Doktrin Hari Sabat: Prakata – Penulis
| |

Doktrin Hari Sabat: Prakata – Penulis

Hari Sabat dan hari Tuhan merupakan satu soalan yang sudah lama dibincangkan dalam agama Kristian. Tahun-tahun kebelakangan ini, disebabkan karya-karya pada zaman dahulu beransur-ansur ditemui, dikemaskini dan diterbit secara besar-besaran, maka perkara-perkara yang berkaitan dengan karya-karya sejarah gereja pada zaman awal sekali lagi diberi perhatian. Begitu juga dengan soal hari Sabat, diberi perhatian semula pada masa yang sama. Apakah pandangan sebenar Alkitab memandang soal hari Sabat ini? Jika tidak, bagaimana hari Sabat ini hilang dan lenyap? Benarkah hari Tuhan adalah berubah daripada hari Sabat? Ataupun suatu hari kudus yang baharu sepenuhnya? Soalan-soalan ini sekali lagi mendapat perhatian berat dalam agama Kristian.

Sebenarnya, perubahan terhadap persoalan ini bukan sahaja berkisahkan hari itu sendiri, ataupun perubahan dari segi waktu ibadah itu. Di sebalik persoalan ini terkandung perkelahian di antara pembela kebenaran dan mereka yang bertolak ansur apabila ajaran yang menyesatkan mulai menyerusup ke dalam agama Kristian pada zaman awal, dan juga perjuangan antara dua kuasa di antara ortodoks dan ajaran yang menyesatkan, serta perang di antara agama Kristian dengan kuasa politik pada masa itu.

Alkitab mencatatkan dan membincangkan hari Sabat yang kudus bermula kitab Kejadian sampailah kitab terakhir, kitab Wahyu. Bagaimana timbulnya hari Sabat dalam perjanjian lama, bagaimana hari ini berkembang dan merosot bersama dengan iman kepercayaan umat pilihan, dan bagaimana Tuhan Yesus dalam perjanjian baru memberi makna yang lebih tepat kepada hari Sabat serta bagaimana murid-murid-Nya meneruskan Tuhan memegang hari Sabat dengan waspada telah dicatatkan dengan jelasnya dalam Alkitab. Sesudah seorang demi seorang rasul telah meninggal dunia, bagaimana hari Sabat pernah dipegang dengan waspada, kemudian kenapa mengalami penganiayaan, dan bagaimana umat Kristus bertindak dalam penganiayaan yang hampir menyebabkan hari Sabat lenyap, tetapi kemudiaannya bagaimana hari Sabat mendapat perhatian berat semula dan diperluaskan. Kesemua ini dapat dikesani dalam karya-karya kesusasteraan zaman dahulu yang semakin timbul semula.

Untuk tujuan ini, buku ini akan menjejaki kesan peninggalan sejarah, menerokai karya kesusasteraan yang berkaitan pada zaman dahulu untuk mengesani perubahan yang salah. Kemudian, nas-nas yang berkaitan dalam Alkitab akan diperiksa dengan teliti satu demi satu berdasarkan makna nas Alkitab bahasa asal yang paling asas, serta pemahaman dan analisis pengkaji-pengkaji Alkitab selama ini terhadap nas-nas tersebut untuk memutuskan hari Sabat atau hari Tuhan yang perlu dipegang dan dikuduskan oleh agama Kristian, dan bagaimana seharusnya menikmati hari Sabat yang kudus yang diserah dan dikaruniakan kepada umat-Nya supaya umat Kristus yang berhasrat untuk melakukan kebenaran mempunyai hala tuju yang jelas, dan dapat menguasai kebenaran serta selamat tiba di Kerajaan Syurga.

Oleh itu, Bab 2 akan menghuraikan sejarah dan catatan Alkitab yang berkaitan dengan hari Sabat pada zaman prasejarah, perjanjian lama, antara dua perjanjian, dan perjanjian baru. Kemudian, diikuti dengan menerokai bagaimana hari Sabat lenyap, bagaimana sebahagian kecil umat Kristus yang alim memegang hari Sabat, dan bagaimana hari Sabat sekali lagi timbul semula berasaskan karya-karya sejarah zaman awal agama Kristian. Bab 3 pula membincangkan istilah-istilah yang berkaitan dan beberapa catatan Alkitab yang penting. Bab 4 adalah mengimbas kembali pandangan Tuhan Yesus terhadap hari Sabat dari perenggan ke perenggan untuk mengenal dengan pasti bahawa Tuhan Yesus tidak pernah membuat perubahan terhadap hari Sabat. Bab 5 mengkaji dengan teliti perbuatan yang dilakukan rasul-rasul untuk mengenali dengan pasti bahawa rasul-rasul pun tidak pernah membuat perubahan terhadap hari Sabat. Bab 6 membincangkan soal-soal yang selalu diungkitkan oleh umat Kristus. Akhir sekali, Bab 7 menyimpulkan pandangan dan tindakan yang harus ada pada umat Kristus terhadap hari Sabat. Untuk memudahkan pembaca, pada penghujung buku ini dilampirkan nas-nas Alkitab yang berkaitan dengan hari Sabat, dan juga petikan karya-karya kesusasteraan penting yang berhubung dengan peristiwa-peristiwa besar dan hari Sabat dalam agama Kristian pada zaman awal, serta dilampirkan juga karya-karya kesusasteraan yang berkaitan dengan hari Sabat untuk rujukan pengkaji-pengkaji.

Namun, sebagai penulis yang baru pertama kali mengkaji soal hari Sabat ini secara mendalam seperti ini, sudah tentu ada yang tercicir dan terabai. Oleh yang demikian, amatlah berharap semua pengkaji agama Kristian memberi tunjuk ajar dengan murah hati.

Bagi Tuhan yang Esa di syurga segala kemuliaan, dan segala damai sejahtera dan berkat diberi kepada umat Kristus yang memegang kebenaran dalam Alkitab dengan waspadanya.

Amin.

Jiang Nan Ying

Penulis.

Doktrin Hari Sabat: Prakata – Pihak Penerbit
| |

Doktrin Hari Sabat: Prakata – Pihak Penerbit

“Ketika orang Israel berada di padang gurun, didapati merekalah seorang yang mengumpulkan kayu api pada hari Sabat. Lalu orang-orang yang mendapati dia sedang mengumpulkan kayu api itu, menghadapkan dia kepada Musa dan Harun dan segenap umat itu. Orang itu dimasukkan dalam tahanan, oleh kerana belum ditentukan apa hukuman yang harus dilakukan kepadanya. Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Musa: “Orang itu pastilah dihukum mati; segenap umat Israel harus melontari dia dengan batu di luar tempat perkhemahan.” Lalu segenap umat menggiring dia ke luar tempat perkemahan, kemudian dia dilontari dengan batu sehingga ia mati, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Musa.” (Bil 15: 32-36).

Bukankah ada dinyatakan “oleh kerana belum ditentukan apa yang harus dilakukan kepadanya”?

Sebenarnya, sebelum Tuhan menyerahkan dua keping loh batu kepada Musa di atas gunung Sinai, Dia telah menyatakan dengan jelas bahawa barangsiapa yang bekerja pada hari Sabat haruslah dilenyapkan dari antara bangsanya, dan pastilah ia dihukum mati (Kel 31:12-17).

Kelemahan lazim manusia di hadapan Tuhan adalah tidak mengetahui tahap ketegasan Tuhan terhadap firman-Nya sendiri. Apabila ada kesempatan, manusia akan berusaha juga untuk mencuba di mana tahap maksimum ketegasan Tuhan ini? Manusia sukar hendak mempunyai kepercayaan sepenuh terhadap firman Tuhan.

Kita selalu melihat firman Tuhan berdasarkan pendirian manusia. Apa yang manusia harapkan adalah kesabaran yang sementara, dan bukan untuk melihat kasih Tuhan yang panjang dan jauh serta belas kasihan-Nya yang kekal abadi.

Sesudah nenek moyang berbuat dosa, kutuk yang menimpa mereka ialah “akan bersusah payah mencari rezekimu dari tanah seumur hidupmu” dan “dengan berpeluh engkau akan mencari makananmu.” Siapa tahu? Tuhan telah menyediakan hari ketujuh sebelum ini. Tuhan juga memberkati hari tersebut supaya manusia mendapat istirehat sebelum berjerih payah dan berpeluh.

Hajat Tuhan supaya manusia memiliki berkat Sabat ini adalah tetap teguh dan tidak goyah, serta tidak akan berubah selama-lamanya. Dia telah memberi berkat, dan tidak ingin ada yang tidak menjabatkan tangan lalu kehilangan peluang untuk mendapatkan berkat. Oleh itu, Dia melarang dan tidak membenarkan manusia melalaikannya disebabkan untuk mengumpulkan kayu api. Dia tidak ingin manusia memandang ringan terhadap Sabat dan akhirnya kehilangan istirehat. Oleh yang demikian, seseorang itu akan dilempari batu sampai mati, dan ini dapat menunjukkan kesungguhan Tuhan untuk memberi berkat.

Pada hari ini, ramai orang beranggapan hari Sabat tidaklah sepenting mana. Mereka juga bersikap kurang pasti terhadap kesungguhan Tuhan untuk mencurahkan berkat pada hari Sabat, ataupun sudah bersikap lembut untuk melemparkan seseorang itu sampai mati. Mereka ini lazimnya hanya mementingkan soal kemanusiaan dan tidak dapat memahami kasih dan belas kasihan-Nya, iaitu berkat yang diberi-Nya kepada manusia adalah dilakukan-Nya dengan sungguh-sungguh.

Ketika Tuhan Yesus datang ke dunia, dia menjelaskan lagi hajat-Nya ini. Hari Sabat ditetapkan bukan untuk membelenggu manusia sehingga manusia kehilangan kebebasan untuk melakukan kerja. Sebaliknya, hari Sabat disediakan Tuhan untuk manusia supaya manusia memperolehi kebebasan untuk tidak bekerja dan berjerih payah. Oleh yang demikian, hari Sabat bukan suatu larangan, melainkan adalah sejenis nikmat. Apa yang penting adalah untuk membawa istirehat yang benar-benar dalam batin manusia pada hari Sabat (Mrk 2:23-28). Pada masa yang sama, Tuhan mengharapkan manusia akan memperolehi perhentian yang kekal apabila berakhirnya kehidupan yang berjerih payah untuk bekerja ini (Ibr 4:1-11).

Ada yang bertanya-tanya, apabila anugerah keselamatan oleh darah Tuhan yang mahal harganya diberitakan kepada bangsa lain, Alkitab tidak pernah pun menyuruh bangsa lain (bukan Yahudi) yang percaya Tuhan harus mengingati hari Sabat. Sebenarnya, kebaktian pada hari Sabat adalah isi kandungan utama dalam kepercayaan mereka selama ini.

Apabila soal mengenai sama ada bangsa lain yang percaya harus disunat ataupun tidak dibawa ke Yerusalem, setelah perbincangan dan perbahasan dibuat, adik Tuhan, Yakobus membuat satu kesimpulan berikut di hadapan rasul-rasul dan para penatua:

     “Sebab itu aku berpendapat, bahawa kita tidak boleh menimbulkan kesulitan bagi mereka dari bangsa-bangsa lain yang berbalik kepada Allah, tetapi kita harus menulis surat kepada mereka, supaya mereka menjauhkan diri dari makanan yang telah dicemarkan berhala-berhala, dari percabulan, dari daging binatang yang mati dicekik dan dari darah. Sebab sejak zaman dahulu hukum Musa diberitakan di tiap-tiap kota, dan sampai sekarang hukum itu dibacakan tiap-tiap hari Sabat di rumah-rumah ibadat.” (Kis 15:19-21).

Mengenai hukum Musa, tidak perlu lagi memperingatkan mereka (bangsa-bangsa lain yang berbalik kepada Tuhan) kerana hukum itu dibacakan tiap-tiap hari Sabat di rumah-rumah ibadat. Oleh itu, mereka akan meneruskan amalan ini dan dapat mempelajarinya secara beransur-ansur.

Bagaimanakah kedudukan dan makna hari Sabat berubah mengikut masa dalam sejarah manusia? Bagaimana pula seharusnya kita memegang perintah ini?

Syukur atas pengaturan Tuhan kerana bahagian mengenai Hari Sabat dalam Siri Buku Doktrin Ibu Gereja Antarabangsa, Gereja Yesus Benar dapat disiapkan oleh Dn. James Jiang dari Taiwan. Beliau telah mengkaji secara teliti dan mendalam dari sudut sejarah dan kebenaran, serta mengumpul maklumat secara meluas untuk menghasilkan buku ini. Penerbitan buku ini adalah atas kasih karunia dari Tuhan dan belas kasihan-Nya terhadap manusia. Semoga Tuhan akan memimpin para pembaca buku ini untuk lebih memahami kehendak-Nya, dan lebih mementingkan berkat Sabat ini. Kiranya juga Tuhan mengingati jerih payah dan kesungguhan pelayanan Dn. Jiang.

Chai Heng Zhong

dari pihak penerbit.