Sebab daging-Ku adalah benar-benar makanan…
Rostina Thomas
Dalam Nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku pada 18hb Ogos 2007. Gereja Tinuhan melaksanakan sakramen perjamuan kudus mengikut ketetapan iaitu sekali dalam masa tiga bulan. Pada doa awal sebelum penyampaian firman Tuhan, saya telah berdoa kepada Tuhan, jika menurut kehendak-Nya saya teringin melihat penglihatan tentang perjamuan kudus demi menguatkan iman dan memberi penghiburan kepada saya. Saya duduk di bahagian hadapan kerana saya menaip khutbah dalam power point untuk dipaparkan kepada jemaat. Ketika Dn. Hananya menghulurkan roti ke arah saya, maka seperti biasa saya telah mengambil seketul roti. Ketika saya mengucapkan syukur sebelum memakannya, saya terasa tangan kanan saya yang sedang memegang roti itu bergegar dan hangat seolah-olah ada arus yang mengalir dari hujung jari sehingga ke siku saya. Hati saya tiba-tiba terlalu sebak dan saya menangis sehingga berlinangan air mata. Agaknya saya mengambil masa 3 hingga 5 minit bersyukur kerana saya tidak dapat berhenti berdoa dengan spontan. Saya tidak dapat menceritakan bagaimana sebaknya hati saya ketika itu.
Semasa saya membuka mata dan melihat ke arah roti yang saya pegang, saya amat terkejut. Tangan saya menggeletar kerana roti yang saya pegang itu seperti seketul daging yang empuk separuh masak. Saya menangis dan tidak sanggup untuk menelannya. Saya cuba bertenang dalam beberapa minit itu, dan memohon agar Tuhan memberi kekuatan kepada saya. Dalam keadaan yang amat terharu bercampur-baur dengan perasaan tidak sanggup menelan, saya terus menutup mata dan memasukkan daging itu ke mulut dan terus menelannya. Saya menyangkakan mungkin akan termuntah apabila daging itu masuk ke mulut saya, namun syukur kepada Tuhan kerana setelah roti itu masuk ke mulut saya, rasanya seperti biasa iaitu sama seperti perjamuan kudus yang telah sering kali saya terima.
Penglihatan ini mendatangkan kesan mendalam di hati saya kerana ketika menerima darah Tuhan yang dihidangkan oleh Dn. Gideon, saya mengambil cawan dan bersyukur lalu meminumnya. Saya tidak sanggup melihatnya kerana khuatir sekiranya melihat jus anggur itu seperti darah pula. Sebenarnya secara kebetulan pada hari Sabat itu saya sedang berpuasa untuk tujuan meneguhkan iman dan penyempurnaan rohani anak-anak saya. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana menunjukkan kasih-Nya yang begitu besar kepada saya. Semoga nama Tuhan dimuliakan.
