Views: 132

PRAKATA

Sewaktu kita merentas jalan kehidupan, kita bergerak menuju ke arah-arah tertentu. Adakalanya kita akan bertembung dengan sekatan ataupun lencongan. Adakala pula kita terpaksa mendaki gunung atau bukit dan menyeberang sungai ataupun mengharungi lautan. Biarpun apa jalan yang direntasi, semuanya akan berakhir di satu destinasi yang sama – Maut. Kebanyakan orang takut menghadapi titik penamat perjalanan tersebut memandangkan ia adalah kesudahan kepada segala sesuatu yang kita usahakan sepanjang hayat kita. Walaupun demikian, ada di antara kita yang mengharapkan ketibaan “Pengakhiran Muktamad”. Ini disebabkan kita sedang berada di tangga yang menuntun ke arah satu tempat indah iaitu tempat istirehat kekal abadi yang bernama Syurga. Adakah anda berada di tangga yang menuju ke Syurga?

Buku ini menghuraikan langkah kedua daripada empat langkah yang harus ditempuhi oleh seseorang dalam perjalanannya ke Kerajaan Syurga. Anda disyorkan menamatkan langkah yang pertama iaitu Setiap Insan Perlu Menyembah Tuhan Yang Benar sebelum memulakan pembacaan buku kedua berjudul Jatuh dari Anugerah. Anda juga dijemput membaca dengan teliti dua langkah yang seterusnya – Percaya kepada Yesus dan Kembali Ke Gereja Yang Benar. Keempat buku ini termaktub dalam terbitan yang berjudul Tangga Menuju Syurga. Tujuan buku ini ialah dijadikan rujukan kepada para pembaca sebagai garis panduan untuk menaiki tangga menuju ke Syurga. Kami memohon kepada pihak anda kesabaran dan bantuan doa tatkala menantikan terbitan yang selanjutnya. Semoga terang ilahi di penghujung tangga syurgawi ini akan menjadi kekuatan kepada anda untuk terus melangkah ke depan! Semoga Roh Kudus menerangi setiap langkahmu yang semakin dekat kepada terang syurgawi.

TUJUAN 

Apakah dosa itu? Adakah kita berdosa walaupun kita belum pernah melakukan hal-hal yang melanggar undang-undang? Adakah kita peduli kalau kita berdosa? Bagaimanakah dosa mempengaruhi kita? Dosa berasal dari mana? Apakah kuasa dosa? Apakah balasan terhadap dosa?

Dalam buku Jatuh dari Anugerah, kamu akan mendapat jawapan untuk soalan-soalan di atas mengenai asal usul segala kejahatan di dunia dan kesannya terhadap manusia.

Ramai di antara kita yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap dosa. Perkataan dosa itu mempunyai konotasi negatif sehingga kita menjauhkan diri darinya bagaikan penyakit kusta. Pada hakikatnya, dosa adalah pelanggaran hukum Tuhan dan kejatuhan dari kedudukan yang ilahi. Manusia jatuh dari anugerah Tuhan kerana dosa. Menurut Alkitab, bukan sahaja manusia pertama telah berdosa tetapi semua manusia yang menyusul kemudian turut berdosa; melainkan Tuhan Yesus Kristus ( yang dibincangkan dalam Buku Tiga ) yang menanggung semua dosa asal kita. Kita adalah orang-orang yang berdosa tidak kira betapa “baik” kita menganggap diri kita berdasarkan standard duniawi.

Mengapakah kita perlu belajar tentang dosa? Wahai pembaca, kita sebenarnya terlibat dalam peperangan rohani setiap hari. Jiwa rohani kita sentiasa terancam. Dengan mendedahkan identiti sebenar musuh utama kita, kita akan memperolehi kefahaman yang lebih tentang musuh kita supaya kita dapat melengkapkan diri dengan senjata-senjata rohani yang betul.

Apabila kita memperkatakan dosa, ia mestilah dalam konteks hukum-hukum Tuhan. Anda akan mendapat faedah yang lebih banyak seandainya anda sudah membaca buku yang pertama iaitu Setiap Insan Perlu Menyembah Tuhan Yang Benar, sebelum membaca buku ini. Dalam buku yang pertama, anda akan belajar mengenai: bukti-bukti kewujudan Tuhan, sifat-sifat ilahi Tuhan yang Benar, sebab-musabab manusia perlu menyembah Tuhan yang Benar ini dan tempat di mana Dia dapat dicarikan.

Setelah membaca buku ini, janganlah anda diselubungi dengan perasaan cemas dan putus asa – Pengharapan tetap ada. Janganlah biarkan bayang-bayang dosa menakutkan kamu kerana kita tahu bahawa kita boleh menggalahkannya melalui Tuhan Yesus Kristus yang telah mengalahkan dosa. Anda akan mendapat jawapan tentang cara mendapatkan kebebasan daripada cengkaman dosa dan memperolehi pengharapan hidup kekal dalam buku yang ketiga dan keempat – Percaya kepada Yesus dan Kembali Ke Gereja Yang Benar. Sila hantarkan kad permintaan di akhir buku ini untuk mendapatkan buku-buku ini dengan percuma.

Semasa anda membaca buku ini, sila pertimbangkan bahawa hikmat dan pengetahuan Tuhan amatlah besar. Buku ini dan yang berikutnya hanya mampu menyentuh sebahagian kecil daripada kefahaman kita terhadap alam rohaniah. Apabila anda ada soalan-soalan tambahan yang tidak dijawab dengan memuaskan dalam buku ini, sila hantarkan soalan-soalan anda ke alamat berkenaan yang tercatat di belakang buku ini. Kami akan cuba sedaya upaya membantu anda mencari Tuhan.

Semoga Tuhan memberkati anda.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *