Bijak Dan Berbudi
| |

Bijak Dan Berbudi

Hagai Tang

Dunia masa kini adalah  dunia yang penuh dengan cabaran dan persaingan. Oleh itu setiap orang berlumba-lumba untuk terus melengkapi diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan supaya dapat terus hidup dalam komuniti dunia. Masyarakat dunia sangat berpegang pada prinsip ‘tidak boleh ketinggalan’. Mereka yang ketinggalan akan  dianggap rendah dan dipandang lemah. Dalam suasana hidup seperti ini, setiap individu terpaksa bersaing dengan apa jua cara tanpa menghiraukan nilai moral. Secara perlahan-lahan manusia akan menjadi makhluk yang hanya mementingkan diri sendiri dan penuh dengan iri hati. Alkitab mengkategorikan hikmat tersebut sebagai hikmat dunia, dari nafsu manusia dan dari syaitan (Yak 3:15). Hikmat ini hanya membawa kepada kerosakan akhlak seperti menjadi hamba wang, membual, menyombongkan diri, pemfitnah, pemberontak, tidak tahu berterima kasih dan sebagainya (II Tim 3:1-4).  Itulah sebabnya kita dapat melihat ada di kalangan murid-murid sekolah yang mempunyai keputusan yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak suka bergaul dengan orang lain dan tidak tahu menghormati guru.

Sebagai umat Tuhan haruslah berusaha untuk mencegah perkara sedemikian daripada terjadi di kalangan generasi muda kita. Sebaliknya berusaha untuk melahirkan generasi yang bijak dan berbudi iaitu dengan cara hidup yang baik, menyatakan perbuatan yang lahir dari hikmat dan kelemah-lembutan (Yak 3:13). Biarlah kita menjadi seorang yang bijak dan berbudi. Bijak ialah mempunyai keupayaan intelek yang tinggi dan berbudi ialah perbuatan yang baik.

Keupayaan intelek yang tinggi merupakan kebolehan mental untuk melakukan operasi dengan cekap dan cerdas. Mereka yang bijak mampu memahami sesuatu perkara dengan cepat dan baik. Bagaimanapun golongan ini tidak semestinya tahu untuk mengaplikasikan apa yang  telah dipelajari untuk kebaikan. Mereka juga tidak semestinya memiliki dan mengamalkan nilai-nilai moral. Oleh itu marilah kita berusaha untuk menyemai konsep yang tepat kepada generasi muda kita supaya mereka bukan saja menjadi bijak tetapi juga diperlengkapi dengan hikmat yang dari atas (Yak 3:17).

Bagaimana Melahirkan Generasi Yang Bijak Dan Berbudi?

1.       Takut Akan Tuhan

Amsal 9:10 menyatakan permulaan hikmat adalah takut akan Tuhan dan mengenal Yang Maha Kudus adalah pengertian. Allah adalah sumber hikmat. Hikmat Allah adalah hikmat yang dari atas. Sebagai permulaan untuk memperoleh hikmat ialah takut akan Tuhan. Apakah maksud takut akan Tuhan?  Dalam Amsal 8:13 mencatatkan bahawa takut akan Tuhan ialah membenci kejahatan. Sebab Tuhan membenci semua orang yang melakukan kejahatan (Maz 5:5).

Orang yang takut akan Tuhan sentiasa berwaspada dalam perbuatannya, sebab ia sedar bahawa Tuhan sedang mengawasi setiap tingkah lakunya dan faham bahawa Tuhan akan membawa setiap perbuatan itu ke pengadilan (Pkh 12:14).

Contoh terbaik yang patut diteladani ialah Yusuf, anak Yakub. Ketika berada di rumah Potifar, jauh dari keluarga dan menjadi hamba kepada tuannya; isteri Potifar telah menggoda Yusuf tetapi Yusuf menolak dan berkata “bagaimana mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berbuat dosa terhadap Allah?” (Kej 39:9). Ini membuktikan Yusuf seorang yang bijak dan berbudi kerana takut akan Tuhan, tetapi berbeza bagi orang bebal (Maz 14:1). Orang bebal berkata dalam hatinya “Tidak ada Allah”, perbuatan mereka busuk dan jijik.

2.     Dididik Dalam Firman Tuhan 

Taurat Tuhan itu sempurna, menyegarkan jiwa; peraturan Tuhan itu teguh, memberikan hikmat kepada orang yang tak berpengalaman. Titah Tuhan itu tepat, menyukakan hati; perintah Tuhan itu murni, membuat mata bercahaya (Maz 19:8–9). Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran (II Tim 3:16–17). Dengan demikian setiap orang kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan yang baik.

Berdasarkan dua kitab rujukan di atas, menjelaskan bahawa untuk melahirkan generasi yang bijak dan berbudi haruslah menitikberatkan pendidikan agama, iaitu mendidik mereka dalam firman Tuhan. Dengan kata lain, pendidikan agama sangat penting!

Contohnya, Timotius yang masih muda. Dia terkenal baik di Listra dan Ikonium (Kis 16:2). Terdapat dua persoalan penting yang perlu dikemukakan tentang Timotius. Pertama ialah mengapa ia terkenal baik? Kerana Timotius dilengkapi dengan perbuatan yang baik (II Tim 3:17). Kedua, bagaimana Timotius diperlengkapi? Melalui didikan daripada neneknya Lois dan ibunya Eunike yang penuh iman sehingga Timotius telah mengenal kitab suci sejak dari kecil (II Tim 1:5, 3:15). Ini menunjukkan usaha pendidikan agama dalam keluarga telah melahirkan generasi yang bijak dan berbudi.

Tujuan pendidikan agama ialah supaya anak-anak mengenal kitab suci sejak dari kecil agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan arus dan falsafah dunia. Sebaliknya, dapat menjalani kehidupan bercorak kristian.

3.      Belajar Daripada Yesus

Tuhan Yesus berkata “Belajarlah pada-Ku kerana Aku lemah lembut dan rendah hati…” (Mat 11:29). Tuhan Yesuslah yang paling sempurna dan patut dicontohi (Rm 8:29, I Pet 2:21–23). Yesus Kristus murni, pendamai, peramah, penurut, penuh belas kasihan dan buah-buah yang baik, tidak memihak dan tidak munafik (Yak 3:17).

Bagaimana Tuhan Yesus mengalahkan iblis dan maut? Jawapannya ada dalam Efesus 1:7-8, ‘sebab di dalam Dia dan oleh darah-Nya kita beroleh penebusan,  iaitu pengampunan dosa, menurut kekayaan kasih karunia-Nya yang dilimpahkan-Nya  kepada kita dalam segala hikmat dan pengertian’.

Hikmat dan pengertian yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus adalah dengan kelemahlembutan dan kerendahan hati untuk mengalahkan si jahat. Iblis menyangka, jika Tuhan Yesus dibunuh maka rencana penyelamatan akan musnah. Tanpa diduga melalui kematian-Nya, Tuhan Yesus telah menggenapkan rencana penyelamatan tersebut. “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya” (Rom 11:33). Ini memberi pengajaran kepada kita supaya kita mengalahkan kejahatan dengan kebaikan (Rom 12:21). Inilah hikmat yang dari atas dan daripada Tuhan.

Bijak dan berbudi seperti huraian di atas dapat disimpulkan sebagai garam dan terang dunia (Mat 5:13-16). Kita hendaklah mempunyai “garam” di dalam diri kita dan selalu hidup berdamai dengan semua orang (Mrk 9:50). Juga menjadi “terang” yang dapat bercahaya dan menerangi dunia supaya dunia dapat melihat cahaya tersebut dan memuliakan Bapa syurga (Mat 5:14-16). Kita hendaklah bijak untuk menilai segala jalan kehidupan iman kepercayaan kita dan pada masa yang sama tidak kehilangan nilai-nilai yang baik ataupun berbudi.