Inti Pendidikan Ialah Hati
| |

Inti Pendidikan Ialah Hati

Zakharia Aloi

Terdapat banyak peristiwa yang terjadi dalam kehidupan kepercayaan jemaat.  Antaranya ialah:

  1. Seorang pemercaya yang telah menerima pendidikan agama sejak kecil sehingga dewasa, namun akhirnya dia jatuh dalam kerohaniannya kerana telah berkahwin dengan bukan seiman. Dia menyatakan “Gereja Yesus Benar agak mengelirukan”.
  2. Seorang pemercaya yang telah dibaptis sejak 20 tahun lalu. Apabila berhadapan dengan saudara-mara dari aliran agama lain, dia menyatakan semua agama Kristian adalah sama sahaja.
  3. Seorang pemercaya yang telah lanjut usia tetapi tidak mengetahui kesepuluh firman dan kesepuluh dasar kepercayaan.
  4. Seorang pemercaya yang baru dibaptis dan tidak pernah mengikuti kursus Teologi, dalam soal pengetahuan firman juga amat daif. Namun dalam pertumbuhan selanjutnya, sehingga dia meninggal dunia, tetap kekal dalam Gereja Yesus Benar.

Berdasarkan senario di atas, dapat disimpulkan bahawa pendidikan yang sesungguhnya haruslah bermula dari hati. Senario di atas juga menunjukkan bahawa penerimaan pendidikan semata-mata bukanlah bererti menjadikan seseorang itu terjamin ‘baik’ untuk selamanya. Juga menyatakan kepada kita bahawa pendidikan di rumah ataupun di gereja haruslah mengutamakan “penyerapan’ dan bukan ‘penerimaan’ sahaja. Mungkin kita mahu anak-anak kita menerima perkataan kita yang berupa nasihat atau tegahan dengan jawapan “ya”. Namun tanpa penyerapan dalam hati anak-anak, jawapan “ya” itu tidak berguna. Ini seperti perumpamaan Yesus tentang dua orang anak (Mat 21:28–32). Apabila diminta untuk melakukan sesuatu, yang seorang menyatakan “ya” tetapi tidak melaksanakannya. Namun yang seorang lagi yang menyatakan “tidak” pada mulanya tetapi akhirnya dia menyesal lalu melaksanakannya seperti yang dikehendaki.

Raja Yosia yang baik dan masih muda ketika menaiki takhta kerajaan. Dia mencari Tuhan dan melakukan apa yang berkenan kepada Tuhan. Ini semua adalah bermula daripada didikan dan bimbingan Imam Besar Hilkia dan nabi Zefanya. Ketika kitab Taurat dibacakan di hadapannya, dia sangat terharu dan dengan rendah hati mengakui dosanya dan dosa rakyatnya. Dia mengoyakkan pakaian kebesarannya dan mengenakan kain kabung. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh raja-raja sebelumnya. Dia benar-benar menerima perkataan dari kitab Taurat itu dan berazam untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Dia telah memulakan pemerintahannya dengan menggesa umat supaya mencari Tuhan dan melaksanakan penyucian serta refomasi rohani. Oleh itu, kerajaannya diwarnai dengan kedamaian dan kemajuan serta umat semakin giat menyembah Tuhan. Raja Yosia seorang yang menyimpan firman Tuhan dalam hatinya (II Taw 34:3).

Kehidupan kepercayaan Raja Yoas berbeza dengan kehidupan kepercayaan Raja Yosia. Raja Yoas melakukan apa yang benar selama hidup imam Yoyada kerana  dia dibimbing oleh imam Yoyada. Dia telah melakukan pembaikan terhadap rumah Tuhan ketika itu dan juga melaksanakan hukum Taurat. Namun apabila imam Yoyada meninggal dunia, dia telah berubah sama sekali. Raja Yoas dan rakyat mula meninggalkan Tuhan. Walaupun Tuhan mengutus nabi-nabi-Nya untuk mengingatkan Raja Yoas dan rakyatnya, tetapi mereka tidak menghiraukannya. Bahkan anak imam Yoyada sendiri telah dibunuh oleh mereka (II Taw 24:2–22). Tidak dapat dibayangkan hal ini boleh terjadi!  Ini adalah berpunca daripada hati yang tidak menyimpan firman Tuhan. Raja Yoas hanya taat kepada imam Yoyada sahaja. Mazmur 119:11 mencatatkan ‘Dalam hatiku aku menyimpan janji-Mu, supaya aku jangan berdosa terhadap Engkau’.

Kitab hikmat Amsal mencatatkan ‘Jagalah hatimu dengan segala kewaspadaan kerana dari situlah terpancar kehidupan’. Ayat ini telah saya hafal kerana selalu diutarakan oleh guru-guru pendidikan agama dan para pendeta. Namun ini tidak bererti saya telah menjadi baik. Ini kerana firman yang telah didengar dan dihafal jika tidak diresapkan ke dalam hati, tidak memberikan apa-apa kebaikan. Hati adalah penggerak kepada aktiviti harian. Oleh itu kita hendaklah memiliki hati yang benar dan jujur serta memegang hikmat di dalam hati. Menjaga hati dapat memelihara kesempurnaan tubuh. Kita hendaklah mengingati bahawa Iblis pernah menyerang hati beberapa orang seperti Yudas Iskariot, Raja Saul, Raja Daud dan suami isteri Ananias dan Safira.

Tuhan Yesus telah mengajar bahawa hati ialah tempat bagi benih firman bertumbuh. Benih firman tidak patut diletakkan di pinggir hati tetapi seharusnya diletakkan dalam hati. Jika tidak, benih tersebut akan dirampas oleh si iblis (Mat 13:19). Benih firman tidak dapat bertumbuh jika disambut dengan hati yang berbatu-batu, keras dan kasar. Sungguhpun telah mendengar firman tetapi jika hati tidak percaya dan taat serta asyik bersungut-sungut, kesannya tidak dapat menghasilkan perbuatan yang baik. Demikian juga firman tidak dapat bertumbuh dalam hati yang penuh dengan kekhuatiran, keinginan  akan benda-benda duniawi dan bermacam-macam fikiran yang lain. Semua ini menimbulkan semak duri bagi pertumbuhan rohani. Yang terbaik adalah menaburkan benih firman di dalam hati yang bersih, murni dan ikhlas (Mat 13:8).

Setinggi manapun pengetahuan seseorang pemercaya, jika dia tidak memiliki hati yang baik, dia tidak akan menjadi pemercaya yang beriman teguh dan berakhlak mulia. Namun ini tidak bermakna mendengar khutbah, menghadiri kelas pendidikan agama, membaca alkitab, menghadiri seminar-seminar atau kursus-kursus dan sebagainya tidak penting atau tidak perlu. Persoalannya adalah ‘Adakah inti pendidikan itu telah sampai ke lubuk hati kita?’ Hati tidak akan baik secara semulajadi dan kekal baik untuk selamanya. Tanpa didikan yang benar dan tepat, hati boleh diracuni oleh elemen-elemen negatif.  Hati perlulah disemai dengan firman Tuhan.

Alkitab dengan jelas menyatakan, “Bagaimanakah seorang muda dapat menjaga kekudusannya?” “iaitu dengan menjaga firman Tuhan di dalam hatinya. Firman itu menjadi terang bagi hati dan suluh bagi langkah kaki kita. “Terimalah apa yang diajarkan oleh mulut-Nya, dan taruhlah firman-Nya dalam hatimu” (Ayb 22:22).

Nabi Samuel adalah teladan yang terbaik. Menerima firman dan meresapkannya dalam hatinya (I Sam 3:19). Kita dapat menilai sama ada pengajaran yang diberi telah tertanam dalam hati seseorang atau tidak melalui pantulan perbuatannya. Misalnya, jika kita melarang seorang belia daripada merokok namun dia masih merokok menunjukkan pengajaran tersebut belum tersemat di hatinya. Dia hanya mendengarnya dengan senyuman dan janji tanpa apa-apa perubahan dari segi perbuatannya.

Demikian juga dengan persoalan fesyen pakaian masa kini yang tiada kesudahannya di kalangan generasi muda. Ini disebabkan mereka hanya melihat dengan sebelah mata sahaja panduan pakaian yang sesuai untuk beribadah di gereja yang ditampalkan di mana-mana papan kenyataan gereja atau melalui khutbah yang disampaikan. Pendidikan yang semudah itu, juga belum meresap di hati mereka. Manusia hanya menilai apa yang dilihatnya di muka luar tetapi Tuhan melihat hati. Paras dan perawakan Eliab adalah baik tetapi tidak berkenan kepada Tuhan (I Sam 16:6-7). Ini menunjukkan Tuhan memilih Daud kerana hatinya murni dan sejak kecil Daud mencari Tuhan.

Mesej Tuhan cukup jelas, beribadah dengan hati yang tulus dan rela sebab Tuhan menyelidiki hati dan niat manusia. Oleh itu ibadah dan mendengar firman haruslah berdasarkan hati yang baik. Jika tidak,  secara beransur-ansur  akan meninggalkan Tuhan (I Taw 28:9). Hati manusia mencerminkan manusia itu (Ams 27:19). Sesuatu yang keluar daripada seseorang ialah sifat sebenarnya dari hati dan melalui pemerhatian orang lain, dia akan mengetahui keadaan dirinya yang sebenar.

Zaman nabi Hosea memperlihatkan bahawa pengajaran Tuhan tidak sampai ke dasar hati umat Israel. Mereka mendengar tetapi menganggapnya sebagai suatu cerita atau kisah yang asing (Hos 8:12). Sebenarnya mereka tahu tentang tuntutan dan perintah Tuhan kerana banyak pengajaran yang telah disampaikan oleh para nabi. Walaupun kelihatannya menjalankan ibadah namun mereka tidak mengendahkan firman Tuhan yang berupa larangan atau perintah. Ini sangat nyata kerana Tuhan Yesus mengecam kesia-siaan ibadah mereka yang pada dasarnya hati mereka jauh daripada Tuhan (Mat 15:8-9)

Pada hari ini, kita telah menjadi orang Yahudi menurut berkat Tuhan kepada Abraham yang merupakan bapa iman segala bangsa. Namun sifat keyahudian kita bukanlah kelihatan melalui identiti lahiriah seperti bangsa dan sunat tetapi adalah secara batiniah yang rohani iaitu sunat dalam hati (Rom 2:29). Ini merupakan janji dan kemurahan Tuhan (Yeh 36:26). Paulus mengupas lebih lanjut tentang sifat yang baru bagi umat Tuhan iaitu menanamkan firman dalam hati dan melakukannya dengan roh dari Allah yang hidup (II Kor 3:3). Yesus juga pernah berkata kepada perempuan Samaria “Allah menghendaki umat-Nya menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran”(Yoh 4:24). Orang yang suci hatinya adalah berbahagia (Mat 5:8).

Kamu akan Kuberikan hati yang baru, dan roh yang baru di dalam batinmu dan Aku akan menjauhkan dari tubuhmu hati yang keras dan Kuberikan kepadamu hati yang taat (Yeh 36:26).

Sejak awal lagi Tuhan telah menuntut supaya pendidikan ditanam dalam hati umat-Nya (Ul 11:18). Oleh itu, masing-masing haruslah mempersiapkan diri sendiri untuk menerima firman dan membiarkan firman Tuhan menguasai setiap kehidupan kita. Hanya pendidikan yang tersemat di dalam hati akan bercambah, bertunas dan bertumbuh sehingga boleh bertahan dan membuahkan iman serta kerohanian yang baik. Melaluinya Tuhan akan rela menjadi tuan dalam kehidupan kita. Hasilnya kita akan giat dan progresif.

Jika firman Tuhan mempunyai ruang di dalam hati kita, ia akan bercahaya di dalam hati sehingga kita akan beroleh terang dari pengetahuan tentang kemuliaan Allah. Hati yang telah diterangi akan menyisihkan kegelapan dan meleburkan segala kekotoran (II Kor 4:6). Terimalah dengan lemah-lembut firman yang tertanam dalam hati (Yak 1:21).  Jika kita tahu untuk mendengar dan mengerti firman Tuhan tetapi tiada hati untuk berubah, kita tetap tidak akan berubah. Janganlah membiarkan hati kita keras (Ibr 3:7-8). Hati yang keras tidak akan menempatkan firman di dalam diri seseorang. Firman tidak dapat bertumbuh kerana ditolak dan dilupakan oleh hati kita. Sebaliknya akan timbul ragi yang jahat dan tidak percaya di dalam hati, akhirnya murtad daripada Tuhan yang hidup. Hatinya menjadi tegar kerana tipu daya dosa yang menguasainya.

Kita haruslah menyimpan firman di dalam hati (Ams 2:1-5). Haruslah bersikap terbuka, rela belajar, mengingati dan menerapkan firman Tuhan dalam hati serta tidak sesekali melupakannya. Kajilah firman Tuhan dengan segenap hati sehingga memahaminya dan memperoleh hikmat. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan pengetahuan tentang firman Tuhan dan tidak melepaskannya.

Raja Salomo secara khasnya menasihati para belia tentang perzinaan (Ams 6:20-21). Berdasarkan nasihat ini, kita haruslah menambatkan firman Tuhan dalam hati. Antara cara yang dinyatakan oleh Raja Salomo untuk menghindari perempuan jalang ialah memelihara perintah ayah dan tidak mensia-siakan ajaran ibu. Kita hendaklah mengelakkan perasaan daripada menguasai diri. Sebaliknya membiarkan firman yang disampaikan oleh ibu bapa mengikat kita. Sepatutnya kita menghargai dan mengingati firman tersebut supaya sentiasa ditegur oleh firman itu, memberikan perhatian yang khusus terhadap firman Tuhan seperti yang dikatakan dalam alkitab “menyimpan ajaran itu seperti biji mata” dan “menuliskan itu pada loh hati”.

Rasul Petrus mengongsikan pengalamannya melalui penglihatan untuk menjelaskan pengharapan akan kedatangan Kristus kali kedua. Dia menyatakan bahawa dia telah diteguhkan oleh firman Tuhan yang disampaikan oleh para nabi (II Pet 1:19). Petrus mengingatkan pemercaya supaya mengutamakan nubuat para nabi kerana ia adalah pelita yang bercahaya di tempat gelap. Firman Tuhan menyuluh jalan hidup manusia dan menyingkapkan seluruh kejahatan serta keinginan yang tersirat di dalam hati manusia. Tempat yang gelap adalah satu tempat (konsep, kepercayaan, tabiat, dunia) yang bertentangan dan bermusuhan dengan Tuhan.

Oleh itu rasul Petrus menghendaki pemercaya supaya memperhatikan firman sampai fajar menyingsing. Ini bermaksud setiap orang yang memperhatikan firman Tuhan akan beroleh cahaya yang terang dan mengetahui dengan yakin kuasa kegelapan pasti akan berlalu.

Tuhan Yesus berkata “Yang berbahagia ialah mereka yang mendengarkan firman Allah dan yang memeliharanya” (Luk 11:28). Oleh itu, perhatikanlah cara kamu mendengar kerana siapa yang mempunyai kepadanya akan diberi,  tetapi siapa yang tidak mempunyai daripadanya akan diambil, juga apa yang ia anggap ada padanya.

Bijak Dan Berbudi
| |

Bijak Dan Berbudi

Hagai Tang

Dunia masa kini adalah  dunia yang penuh dengan cabaran dan persaingan. Oleh itu setiap orang berlumba-lumba untuk terus melengkapi diri dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan supaya dapat terus hidup dalam komuniti dunia. Masyarakat dunia sangat berpegang pada prinsip ‘tidak boleh ketinggalan’. Mereka yang ketinggalan akan  dianggap rendah dan dipandang lemah. Dalam suasana hidup seperti ini, setiap individu terpaksa bersaing dengan apa jua cara tanpa menghiraukan nilai moral. Secara perlahan-lahan manusia akan menjadi makhluk yang hanya mementingkan diri sendiri dan penuh dengan iri hati. Alkitab mengkategorikan hikmat tersebut sebagai hikmat dunia, dari nafsu manusia dan dari syaitan (Yak 3:15). Hikmat ini hanya membawa kepada kerosakan akhlak seperti menjadi hamba wang, membual, menyombongkan diri, pemfitnah, pemberontak, tidak tahu berterima kasih dan sebagainya (II Tim 3:1-4).  Itulah sebabnya kita dapat melihat ada di kalangan murid-murid sekolah yang mempunyai keputusan yang cemerlang dalam akademik tetapi tidak suka bergaul dengan orang lain dan tidak tahu menghormati guru.

Sebagai umat Tuhan haruslah berusaha untuk mencegah perkara sedemikian daripada terjadi di kalangan generasi muda kita. Sebaliknya berusaha untuk melahirkan generasi yang bijak dan berbudi iaitu dengan cara hidup yang baik, menyatakan perbuatan yang lahir dari hikmat dan kelemah-lembutan (Yak 3:13). Biarlah kita menjadi seorang yang bijak dan berbudi. Bijak ialah mempunyai keupayaan intelek yang tinggi dan berbudi ialah perbuatan yang baik.

Keupayaan intelek yang tinggi merupakan kebolehan mental untuk melakukan operasi dengan cekap dan cerdas. Mereka yang bijak mampu memahami sesuatu perkara dengan cepat dan baik. Bagaimanapun golongan ini tidak semestinya tahu untuk mengaplikasikan apa yang  telah dipelajari untuk kebaikan. Mereka juga tidak semestinya memiliki dan mengamalkan nilai-nilai moral. Oleh itu marilah kita berusaha untuk menyemai konsep yang tepat kepada generasi muda kita supaya mereka bukan saja menjadi bijak tetapi juga diperlengkapi dengan hikmat yang dari atas (Yak 3:17).

Bagaimana Melahirkan Generasi Yang Bijak Dan Berbudi?

1.       Takut Akan Tuhan

Amsal 9:10 menyatakan permulaan hikmat adalah takut akan Tuhan dan mengenal Yang Maha Kudus adalah pengertian. Allah adalah sumber hikmat. Hikmat Allah adalah hikmat yang dari atas. Sebagai permulaan untuk memperoleh hikmat ialah takut akan Tuhan. Apakah maksud takut akan Tuhan?  Dalam Amsal 8:13 mencatatkan bahawa takut akan Tuhan ialah membenci kejahatan. Sebab Tuhan membenci semua orang yang melakukan kejahatan (Maz 5:5).

Orang yang takut akan Tuhan sentiasa berwaspada dalam perbuatannya, sebab ia sedar bahawa Tuhan sedang mengawasi setiap tingkah lakunya dan faham bahawa Tuhan akan membawa setiap perbuatan itu ke pengadilan (Pkh 12:14).

Contoh terbaik yang patut diteladani ialah Yusuf, anak Yakub. Ketika berada di rumah Potifar, jauh dari keluarga dan menjadi hamba kepada tuannya; isteri Potifar telah menggoda Yusuf tetapi Yusuf menolak dan berkata “bagaimana mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berbuat dosa terhadap Allah?” (Kej 39:9). Ini membuktikan Yusuf seorang yang bijak dan berbudi kerana takut akan Tuhan, tetapi berbeza bagi orang bebal (Maz 14:1). Orang bebal berkata dalam hatinya “Tidak ada Allah”, perbuatan mereka busuk dan jijik.

2.     Dididik Dalam Firman Tuhan 

Taurat Tuhan itu sempurna, menyegarkan jiwa; peraturan Tuhan itu teguh, memberikan hikmat kepada orang yang tak berpengalaman. Titah Tuhan itu tepat, menyukakan hati; perintah Tuhan itu murni, membuat mata bercahaya (Maz 19:8–9). Segala tulisan yang diilhamkan Allah memang bermanfaat untuk mengajar, untuk menyatakan kesalahan, untuk memperbaiki kelakuan dan untuk mendidik orang dalam kebenaran (II Tim 3:16–17). Dengan demikian setiap orang kepunyaan Allah diperlengkapi untuk setiap perbuatan yang baik.

Berdasarkan dua kitab rujukan di atas, menjelaskan bahawa untuk melahirkan generasi yang bijak dan berbudi haruslah menitikberatkan pendidikan agama, iaitu mendidik mereka dalam firman Tuhan. Dengan kata lain, pendidikan agama sangat penting!

Contohnya, Timotius yang masih muda. Dia terkenal baik di Listra dan Ikonium (Kis 16:2). Terdapat dua persoalan penting yang perlu dikemukakan tentang Timotius. Pertama ialah mengapa ia terkenal baik? Kerana Timotius dilengkapi dengan perbuatan yang baik (II Tim 3:17). Kedua, bagaimana Timotius diperlengkapi? Melalui didikan daripada neneknya Lois dan ibunya Eunike yang penuh iman sehingga Timotius telah mengenal kitab suci sejak dari kecil (II Tim 1:5, 3:15). Ini menunjukkan usaha pendidikan agama dalam keluarga telah melahirkan generasi yang bijak dan berbudi.

Tujuan pendidikan agama ialah supaya anak-anak mengenal kitab suci sejak dari kecil agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan arus dan falsafah dunia. Sebaliknya, dapat menjalani kehidupan bercorak kristian.

3.      Belajar Daripada Yesus

Tuhan Yesus berkata “Belajarlah pada-Ku kerana Aku lemah lembut dan rendah hati…” (Mat 11:29). Tuhan Yesuslah yang paling sempurna dan patut dicontohi (Rm 8:29, I Pet 2:21–23). Yesus Kristus murni, pendamai, peramah, penurut, penuh belas kasihan dan buah-buah yang baik, tidak memihak dan tidak munafik (Yak 3:17).

Bagaimana Tuhan Yesus mengalahkan iblis dan maut? Jawapannya ada dalam Efesus 1:7-8, ‘sebab di dalam Dia dan oleh darah-Nya kita beroleh penebusan,  iaitu pengampunan dosa, menurut kekayaan kasih karunia-Nya yang dilimpahkan-Nya  kepada kita dalam segala hikmat dan pengertian’.

Hikmat dan pengertian yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus adalah dengan kelemahlembutan dan kerendahan hati untuk mengalahkan si jahat. Iblis menyangka, jika Tuhan Yesus dibunuh maka rencana penyelamatan akan musnah. Tanpa diduga melalui kematian-Nya, Tuhan Yesus telah menggenapkan rencana penyelamatan tersebut. “O, alangkah dalamnya kekayaan, hikmat dan pengetahuan Allah! Sungguh tak terselidiki keputusan-keputusan-Nya dan sungguh tak terselami jalan-jalan-Nya” (Rom 11:33). Ini memberi pengajaran kepada kita supaya kita mengalahkan kejahatan dengan kebaikan (Rom 12:21). Inilah hikmat yang dari atas dan daripada Tuhan.

Bijak dan berbudi seperti huraian di atas dapat disimpulkan sebagai garam dan terang dunia (Mat 5:13-16). Kita hendaklah mempunyai “garam” di dalam diri kita dan selalu hidup berdamai dengan semua orang (Mrk 9:50). Juga menjadi “terang” yang dapat bercahaya dan menerangi dunia supaya dunia dapat melihat cahaya tersebut dan memuliakan Bapa syurga (Mat 5:14-16). Kita hendaklah bijak untuk menilai segala jalan kehidupan iman kepercayaan kita dan pada masa yang sama tidak kehilangan nilai-nilai yang baik ataupun berbudi.