Terpelihara Dalam Kemalangan
Sdra. Tham Onn Wah
Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya membuat kesaksian. Saya ialah saudara Tham Onn Wah, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Disebabkan pekerjaan saya dan anak saya yang ingin melanjutkan pelajaran, maka kami pun berhijrah dan menetap di Edmonton, Kanada. Edmonton ialah ibu kota bagi daerah Alberta di sebelah utara Kanada.
Peristiwa ini berlaku pada suatu hari Sabat yang bermusim sejuk pada tahun 2007. Pada awal pagi hari Sabat itu, saya memandu kereta membawa seisi keluarga saya seramai 5 orang pergi ke gereja untuk memegang hari Sabat. Disebabkan turun salji sebelum itu, maka ia menyebabkan keadaan jalan raya menjadi amat licin. Saya masih ingat cuaca waktu pagi hari itu adalah mendung. Suhunya adalah di bawah negatif sepuluh lebih darjah celcius. Ketika saya memandu, masih lagi turun salji. Saya menumpukan sepenuh perhatian untuk memandu. Pada waktu itu, saya hanya memandu lebih kurang 70km sejam.
Pada hari itu, kami berada di jalan raya yang mempunyai tiga lorong. Saya memandu kereta saya di lorong tengah. Kemungkinan saya memandu dengan agak perlahan sedikit, kereta di belakang saya berasa tidak sabar dan dengan tiba-tiba dia memecut dan memintas kereta saya. Keretanya dipandu dengan begitu laju sekali. Selepas pemandu itu memintas kereta saya, lalu dia pun membelok ke lorong sebelah kiri. Semasa jarak di antara kereta saya dan keretaya hanya sejauh kira-kira 100 meter, kemalangan telah berlaku. Saya melihat kereta itu berputar sebanyak 360 darjah. Ini adalah kerana adanya salji di atas jalan raya. Lazimnya, jika memandu dengan laju dalam keadaan sebegini adalah sangat merbahaya kerana kenderaan akan menjadi mudah tergelincir. Keadaan pada waktu itu sangat merbahaya kerana kereta saya hampir terlanggar dengan kereta tersebut. Mengikut pengalaman memandu saya, pada ketika itu tidak boleh menekan brek kereta. Jika saya berbuat demikian, kereta saya akan menjadi tidak terkawal dan terus memecut ke hadapan. Ketika saya melihat kereta saya hampir terlanggar dengan kereta itu, saya menjerit “Haleluya”! Tanpa disedari, tangan saya memusing stereng kereta ke sebelah kanan. Kereta itu tadi masih lagi berputar! Akhirnya kereta itu berhenti di tengah-tengah jalan raya dan bahagian depan kereta itu menghadap ke arah kami.
Pada ketika itu, kereta saya juga berada di lorong tengah. Jika bukan kerana Tuhan yang membuatkan saya membelok kereta ke sebelah kanan pada saat-saat yang bahaya itu, kereta saya pasti akan berlanggar dengan kereta itu. Akibatnya memang tidak dapat saya bayangkan. Sesungguhnya hidup atau mati dapat ditentukan dalam sekelip mata itu saja. Semasa saya melewati kereta yang menghadapi kemalangan itu, jarak di antara kereta saya dengan kereta itu hanya beberapa inci sahaja. Jarak itu dapat menentukan segala-galanya.
Mengimbas kembali kejadian ini, apabila sesuatu peristiwa yang mengejutkan berlaku di depan mata, biasaannya respon manusia adalah terperanjat dan tindak balas anggota badan akan menjadi lembap. Ini merupakan tindak balas semula jadi apabila menghadapi hal yang mengejutkan. Manalah mungkin masih lagi dapat memandu dan membelokkan kereta ke sebelah kanan? Ini adalah penjagaan Tuhan yang memberikan saya satu hati yang senantiasa berjaga-jaga sehingga saya dapat terlepas daripada kemalangan. Syukur kepada Tuhan, akhirnya kami dapat sampai ke gereja dengan selamat. Tuhan merupakan Tuhan Hari Sabat, Dia juga merupakan Tuhan yang memberi damai sejahtera!
“Janganlah hendakya kamu kuatir tentang apa pun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapa syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan pikiranmu dalam Yesus Kristus.” (Flp 4:6-7)
Kiranya segala kesyukuran, kepujian, dan kemuliaan diberikan atas nama Tuhan.
