Hits: 50

1. UPACARA PERKABUNGAN

Di dunia ini tiada bangsa yang tidak merasa sedih atas kematian. Banyak tokoh-tokoh beriman yang muncul dalam Alkitab; namun, di hadirat Tuhan, mereka tetap mengakui dan tunduk pada kehendak Tuhan : “Tuhan yang memberi , Tuhan yang mengambil” ( Ayb 1 :21 ). “Aku kelu, tidak kubuka mulutku, sebab Engkau sendirilah yang bertindak” ( Mzm 39 : 10 ).

Tetapi, berlainan pula bagi saudara-mara dan jiran-jiran. Ketika seseorang hamper mati, telah menjadi kebiasaan mereka untuk mengeluh dan pada saat nafasnya putus, orang-orang yang hadir akan menangis dengan suara yang nyaring —  sambil menangis sambil menutup mata si mati dan menciumnya ( Kej 46 :4 ; 50 : 1 ). Suara tangisan akan kedengaran oleh orang-orang di sekitar lalu mereka turut menangis dan berbaris panjang untuk pergi ke rumah berkabung itu.

Mayat itu akan dimandikan, disapu bahan-bahan wangian dan dikenakan pakaian mayat (“shroud”). Suara-suara tangisan yang kuat ditambahkan dengan keluhan-keluhan jiran tetangga menjadikan keadaan lebih sedih.

Ada juga penangis-penangis yang diupah khas di mana mereka akan berdiri di tepi mayat tersebut atau berdiri di satu penjuru bilik, lalu menangis dengan sekuat-kuatnya. Ini merupakan perbuatan yang tidak bermakna dan hampa. Namun demikian, suara tangisannya akan membangkit dan menggerakkan emosi orang-orang yang berada di situ lalu mereka turut bersedih.

Kadang-kadang si penangis yang utama akan menjabat tangan, memusingkan badannya dan sambil menangis teresak-esak ia akan berkata kepada si-mati : “Mengapakah kamu meninggalkan kami? Kerja-kerja yang hanya mampu dilakukan oleh kamu siapakah yang ganti? Janganlah kamu membisu! Biarlah kami mendengar suara kamu sekali lagi! Kini kamu sudah pergi! Ketika kamu masih hidup, kiranya kami berbuat salah terhadap kamu atau segala kedegilan kami, ampunilah kami.” Seterusnya dia akan menangis dengan lebih kuat, memukul dadanya, memulas-mulas pakaiannya, mencabut rambutnya dan menambahkan lagi suara tangisannya.

Biasanya, mereka yang mahir dalam kerja meratap dan menangis adalah kaum perempuan. Kadang-kadang mereka tidak akan melakukan perbuatan yang kurang waras, cuma menyanyi dan menangis tersedu-sedu dengan suara yang penuh kesedihan. Orang yang menyanyi akan menyanyikan senikata-senikata yang menyedihkan, ditambahkan ritma agar orang-orang turut nyanyi bersama. Isi nyanyiannya adalah sama di mana ianya diulang-ulang. Kesemuanya adalah menyanyikan bakti dan budi si mati atau berkenaan kesedihan ahli-ahli keluarga yang masih hidup.

Selain dari itu, sekiranya keluarga tersebut kematian seorang yang paling rapat pertalian dengan keluarga tersebut, orang-orang yang hadir harus terlebih dahulu mengucapkan kata-kata penghiburan sebagai tanda rasa sedih terhadap orang-orang yang dikasihi. Bagi orang-orang yang tinggal berjauhan, ketika menerima berita mengenai kematian seseorang, mereka akan pergi rumah si mati untuk menyampaikan ucapan takziah. Ketika mereka sampai di pintu rumah, mereka akan menangis dengan kuat menunjukkan mereka telah sampai. Pada masa itu, kesedihan ahli-ahli keluarga akan dibangkitkan semula.

Kesedihan dan ratapan haruslah berterusan sampai pada saat penguburan. Biasanya upacara penguburan akan diadakan pada hari itu juga. Pada saat menutup dan mengusung keranda (kerandanya hanya sekeping papan, mayat dikapani kain putih dan diletakkan di atas) mereka akan menangis dengan kuat sambil menghalang perbuatan menutup dan mengusung keranda tersebut sehinggakan keadaan menjadi huru-hara. Sanak-saudara dan kawan-kawan yang mempunyai perasaan yang sama turut menghalang keranda dari diusung dan pada akhirnya, barulah keranda itu diusung.

Akhirnya mereka akan berbaris menjadi perarakan upacara penguburan di mana kebanyakan mereka akan ikut hadir ke kawasan perkuburan di luar bandar. Sepanjang perjalanan tersebut sekiranya terdapat orang-orang yang ingin turut menghiburkan ahli-ahli keluarga si-mati, mereka boleh mengambil bahagian dalam perarakan tersebut, maka orang-orang akan semakin bertambah. Bagi orang-orang Yahudi, sekiranya ada ahli-ahli keluarga yang meninggal, selepas beberapa hari kematiannya, rabi akan mengunjungi kaum keluarga tersebut, membacakan seperenggan Alkitab dan berdoa bagi mereka.

Setelah pintu kubur ditutup, mereka akan menulis pada pintu tersebut dalam bahasa Ibrani [Rumah Yang Kekal Abadi] atau  [Rumah Orang Yang Hidup]. Adakah [Rumah Orang Yang Hidup] bermaksud roh orang tersebut akan hidup untuk selama-lamanya atau bermaksud kubur adalah tempat yang harus ditujui oeh orang-orang masih hidup itu, ianya tidak jelas diketahui.

Tradisi-tradisi perkabungan dan penguburan yang dicatatkan dalam Alkitab bukan saja sama dengan zaman purba malah ianya tidak jauh berbeza daripada apa yang diamalkan oleh orang-orang Palestine hari ini. Cuma agama Kristian, agama Yahudi dan agama Islam masing-masing mempunyai kata-kata doanya yang tersendiri.

Ketika ada orang yang mati, orang-orang akan menangis dan meratap dengan suara nyaring (Mrk 5 : 38), kawan-kawan akan tampil untuk menghibur (Ayb 2 : 11-13), dan mengucapkan kata-kata pujian mengenai si mati dan mengucapkan kata-kata takziah dengan penuh perasaan (2 Sam 1 : 17-27 ; 3 : 33-34). Kesemua ini adalah bersamaan dengan ucapan takziah hari ini (1 Raj 13 : 30 ; Yer 22 : 18), ada juga perempuan-perempuan peratap (Yer 9 : 17 ; Am 5 :16), memukul dada (Yes 32 : 12), mengoyakkan pakaian (2 Sam 3 : 31), berpuasa (I Sam 31 : 13 ; 2 Sam 3 : 35), menaruh abu di atas kepala dan mengenakan pakaian kabung (2 Sam 12 : 20).

2. KUBUR

Orang-orang yang mati di Mesir akan dijadikan mumia (“mummy”), Yakub pun telah dijadikan mumia! (Kej 50 :2, 3, 26). Apabila membuat mumia, mula-mula, mereka akan keluarkan isi di dalam si mayat dan diisikan bahan-bahan wangian ke dalam, lalu dibersihkan dengan sejenis arak. Kemudian dikapani dengan kain putih yang paling berharga, disapu dengan bahan getah dan akhirnya dimasukkan dalam satu peti kayu segiempat tepat. Bagi orang-ornag Ibrani mereka akan menguruskan mayat pada waktu upacara penguburan di mana mereka akan menyimpan banyak bahan-bahan wangian pada pakaian mayat, perbuatan ini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama atau untuk mengelakkan tubuh mayat dari menjadi buruk dan reput. Tujuan yang paling utama ialah menghilangkan bau yang busuk.

Biasanya mereka akan menggali satu lubang di tanah untuk dijadikan kubur. Mayat dimasukkan ke dalam dan di luar akan diletakkan satu kepingan batu yang besar. Ada juga yang menggunakan kepingan batu untuk dijadikan keranda, dan ianya ditutup dengan sekeping batu yang besar dan rata. Sebahagian besar mereka akan menggali gua-gua di gunung-gunung batu sebagai kubur. Kadang-kadang disebabkan gunung-gunung batu sukar digali maka mereka akan mencari gua-gua yang sedia ada. Selepas itu, merela akan membuat satu bilik yang berukuran 2.5 M segiempat sama dan pada bahagian yang paling dalam, dibuatkan lagi satu biilik yang lebih kecil yang dalamnya hanya berukuran 2 meter. Bilik kecil ini berdepan dengan pintu masuk setelah mayat dimasukkan ke dalam, ianya akan ditutup dengan sekeping batu besar dan sekeliling batu akan disapu tanah debu untuk  meneguhkannya.

Zaman Tuhan Yesus dipengaruhi oleh adat Yunani, iaitu bilik yang dibuat adalah sangat besar. Setiap dinding dalam bilik akan digali dua atau tiga ceruk yang cetek untuk meletak mayat. Justru itu, dalam setiap bilik mungkin mempunyai beberapa mayat. Kubur yang digunakan untuk menguburkan Tuhan Yesus ialah kubur yang baru, milik Yusuf orang Arimatea. Terdapat dua orang malaikat yang menjaga mayat Tuhan Yesus, seorang di sebelah kepala dan yang lain di sebelah kakiNya (Yoh 20 : 12). Keadaan ini telah bertukar menjadi malaikat-malakat hiasan di kawasan kubur zaman sekarang.

Bilik besar yang di tengah mempunyai sekeping batu bulat yang besar di mana terdapat satu saluran yang dalam untuk menggulingkan batu ini ketika mahu membuka kubur tersebut. Selain itu, terdapat juga jalan-jalan terowong yang boleh menghubungkan satu kubur dengan kubur yang lain. Kubur yang paling hebat ialah Catacombs yang didapati pada zaman Roma.

Sejak zaman dulu hingga sekarang, tanah perkuburan dianggap sebagai tanah yang suci di mana ianya tidak boleh dicemari dengan bahan-bahan kotor maupun menggunakan bahan-bahan seni bina duniawi. Kubur-kubur orang yang kudus (“saints”) akan dijadikan sebagai tugu, begitu juga kubur orang yang mati syahid juga dijadikan satu tugu peringatan dan ianya dihormati sebagai satu tanda peringatan yang kudus. Satu upacara bercorak keagamaan akan diadakan di luar kuburan dan orang-orang dari agama lain yang hadir bersama turut mengambil bahagian untuk memberi  hormat. Kini, kaum petani di Palestine akan meletakkan hasil-hasil pertanian atau pakaian mereka di tepi kubur di mana mereka percaya, dengan adanya perlindungan para rasul semuanya akan selamat. Sejak dulu hingga sekarang, mereka mempunyai kebiasaan membersihkan kawasan kuburan (Mat 23 : 27) dan ianya kelihatan sangat bersih. Dari segi kesihatan ianya lebih baik (Luk 11 : 44 ; Bil 19 : 16).

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *