Untuk belia yang merancang untuk belajar di luar negeri Sabah
Chung Qian Ying
Lembaran Baru
Masa berlalu hari demi hari, akhirnya tibalah masa yang dinanti-nantikan untuk membuka lembaran baru dalam hidup – menempuhi hidup di menara gading. Dewasa ini, memang banyak belia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) di luar Sabah, khasnya di Semenanjung Malaysia. Seringkali kita berfikiran ideal akan masa depan kita, namun tidak rugi untuk menjangkakan perkara-perkara yang akan dihadapi di luar dugaan. Justeru, tatkala kita melonjak kegirangan menerima surat tawaran daripada IPT, janganlah lupa membuat persediaan bagi cabaran-cabaran yang bakal menanti kita. Belajar di luar negeri bukan setakat berjauhan dengan keluarga dan kampung halaman kita, persekitaran yang berbeza juga menandakan bahawa kita perlu sekali lagi menyesuaikan diri bukan saja dalam aspek kehidupan jasmani, tetapi juga dalam aspek kehidupan rohani.
Keutamaan
Sebagai pemercaya Gereja Yesus Benar (GYB), perkara pertama yang harus kita ambil berat sewaktu ingin belajar di luar negeri ialah mencari gereja atau khemah doa yang berdekatan dengan kampus kita. Kita boleh memberitahu penguasa gereja, penatua, pendeta atau diaken untuk membantu menghubungi gereja tempatan di situ dan memaklumkan maklumat kita kepada mereka. Dengan demikian, gereja tempatan tersebut akan dapat menghubungi kita sebaik saja kita tiba di situ. Jangan sekali-kali pergi tanpa memaklumkan kepada pihak gereja terlebih dahulu kerana ini akan menyukarkan kita untuk mencari tempat berkebaktian apatah lagi kalau berada di tempat yang asing.
Cabaran
Satu cabaran yang mungkin kita hadapi ialah gereja terletak di kawasan yang agak jauh sungguhpun itulah gereja yang paling dekat dari tempat kediaman kita. Satu lagi cabaran lain ialah pengangkutan tidaklah begitu memudahkan. Pada waktu itu, kita mungkin mula membandingkan keadaan sewaktu kita berada di tempat asal. Namun begitu, kita haruslah bersyukur sekiranya ada pengangkutan yang dapat membawa kita ke gereja sungguhpun itu mungkin hal yang sukar. Sebagai contoh, mengambil masa yang lama, memerlukan kos tinggi, perlu bertukar dua atau tiga kali pengangkutan, atau perlu pergi bersendirian kerana tidak ada seiman lain dari kawasan yang sama. Kesemua ini benar-benar menguji ketahanan iman kita, khasnya sewaktu kita berasa lemah kerana berada di tempat yang asing serta berjauhan dengan keluarga. Renungkanlah, adakah kita akan mengetepikan hubungan kita dengan Tuhan atas sebab kesukaran dan kesepian? Sememangnya sekiranya kita boleh memilih IPT untuk belajar, pilihlah IPT yang berdekatan dengan gereja atau sekurang-kurangnya dapat dihubungkan ke gereja terdekat.
Menyesuaikan diri
Dari segi pelajaran pula, secara amnya, kebanyakan penuntut berasa kurang biasa dengan cara pembelajaran di IPT. Ini disebabkan penuntut tidak lagi dibimbing langkah demi langkah tetapi sebaliknya dibiarkan berdiri atas kaki sendiri. Dari pemilihan dan pendaftaran subjek-subjek yang akan diambil hingga mendapatkan jadual-jadual kuliah dan peperiksaan, semuannya dilakukan oleh penuntut sendiri. Dalam kuliah pula, pensyarah menjangkakan penuntut mencari maklumat lanjut sendiri di perpustakaan tentang kuliah yang disampaikan. Namun secara perlahan-lahan kita akan dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran sedemikian. Ingatlah bahawa asalkan kita tekun berdoa meminta bantuan Tuhan ditambah dengan usaha diri yang bersungguh-sungguh, maka kita pasti akan dapat lulus dalam peperiksaan. Justeru, kita harus tahu menguruskan masa kita dalam mengulang kaji. Janganlah mula mengulang kaji apabila tiba musim peperiksaan sehinggakan kita menjadikan persediaan peperiksaan sebagai alasan untuk tidak menghadiri kebaktian dan melakukan kerja suci. Sebagai kata dorongan kepada belia dalam pekerjaan suci, kita boleh merujuk kepada artikel ruangan belia dalam Vol. 3[1] – “Pengurusan masa antara pelajaran dan pekerjaan suci”. Kesimpulannya ialah kita umat Tuhan harus mempunyai pegangan hidup yang berlainan dengan orang duniawi termasuk dalam pelajaran, yakni mendahulukan Tuhan dalam segala perkara. Kita haruslah percaya bahawa segala sesuatu adalah mungkin bagi Tuhan sungguhpun bagi manusia hal itu tidak mungkin.
Menguduskan Hari Sabat
Sebagai makluman, kebanyakan gereja di Semenanjung Malaysia menyelitkan banyak aktiviti pada hari Sabat. Contohnya selepas kebaktian hari Sabat pada sebelah petang, akan diadakan latihan koir dan selepas makan malam pula mereka akan mengadakan kebaktian belia atau kebaktian membaca alkitab. Maka seboleh-bolehnya kita meluangkan seluruh Hari Sabat itu untuk Tuhan.
Memuliakan Tuhan
Memang tidak boleh dinafikan kita perlu menyesuaikan diri dalam kehidupan komuniti sekiranya kita tinggal di asrama IPT. Besar kemungkinan kita perlu tinggal dengan teman sebilik yang bukan seiman. Kekadangnya perkara-perkara yang remeh pun boleh menimbulkan perselisihan. Maka dalam hal ini, kita harus berusaha untuk mengejar kedamaian dan juga bertolak-ansur serta bertimbang rasa dalam pelbagai perkara. Ia merupakan cara yang baik bagi kita untuk bersinar untuk Tuhan. Dengan itu rakan-rakan kita akan berasa yakin akan kepercayaan kita apabila kita menginjil kepada mereka.
Berdoa
Selain itu, satu masalah lain yang mungkin kita hadapi ialah berdoa. Kita mungkin berasa segan untuk berdoa sekiranya teman sebilik yang bukan seiman berada dalam bilik. Maka ada yang memilih untuk berdoa dalam bilik air. Sebenarnya memang tidak menjadi masalah jika kita mahu berdoa dalam bilik asalkan kita menjelaskan dahulu kepercayaan termasuk cara doa kita kepada teman sebilik kita. Kita mungkin perlu berdoa dengan suara yang sangat perlahan agar tidak mengganggu orang lain. Yang penting ialah jangan mengabaikan kehidupan berdoa tidak kira di mana kita berada. Sudah tentu lebih baik jika ada seiman yang belajar dalam IPT yang sama kerana kita boleh mengadakan perhimpunan untuk sama-sama berdoa dan membaca alkitab. Namun sekiranya kita melakukannya dalam bilik gerakan kampus haruslah kita sedar akan peraturan-peraturan IPT kerana mungkin perlu mendapatkan kebenaran pihak IPT dahulu.
Pergaulan
Dalam pergaulan sosial pula, sesungguhnya kita perlu belajar untuk bersosial dengan orang lain khasnya seiman gereja. Haruslah kita mengambil inisiatif diri untuk saling berkenalan agar jangan kita memencilkan diri kerana berasa diketepikan. Sudah tentu ini tidak baik khasnya dalam konteks gereja kerana jemaat seharusnya hidup berkumpulan. Namun begitu, dari perspektif yang lain, kita juga harus selalu berwaspada dalam hal pergaulan. Janganlah kita menganggap diri kita bebas kerana jauh dari pengawasan keluarga. Memang tidak salah berkawan dengan rakan-rakan bukan seiman tetapi janganlah biarkan kehidupan kepercayaan kita dipengaruhi oleh mereka. Mereka mungkin mengajak kita ke luar untuk menonton wayang, membeli-belah atau melawat ke tempat peranginan pada Hari Sabat. Alasan mereka mungkin peluang itu hanya sekali saja atau kita hanya ‘ponteng’ ke gereja sekali saja. Dalam hal ini janganlah berkompromi kerana sekiranya ada ‘sekali’, maka ia mungkin akan berulang lagi. Di samping itu, kita juga harus berwaspada dalam hal pergaulan dengan teman berlainan jantina, khasnya dalam hal percintaan. Bukan dikatakan salah untuk bercinta dalam kehidupan kampus tetapi biarlah segala perbuatan kita menepati pengajaran Tuhan. Sekiranya kalian berminat tentang soal mencari pasangan hidup, sila rujuk artikel “Keputusan Besar” dalam Vol. 3.
Kesimpulan
Kita perlu membuat perancangan awal dan persediaan kerohanian diri untuk menghadapi cabaran-cabaran di tempat yang baru. Bersabarlah ketika menghadapi kesukaran kerana ia baik untuk melatih keimanan kita seperti yang tercatat dalam Alkitab, Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia (Rom 8:28). Segala perkara dapat kutanggung di dalam Dia yang memberi kekuatan kepadaku (Fil 4:13). Semoga kita berdiri teguh dalam kasih karunia Tuhan tidak kira di mana saja untuk selama-lamanya. ☺
[1] Hujan Musim Semi, Terbitan 3
