Views: 336

Sebilangan besar umat kristian pergi ke gereja beribadah kepada Tuhan pada hari Ahad, manakala ada sebahagian orang pula berehat pada hari Sabtu (Hari Sabat) untuk beribadah kepada Tuhan. Namun, mengapakah gereja kita tidak mengikuti kebanyakkan gereja memperingati hari Sabat pada hari Ahad? Marilah kita menyelidikinya:

A. Asal-usul dan tujuan hari Sabat:

1. Asal-usul hari Sabat dan penubuhannya.

a. Asal-usul hari Sabat:
i. Tuhan mencipta alam semesta dalam masa 6 hari, lalu berhentilah Ia pada hari ketujuh dari segala pekerjaan yang telah dibuatNya itu. Tuhan memberkati hari ketujuh itu dan menguduskannya. Ini adalah asal usul hari Sabat dan juga makna yang diberi Tuhan terhadap hari Sabat, serta mengingatkan manusia supaya memperingati dan menurutinya (Kej 12:1-3).

b. Proses penetapannya:
i. Semasa penciptaan, Tuhan memberkati hari ketujuh dan menguduskannya (Kej 2:3; Kel 20:8-11). Oleh yang demikian, hari Sabat telah ditetapkan oleh Tuhan sebelum hukum Taurat.
ii. Dinyatakan semula di padang gurun Sin: Manna adalah makanan utama bagi umat. Mereka memungutnya mengikut keperluan tiap-tiap orang pada setiap pagi. Apabila matahari terik, maka manna akan menjadi cair. Pada hari yang keenam pula, mereka akan memungut roti itu dua kali lipat banyaknya, dua gomer untuk tiap-tiap orang, sebab Musa berkata kepada mereka : Inilah yang dimaksudkan Tuhan, “besok adalah hari perhentian penuh, Sabat yang kudus bagi Tuhan.” Dengan itu umat berehat pada hari yang ketujuh (Kej 16:21-30).
iii. Kesepuluh firman adalah hukum yang ditulis oleh jari Tuhan ke atas loh batu dan tetap tidak akan berubah buat selama-lamanya. Tuhan telah menyenaraikan hal memperingati hari Sabat sebagai hukum yang keempat di atas gunung Sinai. Oleh itu, kita harus memperingati hari Sabat dan menguduskannya (Kel 20:8-11).

 

2. Tujuan Tuhan mengadakan hari Sabat:

Tuhan Yesus berkata : “Hari Sabat diadakan untuk manusia,” (Mrk 2:27). Tujuannya adalah supaya manusia mendapat kebaikan. Berdasarkan kajian Alkitab, kita dapat mengetahui ada beberapa tujuan Tuhan mengadakan hari Sabat:

a. Agar manusia memperingati penciptaan Tuhan (Kel 20:8-11):

Apabila langit dan bumi dan segala isinya siap dicipta-Nya, maka selesailah kerja penciptaan Tuhan, dan berhentilah Dia pada hari ketujuh dari segala pekerjaan yang telah dibuatNya itu. Lalu Tuhan memberkati hari ketujuh dan menguduskannya. Tuhan juga menyelitkan hal ini dalam kesepuluh firman, agar manusia memperingati kerja penciptaanNya.

b. Membolehkan seseorang menikmati kelegaan jasmani dan batin (Kel 23:12) :

Manusia tidak sama dengan Tuhan. Tuhan tidak lelah, lesu, dan juga tidak perlu rehat, tetapi manusia yang hidup dalam daging dan darah masih mempunyai kekurangan dan kelemahan jasmani. Tuhan mengasihi manusia. Oleh sebab itu, Dia bertimbang rasa atas kelemahan dan batasan kita, lalu menetapkan hari Sabat agar manusia mendapat kelegaan. Dalam Perjanjian Lama, ternakan-ternakan juga perlu beristirehat, hamba- hamba mendapat kelegaan supaya dapat berehat dengan sepenuhnya demi menempuh jalan yang lebih jauh. Jadi, begitu besarnya kasih Tuhan kepada kita yang dapat kita lihat dari penjagaan-Nya yang rapi ke atas diri kita dalam hal ini.

c. Agar manusia memperingati anugerah keselamatan Tuhan (Ul 5:15):

Di atas gunung kudus, Tuhan khususnya menghendaki umatNya memperingati bagaiamana Dia membawa mereka keluar dari rumah perbudakan, iaitu Mesir dengan tangan yang kuat dan lengan yang teracung. Dengan itu, Tuhan memerintah supaya merayakan hari Sabat, agar mereka memperingati anugerah penyelamatan Tuhan. Bagi pemercaya- pemercaya dalam Perjanjian Baru pula, mereka lebih-lebih lagi harus memperingati kasih karunia Tuhan Yesus yang menumpahkan darah-Nya untuk menebus dosa pada hari kudus ini (2 Kor 5:14-15).

d. Agar manusia mengetahui bahawa Tuhan yang menguduskan manusia (Yeh 20:12):

Menguduskan hari Sabat adalah suatu bukti di antara umat pilihan dengan Tuhan kerana Dia adalah Tuhan yang kudus. Kehendak Tuhan adalah supaya kita menjadi kudus, menjauhi percabulan, sentiasa mengejar kekudusan dalam kerohanian (I Tes 4:3; Ibr 12:14).

e. Supaya seseorang menaruh pengharapan terhadap perhentian di Syurga (Ibr 4:9-10):

Kerana seluruh makhluk telah ditaklukkan kepada kesia-siaan, bukan menurut kehendaknya sendiri, tetapi dikehendaki Tuhan. Oleh itu, makhluk itu sendiri juga berpengharapan agar dimerdekakan dari perbudakan kebinasaan dan masuk ke dalam kemerdekaan kemuliaan anak-anak Tuhan (Rm 8:20-23). Kita telah memiliki janji ini. Oleh itu, kita harus memegang hari kudus, menantikan kedatangan Tuhan untuk membawa kita ke dalam perhentian yang kekal.

 

B. Umat kristian harus memperingati hari Sabat

Perlukah umat Kristian zaman Perjanjian Baru memperingati hari Sabat? Hal ini hangat dibincangkan oleh ramai orang. Berdasarkan pengajaran Kitab, kita akan mengkaji mengapa umat Kristian harus memperingati hari Sabat:

1. Kesilapan tidak memperingati hari Sabat bagi kebanyakan gereja.

Kini ada satu golongan orang memperingatinya pada hari Ahad. Mereka menganggap adalah tidak perlu memperingati hari Sabat seperti orang-orang Yahudi. Berikut disenaraikan suatu perbandingan di antara alasan-alasan yang dikemukakan dengan pandangan dari sudut Alkitab:

a. Bagi mereka, hari Sabat adalah yang diberikan untuk orang-orang Yahudi dan tidak berkait langsung dengan umat Kristian, namun Alkitab memberitahu kita:

i. Yesus berkata: ”Hari Sabat diadakan untuk manusia.” (Mrk 2:27). Sudahpun adalah untuk manusia, apakah hanya untuk orang Yahudi saja?
ii. Orang kafir juga berhak menikmati anugerah hari Sabat (Yes 56:2-9).
iii. Tuhan juga adalah Tuhan bagi orang kafir, bagaimana boleh dikatakan orang kafir tidak perlu memperingati Tuhan? (Rm 3:29).
iv. Tuhan mengulangi wahyu tentang hari Sabat kepada orang Yahudi, bertujuan agar disampaikan titah Tuhan melalui mereka (Rm 3:1-2).

b. Mereka beranggapan bahawa sudahpun umat Kristian diselamatkan oleh anugerah, maka tidak perlu lagi memegang hukum taurat. Tambahannya, hari Sabat adalah hukum Taurat dan ianya adalah bayangan (gambaran) untuk hal-hal yang akan datang. Jadi, umat Kristian tidak perlu memegang hari Sabat, namun Alkitab memberitahu kita:

i. Diselamatkan dalam darahNya kerana iman (Rm 3:25).
ii. Umat Kristian yang hidup dalam anugerah tidak boleh membatalkan hukum Taurat, sebaliknya harus meneguhkannya (Rm 3:31; 6:15).
iii. Yesus berkata: “Tetapi jikalau engkau ingin masuk ke dalam hidup, turutilah segala perintah Tuhan.” (Mat 19:17). Perintah Tuhan tidak akan batal selama-lamanya.

Orang-orang yang hidup dalam anugerah lebih-lebih lagi harus memegangnya dengan lebih sempurna (Mat 5:17-19, 21-28; I Kor 7:19).

c. Mereka menganggap tidak adanya perbezaan di antara hari Sabat dalam hukum Taurat dan hari Sabat dalam anugerah. Mereka menyangka tindakan Tuhan Yesus menyembuhkan penyakit pada hari Sabat itu telah membatalkan hari Sabat (Yoh 9:13-16). Namun, Alkitab memberitahu kita:

i. Hari Sabat dalam hukum Taurat yang diumumkan oleh Musa pada zaman hukum Taurat telah pun tamat berikutan dengan kedatangan Kristus (Luk 16:16; Rm 10:4). Disebabkan Kristus adalah penggenapan hukum taurat, maka orang-orang yang ditebus oleh Kristus tidak lagi hidup dalam hukum Taurat melainkan dalam anugerah. Oleh itu, Hari Sabat yang dirayakan dalam Kristus adalah hari Sabat dalam anugerah.
ii. Walaupun masa bagi hari Sabat dalam hukum Taurat dan hari Sabat dalam anugerah adalah sama, namun makna dan cara memegangnya adalah berlainan. Terdapat banyak sekali larangan bagi Hari Sabat dalam hukum Taurat. Contohnya: Jangan melakukan pekerjaan pada hari Sabat (Kel 20:10). Tidak boleh memasang api di tempat kediaman (Kel 31:12-13). Bahkan telah ditetapkan jarak perjalanan mengikut ketetapan yang telah ditentukan (kira-kira 1 km) (Kis 1:12). Hari Sabat dalam anugerah pula berada di bawah anugerah. Jadi, cara minum dan makan serta cara memegang hari Sabat tidak lagi dikekang oleh hukum Taurat. Makna Hari Sabat dalam anugerah adalah untuk menikmati anugerah, bahkan hati penuh dengan kebebasan, kesukacitaan dan damai sejahtera (Mat 12:1-8).
iii. Orang-orang yang menikmati hari Sabat dalam anugerah ini sama seperti keadaan di dalam Taman Eden, tidak ada ketakutan melainkan menikmati anugerah Tuhan dengan penuh keriangan. Oleh itu, kita boleh mengurus kerja-kerja suci, melakukan kebajikan memberitakan Injil dan menyembuhkan penyakit pada hari Sabat agar manusia benar-benar menikmati kelegaan jasmani, batin dan jiwa. Oleh yang demikian, umat Kristian harus memperingati hari Sabat kerana Yesus Kristus juga memperingati hari Sabat (Luk 4:16). Begitu juga rasul-rasul, mereka juga memperingati hari Sabat (Kis 13:14, 44).

 

C. Bagaimana memegang hari Sabat?

Sudahpun diketahui bahawa memegang hari Sabat adalah perbuatan yang tepat dan diberkati Tuhan, dan ia juga adalah perintah yang ditetapkan oleh Tuhan. Oleh yang demikian, bagaimana pula memegang hari Sabat?

1. Mengetepikan hal-hal duniawi (Yes 58:13)

Pada masa lalu, disebabkan umat Yahudi tidak memegang hari Sabat, maka akhirnya negara mereka ditumpaskan dan dibinasakan bahkan ditawan ke negara asing. Nabi Yesaya telah menyampaikan amaran, menegaskan bahawa Tuhan amat mengutamakan hal memperingati hari Sabat oleh umatNya, bahkan berpesan kepada mereka agar mengetepikan segala urusan duniawi: “Apabila engkau tidak menginjak-injak hukum Sabat dan tidak melakukan urusanmu pada hari kudusKu, apabila engkau menyebutnya hari Sabat hari kenikmatan dan hari kudus Tuhan hari yang mulia, apabila engkau menghormatinya dengan tidak menjalankan segala acaramu dan dengan tidak mengurus urusanmu atau berkata omong kosong, maka engkau akan bersenang-senang kerana Tuhan, dan Aku akan membuat engkau melintasi puncak bukit-bukit di bumi dengan kenderaan kemenangan, Aku akan memberi makan engkau dari milik pusaka Yakub, bapa leluhurmu, sebab mulut Tuhanlah yang mengatakannya.” Pada hari ini, sungguhoun kita mungkin tidak dapat mengetepikan hal-hal duniawi dengan sepenuhnya atas sebab batasan jasmani dan pekerjaan, misalnya menjalankan tugas seharian atau pergi ke sekolah, namun cubalah sedaya upaya meluangkan masa menghadiri kebaktian. Jika bekerja sendiri, hendaklah kita mengagihkan masa kita untuk menghadiri kebaktian. Sekiranya tidak dapat mengetepikan urusan duniawi, hati kita juga harus bersyukur kepada Tuhan dan menghormati-Nya serta menguduskan hari Sabat dalam batin kita.

2. Menghadiri pertemuan kudus (Im 23:3; Luk 4:16; Kis 13:44)

Alkitab memberitahu kita: “Enam hari lamanya boleh melakukan pekerjaan , tetapi pada hari yang ketujuh ada Sabat, hari perhentian penuh, yakni hari pertemuan kudus (Im 23:3). Pada hari kudus ini, pemercaya harus menghadiri kebaktian, mendengar firman Tuhan dengan hati yang tenang, berdoa dan beribadah kepada Tuhan (Kis 13:44; 16:13). Pada hari kudus ini, kita harus memperingati Tuhan sebagai pencipta dan memperingati anugerah penebusan Tuhan Yesus yang agung ini, serta saling mendorong dengan kasih Tuhan. Kita juga harus hidup dalam kasih Tuhan, membangunkan diri sendiri dalam kebenaran yang kudus, mengejar kekudusan agar dapat melihat Tuhan serta menaruh pengharapan terhadap hari perhentian yang kekal di Syurga. Di samping itu, kita tidak putus-putus menyedarkan diri sendiri agar tidak melupakan anugerah Tuhan dengan menghadiri kebaktian, sama seperti kata dorongan pengarang Ibrani “Kerana itu marilah kita menghadap Tuhan dengan hati yang tulus ikhlas dan keyakinan iman yang teguh, dan teguh berpegang pada pengakuan tentang pengharapan kita, sebab Ia, yang menjanjikannya, setia. Dan marilah kita saling memperhatikan supaya kita saling mendorong dalam kasih dari pertemuan-prtemuan ibadah kita, seperti dibiasakan oleh beberapa orang, tetapi marilah kita saling menasihati, dan semakin giat melakukannya menjelang hari Tuhan yang mendekat.” (Ibr 10:22-25).

3. Memberitakan injil dan melakukan kebajikan (Mrk 1:21; 3:4-5; Kis 18:4; 16:13).

Hari Sabat dipegang dengan begitu ketat dalam hukum Taurat. Umat pilihan pada Perjanjian Lama tidak memperingati hari Sabat, akhirnya menyebabkan mereka ditawan oleh bangsa asing sehinggalah Tuhan mengembalikan mereka ke tanah kudus, barulah mereka memegang hari Sabat dengan penuh serius. Menjelang Perjanjian Baru, Tuhan Yesus menjelaskan: “Hari Sabat diadakan untuk manusia supaya manusia menikmati kelegaan jasmani dan batiniah.” Dengan itu, hari Sabat dipegang bukan menuruti ketetapan dan peraturan yang lama dengan ketat sehingga merupakan inti atau makna sebenarnya. Oleh itu, Tuhan Yesus telah menerangkan bahawa adalah diperbolehkan untuk memberitakan injil dan menyelamatkan manusia pada hari Sabat. Kita patut mengikuti teladan yang diberikan Tuhan, iaitu memberitakan Injil, membantu/ menyembuhkan yang sakit dan tetap setia terhadap Tuhan.

Rumusan:

Kita selaku seorang pelajar, sibuk dalam pelajaran kita pada hari-hari biasa. Walaupun telah meluangkan masa menghadiri kebaktian malam dengan sedaya-upaya, namun kemungkinan tidak sering. Oleh itu, kita lebih-lebih lagi patut mempergunakan masa rehat selepas belajar di sekolah pada hari Sabtu untuk menghadiri kebaktian dan mendengar firman Tuhan demi memantapkan lagi intelek rohani dan makanan rohani. Di samping itu, kita juga dapat menyertai pelbagai kerja suci dan mungkin berpeluang memimpin kawan-kawan sekolah menghadiri kebaktian di gereja agar mereka juga berpeluang mendengar injil. Jadi, bolehlah kita menjalankan kewajiban kita sebagai seorang penginjil muda. Kita juga terasa bahawa berehat adalah untuk perjalanan yang lebih jauh. Melalui hari Sabat, jasmani dan rohani kita juga beroleh istirehat, dan membolehkan kita bersukacita dalam rohani dan menikmati hari Sabat.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *