Garis Panduan Pembacaan Kitab Habakuk
[Cher Fu Min]
[1] Nama Kitab
Kitab Habakuk ialah kitab nabi kecil yang ke-8. Kitab ini dinamakan kitab ‘Habakuk’ mengikut nama nabi sendiri. Maksud Habakuk ialah ‘memeluk’, ‘pelukan kasih’, juga bermaksud: ‘mendekat pada Allah’ dan ‘memelukkan kehendak Allah’.
[2] Pengarang
i. Kitab ini ditulis oleh nabi Habakuk. Dia tidak perkenalkan latarbelakang dirinya; cuma memperkenalkan diri sebagai nabi sebanyak dua kali (1:1, 3:1). Dia adalah nabi terakhir tanah Yehuda, Kerajaan Selatan. Seorang nabi yang sangat unik. Secara amnya nabi-nabi adalah wakil pembicara Allah untuk berfirman kepada manusia tetapi dia mewakili manusia untuk berkeluh kesah terhadap Allah, menyelidiki keresahan dan kemusyikilan tentang dosa kejahatan dan penderitaan. Dia juga mempunyai gelaran ‘Tomas Perjanjian Lama’ dan ‘Ayub antara nabi-nabi’.
ii. Dari kalimat di penghujung kitab ini yang berbunyi: ‘Untuk pemimpin biduan. Dengan permainan kecapi’ kita boleh membuat andaian dia berkemungkinan seorang imam atau orang Lewi yang bertugas dalam kumpulan penyanyi Bait Suci (ruj: I Taw 15:16). Daripada isi kandungan kitab dapat diketahui bahawa dia adalah seorang pujangga yang giat dalam doa dan mendekat pada Tuhan.
iii. Daripada kalimat fasal 2 ayat 4: ‘orang yang benar akan hidup oleh percayanya’, sesetengah orang beranggapan bahawa Habakuk adalah seorang tokoh reformasi ugama. Ini disebabkan Martin Luther beroleh kekuatan daripada teori yang disebarkan Paulus, yakni: ‘dibenarkan oleh iman’, manakala injil ‘dibenarkan oleh iman’ dari Paulus adalah wahyu yang diperolehinya dari kitab Habakuk.
iv. Mengikut lagenda orang-orang Yahudi, Habakuk adalah anak janda di Sunem yang dihidupkan kembali oleh Elisa (II Raj 4:27, 36, 37), namun buktinya tidak cukup kukuh untuk mengesahkannya.
[3] Zaman
Nabi Habakuk muncul pada peringkat awal zaman pemerintahan Yoyakim, raja Yehuda. Pada waktu tersebut Yehuda, Kerajaan Selatan hampir-hampir ditawan oleh kerajaan Babel (1:6-9, 3:16; II Raj 24:1-16), yakni kira-kira 620-610 sebelum masehi. Nabi-nabi yang sezaman dengan Habakuk ialah nabi Yeremia dan seorang lagi yang telah ditawan ke luar negara pada waktu yang sama, iaitu Daniel.
[4] Lokasi
Ditulis di Yerusalem, tanah Yehuda (3:19); di situ ada urusan-urusan ibadah di Bait Suci, juga ada pemimpin biduan.
[5] Latar Belakang
Pada waktu tersebut Yoyakim, raja Yehuda tidak menyembah kepada Allah, umat terjerumus dalam dosa, menyebabkan keadilan dan kebenaran tunggang terbalik, keadaan bertambah kecoh. Nabi melihat bencana akan menimpa negara lalu tidak henti-henti mengadu kepada Allah: mengapa Allah tidak bertindak menegakkan keadilan dan mengapa pula orang-orang jahat bukan saja terus hidup bahkan hidup dalam keadaan aman makmur? Mengapakah orang-orang jahat layak menumpaskan negara yang jauh lebih baik daripadanya? Apakah orang-orang Kasdim merupakan alat hukuman yang digunakan Allah? Kemusykilan dan keresahan yang bertubi-tubi terlintas di fikiran nabi membolehkan kita mengetahui akan latar belakang motif penulisan kitab ini.
[6] Isi Kandungan
Kitab ini berlainan dengan kitab-kitab nabi yang lain, kerana ianya mencatatkan perbicaraan nabi dengan Allah yang disampaikan dalam bentuk dialog. Ilham dan mesej yang diterima nabi dalam fasal satu dan dua adalah dalam bentuk prosa, manakala fasal tiga adalah dalam bentuk lagu. Isi kandungannya berkenaan dosa kejahatan bangsa Yahudi dan orang-orang Kasdim, dan berkenaan hukuman yang pasti menimpa. Nabi sendiri bertolak daripada keadaan menanya-nanya dengan curiga kepada keadaan mengakui dengan yakin, daripada keadaan takut kepada bersandar dengan yakin, daripada keadaan terendah diangkat ke kemuncak tertinggi, dari dukacita kepada sukacita. Keseluruhan kitab bermula dengan pengakuan dosa dan hukuman, diakhiri dengan nyanyian pujian dan doa. Tujuan utama ialah menjelaskan bahawa Allah sekali-kali tidak membenarkan kewujudan dosa malahan pasti menjatuhkan hukuman pada waktu yang ditetapkan; tetapi orang yang benar akan hidup oleh percayanya. Atas belas kasihanNya sendiri, Allah pasti mengilhamkan kepada manusia kebenaran anugerah keselamatan yang dibenarkan oleh iman.
[7] Keistimewaan
i. Profesion nabi ialah menerima perintah-perintah Tuhan, kemudian menyampaikannya kepada umat, berdiri di pihak Allah memberikan amaran kepada umat. Namun, Habakuk pula berdiri di pihak manusia, berseru kepada Tuhan, berbantah-bantah dengan Tuhan sambil memohon.
ii. Seperti Ayub, Habakuk juga berbantah-bantah dengan Tuhan dengan mempersoalkan berkenaan kehidupan yang menderita, cuma:
a) Ayub berseru kepada Tuhan secara peribadi
b) Habakuk berseru kepada Tuhan atas sebab dosa kejahatan umat dan keadaan yang akan menimpa negara.
iii. Kitab ini mempunyai persamaan dengan kitab Nahum, sama-sama membicarakan mesej tentang penghakiman yang menimpa musuh, di mana:
a) Nahum menubuatkan kesudahan Asyur
b) Habakuk menubuatkan kesudahan Kasdim
iv. Ayat ‘Tetapi orang yang benar itu akan hidup oleh percayanya’ di fasal 2 ayat 4, digunakan sebanyak tiga kali dalam Perjanjian Baru, namun setiap kalinya mempunyai titik fokus yang berlainan dan memainkan kedudukan yang penting dalam Perjanjian Baru
a) Kitab Roma 1:17 menekankan ‘benar’
b) Kitab Galatia 3:11 menekankan ‘percaya’
c) Kitab Ibrani 10:38 menekankan ‘hidup’
v. Fasal tiga kitab ini ialah kidung yang dinyanyikan orang-orang Yahudi sewaktu sembahyang.
[8] Tema
‘Orang benar itu akan hidup oleh percayanya’ (2:4)
[9] Garis Kasar Penting
- Kata pendahuluan (1:1)
- Kali pertama persoalan nabi (1:2-4)
- Jawapan Allah (1:5-11)
- Kali kedua persoalan nabi (1:12 – 2:1)
- Jawapan Allah (2:2-4)
- Pengumuman lima kecelakaan orang-orang Kasdim (2:5-20)
- Doa dan nyanyian pujian nabi (3:1-19)