Kasih-Nya Yang Ajaib Memimpinku
| |

Kasih-Nya Yang Ajaib Memimpinku

Sdri. Dorcas Wong

Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan saksian:

Saya (Dorcas Wong Jia Ying) dari gereja Kota Kinabalu, Sabah. Saya ialah seorang pelajar yang belajar di kolej perubatan. Bermula dari hari sebelum masuk ke kolej sehinggalah ke hari dekat tamat pengajian ini, saya selalu digerak oleh Roh kudus. Sepanjang tempoh ini, saya dapat merasakan kasih karunia yang diberi oleh Tuhan.

Semasa di sekolah menengah, saya tidak terpilih untuk masuk ke dalam aliran sains atas sebab-sebab tertentu walaupun saya berminat dalam bidang biologi. Selepas peperiksaan SPM, saya tidak dapat melihat masa depan saya. Pada waktu itu, gereja telah mengadakan Kursus Teologi jangka pendek dan saya pun menyertai Kursus Teologi jangka pendek tahun ke-3.

Setiap sesi doa, saya mengambil kesempatan untuk berdoa demi masa depan saya. Syukur kapada Tuhan, saya dapat mendengar suara Tuhan dalam suatu sesi doa pagi. Pada waktu itu, Tuhan telah memberi petujuk yang jelas dan menenangkan hati saya. Saya rasa amat bersukacita.

Selepas tamat Kursus Teologi jangka pendek, saya dan ibu pergi mencari kolej. Kami telah melawat beberapa kolej yang kami ketahui tetapi masih tidak menjumpai kolej yang sesuai. Saya mulai berasa kecewa.

Sampai di kolej yang terakhir, saya telah meluahkan pemikiran saya tentang apa yang saya minat kepada orang yang bekerja di bahagian kaunter. Orang itu memberitahu saya bahawa kolej mereka tidak ada menawarkan bidang yang saya cari. Dia cuba meperkenalkan sebuah kolej perubatan yang baru dibuka di Likas kepada saya. Maka, saya pun menuju ke kolej perubatan yang dia tunjukkan itu.

Saya melihat semua pelajar di kolej perubatan ini memakai uniform “jururawat”, saya tidak terfikir bahawa saya dapat mencari bidang yang saya minat di kolej ini. Mengikut syarat yang ditetapkan, saya hanya perlu lulus sekurang-kurangnya 4 mata pelajaran dalam SPM untuk mendaftar masuk ke dalam kolej tersebut. Dengan demikian, saya seorang pelajar yang bukan dari aliran sains telah diterima untuk masuk ke dalam kolej perubatan.
Selepas mendaftar masuk ke kolej, kami mempunyai orientasi selama seminggu. Pada hari yang terakhir orientasi tersebut, saya menghidapi penyakit demam tinggi. Saya kehilangan selera makan sehingga minum air pun akan muntah. Saya menjadi sangat lemah, pernafasan tidak lancar dan pening kepala. Ibu bapa saya terus menghantar saya ke hospital.

Sampai ke hospital, saya dihantar ke bilik kecemasan dengan menggunakan kerusi roda. Pada mulanya, saya berfikir badan saya hanya kekurangan air, tetapi doktor dan jururawat pula memperhatikan saya dengan berterusan. Mereka membuat scanning, mengambil X-ray, dan lain-lain untuk saya. Akhirnya doktor mengambil keputusan bahawa saya perlu tinggal di hospital.

Selepas itu, doktor memberitahu bapa saya bahawa keadaan saya sangat bahaya kerana platelet saya sangat rendah. Sekiranya platelet masih lagi menurun, nyawa saya akan terancam. Selepas mandengar berita ini, ibubapa saya terus menghubungi gereja untuk meminta bantu doa.

Saya tinggal di hospital selama 3 hari. Sepanjang 3 hari itu, doktor mengambil darah saya setiap hari untuk menguji tetapi tidak ada keputusan. Akhirnya, mereka menganggap penyakit saya sebagai demam denggi kerana kelihatan tanda-tanda yang saya hadapi hampir sama dengan tanda-tanda penyakit demam denggi.

Selepas 3 hari, keadaan saya menjadi stabil dan saya pun boleh keluar dari hospital. Selepas pulang, keadaan saya tidak bertambah baik. Saya masih kurang selera makan, tidak dapat minum banyak air.

Pada malam itu, seorang kawan telah datang. Dia memperkenalkan seorang doktor swasta kepada saya. Selepas membuat diagnosis, doktor itu memberitahu saya bahawa ada sel virus dalam darah saya.

Selepas doktor memberi ubat, saya pun makan ubat itu mengikut masa yang ditetapkan. Pada keesokan hari, saya berasa sangat selesa. Selepas berehat satu minggu, saya pun dapat pergi ke kolej. Syukur kepada Tuhan, disebabkan adanya bimbingan dari Tuhan, barulah penyakit saya dapat disembuhkan.

Penyakit ini agak serius bagi saya. Walaupun saya dapat menghadiri kelas di kolej, tetapi muka saya masih nampak pucat. Badan saya masih sangat lemah. Oleh yang demikian, nama saya masih ada dalam senarai bantu doa. Apabila saudara-saudari melihat nama saya ada dalam senarai bantu doa, mereka berasa sangat khuatir terhadap saya. Mereka menelefon ibu bapa saya untuk menanya tentang keadaan saya, ada yang menghantar SMS, dan ada juga yang melawat saya secara peribadi. Tindakan seiman-seiman ini telah menunjukan kasih mereka. Semoga Tuhan memberkati kasih kamu.

Syukur kepada Tuhan kerana saya dapat merasai kasih karunia Tuhan dan juga kasih dari seiman-seiman semasa saya sakit. Bapa saya mengingatkan saya bahawa, “Tuhan memberi hidup kepadamu, kamu mesti mengingati kasih karunia yang diberi Tuhan sampai selama-lamanya.”

Ya, Tuhanlah yang memberi hidup ini kepada saya. Pada waktu saya berusia 9 tahun, saya menghidapi penyakit yang serius. Badan saya begitu lemah sehingga minum air pun menjadi masalah. Pada masa itu, ibu bapa saya telah melaporkan nama saya kepada gereja untuk dibantu doa. Akhirnya, saya menjadi sembuh selepas dibantu doa oleh seiman-seiman di gereja.

Tuhan telah menyembuh kesakitan saya dan menolong saya secara berterusan. Kasih karunia yang diberi oleh Tuhan memang besar dan berkelimpahan bagiku. Apabila saya balik ke kolej, saya berasa terkejut kerana saya hanya perlu menghadiri kelas sebanyak 2 kali dalam seminggu. Rupa-rupanya kursus kami telah ditangguhkan selama 2 bulan.

Saya kurang pasti apakah sebab yang menyebabkan kursus kami perlu ditangguhkan tetapi saya percaya bahawa jika tidak ada pengaturan dari Tuhan saya tidak dapat meneruskan pelajaran saya dengan lancar. Ini adalah kerana pada waktu itu, kesihatan saya masih dalam keadaan yang lemah dan perlu juga berjumpa doktor dengan kerap.

2 bulan kemudian, sekumpulan pelajar telah diatur untuk memulakan kelas bersama degan kami. Pada masa itu, kami perlu belajar 6 mata pelajaran dalam satu semester, pelajar baru pula lebih 1 mata pelajaran. Mengikut jadual yang diberikan, kami perlu menghadiri kelas setiap hari, sekurang-kurangnya 2 mata pelajaran yang berlainan dalam satu hari. Waktu itu barulah saya sedar bahawa masa dan kesihatan adalah sangat penting dalam kehidupan.

Saya mengimbas kembali situasi ini, sekiranya saya memulakan kelas 2 bulan lebih awal, maka kehidupan pelajaran saya akan menjadi sangat dahsyat. Ini kerana bukan sahaja saya akan kehilangan 2 kelas dalam seminggu, tetapi sekurang-kurangnya 10 kelas. Selain daripada 6 mata pelajaran yang perlu saya habiskan dalam masa 4 bulan ini, ada lagi peperiksaan, tugasan, dan juga pembentangan yang perlu dibuat sama seperti pelajar di kolej-kolej yang lain.

Dalam semester yang pertama, saya sudahpun merasa tertekan meskipun badan saya berada dalam keadaan yang stabil dan sihat. Bukan saja saya merasa tertekan, bahkan rakan-rakan saya dalam kelas yang sama dengan saya turut merasainya.

Saya pernah berfikir untuk berhenti kerana belajar di kolej jauh berbeza dengan di sekolah. Isi kandungan yang ada di dalam buku adalah istilah perubatan, susah difaham. Apabila satu sesi sudah tamat, saya perlu mengambil masa yang lama untuk mengenal perkataan baru.

Saya tidak ada keyakinan untuk lulus setiap peperiksaan yang saya hadapi. Keadaan yang sebegini menyebabkan saya merasa sangat letih dan tidak bertenaga untuk meneruskannya. Akhirnya saya menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.

Selepas saya membuat keputusan yang sedemikian dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan, tekanan saya menjadi ringan. Saya berdoa sebelum menduduki setiap peperiksaan. Syurkur kepada Tuhan, dengan begitulah saya menamatkan semester pertama saya.

Dari semester kedua sampai semester kelima, saya mengalami banyak perkara yang istimewa. Semua perkara yang berlaku ini telah menunjukkan kasih Tuhan yang begitu besar bagi saya. Walaupun saya sukar menjelaskan bagaimana Tuhan mencintai saya melalui perkara yang ditentukan, tetapi saya percaya dengan yakin bahawa jika tidak ada pimpinan Tuhan, pasti tidak ada saya.

Oleh sebab kolej saya dekat dengan rumah saya, maka saya tidak perlu tinggal di asrama. Dengan itu, saya boleh menghadiri kebaktian Sabat dan pendidikan agama setiap hari Sabtu dan Ahad. Dalam tempoh ini juga saya menghadiri kursus latihan guru dan diatur untuk menjadi guru pelatih kelas pendidikan agama.

Pada tahun 2011, saya diatur untuk mengajar murid-murid kelas darjah rendah 2. Sekali lagi, saya dapat merasakan kasih Yesus. Tujuan pendidikan agama diadakan adalah untuk membawa dan mengajar domba-domba supaya mengenali Tuhan Yesus dan belajar cara untuk bersandar kepada-Nya.

Sepanjang praktikal saya (di tempat lain), saya diberitahu bahawa bukan setiap gereja mempunyai pendidikan agama; bukan semua kanak-kanak mempunyai peluang untuk menghadiri kelas pendidikan agama.

Saya berasa bersyukur kerana diberi peluang untuk mendengar abang dan kakak menyampaikan cerita dalam Alkitab sejak tadika lagi. Saya mendapat peluang untuk menyertai pendidikan agama dengan sekumpulan seiman yang seumur dengan saya. Kami duduk bersama-sama untuk belajar firman Tuhan, menyanyi kidung dan berdoa untuk menerima Roh Kudus. Kesemua hal ini masih lagi segar dalam ingatan saya.

Saya sedar bahawa peluang ini adalah pemberian Tuhan. Tuhan memberikan saya peluang untuk mendekati-Nya. Syurkur kepada Tuhan.

Pada hari ini, saya diberi tugas sebagai seorang guru pendidikan agama. Tanggungjawab saya adalah untuk menceritakan betapa besar kasih Tuhan kepada kita. Syukur kepada Tuhan, sungguhpun masa saya mengajar tidak lama, tetapi semangat domba-domba untuk belajar firman Tuhan memang menggerakkan hati saya. Kadang-kala saya akan mengongsikan kesaksian saya dengan mereka, kadang-kala pula mendengar kesaksian mereka. Sukacita dan persekutuan rohani ini hanya dapat dirasai di dalam Tuhan.

Selepas masuk kolej, saya dapat mengalami kasih karunia Tuhan senantiasa. Saya dapat belajar subjek yang saya minat di kolej. Di gereja pula, saya dapat belajar firman Tuhan. Kehidupan ini sememangnya memuaskan hati saya. Namun, Tuhan tahu juga kekurangan saya. Dalam semester keenam, Tuhan mengatur saya untuk menjalani praktikal di Labuan.

Bidang yang saya belajar memerlukan saya menjalani praktikal. Seperti yang ditetapkan kolej saya, kami perlu belajar teori selama 5 semester sebelum menjalankan praktikal. Selepas habis belajar teori, barulah kolej kami akan mengatur tempat praktikal kami secara rawak. Dalam semester keenam, saya terpaksa meninggalkan rumah dan mengikuti pelajar-pelajar lain untuk melakukan praktikal di tempat yang tidak kami kenali.

Pada masa itu, banyak perkara yang saya tidak reti. Saya tidak tahu memasak, tidak berdikari dan tidak tahu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Namun saya masih tahu untuk bersyukur. Tuhan telah memberi peluang kepada saya untuk belajar berdikari.

Kami (seramai 6 penuntut) tinggal bersama-sama di asrama yang disediakan kolej. Antara 5 orang penuntut ini, 2 daripada mereka lebih memahami saya. Mereka tahu bahawa saya tidak pernah tinggal di asrama. Oleh sebab itu, mereka selalu mengambil berat akan saya. Mereka mengajar saya cara memasak kerana mengetahui bahawa saya tidak tahu memasak.

Kali pertama saya belajar memasak adalah dengan menggunakan periuk nasi. Sejak waktu itu, saya telah belajar untuk memasak beberapa jenis lauk. Ketika itu barulah saya merasa kepentingan makanan 3 kali sehari itu. Apa yang lebih penting lagi adalah keperluan yang diberi oleh Tuhan. Berikanlah kami pada hari ini makanan kami yang secukupnya.

Akhirnya, tibalah hari Sabat yang saya nanti-nantikan. Sebelum hari Sabat, saya telah berhubung dengan seiman kita. Saya mengikuti mereka untuk pergi ke gereja pada malam Jumaat dan hari Sabtu. Apabila sampai di gereja, hati saya penuh dengan sukacita seperti sudah balik ke rumah sendiri. Tidak ada beban berat, hanya ada perasaan puas dan sukacita.

Selepas mengahabiskan praktikal saya di Labuan, saya ditukar ke tempat yang lain untuk menjalankan praktikal. Sepanjang masa praktikal ini, saya bertemu dengan ramai OKU (orang kurang upaya). Ramai kanak-kanak yang mengalami kecacatan selepas dilahirkan dan ini menyebabkan pegerakkan mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Apabila menyaksikan kesemua ini, saya berasa amat bersyukur kepada Tuhan kerana memberi saya badan yang sempurna.

Selain itu, saya diberi kesempatan untuk melihat persembahan yang dilakukan oleh golongan OKU. Di antara mereka ada yang bisu, terencat akal dan terlalu aktif. Ada beratus-ratus penonton di bawah pentas, namun mereka masih boleh menyempurnakan tarian mereka dengan tidak takut. Hati saya bersa tersentuh apabila melihat keberanian mereka.

Pada semester ketujuh, saya menjalani praktikal di Kuching selama dua bulan. Di sana, saya mengenali seorang saudari gereja kita. Sebelum ini, dia pernah belajar di kolej perubatan yang sama dengan saya, tetapi atas sebab-sebab tertentu dia terpaksa berhenti.

Selepas mendengar cerita saudari tersebut, saya bertambah yakin bahawa tanpa bimbingan Tuhan, saya tidak akan dapat meneruskan pelajaran saya sampai pada hari ini.

Pada semester kelapan, saya menjalani praktikal saya di Sandakan. Di sana, saya telah berkenalan seorang saudari yang takut akan Tuhan. Kami saling berkongsi kesaksian. Kesaksiannya menggerakkan hati saya. Saya ingin mengongsi kesaksiannya di sini kerana ia adalah kasih karunia Tuhan.

Saudari ini telah mendapat Roh Kudus semenjak dia belajar di sekolah rendah lagi. Selepas menerima Roh Kudus, dia mengalami kemalangan di sekolah.

Peristiwa ini berlaku pada waktu rehat. Saudari ini berada di dalam kelas, rakannya pula mengejarnya di dalam kelas. Pada waktu itu, saudari ini duduk mencangkung dan belakangnya menghadap ke luar. Tiba-tiba, suatu bunyi “pak” telah mengejutkannya. Dia terus merasa sakit pada bahagian belakangnya.

Pada masa itu, rakan-rakannya yang bermain sudah keluar dari bilik darjah. Hanya dia seorang yang tinggal di dalam kelas. Kemudian, seorang pelajar datang dan melihat saudari ini duduk mencangkung di atas lantai dengan penuh kesakitan. Dengan pertolongan daripada pelajar ini, saudari kita itu telah dihantar ke bilik kecemasan di hospital.

Dalam pejalanan ke hospital, saudari ini terasa dirinya sudah dekat dengan kematian. Dalam keadaan yang penuh kesakitan, saudari ini teringat bahawa dia baru menerima Roh Kudus. Sekiranya dia meninggal dunia begitu sahaja, Roh Kudus yang diberi oleh Tuhan akan menjadi sia-sia.

Walaupun kesakitannya tidak berkurang, saudari ini masih terus berdoa kerana dia mahu bekerja untuk Tuhan. Dalam bilik kecemasan, cikgunya menyuruhnya supaya membuka mata. Dia membuka mata tetapi penglihatannya sangat kabur. Dia berasa sangat takut dan memberitahu cikgu bahawa tidak lama lagi dia akan meninggal.

Doktor dan jururawat telah mengambil X-ray dan cuba menyentuh bahagian belakangnya yang bengkak itu. Sungguhpun hanya menyentuh sikit dengan tangan, saudari ini pun menjerit dengan suara yang kuat disebabkan sangat sakit.

Saudari ini masih berdoa sampai tidak sedar bahawa berapa jam sudah berlalu. Kesakitannya hilang secara tiba-tiba. Dengan perlahan-lahan dia bangun dan memberitahu doktor bahawa sakitnya sudah hilang.

Sekali lagi doktor mengambil X-ray untuk saudari ini. Hal yang menghairankan adalah bahagian yang bengkak itu sudah sembuh. Doktor itu tidak dapat memahami dan tidak dapat menjelaskan bagaimana bengkak itu boleh hilang, tetapi saudari ini tahu bahawa kesakitannya itu disembuh oleh Tuhan.

Beberapa hari kemudian, saya sendiri pula tergelincir di tangga asrama. Pada waktu itu, saya baru saja selesai bersarapan pagi. Disebabkan saya tidak sedar ada air di tangga, maka saya pun jatuh tergelincir bersama dengan barang-barang yang saya bawa Selepas jatuh, saya tidak dapat bangun dari lantai dan kesaksian saudari tentang keadaan sakit belakangnya terlintas di fikiran saya. Saya berdoa di dalam hati dan yakin bahawa Tuhan akan menolong aku.

Orang-orang yang tinggal bersama di asrama dengan saya terkejut apabila melihat saya tergelincir. Mereka ingin membantu saya, tetapi bahagian belakang saya sangat sakit. Saya berasa pitam sekejap. Pendengaran saya terjejas. Saya memahami betapa pentingnya tulang belakang bagi seseorang. Sekiranya saraf tercedera, ia akan menjadi satu masalah yang sangat serius.

Beberapa minit kemudian, saya boleh berdiri dengan sendiri, lalu saya masuk ke dalam bilik untuk berdoa dengan segera. Selepas itu, saya terus pergi ke tempat praktikal. Sepanjang perjalanan, saya masih terasa sakit. Sesudah sampai di tempat praktikal, saya pun membuat pemeriksaan. Syurkur kepada Tuhan kerana tidak ada masalah pada bahagian tulang dan saraf saya.

Sebenarnya, Tuhan sentiasa melindungi kita. Tuhan bukan sahaja melindungi saya tetapi Tuhan juga mengajar saya banyak perkara dalam kehidupan saya. Saya pernah meminjam sebuah buku di gereja, buku itu menggalakkan kita supaya mengimbas kembali kehidupan kita dalam setahun, tetapi saya pula mengimbas kembali akan kehidupan saya dalam 3 tahun ini.

Dalam tempoh 3 tahun ini, semua perkara yang berlaku dalam kehidupan saya mesti ada penyelesaiannya. Apabila cabaran datang, saya berasa takut, bimbang, dan merasa diri saya mempunyai banyak kelemahan. Tetapi Tuhan sentiasa membuka jalan bagi saya. Dia selalu berada di sisi saya dan memimpin saya melalui semua jalan yang sukar ini.

Sepanjang praktikal, saya sentiasa keseorangan diri dalam kehidupan saya. Dengan itu, tidak kira saya berada dalam keadaan yang gembira atau sedih, saya mesti dapat merasakan Yesus ada di sisi saya. Ini merupakan kasih karunia Tuhan yang paling besar kepada saya. Saya percaya bahawa saudara dan saudari juga mengalami kasih karunia Tuhan. Marilah kita saling berkongsi tentang kasih Tuhan. Segala kemuliaan diberi kepada nama Tuhan. Amin.

Pimpinan Tuhan Yang Menghairankan Memimpin Saya Kepada Kebenaran
| |

Pimpinan Tuhan Yang Menghairankan Memimpin Saya Kepada Kebenaran

Sdri. Chia Lee Hwa

Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Chia Lee Hua, pemercaya gereja Kolombong.

Dalam kehidupan saya, anugerah yang saya terima daripada Tuhan amatlah banyak. Pimpinan Tuhan sungguh menghairankan. Setiap kali apabila saya mengimbas kembali bagaimana Tuhan memimpin saya ke dalam anugerah keselamatan yang mengherankan itu, kerana orang yang hina seperti saya turut dipilih oleh Tuhan. Semuanya ini membuatkan saya merasa amat ghairah dan terharu. Sebenarnya saya memang tidak berani untuk mengongsi kesaksian ini dengan kalian. Namun, apabila saya menghitung kembali akan anugerah Tuhan kepada saya yang berkelimpahan, saya berasa terhutang kepada-Nya. Jika saya tidak membuat kesaksian tentang anugerah besar-Nya, bagaimana saya berdepan dengan-Nya pada hari kelak? Tuhan maha tahu, Dia telah mengetahui kerisauanku dalam beberapa tahun ini. Oleh itu, saya amat bersyukur kepada-Nya kerana Dia memberikan saya peluang dan keberanian untuk membuat kesaksian tentang anugerah Tuhan yang besar agar dapat memuliakan nama-Nya.

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang percaya kepada kepercayaan tradisional. Saya dan keluarga saya merupakan pemercaya agama Buddha yang saleh. Sebelum saya mengenali Tuhan, saya telah menghadapi kesukaran beberapa kali tetapi akhirnya diselamatkan juga. Pada masa itu, saya beranggapan seperti yang dikatakan oleh ibu saya, iaitu saya dibantu oleh seorang bintang tuah saya. Mengimbas kembali apa yang saya alami sebelum ini, jika bukan kerana Tuhan yang berbelas kasihan dan menyelamatkan saya, sudah lama saya tidak wujud dalam dunia ini. Saya juga tidak ada berkat untuk menikmati anugerah keselamatan Tuhan yang menghairankan ini. Tuhan memimpin saya selangkah demi selangkah dan mebolehkan saya merasai kewujudan dan kasih-Nya yang benar. Sebenarnya, sebelum saya mengenali Tuhan, Tuhan telah mencurahkan anugerah keselamatan-Nya kepada saya pada waktu saya dilahirkan.

Ketika saya hanya berumur beberapa bulan, pada suatu hari semasa ibu saya sedang sibuk bekerja di kedai. Tiba-tiba, dia menyedari bahawa saya tidak berada di sisinya, maka dia pun mencari saya dengan segera. Semasa ibu mencarikan saya, dia hampir terperanjat sehingga pengsan. Ini kerana saya telah merangkak ke tengah-tengah jalan raya. Ibu saya melihat sebuah kereta melalui badan saya yang kecil dengan matanya sendiri. Namun amat bernasib baik, pada saat-saat yang genting itu kebetulan saya berada di tengah-tengah bahagian bawah kereta. Maka, kereta tersebut tidak melanggar saya. Kali itu merupakan kali pertama Tuhan maha pengasih menyelamatkan saya.

Ketika saya berumur tiga tahun, tiba-tiba kaki saya bengkak dan sakit sehingga tidak dapat berjalan. Saya masih ingat kadang kala kaki saya sakit sehingga saya menangis. Oleh sebab kaki saya sakit dan tidak dapat berjalan, saya hanya dapat bergerak dengan merangkak. Setelah berlalu beberapa tahun, barulah ibu memberitahu saya bahawa peristiwa yang berlaku atas diri saya itu merupakan peristiwa yang ajaib sekali. Kaki saya bengkak sehingga tidak dapat berdiri tanpa sebarang sebab. Namun, saya tidak pasti apakah punca penyakit tersebut. Ibu saya berasa bimbang dan susah hati. Dia juga beranggapan bahawa mungkin saya akan menjadi cacat kerana keadaan ini telah berterusan lebih daripada sebulan. Pada suatu hari, apabila ibu menggendong saya pergi ke pasar tamu untuk membeli sayur, terdapat seorang nenek tua yang tidak dikenali datang kepada kami dan menanya tentang keadaan kaki saya. Ibu saya berasa sangat sedih dan memberitahu tentang keadaan saya. Ibu saya juga mengatakan bahawa dia tidak tahu bagaimana baru dapat mengubati penyakit saya ini. Nenek tua yang baik hati ini menyuruh ibu saya balik dan membalut kaki saya yang bengkak dengan menggunakan tepung kanji yang dicampur-aduk dengan sejenis herba semula jadi. Selepas balik ke rumah, ibu saya membuat adunan mengikut kata-kata nenek tersebut. Sangat menghairankan, kaki saya menjadi pulih selepas beberapa hari. Selepas itu, ibu saya kembali ke tempat itu untuk mengucapkan terima kasih kepada nenek tersebut. Namun, semenjak hari itu kami tidak bertemu dengan nenek itu lagi. Ibu saya mengatakan perkara ini merupakan suatu mukjizat. Sebenarnya, ini bukanlah mukjizat secara kebetulan tetapi merupakan aturan Tuhan yang menghairankan.

Semasa saya berumur 7 tahun, saya terjatuh ke dalam sebuah perigi dengan tidak sengaja. Pada masa itu, tidak ada orang lain yang berhampiran dengan perigi itu selain daripada adik lelaki saya. Pada waktu itu, jarak di antara permukaan air dengan permukaan tanah adalah kira-kira 3 kaki. Seorang kanak-kanak yang tidak tahu berenang tidak mungkin masih dapat mengekalkan nafasnya dalam keadaan sebegitu. Pada waktu itu, saya meronta di dalam air sambil menjerit ibu saya. Apabila saya mula berputus asa, tiba-tiba suatu peristiwa yang menghairankan telah berlaku ke atas diri saya. Saya masih ingat ada suatu tenaga yang amat kuat telah menolak saya keluar dari perigi itu. Pada masa itu, tepi perigi itu dipenuhi dengan rumput yang basah dan rumpai hijau yang licin. Tetapi, tenaga itu dapat menolak saya keluar dari perigi itu. Semenjak mendapat pengalaman daripada peristiwa ini, saya mula merasai kewujudan sesuatu tenaga yang bukan milik dunia ini walaupun umur saya masa itu masih kecil. Selepas mengenali Tuhan, barulah saya tahu bahawa tenaga dan kekuatan ini berasal daripada-Nya. Rupa-rupanya Tuhan yang menyelamatkan saya.

Semasa saya berumur kira-kira 11 tahun, Tuhan maha pengasih menyelamatkan saya sekali lagi. Saya masih ingat pada suatu hari waktu senja musim cuti sekolah, makcik saya dan teman lelakinya membawa saya pergi ke pantai Tanjung Aru. Disebabkan saya tinggal di Ranau sewaktu kecil, saya jarang mempunyai peluang untuk pergi ke tepi pantai. Pada masa itu, makcik saya sedang berbual-bual dengan teman lelakinya manakala saya berjalan-jalan seorang diri di tepi pantai. Saya berasa sangat menarik hati kerana saya berjalan sambil melihat pukulan ombak di bawah kaki saya. Tanpa disedari, saya berjalan ke arah air yang dalam. Tiba-tiba, suatu pukulan ombak yang besar menghayutkan saya ke dalam laut. Saya tidak reti berenang. Oleh itu, saya hanya dapat meronta-ronta di dalam laut. Saya telah tertelan banyak air laut. Ketika saya berasa sangat takut, tiba-tiba saya terasa terdapat pukulan ombak yang telah membawa saya balik ke tepi pantai. Hal ini memang sangat sukar dipercayai. Dengan itu, nyawa saya telah diselamatkan sekali lagi dapat.

Kali pertama saya dapat mengalami kewujudan Tuhan ialah ketika saya berumur 14 tahun. Pada tahun yang sama, makcik saya tinggal di rumah saya. Dia merupakan seorang pemercaya dari gereja lain. Setiap malam sebelum dia tidur, dia akan menutup dirinya dengan selimut untuk berlutut dan berdoa. Pada suatu kali, saya berasa amat hairan apabila dia berbuat sedemikian. Saya teringat akan jiran saya yang membesar bersama dan juga adalah rakan sedarjah saya. Dia merupakan seorang Kristian. Apabila saya mengimbas kembali semasa kami bermain bersama-sama, dia mengetawakan saya ketika saya menyembah berhala di rumah, saya amat berasa tidak puas hati. Saya berfikir percaya kepada Tuhan Yesus tidaklah sehebat mana. Dia sendiri juga dilantak di atas kayu salib, langsung tidak ada sebarang kekuatan untuk membantah, bagaimana pula Dia dapat menyelamatkan manusia. Saya tidak tahu mengapa orang lain percaya kepada-Nya.

Pada malam tersebut, saya mendapat suatu penglihatan tentang Yesus dalam mimpi. Dalam mimpi itu saya berada di dalam satu ruang. Saya berdiri di hadapan Tuhan Yesus. Saya berasa saya begitu kecil sekali sebab Tuhan Yesus yang berdiri di hadapan saya kelihatan begitu besar sekali. Dia lebih tinggi daripada langit. Ketika saya berdiri, saya hanya sampai di buku lali Tuhan Yesus. Saya melihat kaki Tuhan Yesus, kaki-Nya amatlah besar. Kaki-Nya amatlah indah. Sekeliling-Nya bersinar terang dan berkilauan emas. Terang itu bersinar sehingga ke sekeliling saya. Saya mendongakkan kepala dan melihat terang yang cantik itu secara perlahan-lahan bertukar menjadi terang putih permata yang sedang bersinar. Saya hanya dapat melihat betis Tuhan Yesus yang digantung bersama dengan jubah putih. Apabila saya ingin melihat ke bahagian atas lagi, terang itu menyinari mata saya sehingga saya tidak dapat membuka mata. Apa yang saya lihat itu sungguh cantik dan indah!

Walaupun saya tidak melihat wajah Tuhan Yesus, namun saya tahu bahawa Dialah Tuhan Yesus. Ketika saya berdiri di hadapan Tuhan Yesus, saya berasa saya amat kecil dan rendah. Tuhan yang berdiri di hadapan saya adalah begitu mulia dan kudus. Berdiri di hadapan Tuhan Yesus mempunyai suatu keselesaan yang tidak dapat digambarkan. Saya dapat merasa terdapat suatu suasana mesra yang sukar untuk digambarkan keluar daripada-Nya. Semenjak saya mendapat penglihatan ini dalam mimpi, saya tidak lagi berani memandang rendah terhadap Tuhan umat Kristian. Saya berfikir Tuhan ini memang sangat unik. Sebelum ini, saya hanya berfikir Dia ialah Tuhan yang tidak berkebolehan. Namun, saya pula yang bermimpikan-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Tuhan yang tidak boleh dipandang rendah. Sejak dari hari itu, saya telah mengenal pasti dan mengaku kewujudan Tuhan Yesus. Namun, saya hanya menganggap-Nya sebagai salah satu Tuhan. Hal ini adalah kerana agama Buddha dan Taoisme yang saya percayai itu juga ada banyak Tuhan. Saya juga telah menyembah 3 buah patung berhala di rumah. Walaupun pada masa itu saya tidak begitu mengambil berat tentang Tuhan yang saya mimpikan itu, tetapi saya tidak dapat melupakan warna yang cantik di dalam mimpi. Setakat ini, itu merupakan warna yang paling cantik pernah saya lihat.

Selepas dua tahun saya melangkah ke dalam masyarakat, saya berasa kehidupan sebagai seorang bujang amat bagus. Saya berasa bebas dan tidak perlu menanggung masa depan anak-anak. Oleh itu, saya mula berfikir dan berniat untuk menjadi seorang bujang yang kaya. Namun, perjalanan yang Tuhan ingin saya lalui adalah jalan yang berbeza. Pada suatu kali, saya dan sekumpulan kawan-kawan saya mendaki Gunung Kinabalu. Setelah kami sampai di puncak gunung, terdapat sebuah kolam yang penuh dengan duit syiling. Kawan saya memberitahu bahawa itu merupakan kolam untuk bernazar. Dia mencampak sebiji syiling lalu membuat nazar. Apabila saya melihat begitu banyak orang bernazar dan berfikir, setelah bersusah-payah barulah saya sampai di sini, maka saya pun membuat nazar. Tetapi pada waktu itu saya tidak ada sebarang impian. Oleh itu, saya membuat nazar dengan sembarangan.

Semasa saya bernazar, barulah saya sedar bahawa saya tidak tahu bagaimanakah cara untuk memanggil Tuhan di situ. Ini kerana sewaktu saya menyembah berhala, saya mempunyai kebiasaan untuk memanggil nama patung berhala itu. Oleh itu, saya bernazar dalam hati saya, ”Tuhan yang paling agung di sini, saya tidak tahu bagaimana harus memanggil nama-Mu. Namun, saya tahu Engkau yang menguasai segala sesuatu di sini. Jikalau saya tidak menemui tulang rusuk masa depan saya dalam masa yang terdekat ini, maka saya akan membuat keputusan untuk tidak berkahwin.” Selepas itu, saya tidak menaruh nazar saya itu di dalam hati kerana saya hanya bermain-main sahaja semasa bernazar dan saya memang tahu niat hati saya untuk tidak berkahwin. Namun tidak tersangka-sangka, saya telah bernazar kepada Tuhan benar yang menguasai dan menjadikan alam semesta ini, iaitu Tuhan Yesus.

Selepas beberapa minggu, saya mendapat satu mimpi yang ajaib. Dalam mimpi itu terdapat seorang yang tua berbaju putih datang berjumpa dengan saya. Di samping itu, terdapat seorang yang berdiri di sisinya. Saya tidak dapat melihat wajah orang itu dengan jelas. Walaupun mimpi itu senyap dan tidak berbunyi, namun saya tahu akan tujuan orang tua itu datang berjumpa dengan saya. Selepas saya sedar dari mimpi itu, saya berasa amat tidak selesa. Saya sangat tidak suka akan mimpi ini kerana ia membuatkan saya merasa tidak selesa. Selepas itu, saya berfikir ini hanyalah mimpi sahaja, tidak perlu disimpan dalam hati. Dengan itu, saya tidak mempedulikannya lagi.

Selepas lebih kurang dua minggu, begitu hairan sekali, saya telah mendapat mimpi yang sama. Tetapi mimpi pada kali ini lebih jelas sebab kali ini jarak di antara orang tua bebaju putih dengan orang itu lebih dekat, bahkan orang tua itu berkomunikasi dengan saya melalui hati. Saya berasa sangat tidak gembira. Sebelum saya sempat memberitahu orang tua itu bahawa saya tidak suka akan orang itu, saya tersedar dari mimpi. Kali ini saya mulai berasa takut. Saya berharap ia tidak akan berlaku dalam kehidupan realiti saya. Namun, sukar untuk dipercayai bahawa pada pagi hari itu saya berjumpa dengan suami yang bersama dengan saya sekarang. Memang tidak dapat dibayangkan! Apakah mimpi kehidupan realiti? Kedua-dua mimpi ini telah menyebabkan saya melahirkan perasaan ingin tahu yang kuat dan daya penggerak yang hebat untuk mengenali suami saya. Pada masa itu, saya tidak berani memberitahu orang lain tentang hal yang begitu pelik telah berlaku ke atas diri saya. Saya rasa tidak ada orang yang akan percaya kepada saya. Jika bukan saya yang mengalami peristiwa itu dengan sendiri, bahkan diri saya juga tidak akan percaya adanya peristiwa seperti ini yang berlaku dalam zaman ini. Oleh itu, beberapa tahun kemudian, barulah saya memberitahu suami saya tentang hal ini.

Saya baru saja hidup bersama dengan suami saya selama beberapa bulan, dia telah membawa saya pergi ke gereja beberapa kali. Apabila saya pergi ke gereja buat kali yang pertama, kebetulan gereja Kota Kinabalu mengadakan penginjilan melalui kidung. Itu adalah kali yang pertama saya menjejak kaki ke dalam aula gereja. Saya mendengar kidung yang disampaikan begitu indah sekali, namun saya tidak berasa terharu. Itu juga adalah kali pertama saya melihat para pemercaya berdoa dalam bahasa roh. Saya begitu terperanjat sekali. Saya menganggap bahawa cara doa sebegini tidaklah begitu elok dipandang. Saya mula menyesal. Saya berfikir ada begitu banyak gereja Kristian yang lain, mengapakah teman lelaki saya ialah pemercaya gereja ini? Saya mula merasa bimbang dan tidak tahu sama ada saya harus bergaul bersama dengannya lagi atau tidak. Sememangnya, kami hanya bergaul selama beberapa bulan sahaja. Dia mencadang supaya saya percaya kepada Tuhan bersama-sama dengannya. Jika tidak, terpaksalah kami berpisah. Saya berfikir saya terpaksa membuat keputusan sebegini. Ini memang tidak adil bagi saya! Memandangkan dia begitu takut akan Tuhannya dan Tuhan juga begitu penting baginya, saya tidak seharusnya bergaul dengannya sejak awal lagi. Mengapakah saya mesti percaya kepada Tuhannya? Mengapakah dua orang yang bergaul bersama tidak boleh memegang kepercayaan masing-masing? Jika saya harus mengikutinya untuk percaya kepada Tuhannya itu, saya perlu membuat pengorbanan yang amat besar. Saya pasti ibu bapa saya akan membantah. Saya juga tidak ingin menjadimurtad kepada tuhan saya dan ibu bapa saya sendiri. Dalam hati saya, saya menganggap bahawa Tuhannya itu sangat tidak munasabah. Saya tidak dapat memahami mengapakah dia boleh percaya kepada Tuhannya dengan begitu mendalam. Saya tidak mahu menyembah Tuhan yang bukan milik saya.

Pada masa itu, saya menganggap bahawa agama Buddha merupakan agama yang terbaik kerana orang yang beragama Buddha tidak akan membantah atau menentang agama lain. Agama Buddha juga akan menghormati semua agama yang lain. Apabila saya terfikir akan kesusahan dan pengorbanan yang saya lakukan, saya berasa amat menyesal dan sedih. Saya berkeputusan untuk berbalik kepada kehidupan saya yang asal. Saya ingin menjadi seorang bujang yang kaya. Memandangkan kesakitan yang pendek lebih baik daripada kesakitan yang berpanjangan, maka saya membuat keputusan untuk memberitahunya bahawa kami berpisah sajalah pada keesokan hari. Pada malam saya membuat keputusan itu, suatu peristiwa yang menghairankan telah berlaku sekali lagi. Saya telah bermimpi.

Dalam mimpi itu, saya telah meninggal dunia. Saya sedang beratur di dalam suatu ruang bersama-sama dengan banyak jiwa roh lain yang telah mati untuk turun ke alam maut. Kami seperti telah dikawal dan tidak boleh berlari lagi. Kemudian, saya tidak tahu mengapa saya telah terpisah dari barisan mereka itu. Saya berdiri di dalam suatu ruang yang amat gelap. Saya berasa amat takut sehingga ingin menangis. Saya tahu bahawa saya telah meninggal dunia. Tetapi saya tidak ingin mati dahulu kerana masih ada banyak perkara yang belum saya lakukan. Saya masih belum membalas jasa didikan ibu bapa saya. Saya ingin pulang ke rumah. Namun, saya tidak tahu jalan untuk pulang. Saya juga tidak tahu di manakah tempat saya berada. Keadaan sekeliling saya amat gelap, sunyi dan kosong. Keadaan itu amatlah seram.

Tiba-tiba, di bahagian atas ruang yang gelap itu terbuka satu lubang yang kecil. Terdapat satu sinaran terang yang memancar ke arah saya. Saya mendongakkan kepala dan melihat. Saya berasa sangat terkejut apabila melihat orang tua berbaju putih yang pernah muncul 2 kali dalam mimpi saya itu. Dia turun dari atas dan menanya saya dengan cara komunikasi rohani, “Inginkah kamu diselamatkan?” Sebelum saya sempat menjawab-Nya, Dia telah pun tahu jawapan yang dimainkan dalam fikiran saya. Dia berkata kepada saya, ”Kamu, ikutilah saya.” Dia membawa saya ke satu tempat yang lain. Di sana terletaknya sebuah keranda yang amat cantik. Saya berjalan mendekati keranda itu. Saya sangat terperanjat apabila melihat tubuh saya yang sedang terlantar di dalam keranda itu. Di dalam keranda, ada banyak bunga Ros yang segar dan cantik melitupi badan saya. Rupa-rupanya roh saya telah meninggalkan tubuh saya. Ketika saya melihat tubuh saya sendiri, hati saya berasa sangat sedih sehingga teringin menangis. Saya berfikir benarkah saya telah mati? Bagaimana saya dapat pulang jika telah mati? Orang tua yang berbaju putih itu berkata kepada saya, “Hanya dengan demikian, barulah engkau dapat diselamatkan.” Walaupun Dia tidak berkata dengan jelas, namun saya tahu bahawa maksud-Nya ialah inginkan saya berbalik kepada-Nya.

Mimpi ini bagaikan realiti. Selepas sedar dari mimpi, saya masih lagi berasa takut. Saya seperti benar-benar telah mati. Hati saya berasa amat takut dan cemas tanpa sebab. Hal yang tidak logik sekali telah berlaku ke atas diri saya. Mengapakah saya bermimpi orang yang sama sebanyak 3 kali berturut-turut? Dia bukan seorang yang biasa. Dia berkomunikasi dengan saya melalui roh. Apa yang saya fikirkan juga diketahuinya. Apa yang tidak dapat dibayangkan ialah semua mimpi itu berkaitan dengan suami saya. Ini kerana suami saya sering kali menghadiahkan saya bunga Ros. Saya berfikir mungkin ini mempunyai kaitan yang rapat dengan Tuhannya. Saya mula berfikir apakah hanya dengan bersandar pada Tuhan Yesus barulah dapat diselamatkan?

Saya mengimbas kembali semasa saya masih kecil, saya bermimpikan Tuhan Yesus. Tuhan Yesus menyinari terang yang cantik. Saya teringat akan diri saya yang terlantar di dalam keranda itu dan tempat itu amat menakutkan. Saya terus berlutut dan berdoa mengikut cara berdoa Gereja Yesus Benar. Dengan jahilnya saya berdoa sedemikian kepada Tuhan Yesus, “Saya telah bermimpikan Engkau sebanyak 3 kali berturut-berturut. Jika ini merupakan kehendak-Mu, saya rela pergi mencari Injil dan belajar firman-Mu. Jika Engkau dapat menyakinkan saya untuk mempercayai Engkau sebagai Tuhan Allah yang tunggal dengan sepenuhnya, firman-Mu juga adalah yang boleh dipercayai, barulah saya berbalik kepada-Mu. Namun, saya perlu membuat pengorbanan yang besar kerana membuat keputusan sedemikian. Ini kerana saya terpaksa murtad kepada ibu bapa saya dan juga tuhan yang saya percaya sekarang. Saya memohon agar Engkau memimpin dan menjaga saya agar saya dapat mengatasi kesusahan yang bakal saya hadapi”.
Dengan itu, saya mula mencari Injil dengan sepenuh hati. Semasa saya mencari injil, saya menerima bantahan daripada ibu bapa saya. Namun, syukur kepada Tuhan, Tuhan benar-benar telah mendengar doaku. Tuhan juga tahu akan kelemahanku. Oleh itu, Dia selalu menambah iman saya melalui penglihatan di dalam mimpi agar saya tetap tabah hati untuk mencari Injil. Setiap kali apabila iman saya menjadi lemah dan berasa ingin berputus asa, Tuhan memimpin saya dengan penglihatan di dalam mimpi dan meneguhkan hati saya yang mendahagakan kebenaran. Semasa saya mula mencari Injil, saya telah mendapat mimpi beberapa kali di mana saya terjatuh dari tempat yang tinggi ke satu gaung yang gelap-gulita.

Pada kali pertama saya mendapat mimpi ini, saya telah banyak kali meronta dan menghafal ayat-ayat dalam kitab Buddha, namun saya masih lagi jatuh menjunam. Perasaan jatuh menjunam ke gaung itu amat menakutkan. Ia membuatkan saya berasa takut sehingga sesak nafas. Ketika saya berasa tiada sebarang bantuan, saya teringat akan kesaksian gereja benar. Pemercaya hanya menjerit “haleluya” lalu dapat melepaskan diri daripada bahaya dan kesusahan. Oleh itu, saya berubah dan menjerit “Haleluya”. Selepas saya menjerit pada kali itu, saya tersedar dari mimpi. Dalam hati saya berfikir rupa-rupanya perkataan ini mempunyai kekuatan. Dalam jangka masa beberapa minggu ini, saya telah mendapat mimpi yang sama secara berturut-turut. Saya hanya dapat sedar dari mimpi yang ngeri ini pada setiap kali saya menjerit “haleluya”. Tanpa disedari, saya telah mempercayai kekuatan Tuhan dengan sepenuhnya. Hanya dengan bersandarkan Tuhan Yesus barulah saya dapat sedar dari mimpi ngeri ini, barulah mimpi ngeri ini dapat berhenti.

Dalam masa 2 tahun mencari Injil ini, Tuhan telah menampakkan saya keadaan pada akhir zaman di dalam mimpi. Setiap kali dalam mimpi, saya akan berdiri di tempat yang tinggi. Saya ternampak dunia yang gelap-gulita, saya juga nampak benteng yang tidak didami orang telah runtuh. Benteng itu adalah benteng yang baru dimusnahkan. Terdapat api dan asap di merata-rata tempat, ia kelihatan seperti kesan daripada gempa bumi. Saya juga melihat dalam mimpi apabila orang ramai sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing di tepi pantai, tiba-tiba langit menjadi hitam kerana dilitupi dengan awan, kemudian adanya ombak besar yang menelan orang-orang ini dalam sekelip mata. Pimpinan Tuhan membolehkan saya bertahan untuk mencari Injil selama 2 tahun. Pada waktu saya percaya kepada Tuhan dengan sepenuhnya dan mendahagakan anugerah keselamatan Tuhan, saya pun menerima pembaptisan. Amat bersyukur kepada Tuhan! Saya telah menerima Roh Kudus yang berharga semasa sakramen pembasuhan kaki.

Selepas beberapa hari, saya mendapat satu mimpi ngeri. Saya bermimpi saya sedang menuruni tangga di suatu tempat yang amat gelap. Semasa saya menuruni tangga, ada jiwa rohani orang mati yang berlalu di sisi saya. Ada sebilah pedang yang tajam terbang di udara dan menikam ke arah saya. Saya menuruni tangga dengan secepat yang boleh untuk mengelakkan tikaman daripada pedang itu. Semakin saya turun, semakin banyak jiwa rohani orang mati yang berlalu di sisi saya. Pedang itu masih mengejari saya. Saya berasa sangat takut, saya menjerit “ Haleluya” dengan sekuat hati, lalu saya terbangun dari mimpi yang ngeri itu. Selepas saya bangun, saya berasa hairan sekali. Mengapakah saya baru sahaja dibaptis tetapi mendapat mimpi yang sebegini? Sangat menghairankan, pada saat itulah Tuhan membuatkan saya teringat akan laci meja saya di pejabat masih tersimpan azimat pada masa saya masih menyembah berhala. Sungguh menghairankan! Ini adalah kerana saya telah lupa bahawa saya pernah meletakkan azimat di sana pada beberapa tahun yang lalu. Dengan itu, Tuhan membolehkan saya mengetahui kewujudan-Nya. Pada awal pagi hari itu, selepas saya tiba di pejabat, saya terus membuang azimat itu.

Selepas dibaptis hampir 2 tahun, saya berkahwin dengan suami saya. Sangat bersyukur kepada Tuhan, selepas berkahwin saya dapat mengalami anugerah Tuhan yang berkelimpahan. Namun apabila saya mengimbas kembali, saya berasa amat malu dan bersalah. Selepas beberapa tahun saya percaya kepada Tuhan, saya tidak mempunyai hati yang benar-benar mendahagakan kebenaran dan mendekati Tuhan. Saya jarang membaca Alkitab. Pengetahuan saya terhadap kepercayaan amatlah cetek. Saya beranggapan bahawa saya menjadi umat Kristian yang asas sudah mencukupi. Saya melihat suami saya sering kali mengikuti kebaktian, hati saya berfikir tidakkah dia berasa letih kerana mendengar begitu banyak kali firman dalam seminggu. Semasa cuti, dia juga terlibat dalam kerja suci, apakah dia tidak berasa letih? Pada masa itu, saya hanyalah seorang pemercaya yang mengenali Tuhan melalui berkat yang dikaruniakan-Nya kepada saya. Saya tidak tahu kasih yang sebenar di sebalik pencurahan berkat-Nya. Kepercayaan saya hanya didirikan di atas berkat duniawi.

Saya takut akan Tuhan, namun saya tidak dapat merasa kasih sejati kehidupan kekal Tuhan. Tuhan seolah-olah begitu jauh. Pada masa itu, saya juga tidak merasa apa-apa yang tidak kena. Semasa saya menghadapi kesukaran, saya sering menanya Tuhan dengan begitu jahil. Mengapa ia berlaku sebegini? Saya langsung tidak pernah terfikir itu merupakan kehendak Allah yang indah semasa saya berada di dalam kesusahan. Sehinggalah Tuhan memimpin saya sekali lagi melalui penglihatan, saya dapat mengalami kasih Tuhan dengan sedalam-dalamnya. Pada waktu itu barulah saya faham akan maksud anugerah keselamatan Tuhan yang sebenar.

Pada tahun 2008, saya telah mendapat satu penglihatan dalam mimpi. Saya termimpi Alkitab saya telah hilang. Apabila saya mulai berasa cemas, ada sebuah Alkitab yang sangat besar berlalu di depan saya. Saya tahu bahawa Alkitab ini dihadiahkan kepada saya. Saya berasa amat gembira kerana mempunyai Alkitab yang begitu istimewa. Alkitab tersebut terbang di hadapan saya dan ia membuka secara automatik dan perlahan-lahan. Pada mulanya, saya dapat melihat tulisan pada setiap muka surat dengan jelasnya. Namun, tulisannya menjadi semakin kabur. Saya terbangun dari tidur apabila mimpi saya berhenti di situ. Saya memberitahu mimpi itu kepada suami saya. Suami saya berkata kepada saya bahawa saya seharusnya banyak membaca Alkitab. Sebenarnya, biarpun dia tidak berkata sedemikian, saya juga berpendapat sedemikian. Ini adalah kerana saya hanya membaca Alkitab ketika mengikuti kebaktian. Pada hari-hari biasa, saya jarang membaca Alkitab. Di samping itu, saya hanya memegang kebaktian hari Sabat setiap minggu, saya jarang mengikuti kebaktian yang lain. Saya tahu bahawa petunjuk mimpi ini adalah Tuhan hendak saya banyak membaca Alkitab. Oleh itu, saya bertekad untuk membaca Alkitab sebelum saya tidur setiap malam.

Pada mulanya, saya dapat menyelesaikan misi ini. Namun, selepas beberapa minggu, semakin saya membaca semakin saya berasa letih. Ini adalah kerana terdapat beberapa nas alkitab yang sangat sukar difahami. Meskipun hanya membaca beberapa nas alkitab, ia membuatkan saya tertidur di atas meja. Saya tahu wahyu yang Tuhan berikan kepada saya melalui penglihatan dalam mimpi adalah begitu ketara sekali. Saya seharusnya lebih banyak mengikuti kebaktian. Lebih-lebih lagi saya seharusnya mengikuti kebaktian membaca Alkitab dan berdoa pada setiap hari Selasa. Ini kerana ada pendeta atau diaken yang akan menjelaskan Alkitab dalam kebaktian ini. Ini sudah tentu dapat membantu saya lebih memahami isi kandungan dalam Alkitab. Semenjak itu, saya mulai mengikuti kebaktian membaca Alkitab dan berdoa pada setiap hari Selasa.

Selepas saya mengikuti kebaktian membaca Alkitab dan berdoa pada setiap hari Selasa selama beberapa bulan. Saya mendapat penglihatan buat pertama kalinya. Semasa berdoa pada kali kedua sebelum kebaktian tamat, saya tidak berdoa dengan menumpukan sepenuh perhatian. Tiba-tiba, saya terlihat ada seorang yang berpakaian jubah hitam sedang berlutut di sebelah kiri seorang saudara pertengahan baya. Dia kelihatan seperti sedang berdoa. Jubah yang dipakainya itu melitupinya dari kepala hingga ke seluruh badannya. Saya berasa amat takut kerana saya tahu bahawa itu ialah si iblis. Saya takut dia akan berjalan ke sisi saya. Saya menutup mata saya dan berdoa dengan bersungguh-sungguh. Saya asyik mengulangi:” haleluya”. Kemudian saya mendengar bunyi loceng. Rupa-rupanya, doa telah tamat. Saya terus membuka mata saya dan mendapati tempat yang saya lihat tadi adalah kosong. Dengan itu, barulah saya tahu bahawa saya telah melihat penglihatan.

Sejak saya mendapat penglihatan itu, saya berasa takut untuk suatu tempoh masa. Saya juga tidak lagi berani memikir yang bukan-bukan semasa berdoa. Penglihatan ini menyedarkan saya bahawa Tuhan mendengar doa kita yang bersungguh-sungguh. Sebaliknya, si iblis juga akan menantikan peluang di situ untuk mendekati domba-domba yang tidak berdoa dengan sungguh-sungguh.

Pada awal tahun 2009, saya mendapat satu lagi penglihatan dalam mimpi. Tuhan memperlihatkan saya Dia menggunakan kuasa-Nya untuk membinasakan dunia dalam sekelip mata. Mimpi ini memberi gerakan dan pengaruh yang mendalam kepada saya. Saya tidak akan melupakan keadaan dalam mimpi itu buat selama-lamnya. Dalam mimpi, saya melihat keadaan orang-orang dunia yang berada dalam kesibukan. Terdapat banyak kereta dan orang yang lalu-lalang di jalan raya. Mereka sibuk menjalankan aktiviti masing-masing. Tidak ada sedikit pun tanda-tanda yang luar biasa. Tiba-tiba, suatu pancaran terang kuat yang berasal dari sudut dunia yang lain memancar ke tempat himpunan orang ramai dalam sekelip mata. Saya melihat ramai orang yang melarikan diri dengan sekuat hati. Saya juga berlari mengikuti mereka. Tidak tahu dari manakah datangnya kekuatan sehingga saya dapat berlari dengan lebih cepat berbanding dengan orang lain.

Apabila saya hampir mencapai tempat yang tertinggi di dunia, tiba-tiba saya terjatuh ke dalam air. Saya berdiri dengan segera. Saya sedar bahawa rupa-rupanya saya berdiri di sebatang sungai yang jernih dan cetek. Saya memalingkan kepala dan melihat pancaran terang yang kuat itu sudah semakin menghampiri. Oleh itu, saya tidak berasa ragu-ragu untuk merendamkan seluruh badan saya ke dalam air. Pancaran terang itu juga meliputi air sungai dalam sekelip mata. Selepas seketika, saya bangun dan keluar dari air. Saya sangka saya telah mati. Rupa-rupanya saya masih hidup.

Selain daripada diri saya sendiri, tidak ada seorang pun yang dapat mengelakkan diri. Mereka semua sudah meninggal dunia. Pancaran terang yang kuat itu datang dengan begitu cepat sekali. Terang itu datang dari suatu sudut dunia lain dan lenyap di suatu sudut dunia yang lain. Ia telah membinasakan segala-gala yang ada di dalam dunia ini. Selepas itu, saya mendapati saya telah berada di sudut yang paling tinggi di dunia. Saya sedang menanti di situ, namun saya juga tidak tahu apa yang saya nantikan. Saya memandang ke hadapan, saya melihat banyak kotak besar yang disambungkan seperti kereta api dan terapung-apung di udara. Kotak itu membawa ramai penumpang di dalamnya. Ia seperti hendak membawa mereka ke suatu tempat yang selamat. Kotak itu asyik berlalu di depan saya dan pintunya juga asyik dibuka dan ditutup. Ketika pintu itu dibuka, saya masuk dengan segera segera ke dalam kotak itu. Sememangnya saya telah masuk ke dalam kotak itu namun penumpang-penumpang di dalam menolak saya keluar.

Walaupun saya berasa amat sedih tetapi saya tetap tidak berputus asa. Ini kerana walaupun kotak besar itu kelihatan sudah penuh, namun masih terdapat beberapa tempat kosong di dalamnya. Tambahan pula, ia akan berlalu di depan saya lagi. Maka, saya berjaga di sana untuk menunggu peluang yang seterusnya. Saya tidak berani meninggalkan tempat itu. Selepas itu, saya mendapati diri saya berdiri di suatu tempat yang lain. Saya berada di suatu ruang yang gelap, sunyi sepi, dan seram. Keadaan yang sunyi sepi itu amat menakutkan. Ia lebih menakutkan berbanding dengan malapetaka sebelum ini. Perasaan saya pada masa itu sama seperti berada di dalam alam maut sebelum saya percaya kepada Tuhan Yesus. Saya melihat ke bawah dan melihat banyak roh jiwa yang telah mati. Antaranya, terdapat juga saudara-mara dan kawan-kawan yang telah percaya kepada Tuhan. Semasa saya melihat keadaan ini, saya berasa amat menderita dan sedih. Saya berasa sesak nafas, dada saya amat panas. Saya berasa begitu menderita. Seluruh hati saya menjadi hancur. Perasaan yang sedih menderita itu sukar digambarkan, sangat sukar untuk bertahan.

​Tiba-tiba, saya terasa ada orang yang sedang menolak saya. Rupa-rupanya suami saya sedang membangunkan saya. Demikianlah saya melalui beberapa bulan dengan sedih dan menderita kerana saya tidak dapat melupakan situasi dan perasaan dalam mimpi itu. Keadaan mimpi itu asyik bermain di dalam fikiran saya. Perasaan yang begitu sedih dan menderita itu tidak dapat saya lupakan. Saya sering kali berdoa demi perkara ini dan bertanya kepada Tuhan sampai bilakah saya perlu menanggung hati yang pilu ini? Hati saya yang bebal ini tidak dapat memahami kehendak-Nya. Selepas banyak kali saya berdoa dengan giat, syukur kepada Tuhan kerana akhirnya Dia mengabulkan permohonan doa saya. Tuhan telah meberikan saya masa selama setengah tahun untuk belajar cara berdoa, Dia juga membolehkan saya memahami kasih-Nya yang luas itu. Akhirnya, barulah saya memahami perasaan Tuhan.

Rupa-rupanya semasa Tuhan maha pengasih membinasakan dunia ini, Dia tidak ingin melihat anak-anak dan manusia yang diciptakan-Nya tidak dapat diselamatkan. Apabila Tuhan melihat ada begitu banyak jiwa rohani yang tidak dapat diselamatkan, hati-Nya begitu pilu dan sedih. Apabila saya sedar akan firman ini, saya pun terharu sehingga mencucurkan air mata. Beban berat beberapa bulan ini telah hilang lenyap. Perasaan ‘hati yang pilu’ ini membolehkan saya mengalami kasih Tuhan yang luas terhadap manusia.

Tuhan telah membuka pintu hati saya dengan pelbagai penglihatan dalam mimpi. Saya berasa amat ghairah terhadap kasih Tuhan yang tidak mementingkan diri. Barulah saya memahami bahawa pada saat saya dilahirkan, Tuhan Allah senantiasa berada di sisi saya untuk menjaga saya. Saya hanya sedar setelah saya mengalami kasih Tuhan yang luas itu. Saya juga dapat mengalami nas kitab Kejadian fasal 28 ayat 16 dengan sedalam-dalamnya yang mencatatkan kata-kata Yakobus apabila dia bangun dari tidur, “Sesungguhnya TUHAN ada di tempat ini, dan aku tidak mengetahuinya.” Setelah sekian lama saya percaya kepada Tuhan, inilah kali pertama saya dapat merasa bahawa Tuhan adalah begitu dekat dengan saya ketika saya berdoa. Di samping itu, firman Tuhan juga begitu sedap didengar.

Sebenarnya saya merupakan orang dosa yang hina. Namun, Tuhan yang maha pengasih telah beberapa kali menyelamatkan saya sebelum saya mengenali-Nya dan membolehkan saya menerima anugerah keselamatan pada hari kelak. Sebenarnya saya sudah tidak wujud lagi dalam dunia ini namun belas kasihan Tuhan telah membolehkan saya hidup sehingga hari ini. Setiap hembusan nafas saya telah menjadi suatu kesaksian tentang anugerah Tuhan yang besar. Anugerah Tuhan dan kasih Tuhan tidak dapat saya balas selama-lamanya.

Saya percaya dengan sedalam-dalamnya, tidak kira betapa menariknya kehidupan kita mahupun bagaimana manusia berubah, hal dan kebendaan dunia serta peredaran masa, perkara yang paling indah dalam sepanjang hayat kita adalah mempunyai pengharapan hidup yang kekal. Hal yang paling indah dalam sepanjang hayat kita bukan sahaja dapat mengenali Tuhan tetapi juga dapat mengalami kewujudan Tuhan. Di samping itu, kita juga dapat hidup di dalam anugerah Tuhan dan mempunyai pengharapan hidup kekal pada masa kelak.

Syukur atas anugerah dan kasih Tuhan yang besar itu. Semoga segala kehormatan, kekuasaan, kemuliaan, dan puji-pujian diberikan kepada Tuhan yang benar di Syurga – Tuhan Yesus Kristus. Haleluya, Amin.

Anak-Anak Menerima Kebenaran Dan Dibaptis
| |

Anak-Anak Menerima Kebenaran Dan Dibaptis

Sdri. Lee See Ryong

Berdoa Di Dalam Roh

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya menyampaikan kesaksian. Saya ialah saudari Lee See Ryong, berasal dari gereja Da Tong, Taiwan. Kini, saya dan suami saya telah berhijrah dan menetap di Kota Kinabalu.

Kami mendapat 3 orang cahaya mata. Anak sulung saya ialah anak perempuan Yuan Jing Yee, anak kedua ialah anak lelaki Yuan Qi Enn, dan anak bongsu ialah anak lelaki Yuan Xiang En. Pada 1 Februari 2008, anak lelaki bongsu saya, Xiang Enn dilahirkan. Syukur kepada Tuhan, selepas genap bulan dia telah dibaptis bersama dengan kakak dan abangnya pada bulan Mac. Segala-galanya adalah kerana belas kasihan daripada Tuhan.

Tuhan Yesus tahu akan segala niat hatiku. Saya tahu bahawa menerima pembaptisan merupakan hal yang amat penting bagi dasar kepercayaan anak-anak saya. Ini kerana suami saya masih belum menjadi pemercaya gereja pada masa itu. Mengimbas kembali, saya telah terlepas 2 kali peluang untuk mendaftarkan pembaptisan bagi Jing Yee dan Qi Enn. Oleh itu, sebelum saya memberitahu suami saya tentang berkat yang dapat diperolehi selepas dibaptis, saya mendoakan perkara ini terlebih dahulu. Saya memohon kepada Tuhan Yesus supaya suami saya dapat menerima kenyataan ini. Pada suatu hari, ketika saya mengungkitkan hal ini kepada suami saya, tanpa disangka-sangka, suami saya berasa tidak perlu begitu cemas. Dia ingin menunggu sehingga anak-anak meningkat dewasa barulah memberi diri mereka dibaptis. Namun, saya sayang akan anak-anak saya. Saya rasa tidak boleh ditangguhkan lagi. Oleh itu, saya berdoa dengan giat, doa saya telah didengari Tuhan, pintu anugerah terbuka. Suami saya bersetuju untuk menandatangani borang permohonan pembaptisan. Selepas mendapat kelulusan daripada pihak gereja, suami saya membawa kami sekeluarga seramai lima orang untuk pergi ke tempat pembaptisan. Hati saya menyanyi korus kidung pujian bilangan 291 secara semula jadi yang berbunyi, “Syukur nugrah-Nya, Syukur nugrah-Nya, kasih Tuhan amatlah besar, syukur nugrah-Nya…” Bagi saya, segala anugerah yang sukar didapati ini hanya dapat digenapi kerana belas kasihan daripada Tuhan. Syukur kepada Tuhan Yesus kerana memenangi peperangan rohani ini bagi saya.

​Seperti yang tercatat dalam kitab Efesus fasal 6 ayat 12, ”Karena perjuangan kita bukanlah melawan darah dan daging, tetapi melawan pemerintah-pemerintah, melawan penguasa-penguasa, melawa penghulu-penghulu dunia yang gelap ini, melawan roh-roh jahat di udara. Oleh itu, kita mestilah memohon kepada-Nya dengan meneladani Hana yang berdoa dengan penuh giat serta doa Musa yang penuh dengan iman. Ini adalah kerana kita tidak akan dapat menggenapkan kerja suci rohani jika hanya bergantung pada niat dan tekad kita sendiri. Seperti juga dalam kitab Filipi fasal 4 ayat 6-7 yang berbunyi, ”Janganlah hendaknya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Yesus Kristus.”

Kasih Seiman Di Dalam Tuhan

Syukur kepada Tuhan, apabila suami saya melihat kasih saudara dan saudari serta proses pembaptisan yang teratur, dia mempunyai imej yang baik terhadap gereja. Walaupun dalam proses pembaptisan, dia sangat risau akan keselamatan anak-anak kami. Tambahan lagi, anak bongsu saya Xiang En, baru sahaja genap sebulan. Namun, syukur kepada Tuhan, semua anak-anak saya berkelakuan tenang. Bukan sahaja mereka tidak menangis, malahan memperoleh kesejahteraan rohani setelah menjadi milik Tuhan.

Selepas kembali ke gereja, suami saya membantu anak-anak menukar baju yang formal dengan teliti. Dia juga menemani anak-anak dengan penuh sabar semasa sakramen pembasuhan kaki dan sakramen perjamuan kudus dijalankan. Daripada pergerakannya, saya dapat merasa suami saya berperanan sebagai seorang bapa yang menemani anak-anak menerima baptisan. Dia lebih memahami tentang cara pembaptisan gereja benar dan dia juga mempunyai tanggapan yang positif terhadap gereja kita. Dia juga dapat melihat ketegasan gereja benar terhadap kebenaran. Selepas kebaktian itu, dia memberitahu saya bahawa dia berasa sangat cemas ketika para penatua dan diaken menjalankan pembaptisan. Ini adalah kerana dia takut dan bimbang akan-anak bayi tidak dapat menyesuaikan diri dengan air sungai atau terjatuh ke dalam sungai. Tanpa disangka-sangka, segalanya berjalan dengan begitu lancar. Saya tahu bahawa semuanya ini adalah kerana Tuhan Yesus. Oleh itu, dalam sanubari hati saya, saya bergirang sambil memuji Tuhan: “Syukur puji Tuhan! Syukur puji Tuhan!”

Mengambil Kesempatan Dan Peluang

Iman saya sangat lemah. Semasa doa, saya teringat nas kitab dalam kitab Pengkhotbah fasal 9 ayat 11 yang berbunyi, “Lagi aku melihat di bawah matahari bahwa kemenagan perlombaan bukan untuk yang cepat, dan keunggulan perjuangan bukan untuk yang kuat, juga roti bukan untuk yang berhikmat, kekayaan bukan untuk yang cerdas, dan karunia bukan untuk yang cerdik cendekia, karena waktu dan nasib dialami mereka semua.” Syukur kepada Tuhan, Dia telah menambah dan mengukuhkan iman saya dalam doa supaya saya dapat mengambil peluang ini. Ini adalah kerana peluang yang ada ini hanyalah sementara dan ia akan hilang lenyap. Kini, 4 daripada 5 orang anggota ahli keluarga kami telah ditebus oleh Tuhan Yesus dengan upah yang besar untuk menjadi milik kepunyaan Tuhan. Oleh itu, hati saya tergerak oleh kasih karunia-Nya. Setiap hari, semasa kesyukuran mezbah keluarga dan sesi membaca Alkitab dan menyanyi kidung dijalankan, saya mengajar anak-anak saya agar hidup berkenan kepada Tuhan di samping berusaha demi hal pembaptisan bapa mereka.

Kesimpulan

Namun, pembaptisan bukanlah garisan penamat anugerah keselamatan. Ia juga bukanlah alasan untuk kita melegakan hati dan merasa tidak perlu berjaga-jaga lagi. Sebaliknya, menerima pembaptisan adalah permulaan bagi anugerah keselamatan. Kita perlu berjaga-jaga seperti yang dikatakan dalam alkitab , “burung telah mengambil setiap biji benih Injil yang sukar didapati sebelum ia sempat bertunas”. Terutamanya hidup dalam zaman yang penuh dengan kejahatan ini telah memperlihatkan pelbagai ragam cara yang mempengaruhi manusia untuk berbuat dosa. Kewajipan ibu bapa dari segi menyelidiki anak-anak menjadi semakin berat saban hari. Tambahan pula, tugas mengajar dan menerapkan pengajaran Roh Kudus yang berharga ke dalam hati anak-anak juga tidak boleh ditangguhkan.

Semenjak anak-anak saya dibaptis dan bersandar pada kata-kata Tuhan dalam Alkitab serta pengembalaan daripada gereja, anak-anak saya semakin memahami tentang perbezaan di antara “di dalam bahtera dan di luar bahtera” secara perlahan-lahan. Ia adalah firman yang kudus membuatkan hati sering ingin mendekati Tuhan dan berasa girang untuk menyanyi kidung rohani. Di dalam rumah, hati saya berasa begitu girang sekali dan terdorong apabila terdengar lagu kidung dinyanyikan dengan suara anak-anak yang riang. Seperti yang tercatat dalam buku Amsal, “Didikah orang muda menurut jalan yang patut baginya, maka pada masa tuanya pun ia tidak akan menyimpang dari pada jalan itu.” (Ams 22:6). Kiranya Tuhan Yesus berbelas kasihan dengan kami dan mencurahkan berkat-Nya serta membantu kami agar kami dapat hidup dalam kasih karunia-Nya menerusi usaha-usaha ini.

Kiranya segala kemuliaan dan puji-pujian diberikan kepada nama Yesus Kristus, juruselamat yang maha tinggi. Amin.

Anugerah Dan Kasih Tuhan
| |

Anugerah Dan Kasih Tuhan

Sdri. Noraidah Madjalan

Dalam nama Yesus Kristus saya memberi kesaksian. Saya ialah saudari Noraidah Madjalan, berasal dari Pitas. Disebabkan pihak kerajaan menempatkan semula posisi guru, suami saya telah ditugas untuk mengajar di Kota Kinabalu. Oleh itu, kami sekeluarga pun berpindah dan menetap di Kota Kinabalu.

​Di sini saya ingin mencerita tentang perjalanan saya percaya kepada Tuhan. Pada 13 May 2012, kami telah menghadiri Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) yang diadakan di gereja Tampulan, Telipok. Selepas itu, kami sekeluarga juga memberi diri dibaptis di bawah nama Tuhan Yesus Kristus.

​Pada asalnya, suami saya merupakan pemercaya dari gereja Bukit Kalvari. Dia selalu menyelidiki alkitab, namun dia mendapati banyak persoalan yang tidak dapat dijawab. Dia juga pernah mengajukan persoalannya itu kepada pastor gereja yang ada di situ, namun jawapan yang diberi tidak memuaskan hatinya. Oleh itu, suami saya telah membangkitkan niat dan tekadnya untuk mencari gereja benar. Dia juga membawa perkara ini di dalam doa supaya Tuhan boleh menunjukkan jalan kepadanya. Pernah sekali, rakan sekerja suami saya iaitu saudara Sominting memperkenalkan Gereja Yesus Benar kepada suami saya. Namun, suami saya tidak menghiraukannya. Syukur kepada Tuhan, sekali lagi Tuhan memimpin kami.

Pada suatu hari, suami saya ternampak sebuah buku, iaitu buku Inti Kebenaran yang dikarang oleh penatua John Yang. Buku ini merupakan buku yang dihadiahi saudari Jessica Lo kepada seorang kawannya yang lain. Namun kawananya itu tidak membacanya dan hanya meletakkan buku itu di samping. Suami saya berasa sayang apabila melihat buku itu hanya diletakkan begitu saja, maka dia pun mengambil buku tersebut dan membaca. Lalu dia mendapati bahawa isi kandungan yang tercatat dalam buku itu merupakan jawapan kepada persoalan-persoalan yang dicari-carinya selama ini. Dia berasa begitu ghairah dan gembira sekali.

​ Kemudian suami saya mendapati ada nombor telefon saudari Jessica Lo dalam buku tersebut, maka dia pun menghubungi saudari itu. Saudari Lo dengan giatnya membawa kami mengikuti kebaktian di gereja. Sejak hari itu, kami telah meninggalkan gereja Kalvari. Pastor di sana menanyakan kami sebab meninggalkan gereja itu, kami pun memberitahu niat kami ingin masuk ke Gereja Benar. Tanpa disangka, pastor itu menjadi sangat marah selepas mendengar nama Gereja Yesus Benar dan mengatakan bahawa gereja ini merupakan sebuah gereja yang sangat ekstrem. Kami berasa hairan mengapa pastor itu berkata sedemikian. Tetapi, syukur kepada Tuhan kerana semua isi kandungan dalam buku Inti Kebenaran yang dibaca oleh suami saya itu adalah berpandukan kebenaran dalam alkitab. Oleh itu, kami tidak dipengaruhi oleh pastor itu. Sememangnya semuanya ini merupakan pimpinan Tuhan yang begitu mengherankan.

Mendapat Penglihatan Dalam Doa dan Menerima Roh Kudus

Pada 20 Mei, kami sekeluarga telah menghadiri Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) yang diadakan di gereja Penampang. Setiap kali ada sesi doa memohon Roh Kudus, saya akan tampil ke hadapan untuk berdoa. Namun, saya masih belum menerima Roh Kudus dan berasa tawar hati. Dalam sesi doa memohon Roh Kudus yang terakhir pada hari ketiga, saya tampil ke hadapan untuk berdoa memohon Roh Kudus seperti biasa. Dalam hati saya berfikir ini adalah kali yang terakhir untuk memohon Roh Kudus, mungkin saya juga tidak akan dapat menerimanya. Walau bagaimanapun, saya tetap berdoa memohon dengan bersungguh-sungguh.

Ketika sesi doa itu hampir tamat, tiba-tiba saya melihat satu penglihatan di mana tubuh saya terangkat ke udara. Kemudian saya melihat ada lima orang malaikat yang berjubah putih, wajah mereka bersinar terang dan di belakang mereka terdapat sepasang sayap yang sedang mengepak. Kelima-lima orang malaikat ini mengelilingi saya dan saya sedang berdoa di tengah-tengah kelima-lima orang malaikat itu. Malaikat-malaikat itu menumpangkan tangan di atas kepala saya dan saya mendengar mereka asyik memuji Tuhan sambil menyebut “Haleluya!” Pada masa itu, saya dapat merasa ada suatu arus yang hangat mengalir dari atas kepala sehingga ke bawah. Tanpa disedari, badan saya mula bergetar dan bibir saya mengucapkan bahasa Roh. Syukur kepada Tuhan, saya telah menerima Roh Kudus. Hati saya berasa amat sukacita sehingga mencucurkan air mata. Saya berasa tidak layak untuk menerima Roh Kudus. Tuhan begitu menyayangi saya, tetapi saya pula meragui Tuhan dari pelbagai sudut.

Menerima Perjamuan Kudus Dan Melihat Tubuh Tuhan Yesus

Sewaktu menerima perjamuan kudus, anak perempuan saya, Ellysnalyn, telah tidur dengan nyenyak disebabkan terlalu letih. Waktu itu dia hanya berumur dua tahun. Ketika menerima roti perjamuan kudus, saya menggoyang anak saya agar dia bangun. Lalu saya mengambil secebis roti dan masukkannya ke dalam mulutnya. Sewaktu menerima cawan, saya melihat anak perempuan saya tidur nyenyak lagi. Sekali lagi saya menggoyangkannya agar dia bangun. Saya menggunakan tangan saya untuk membuka mulutnya dan ingin memberinya minum dari cawan itu. Pada ketika itu, saya ternampak ada secebis daging yang berwarna kemerah-merahan di dalam mulut anak perempuan saya, saya berasa begitu terperanjat. Selepas diteliti, sememangnya ia adalah secebis daging. Lalu saya teringat akan menerima perjamuan kudus adalah menerima daging dan darah Tuhan.

Tuhan membolehkan saya melihat penglihatan ini dan telah menambah iman saya terhadap-Nya sekali lagi. Saya berasa bersyukur atas kasih-Nya yang besar. Tuhan telah berkali-kali memimpin dan mencurahkan kasih karunia-Nya kepada kami. Hati saya selalu ingat akan kasih-Nya. Anugerah dan kasih karunia Tuhan tidak mampu saya balas. Oleh itu, saya hanya dapat menulis kesaksian ini bagi membalas kasih Tuhan.

Kiranya segala kemuliaan dan kesyukuran diberi kepada nama Tuhan.

Tuhan Penolongku Dalam Kesusahan
| |

Tuhan Penolongku Dalam Kesusahan

Dn. Gabriel Chong

“Tuhan itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti.” (Mzm 46:2)

Haleluya! Dalam nama kudus Yesus Kristus saya membuat kesaksian. Saya ialah Diaken Gabriel Chong, berasal dari gereja Tanjung Aru. Di sini saya ingin menyatakan anugerah dan pertolongan-Nya yang begitu hairan sekali yang berlaku pada diri saya sendiri.

Kesaksian saya yang pertama ialah berkenaan dengan penjagaan Tuhan terhadap saya daripada ditimpa kecederaan. Pada waktu itu, anak lelaki saya hanya berumur seminggu. Saya telah mengupah seorang pembantu rumah untuk menjaganya di rumah. Saya masih ingat pada suatu petang, rumah saya ada tertanam sebuah pokok mangga dan saya ingin memetik buah mangga yang berada di atas pokok. Semasa saya memanjat pokok itu, kaki saya tergelincir dan saya terjatuh ke bawah. Saya menjerit “Haleluya” dengan suara yang kuat. Sungguh menghairankan, pada masa itu tangan saya dapat memegang dahan pokok dengan begitu cepat.

Lazimnya, dahan pokok mangga adalah sangat rapuh dan mudah patah. Syukur kepada Tuhan, semasa saya memegang dahan tersebut, saya terdengar bunyi dahan pokok itu terpatah. Namun sangat menghairankan, dahan pokok itu tidak patah semuanya dan saya juga tidak terjatuh ke bawah. Ini merupakan pemeliharaan Tuhan. Jika saya terus terjatuh dari atas pokok, akibatnya tidak dapat saya gambarkan.

Namun, saya masih berjuntai di atas pokok. Disebabkan pada masa itu ialah waktu petang, tidak ada orang yang berhampiran di situ. Di antara mereka ada yang sedang bekerja di luar, ada yang sedang tidur sejenak pada waktu petang. Tetapi disebabkan aturan Tuhan yang menghairankan, ibu saya keluar secara tiba-tiba di belakang rumah saya. Biasanya pada waktu ini dia sedang tidur. Dia menanya saya apa yang telah berlaku. Saya memberitahunya bahawa saya tergelincir dan terjatuh sewaktu ingin memetik buah mangga.

Mujur saya masih sempat memegang sebatang dahan pokok. Ibu saya menyuruh pembantu rumah untuk mengambilkan anak tangga dengan segera. Apabila anak tangga itu diambil barulah saya dapat melepaskan tangan dan memegang pada tangga itu. Pada ketika itu, barulah saya merasa keperitan tangan saya kerana kedua-dua belah bahu saya telah terseliuh. Saya berfikir jika bantuan diberi dengan lambat sedkit, kemungkinan saya tidak dapat bertahan lagi.

​Ketika kaki saya dapat memijak di pemukaan tanah, hati saya penuh dengan kesyukuran. Jikalau dahan pokok itu terpatah atau bahu saya mengalami kekejangan, ia akan mendatangkan akibat yang begitu menakutkan. Saya dapat mengalami anugerah Tuhan yang begitu menghairankan, terutamanya semasa saya mengalami kesusahan, Dia memberi pertolongan tepat pada masanya dan membantu saya melalui kesusahan.

​Kesaksian saya yang kedua adalah berlaku pada tahun 2005. Saya masih ingat pada masa itu, saudara Tham Onn Wah telah balik dari Kanada ke Kota Kinabalu. Masa itu ialah waktu malam hari Isnin. Saya dan isteri saya pergi ke gereja untuk menghadiri latihan koir Persahabatan. Dalam perjalanan pulang ke rumah, ketika kereta kami melalui Taman Sunny, tiba-tiba bahagian depan kereta kami berasap bergumpal-gumpal. Selepas itu, kereta kami terhenti dan enjinnya telah mati. Saya tidak tahu apa yang harus dibuat pada ketika itu. Syukur kepada Tuhan, ada sebuah kereta yang berlalu di situ dan berhenti di depan kami.

Selepas saya melihatnya, rupa-rupanya dia ialah diakenis Suzana Lo. Kebetulan dia juga ingin balik ke rumah selepas latihan koir Persahabatan. Saya memberitahunya apa yang telah berlaku. Pada masa ini, tiba-tiba terdapat sebuah kereta yang berhenti di belakang kami pula. Kemudian saya melihat saudara Tham Onn Wah keluar dari kereta tersebut. Saudara Tham ialah seorang mekanik kereta yang berkelulusan. Dia mempunyai sebuah kilang membaiki kereta di Kolombong.

​Syukur kepada Tuhan kerana Dia mengaturkan seorang yang reti membaiki kereta. Dengan spontan, saudara Tham meletakkan satu papan tanda amaran tiga segi di belakang kereta saya supaya kereta yang berlalu dapat melihat dan mengelak daripada berlakunya kemalangan. Selepas itu, saudara Tham membuka bahagian depan kereta saya dan memeriksa enjin kereta dengan menggunakan lampu suluh. Dia mendapati ada wayar yang mengalami kejutan litar. Dia memerlukan wayar yang baru dan masa yang mencukupi untuk memperbaikinya.

Namun, di manakah wayar itu boleh diperolehi? Semasa kami sedang menghadapi jalan buntu, ketika itu juga ada sebuah kereta yang berlalu tepat pada masanya. Ia adalah sebuah kereta syarikat yang menyediakan perkhidmatan menarik kenderaan, malahan pemandunya adalah seorang saudara gereja kita. Saudara Tham memberitahu saya bahawa dia akan membantu untuk menarik kereta saya ke kilangnya. Sementara itu, saya boleh menumpang kereta diakenis Lo balik ke rumah. Syukur kepada Tuhan, akhirnya kami dapat sampai ke rumah dengan selamat.
Pada waktu senja keesokan harinya, kereta saya juga telah siap dibaiki dan dihantar balik ke rumah saya. Kesemua ini merupakan kasih karunia Tuhan dan menjadi pertolonganku semasa ditimpa kesusahan. Oleh itu, saya ingin membuat kesaksian di sini dan bersyukur pada kasih-Nya yang besar itu. Syukur pada kasih besar Tuhan, Dia akan menjaga umat-Nya seperti biji mata-Nya. (Ul 32:10)

​Kiranya segala kemuliaan dan kesyukuran diberikan kepada nama Tuhan.

Terpelihara Dalam Kemalangan
| |

Terpelihara Dalam Kemalangan

Sdra. Tham Onn Wah

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya membuat kesaksian. Saya ialah saudara Tham Onn Wah, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Disebabkan pekerjaan saya dan anak saya yang ingin melanjutkan pelajaran, maka kami pun berhijrah dan menetap di Edmonton, Kanada. Edmonton ialah ibu kota bagi daerah Alberta di sebelah utara Kanada.

Peristiwa ini berlaku pada suatu hari Sabat yang bermusim sejuk pada tahun 2007. Pada awal pagi hari Sabat itu, saya memandu kereta membawa seisi keluarga saya seramai 5 orang pergi ke gereja untuk memegang hari Sabat. Disebabkan turun salji sebelum itu, maka ia menyebabkan keadaan jalan raya menjadi amat licin. Saya masih ingat cuaca waktu pagi hari itu adalah mendung. Suhunya adalah di bawah negatif sepuluh lebih darjah celcius. Ketika saya memandu, masih lagi turun salji. Saya menumpukan sepenuh perhatian untuk memandu. Pada waktu itu, saya hanya memandu lebih kurang 70km sejam.

Pada hari itu, kami berada di jalan raya yang mempunyai tiga lorong. Saya memandu kereta saya di lorong tengah. Kemungkinan saya memandu dengan agak perlahan sedikit, kereta di belakang saya berasa tidak sabar dan dengan tiba-tiba dia memecut dan memintas kereta saya. Keretanya dipandu dengan begitu laju sekali. Selepas pemandu itu memintas kereta saya, lalu dia pun membelok ke lorong sebelah kiri. Semasa jarak di antara kereta saya dan keretaya hanya sejauh kira-kira 100 meter, kemalangan telah berlaku. Saya melihat kereta itu berputar sebanyak 360 darjah. Ini adalah kerana adanya salji di atas jalan raya. Lazimnya, jika memandu dengan laju dalam keadaan sebegini adalah sangat merbahaya kerana kenderaan akan menjadi mudah tergelincir. Keadaan pada waktu itu sangat merbahaya kerana kereta saya hampir terlanggar dengan kereta tersebut. Mengikut pengalaman memandu saya, pada ketika itu tidak boleh menekan brek kereta. Jika saya berbuat demikian, kereta saya akan menjadi tidak terkawal dan terus memecut ke hadapan. Ketika saya melihat kereta saya hampir terlanggar dengan kereta itu, saya menjerit “Haleluya”! Tanpa disedari, tangan saya memusing stereng kereta ke sebelah kanan. Kereta itu tadi masih lagi berputar! Akhirnya kereta itu berhenti di tengah-tengah jalan raya dan bahagian depan kereta itu menghadap ke arah kami.

Pada ketika itu, kereta saya juga berada di lorong tengah. Jika bukan kerana Tuhan yang membuatkan saya membelok kereta ke sebelah kanan pada saat-saat yang bahaya itu, kereta saya pasti akan berlanggar dengan kereta itu. Akibatnya memang tidak dapat saya bayangkan. Sesungguhnya hidup atau mati dapat ditentukan dalam sekelip mata itu saja. Semasa saya melewati kereta yang menghadapi kemalangan itu, jarak di antara kereta saya dengan kereta itu hanya beberapa inci sahaja. Jarak itu dapat menentukan segala-galanya.

Mengimbas kembali kejadian ini, apabila sesuatu peristiwa yang mengejutkan berlaku di depan mata, biasaannya respon manusia adalah terperanjat dan tindak balas anggota badan akan menjadi lembap. Ini merupakan tindak balas semula jadi apabila menghadapi hal yang mengejutkan. Manalah mungkin masih lagi dapat memandu dan membelokkan kereta ke sebelah kanan? Ini adalah penjagaan Tuhan yang memberikan saya satu hati yang senantiasa berjaga-jaga sehingga saya dapat terlepas daripada kemalangan. Syukur kepada Tuhan, akhirnya kami dapat sampai ke gereja dengan selamat. Tuhan merupakan Tuhan Hari Sabat, Dia juga merupakan Tuhan yang memberi damai sejahtera!

“Janganlah hendakya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapa syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Yesus Kristus.” (Flp 4:6-7)

Kiranya segala kesyukuran, kepujian, dan kemuliaan diberikan atas nama Tuhan.