Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Sakramen Perjamuan Kudus

Zakheus Yong

“Barang siapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, ia mempunyai hidup yang kekal dan Aku akan membangkitkan dia pada akhir zaman” (Yoh 6:54)[1].

Yesus Kristus sendiri telah menetapkan perjamuan kudus pada waktu malam sebelum Dia dikhianati oleh Yudas Iskariot. Pada malam tersebut, Tuhan Yesus memakan perjamuan kudus Paskah bersama dengan murid-murid-Nya di Yerusalem. Tuhan Yesus memberkati roti dan cawan berisi jus anggur untuk menjadikannya sebagai perjamuan kudus (Luk 22: 7-15, 19-20).

Pada zaman perjanjian lama, perayaan Paskah dirayakan untuk memperingati anugerah penyelamatan Tuhan kepada bangsa Israel ketika keluar dari tanah Mesir. Namun dalam perjanjian baru, sakramen perjamuan kudus adalah paskah demi mengingati Tuhan Yesus yang mati demi kita (Luk 22:19; I Kor 11:24-25).

Tuhan Yesus dilahirkan ke dunia dalam keadaan miskin, rela diseksa, dihina, dan dihukum tanpa keadilan. Yesus Kristus mati tergantung di salib semata-mata menanggung dosa manusia (II Kor 8:9; Rom 4:24; Ibr 2:9). Justeru, kita perlu mengingati kematian Tuhan Yesus, kerana bilur-bilur-Nya kita disembuhkan (I Pet 2:24). Lebih-lebih lagi dalam perjamuan kudus kita mendapat persekutuan dalam darah dan tubuh Tuhan (I Kor 10:16; Yoh 6:56).

Bahan-bahan yang digunakan membuat Perjamuan Kudus

Sakramen Perjamuan Kudus adalah perkara yang amat rahsia kerana menerima daging dan darah Tuhan membawa erti bersekutu dengan-Nya (I Kor 10:21-22). Lantaran itu, bahan-bahan yang dibuat untuk dijadikan perjamuan kudus harus murni dan kudus. Oleh yang demikian, bahan-bahan perjamuan kudus yang TEPAT menurut kebenaran alkitab adalah:

a.     Sekeping roti yang tidak beragi.

Dalam perayaan Paskah, umat Tuhan diperintahkan untuk menggunakan roti yang tidak ada ragi (Im 23:4-6). Justeru dalam perjamuan kudus wajib menggunakan roti yang tidak beragi. Ini disebabkan ragi melambangkan dosa dan kejahatan (1 Kor 5:7-8). Roti yang digunakan hanya satu kerana tubuh Tuhan Yesus adalah satu sahaja (Ef 4:4). Walaupun ramai orang yang menerima perjamuan kudus, namun harus menggunakan sekeping roti yang tidak beragi (I Kor 10:16-17).

Kita tidak boleh menggunakan biskut atau roti yang dikeluarkan oleh kilang. Ini kerana biskut atau roti di pasaran adalah mengandungi ragi.

b.    Hasil pohon anggur (Jus buah anggur).

Tidak boleh menggunakan sebarang jus buah-buahan seperti air kelapa atau air sirap. Penggunaan arak atau jus anggur yang ditapaikan juga tidak dibenarkan dalam perjamuan kudus. Semua bahan ini mengandungi ragi. Oleh yang demikian, gereja harus menggunakan jus buah anggur yang tulen tanpa ragi seperti yang diajarkan oleh Yesus Kristus (Mat 26:29; Mrk 14:25).

Para pembaca harus meneliti bahan perjamuan kudus dalam kitab suci tentang bahan-bahan yang diajarkan oleh Yesus Kristus kepada kita. Jangan sampai ada sesetengah orang mengubah ketetapan Tuhan ini.

Sakramen Perjamuan Kudus adalah perjamuan Tuhan, maka perlu dilaksanakan dengan teliti. Cara pelaksanaan sakramen perjamuan kudus adalah seperti berikut:

  1. Orang yang layak melaksanakan Perjamuan Kudus adalah mereka yang memegang jawatan kudus melalui pengurapan. Contohnya penatua, pendeta dan diaken (Kel 30:30).
  2. Harus dilaksanakan dalam nama Tuhan Yesus Kristus (Kol 3:17).
  3. Firman kebenaran tentang Perjamuan Kudus disampaikan terlebih dahulu, diikuti dengan doa memberkati roti tidak beragi menggunakan bahasa akal. Roti yang sudah diberkati itu telah menjadi tubuh Yesus Kristus yang rohani, kemudian dipecah-pecahkan[2] dan diedarkan kepada para pemercaya (Mat 26:26).
  4. Selanjutnya, jus anggur yang tidak beragi diberkati menggunakan bahasa akal agar jus itu menjadi darah Tuhan Yesus dalam rohani. Selepas itu darah Tuhan itu diedarkan kepada para pemercaya (Mat 26:27).

Setiap kali selepas memberkati roti tidak beragi itu, pekerja suci berkata “Inilah tubuh Tuhan Yesus yang dipecah-pecahkan untuk kita” begitu juga selepas memberkati jus anggur, pekerja suci berkata “inilah darah Yesus Kristus yang ditumpahkan demi kita”. Kata-kata ini diucapkan demikian kerana Yesus Kristus juga mengucapkan kata-kata demikian pada waktu malam ketika mengadakan perjamuan kudus. Dalam hal ini setiap kali kita menerima perjamuan kudus, ia menyingkapkan rahsia rohani bahawa perjamuan kudus merupakan darah dan daging Yesus Kristus agar kita memperoleh hidup kekal.

Syarat Menerima Perjamuan Kudus

Perjamuan kudus haruslah diterima dengan tertib iaitu;

  1. Menyediakan diri agar sentiasa kudus.

Kita harus membuang segala ragi dalam diri kita (I Kor 5:6-7). Dengan demikian kita perlu sentiasa menguji diri sendiri sama ada layak menerima perjamuan kudus (I Kor 10:28). Orang yang layak menerima perjamuan kudus harus menerima, tidak boleh dengan sengaja tidak menerimanya (Bil 9:13).

  1. Harus mengakui bahawa roti dan jus anggur yang kita terima adalah tubuh dan darah Tuhan.   Jangan menganggap itu adalah roti dan jus anggur yang biasa kerana Tuhan akan mendatangkan kecelakaan ke atas diri kita (I Kor 11:29-30).
  2. Harus menerimanya dengan penuh syukur, ketenangan, salih dan penuh iman (I Kor 11:33).
  3. Harus menerima di satu tempat, jangan dibawa keluar ke mana-mana (Kel 12:46).
  4. Sisa perjamuan kudus tidak boleh disimpan sampai keesokan harinya (Kel 12:10; Bil 9:12).
  5. Mereka yang belum dibaptis tidak diperbolehkan untuk menerimanya (Kel 12:43).
  6. Pemercaya yang telah melakukan dosa maut seperti menyembah berhala, berzina dan membunuh tidak boleh menerimanya (I Kor 11:27-31).

Tekad Setelah menerima Perjamuan Kudus

Setiap orang yang menerima perjamuan kudus harus bertekad dalam hidupnya untuk menjadi pengikut Tuhan Yesus, bertekad menjaga kekudusan, saling mengasihi sesama manusia dan dengan penuh iman menanti kedatangan Tuhan Yesus untuk pulang ke syurga.

Jika kita menerima daging dan darah Tuhan Yesus dengan cara yang layak, maka kita memperoleh hidup kekal dan Tuhan akan membangkitkan kita pada akhir zaman (Yoh 6:53-54).


[1] Lembaga Alkitab Indonesia.1996. Jakarta.Indonesia.

[2] Dibahagi-bahagikan kepada cebisan kecil dengan menggunakan tangan

Inti Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Inti Sakramen Perjamuan Kudus

Lemuel Leong

Intro

Ketika Tuhan Yesus dan murid-murid-Nya bersama-sama pada malam jamuan Paskah, Dia mengambil roti tidak beragi dan mengucapkan berkat, seterusnya memecah-mecahkannya dan berkata: ”Inilah tubuhku, ambil dan makanlah”.  Kemudian Dia mengambil cawan[1] dan selepas  mengucapkan berkat Dia berkata: ”Inilah darah perjanjian-Ku, yang ditumpahkan untuk pengampunan dosa” (Mt 26:26-28).  Sejak Tuhan Yesus menubuhkan perjamuan kudus maka ia telah kerap kali diamalkan oleh para rasul dan pemercaya peringkat awal. Selepas Hari Pentakosta, mereka memecah-mecahkan roti setiap hari.  Ini bukan setakat jamuan kasih tetapi juga menunjukkan bahawa mereka menerima perjamuan kudus setiap hari memandangkan ”setiap hari” ada jiwa baru yang ditambahkan kepada kumpulan pemercaya.  Jiwa-jiwa baru ini dibaptis terlebih dahulu dan seterusnya menerima perjamuan kudus (Ras 2:42, 46-47).  Di samping itu, rasul Paulus turut menerima ilham secara langsung daripada Tuhan Yesus agar mengamanatkan jemaat supaya kerapkali menerima  perjamuan kudus demi memperingati kematian Tuhan (1 Kor 11:23-26).  Perjamuan kudus, sejak itu telah menjadi warisan kebenaran yang diturun-temurunkan dalam sejarah agama Kristian sehingga diiktiraf sebagai satu sakramen. Ia diberi gelaran yang berlainan seperti jamuan malam Tuhan (The Lord’s supper), Jamuan malam terakhir (The Last Supper), Jamuan kesyukuran (Eucharist), persekutuan kudus (Holy Communion) dan sebagainya.

Apakah Inti Perjamuan Kudus selepas doa ucapan berkat?

Dalam sejarah agama Kristian, satu topik kebenaran yang hangat diperdebatkan selama berkurun-kurun ialah apakah inti perjamuan kudus selepas diucap berkat.  Berikut adalah pengenalan tentang beberapa konsep pengenalan yang berbeza tentang perjamuan kudus.

1.   Perubahan unsur kebendaan (Transubstansiasi)

Satu ideologi yang percaya bahawa selepas ucapan berkat maka sesuai dengan prefix[2] ”tran”, satu perubahan dalam inti roti dan wain telah berlaku. Justeru tubuh Tuhan dan darah Tuhan ternyata secara material namun warna, bentuk, bau dan rasa roti dan anggur kekal tak berubah.  Istilah ini pertama kali muncul dan diambilguna pada sidang Lateran ke-4 pada tahun 1215S.M.  Ia disahkan secara rasmi melalui sidang Trent sebagai dogma pada tahun 1551S.M.   Dengan konsep kefahaman tersebut maka selepas ucapan berkat perjamuan kudus, adakalanya roti dan wain dibawa dalam perarakan untuk disembah oleh pemercaya. Semasa menerimanya pemercaya biasa dilarang menyentuh roti manakala imam akan menyuapkan ke dalam mulut pemercaya, namun mereka dilarang mengunyah atau menggigit roti sebaliknya membiarkan roti sendiri hancur dalam mulut.  Hanya imam yang akan minum wain perjamuan kudus manakala pemercaya biasa dilarang minum.  Ajaran ini dipeluk oleh Roman Katolik dan ia juga secara rasmi dijadikan dogma Gereja Orthodox Yunani sejak sidang gereja di Yerusalem (Synod of Jerusalem, 1672S.M).

2.   Teori kewujudan bersama (Konsubstansiasi)

Konsep ini diperkenalkan sejak abad ke-16 oleh Martin Luther (1483-1546S.M.) melalui  penulisan beliau.  Istilah ini mula digunapakai oleh Melanchthon, seorang ahli reformasi yang  lebih muda dan seangkatan dengan Martin Luther. Martin Luther pernah menjawat jabatan sebagai seorang imam di Roman Catholic yang seringkali melaksanakan perjamuan kudus. Namun kemudian dia menentang kesahihan transubstansiasi dengan memperkenalkan konsep konsubstansiasi ini. Teori ini beranggapan bahawa Yesus wujud ”bersama, di dalam dan di bawah” roti dan wain perjamuan kudus.  Tidak ada sebarang  perubahan dalam unsur roti dan wain, dalam prefix ”kon” menunjukkan roti dan wain wujud bersama dengan tubuh fizikal Tuhan dan darah fizikal Tuhan.  Martin Luther mempertahankan konsep ini dengan alasan bahawa Yesus mempunyai sifat ketuhanan dan sifat kemanusiaan bersama. Kanak-kanak dilarang menerima memandangkan mereka kurang keupayaan untuk menguji diri sendiri (1 Kor 11:28).  Ajaran ini didukung oleh aliran Penginjilan Lutheran dan Episcopal atau Anglikan serta sekumpulan Orthodox Timur Yunani.

3.   Simbolisme

Huldreich Zwingly (1484-1531S.M.), pengasas aliran gereja refomasi di Switzerland, pada mulanya merupakan seorang teman sekerja Martin Luther yang baik.  Namun kemudiannya kerana tidak bersetuju dengan tafsiran Martin Luther tentang perjamuan kudus, akhirnya mereka berpisah dan masing-masing membentuk aliran baru.  Zwingly beranggapan bahawa hubungan antara perjamuan kudus dengan tubuh dan darah Tuhan semata-mata adalah simbolik.  Dalam frasa Yesus berkata ”ini adalah (esti) tubuh-Ku” hanya bermaksud ”ini menggambarkan (significat)[3] tubuh-Ku”.  Dia mempertahankan bahawa pemercaya yang menerima tubuh dan darah Tuhan secara rohani hanya menunjukkan bahawa mereka menaruh kepercayaan dalam kebaikan dan kemurahan Tuhan dengan segenap hati dan jiwa, satu kaedah untuk percaya terhadap Tuhan.  Dia menjelaskan bahawa tubuh Tuhan dan darah Tuhan hanya wujud apabila pemercaya membuat renungan dengan iman.  Pelaksanaan perjamuan kudus cuma untuk memperingati penebusan melalui kematian Kristus dan menunjukkan seseorang itu rela mempersembahkan diri demi melayani Tuhan. Dengan nada bergurau, Zwingly turut mengatakan bahawa roti perjamuan kudus tiada bezanya dengan roti biasa di pasar, konsep makan dan minum adalah keanak-anakan, hanya boleh diterima di kalangan puak yang memakan daging manusia (cannibal).

Terdapat konsep lain seperti Calvinism yang juga sangat berpengaruh dalam sejarah agama Kristian. Namun pada hakikatnya pandangan John Calvin (1509-2564) hanyalah kombinasi daripada konsep Lutheran dan Zwingly iaitu satu usaha dan pergerakan yang cuba mempersatukan percanggahan antara Konsubstansiasi dan Symbolisme. Oleh itu tidak perlulah dijelaskan di si

Komentar tentang konsep perjamuan kudus tersebut.

Penulis cuba membuat komentar terhadap konsep-konsep tersebut berdasarkan alkitab.

1.  Transubstansiasi?

  • Ketika Tuhan Yesus menubuhkan perjamuan kudus dan selepas mengucapkan berkat, Dia masih menyebut anggur sebagai hasil pokok anggur (Mat 26:29).   Jelas menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan unsur selepas pemberkatan, anggur masih kekal sebagai anggur dalam unsur materialnya.
  • Selepas Tuhan Yesus memberkati anggur, Dia berkata: ”Minumlah, kamu semua, dari cawan ini” (Mat 26:27). Semua murid Tuhan Yesus minum anggur perjamuan kudus, tiada seorangpun yang dikecualikan.

Paulus berkata:  “bukankah cawan pengucapan syukur, yang atasnya kita ucapkan syukur, adalah persekutuan dengan darah Kristus?”  Mesej Paulus ditujukan kepada setiap jemaat Korintus secara umum, juga menunjukkan bahawa mereka semua minum daripada anggur perjamuan kudus dan tiada sesiapapun yang dikecualikan. Minum dari anggur perjamuan kudus bukan hak istimewa bagi imam gereja.

  • Tuhan Yesus berkata:  ”Ambillah, makanlah, inilah tubuh-Ku” (Mat 26:26).  Senario yang dipamerkan di sini ialah murid-murid mengambil roti dengan tangan sendiri dan makan.  Mereka juga tidak pernah dilarang mengunyah atau menggigit roti perjamuan kudus itu.  Mereka hanya disuruh makan, bukannya disuruh untuk menyembah roti perjamuan kudus. Tuhan adalah roh, penyembah yang benar hanya menyembah Tuhan dalam roh dan kebenaran (Yoh 4:21-24).
  1. Konsubstansiasi?
  • Kata Tuhan Yesus:  “inilah tubuh-Ku…inilah darah-Ku (Mat 26:26; 28).  Frasa yang diungkapkan oleh Tuhan Yesus langsung tidak menyentuh bahawa tubuh fizikal dan darah fizikal-Nya wujud atau hadir bersama dengan roti dan anggur perjamuan kudus. Selepas mengucap berkat, Tuhan Yesus hanya secara langsung menyebut roti sebagai tubuh-Nya dan anggur sebagai darah-Nya, tiada yang lebih daripada itu.
  • Semasa di dunia Tuhan Yesus tidak menolak kanak-kanak datang kepada-Nya (Luk 18:15-17).  Kesan menerima perjamuan kudus adalah mendapat hidup kekal dan bersekutu dengan Tuhan.  Kanak-kanak juga layak mendapat bahagian dalam janji berkat yang penting ini (Yoh 6:54,56). Justeru, tiada alasan untuk mengecualikan kanak-kanak daripada menerima perjamuan kudus.
  1. Simbolisme?
  • Secara harfiah[4] Yesus menjelaskan ”ini adalah tubuh-Ku…dan…ini adalah darah-Ku” (Mat 26:26; 28). Dia langsung tidak mengatakan bahawa itu menggambarkan tubuh-Nya mahupun itu simbol tubuh-Nya.
  • Sebaliknya Yesus menegaskan bahawa ”daging-Ku adalah benar-benar makanan dan darah-Ku benar-benar minuman” (Yoh 6:55).  Ia bukanlah perlambangan, gambaran ataupun simbol.

Apakah inti perjamuan kudus selepas ucapan berkat?

Selepas diucap berkat, perjamuan kudus telah menjadi tubuh Tuhan dan darah Tuhan secara rohani.  Ringkas kata ia menjadi makanan dan minuman rohani berdasarkan kuasa firman Tuhan dan Roh Kudus.  Konsep ini boleh difahami apabila merujuk kepada ayat-ayat berikut:-

  • Ketika Tuhan Yesus memperkenalkan diri-Nya sebagai roti dari syurga, Dia menekankan kepentingan untuk mengusahakan makanan yang bertahan sampai selama-lamanya, bukan makanan yang binasa (Yoh 6:27).
  • Khasiat perjamuan kudus ialah untuk mendapat hidup kekal;  hanya nyawa rohani yang akan hidup selama-lamanya bukan tubuh fizikal.  Oleh itu perjamuan kudus adalah makanan kepada nyawa rohani (Yoh 6:53-54).
  • Sebaik sahaja menjelaskan firman roti dari syurga, Yesus menekankan ’rohlah yang memberi hidup, daging sama sekali tidak berguna’ menunjukkan bahawa Dia mahu murid-murid-Nya lebih mementingkan hidup rohani daripada hidup jasmani (Yoh 6:63).

Kesimpulan

Memandangkan perjamuan kudus adalah makanan rohani:

  1. apabila menerima, tidak bergantung kepada kuantitinya (I Kor 10:16)   ”sungguhpun banyak tetapi mendapat bahagian dalam roti yang satu itu”
  2. bayi boleh menerima khasiat daripada perjamuan kudus itu walau hanya memakan secebis roti kecil seperti butir pasir ataupun setitis anggur yang diminum cukup mengandungi khasiat perjamuan kudus yang sempurna.
  3. khasiat perjamuan kudus adalah satu rahsia yang tidak boleh dirasai secara fizikal namun kita harus menerima dan percaya dengan iman maka khasiat perjamuan kudus seperti hidup kekal, bersekutu dengan Tuhan, dan janji kebangkitan pada akhir zaman pasti akan melimpahi kita.

Bibliografi:

  1. The Lord’s Supper Is A Celebration of Grace, Gordon Keddie.
  2. Encarta Premium Encyclopedia.
  3. Penjelasan Lima Doktrin,  Hsieh Soon Tao.


[1] yang berisi jus anggur

[2] bermaksud awalan

[3] dalam bahasa Yunani

[4] hurufiah

Penglihatan Dalam Sakramen Perjamuan Kudus
| |

Penglihatan Dalam Sakramen Perjamuan Kudus

Sdri. Ng Siew Wei

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus Kristus menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Ng Siew Wei, berasal dari Gereja Labuan.

Bermula 27 November hingga 17 Disember saya telah menyertai Kursus Teologi Jangka Pendek di gereja Tuaran.

Pada 5 Disember 2009 bersamaan dengan hari Sabat, gereja Tuaran telah mengadakan Sakremen Perjamuan Kudus pada petang tersebut, iaitu pada kebaktian hari Sabat sesi kedua. Pada waktu itulah saya mendapat penglihatan. Saya mula melihat penglihatan apabila khotbah pendeta hampir tamat.

Pada masa itu, tiba-tiba bibirku kehilangan kepekaannya, sangat kering, seolah-olah dibakar oleh api. Saya cuba untuk minum air secukup-cukupnya, tetapi tidak terasakan air mengalir melalui bibir saya. Saya berasa takut. Saya bertanya kepada kawan saya dan dia memberitahu bahawa bibir saya tidak kelihatan kering, bertambah takutlah saya dan mula gementar. Pada masa itu, saya terasa ada satu intuitif bahawa selepas menerima perjamuan kudus, situasi ini akan berhenti. Oleh itu saya menunggu dan menahan kesakitan itu.

​Tidak lama kemudian, apabila pendeta berkata, “Sekarang kita akan mengucap syukur ke atas roti tidak beragi ini.” Saya memandang ke arah mimbar. Saya melihat terlebih empat orang di atas mimbar. Jumlahnya ialah enam orang termasuk pendeta dan penterjemah. Saya bertanya kepada kawan saya adakah dia melihat empat orang yang lain di atas mimbar, dia memberitahu hanya melihat dua orang sahaja iaitu pendeta dan penterjemah. Saya makin berasa takut. Lalu saya menitiskan beberapa titis ubat mata kerana beranggapan bahawa kanta sentuh saya telah beralih dari tempat asal sehingga mengakibatkan saya melihat terlebih empat bayang hitam di bawah sinaran lampu. Selepas menitis, saya mendapati kanta sentuh saya bukan sahaja tidak beralih dari tempat asal malah masih melekat di mata saya dengan baik.

​Apabila sekali lagi saya memandang ke arah mimbar, empat bayang-bayang tersebut masih wujud. Di antara bayang-bayang tersebut, satu berdiri di belakang pendeta dan satu lagi berdiri di belakang penterjemah. Dua bayang-bayang lagi berdiri di tepi pentas mimbar. Bayang-bayang tersebut kelihatan seperti manusia, tetapi sayang sekali saya tidak dapat melihat wajah mereka. Kepala bayang-bayang tersebut berbentuk bulat, tetapi terdapat sedikit bentuk yang tajam di atas kepala mereka. Bayang-bayang tersebut berwana hitam tetapi mempunyai sedikit kelabu. Bayang-bayang tersebut bercahaya, saya beranggapan bahawa itu merupakan cahaya akibat sinaran lampu. Tetapi apabila saya menelitinya, saya mendapati bahawa atas cahaya tersebut adalah gelap kelabu, dan cahaya tersebut sangat terang, sehingga mata saya hampir tertutup dan saya tidak berani memandang ke arah tersebut.

Apabila pendeta mengambil roti tanpa beragi, sekali lagi saya memandang ke arah mimbar, tetapi saya mendapati roti tidak beragi di atas pinggan yang dipegang pendeta itu berwarna hitam. Seharusnya ia berwarna putih. Sekali lagi saya menitiskan ubat mata kerana beranggapan bahawa kanta sentuh saya beralih dari tempat asalnya, tetapi kanta sentuh tersebut tidak beralih. Selepas itu, pendeta berkata sujud berdoa untuk mengucap syukur.

​Selepas berlutut, apabila saya melihat ke atas mimbar melalui tempat duduk saya, saya hanya melihat sebahagian kecil kepala pendeta dan penterjemah. Saya melihat dua bayang tersebut telah menutupi pendeta dan penterjemah, dan yang saya lihat ialah bahagian belakang bayang tersebut. Pada masa itu, saya tidak berani untuk melihat ke atas lagi, saya menumpukan perhatian dalam doa. Semasa berdoa, saya berfikir adakah sebelum ini saya telah melakukan sesuatu yang tidak patut dalam gereja. Saya lupa bahawa tidak boleh menjalankan urusan jual beli di dalam gereja, tetapi saya dan kawan saya telah berdosa secara tidak sengaja. Dalam doa, saya tidak berhenti-henti memohon Tuhan untuk mengampuni dosaku, kerana saya berasa Tuhan sedang menghukum saya. Selepas selesai berdoa, saya ingat bayang-bayang tersebut akan hilang, tetapi ia masih ada.

​Pada kali ini, pendeta menjemput seorang lagi pendeta dan diaken gereja tempatan ke atas mimbar untuk memecahkan roti tidak beragi yang telah diucap syukur, penterjemah juga turun dari mimbar. Bayang-bayang yang berada di belakang penterjemah turut ikut turun. Tetapi apabila penterjemah telah turun dari mimbar, tiba-tiba bayang tersebut hilang. Belakang pendeta dan diaken gereja tempatan masing-masing terdapat satu bayang hitam. Di atas mimbar, empat bayang tersebut telah menjadi tiga, ketinggian bayang yang mengikuti belakang dua pendeta dan seorang diaken adalah tidak sama iaitu ketinggian lebih setengah kepala sehingga satu kepala. Saya tidak berani melihat ke atas lagi. Saya teruskan nyayian kidung. Tidak lama kemudian, pendeta memanggil seorang lagi pendeta, diaken gereja tempatan, diakenis dan seorang saudara untuk mambahagikan roti tidak beragi. Selepas roti dibahagikan, ada satu bayang hitam kelabu di belakang mereka semua.

​​Pada masa itu, diakenis membahagikan roti di barisan saya, semasa dia berjalan ke arah saya, saya tidak berani untuk memandangnya. Pada masa itu, saya melihat cahaya di belakangnya amat terang. Apabila diakenis sampai di tepi saya, saya mengambil secebis roti tidak beragi yang telah diucap syukur dengan segera. Saya memakannya selepas berdoa dalam hati. Tetapi anehnya, walaupun roti itu telah dikunyah dalam mulut saya, tetapi ia tidak dapat ditelan. Hal ini menakutkan saya lagi, saya fikir bahawa roti suci tersebut tidak masak, tetapi perkara seperti ini tidak mungkin berlaku. Saya membiarkan roti tersebut berada di dalam mulut saya dan terus menyanyi kidung. Tetapi apabila saya mula menyanyi, tanpa disedari roti suci tersebut telah ditelan. Bibir saya kembali berderia, tidak lagi mempunyai rasa dibakar. Walaupun bibir saya tidak bermasalah, tetapi perut saya pula rasa sakit. Saya bertanya pada kawan saya:” Bolehkah saya pergi ke tandas?”. Dia menjawab mungkin boleh.

​Saya melihat sakramen perjamuan kudus hampir tamat, saya cuba bersabar sehingga sakramen tamat. Tetapi saya tidak terfikir bahawa apabila saya mendongak kepala dan melihat, saya melihat empat barisan di depan saya iaitu dari tempat duduk saudara sehingga saudari, sedang bercahaya. Badan setiap orang bercahaya tanpa henti. Tetapi tempat duduk selepas barisan keempat pula tidak bersinar. Tidak lama kemudian, saya melihat diakenis menghulurkan roti suci kepada pianist, saya ingat bahawa muzik piano akan berhenti. Oleh itu, saya juga bersedia untuk menyanyi secara A Cappella. Tetapi tanpa dijangka muzik bukan sahaja tidak berhenti malah sangat merdu. Saya sangka telinga saya yang bermasalah. Oleh itu saya melihat ke arah piano tetapi pemain piano telah mula memainkan piano. Oleh itu saya berkeputusan untuk memerhatikannya sekali lagi semasa menerima darah Tuhan.

​Selepas 5 minit, kami mula menerima darah Tuhan. Pendeta memanggil kami sujud untuk berdoa dan mengucap syukur. Tetapi dalam doa kesyukuran, saya langsung tidak tahu apa yang sedang saya doakan. Apabila saya mendengar perkataan ‘Amin’ diucapkan, saya pun berhenti berdoa. Semasa saya memandang ke atas mimbar, saya mendapati bayang-bayang tersebut masih wujud dan terdapat dua bayang baru. Kedua-dua bayang ini mempunyai sedikit perbezaan dengan bayang-bayang sebelum ini, iaitu berwarna putih dan cahayanya amat terang, lebih terang daripada bayang sebelum ini. kedua-dua bayang putih ini berdiri di dinding tepi mimbar. Tangan bayang putih yang berdiri di sebelah kanan seolah-olah sedang memegang sesuatu yang seperti obor api atau kayu. Tangan bayang putih yang berdiri di sebelah pula memegang sebuah buku yang amat besar. Buku tersebut kelihatan seperti yang sangat lama.

Selanjutnya, kami teruskan nyayian sehingga diakenis menghulurkan jus anggur (darah Tuhan) kepada saya, saya melihat cahaya yang bersinar daripada bayang yang berada di belakangnya amatlah terang. Tetapi saya tidak dapat bertahan dengan keterangan cahaya tersebut, oleh itu saya tidak memandangnya lagi. Saya menunggu giliran pemain piano untuk menerima cawan. Semasa saya berdoa dalam hati atas darah Tuhan, saya tidak mengetahui apakah yang saya doakan sehingga kawan saya menggerakkan saya, saya melihat seorang saudara berdiri di depan saya dan sedang menunggu cawan perjamuan kudus tersebut. Dengan segera saya meminumnya. Tiba-tiba saya merasa seperi terdapat suatu arus elektrik yang masuk ke dalam badan saya melalui kepala.

​Ketika saya kembali dari tandas, doa telah bermula. Pada masa yang sama, saya melihat tiga barisan tempat duduk di belakang mempunyai sedikit cahaya, warnanya seperti warna langit yang kebiru-biruan dan seluruh gereja adalah bercahaya. Saya juga melihat dua bayang putih itu tidak lagi berdiri di atas mimbar, iaitu berdiri di bawah pentas mimbar. Cahaya yang dihasilkan dari kayu yang dipegang oleh bayang di sebelah kanan kelihatan lebih terang daripada cahaya bayang tersebut. Buku yang berada di tangan bayang sebelah kiri telah dibuka dan saya melihat cahaya yang terpancar dari buku tersebut amatlah terang. Dengan segera, saya memejamkan mata dan mula berdoa. Selepas doa tamat, saya melihat gereja telah kembali ke rupa yang asal. Dalam sakramen perjamuan kudus ini, saya telah menerima satu perjamuan kudus yang belum pernah saya terima sebelum ini.

​Sesungguhnya saya berasa saya telah menerima darah dan daging Tuhan, telah mendengar suara muzik yang merdu dan indah dan yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Saya juga mengalami penyertaan Tuhan dan meneliti ketidaksempurnaan diri sendiri (menjual beli dalam gereja). Oleh itu, saya telah memberi kesempatan kepada Iblis. Namun, bayang putih telah menghalau bayang hitam dengan kayu tersebut.

Semoga segala kemuliaan, kehormatan, kuasa dan puji-pujian diberi kepada Yesus Kristus sampai selama-lamanya. Amin.