakan India pada hari perayaan sudah menjadi suatu kebiasaan. Walaupun Deepavali berkaitan dengan agama Hindu, kini perayaan ini lebih bersifat sosial. Perayaan ini tidak berpusat di kuil seperti Perayaan Thaipusam. Deepavali amat bererti kepada golongan kanak-kanak dan pemuda-pemudi Hindu. Di Malaysia, perayaan ini boleh dikatakan penting untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelbagai kaum.

Mengikut kepercayaan orang beragama Hindu, secara umumnya perayaan ini dirayakan untuk menghapuskan segala kejahilan atau kejahatan dan menguatkan serta memelihara nilai-nilai murni. Mereka percaya bahawa pada Hari Deepavali, manusia diberi peluang untuk mengimbas kembali segala perlakuan yang lalu sama ada baik atau buruk. Aspek yang buruk dikikis dan aspek yang baik diperkukuh di dalam hati. Ini akan membawa ketenangan dan keterangan iaitu cahaya pada manusia. Sebenarnya perayaan ini menandakan sambutan hari kejayaan, iaitu kuasa baik mengatasi kuasa jahat. Menurut kalendar Tamil, perayaan ini dirayakan pada Bulan Ipasi, iaitu pada akhir Bulan Oktober ataupun awal bulan November. Perayaan ini akan jatuh pada hari bulan gelap, iaitu hari sebelum bulan penuh.

Sebenarnya ‘Deepavali’ ialah suatu istilah yang diterbitkan dari dua perkataan iaitu ‘Deepam’ dan ‘Vali’. ‘Deepam’ bereti pelita, manakala ‘Vali’ bererti ‘barisan’ ataupun ‘deretan’. Jadi, ‘Deepavali’ membawa maksud ‘sebarisan pelita’ ataupun ‘sederetan pelita’. Cahaya pelita menunjukkan penghapusan kegelapan. Ia yang diumpamakan sebagai kebaikan akan mengatasi kegelapan iaitu kejahatan. Perayaan ini amat bererti kepada seseorang yang berjaya mengatasi sebahagian ataupun keseluruhan sifat buruknya. Kegelapan di hati sanubarinya dihapuskan dengan kehadiran nilai-nilai murni sebagai cahaya.

Deepavali merupakan salah satu perayaan yang mempunyai sejarah yang panjang malah menjangkau batasan sejarah. Tiada bukti yang jelas untuk menentukan tarikh permulaan perayaan ini,. Namun, ada pelbagai pandangan tentang sebab perayaan ini dirayakan. Terdaapt suatu legenda yang popular dalam cerita Purana tentang perayaan Hari Deepavali. Menurut Legenda ini, pada zaman dahulu ada seorang pemerintah bernama Raja Narakasuran. Baginda adalah seorang raja yang amat zalim. Baginda menganiaya para pertapa dan masyarakat biasa. Baginda juga menghalang segala upacara keagamaan. Rakyat yang menderita memohon bantuan Dewa Krishna. Dewa Krishna mengabulkan doa rakyat dengan membunuh Raja Narakasuran. Kematian Raja Narakasuran telah membawa kegembiraan kepada rakyat kerana mereka bebas daripada kezaliman. Hari kejayaan ini disambut meriah dengan memasang lampu-lampu minyak. Senario tersebut menggambarkan seolah-olah cahaya yang terang timbul setelah kegelapan berpanjang dalam kehidupan mereka. Sambutan ulang tahun kemenangan ini dikenali sebagai Hari Deepavali.

Satiu lagi tradisi menghubungkan perayaan ini dengan legenda mengenai seorang pemerintah agung bernama Mahabali. Menurut tradisi ini, Mahabali ialah seorang pemerintah agung yang adil lagi budiman. Raja ini menguasai ketiga-tiga dunia. Di bawah pemerintahan baginda, dunia menjadi aman, damai dan makmur. Raja Mahabali ialah pengikut setia Dewa Krishna. Beliau telah memperoleh pelbagai anugerah daripada dewa-dewa. Namun, Raja Mahabali tidak berpuas hati dengan kedudukannya sebagai seorang raja. Beliau ingin menguasai dunia Indra (Indraloga). Dewa Indra amat bimbingan dengan perkembangan ini lalu memohon bantuan Dewa Krishna.

Raja Mahabali menjalankan suatu upacara keagamaan untuk melayakkan diri sebagai pengganti Dewa Indra. Pada akhir upacara itu, Raja Mahabali hendaklah melakukan pelbagai derma. Dewa Krishna menjelma sebagai seorang kerdil lalu memohon tanah seluas tiga langkah. Apabila permintaan ini dikabulkan oleh Raja Mahabali, Dewa Krishna mengambil ‘Visvarupa’, iaitu rupa fizikal yang paling besar, Dengan rupa ini Dewa Krishna dapat merangkumi seluruh dunia dalam langkah pertama, langkah kedua telah merangkumi segala ruang cakerawala. Seterusnya, Dewa Krihna meminta supaya Raja Mahabali mencari ruang bagi meletakkan langkah yang ketiga. Raja Mahabali tiada pilihan laihn lalu menundukkan diri memohon Dewa Krishna supaya meletakkan langkah ketiga itu di atas kepalanya. Raja Mahabali dikatakan mencapai kebebasan kerohanian apabila terkena tapak kaki Dewa Vishnu. Dewa Vishnu pula memberi peluang bagi Raja Mahabali untuk membuat sesuatu permintaan. Raja Mahabali memohon supaya dirinya dapat melawat negaranya setahun sekali dan kehadirannya hendaklah disambut oleh manusia dengan memasang lampu minyak serta berpakaian baru. Permohonan ini dikabulkan. Oleh itu,Deepavali disambut sebagai menyambut kehadiran Raja Mahabali ke bumi ini.

Dalam cerita ini, walaupun Raja Mahabali adalah seorang pemerintah yang adil lagi budiman tetapi keinginannya untuk menguasai dunia Dewa Indra dianggap sebagai hasil nafsu kebendaan. Nafsu ini adalah suatu unsur kejahatan (kegelapan) yang telah ditewaskan oleh Dewa Krishna (cahaya).

Mengikut pendapat penganut agama Hindu, pada hari Perayaan Deepavali, makanan sayur-sayuran sahaja yang patut dihidangkan kerana membunuh binatang seperti ayam dan kambing akan menambah dosa. Pada hari tersebut pelbagai perkara baik harus dilakukan untuk menambah pahala. Tetapi di Malaysia hidangan makanan daging seperti ayam dan kambing sudah menjadi suatu kebiasaan kerana beberapa faktor. Salah satunyaialah kunjungan rakan-rakan yang bukan beragama Hindu. Begitu juga dengan hidangan minuman keras. Walaupun dilarang, ia masih dihidangkan di kebanyakkan rumah.

Perayaan Deepavali tidak akan disambut oleh sesebuah keluarga sekiranya ahli keluarga ataupun saudara-mara mereka baru meninggal dunia. Keluarga seperti ini akan menyambut hari Deepavali pada tahun berikutnya.

Pada malam sebelum Hari Deepavali, upacara mengenang ahli-ahli keluarga yang telah meninggal dunia diadakan. Makanan kesukaan mereka yang sudang meninggal dihidangkan di hadapan gambar-gambar mereka. Pakaian baru juga diletakkan sebagai penghormatan kepada mereka yang telah meninggal. Upacara sembahyang diadakan supaya roh-roh mereka yang sudah meninggal dunia dalam keadaan yang damai.

Setiap ahli keluarga diwajibkan bangun sebelum matahari terbit. Sebagai upacara permulaan, minya bijan (nallennai) dan minyak jarak (vilakkennai) disapu ke atas kepala dan ke seluruh badan setiap ahli keluarga. Selepas itu, mereka akan mandi. Upacara ini dikenali sebagai Gangasnanam, iaitu seumpama mandi di Sungai Ganges. Mengikut kepercayaan agama Hindu, mandi di Sungai Ganges akan membersihkan segala dosa seseorang. Oleh itu, menerusi upacara ini, dosa para ahli keluarga dibersihkan. Upacara mandi ini bukan sahaja dapat membersihkan badan dan jiwa tetapi juga dapat meredakan kepanasan badan serta membawa ketenangan jiwa. Upacara mandi minyak hendaklah diselesaikan sebelum matahari terbit. Setelah upacara ini, seseorang itu dianggap suci dan tenang. Seterusnya, setiap orang akan memakai pakaian baru. Sebaik sahaja pakaian baru dipakai, lampu sembahyang akan dinyalakan. Lampu ini diletakkan di suatu tempat khas, biasanya di tempat sembahyang di rumah.

Amalan kunjung-mengunjungi dalam kalangan sanak saudara atau sahabat handai merupakan satu lagi amalan yang penting dalam perayaan ini. Pemberian kuih-muih kepada rakan-rakan yang beragama Hindu dan bukan beragama Hindu juga diamalkan.

Wang belanja perayaan akan diberikan oleh setiap ibu bapa kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Para pengunjung khasnya kanak-kanak, orang tua serta mereka yang kurang bernasib baik akan mendapat hadiah berupa wang tunai dan lain-lain lagi.

THAIPUSAM
Hari Thaipusam merupakan perayaan agama yang paling popular dalam kalangan orang India. Perayaan ini merupaakn suatu perayaan yang berpusatkan kuil-kuil Dewa Murugan atau Dewa Subrahmanya.

Thaipusam dirayakan secara besar-besaran oleh penganut agama Hindu khasnya di beberapa tempat seperti di Batu Caves, Selangor; Kuil Kallumalai, Ipoh; Kuil Jalan Waterfall (Tannirmalai), Pulau Pinang dan di kuil-kuil Subrahmanya di Semenanjung Malaysia.

Daripada kuil-kuil yang merayakan hari Thaipusam, dua buah kuil yang paling terkenal di Malaysia mahupun di luar negara ialah kuil Murugan di Batu Caves dan kuil Thandayutabani di Pulau Pinang.

Perayaan Thaipusam disambut pada malam hari bulan purnama, iaitu dalam bulan Thai (Januari – Februari) menurut kalendar Tamil. Sewaktu bulan purnama ia melintasi bintang bersinar yang bernama Pusam. Selalunya perayaan ini akan jatuh pada minggu terakhir bulan Januari atau minggu pertama bulan Februari. Lazimnya, Perayaan Thaipusam disambut selama tiga atau empat hari.

Orang yang beragama Hindu percaya bahawa jika bersembahyang kepada Dewa Murugan, kejahilan akan dihapuskan. Kavadi ialah unsur penting dalam sambutan Perayaan Thaipusam. Biasanya Kavadi diperbuat daripada kayu atau besi dengan pelbagai barang hiasan. Kavadi disertai dengan bahan-bahan persembahan seperti sus, bunga dan lain-lain. Paza zaman moden ini, setiap kavadi membawa sama ada patung ataupun gambar Dewa Murugan. Terdapat pelbagai jenis kavadi termasuk yang dikandar, disangkut, dijunjung dan sebagainya.

Jenis kavadi yang mencucuk lembing di pipi atau badan adalah perkembangan kemudian yang dianggap tidak selaras dengan konsep asal kavadi. Perbuatan ini juga disifatkan sebagai satu penyelewengan daripada konsep kavadi.

Bernazar dan menunaikan nazar adalah amalan dasar dalam menyambut perayaan Thaipusam. Biasanya, penganut agama Hindu akan bernazar kerana beberapa faktor, seperti memenuhi kehendak diri, keluarga, sanak – saudara dan sebagainya. Banyak yang bernazar kerana penyakit, pendidikan, perniagaan, untuk memperoleh cahaya mata dan sebagainya. Semasa menunaikan nazar beberapa perkara harus dilakukan. Antara yang penting ialah pengambilan kavadi, menderma serta mencukur kepala. Oleh itu, perayaan Thaipusam disifatkan sebagai perayaan untuk menunaikan nazar kepada Dewa Murugan.

Pada hari Thaipusam, pemujaan khas yang istimewa diadakan. Para penganut agama Hindu akan menyertai pooja ini secara beramai-ramai. Penyertaan dalam pemujaan ini dianggap penting kerana membawa rahmat. Penunaikan nazar akan berterusan sehingga hari kedua sambutan hari Thaipusam. Ini termasuklah pembawaan pelbagai kavadi, mencukur kepala, menderma dan sebagainya. Penyembahan individu, iaitu arrcanai adalah penting dalam perayaan ini. Barang-barang persembahan seperti buah-buahan, bunga-bungaan, kepala, sirih, pinang, kapur barus, kemenyan dan lain-lain dibawa bersama oleh penganut untuk upacara ‘sembayang individu’. Pengambilan kavadi bermula dari tebing anak sungai tidak jauh dari kuil Batu Caves. Anak sungai ini dianggap suci. Mandi di sungai ini bukan sahaja membersihkan fizikal malah dianggap membersihkan batin seseorang penganut agama Hindu. Mengikut kepercayaan mereka kebersihan ini adalah penting untuk menunaikan nazar ataupun masuk ke dalam kuil.

Selepas upacara ini mereka bersiap sedia untuk memikul kavadi selalunya diiringi dengan muzik gendang. Mereka yang mengambil kavadi serta mereka yang mengiringi kavadi akan membawa lagu-lagu suci serta sebutan vel-vel vertrivel bereti lembing suci Dewa Murugan yang menjadi simbol penghapusan kejahilan. Vetrivel bererti vel yang berjaya serta berupaya untuk mengatasi kejahilan. Pakaian berwarna kuning (selalunya pakaian putih yang direndamkan dalam air kunyit) dipakai oleh mereka yang menunaikan nazar. Dengan memikul kavadi mereka menaiki 272 buah anak tangga untuk sampai ke kuil Dewa Murugan di Batu Caves. Barang-barang persembahan yang dibawa bersama, dipersembahan kepada Dewa Murugan untuk menunaikan nazar dan menamatkan upacara pengambilan kavadi. Ini menandakan tamatnya puasa yang dilakukan selama beberapa hari sebelumnya.

Pelbagai kegiatan sampingan diadakan untuk para pengunjung di kuil sempena sambutan hari Thaipusam. Antara yang penting ialah pementasan drama, tarian dan nyanyian agama Hindu setiap malam. Banyak gerai yang menjual yang menjual pelbagai makanan dibuka, pelbagai kemudahan permainan kanak-kanak disediakan. Ini menyebabkan perayaan Hari Thaipusam bertukar wajah daripada perayaan agama kepada perayaan bersifat sosial. Ramai pengunjung yang bukan beragama Hindu turut serta menikmati kemeriahan dan kegembiraan dalam perayaan ini.

THAI PONGGAL
Perayaan Thai Ponggal ialah suatu perayaan yang berkaitan dengan masyarakat petani. Sambutan perayaan ini boleh disifatkan sebagai pesta menuai, sama seperti pesta menuai di Sabah dan Sarawak. Thai Ponggal adalah perayaan yang paling meriah yang disambut oleh masyarakat Tamil di India Selatan. Di Malaysia, walaupun masyarakat India hampir-hampir tidak terlibatr dalam penanaman padi tetapi perayaan Ponggal masih disambut sebagai suatu tradisi. Perayaan ini lebih bersifat sosial dan dirayakan di rumah-rumah kediaman serta kuil. Dari segi maksud,Thai merujuk kepada nama bulan dari Januari hingga Februari menurut kalendar Hindu. Ponggal bererti ‘meruap’. Ponggal juga bermaksud nasi manis yang dimasak bersama susu.

Peraywaan Thai Ponggal disambut selama empat hari. Hari sebelum Thai Ponggal disebut Bhogip Ponggal, diikuti dengan Suriap Ponggal, Maattup Ponggal dan kaanum Ponggal.

Pada hari Bhogip ponggal, rumah dibersihkan dan ada yang dicat semula. Ini memberikan satu wajah baru kepada rumah kediaman dan halamannya. Persiapan dibuat untuk mengalu-alukan kedatangan hari bermakna itu. Ia menandakan tibanya masa untuk menikmati hasil pertanian. Perlu diambil perhatian bahawa pada peringkat awal dalam masyarakat petani, padi ditanam sekali setahun. Hasil ini merupakan pendapatan sehingga tuaian yang seterusnya. Pendapatan ini dirancang dan dibelanjakan untuk menyara hidup, perkahwinan, perayaan dan lain-lain lagi. Oleh itu, hari menuai amat bermakna kepada masyarakat petani. Ini jelas diterangkan melalui satu pepatah Tamil yang berbunyi Thai pirantal vali pirakkum yaiji bermaksud lahirnya bulan Thai akan melahirkan jalan penyelesaian untuk pelbagai masalah atau urusan.

Thai Ponggal, Makara Sankranti, Suria ponggal dan Perum ponggal merupakan pelbagai istilah sambutan pesta menuai. Pada dasarnya, masyarakat beragama Hindu menyambut Thai Ponggal sebagai tanda bersyukur kepada sang suria dan juga Dewa Indra (yang menurunkan hujan) yang menjadi faktor utama keberhasilan usahan pertanian.

Biasanya, suatu tapak disediakan di halaman rumah untuk mengadakan Ponggal (memasak nasi dengan campuran susu). Tempat ini dibersihkan dan dihias dengan koolam, iaitu lakaran pelbagai corak berwarna dengan menggunakan tepung beras. Corak Koolam dibuat oleh kaum wanita. “periuk baru” berbentuk buyung yang diperbuat daripada tanah liat turut disediakan. Periuk ini akan dihias. Beras (padi) yang baru dituai dimasak dalam periuk ini bersama susu dan air.

Apabila susu mula masak dan meruap, setiap anggota keluarga akan melaungkan ponggalo-ponggal. Ini bermaksud susu dan beras tadi telah masak, mendidih serta meruap dengan sempurna. Upacara ini diadakan pada awal pagi sebaik sahaja matahari terbit.

Ponggal penting kerana terdapat kepercayaan bahawa, sekiranya masakan beras tadi meruap dengan baik, ia merupakan tanda bertuah.Ruapan yang berpanjangan bermaksud kegembiraan keluarga akan berpanjangan.

Nasi yang dimasak juga dikenali sebagai pouggal yang bererti nasi mansi. Nasi dihidang di atas daun pisang bersama kuih-muih seperti vadai, buah-buahan dan sebagainya. Ia disaji kepada Dewa Suria. Seterusnya, nasi manis dan beberapa jenis juadah yang lain akan dihidang kepada ahli keluarga serta para pengunjung. Ramai juga akan mengunjungi kuil untuk mengambil bahagian dalam pooja istimewa yang diadakan sempena dengan perayaan ini. Pooja di kuil di rumah ditentukan masanya menurut almanak Hindu.

Istilah maadu ialah lembu. Maadu ponggal diraikan untuk lembu binatrang peliharaan. Mengapa lembu diberi penghormatan? Maadu dalam bahasa Tamal bererti harta. Pada zaman dahulu, dalam kalangan masyarakat India, lembu menjadi ukuran kekayaan seseorang. Jika seseorang memiliki bilangan lembu yang banyak, maksudnya dia mewah. Malahan lembu telah digunakan sebagai barang perantaraaan dalam urusan perdangan awal (sistem barter). Jadi, lembu amat dihargai dan dijaga dengan baik oleh masyarakat India.

Dalam masyarakat petani awal, lembu memainkan peranan yang penting. Lembu jantan dijadikan binatang penarik untuk membajak tanah. Lembu juga digunakan untuk menarik kenderaan seperti kereta lembu. Lembu betina pula memberikan susu. Lembu betina juga dianggap pengembang kekayaan kerana melahirkan anak lembu. Susu dan bahaqn makanan berasaskan susu lembu menjadi makanan asas bagi masyarakat India serta dijadikan bahan persembahan yang amat penting dalam upacara sembahyang orang Hindu sejak dahulu lagi. Faktor-faktor itulah yang menyebabkan lembu menjadi binatang yang dilindungi adan disayangi. Lembu juga kemudiannya dianggap sebagai binatang suci.

Kebiasannya pada awal pagi hari Maadu ponggal, lembu-lembu dimandikan dan dihias. Tanduk lembu dicat berwarna-warni, dikalung dengan bunga, loceng kecil diikat pada leher dan sebagainya. Seterusnya kadang lembu dibersihkan untuk diadakan ponggal. ponggal diadakan seperti acara bagi Suria panggal pada hari yang sebelumnya. Nasi manis hasil ponggal dipersembahkan kepada Tuhan lalu pooja khas diadakan sebagai menghormati jasa lembu kepada manusia. Nasi manis dan bahan-bahan makanan lain diberikan kepada lembu sebelum dihidangkan kepada para pengunjung.

Kaanum ponggal merupakan perayaan hari keempat dalam siri sambutan hari ponggal. Kaanum bererti ‘mengunjung’. Pada hari ini, orang-orang tua dikunjungi serta diberikan hadiah. Sebaliknya orang tua akan memberikan restu. Malam ini penting untuk menjaga serta menghormati nasihat orang tua yang dianggapkan penting.

Pada hari ini juga pelbagai permainan serta pertandingan yang dapat menonjolkan keperwiraan pemuda-pemudi diadakan. Ini termasuklah pertandingan menundukkan lembu jantan yang garang dan lain-lain lagi. Kaanum juga bererti melihat. Dalam permainan dan pertandingan yang diadakan, keperwiraan pemuda-pemudi lelaki disaksikan oleh para anak dara (kanni). Suatu ketika dahulu para anak dara lebih suka berkahwin dengan perwira-perwira seperti ini.

Para anak dara akan berkumpul di kuil untuk mengadakan ponggal dan bersembahyang beramai-ramai. Di sini para pemuda berpeluang melihat (kaanum) kemahiran memasak ponggal serta kecantikan seseorang gadis. Para anak dara akan memasak ponggal dan berdoa kepada Tuhan supaya mereka mendapat jodoh yang baik. Sekiranya seseorang pemuda suka akan seseorang gadis, dia akan melamar gadis itu kemudiannya.

Sebagai rumusan Kaanum ponggal ini lama kelamaan menjadi Kannip ponggal yang bererti hari anak-anak dara memasak ponggal. Ini nampaknya bersesuaian dengan perkembangan di Malaysia. Pada hari Kaanum ponggal, ramai anak dara di Malaysia akan berkumpul di kuil-kuil dan memasak ponggal. Tetapi, permainan dan pertandingan keperwiraan nampaknya tidak popular di Malaysia. Oleh kerana yang memeriahkan sambutan pada hari tersebut ialah anak dara, maka perayaan ini lebih sesuai disebut Kannip ponggal.

TAHUN BARU TAMIL
Sambutan Tahun Baru Tamil ialah suatu perayaan sosial. Hari ini, ia juga dikenali sebagai Tahun Baru Hindu. Dipercayai bahawa, memulakan tahun baru dengan riang gembira dan bersembahyang akan membawa kebahagian sepanjang tahun ini. Di Malaysia, perayaan ini disambut hampir di setiap rumah orang beragama Hindu. Ada juga orang India Muslim dan Kristian yang berketurunan Tamil menyambut perayaan ini sebagai perayaan etnik Tamil.

Tahun baru menurut kalendar Tamil bermula dengan bulan Cittira iaitu pada bulan April hingga Mei. Hari pertama bulan Cittira pada 14 hari bulan April merupakan hari sambutan Tahun Baru Tamil berdasarkan kalendar Hindu dan almanak Hindu. Tahun baru boleh bermula pada waktu pagi, petang dan sebagainya menurut kalendar antarabangsa.

Di Malaysia, kuil-kuil Hindu akan mengadakan pemujaan khas sewaktu kedatangan tahun baru. Ramai penganut agama Hindu akan turut serta. Kawasan rumah serta halamannya dibersihkan. Bilik sembahyang turut dijaga kesuciannya. Semua ahli keluarga bangun pada awal pagi dan berada di bilik atau tempat sembahyang. Di tempat ini, gambar atau patung suci Tuhan kepercayaan mereka dan barang kemas serta beberapa benda lain diletak dengan teratur. Seterusnya, selepas mengemaskini diri, sembahyang khas diadakan di rumah. Ini dilakukan untuk memulakan Tahun Baru dengan pertunjukan barang-barang suci serta berharga yang amat penting dalam kehidupan seseorang.

Adakalanya keluarga orang yang berada menyediakan pelbagai juadah bagi orang miskin dan rakan-rakan mereka. Di kuil-kuil besar almanak Tahun Baru akan dibacakan oelh pedanda yang bertauliah. Banyak orang yang berkumpul di kuil untuk mengetahui ramalan tentang musim baik, bulan-bulan yang bertuah untuk memulakan sesuatu dan panduan tentang peristiwa -peristiwa baik buruk dalam tahun tersebut bagi individu, negara ataupun dunia.

Sebagai menyambut Tahun Baru adakalanya beberapa pertunjukkan kebudayaan dianjurkan oleh badan-badan tertentu. Orang India Muslim dan Kristian berketurunan Tamil meyambut perayaan ini menurut cara mereka sendiri yang selalunya bermula dari sembahyang. Sambutan Tahun Baru Tamil adalah suatu perayaan yang diwarisi sejak awal lagi. Walaupun kini Tahun Baru Inggeris lebih dipentingkan, orang Tamil tetap memelihara warisan dengan menyambut Tahun Baru Cina.

KESIMPULAN
Pada hari ini, perayaan yang dirayakan oleh kaum India di Malaysia harus diteliti oleh jemaat Gereja Yesus Benar. Setiap perayaan tersebut perlu diselusuri sejarahnya sehingga menemui akar umbinya. Jika akar perayaan teresebut adalah penyembahan berhala maka jemaat gereja benar tidak boleh merayakan perayaan itu. Ada juga jemaat yang mentafsir sesuatu perayaan sebagai pesta budaya sesuatu kaum. Pesta budaya yang dimaksudkan adalah perayaan yang tiada kaitan dengan agama dan penyembahan berhala. Seperkara yang perlu disedari ialah ada sesetengah perayaan berasal daripada perayaan penyembahan berhala. Namun, oleh kerana perayaan terbabit perlu hidup sepanjang zaman, maka pengubahsuaian cara penyambutan telah dilakukan sehingga ritual penyembahan berhala itu ditiadakan. Ini membolehkan pelbagai bangsa dan agama boleh menyambut perayaan terbabit. Perakra ini mengundang bahaya kerana ada kemungkinan generasi muda akan menganggap perayaan tersebut adalah pesta budaya sedangkan perayaan tersebut sebenarnya berakarkan penyembahan berhala. Semoga Tuhan Yesus menjaga kita semua. Amin.