Penglihatan Sewaktu Perjamuan Kudus
| |

Penglihatan Sewaktu Perjamuan Kudus

Timotius Borubui

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian. Peristiwa ini berlaku kira-kira dua puluh tahun lalu yakni, sekitar tahun 1980-an. Kesaksian ini saya simpan dalam hati selama ini, syukur puji Tuhan, tahun 2007 saya ungkitkan semula pengalaman rohani ini untuk dikongsi bersama demi menguatkan lagi dasar kepercayaan kita terhadap kebenaran sakramen perjamuan kudus.

Peristiwa ini berlaku semasa Kebaktian Kebangunan Rohani dan Penginjilan (KKR) di Gereja Yesus Benar, Berungis, Tuaran. Pada kemuncak kebaktian itu, sakramen perjamuan kudus telah dilaksanakan. Pdt. Stefanus Tham[1] sedang memberkati roti perjamuan kudus dengan doa kata-kata akal (menggunakan bahasa Cina), sementara kata-kata doa pendeta itu diterjemahkan oleh Pdt. Thomas Kam ke dalam bahasa Malaysia.

Niat dalam hati saya sewaktu kata-kata berkat itu diucapkan adalah mendengar dengan teliti dan cuba menghafal isi kandungan doa pendeta itu. Tujuan saya berbuat demikian supaya saya dapat menggunakan kata-kata berkat itu apabila saya mengendalikan perjamuan kudus pada masa hadapan.

Sementara saya mendengar dengan penuh perhatian kata-kata doa pemberkatan itu, tiba-tiba suara Pdt. Stefanus Tham dan Pdt. Thomas Kam hilang daripada pendengaran saya. Saya seperti berada di suatu tempat yang sunyi, tenang dan udaranya nyaman. Pada saat itu saya tidak tahu berada di mana kerana bunyi kipas gereja dan suara orang di sekeliling saya juga tidak kedengaran lagi.

Tiba-tiba saya melihat di depan saya seorang lelaki yang baru mati terbungkus seperti roti gulung. Sangat hairan bahawa walaupun kelihatan terbungkus namun jelas kelihatan seluruh tubuh, muka, kepala, badan dan kakinya bengkak. Sementara saya memerhatikannya, timbul dalam hati saya untuk mengetahui siapakah orang yang telah mati itu.

Tiba-tiba suasana itu berubah! Saya berada dalam keadaan seperti sedang menonton televisyen yang tiba-tiba terputus bekalan elektrik. Keadaan gelap beberapa saat lamanya, dalam fikiran saya ketika itu masih tertanya-tanya siapakah orang yang mati itu. Kemudian saya melihat suatu benda seperti kain yang lebar terbentang turun dari atas. Serentak dengan itu tempat itu menjadi terang semula.

Saya melihat benda yang turun dari atas itu adalah seekor kambing jantan besar putih bersih yang baru mati. Kambing itu disembelih lehernya dengan luka yang besar dan darahnya sedang mengalir ke tanah. Oleh kerana posisi kambing itu adalah kepalanya menghadap ke arah saya, maka saya dapat melihat dengan jelas, darah itu masih mengalir. Tiba-tiba saya mendengar orang berkata “amin”.

Penglihatan itu hilang sebaik sahaja saya mendengar perkataan “amin” yang diucapkan oleh Pdt. Stefanus, saat itu baru saya sedar bahawa apa yang berlaku adalah suatu penglihatan yang ajaib.

Apabila selesai perjamuan kudus waktu itu, saya berasa ada sesuatu yang mendorong saya untuk menyampaikan kesaksian ini kepada jemaat. Lantaran itu, saya memberitahu  peristiwa yang saya lihat semasa doa pemberkatan roti kepada semua yang hadir di gereja ketika itu. Semoga Tuhan dimuliakan. ☺


[1] Kini Penatua Stefanus Tham

Darah Yesus Merendahkanku,  Meneguhkanku
| |

Darah Yesus Merendahkanku, Meneguhkanku

CP Chin

Dalam nama Tuhan Yesus bersaksi.

Tahun 1980-an adalah permulaan perlunya penterjemahan daripada bahasa Cina ke bahasa Melayu semasa kebaktian.  Pada awal tahun 1984, saya mula melibatkan diri dalam kerja suci menterjemah dengan anggapan bahawa pelayanan ini bukanlah tugas yang terlalu sukar. Saya begitu yakin saya boleh menterjemah dengan baik, malah lebih baik daripada sesiapapun.

Kesaksian ini berlaku 23 tahun yang lalu di Gereja Sandakan (tapak lama di Batu 1). Gereja Sandakan mengadakan Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) dan saya juga turut dipanggil untuk membantu menterjemah.  Segalanya berjalan lancar sehinggalah pada hari terakhir, iaitu semasa sesi perjamuan kudus. Ini adalah kali pertama saya menterjemah khutbah perjamuan kudus. Saya seperti seorang yang terencat akal,  banyak perkataan Hakka yang saya tidak fahami dan tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkannya.

Saya menyelesaikan tugas saya dengan perasaan yang terseksa. Sebaik saja saya turun dan duduk di bangku hadapan, air mata saya sudah berlinangan. Saya malu dan kesal dengan kesombongan diri selama ini. Saya mengambil kesempatan untuk bertaubat semasa mengucap syukur atas roti dan jus anggur kerana keangkuhan dan kesilapan saya.  Saya memohon agar Tuhan membantu saya untuk menjadi hamba yang lebih baik dan rendah hati untuk melayani-Nya.

Setelah selesai doa ucapan berkat ke atas jus anggur, semasa menyanyi kidung saya masih berdoa  dalam hati memohon pengampunan daripada Tuhan. Sewaktu pendeta menuangkan jus anggur ke dalam cawan, tiba-tiba suasana sekeliling berubah menjadi putih bersinar-sinar! Suasana bertukar menjadi sunyi dan tenang. Saya melihat bahawa jus anggur yang dituang dari teko adalah titisan-titisan darah. “Darah!”  Serta merta hati saya terasa kepedihan yang begitu menyakitkan. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesakitan ini.

Saya tidak faham mengapa Tuhan memberikan penglihatan ini kepada saya; lalu saya bertanya kepada pendeta. Setelah mendengar luahan hati saya, pendeta menasihatkan saya agar lebih giat berdoa dan memohon karunia daripada Tuhan serta mempergunakan apa yang diterima itu dengan baik.

Banyak peristiwa telah berlaku dalam jangkamasa yang panjang ini yang memberikan saya pelbagai alasan untuk berhenti berkebaktian serta menjauhi Tuhan. Tetapi penglihatan titisan darah-Nya senantiasa muncul di saat saya merasa lemah. Syukur puji Tuhan kerana sehingga kini saya masih berpeluang untuk melayani-Nya malah telah memberikan banyak pengalaman untuk meneguhkan iman saya. Doa dan permohonan saya ialah agar Tuhan membantu saya menjadi seorang hamba yang baik dan tidak mensia-siakan kasih karunia-Nya.

Semoga segala kemuliaan dan kehormatan serta puji pujian diberikan pada nama-Nya dari sekarang sampai selama-lamanya.  Amin!

Sidang Editor
| |

Sidang Editor

Sidang Editor 

Ia tidak tampan dan semaraknyapun tidak ada sehingga kita memandang dia, dan rupapun tidak, sehingga kita menginginkannya, Ia dihina dan dihindari orang, seorang yang penuh kesengsaraan dan yang biasa menderita kesakitan, ia sangat dihina, sehingga orang menutup mukanya terhadap dia dan bagi kitapun dia tidak masuk hitungan…”.

Demikianlah gambaran nabi Yesaya terhadap rupa fizikal Yesus Kristus dan keadaan hidupnya sebagai manusia sewaktu di dunia dahulu. Malahan sewaktu Dia dihukum, Tuhan membiarkan dirinya diludahi, dipukul dan dihina. Mukanya ditampar namun Dia berdiam diri sahaja.

Sejarah memberi kesaksian bahawa pada zaman itu, tentera Roma menggunakan cambuk bercabang dua belas yang setiap hujungnya terdapat logam atau tulang tajam seperti kail. Setiap kali sebatan dilakukan, maka logam tajam itu terbenam dalam kulit sampai ke isi daging tubuh kemudian ditarik dengan cepat, maka semua isi terkeluar dan percikan darah diikuti kesakitan yang tidak terkata. Tuhan Yesus disesah sedemikian sehingga seluruh tubuhNya seperti alur pembajakan.

Tidak cukup dengan itu, kepalanya diletakkan dengan anyaman duri, lalu dipukul agar mahkota duri itu terbenam di kepalaNya. Sewaktu dalam perjalanan menuju Bukit Golgota, batu-batu sepanjang perjalanan amat tajam. Sehingga kaki Tuhan Yesus berdarah kerana luka. Dia rebah dan tidak berdaya lagi mengangakat salibNya. Genaplah kitab suci mengatakan dari kepalanya hingga telapak kakinya tiada lagi yang sehat.

Hati setiap insan menangis ketika memperingati kematianNya. KematianNya yang penuh kasih itu memberi hidup kekal kepada kita. Edisi terbitan ini mengajak semua kekasih Hujan Semi bertekad membalas kasih Tuhan yang mati bagi kita. Bertekad melayani Tuhan, mengasihi sesama manusia, hidup takut akan Allah sementara menanti kedatangan Tuhan Kali kedua. Amen.