Lalu anak bongsu menyedari keadaannya…
James Yapp
Peristiwa tentang seorang anak bongsu yang pernah menderhakai ayahnya; dia menuntut harta bahagiannya daripada ayahnya, kemudian menjual seluruh bahagiannya itu lalu pergi ke negeri yang jauh. Di sana, dia memboroskan harta miliknya itu dengan hidup berfoya-foya.
Sewaktu ditimpa penderitaan dalam hidupnya, anak bongsu ini sedar kembali atas keadaan yang dialaminya, teringat kembali status asalnya dan mengetahui kesalahan yang telah dilakukan olehnya. Justeru, tercetus kekesalan dari lubuk hatinya; “aku telah berdosa terhadap syurga dan terhadap bapa ”. Dengan tekad yang bulat, dia mengambil keputusan untuk bangkit dan kembali ke rumah bapanya.
Ketika ia masih jauh, ayahnya telah melihatnya, lalu tergeraklah hatinya oleh belas kasihan. Ayahnya itu berlari mendapatkan dia lalu merangkul dan mencium dia (Luk 15:11-24).
Perumpamaan tentang “Anak yang hilang telah kembali” ini sangat menyentuh hati dan perasaan. Yesus menggunakannya sebagai suatu penyataan bahawa Dia ingin menerima semula anak-anak Tuhan yang hilang untuk kembali ke sisi-Nya. Saudara yang dikasihi, di manakah engkau berada pada saat ini?
Dalam masa terdekat ini, apakah kita sudah melupai kasih karunia Tuhan? Adakah kita semakin menjauhi jalan kebenaran Tuhan? Atau masa kita dihabiskan untuk mengusahakan rancangan peribadi, mencari-cari impian sendiri? Adakah kita sekadar ingin mencipta kerjaya di dunia dan terus mengejar segala kenikmatan dunia kini? Atau sudah bosankah menjalani hidup sebagai seorang Kristian sejati? Adakah terasa tidak ingin lagi berdoa mahupun menghadiri kebaktian? Adakah tidak ingin lagi melibatkan diri dengan giat dalam pekerjaan suci…?
- (Efesus 5:13-14) Tetapi segala sesuatu yang sudah ditelanjangi oleh terang itu menjadi nampak, sebab semua yang nampak adalah terang. Itulah sebabnya dikatakan: “Bangunlah, hai kamu yang tidur dan bangkitlah dari antara orang mati dan Kristus akan bercahaya atas kamu.”
Di kala engkau melihat sinaran terang tersebut, bangunlah supaya Kristus dapat bercahaya ke atas kamu.
Alangkah baiknya jika wujud perasaan sedar kembali dalam kerohanian seseorang itu. Banyak tokoh dalam Kitab Suci telah melakukan hal-hal yang istimewa bermula daripada kesedaran diri.
Pengakuan tepat terhadap kebaikan Tuhan (Rut 1:6-7)
Keluarga Elimelekh yang hidup di Betlehem[1] telah meninggalkan tempat itu dan pergi ke Moab kerana terjadinya kelaparan dalam zaman hakim-hakim[2]. Berdasarkan peristiwa ini, jelas menunjukkan bahawa kemerosotan rohani telah berlaku. Sepuluh tahun kemudian, Naomi berkemas ingin kembali ke tanah Yehuda setelah mendengar bahawa Tuhan memperhatikan umat-Nya.
Adakah wujud kebahagiaan yang lebih bernilai di luar Tuhan yang empunya segala berkat? Tuhan Yesus berfirman: Akulah pokok anggur dan kamulah ranting-rantingnya. Barangsiapa tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia, ia berbuah banyak, sebab di luar Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa (Yoh 15:5). Oleh sebab itu, kunci dan keyakinan untuk memperolehi berkat yang berkelimpahan, pasti dan jitu hanya terdapat dalam Tuhan Yesus. Ada nas mazmur yang berbunyi: “Engkaulah Tuhanku, tidak ada yang baik bagiku selain Engkau!” (Mzm 16:2). Marilah saudara seiman sekalian, bertekadlah supaya dalam seumur hidup ini, kita dapat diam dalam Bait Tuhan sambil menyaksikan segala kemurahan Tuhan (Mzm 27:4).
Suara kesyukuran (Luk 17:11-19)
Sewaktu seorang Samaria di antara sepuluh orang yang berpenyakit kusta itu telah melihat bahawa dia telah disembuhkan oleh Tuhan Yesus dalam perjalanan, dia telah kembali sambil memuliakan Tuhan dengan suara yang nyaring, tersungkur di depan kaki Yesus dan mengucap syukur.
Dalam perjalanan hidup kita yang penuh kepahitan dan tekanan ini, bukankah ada kasih karunia Tuhan Yesus yang pernah kita terima semasa dalam perjalanan? Perasaan bersyukur akan lahir apabila seseorang itu tahu untuk menghitung kasih Tuhan. Lebih kerap kita menghitung anugerah Tuhan, maka lebih banyak kita mempersembahkan puji-pujian dan kesyukuran kepada-Nya.
Kidung pujian gereja kita nombor 90 mengandungi lirik yang sangat membangunkan dan menggerakkan. Respon seorang kristian yang tahu menghitung dan mengingat berkat Tuhan dapat mencerminkan bahawa hidupnya senantiasa sedar akan kasih karunia Tuhan. Jangan lupa bahawa hidup bersyukur kepada Tuhan dalam segala hal adalah kehendak Tuhan dalam Yesus Kristus (1Tes 5:18).
Kuatkanlah saudara-saudaramu (Luk 22:31-32)
“Petrus”… Siapa sangka bahawa rasul yang digelar “Rasul Beriman” ini pernah lemah dalam imannya? Sewaktu berbicara dengan Yesus, dia telah cuba menunjukkan sifat keberaniannya dalam darah dan daging, iaitu sanggup masuk penjara dan mati bersama-sama dengan Tuhan Yesus. Namun Tuhan Yesus sudah tahu bahawa Petrus pasti akan menyangkal Dia tiga kali sebelum ayam berkokok pada pagi berikutnya (Luk 22:33-34).
- Luk 22:32 tetapi Aku telah berdoa untuk engkau, supaya imanmu jangan gugur…
Iman yang hampir gugur dapat dikuatkan kerana didahului dengan doa syafaat. Selepas ayam berkokok pada kali ketiga, Yesus berpaling memandang Petrus. Hal ‘menidakkan-Nya’ yang pernah diingatkan Yesus kepada Petrus sebelum itu sudah genap maka dia teringat kata-kata Tuhan Yesus…lalu dia pergi ke luar dan menangis dengan sedihnya (Luk 22:60-62).
- (Luk 22:32b) …Dan engkau, jikalau engkau sudah insaf, kuatkanlah saudara-saudaramu.”
Di kemudian hari, dorongan rasul Petrus sangat memainkan peranan penting dalam penubuhan organisasi gereja, khutbah penginjilan, orang lumpuh di gerbang pintu Indah dapat berjalan. Adakah saudara di sekeliling kita yang memerlukan dorongan dan keprihatinan untuk pembangunan iman? Bolehkah kita membantu mereka?
Menjadi saksi Tuhan (Luk 8:47)
- (Luk 8:43-48) Adalah seorang perempuan yang sudah dua belas tahun menderita pendarahan dan yang tidak berhasil disembuhkan oleh siapapun. Ia maju mendekati Yesus dari belakang dan menjamah jumbai jubah-Nya, dan seketika itu juga berhentilah pendarahannya. Lalu kata Yesus: “Siapa yang menjamah Aku?” Dan karena tidak ada yang mengakuinya, berkatalah Petrus: “Guru, orang banyak mengerumuni dan mendesak Engkau.”Tetapi Yesus berkata: “Ada seorang yang menjamah Aku, sebab Aku merasa ada kuasa keluar dari diri-Ku.” Ketika perempuan itu melihat, bahwa perbuatannya itu ketahuan, ia datang dengan gemetar, tersungkur di depan-Nya dan menceriterakan kepada orang banyak apa sebabnya ia menjamah Dia dan bahwa ia seketika itu juga menjadi sembuh. Maka kata-Nya kepada perempuan itu: “Hai anak-Ku, imanmu telah menyelamatkan engkau, pergilah dengan selamat!”
Yesus bertanya: “Siapa yang menjamah Aku?”… “Ada seorang yang menjamah Aku.” Apabila perempuan yang cuba merahsiakan perbuatan dirinya yang sudah mengecapi kasih Yesus, melihat keadaan ini tidak boleh disembunyikan lagi; dia menceritakan kepada orang banyak apa sebabnya dia menjamah Tuhan Yesus dan bagaimana penyakitnya telah disembuhkan.
Tuhan Yesus masih bertanya siapa yang pernah menerima anugerah…? Memang kita semua masing-masing pernah melalui detik-detik dan saat-saat anugerah Tuhan dalam hidup seharian. Tahukah saudara bahawa Tuhan sedang menantikan kesaksian yang dapat memuliakan nama-Nya? (Mzm 71:14-17).
Siapakah yang tidak pernah merasa lemah? Siapakah yang tidak pernah gagal? Siapakah yang tidak pernah silap? Renungan tragedi penawanan umat Yehuda ke Babel telah menginsafkan sejumlah besar umat yang ingin kembali, mencari dan berharap kepada Tuhan. Berikut merupakan nas yang menghiburkan dan menjadi sinaran terang umat Yehuda:
“TUHAN adalah baik bagi orang yang berharap kepada-Nya, bagi jiwa yang mencari Dia” (Rat 3:25).
Haleluya, Amin.
