Berkata-kata dalam Bahasa Roh – II. Mencapai Konsep Secara Am
(A) Mengkaji Konsep-Konsep Alternatif
Satu kepercayaan yang diterima secara amnya oleh penganut-penganut Protestant ialah, seseorang itu menerima Roh Kudus ketika ia menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat peribadinya. Ini adalah berdasarkan bukti yang kukuh dari Wahyu 3:20: “Lihat, Aku berdiri di muka pintu dan mengetok; jikalau ada orang yang mendengar suaraKu dan membukakan pintu, Aku akan masuk mendapatkannya dan Aku makan bersama-sama dengan dia, dan ia bersama-sama dengan Aku.” Hujahnya di sini ialah sekiranya seseorang itu menjemput Yesus ke dalam hatinya, maka Yesus akan berbuat demikian. Memandangkan Yesus dan Roh Kudus adalah satu dan sama, maka seseorang yang telah percaya, turut menerima Roh Kudus pada masa yang sama.
Pertama-tamanya, mari kita menyoal tentang andaian bahawa jemputan kepada Tuhan Yesus di Wahyu 3:20 adalah daripada seorang yang telah percaya. Sila baca di ayat 14 fasal yang sama: “Dan tuliskan kepada malaikat jemaat di Laodikia…” Dengan jelasnya kita ketahui bahawa perenggan ini disampaikan kepada sekumpulan orang Kristen yang diwakili oleh seorang utusan (malaikat) atau seorang biskop (penatua) jemaat. Tuhan berfirman bahawa mereka harus menjemput Dia untuk memimpin semula kehidupan mereka. Justeru itu, adalah dicurigai adakah ayat tersebut boleh dijadikan dasar menyokong konsep “Menerima Kristus sama dengan menerima Roh Kudus”. Ini disebabkan jemaat di Laodikia telah merosot jauh ke belakang dan terbukti bahawa mereka seharusnya telah awal-awal menerima Kristus.
1. Contoh-balas pertama
Kini kita mempertimbangkan satu contoh-balas yang ketara. Baca dengan teliti Kisah 8:5-19. Fakta-fakta kes tersebut jelas kelihatan dalam ayat-ayat berikut:
- ayat 5 – Filipus pergi ke suatu kota di Samaria dan memberitakan Mesias kepada orang-orang di situ.
- ayat 8 – Maka sangatlah besar sukacita dalam kota itu.
- ayat 12 – Tetapi sekarang mereka percaya kepada Filipus yang memberitakan Injil tentang Kerajaan Allah dan tentang nama Yesus Kristus, dan mereka memberi diri dibaptis, baik laki-laki maupun perempuan.
- ayat 14 – Ketika rasul-rasul di Yerusalem mendengar, bahawa tanah Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke situ.
- ayat 15 – Setibanya di situ kedua rasul itu berdoa, supaya orang-orang Samaria itu beroleh Roh Kudus.
- ayat 16 – Sebab Roh Kudus belum turun di atas seorangpun di antara mereka, kerana mereka hanya dibaptis dalam nama Tuhan Yesus.
Di sini kita mendapati sekumpulan orang yang telah percaya kepada Tuhan Yesus dan telahpun memberi diri untuk dibaptis. Justeru itu, kita boleh dengan yakin berkata bahawa mereka telah menerima Kristus. Namun, kelihatan dengan jelas juga bahawa mereka tidak menerima Roh Kudus.
2. Contoh-balas kedua
Contoh-balas yang kedua boleh ditinjau daripada insiden di mana Paulus bertemu dengan beberapa orang murid di Efesus (Kisah 19:1-7). Kepada soalan yang diajukan oleh Paulus: “Sudahkah kamu menerima Roh Kudus, ketika kamu menjadi percaya?”. Mereka menjawab: “ Belum, bahkan kami belum pernah mendengar, bahawa ada Roh Kudus”. Perbicaraan ini membentangkan satu cabaran yang serius kepada konsep “ Menerima Kristus sama dengan menerima Roh Kudus”. Sesungguhnya Paulus tidak perlu bertanya kepada jemaat di Efesus sudahkah mereka menerima Roh Kudus sekiranya mereka telahpun menerimanya pada masa yang sama mereka menerima Kristus. Namun, kamu boleh berbahas bahawa murid-murid tersebut tidak berapa berkenalan dengan Yesus, justeru itu, mereka tidak menerimaNya dengan cara yang betul. Sekiranya kita baca seterusnya dan seperti insiden orang-orang Samaria, murid-murid tersebut menerima Roh Kudus hanya selepas pertaubatan, pembaptisan dan penumpangan tangan oleh para rasul. Memandangkan menerima Kristus mendahului pembaptisan, maka di dalam insiden tersebut, menerima Kristus juga mendahului penerimaan Roh Kudus selepas suatu jangkamasa tertentu.
Kedua-dua contoh-balas di atas membentangkan satu kesimpulan yang kukuh – menerima Roh Kudus tidak semestinya berlaku pada masa seseorang menerima Kristus.
3. Adakah akhlak berkenaan buah Roh Kudus merupakan satu kriteria untuk memastikan kehadiran Roh Kudus di dalam diri seseorang?
Kita mengarahkan perhatian kita untuk mengkaji satu kepercayaan lain yang terkenal. Sesetengah orang percaya bahawa Tuhan pasti bekerja di dalam seseorang yang menunjukkan keperibadian seorang Kristen yang baik, ataupun sifat semulajadinya telah berubah daripada yang jahat kepada baik. Justeru itu, mereka membuat kesimpulan bahawa seseorang yang demikian telahpun menerima Roh Kudus. Sesungguhnya, kalau seseorang menampakkan akhlak-akhlak yang berkaitan dengan buah Roh Kudus, maka pasti ianya mempunyai Roh Kudus (Galatia 5:22,23).
Mari kita kembali kepada insiden orang-orang Samaria di Kisah 8:5-19 untuk mejelaskan hal ini. Tercatat di ayat 8: Maka sangatlah besar sukacita dalam kota itu. Sukacita merupakan buah Roh Kudus. Sekiranya meninjau dari konsep di atas, pastilah orang-orang Samaria telahpun menerima Roh Kudus. Sebaliknya, para rasul menerima khabar yang mengesahkan bahawa murid-murid tersebut belum menerima Roh Kudus! Tambahannya, apabila Roh Kudus dicurahkan ke atas orang-orang Samaria, satu pihak yang ketiga termasuk bekas ahli sihir, Simon, serta-merta bersaksi bahawa mereka menerima Roh Kudus (Kisah 8:17-19).
Buah Roh Kudus mengandungi nilai akhlak-akhlak dan keperibadian Kristeni yang beransur-ansur membesar tatkala seseorang pemercaya membesar secara rohani. Ketika seseorang berdoa memohon Roh Kudus melalui penumpangan tangan oleh para pendeta gereja, adalah mustahil untuk melihat nilai akhlak dalaman dengan serta-merta. Sesetengah orang berkata bahawa, kehangatan sukacita membuktikan bahawa seseorang telah menerima Roh Kudus. Berkenaan pandangnan ini, membaca sekali lagi ayat 8 akan membantu. Tambahan pula, kalau sukacita seseorang tersebut tidak diperlihatkan dengan jelas pada diri seseorang, maka pihak yang ketiga tidak akan dapat melihatnya. Lebih-lebih lagi, seseorang tidak dapat memastikan bahawa ianya adalah berasal dari Roh Kudus, sebab ‘sukacita’ merupakan suatu emosi manusia yang berubah-suai mengikut suasana sekeliling seseorang.
Poin yang ingin ditegaskan di sini ialah keperibadian yang baik dan nilai akhlak-akhlak yang berkaitan dengan Roh Kudus merupakan butir-butir yang tidak pasti untuk menunjukkan samada seseorang tersebut mempunyai Roh Kudus. Juga, ini bukan kriteria yang dilihat oleh para rasul sebagai bukti adakah seseorang tersebut telah menerima Roh Kudus. Kita akan menjelaskan apakah kriteria tersebut.
Sehubungan dengan itu, kepercayaan bahawa nilai akhlak yang berkaitan dengan buah Roh Kudus merupakan kriteria untuk mengesahkan samada Roh Kudus hadir di dalam diri seseorang harus ditolak.
(B) Soalan-Soalan Berbangkit
Penolakan konsep-konsep alternatif yang dicadangkan di atas, telah membangkitkan dua soalan penting
- Sekiranya seseorang tidak menerima Roh Kudus ketika menerima Kristus, maka bilakah ianya menerima Roh Kudus?
- Sekiranya perwatakan Kristeniti yang baik tidak semestinya bermakna seseorang telah menerima Roh Kudus, jadi apakah indikasi kebaikan itu?
Untuk kajian yang selanjutnya, kami akan mendalamkan kefahaman para pembaca kepada dua soalan tersebut, berdasarkan Alkitab dan interpretasinya.
1. Bagaimanakah seseorang menerima Roh Kudus?
Seseorang perlu mentaati perintah Tuhan dan berdoa dengan tekun. Maka Tuhan akan mencurahkan Roh Kudus mengikut waktu yang sesuai. Memandangkan Roh Kudus tidak semestinya diterima seseorang pada waktu ia menjadi percaya, maka dia perlu meminta Roh Kudus dan ini merupakan satu permintaan lain yang berasingan dan kemungkinan ianya perlu meminta untuk satu jangka waktu yang panjang. Dan ini adalah selaras dengan ajaran Tuhan Yesus bahawa Roh Kudus perlu diminta dengan tekun (Lukas 11:5-13).
Menerima Roh Kudus boleh berlaku bila-bila masa setelah seseorang percaya kepada Kristus. Sebelum dia memberi diri dibaptis, Kornelius telah menerima Roh Kudus ketika ia sedang mendengar khotbah Petrus (Kisah 10:44-48). Sebahagian besar insiden-insiden menerima Roh Kudus yang dicatatkan di dalam Kisah Para Rasul berlaku pada waktu-waktu yang berlainan selepas pembaptisan air, contohnya:
- 120 orang yang menerima Roh Kudus telah awal-awal dibaptis semenjak masa Tuhan Yesus.
- Orang-orang Samaria telah dibaptis sebelum Petrus dan Yohanes membantu mereka menerima Roh Kudus.
- Murid-murid di Efesus menerima Roh Kudus sejurus selepas mereka dibaptis.
2. Berbahas roh adalah satu-satunya bukti penerimaan Roh Kudus
Memandangkan penerimaan Roh Kudus tidak berlaku pada masa-masa tetap atau pada satu sakramen tertentu, maka seorang Kristen yang sedang mencarikan kebenaran pasti tertanya-tanya, “Bagaimanakah saya tahu yang saya telah menerima Roh Kudus atau tidak?”
Sebelum ini, kita telah mengkaji bagaimana akhlak-akhlak rohani muncul daripada buah Roh Kudus sebagai indikasinya, namun ianya tidak memadai. Mempunyai satu perasaan baik atau pembangunan emosi juga bukan satu pedoman yang yakin.
- Sebab, itu kemungkinan adalah hasil penyempurnaan diri sendiri.
- Para rasul tidak membuat pemerhatian mereka berdasarkan faktor-faktor tersebut.
Sebaliknya, daripada pertobatan Kornelius, kita mendapati “karunia Roh Kudus dicurahkan ke atas bangsa-bangsa lain juga, sebab mereka mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa Roh dan memuliakan Allah” (Kis 10:45-46). Berbahasa roh adalah satu bukti jelas bahawa seseorang telah menerima Roh Kudus. Sila baca Kisah 2:1-4 dan 19:1-7. Manifestasi ini adalah sangat menakjubkan dan dapat kelihatan dengan jelas dan ianya merupakan satu tanda mujizat ajaib menunjukkan karunia syurgawi yang ternilai daripada Tuhan. Ianya menggabungkan pembangunan emosi dengan manifestasi yang kelihatan di mana ianya menyakinkan kedua-dua si penerima dengan para pemerhati bahawa sesuatu yang rohani telah berlaku. Ianya merupakan satu tanda mulia yang Tuhan berikan di mana Dia sendiri telah menyertai karunia tersebut.
Kini, kita boleh mengkaji lebih jauh dengan berkata bahawa, memandangkan setiap tanda-tanda tersbut ada kekurangannya, maka berkata-kata dalam bahasa roh merupakan satu-satunya bukti untuk mengesahkan penerimaan Roh Kudus.
Setakat kini, kami telah sedaya-upaya membentang berdasarkan Alkitab, bahawa fungsi utama berkata-kata dalam bahasa roh ialah sebagai satu-satunya bukti bahawa seseorang telah menerima Roh Kudus. Namun, sebahagian besarnya adalah bergantung kepada pembaca sendiri untuk menilai secara tulus ikhlas kepercayaan sendiri untuk memahami Kebenaran ini.
