Bertemu Di Syurga
”Berharga di mata Tuhan kematian semua orang yang dikasihi-Nya”(Maz116:15)
Intro
Pada 21 Jun 2007, jam 5 awal pagi Pendeta pelatih Sdr. Masneh Singkul telah dihantar ke wad kecemasan hospital Keningau kerana sakit tenat sehingga tidak sedarkan diri; pendeta Seraya dan saudara seiman yang berada di sisinya segera mengirim sms menghubungi seiman lain membantu doa. Sebelah petang beliau dihantar ke wad hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan disahkan mengalami ”mati otak” (brain death) oleh doktor akibat pendarahan lebih daripada 35% dalam otak. SMS yang mengejut ini segera tersebar ke seluruh Sabah dan Semenanjung Malaysia, ramai yang prihatin dengan sungguh-sungguh mendoakannya, gereja-gereja tempatan di Sabah masing-masing membuat pengumuman untuk membantu doa, malahan ada yang berpuasa dan tekun mendoakan agar Tuhan menunjukkan belas kasihan-Nya. Namun, pada jam 7 pagi, 23 Jun, sms memberitahu bahawa Sdr. Masneh yang dikasihi telah pun dipanggil oleh Tuhan, beristirahat di pangkuan Tuhan pada awal hari Sabat. Mesej ini memilukan banyak jiwa dan mencucurkan air mata ramai seiman dan saudara-mara, ramai turut sedih; berkabung dengan keluarga dan tunang mendiang. Walau tidak sudi berpisah dengan beliau, namun kita akur dengan ketentuan; ”Jadilah kehendak Tuhan!”
Kesihatan Dinaungi Anugerah Tuhan Yang Mencukupi
Sejak berumur 9 bulan Sdr. Masneh telah didapati mengalami masalah jantung berlubang. Oleh itu beliau terpaksa menjalani rawatan setiap bulan sehingga berumur 12 tahun. Rawatan kemudiannya terhenti sejak 1990 sehingga tahun 1999. Bagi kebanyakan orang kemungkinan penyakit sedemikian akan membantutkan daya tumbesaran dan aktiviti seharian, namun sungguh menghairankan beliau hidup sebagai seorang yang dinamik dan rajin bekerja. Corak hidupnya langsung tidak menampakkan beliau sebagai orang berpenyakit. Beliau mampu membuat segala kerja pertanian di ladang, membaiki enjin kereta, memandu mesin excavator, dan sebagainya. Hasil tanaman dan kolam-kolam bertingkat tiga binaannya di kampung beliau menjadi saksi-saksi nyata bahawa anugerah Tuhan sentiasa menyertainya.
Malahan pada 28 Feb tahun 1995 beliau telah berjaya menakluki kemuncak Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Asia tenggara.
Selepas mengalami pembedahan untuk membuang apendiks pada Januari 1999, doktor mendapati selain menghadapi masalah jantung berlubang, salah satu injap kanan beliau telah rosak teruk. Doktor meramalkan bahawa jika tidak menerima rawatan jantung dengan segera, nyawa beliau hanya dapat bertahan selama lima tahun sahaja.
Dua tahun kemudian, pada Mei 2001, beliau dimasukkan di Sabah Medical Centre untuk menjalani rawatan jantung selama 4 hari, dan kemudiannya dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan bagi menggantikan injap jantungnya yang telah rosak teruk. Dalam perjalanan ke IJN, beliau telah bernazar untuk mempersembahkan hidupnya bagi Tuhan sekiranya pembedahan itu berjaya[1]. Pembedahan itu berhasil dan beliau telah sembuh daripada penyakitnya. Walaupun pada November 2002, sekali lagi beliau telah diwadkan selama 1 minggu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu kerana ‘overdose warfarin’ dan doktor mengatakan bahawa besar kemungkinan beliau tidak dapat berjalan lagi kerana urat saraf kakinya telah pecah. Namun dengan kasih Tuhan, beliau telah sembuh sepenuhnya dalam tempoh dua minggu. Sekali lagi Tuhan menyatakan mukjizat dalam hidup beliau.
Dalam Enam tahun terakhir melayani Tuhan – Kemuncak kehidupan Sdr. Masneh
Sungguhpun mengalami pembedahan besar jantung pada tahun 2001, namun penyakit ini telah menjadi berkat yang menawarkan peluang baginya untuk melayani Tuhan. Pada tahun berikutnya beliau mula menunaikan nazarnya kepada Tuhan.
Tahun 2002 merupakan titik permulaan Sdr. Masneh melayani Tuhan sebagai pekerja suci penuh masa.
Secara kebetulan dan sememangnya peluang yang disediakan Tuhan itu terbuka bagi beliau sewaktu Pdt. Lemuel Leong yang ketika itu bertugas di pantai Timur sedang mencari seorang calon Guru Penuh Masa apabila mendapati keperluannya yang sangat mendesak di kawasan Telupid, Bukit Garam dan Penangah. Pada masa yang sama, Dn. Gideon pernah memberitahu pendeta tentang semangat penginjilan beliau yang sanggup mengedarkan risalah gereja dari rumah ke rumah, dengan itu mencadangkan Sdr. Masneh kepada Ibu Gereja dan beliau telah diterima sebagai Guru Penuh Masa.
Pada tahun 2002 beliau mula bertugas di kawasan Telupid bersama Pdt. Lemuel Leong, dan pada tahun berikutnya pula bertugas dengan Pdt. Zakheus Yong di tempat yang sama; namun beliau bukan sekadar memainkan peranan sebagai guru pendidikan agama kepada kanak-kanak malah berjaya melatih guru pendidikan agama dan menubuhkan kelas pendidikan agama di Telupid. Beliau turut bergiat dalam membantu kerja penggembalaan dan penginjilan. Sebagai contoh, keluarga Sdr. Albert adalah hasil usaha penginjilan beliau. Sememangnya beliau menjadi teman sekerja yang baik kepada pendeta-pendeta yang bertugas pada waktu itu. Sebenarnya bertugas di kawasan Telupid dan Penangah merupakan kerja yang berat dan agak mencabar disebabkan perjalanan yang sukar, jauh, dan sunyi. Namun semangat beliau yang setia dan cekal, anugerah Tuhan sentiasa menyertai beliau sehingga dapat mengharungi segala dugaan dan cabaran dalam tugas.
Pada tahun 2003, Maktab Teologi Sabah telah mengadakan pengambilan siswa teologi. Apabila diketahui bahawa beliau berniat untuk menjadi pekerja suci sepenuh masa, beberapa pemimpin veteran seperti Pnt Stefanus Tham, Pdt. Thomas Kam dan Pnt Apolos Wai dengan senang hati memberi sokongan dalam pencalonan beliau untuk diterima sebagai siswa maktab teologi kerana melihat sikap spontan dan usahanya yang bersungguh-sungguh untuk melayani Tuhan. Ini merupakan peluang yang disediakan oleh Tuhan agar meluaskan dan mempelbagaikan lagi pelayanan beliau di dalam Tuhan.
Tahun 2004-2006, beliau menuntut di Maktab Teologi Sabah sebagai penuntut angkatan yang keempat, bersama-sama dengan enam orang rakan sekelas. Mereka ialah Sdr.Jaihnol Kindingan, Sdr. Liew En Yin, Sdr. Narius Sapau, Sdr. Yakus Ambaan dan Sdr. Order Mansyah (Pendeta Pelatih dari Indonesia). Dalam masa tiga tahun itu, beliau dapat mengunjungi banyak gereja tempatan di seluruh negeri; sekaligus melayani Tuhan di seluruh Sabah. Tahun 2007, beliau menjalani latihan praktikum dengan mengikuti:
Pnt Matias (Jan – Feb)
Bermula Jun ini, beliau mengalami sakit-sakit otot dan demam. Sepatutnya mereka mula bertugas pada 2 Jun namun disebabkan kurang sihat, Pdt. Seraya mencadangkan agar beliau menangguhkan perjalanan dan berjumpa dengan doktor terlebih dahulu. Bagaimanapun, pada 4 Jun beliau bertolak ke Zon Bingkor dengan menunggang motosikal. Pada 16 Jun, beliau pulang ke kampung atas urusan rumah yang sedang dibina serta menguruskan beras sebanyak 5 guni yang akan didermakan untuk KKR Gereja Penangah seperti tahun-tahun sebelumnya.
Pagi 18 Jun, beliau telah kembali semula ke zon Bingkor. Pada malam 20 Jun; walaupun tidak sihat namun beliau masih bertahan untuk menyampaikan khotbah yang terakhir dalam hidupnya yang bertajuk ”Peluang” di Khemah Doa Motomou – sungguhpun Pdt. Seraya bersedia untuk menggantikan tugas beliau.
Selepas kebaktian, beliau masih bercerita dengan Pdt. Seraya sehingga tengah malam.
21 Jun – jam 3 pagi, Pdt. Seraya mendapati Sdr. Masneh sedang duduk dan mengikat kepalanya dengan selimut kerana kepalanya sakit. Merekapun berdoa bersama; dan beliau kemudiannya meminta panadol. Pendeta menyangka keadaannya akan menjadi semakin baik, namun selepas itu beliau muntah-muntah sebanyak tiga kali sehingga tubuhnya tidak bermaya lagi. Mereka berdoa dan cuba menghubungi seiman yang mempunyai kereta untuk datang menghantar beliau ke hospital. Namun, bantuan lambat tiba. Kemungkinan tiada yang membuka telefon bimbit kerana belum tiba masa untuk bangun pagi. Pada jam 5 pagi, seorang saudara telah datang menghantarnya ke hospital, akan tetapi pada masa itu beliau sudah tidak sedarkan diri lagi.
Dalam keadaan yang sangat kritikal ini, pihak hospital menangani beliau dengan bantuan alat pernafasan sahaja, sedangkan beliau sendiri sudah berada dalam keadaan koma. Walaupun hanya jantung sahaja yang berfungsi tetapi beliau menunjukkan respon melalui tahap (indeks) oksigen terhadap kidung[2] yang dinyanyikan oleh tunangnya Sdri. Morina dan adiknya Sdri. Lili Maslinah ketika mereka menyanyikan kidung di tepi katil beliau.
Dua hari bergelut dengan kesakitan, akhirnya beliau telah dipanggil oleh Tuhan dan beristirahat daripada segala jerih-lelahnya. Beliau telah berjaya menunaikan nazarnya kepada Tuhan dengan mempersembahkan hidupnya untuk Tuhan, malahan setia melayani sehinggalah saat-saat terakhir dalam hidup beliau.
Penghiburan Tuhan Melalui Penglihatan
Kepergian beliau yang mendadak amat sukar diterima oleh jemaat terutamanya pihak keluarga dan tunang beliau[3]; juga merupakan satu dugaan yang terlalu berat ditanggung oleh mereka. Namun Tuhan Yesus, Bapa, Tuhan yang penuh belas kasihan dan sumber segala penghiburan sentiasa menghibur mereka yang menderita dan dukacita (II Kor 1:3). Beberapa penglihatan ajaib telah dinyatakan melalui mimpi dan doa demi menghibur dan memberi pengharapan kepada mereka yang ditenggelami dengan kesedihan yang amat sangat.
Penglihatan 1:
Lebih kurang pertengahan bulan Jun 2007, pada suatu malam, Sdri. Lourence Singkul iaitu kakak kepada Sdr. Masneh telah mendapat suatu mimpi. Dalam mimpinya itu, dia melihat Sdra. Masneh sedang menjalani praktikal di sub-zon Bingkor bersama dengan Pdt. Seraya. Mereka seolah-olah berada di suatu tempat yang lapang, seakan-akan berada di puncak bukit yang datar bersama dengan sekumpulan orang yang berpakaian putih dan berseluar hitam. Perasaan Sdri. Lourence ketika itu ialah mengatakan mereka adalah sekumpulan pendeta. Dalam kumpulan itu, ada yang sedang berdiri dan ada pula yang sedang duduk seperti keadaan ketika mengambil gambar atau foto. Pada masa itu, tiba-tiba ada suatu suara yang datang dari arah kumpulan itu yang berbunyi “Saudara Masneh perlu direhatkan buat sementara waktu, sebab dia sangat menderita kerana sakit dan badannya terlalu penat dengan pekerjaannya”. Namun Sdri. Lourence tidak melihat siapakah sebenarnya yang berkata-kata. Dia terbangun dan memikirkan perkataan ‘rehat’ yang dikatakan dalam mimpinya; kerana ada perasaan bimbang kalau-kalau perkataan ‘rehat’ yang dimaksudkan dalam mimpi itu adalah mati, maka dia berdoa sebelum menyambung tidur semula.
Beberapa hari selepas itu, dia mendengar khabar bahawa Sdr. Masneh sedang sakit tenat di Hospital Queen Elizabeth, KK pada 21 Jun 2007, barulah dia teringat semula tentang mimpinya itu. Pada 23 Jun 2007, Sdra. Masneh telah dipanggil oleh Tuhan tepat seperti suara yang kedengaran dalam mimpi tersebut. Sdri. Lourence mengetahui bahawa rupa-rupanya Tuhan telah cuba memberitahunya lebih awal bahawa Sdr. Masneh akan dipanggil oleh Tuhan dalam masa terdekat.
Penglihatan ke-2:
Pada 21 Jun 2007, khamis malam, Sdri. Alinah Kisus mendapat penglihatan ketika mengikuti doa khas di gereja Tinuhan. Semasa dia mendoakan Sdr. Masneh yang sedang sakit tenat di hospital, tiba-tiba dia melihat satu senario di mana mereka sedang melawat Sdr. Masneh di hospital. Di sana, dia melihat Sdri. Morina dan Sdri. Florence Singkul. Sdr. Masneh pula sedang berbaring di katil dengan selimutnya. Dia melihat semua pelawat membantu doa dan selepas doa berakhir, Sdri. Alinah melihat roh Sdr. Masneh keluar dari tubuh dengan jubah putih yang panjang dan kain putih yang terikat di kepalanya sambil bersenyum dan melihat di sekeliling. Ketika itu, Sdri. Alinah terasa sangat sedih dan tiba-tiba terdengar suara yang jelas berbunyi mengatakan: ”Saya memang akan ambil dia”. Selepas pemberitahuan suara tersebut, Sdri. Alinah tersedar daripada penglihatan dan menyedari semula bahawa dia sedang berdoa di gereja Tinuhan. Dia terhenti berdoa seketika merenungkan hal ini, dan seterusnya dia berdoa semula meminta agar jadilah kehendak Tuhan dan kiranya Tuhan menghibur tunang Sdr. Masneh iaitu Sdri. Morina.
Penglihatan ke-3:
Pada 22 Jun, semasa kebaktian malam di Gereja Tinuhan, ketika dalam doa penutup semua jemaat sedang tekun mendoakan Sdr. Masneh yang sakit tenat. Pada masa itu, Sdri. Lintar Bikat[4] mendapat satu penglihatan. Dalam doa dia melihat Sdr. Masneh berjubah putih yang panjang dengan kain putih terikat di bahagian kepalanya, sedang duduk bersila dengan jubahnya menutupi tempat duduk empat segi yang tidak berkaki dan tanpa tempat bersandar, di sekitarnya terdapat lebih kurang 20 orang yang duduk di lantai sedang mendiamkan diri, kemudian beliau perlahan-lahan terangkat ke langit dengan senyuman sambil melambai-lambaikan kedua-dua tangannya. Ketika itu, kelihatan seorang perempuan yang seperti ibu Sdr. Masneh sedang membelakanginya. Melalui penglihatan ini Sdri. Lintar memahami bahawa ada tanda-tanda Tuhan akan memanggil Sdr. Masneh ke pangkuan-Nya.
Penglihatan ke-4:
23 Jun, pada 4.30 petang, satu kebaktian khas diadakan di rumah Sdr. Masneh. Kebaktian tersebut dipimpin oleh Pnt. Timotius dengan tajuk ”Tuhan Pergi Menyediakan Tempat”. Semasa doa penutup berlangsung, Sdri. Solima, Puan kepada Pdt. Seraya telah mendapat satu penglihatan. Dia melihat satu tempat yang tinggi melangit, seolah-olah dilitupi awan atau kabus; seperti di awang-awangan. Kelihatan ramai orang sedang berduyun-duyun menuju ke tempat yang lebih tinggi untuk menghadiri upacara pernikahan; dan mereka semua mengenakan jubah pengantin perempuan yang putih dan panjang. Sdri. Solima kemudiannya melihat Sdr. Masneh berdiri di tepi sedang berpakaian kot yang sangat baru, seperti seorang pengantin lelaki. Tempat yang mereka sedang tujui terdapat lebih ramai orang yang mengenakan jubah seperti pengantin perempuan dan mereka sedang bersedia menyambut ketibaan Sdr. Masneh. Beliau memalingkan dirinya ke arah Sdri. Solima dengan wajah yang tersenyum, air mukanya berseri-seri dan sangat ceria. Sdri. Solima merasakan bahawa jarak tempatnya dengan tempat di mana Sdr. Masneh berada itu seolah-olah sangat jauh, tambahan pula tidak ada sebarang tangga atau laluan yang dilihat untuk menuju ke sana. Penglihatan ini telah menghilangkan kesedihan yang dirasai dan meyakinkan bahawa beliau benar-benar sudah berada di tempat yang terindah. Penglihatan ini lenyap ketika doa diakhiri. Penglihatan ini bukan hanya menghibur tetapi juga menghasilkan pengharapan yang hidup yang diimpikan oleh umat Tuhan.
Kesimpulan
Jika ditinjau dari sudut pandangan manusia, kepergian Sdr. Masneh seolah-olah terlalu awal dan kita semua belum bersedia dengan ketiadaannya. Namun kita perlu menerima kehendak Tuhan dengan iman dan kesyukuran, kerana rencana-Nya adalah yang terbaik dan masa-Nya adalah yang sempurna (Rom 12:2). Dalam Wahyu 14:13 memberi penghiburan dengan mengatakan:-
Berbahagialah orang yang mati dalam Tuhan, kerana mereka beristirahat daripada jerih-lelah dan perbuatan mereka menyertai mereka.
Bila mengenangkan status kesihatan beliau yang begitu lemah, sememangnya tidak mengizinkan beliau untuk meneruskan pelayanannya. Hakikat yang perlu kita akui, selama ini beliau cukup menderita dengan penyakitnya; dan kini beliau telah beristirahat dan lega daripada segala penyakitnya. Tambahan pula misi beliau yang diamanatkan Tuhan di muka bumi ini telah selesai, telah tiba masa beliau menikmati hasil daripada jerih-payahnya. Sesungguhnya besar upah dan kemuliaan yang menanti beliau di Syurga. Namun kita turut bersimpati dan merasakan kesedihan daripada keluarga dan tunang Sdr. Masneh. Marilah bersama-sama mendoakan mereka dan mengambil berat akan mereka. Kita yakin anugerah Tuhan tetap mencukupi sebagaimana Tuhan mengasihi Sdr. Masneh dalam hidupnya, demikian juga Tuhan pasti menjaga keluarga dan tunang yang dikasihinya. Kita tidak kehilangan beliau, cuma beliau mendahului kita dan menanti saat untuk bertemu dengan kita di Syurga. Sungguh, kita amat mengharapkan saat pertemuan dengan Sdr. Masneh di Syurga!
”Semoga Allah sumber pengharapan memenuhi kamu dengan segala sukacita dan damai sejahtera dalam iman kamu supaya oleh kekuatan Roh Kudus kamu berlimpah-limpah dalam pengharapan”.(Rom15:13)
Biografi Sdr. Masneh Singkul
- Lahir pada 07 September 1978
- Anak keenam daripada 7 orang adik beradik
- Didapati mengalami masalah jantung berlubang pada umur 9 bulan
- Menjalani rawatan setiap bulan sehingga berumur 12 tahun
- Rawatan terhenti sejak 1990 sehingga tahun 1999
- Selepas mengalami pembedahan untuk membuang apendiks pada Januari 1999, doktor memberi komen tentang masalah jantungnya
- Bernazar akan mempersembahkan hidupnya kepada Tuhan sekiranya pembedahan jantung berjaya
- Berjaya menjalani pembedahan untuk membaiki jantung berlubang dan mengganti injap yang rosak pada Jun 2001 di Institut Jantung Negara, KL
- Pada November 2002, ditahan selama 1 minggu di HQE, KK kerana ‘overdose warfarin’
- 31 Mei 2006 Sdr. Masneh bertunang dengan Sdri. Morina Yamin
- Dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Keningau pada pagi 21 Jun 2007, dipindahkan ke HQE, KK pada petang 21 Jun 2007
- Disahkan oleh doktor mengalami ’intracranial bleeding’ melebihi 35%
- Meninggal dengan tenang pada pagi Sabat, 23 Jun 2007
- Seorang anak, adik dan abang yang bertanggungjawab, prihatin dan penuh kasih[5]
- Seorang tunang yang penyayang dan pengasih[6]
- Seorang rakan yang peramah, mudah mesra, dikasihi orang & pendamai
- Seorang hamba Tuhan yang setia, taat, cekal, inisiatif, sangat prihatin tentang jemaat dan teman sekerja[7]
[1] Ibu Sdr. Masneh terbaca dalam buku catatannya
[2] Kidung bil. 407, 164 (tidak sempat dihabiskan, sdr Masneh dipanggil Tuhan ketika lagu ini sedang dinyanyikan)
[3] Sdr. Masneh telah bertunang dengan Sdri. Morina Yamin pada 31 Mei 2006
[4] Pdt. Lemuel Leong menemuramah Sdri. Lintar pada 30 Jun 2007
[5] Komen daripada keluarga
[6] Komen daripada tunangnya Sdri. Morina
