Balasan Terhadap Dosa
| |

Balasan Terhadap Dosa

Sebagai warganegara sesebuah negara, kita harus mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang negara kita. Peraturan-peraturan ini digubal demi memelihara kedamaian sosial dan menghukum mereka yang melanggar undang-undang. Sama juga, kita adalah ciptaan Tuhan dan terletak di bawah bidang kuasaNya. Untuk memelihara kedamaian alam semesta ini, Tuhan telah menetapkan hukum-hukumNya untuk ditaati oleh semua makhluk di bawah langit. Matahari, bulan dan semua bintang-bintang menurut susunan semulajadi yang telah diasaskan oleh Tuhan. Walaupun begitu, Adam dan Hawa membuat pilihan untuk melanggar satu-satunya perintah yang Tuhan berikan kepada mereka. Mereka tidak taat kepada Tuhan, sebaliknya mereka telah digoda oleh keangkuhan diri mereka kerana ingin sebijak Tuhan – mengenali yang baik dan yang jahat. Akibatnya, mereka kehilangan keistimewaan untuk tinggal di Taman Eden dan menanggung penghukumannya kemudian.

Adam dan Hawa bukan sahaja menerima penghukuman di atas kesalahan mereka malah dosa-dosa mereka telah diturunkan kepada anak-anak mereka dan generasi mereka yang seterusnya. Oleh itu, Tuhan beranggapan semua manusia di dalam dunia ini berdosa dan tidak ada seorangpun yang tidak berdosa di mataNya. (Roma 3:23, Galatia 3:22). Alkitab memberitahu kita bahawa penguasa alam semesta ini adalah Tuhan yang adil. Hukum yang adil ini tidak akan membebaskan dari hukuman orang yang berdosa. (Nahum 1:3). Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya. (Roma 2:6). Tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan diri daripada hukuman dosa.

Apakah hukuman Tuhan terhadap dosa-dosa di dalam dunia?

Dosa tersebut adalah seperti berikut:

* Penderitaan di dalam kehidupan kita di dunia.

* Ancaman maut.

* Kemusnahan dunia.

* Penghakiman selepas maut.

A. Penderitaan di dalam kehidupan kita di dunia.

Kita tahu bagaimana Adam dan Hawa pernah tinggal di Taman Eden. (Kejadian 2:15,16). Mereka menurut perintah-perintah Tuhan. Kejahatan tidak wujud di dalam dunia kerana manusia tidak mempunyai pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Pada masa itu, “Tuhan melihat segala yang dijadikanNya itu, sungguh amat baik.” (Kejadian 1:31). Seandainya segala sesuatu baik, mereka tidak akan mengalamai apa-apa yang jahat seperti penderitaan, kesakitan, kesedihan, rasa bersalah, kehibaan dan lain-lain. Tuhan sentiasa berada di sisi mereka untuk memenuhi segala keperluan mereka. Walaupun begitu, Adam dan Hawa telah diusir dari Taman Eden kerana mereka melanggar hukum Tuhan. Dengan pembuangan yang kekal ini, manusia telah terjerumus ke dalam jurang neraka yang menjahamankan kerana mereka tidak lagi hidup di Taman Eden di bawah perlindungan Tuhan yang secara langsung. Sebaliknya mereka terpaksa berdepan dengan cabaran hidup, ancaman maut dan jerih payah sepanjang umur. Kesemuanya ini tidak dapat ditukar ganti dengan kenikmatan material.

1. Kita harus berjerih payah dan mengalirkan peluh untuk menyara hidup.

Setelah Adam berdosa, Tuhan telah menetapkan hukumanNya:

Kerana engkau mendengarkan perkataan isterimu dan memakan dari buah pohon yang telah Ku perintahkan kepadamu: Jangan makan daripadanya, maka terkutuklah tanah kerana engkau; dengan bersusah payah engkau akan mencari rezekimu dari tanah seumur hidupmu…dengan berpeluh engaku akan mencari makananmu, sampai engkau kembali lagi menjadi tanah.” (Kejadian 3:17,19)

Sebenarnya, Adam dan Hawa tidak perlu berjerih payah atau bekerja keras di Taman Eden. Mereka mengusahakan taman itu dan bebas memakan semua buah dalam taman itu kecuali pohon larangan.

(Kejadian 2:15,16). Setelah mereka dibuang dari taman itu, Tuhan mengutuk tanah sehinggakan mereka terpaksa berjerih payah dengan menderita dan berpeluh untuk mengisi perut mereka. (Kejadian 3:17,19).

2. Penderitaan dan kehibaan dalam hidup yang tidak dapat dielakkan.

Tuhan juga berfirman kepada Adam, “Semak duri dan rumput duri akan dihasilkannya (tanah) bagimu.” (Kejadian 3:18). Hidup kita tidak akan begitu menyusahkan sekiranya kehidupan kita terbentuk menurut usaha-usaha kita. Akan tetapi, kenyataan telah membuktikan bahawa penderitaan dan kesedihan tetap timbul walaupun kita telah membuat perancangan yang baik dan berjerih payah. Seperti seorang petani, kita membuat pelaburan, menyumbangkan tenaga dan berusaha dengan harapan untuk menuai hasil yang lumayan sebagai upah kita. Akan tetapi, tanaman kita itu dihalang dari berbuah oleh semak duri dan rumput duri (Lukas 8:7; Markus 4:7). Sama seperti semak dan rumput duri yang tidak dapat dielakkan, peristiwa-peristiwa yang tiba-tiba timbul di luar jangkaan kita akan terjadi – kemalangan, kehilangan pekerjaan, kematian orang yang disayangi, kecurian, gempa bumi, penyakit yang membawa memudaratkan dan sebagainya. Dengan adanya salah satu daripada duri ini di dalam hidup kita, semua impian kita hancur atau diubah secara mendadak. Ini ditambah lagi dengan keupayaan duri-duri untuk tumbuh dengan cepat dan banyak. Sebaik sahaja kita telah menghapuskan salah satu daripada penderitaan kita, duri yang lain tumbuh untuk menggantikannya.

3. Tuhan telah meletakkan beban yang berat untuk manusia.

“Aku membulatkan hatiku untuk memeriksa dan menyelidiki dengan hikmat segala yang terjadi di bawah langkit. Itu pekerjaan yang menyusahkan yang diberikan Tuhan kepada anak-anak manusia untuk melelahkan diri!” (Pengkhotbah 1:13).

Seandainya kata-kata di atas diucapkan oleh seorang yang tidak terkemuka dan yang kelelahan, kita tidak akan merasa hairan. Akan tetapi kata-kata tersebut telah diucapkan oleh Raja Salomo yang paling berhikmat, kaya dan mempunyai paling banyak hamba-hamba di dalam sejarah manusia. Dia tidak perlu bekerja di mana masa dan fikirannya diluangkan untuk menikmati kekayaan dan keseronokkan. Walaupun begitu, Salomo juga merasai beban berat yang diletakkan oleh Tuhan ke atas manusia.

Tidak kira apakah status kewangan kita, bahu kita senantiasa dibebankan dengan tanggungjawab dan komitmen kepada gereja, keluarga, pekerjaan, kawan-kawan dan lain-lain. Inilah yang membawa kepada peningkatan gejala tekanan dan kemurungan di dalam masyarakat masa kini. Pengakuan Salomo ternyata benar di dalam kehidupan manusia hari ini – tidak ada seorangpun yang dapat bertahan terhadap kutukan Tuhan.

4. Kenikmatan material tidak dapat menghapuskan jerih payah di dunia.

Alkitab mencatatkan bahawa tidak ada seorangpun di dalam sejarah yang pernah dan akan memiliki semua kualiti seperti Salomo dari segi status, hikmat, pengetahuan, kekayaan dan kenikmatan. Walaupun Salomo mempunyai semua kekayaan yang diidam-idamkan di dunia, dia telah mengenal pasti bahawa Tuhan telah meletakkan beban yang berat di atas manusia. Salomo mengaku, “Aku tidak merintangi mataku dari apapun yang dikehendakinya, dan aku tidak menahan hatiku dari sukacita apapun.” (Pengkhotbah 2:10). Kita beranggapan bahawa dia adalah orang yang paling gembira di dunia. Sebaliknya, raja ini mengeluh dan berkata, “Ketika aku meneliti segala pekerjaan yang telah dilakukan tanganku dan segala usaha yang telah kulakukan untuk itu dengan jerih payah, lihatlah, segala sesuatu adalah kesia-siaan dan usaha menjaring angin; memang tak ada keuntungan di bawah matahari.” (Pengkhotbah 2:11). Kenikmatan material tidak akan menghapuskan segala kesusahan dalam dunia.

“Dan kebanggaannya adalah kesukaran dan penderitaan.” (Mazmur 90:10). “Manusia yang lahir dari perempuan singkat umurnya dan penuh kegelisahan.” (Ayub 14:1). Kehidupan ini ternyata penuh dengan jerih payah, kesedihan dan penderitaan yang berterusan dan sentiasa menghadapi halangan-halangan seperti semak duri dan rumput duri yang tumbuh dengan segera sebaik sahaja ia dicabut. Semua jerih payah, kesusahan dan penderitaan manusia adalah akibat dosa yang menyebabkan tanah dikutuk. (Kejadian 3:17-18, 5:29).

B. Ancaman maut.

“Hidup” adalah perjalanan dari buaian ke liang lahad. Manusia menuju ke arah maut pada hari dia dilahirkan. Maut melambangkan tirai penutupan untuk persembahan drama berjudul, “Hidup”. Untuk masa yang tertentu anda mungkin menumpukan perhatian anda terhadap persembahan anda – melanjutkan pelajaran, memajukan kerjaya, mendirikan rumahtangga atau terjerumus ke dalam kenikmatan kebendaan. Walaupun begitu, kita akan berundur dari pentas drama hidup satu hari nanti apabila persembahan ini sampai ke penghujungnya.

1.Hukuman maut ke atas semua yang telah berdosa.

“Sebab engkau debu dan engkau akan kembali menjadi debu.” (Kejadian 3:19). Inilah hukuman maut yang Tuhan jatuhkan ke atas Adam dan Hawa dan semua manusia. Tuhan telah mengatakan dengan jelas kepada manusia yang pertama, “Tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, jangan kau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kejadian 2:16,17).

Adam tidak mengenali maut di dalam kehidupannya yang bebas di Taman Eden. Walaupun begitu, sebaik sahaja Adam dan Hawa berdosa dengan memakan buah larangan, maut telah masuk ke dalam dunia. “Sebagaimana ia keluar dari kandungan ibunya, demikian juga ia akan pergi, telanjang seperti ketika ia datang dan tidak diperolehinya dari jerih payahnya suatupun yang dapat dibawa dalam tangannya. Sebagaimana, dia datang, demikianpun ia akan pergi…” (Pengkhotbah 5:15-16). Kenyataan maut adalah sama seperti hidup ini.

2.Tidak ada seorangpun yang berkuasa di atas maut.

Angan-angan untuk hidup selama-lamanya bukan sesuatu yang asing bagi kita. Terdapat banyak cerita mitos dan cerita dongeng yang menceritakan usaha manusia mencari hidup kekal. Kita telah menempuh cabaran yang berbeza pada hari ini. Memandangkan kita telah menerima kematian kita tanpa kerelaan hati, kita akan cuba memanjangkan hidup kita di dunia ini. Kita menjaga makanan kita, bersenam dan bersandar kepada perubatan moden. Walaupun begitu, kita sentiasa tidak faham bahawa selain daripada Tuhan, tidakk ada seorangpun yang berkuasa di atas hidup atau maut. Maut mungkin menimpa dengan mendadak dan tidak disangka-sangka. Ini disebabkan nyawa segala yang hidup dan nafas setiap manusia terletak di dalam tangan Tuhan. (Ayub 12:10).

“Tiada seorangpun berkuasa menahan angin dan tiada seorangpun yang berkuasa atas hari kematian…” (Pengkhotbah 8:8). Dunia ini adalah medan peperangan dan hidup ini pula adalah satu peperangan yang berlanjutan. Kehidupan kita selama beberapa dekad di dunia ini merupakan satu pergelutan untuk hidup, peperangan menghadapi malapetaka dan penderitaan serta kejahatan dan maut. Musuh utama kita adalah maut yang belum pernah dikalahkan oleh manusia.Tidak kira orang yang kaya dan berkuasa mahupun Raja Salomo, semuanya tidak dapat melepaskan diri dari cengkaman maut.

3. Rohani semua manusia mati sejak kejatuhan Adam.

Selain daripada kematian tubuh fizikal kita, kita juga harus mempunyai kesedaran akan kematian rohani. “Kematian rohani” bermaksud “dijauhkan dari hidup persekutuan dengan Tuhan.” Maksudnya tidak memiliki hidup yang rohani. (Efesus 4:18). Kerohanian kita telah mati sebelum kita dilahirkan dan ini berbeza dengan kematian tubuh jasmani kita yang berlaku di pengakhiran hidup kita.

“Tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” (Kejadian 2:17). Maksudnya Adam akan mati pada hari dia memakan buah larangan itu. Akan tetapi Adam tidak mati tubuh jasmaninya sehinggalah beberapa ratus tahun kemudian. (Kejadian 5:3-5). Ini bukanlah disebabkan firman Tuhan tidak digenapkan. Kata yang berbunyi, “pasti mati” bermaksud kematian rohani. Pada saat Adam memakan buah larangan itu, rohnya telah dipisahkan dari kehidupan persekutuan dengan Tuhan. Adam dan Hawa telah dijauhkan sama sekali daripada pohon kehidupan – hidup kekal. Apabila Paulus berkata, “Semua orang mati dalam persekutuan dengan Adam.” (1 Korintus 15:22), dia merujuk kepada kematian rohani. Oleh itu, setiap orang selepas Adam dan Hawa tidak mempunyai hidup yang rohani.

Alkitab mencatatkan bahawa Roh Tuhan telah memimpin Yehezkiel ke lembah yang penuh dengan tulang-tulang kering. (Yehezkiel Fasal 27). Lembah itu melambangkan dunia dan tulang-tulang itu adalah orang-orang yang hidup di dalam tubuh tetapi yang sudah mati kerohaniannya. Dunia ini seakan-akan satu liang lahad yang sangat besar dengan kotoran yang tidak dapat digambarkan. Orang-orang yang telah kehilangan kehidupan rohani mereka adalah seperti bangkai bernyawa yang masih hidup dalam tubuhnya tetapi telah mati di dalam kerohaniannya. Menurut Matius Fasal 8, semasa Yesus Kristus memberitakan Injil, seorang daripada murid-murid Yesus meminta kebenaran daripadaNya untuk menguburkan ayahnya sebelum mengikuti Tuhan. Yesus menjawabnya, “Ikutlah Aku dan biarlah orang-orang mati menguburkan orang-orang mati mereka.” Bagi manusia di dunia ini, orang yang dimasukkan ke dalam keranda dianggap mati dan mereka yang menguburkannya adalah orang-orang yang hidup. Akan tetapi mereka yang menguburkan orang mati juga dianggap mati oleh Tuhan kerana walaupun tubuh mereka hidup, rohani mereka sudah mati. Apa yang dikatakan Yesus bersamaan dengan penglihatan Yehezkiel.

“Sengat maut ialah dosa.” (1 Korintus 15:56). Maut menggunakan sengat maut untuk mengait semua orang berdosa di dunia sehingga mereka tidak dapat mengalahkan dosa dan maut. Mereka ditentukan untuk mati sebaik sahaja dilahirkan. Kehidupan rohani mereka bukan sahaja mati di dalam Adam tetapi kehidupan fizikal mereka juga akan mati. “Upah dosa ialah maut…” (Roma 6:23). “Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, kerana semua orang telah berbuat dosa.” (Roma 5:12).

C. Kemusnahan dunia.

Alkitab ini terdiri daripada beberapa buah buku yang terbahagi kepada Perjanjian Lama dan Baru. Ia bermula dengan Kejadian yang mencatatkan penciptaan langit, bumi dan segala isinya. Ia berakhir dengan buku Wahyu yang menubuatkan kemusnahan langit, bumi dan segala isinya. Dari sini kita tahu bahawa cakrawala ini diciptakan dalam satu hari dan dimusnahkan dalam satu hari juga. Ia sama seperti manusia yang mempunyai tarikh kelahiran dan tarikh kematian. Manusia akan mati kerana mereka telah berdosa. Sama juga, dunia ini akan dimusnahkan kerana dosa-dosa semua manusia di dunia. Tiga nubuat yang berikutnya menunjukkan kemusnahan dunia yang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Ia juga memberitahu kita bahawa dosa-dosa manusia adalah sebab-sebab kemusnahan dunia.

1. Peristiwa-peristiwa bersejarah digenapkan dalam nubuat Yesaya.

“Merataplah, sebab hati Tuhan sudah dekat, datangnya sebagai pemusnahan dari Yang Mahakuasa. Sebab itu semua tangan akan menjadi lemah lesu, setiap hati manusia akan menjadi tawar, dan mereka akan terkejut. Sakit mulas dan sakit beranak akan menyerang mereka. Mereka akan menggeliat kesakitan seperti perempuan yang melahirkan. Mereka akan berpandang-pandangan dengan tercengang-cengang, muka mereka seperti orang yang demam. Sungguh, hari Tuhan datang dengan kebengisan, dengan gemas dan dengan murka yang menyala-nyala untuk membuat bumi menjadi sunyi sepi dan untuk memunahkan daripadanya orang-orang yang berdosa. Sebab bintang-bintang dan gugusan-gugusannya di langit tidak akan memancarkan cahayanya, matahari akan menjadi gelap pada waktu terbit, dan bulan tidak akan memancarkan sinarnya. Kepada dunia akan Kubalaskan kejahatannya dan kepada orang-orang pemberani akan Kuhentikan, dan kecongkakan orang-orang yang gagah akan Kupatahkan. Aku akan membuat orang lebih jarang daripada emas tua, dan manusia lebih jarang daripada emas Ofir. Sebab itu Aku akan membuat langit gementar, dan bumipun akan bergoncang dari tempatnya, pada waktu amarah Tuhan semesta alam, dan pada hari murkaNya yang menyala-nyala.” (Yesaya 13:6-13)

Petikan di atas adalah ramalan mengenai kemusnahan Babel. Semasa nabi Yesaya menubuatkan hal ini, kerajaan Syria sedang berkembang maju sementara kerajaan Babel belum lagi ditubuhkan. Apabila empayar Babel ditubuhkan, ia telah menghapuskan Yehuda dan menawan banyak orang ke Babel. Pada tahun 536 S.M., Tuhan telah membangkitkan Raja Persia iaitu Golial yang telah bersekutu dengan tentera Persia dan Medes untuk menggulingkan Babel. (Yesaya 13:6). Peristiwa-peristiwa dalam sejarah ini telah menggenapkan nubuat Yesaya:

* “Hari Tuhan” dinyatakan sebanyak dua kali (Yesaya 13:6,9) – satu rujukan di dalam Alkitab yang menunjukkan pengakhiran dunia. (Yoel 2:1,11; 13:14; Amos 5:8, 20; Zefanya 1:14; Zakaria 14:1; Maleakhi 4:5; Wahyu 6:17).

* “Bintang-bintang dan gugusannya di langit tidak akan memancarkan cahayanya.”

* (Yesaya 13:10). Satu peristiwa yang menggambarkan pengakhiran dunia sebagaimana yang telah digambarkan di dalam Alkitab. (Matius 24:29; Wahyu 6:12-13).

* Langit gementar dan bumi bergoncang dari tempatnya (Yesaya 13:13). Ini juga digambarkan sebagai pengakhiran dunia dalam Matius 24:29, Ibrani 1:12 dan Wahyu 6:14. Kesemua ini berpunca dari dosa manusia.

Alkitab menwahyukan kemusnahan dunia.

2. Buku Wahyu mencatatkan penglihatan Yohanes mengenai kemusnahan dunia.

Kemudian daripada itu aku melihat seorang malaikat lain turun dari Syurga. Ia mempunyai kekuasaan besar dan bumi menjadi terang oleh kemuliaanNya. Dan dia berseru dengan suara yang kuat, katanya ‘Sudah roboh! Sudah roboh Babel, kota besar itu!’… Lalu aku mendengar suara lain dari Syurga berkata: ‘Pergilah kamu, hai umatKu, pergilah daripadanya supaya kamu jangan mengambil bahagian dalam dosa-dosanya. Sebab dosa-dosanya telah bertimbun-timbun sampai ke langit dan Tuhan telah mengingat segala kejahatannya.’

Sebab itu segala malapetakanya akan datang dalam satu hari, iaitu sampar dan perkabungan dan kelaparan. Dia akan dibakar dengan api kerana Tuhan yang menghakimi dia adalah kuat.

Dan seorang malaikat yang kuat, mengangkat sebuah batu sebesar batu kilangan, lalu melemparkannya ke dalam laut, katanya: ‘Demikianlah Babel, kota besar itu akan dilemparkan dengan keras ke bawah dan ia tidak akan ditemukan lagi.’ (Wahyu 18:1-5,8,21)

Nubuat di atas memperkatakan kemunculan Tuhan Yesus yang digambarkan sebagai ‘malaikat yang mempunyai kekuasaan besar’ (Fasal 1) atau ‘malaikat yang kuat’ (Fasal 21). Ia juga digambarkan dengan cara yang sama dalam bahagian-bahagian Wahyu yang lain (7:2, 10:1). Apabila Dia turun dari langit ke bumi, bumi akan bersinar kerana kemuliaanNya (Yehezkiel 43:2).

Tambahan pula, penglihatan Yohanes juga menggambarkan betapa cepat dan menakutkan peristiwa yang akan berlaku – ‘malapetakanya akan datang dalam satu hari’ (Wahyu 18:8),” “dalam satu jam sahaja” (Fasal 10).” Dalam satu jam sahaja kekayaan sebanyak itu sudah binasa.” (Fasal 17) dan “dalam satu jam sahaja ia sudah binasa.” (Fasal 19).

3. Tidak ada seorangpun yang boleh melepaskan diri dari murka Tuhan.

Maka aku melihat, ketika Anak Domba itu membuka meterai yang keenam, sesungguhnya terjadilah gempa bumi yang dahsyat dan matahari menjadi hitam bagaikan karung rambut dan bulan menjadi merah seluruhnya bagaikan darah. Dan bintang-bintang di langit berjatuhan ke atas bumi bagaikan pohon ara menggugurkan buah-buahan yang mentah, apabila ia digoncang angin yang kencang. Maka menyusutlah langit bagaikan gulungan kitab yang digulung dan tergeserlah gunung-gunung dan pulau-pulau dari tempatnya. Dan raja-raja di bumi dan pembesar-pembesar serta perwira-perwira, dan orang-orang kaya serta orang-orang berkuasa dan semua budak serta orang merdeka bersembunyi di dalam gua-gua dan celah-celah batu karang di gunung. Dan mereka berkata kepada gunung-gunung dan kepada batu-batu karang itu: “Runtuhlah menimpa kami dan sembunyikan kami terhadap Dia, yang duduk di atas takhta dan terhadap murka Anak Domba itu.” Sebab sudah tiba hari besar murka mereka dan siapakah yang dapat bertahan? (Wahyu 6:12-17)

Betapa menggerun dan menakutkan gambaran kemusnahan ini! Apabila Hari yang akhir itu tiba, tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan diri dari murka Tuhan. Tidak ada tempat perlindungan yang selamat – baik di bawah tanah, di dalam gua, di dalam laut mahupun di langit. (Amos 9:1-3, Obadiah 4). Pada hari itu, matahari dan bulan tidak akan bersinar, bintang-bintang akan berjatuhan dan semua unsur-unsur dunia akan dimusnahkan oleh api. (2 Petrus 3:10). Cakrawala ini akan menjadi kosong seperti sebelum penciptaan dunia. (Kejadian 1:2). Tidak ada sesiapa yang dapat melepaskan diri dari hari kemusnahan besar yang pasti berlaku. Oleh itu Tuhan Yesus berkata, “Orang akan mati ketakutan kerana kecemasan berhubung dengan segala apa yang menimpa bumi ini…” (Lukas 21:26).

Berapa lamakah kehidupan di dalam dunia yang penuh kejahatan ini lagi? Bilakah dunia ini akan berdepan dengan kemusnahan yang besar? Tuhan Yesus berkata, “Tetapi tentang hari dan saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di Syurgapun tidak .” (Matius 24:36). Akan tetapi daripada catatan di dalam Matius 24 mengenai “tanda-tanda pada akhir zaman” termasuk penggenapan beberapa tanda-tanda ini, kita dengan yakin dapat mengatakan bahawa pengakhiran dunia sudah dekat. Kemusnahan yang besar akan datang! “…ketahuilah bahawa waktunya sudah dekat, sudah di ambang pintu.” (Matius 24:33).

D. Penghakiman selepas maut.

“Dan sama seperti manusia ditetapkan untuk mati hanya satu kali saja, dan sesudah itu dihakimi.” (Ibrani 9:27 ). Maut ditakdirkan oleh Tuhan kerana upah dosa adalah maut (Roma 6:23) kerana manusia berdosa maka maut telah menjalar kepada semua makhluk yang fana. (Roma 3:23, 5:12). Kedua-dua maut dan penghakiman adalah ditakdirkan. Manusia tidak dapat melarikan diri dari maut mahupun melepaskan diri dari penghakiman. Terdapat kematian tubuh jasmani dan kematian rohani yang kekal. Kematian fizikal adalah menyakitkan di mana ia akan memusnahkan kita buat selama-lamanya dengan orang yang kita sayangi dan meninggalkan semua yang kita miliki di dunia. Walaupun begitu, kematian rohani lebih menggerunkan.

Pada waktu Tuhan Yesus dari dalam syurga menyatakan diriNya bersama-sama dengan malaikat-malaikatNya di dalam kuasaNya di dalam apiNya yang bernyala-nyala. Dia akan mengadakan pembalasan terhadap mereka yang tidak mahu mengenal Tuhan dan tidak mentaati Injil Yesus, Tuhan kita. Mereka ini akan menjalani hukuman kebinasaan selama-lamanya dan dijauhkan dari hadirat Tuhan dan dari kemuliaaan kekuatanNya. (2 Tesalonika 1:7-9)

Kedatangan Yesus yang pertama kali adalah untuk menggenapkan keselamatan melalui kayu salib supaya “setiap orang yang percaya kepadaNya tidak binasa, melainkan perolehi hidup yang kekal.” (Yohanes 3:16). Tetapi kedatanganNya yang kedua kali adalah untuk menghukum mereka yang tidak menyembah Tuhan yang Benar dan yang tidak mentaati Injil Tuhan Yesus Kristus. Mereka yang dikutuk akan binasa untuk selama-lamanya. Fasal yang berbunyi, “dipisahkan dari kemuliaan kekuasaanNya” bermaksud orang-orang berdosa akan dipisahkan dari kasih Tuhan. Mereka akan dicampakkan ke dalam kegelapan yang kekal sebagai hukuman mereka.

Janganlah kamu hairan akan hal itu, sebab saatnya akan tiba, bahawa semua orang yang di dalam kuburan akan mendengar suaraNya, dan mereka yang telah berbuat baik akan keluar dan bangkit untuk hidup yang kekal tetapi mereka yang telah berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum. (Yohanes 5:28-29)

Apabila Tuhan Yesus datang lagi, semua yang telah mati akan dibangkitkan sama ada mereka yang diselamatkan atau tidak. Mereka akan keluar dari kubur-kubur mereka untuk menghadapi penghakiman. Mereka yang telah berbuat baik akan mewarisi hidup kekal dan mereka yang berbuat jahat akan dihukum. “Mereka yang berbuat baik” ditujukan kepada mereka yang menyembah Tuhan yang Benar, berpegang kepada perintah-perintah Tuhan Yesus Kristus, yang melakukan kehendak Bapa di Syurga. Mereka yang melakukan hal-hal yang bertentangan dengan ini adalah mereka yang jahat.

Tuhan Yesus Kristus adalah Tuhan yang menghakimi.

“Takutlah terutama kepada Dia yang berkuasa membinasakan baik jiwa mahupun tubuh di neraka.” (Matius 10:28). Maksud amaran Yesus adalah:

* Kita harus takut kepada Tuhan. (Ibrani 10:31, 12:29), Hanya Dia yang berkuasa menghakimi orang-orang hidup dan orang-orang mati. (Yohanes 5:27, Kisah Para Rasul 10:42).

* Selepas penghakiman yang terakhir, semua orang berdosa akan dibuang ke dalam neraka untuk penghukuman yang kekal.

* Bukan sahaja tubuh fizikal yang akan binasa tetapi jiwa akan turun ke neraka juga.

“Mulai dari jam dua belas kegelapan meliputi seluruh daerah itu sampai jam tiga” (Matius 27:45). Jangkamasa  (jam dua belas hingga jam tiga petang) ini adalah masa yang paling terang dalam satu hari. Seandainya kegelapan meliputi langit pada masa itu, keadaan pada masa itu tentu sekali menggerunkan. Keadaan ini mengingatkan kita kepada masa kedatangan Kristus lagi – matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak bercahaya. (Matius 24:29). Kematian Kristus adalah “kematian orang benar untuk orang yang tidak benar.” (1 Petrus 3:18). Apabila Dia memikul kelemahan-kelemahan kita dan disalibkan, Tuhan telah curahkan murkaNya terhadap Dia. Oleh itu matahari dan bulan tidak lagi bersinar dan ketakutan meliputi langit dan bumi. Inilah keadaannya apabila Kristus datang dalam api untuk menghakimi dunia.

Bagaimanakah penghakiman di neraka? Yesus memberitahu kita bahawa ulat-ulat bangkai tidak akan mati dan api tidak padam di neraka. (Markus 9:48). Digigit oleh ulat-ulat dan dibakar oleh api yang tidak padam merupakan penghukuman yang dahsyat. Di dalam Alkitab, neraka digambarkan sebagai “lautan api”. (Wahyu 20:14), “api yang kekal” (Matius 25:41, Yudas 7) atau “tempat siksaan yang kekal” (Matius 25:46).

Daripada salah satu perumpamaan di dalam Alkitab, kita mendapat satu gambaran sepintas lalu tentang betapa menderita dan tegasnya penghukuman di neraka kelak. Ia memperkatakan tentang seorang kaya yang tidak dapat menanggung penyiksaan di neraka lalu berseru, katanya: Bapa Abraham, kasihanilah aku. Suruhlah Lazarus supaya dia mencelupkan hujung jarinya ke dalam air dan menyejukkan lidahku sebab aku sangat kesakitan dalam nyala api ini.” (Lukas 16:24).

Demi kasihNya terhadap manusia, Tuhan Yesus Kristus kita telah menanggung penyiksaan yang dahsyat di neraka. Tuhan Yesus berseru dengan suara yang nyaring, “TuhanKu, TuhanKu, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Mengapakah Yesus berseru dengan nyaring kali ini? Tuhan Yesus telah menanggung penyesahan, mahkota duri dan kesakitan disalibkan dengan senyap. (Yesaya 53:7). Walaupun begitu, seruanNya yang penuh dengan penderitaan terjadi di atas kayu salib. Inilah saat yang paling menyakitkan dan tidak dapat ditahanNya. Apabila Tuhan menjauhkan diri dariNya, itu merupakan saat di mana roh Tuhan Yesus dihukum di neraka. (2 Tesalonika 1:9).

Setelah kebangkitan Tuhan Yesus Kristus, Petrus telah memetik Mazmur Daud yang berbunyi, “Engkau tidak menyerahkan aku kepada dunia orang mati dan tidak membiarkan orang kudusMu melihat kebinasaan.” (Kisah Para Rasul 2:27). Dari sini, kita tahu bahawa Tuhan Yesus ternyata telah diturunkan ke neraka untuk menanggung kesalahan-kesalahan dunia. Walaupun begitu, Tuhan tidak mengabaikan Yesus dan membiarkan Dia di neraka. Apabila Tuhan Yesus mati, tubuhNya tidak reput. Sebaliknya, Dia telah dibangkitkan semula.

ADAKAH KITA BERPENGHARAPAN?

Penghukuman dosa ternyata menggerunkan tetapi Tuhan Yesus mempunyai kasih yang berkelimpahan. Dia ingin setiap manusia percaya dan taat kepada perintah-perintahNya. Yesus akan mengampuni dosa-dosa mereka yang percaya kepadaNya dan murka Tuhan dijauhkan dari mereka supaya mereka akan didamaikan semula dengan Tuhan. (Roma 5:8-10).

Janganlah tawar hati dengan akibat-akibat dosa – penderitaan, maut, penghakiman dan kemusnahan dunia yang tidak dapat dielakkan – pengharapan masih ada. Walaupun kita tidak dapat melarikan diri daripada penderitaan di dunia, kita mempunyai harapan untuk menikmati hidup yang lebih baik daripada hidup di dunia ini. Hidup yang baru ini bukan sahaja membahagiakan tetapi ia juga berkekalan. Ada di antara kita yang mempunyai pengharapan ini dan pengharapan kita adalah di dalam Tuhan Yesus Kristus! Anda akan mencari jalan mendapatkan pengharapan ini dan mempunyai keyakinan terhadap keselamatan anda dalam dua buku yang akan datang. Percaya kepada Yesus dan Kembali ke Gereja Yang Benar.

Buku-buku ini akan menjelaskan bagaimana anda mendapatkan kedamaian, didamaikan dengan Tuhan dan mendapatkan semula hidup kekal yang bernilai itu. Selagi anda mengikuti langkah-langkah yang betul, anda akan melihat terang yang mulia di penghujung tangga anda – Tangga Ke Syurga.

Glosari

Rasul Orang yang diutus oleh Tuhan Yesus Kristus.

Alkitab : Firman Tuhan kepada manusia secara bertulis.

Kristus : Yang diurapi; Yesus – Juru Selamat yang dinubuatkan di dalam Perjanjian Lama.

Kristian : Seorang pemercaya Yesus Kristus yang dipanggil untuk menjadi serupa denganNya.

Gereja : Jemaat yang ditebus oleh darah Kristus.

Salib : Binaan yang dibuat untuk menjatuhkan hukuman mati ke atas penjenayah.

Syurga : Tempat tinggal Tuhan yang kekal abadi. Tempat tinggal yang disediakan Tuhan untuk orang-orang yang selamat.

Neraka : Tempat penyiksaan yang tak terhingga. Disediakan untuk Iblis dan roh-roh yang tidak diselamatkan.

Roh Kudus : Roh Tuhan. Di dalam Perjanjian Baru, Roh Kudus yang dijanjikan diam di dalam pemercaya sebagai Penghibur pribadi kita.

Ketidakadilan : Ketidakbenaran terhadap ukuran Tuhan yang mutlak dan terhadap hati nurani manusia.

Yesus : Nama Tuhan, penjelmaan Tuhan dalam rupa manusia sebagai Juru Selamat manusia.

Perumpamaan: Pengajaran rohani yang disampaikan secara lisan melalui kaedah membayangkan sesuatu keadaan.

Nubuat : Ramalan yang diilhamkan secara rohani ataupun pesan yang disampaikan sebagai peringatan atau sebagai galakkan.

Syaitan : kuasa roh yang jahat; musuh utama Tuhan dan umatNya.

Dosa : satu perbuatan yang tidak taat terhadap perintah-perintah Tuhan.

Perjanjian ( Lama dan Baru ) : Perjanjian Tuhan dengan manusia; pembahagian yang utama dalam Alkitab ( Perjanjian Baru bermula dengan Kelahiran Yesus Kristus ).

Pelanggaran : Melampaui batas-batas yang ditetapkan dalam perintah-perintah Tuhan.

Kuasa Dosa
| |

Kuasa Dosa

Kelemahan-kelemahan kita terhadap dosa telah didedahkan melalui pengalaman seharian kita. Kita seringkali ingin memberi wang dan masa yang lebih kepada mereka yang miskin atau membahagi-bahagikan Injil dengan mereka yang kita kenal. Walaupun begitu, kita tidak berupaya mencapai sebarang hajat yang diharapkan. Pada masa yang sama, kita cuba membela perbuatan-perbuatan kita yang tidak bermoral dengan alasan bahawa perbuatan tersebut tidak tergolong sebagai “dosa”. Bukankah kita sendiri yang “berkuasa” di atas segala pemikiran dan perbuatan kita? Seandainya kita sedar perbezaan di antara kebaikan dan kejahatan, mengapakah kita seringkali gagal melakukan kebaikan? Mengapakah hati nurani kita sering tertekan oleh segala perbuatan kita? Ini disebabkan kita tidak dapat mengalahkan kuasa dosa!

A. Kesukaran mengalahkan hukum dosa.

1. Hukum dosa berkuasa di atas manusia.

Dalam suratnya kepada pemercaya di Roma, rasul Paulus telah mencatatkan dengan terperinci kuasa hukum dosa yang menakutkan. Dia juga menyatakan tentang kelemahan-kelemahannya dan penyiksaan yang dialaminya di bawah kuasa hukum ini. Dia berkata, “Sebab di dalam batinku, aku suka akan hukum Tuhan.” (Roma 7:22). Kesukaannya itu mencerminkan kesedaran hati nuraninya yang tidak dapat disangkal. Walaupun begitu, satu konflik dalaman wujud, “Sebab apa yang aku perbuat, aku tidak tahu. Kerana bukan apa yang aku kehendaki yang aku perbuat, tetapi apa yang aku benci, itulah yang aku perbuat.” (Roma 7:15). Keinginan untuk berbuat baik wujud dalam dirinya akan tetapi dia tidak berupaya melakukannya. Selain daripada hati nuraninya, dia dapati bahawa hukum dosa juga wujud dalam dirinya dan ini telah menjadi penghalang kepadanya daripada melakukan kebaikan. (Roma 7:23).

2. Dosa menawan manusia.

Kita dapat menggambarkan Paulus sebagai “askar Kristus” yang gagah berani melalui surat-suratnya. Dia telah menggenapkan misi pemberitaan Injil walaupun nyawanya sering terancam. Masyarakat Kristian menghormati Paulus sebagai pemercaya yang diteladani. Banyak tempat dinamakan sempenanya. Walaupun begitu, pengakuan-pengakuannya dalam buku Roma menunjukkan bahawa Paulus sama seperti kita yang sentiasa bergelut dengan dosa. Mengapakah kuasa dosa tidak dapat dibendung? Paulus menyatakan bahawa dia bersifat daging dan terjual di bawah kuasa dosa. (Roma 7:14). Dia juga bersaksi bahawa hukum lain di dalam anggota-anggota tubuhnya berjuang melawan hukum akal budinya (hati nurani) dan membuat dia menjadi tawanan hukum dosa. (Roma 7:23). Dia tidak melakukan kebaikan yang ingin dilakukan sebaliknya dia melakukan kejahatan yang tidak ingin dilakukannya. Ini bukanlah disebabkan dia tidak mahu melakukan kebaikan tetapi dia tidak dapat mengalahkan keinginannya dengan bertekad. Dia melakukan kejahatan bukan di atas kehendaknya tetapi di atas dosa yang diam di dalamnya. (Roma 7:17, 20). Sebagai kesimpulannya, dia telah mengeluh dengan berkata, “Aku manusia celaka! Siapakah yang akan melepaskan aku dari tubuh maut ini?” (Roma 7:24).

3. Dosa melemahkan manusia.

Demikianlah aku dapati hukum ini: jika aku mengkehendaki berbuat apa yang baik, yang jahat itu ada padaku.” (Roma 7:21). “Dosa berkuasa…” (Roma 5:21).

Kedua ayat dari Paulus ini adalah anotasi yang paling baik untuk menggambarkan kuasa dosa ke atas manusia.

Pengakuan Paulus menggambarkan keadaan kita yang sama di mana segala kesukacitaan dan kedukacitaannya tergambar di dalam hati kita. Mereka yang bertekad melakukan kebaikan dan bukan kejahatan akan faham bahawa mereka tidak berkuasa di bawah hukum dosa.

4. Dosa menghuru-harakan dunia.

Dosa berkuasa di bumi dan menghapuskan manusia. Sasarannya yang awal adalah terhadap individu dan terus menjalar kepada keluarga, masyarakat dan dunia secara amnya. Dosa menghalang setiap di antara kita dari melakukan kebaikan yang tersirat tetapi ia menyebabkan kita melakukan kejahatan yang tidak ingin kita lakukan. (Roma 7:15,19). Seandainya dosa berkuasa di atas setiap anggota keluarga, perselisihan tidak akan dapat dielakkan dalam kehidupan berkeluarga. Seandainya dosa berkuasa di atas semua manusia secara amnya, dunia ini tidak akan mempunyai kedamaian.

Sejarah telah menunjukkan bahawa dunia belum pernah mengalamai kedamaian semenjak penubuhan negara-negara. Adakalanya kita menyaksikan pembunuhan yang sia-sia dalam setengah daripada konflik-konflik ini. Mengapakah kita mahu mencari kemusnahan dan tidak saling bantu membantu? Mengapakah banyak perselisihan faham, pertengkaran, kebencian, pergaduhan, pembunuhan, keganasan dan peperangan timbul? Semuanya ini disebabkan dosa.

B. Semua orang terjerumus di dalam dosa.

Apa yang telah dipelajari setakat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa kita adalah tawanan dosa kerana dosa berkuasa di dalam hati kita. (Roma 5:21, 7:23). Sehubungan dengan itu, dosa mengawal dan memperhambakan kita semua. (Roma 7:14, 18-20, Yohanes 8:34).

1. Dosa menyebabkan semua orang jatuh tersandung.

Tuhan Yesus kita berkata, “Tidak mungkin pohon yang baik itu menghasilkan buah yang tidak baik.” (Matius 7:18). Adalah mustahil untuk sepohon pokok menukar cirinya yang semulajadi. Kita juga berdosa kerana kita kekurangan kuasa untuk menukar sifat semulajadi kita yang cenderung kepada kejahatan. Sayang sekali kerana kita tidak dapat menahan diri dari berdosa! Dosa ini bagaikan jurang yang sangat dalam di mana manusia jatuh ke dalamnya. Tidak ada seorangpun yang dapat menyelamatkan dirinya atau orang lain.

2. Menurut ukuran Alkitab semua manusia adalah orang-orang berdosa.

Seseorang mungkin mengemukakan persoalan, “Apakah jenis perbuatan jahat yang dianggap berdosa?” Dosa adalah perbuatan-perbuatan yang melanggar hukum Tuhan. (I Yohanes 3:4). Hukum-hukum Tuhan adalah Kesepuluh Firman: Jangan ada padamu allah lain, jangan membuat sebarang patung berhala, jangan menyebut nama Tuhan dengan sembarangan, memperingati dan menguduskan hari Sabat, hormati ayah dan ibumu, jangan membunuh, jangan berzinah, jangan mencuri, jangan bersaksi dusta dan jangan mengingini apa sahaja yang dimiliki oleh sesamamu. (Keluaran 20:3-17). Berdasarkan ukuran-ukuran ini, adakah sesiapa yang dapat mengaku dengan jujur bahawa dia tidak berdosa dalam hukum-hukum Tuhan?

Apabila Yesus Kristus datang memberitakan firman Tuhan, Dia telah meninggikan standard yang Tuhan tetapkan untuk manusia. Mula-mula Tuhan Yesus menyatakan pandanganNya terhadap Hukum – Kesepuluh Firman. “Janganlah kamu menyangka, bahawa Aku datang untuk meniadakan hukum Taurat atau kitab para nabi. Aku datang bukan untuk meniadakahnya, melainkan untuk menggenapinya (Matius 5:17). Yesus Kristus menggambarkan pengharapanNya terhadap murid-muridNya dengan berkata, “Kamu telah mendengar yang difirmankan kepada nenek moyang kita: Jangan membunuh; siapa yang membunuh harus dihukum. Tetapi Aku berkata kepadamu: Setiap orang yang marah terhadap saudaranya harus dihukum…” (Matius 5:21, 22). Sehubungan dengan itu, Yesus juga berkata bahawa setiap orang yang memandang perempuan serta mengingininya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya. (Matius 5:28) Oleh itu, Yesus bukan sahaja mengkehendaki kita memelihara diri daripada perbuatan-perbuatan fizikal yang jahat tetapi dia juga mengkehendaki kita memelihara hukum-hukum Tuhan di dalam hati kita.

Selain daripada Yesus Kristus, tidak ada seorangpun yang tidak berdosa. Berdasarkan tata keadilan negara, kita berkemungkinan merupakan warganegara yang belum pernah melanggar undang-undang. Walaupun begitu, segala sesuatu terkurung di bawah kekuasaan dosa dan kita semua adalah orang-orang berdosa yang malang menurut ukuran Alkitab. (Galatia 3:22).

3. Manusia terjerumus ke dalam pelbagai dosa.

Selain daripada Kesepuluh Firman, kita telah kenalpasti bahawa terdapat perbuatan-perbuatan kita yang lain yang berkemungkinan membangkitkan murka Tuhan. Paulus menyatakan bahawa murka Tuhan nyata dari Syurga atas segala kefasikan dan kelaliman manusia yang menindas kebenaran dengan kelaliman. (Roma 1:18). Ini disebabkan keinginan hati mereka akan mencemarkan tubuh mereka termasuk perbuatan homoseks. (Roma 1:24,26,27). Memandangkan “mereka beranggapan firman Tuhan tidak perlu dipelihara”, maka fikiran mereka yang cemar itu akan mempengaruhi perbuatan mereka sehingga mereka melakukan apa yang tidak patut.

Mereka penuh dengan rupa-rupa kelaliman, kejahatan, keserakahan dan kebusukan, penuh dengan dengki, pembunuhan, perselisihan, tipu muslihat dan kefasikan. Mereka adalah pengumpat, pemfitnah, pembenci Tuhan, kurang ajar, congkak, sombong, pandai dalam kejahatan, tidak taat kepada orang tua, tidak berakal, tidak setia, tidak penyayang, dan tidak mengenal belas kasihan. ( Roma 1:29-31 )

Dari catatan di atas, kita dapati bahawa hati kita adalah dipenuhi dengan segala fikiran yang jahat setiap hari. Perbuatan-perbuatan kecil yang kita lakukan setiap hari seperti kecongkakan, kesombongan ataupun mengumpat adalah tergolong sebagai dosa juga. Selain daripada Kesepuluh Firman, bolehkah kita mengaku bahawa kita tidak melanggar satu daripada dosa-dosa yang tercatat di atas?

4. Manusia jatuh ke dalam dosa kerana mereka tidak mengenali Tuhan.

Daripada catatan Paulus, kita dapati bahawa “sikap manusia yang tidak mengakui Tuhan” adalah punca segala dosa. “Dan kerana mereka merasa tidak perlu untuk mengakui Tuhan, maka Tuhan menyerahkan mereka kepada fikiran-fikiran yang terkutuk sehingga mereka melakukan apa yang tidak pantas.” (Roma 1:28). Logik berdasarkan hujah dunia ini berbunyi, seandainya tidak ada Tuhan, hukuman di atas dosa tidak akan wujud. Seandainya tidak ada hukuman, manusia boleh melakukan apa sahaja. Corak pemikiran ini disokong oleh ahli falsafah eksistensialisme, Jean Paul Sarte. Dia membuat penaakulan bahawa tanpa kewujudan Tuhan segala sesuatu diperbolehkan.

Dalam mazmurnya, Raja Daud mengatakan orang-orang fasik melakukan kejahatan tanpa merasa bersalah kerana mereka tidak mengenali Tuhan. Dia berkata, “Kerana congkak, orang fasik tidak mencari Dia, Tuhan tidak wujud di dalam fikiran mereka…” Dia berkata dalam hatinya, “Aku takkan goyang. Aku tidak akan ditimpa malapetaka turun temurun…” (Mazmur 10:4,6). Orang bebal berkata di dalam hatinya: “Tidak ada Tuhan.” Busuk dan jijik perbuatan mereka, tidak ada yang berbuat baik.” (Mazmur 14:1).

5. Keengganan menyembah Tuhan yang benar menuju kepada dosa.

Di antara semua dosa di dalam dunia ini, yang mana satukah yang paling serius? Adakah mencuri, menipu atau membunuh? Bukan kesemua di atas. Dosa yang paling berat adalah keengganan menyembah Tuhan yang Benar. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Paulus, segala dosa berpunca dari keengganan mengakui Tuhan. Seandainya manusia enggan mengakui Tuhan maka mereka tidak percaya kepada penghakiman Tuhan. Mereka akan bertindak sesuka hati walaupun ianya akan melukai orang lain. Dari sini, kita dapat lihat perhubungan di antara keengganan mengakui Tuhan dengan dosa.

Alkitab menyatakan, “Takutlah akan Tuhan dan berpeganglah pada perintah-perntahNya kerana ini adalah kewajipan setiap orang.” (Pengkhotbah 12:13). Mengapakah takut akan Tuhan dan berpegang kepada perintah-perintahNya menjadi kewajipan kita? Ini disebabkan kita adalah ciptaan Tuhan dan Dia adalah Bapa kepada semua manusia. Marilah kita mengambil contoh perhubungan semulajadi di antara ibu bapa dengan anak. Sebagai ibu bapa, kita membesar dan mendidik anak-anak kita dengan kasih. Oleh itu, kita berharap anak-anak kita akan menghormati dan taat kepada kita. Sehubungan dengan itu, kita akan dilukai dan kecewa seandainya anak-anak kita menentang kita dan tidak mengakui serta tidak menghormati kita sebagai ibu bapa. Anak-anak itik pun menyahut dan mengikuti panggilan ibunya. Oleh itu kita haruslah lebih mendengar suara ibu bapa kita.

Tuhan memberikan kita kehidupan dan segala di dalam dunia ini untuk membantu kita. Tetapi Dia hanya meminta kita menghormati dan taat kepadaNya. Adakah kita tidak dapat dibandingkan dengan anak-anak itik yang dapat mengenali suara ibu mereka?

Takutlah akan Tuhan dan berpeganglah kepada perintah-perintahNya kerana ini adalah kewajipan setiap orang. (Pengkhotbah 12:13)

Punca Dosa
| |

Punca Dosa

Nenek moyang kita, Adam dan Hawa tinggal di Taman Eden. Taman Eden yang cantik ini disediakan oleh Tuhan yang merupakan Pencipta dan Penopang alam semesta ini. Tuhan menyerahkan taman ini kepada Adam dan melarangnya memakan buah dari pohon pengetahuan tentang yang baik dan jahat. Tuhan juga memberi amaran kepadanya tentang akibat-akibat yang akan ditanggungnya sekiranya dia melanggar perintah Tuhan. Dia menyediakan seorang pembantu untuk Adam, iaitu Hawa, agar mereka berdua dapat berkuasa di atas semua makhluk hidup. Walaupun begitu, pada suatu hari, nenek moyang kita jatuh ke dalam pencobaan dan memakan buah larangan tersebut.

Inilah kelahiran sejarah manusia. Ia merupakan punca dosa, asal-usul semua kejahatan dan permulaan kemusnahan dunia.

A) Nenek moyang kita berdosa.

1) Nenek moyang kita membuat pilihan untuk melanggar hukum Tuhan.

Tuhan memberikan perintah kepada Adam, nenek moyang manusia, “Semua pohon dalam taman ini boleh kau makan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu janganlah kau makan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati.” ( Kejadian 2:16-17 ). Pada mulanya, ini adalah satu hukum Tuhan yang pertama untuk dipatuhi oleh manusia. Tuhan telah mengasaskan hukum ini untuk memelihara ketenteraman di dalam alam semesta ini. Tuhan yang menjadikan bumi dan segala isinya adalah Tuhan di Syurga dan bumi. ( Kisah Para Rasul 17:24 ). Dia mencipta manusia dan memelihara mereka ( Kisah Para Rasul 17:26,28 ). Oleh itu, manusia mesti berpegang kepada hukum yang diasaskan oleh Tuhan sebagaimana langit patuh kepada hukum-hukum Tuhan. ( Mazmur 103:19-22 ). Walaupun begitu, Adam dan Hawa mendengar Iblis lalu menentang perintah Tuhan dengan memakan buah larangan itu. ( Kejadian 3:1-6 ). Dengan melanggar hukum Tuhan, nenek moyang kita telah berdosa.

2. Adam dan Hawa membuat pilihan tidak mentaati Tuhan.

Seseorang mungkin bertanya,”Mengapakah Tuhan membenarkan buah larangan itu wujud?” Seandainya Dia tidak mencipta pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat, Adam dan Hawa tidak mungkin berdosa. Kita mungkin menyalahkan buah larangan di dalam Taman Eden sebagai punca pelanggaran nenek moyang kita. Akan tetapi, seandainya mereka enggan mematuhi kehendak Tuhan, mereka juga akan melakukan dosa-dosa lain selain daripada memakan buah larangan. Menurut Paulus,”Hukum Taurat itu bukanlah bagi orang yang benar melainkan bagi orang durhaka dan orang lalim, bagi orang fasik dan orang yang berdosa… dan seterusnya segala sesuatu yang bertentangan dengan ajaran sihat” ( I Timotius 1:9-10 ).

3. Adam dan Hawa membuat pilihan untuk menurut keinginan hawa nafsu.

Tuhan berkata,”Aku memberikan kepadamu segala tumbuhan-tumbuhan yang berbiji di seluruh bumi dan segala pohon-pohonan yang berbiji. Itulah akan menjadi makananmu. ( Kejadian 1:29 ). “Semua pohon dalam taman ini boleh kau makan buahnya dengan bebas” ( Kejadian 2:16 ). Kedua-dua nas Alkitab ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa Adam dan Hawa mempunyai makanan yang mencukupi. Mereka tidak memerlukan buah pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat untuk hidup. Mereka makan buah larangan bukan di atas keperluan mereka tetapi di atas keinginan hawa nafsu mereka. Perempuan itu melihat, bahawa pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagipula pohon itu menarik hati kerana memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia dan suaminya pun memakannya.” ( Kejadian 3:6 ). Alkitab menjelaskan bahawa nenek moyang kita menyalahi diri sendiri di atas kesalahan mereka. “Tetapi tiap-tiap orang dicobai oleh keinginannya sendiri kerana ia diseret dan dipikat olehnya. Dan apabila keinginan itu telah dibuahi ia melahirkan dosa…” ( Yakobus 1:14,15 ).

B. Dosa Telah Masuk Ke Dunia.

Bagaimanakah dosa Adam mempengaruhi kita? Alkitab mengatakan,”Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang…kerana semua orang telah berbuat dosa.” ( Roma 5:12 ). 

“Dosa masuk ke dalam dunia oleh satu orang” (Roma 5:12).

1. Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang.

“Satu orang” di sini ditujukan kepada Adam. Sebelum Adam berdosa, dunia ini adalah tanpa dosa. Setelah pelanggaran Adam, dosa masuk ke dalam dunia dan menjadi sebahagian daripada sifat semulajadi manusia. Keturunan Adam mewarisi sifat semulajadinya yang berdosa di mana dosa pun mula bermaharaja di dalam hati manusia. ( Roma 5:12 ). Oleh itu, “semua telah berbuat dosa”.

Dalam hukum genetik, kita tahu bahawa ciri kedua-dua binatang dan tumbuh-tumbuhan adalah berbentuk kebakaan. Tidak kira sama ada baka itu baik atau tidak ia akan diturunkan kepada generasi yang seterusnya. Contohnya, generasi kedua anggur masam akan tetap masam. Sama juga, Adam dan Hawa berdosa, sikap dosa mereka yang semulajadi itu diturunkan kepada keturunan mereka. Beginilah caranya, dosa masuk ke dalam dunia.

2. Manusia telahpun berdosa sebaik sahaja dilahirkan.

Alkitab seterusnya menjelaskan sifat semulajadi dosa yang berbentuk kebakaan dengan menggambarkannya sebagai langkah-langkah permulaan pertumbuhan manusia: pranatal, semasa dilahirkan dan kanak-kanak.

Sesungguhnya dalam kesalahan aku diperanakkan, dalam dosa aku dikandung ibuku. (Mazmur 51:7)

Sejak lahir orang-orang fasik telah menyimpang, sejak dari kandungan pendusta-pendusta telah sesat. (Mazmur 58:4)

“…semua kecenderungan hati manusia membuahkan kejahatan” (Kejadian 8:21)

Kita tidak perlu belajar tentang dosa apabila kita dewasa. Sememangnya kita mempunyai fikiran-fikiran yang jahat sejak muda dan menyimpang pada hari kita dilahirkan. Perbezaannya hanya terletak kepada keterukkan dosa yang dilakukan oleh orang-orang dewasa dan kanak-kanak. Dosa-dosa yang dilakukan oleh orang dewasa adalah lebih besar dan lebih rumit kerana tahap hikmat, pengetahuan dan pengalaman mereka yang lebih tinggi. Sebaliknya, dosa-dosa yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah tanpa niat memandangkan tahap kematangan mereka yang lebih rendah. Walaupun begitu, dosa tetap adalah dosa tidak kira sama ada ia dilakukan dalam tahap yang besar atau kecil. Hakikat ini lebih menunjukkan bahawa dosa adalah bersifat kebakaan. Dosa yang dilakukan oleh Adam dan Hawa menyebabkan manusia terjerumus ke dalam jurang dosa dengan tiadanya pengharapan untuk ditebus.

Jatuh dari Anugerah
| |

Jatuh dari Anugerah

PRAKATA

Sewaktu kita merentas jalan kehidupan, kita bergerak menuju ke arah-arah tertentu. Adakalanya kita akan bertembung dengan sekatan ataupun lencongan. Adakala pula kita terpaksa mendaki gunung atau bukit dan menyeberang sungai ataupun mengharungi lautan. Biarpun apa jalan yang direntasi, semuanya akan berakhir di satu destinasi yang sama – Maut. Kebanyakan orang takut menghadapi titik penamat perjalanan tersebut memandangkan ia adalah kesudahan kepada segala sesuatu yang kita usahakan sepanjang hayat kita. Walaupun demikian, ada di antara kita yang mengharapkan ketibaan “Pengakhiran Muktamad”. Ini disebabkan kita sedang berada di tangga yang menuntun ke arah satu tempat indah iaitu tempat istirehat kekal abadi yang bernama Syurga. Adakah anda berada di tangga yang menuju ke Syurga?

Buku ini menghuraikan langkah kedua daripada empat langkah yang harus ditempuhi oleh seseorang dalam perjalanannya ke Kerajaan Syurga. Anda disyorkan menamatkan langkah yang pertama iaitu Setiap Insan Perlu Menyembah Tuhan Yang Benar sebelum memulakan pembacaan buku kedua berjudul Jatuh dari Anugerah. Anda juga dijemput membaca dengan teliti dua langkah yang seterusnya – Percaya kepada Yesus dan Kembali Ke Gereja Yang Benar. Keempat buku ini termaktub dalam terbitan yang berjudul Tangga Menuju Syurga. Tujuan buku ini ialah dijadikan rujukan kepada para pembaca sebagai garis panduan untuk menaiki tangga menuju ke Syurga. Kami memohon kepada pihak anda kesabaran dan bantuan doa tatkala menantikan terbitan yang selanjutnya. Semoga terang ilahi di penghujung tangga syurgawi ini akan menjadi kekuatan kepada anda untuk terus melangkah ke depan! Semoga Roh Kudus menerangi setiap langkahmu yang semakin dekat kepada terang syurgawi.

TUJUAN 

Apakah dosa itu? Adakah kita berdosa walaupun kita belum pernah melakukan hal-hal yang melanggar undang-undang? Adakah kita peduli kalau kita berdosa? Bagaimanakah dosa mempengaruhi kita? Dosa berasal dari mana? Apakah kuasa dosa? Apakah balasan terhadap dosa?

Dalam buku Jatuh dari Anugerah, kamu akan mendapat jawapan untuk soalan-soalan di atas mengenai asal usul segala kejahatan di dunia dan kesannya terhadap manusia.

Ramai di antara kita yang mempunyai tanggapan yang salah terhadap dosa. Perkataan dosa itu mempunyai konotasi negatif sehingga kita menjauhkan diri darinya bagaikan penyakit kusta. Pada hakikatnya, dosa adalah pelanggaran hukum Tuhan dan kejatuhan dari kedudukan yang ilahi. Manusia jatuh dari anugerah Tuhan kerana dosa. Menurut Alkitab, bukan sahaja manusia pertama telah berdosa tetapi semua manusia yang menyusul kemudian turut berdosa; melainkan Tuhan Yesus Kristus ( yang dibincangkan dalam Buku Tiga ) yang menanggung semua dosa asal kita. Kita adalah orang-orang yang berdosa tidak kira betapa “baik” kita menganggap diri kita berdasarkan standard duniawi.

Mengapakah kita perlu belajar tentang dosa? Wahai pembaca, kita sebenarnya terlibat dalam peperangan rohani setiap hari. Jiwa rohani kita sentiasa terancam. Dengan mendedahkan identiti sebenar musuh utama kita, kita akan memperolehi kefahaman yang lebih tentang musuh kita supaya kita dapat melengkapkan diri dengan senjata-senjata rohani yang betul.

Apabila kita memperkatakan dosa, ia mestilah dalam konteks hukum-hukum Tuhan. Anda akan mendapat faedah yang lebih banyak seandainya anda sudah membaca buku yang pertama iaitu Setiap Insan Perlu Menyembah Tuhan Yang Benar, sebelum membaca buku ini. Dalam buku yang pertama, anda akan belajar mengenai: bukti-bukti kewujudan Tuhan, sifat-sifat ilahi Tuhan yang Benar, sebab-musabab manusia perlu menyembah Tuhan yang Benar ini dan tempat di mana Dia dapat dicarikan.

Setelah membaca buku ini, janganlah anda diselubungi dengan perasaan cemas dan putus asa – Pengharapan tetap ada. Janganlah biarkan bayang-bayang dosa menakutkan kamu kerana kita tahu bahawa kita boleh menggalahkannya melalui Tuhan Yesus Kristus yang telah mengalahkan dosa. Anda akan mendapat jawapan tentang cara mendapatkan kebebasan daripada cengkaman dosa dan memperolehi pengharapan hidup kekal dalam buku yang ketiga dan keempat – Percaya kepada Yesus dan Kembali Ke Gereja Yang Benar. Sila hantarkan kad permintaan di akhir buku ini untuk mendapatkan buku-buku ini dengan percuma.

Semasa anda membaca buku ini, sila pertimbangkan bahawa hikmat dan pengetahuan Tuhan amatlah besar. Buku ini dan yang berikutnya hanya mampu menyentuh sebahagian kecil daripada kefahaman kita terhadap alam rohaniah. Apabila anda ada soalan-soalan tambahan yang tidak dijawab dengan memuaskan dalam buku ini, sila hantarkan soalan-soalan anda ke alamat berkenaan yang tercatat di belakang buku ini. Kami akan cuba sedaya upaya membantu anda mencari Tuhan.

Semoga Tuhan memberkati anda.