Views: 74

Sdri. Chia Siew Chu

Tarikh​: 25.04.2009 (Hari Sabat)
Masa​: 5.10 petang
Tempat​: Inanam Business Center

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian.

Seperti biasa, saya pergi ke gereja yang terletak di tingkat tiga untuk memegang hari Sabat dengan hati yang girang. Disebabkan saya melancong ke luar negara sebelum ini, maka saya telah kehilangan berkat hari Sabat sebanyak dua kali. Oleh itu, saya berasa agak lain pada hari Sabat tersebut.

Selepas kebaktian Sabat berakhir, Koir Grace menjalankan latihan seperti biasa. Koir Grace telah diatur untuk membuat persembahan bagi malam penginjilan melalui kidung pada 9 Mei di gereja Penampang. Oleh sebab saya telah gagal menghadiri latihan sebanyak dua kali, saya pun menumpukan sepenuh perhatian dalam latihan. Saya berharap dapat melatih kidung ini dengan baik supaya dapat membuat persembahan bersama untuk memuji Tuhan. Selepas membuat latihan suara, menyanyi not lagu dan lirik lagu beberapa kali, tiba-tiba saudari Florence (masih pelajar) yang duduk di sebelah saya menutup hidung dengan menggunakan tangannya dan memberitahu sangat bau. Saya menenangkan hati saya untuk menghidu dengan teliti, saya turut berpendapat sedemikian.

Dengan segera, saya memanggil saudara Donny untuk memantau bersama di bahagian luar aula gereja (sebenarnya saudara-saudari yang lain juga turut terhidu bau tersebut). Beberapa orang saudara juga ikut bersama untuk memantau. Salah seorang saudara telah berlari ke tingkat bawah dan beberapa orang di antara kami telah melihat ke luar melalui dapur. Kami melihat penduduk yang berada di lot berhadapan dengan kami itu melihat ke bawah sambil menunjuk-nunjuk dengan tangan mereka untuk memberitahu kami bahawa terdapat kebakaran di tingkat satu.

Dengan segera saya berlari masuk ke aula gereja dan dengan kuat berkata: “Cepat! Semua turun bawah, bakar!”. Dengan itu, semua ahli koir bergegas untuk berlari ke arah pintu gereja. Saya tidak mengetahui adakah mereka telah mengambil barang masing-masing. Sementara saya mengemas barang saya, saudara Donny menelefon pihak bomba tanpa mengetahui bagaimana keadaan di bawah. Tiba-tiba saya teringat puan Pendeta Yap dan dua orang anaknya yang tinggal di lot sebelah, tingkat yang sama. Lalu saya pergi ke bilik mereka dan melihat puan Pendeta Yap sedang menelefon pendeta untuk menyuruhnya supaya balik segera. Dia memberitahu pendeta bahawa kebakaran telah berlaku di bawah gereja. Saya mendukung anak bongsunya yang sedang berdiri di sebelah dengan segera tanpa mengetahui apa yang berlaku. Saya berlari ke luar sambil menyeru puan pendeta untuk turun bersama dengan segera (anak sulungnya telah berlari ke bawah).

Sampai di tingkat bawah, saya menyerahkan anak tersebut kepada seorang saudara untuk menjaga keselamatannya. Selepas itu, saya mengalihkan kenderaan saya yang terletak di bawah bangunan yang terbakar itu. Selepas itu, saya memandang ke arah gereja dan melihat terdapat asap hitam yang tebal keluar daripada bahagian atas pintu besi gereja. Tidak lama kemudian terdengar bunyi siren ambulans. Terdapat ahli koir serta orang ramai yang sedang berdiri untuk melihat dan ada juga mereka yang duduk di tepi jalan untuk melihat kebakaran tersebut. Dalam beberapa minit sahaja, pintu besi hadapan dan pintu kaca tersebut telah dipecahkan oleh ahli bomba, lalu kelihatan asap hitam yang terkurung di dalam keluar melalui ruang tersebut. Pada masa itu, saya menjerit dalam hati: “Tuhan Yesus, gereja kami, gereja kami… pasti Tuhan akan memberkati”. Ketika itu kedengaran suara puan pendeta berkata, “Marilah sehati berdoa”. Tanpa menghiraukan pandangan orang ramai, kami berkumpul di bawah sebuah pokok besar. Suara doa seramai 30 orang ahli koir yang kedengaran dalam gumpulan asap turut didengari Tuhan.

Bau asap di udara telah menyebabkan saya yang memang kurang sihat waktu itu bertambah tidak selesa. Saya khuatir diri saya akan pengsan dan menyusahkan orang lain. Oleh itu saya pun berehat di dalam kereta. Sebenarnya saya ingin balik ke rumah, tetapi saya membuat keputusan untuk berada di sana kerana saya berasa bimbang akan gereja. Selepas berehat seketika, saya berasa lebih bersemangat, lalu saya pun meninggalkan kereta dan berjalan ke arah belakang gereja. Saya berdoa dalam hati dan meminta Tuhan memberkati. Pintu besi belakang kedai tersebut kelihatan lebih kukuh, ia hanya dapat dibuka selepas menggunakan pelbagai alatan termasuk alat memotong elekrik.

​Berbanding dengan keadaan di hadapan, keadaan di belakang kedai adalah lebih serius dan kelihatan api sedang membara. Oleh sebab api dan asap yang sedang membakar ke atas, maka papan tanda gereja yang digantung di luar kelihatan dengan jelas. Apabila terfikir bahawa tepat pada bahagian atas tempat tersebut adalah dapur gereja kita dan ada tong gas terletak di dalam, maka jika suhu dalam dapur terus meningkat, ia akan menyebabkan tong gas tersebut meletup. Kesudahannya memang susah digambarkan. Api semakin kuat, walaupun pintu belakang telah dibuka, tetapi pergerakan pihak bomba amat lembap (mungkin bomba yang baru terlatih) serta pancutan air yang lemah. Iman memberitahu saya bahawa rumuh Tuhan tidak akan dijilat api.

Selepas kembali ke bahagian depan, saudara-saudari melihat kebakaran tersebut dengan penuh perhatian, kami semua mempunyai perasaan yang sama. Selepas sejam menjalankan kerja penyelamatan, api di depan kelihatan semakin berkurang. Seorang saudari berkata: “Mengapakah hanya nampak asap di depan kedai dan tidak ada api? Adakah Tuhan telah menahannya?’’. Kami berlari ke belakang kedai dan melihat, keadaanya masih sama, pihak bomba masih sedang menyelamatkan keadaan. Pada jam 7 lebih, api tersebut baru dapat dipadamkan. Semua barang-barang dalam kedai tersebut telah musnah dan kelihatan gelap gulita. Seorang polis datang kepada kami untuk meminta kunci gereja, pendeta dibenarkan naik bersama untuk melihat keadaan di atas. Berdasarkan makluman pendeta selepas turun dari atas, ruang aula gereja dipenuhi dengan asap tebal yang berwarna putih sehingga menyebabkan matanya merasa pedih dan sesak nafas. Dia tidak dapat melihat apa-apa pun. Syukur kepada Tuhan, bait Tuhan telah selamat, nama-Nya patut dipuji. Selepas itu, kami pun pulang ke rumah masing-masing dengan hati yang penuh kesyukuran.

​Pada pukul 8 keesokan hari, saya membawa ibu saya untuk bersarapan di kedai yang berhampiran dengan gereja. Saya mengambil kesempatan itu untuk melihat gereja kita, papan tanda gereja kita ‘Gereja Yesus Benar’ masih tergantung tinggi dalam keadaan yang cantik dan sempurna, ia langsung tidak ada kesan terbakar atau sebarang kerosakan. Saya pun masuk ke dalam aula gereja untuk melihat keadaan di dalam. Tidak ada lagi asap di dalam aula gereja tetapi bau asap itu masih ada. Ada dua pasu bunga yang seolah-olah sedang melambai-lambaikan tangannya terhadap saya dan menunjukkan senyuman kemenangan. Bunga-bunga tersebut tidak dicemari asap sehingga kehilangan kecantikannya. Hati saya berasa begitu ghairah! Kemudian saya melihat keadaan di sekeliling aula gereja, siling, dinding dan langsir masih kelihatan putih. Barang-barang lain masih seperti sedia ada. Bekalan air dan elektrik juga tidak terputus. Selepas diteliti, selain daripada habuk dan simen lantai menjadi longgar, yang lainnya masih lagi dalam keadaan yang sempurna.

​Pada jam 2 petang hari yang sama, kami sebanyak 15 orang seiman, pendeta Yap, puan pendeta Yap serta saudari Su Jin sehati bekerjasama untuk membersihkan tempat di dalam dan di luar aula gereja. Selepas 3 jam dan beberapa baldi air kotor telah ditukar, gereja yang lebih bersih daripada yang sebelum itu telah terpapar di depan mata kita. Maka, dapat dilihat bahawa kerja pembersihan yang dilakukan sebelum ini hanyalah sekadar kerja permukaan sahaja. Kebakaran ini telah memberi petunjuk kepada kita bahawa Gereja merupakan bait Allah dan bait Allah adalah jemaat (1 Kor 3: 16-17). Sikap iman kepercayaan kita juga haruslah sama seperti kerja pembersihan yang dijalankan selepas kebakaran ini, iaitu dibersihkan sepenuhnya, membersihkan pencemaran dalam hati kita yang tidak disedari (2 Kor 7: 1). Hal ini juga mengingatkan saya akan mujizat Tuhan terhadap Yunus, iaitu hukuman dan pengajaran yang diterima manusia apabila membelakangi kehendak Tuhan. Tuhan yang kita sembah merupakan Tuhan yang mencipta segala sesuatu dalam alam semesta, Tuhan yang berkuasa dan berkekuatan. Adakah Tuhan yang tidak boleh dinista itu akan membenarkan bait-Nya kehilangan kemuliaan?

Kiranya Tuhan membuatkan kita lebih giat dalam tugas pelayanan menerusi kebakaran ini, sehingga kita berpegang pada pemikiran yang murni, membetulkan konsep kita yang salah terhadap Tuhan dan manusia, saling memperbetulkan dan memperbaharui diri dalam segala perkara. Semoga kuasa Roh Kudus membolehkan pertuturan dan kepecayaan kita berkenan kepada Tuhan. Di samping bersikap rendah hati, taat setia dan menuruti pengajaran Tuhan, Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Tuhan. Kesimpulannya, ini bukanlah kebakaran yang biasa, tetapi ia merupakan kebakaran yang amat bermakna.

Hari kiamat semakin mendekat, sebagai pemercaya Gereja Benar, kita haruslah berjaga-jaga, menghargai nyawa rohani kita yang berharga, memahami kehendak Tuhan serta perbuatan Iblis. Alkitab mencatatkan bahawa si Iblis, berjalan keliling sama seperti singa yang mengaum-aum dan mencari orang yang dapat ditelannya (1 Ptr 5:8). Syukur atas penjagaan Tuhan kerana memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada gereja kita. Tuhan mengasihi setiap pemercaya-Nya, tetapi kasih-Nya juga menjadi peringatan kepada kita (Ibr 12: 5-6). Sebab mereka mendidik kita dalam waktu yang pendek sesuai dengan apa yang mereka anggap baik, tetapi Dia menghajar kita untuk kebaikan kita, supaya beroleh bahgian dalam kekudusan-Nya (Ibr 12: 10). Syukur pada dorongan Roh Kudus kerana membolehkan saya menulis kesaksian ini sebagai dorongan bersama. Semoga segala kemuliaan, kehormatan, kuasa dan puji-pujian diberi kepada Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.

Catatan akhir:
Melalui seruan puan pendeta: ”Marilah sehati berdoa” (di bawah pokok besar), telah menyedarkan kita untuk bersandar dan beriman kepada Tuhan. Di sini saya mewakili seiman gereja Inanam untuk berterima kasih kepada bantuan doa dan keprihatinan penatua, pendeta, diaken dan seiman dari pelbagai tempat. Di sini saya juga berterima kasih kepada saudara Bernard Wong kerana mengingati hal ini walaupun beliau sakit. Kuasa dan kasih agung Tuhan menyelamatkan gereja dari kebakaran ini. Tidak lupa juga berterima kasih kepada saudari Su Jin, saudari Chui Phin, saudara Dudi Pan dan saudari-saudari lain yang nama-namanya tidak tercatat di sini kerana telah melawat tempat kejadian dan memberi pertolongan. Semoga Tuhan memperingati kasih sayang dan memberkati kalian.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *