Telah Mati, Hidup Kembali
Matias Yohanes
Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku ke atas adik bongsu saya iaitu Hamry bin Akal pada tahun 1983, ketika itu adik saya berumur 2 tahun. Sebenarnya keluarga kami menetap di kampung Sungai Apih tetapi pada waktu itu kami sekeluarga berada di kampung Pangarawan kerana ibu bapa saya sedang mengusahakan tanah di situ.
Pada suatu petang, abang saya iaitu Kasim bin Akal telah membawa adik bongsu kami bersiar-siar di kawasan sekitar. Rumah kediaman kami agak jauh dari perumahan lain. Selepas pulang ke rumah, adik saya kelihatan sihat sahaja dan selepas makan malam lalu kami tidur. Lebih kurang jam 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana terdengar suara doa yang kuat. Rupa-rupanya ibu bapa saya sedang berdoa untuk adik saya. Menurut bapa saya, adik saya tiba-tiba sakit demam dan suhu badannya meningkat secara mendadak. Pada masa itu kami sekeluarga berdoa bersama-sama untuk satu jangka masa namun, keadaan adik saya tidak ada perubahan malah suhu badannya semakin naik menyebabkan kami semua sangat risau dan mulai menangis.
Jarak hospital yang terdekat letaknya lebih kurang 20 kilometer dari rumah kami, sedangkan tidak ada kenderaan untuk menghantarnya ke hospital. Tambahan pula rumah kami jauh dari rumah-rumah yang lain dan sukar untuk mendapatkan bantuan. Pada waktu itu, saya merasakan tidak ada harapan lagi. Adik saya pasti akan mati; keadaannya sudah begitu lemah. Sejurus kemudian, saya sedar hari sudah mulai siang. Keadaan adik saya pula semakin tenat, malah nafas dan nadinya telahpun terhenti. Bapa saya mengatakan bahawa adik saya sudah tiada harapan lagi[1]. Bapa saya mulai menangis tetapi kami terus berdoa. Selepas jam 11 pagi, tiba-tiba keadaan adik saya mulai menampakkan perubahan. Mukanya yang pucat kembali seperti keadaan semula. Pada saat itu, kami sekeluarga amat gembira dan terus berdoa. Pada masa yang sama, jemaat kampung Pangarawan juga telah datang dan turut membantu doa. Syukur kepada Tuhan Yesus, akhirnya doa kami didengar-Nya. Keadaan adik saya beransur-ansur pulih.
Sejak kejadian itu, iman saya telah dibangunkan dan semangat untuk melayani Tuhan terus berkobar-kobar. Beberapa tahun kemudian saya telah berkhidmat untuk Ibu Gereja sebagai guru penuh masa (GPM). Selepas beberapa tahun sebagai GPM, saya telah mempersembahkan diri sebagai pendeta. Ayah saya merupakan diaken (Dn. Yohanes) di gereja Sungai Apih. Syukur kepada Tuhan Yesus yang telah memimpin dan menjaga keluarga saya. Semoga segala pujian dan kemuliaan diberikan kepada nama-Nya yang kudus. Amin.
[1] Maksudnya adik saya itu sudah mati.
