Hujan Musim Semi Vol. 20 (Apr – Jun 2011)

Hujan Musim Semi Vol. 20 (Apr – Jun 2011)

Sidang Editor – Raymond Leong

Kekadang Status Hubungan Kita dengan Tuhan terhenti di Takuk Pasif

“Sesungguhnya TUHAN ada di tempat ini, dan aku tidak mengetahuinya,” (Kej 28:16) telah menjadi ungkapan spontan Yakub, yang telah mencetuskan seribu satu persoalan dalam benak sesiapa sahaja yang sanggup menghayati refleksi positifnya. Ungkapan spontan ini sudah pasti menimbulkan persoalan seterusnya iaitu, “Siapakah Yakub?” Bukankah dia cucu bapa iman, Abraham dan anak kepada Ishak? Mengapakah cucu bapa iman yang selama ini hidup berkelimpahan dengan berkat Tuhan boleh tidak kenal akan sifat ilahi Tuhan yang tidak terbatas oleh faktor geografi? “Ke mana aku dapat pergi menjauhi roh-Mu, ke mana aku dapat lari dari hadapan-Mu? (Mzm 139:7) Sebelum melarikan diri daripada dibunuh oleh Esau ke Betel, bukankah Yakub baru sahaja memenangi konflik rebutan hak kesulungan dengan Esau? Bukankah berkat Tuhan sudah memihak kepadanya? Namun, mengapakah dalam jangka sesingkat ini, dia seakan-akan lupa akan sifat ilahi Tuhan yang Maha Wujud? Sebab itu ingatlah betapa dalamnya engkau telah jatuh!… (Why 2:5)

Tidak kira apa sekalipun reaksi kita tatkala membaca ungkapan tersebut, pasti terlintas dalam fikiran kita bahawa status anak orang benar dan cucu bapa iman semata-mata tidak menjamin perkenalan dan hubungan kita terhadap Tuhan sudah mencapai tahap kematangan yang sewajarnya. Hakikat ini memanifestasikan bahawa setiap seiman yang dibesarkan dalam lingkaran kasih Tuhan wajar melihat warisan pusaka kepercayaan sebagai harta pusaka yang mesti dipertahankan dengan iringan usaha kendiri yang berterusan hingga ke titik terakhir. Hubungan baik dengan Tuhan hanya akan berkembang subur dalam jiwa seiman jika wujudnya lonjakan kesedaran dalam diri setiap seiman. Malah, setiap seiman harus melangkah lebih jauh ke depan dan memberanikan diri untuk bertekad dengan tetap melihat usaha membina jalinan mesra dan setia dengan Tuhan sebagai misi vital di landasan kehidupan kepercayaan. Segala didikan agama di peringkat akar umbi sewajarnya dimanfaatkan untuk mewujudkan konsep kendiri rohani setiap seiman sehingga sanggup mengambillangkah praktikal untuk mencari dan mengenali Tuhan dengan lebih dekat ~ Bermula sejak digendong ke sungai untuk pembaptisan, didaftarkan ke kelas pendidikan agama oleh ibu bapa sehingga kepada menghayati sendiri erti kebenaran, menikmati kebaikan anugerah keselamatan dan memberikan nilai tambah pada kerohanian diri.

Justru kerana itu kamu harus dengan sungguh-sungguh berusaha untuk menambahkan kepada imanmu… (2 Pet 1:5-6)

Dan jika orang benar hampir-hampir tidak diselamatkan, apakah yang akan terjadi dengan orang fasik dan orang berdosa? (1 Ptr 4:18)

Bukankah kita masih tidak keruan identiti rohaninya ini lebih perlu melipatgandakan usaha untuk menghampiri Tuhan? “Sesungguhnya Tuhan ada di tempat ini, dan aku tidak mengetahuinya..” ~ mengingatkan setiap seiman agar berpijak di bumi nyata dengan mengambil insiatif untuk menjalinkan hubungan baik dengan Tuhan. Tanyalah diri sendiri, di manakah Tuhan? Masihkah kedudukan dan identiti Tuhan dalam kehidupan aku terhenti di takuk Tuhan Bapaku? Sudahkah hubungan diri dengan Tuhan mencapai tahap Tuhan menjadi Allahku? Sudahkah hubungan aku dengan Tuhan mencapai tahap jarak antara lutut dengan lantai? Sudahkah Allah menjadi Allahku? Sudahkah kepercayaan anda telah mencapai tahap~… telah kami dengar, … telah kami lihat dengan mata kami, … telah kami saksikan dan yang telah kami raba dengan tangan kami… (1 Yoh 1:1)

Justeru, marilah kita sama-sama merenungkan dan menyelidiki tingkat hubungan kita dengan Bapa Syurga; dan selamat menghayati mesej yang dibawa menerusi terbitan 20, yang bertemakan “Membina Hubungan Peribadi dengan Tuhan.”

RUANGAN SAKSIAN

Tuhan melatih diriku – Minir Simon

Pengenalan
Haleluya, dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian ini. Syukur puji Tuhan kerana berpeluang menyampaikan kesaksian tentang kasih-Nya kepada saya. Kesaksian ini berkisarkan bagaimana Tuhan melatih saya dalam iman kepercayaan dan pelayanan.

Saya berasal daripada keluarga yang bukan sahaja miskin dari segi ekonomi (Ibu bapa bekerja sebagai petani) tetapi juga rohani. Bilangan adik beradik saya yang ramai pula menyebabkan saya dan abang sulung saya telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek (Ibu kepada Ibu saya – Sdri Rinau Ambuasa) kami sejak kecil lagi (sejak berusia 10 tahun) sehinggalah beliau meninggal dunia pada November 1996.

Keadaan Iman Sebelum dilatih
Oleh kerana iman kepercayaan ibu bapa saya sangat lemah ketika itu, maka iman adik-beradik saya turut lemah. Namun syukur puji Tuhan, saya telah membesar dalam penjagaan nenek saya sendiri yang sangat tegas dalam aspek doa, berkebaktian Sabat dan menghadiri Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR). Atas dorongannya, saya berpeluang mengikuti kelas pendidikan agama dan mendapat didikan yang baik dalam kelas tersebut.

Bagaimanapun, pada waktu itu iman kepercayaan juga masih lemah dan boleh dikatakan seperti peribahasa yang berbunyi ” Seperti kerbau yang dicucuk hidungnya” iaitu hanya patuh apabila ditarik oleh tuannya. Sekiranya tiada yang memerhati atau membawa saya ke gereja, saya akan cuba melarikan diri untuk mengelak daripada menghadiri kebaktian.

Pernah sekali pada hari Sabat, awal pagi lagi saya sudah pergi ke hutan berhampiran untuk melastik burung kerana enggan menghadiri kebaktian Sabat. (Kebaktian Sabat pada waktu itu bermula pada jam 10 pagi) Tetapi syukur kepada Tuhan, nenek saya datang mencari dan membawa saya datang untuk berkebaktian.

Didikan Awal Daripada Tuhan (1986-1995)
Berikut adalah siri didikan awal daripada Tuhan terhadap diri saya.

1. Tahun 1986-1990 (Kg Topokon)
Dalam tempoh ini saya tinggal bersama-sama dengan nenek di Kg. Topokon. Disebabkan bilangan adik beradik saya yang ramai, maka sebahagian daripada kami tinggal bersama nenek termasuk saya sendiri. Nenek dan datuk saya pula merupakan generasi pertama pemercaya di Gereja Yesus Benar ke Kg. Rongalis. Justeru, mereka sangat mementingkan soal ibadah. Seingat saya, kebaktian pada waktu itu hanya diadakan sekali dalam seminggu iaitu pada setiap pagi hari Sabat.

Sehubungan itu, nenek dan datuk saya sering mengajar cara berdoa dan beribadah. Mereka juga menggalakkan saya untuk menghadiri kelas pendidikan agama yang diadakan serentak dengan kebaktian Sabat. Pada waktu itu, kelas berkenaan diadakan di bawah pokok tarap dan kadangkala berkongsi kelas di dewan makan dengan murid-murid dari kelas lain.

2. Tahun 1991-1993 (SMK Tamparuli)
Apabila melangkah ke tingkatan satu, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di SMK Tamparuli kerana adik (Sdr. Sinjus Goyong) kerana ibu saya merupakan seorang guru yang mengajar di sekolah tersebut. Saya menumpang di rumahnya sehingga berada dalam tingkatan juga.

Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana keluarga mereka sangat mementingkan hal kerohanian. Selama saya tinggal bersama-sama dengan mereka, saya dilayan seperti anak mereka sendiri. Mereka akan menegur dan menasihati saya sekiranya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sama ada di rumah mahupun di sekolah. Mereka juga sangat mementingkan pencapaian akademik.

Dalam tempoh tersebut, saya juga telah berpeluang untuk menyertai koir Yerusalem yang diadakan di gereja Tinuhan. Pada masa yang sama, saya mengenali lebih ramai saudara seiman dari gereja tempatan yang lain dan juga berpeluang untuk menyertai KKR murid-murid yang diadakan setiap tahun.

3. Tahun 1994-1995 (SM Vokasional Kudat)
Atau bimbingan keluarga dan guru-guru, saya berjaya menamatkan pengajian pada peringkat PMR pada tahun 1993 di SMK Tamparuli dengan keputusan yang sederhana dan hanya layak untuk naik ke tingkatan empat.

Tetapi ketika itu minat saya lebih cenderung kepada kemahiran dan kejuruteraan berbanding melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat. Oleh itu, saya mendapat sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Vokasional. Mendengar dorongan mereka, semangat saya untuk belajar kian berkobar-kobar malah tidak sabar untuk memasuki sekolah tersebut.

Syukur puji Tuhan, selepas menghantar borang permohonan ke Pejabat Pendidikan Negeri di Kompleks KUWASA, akhirnya saya mendapat tawaran memasuki Sekolah Vokasional di Kudat. Namun disebabkan lewat membuat permohonan, saya juga turut terlewat untuk mendaftar di sekolah berkenaan. Semasa mendaftar, saya terfikir bahawa hanya saya seorang sahaja pemercaya Gereja Yesus Benar yang belajar di tempat itu. Tetapi setelah selesai mendaftar di sekolah dan asrama, saya terkejut dan bersyukur kerana dua daripada sepuluh orang rakan sebilik saya adalah seiman, iaitu sahabat karib saya yang berasal dari gereja Wangkod iaitu Sdra. Jaihnol Kindingan, (kini Pdt Yunias) dan Sdra. Jefanus Benjamin. Selain daripada mereka berdua, beberapa saudara seiman yang lebih senior dari kami iaitu Sdr. Peter Among, Sdra. John Lomu, Sdra Ezmikiel Linggin, Sdra Robinson Somboton dan Sdri Ng Ree Ping juga belajar di sekolah tersebut.

Ketika berada di sekolah itu, saya mulai belajar untuk menghargai iman kepercayaan sendiri dan saling mendorong antara sesama rakan seiman untuk menghadiri kebaktian. Selain itu, saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana sungguhpun tidak mempunyai wang untuk pergi berkebaktian, pihak gereja Kudat telah menyediakan peruntukan tambang pergi dan balik untuk semua pelajar seiman ke setiap kebaktian Sabat ketika itu.

Pada pertengahan tahun 1994, Sdri. Ng Ree Ping bertanya kepada saya sama ada saya pernah mengikuti Kursus Teologi Jangka Pendek atau tidak. Oleh kerana saya tidak pernah mengikuti kursus tersebut, dia dengan tegas menggesa saya supaya mengisi borang untuk mengikuti kursus tersebut pada tahun itu juga. Syukur puji Tuhan, saya berjaya menamatkan pengajian Kursus Teologi Jangka Pendek sehingga tahun ketipada tahun 1996.

Sepanjang berada di sekolah itu, banyak perkara telah saya pelajari sama ada perihal berdikari dalam pelajaran mahupun kerohanian. Sekali lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana pada tahun 1995, saya telah menduduki peperiksaan SPM(V) dan lulus dengan kelulusan Gred 2.

4. Latihan Iman daripada Tuhan (Tahun 1996-1998, Politeknik Kota Bharu Kelantan)

Saya boleh simpulkan bahawa sepanjang tempoh ini, Tuhan menguji tahap iman dan ketabahan saya.

Pada penghujung tahun 1996, saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajran ke peringkat Sijil Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) di Politeknik Kota Bharu, Kelantan. Sewaktu menerima surat tawaran itu, saya mengandaikan cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia mungkin akan tercapai.

Bagaimanapun, saya berhadapan dengan masalah kewangan untuk membeli tiket kapal terbang dan pelbagai belanja pengajian yang lain. Lebih-lebih lagi, saya cuma ada masa selama dua minggu untuk menguruskan segala persiapan. Ketika itu, saya hanya mampu berdoa kepada Tuhan untuk memberi petunjuk kepada saya.

Syukur pada Tuhan, abang sulung saya (Sdra Ampat Simon), bersetuju menanggung kos penerbangan saya. Majikan saya pula telah menghulurkan saguhati. Keluarga Sdra. Sinjus turut menghulurkan bantuan sehingga jumlah yang saya terima mencecah angka RM800.

Berbekalkan wang tersebut, saya memberanikan diri untuk membeli tiket kapal terbang dari Kota Kinabalu ke Subang, Selangor yang akan berlepas pada penghujung bulan Disember 1996. Setelah membeli tiket tersebut, wang dalam tangan saya hanya tinggal sekitar RM300. Ketika menguruskan tawaran pengajian ini, nenek saya baru saja meninggal dunia pada bulan November 1996.

Apabila tiba masa yang ditunggu-tunggu, saya telah berlepas ke Kuala Lumpur dengan baki wang hanya sebanyak RM300 itu. Saya juga berharap ketika berada di sana nanti, adik beradik saya yang berada di situ akan dapat menambah wang saku saya. Setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, saya disambut oleh abang sulung yang membawa saya ke rumah abang saya yang seorang lagi untuk bermalam di sana. Keesokan harinya, saya dibawa oleh kedua-dua abang saya untuk membeli barang-barang keperluan saya. Oleh kerana pada waktu itu mereka juga mengalami masalah kewangan, maka saya terpaksa menggunakan sebahagian wang saku saya untuk membeli barang keperluan dan tiket bas dari Pudu Raya ke Kota Bahru.

Baki Wang saku saya hanya tinggal RM 150 menyebabkan saya sangat risau. Sungguhpun demikian, halangan itu tidak mematahkan semangat saya untuk melanjutkan pelajaran. Pada petang hari berikutnya, saya dihantar oleh abang saya ke Stesen Bas Pudu Raya. Sebenarnya pada waktu itu saya begitu berharap agar abang atau kakak akan menemani saya ke Kelantan, malangnya sangkaan saya meleset kerana mereka hanya menghantar saya ke stesen bas.

Semasa dalam perjalanan, saya sangat takut kalau-kalau saya tidak sampai ke destinasi yang sepatutnya. Ini disebabkan, saya belum pernah menjejakkan kaki ke Semenanjung Malaysia. Pada masa yang sama, saya sempat mengingati semula fakta – fakta dalam subjek Sejarah dan Geografi yang telah saya pelajari di sekoalh menengah dahulu. Saya cuba membayangkan kedudukan saya pada peta Malaysia seiring dengan pengetahuan yang ada pada saya.

Oleh kerana takut tersesat, saya sentiasa mengingatkan pemandu bas berkenaan untuk menghantar saya ke Politeknik Kota Bharu atau sekurang-kurangnya menurunkan saya di jalan yang berhampiran dengan destinasi saya. Pemandu bas tersebut kemudiannya memberitahu bahawa dia hanya akan menghantar saya di persimpangan jalan dan menyuruh saya menumpang kereta lain menuju ke tempat itu.

Memandangkan perjalanan itu adalah waktu malam, saya tidak dapat melihat keadaan persekitaran dengan jelas, malah sukar menentukan kedudukan kecuali apabila berhenti berehat di mana-mana hentian untuk makan atau minum mahupun buang air kecil. Saya tiba di Kok Lanas, Kelantan pada waktu subuh (sekitar jam 5 pagi), pada hari berikutnya. Bagaimanapun, saya terpaksa menunggu di tempat itu sehinggalah pejabat dibuka pada jam 8.00 pagi. Kok Lanas merupakan sebuah pekan kecil yang berdekatan dengan Politeknik Kota Bharu. Ketika itu, wang saku saya hanya tinggal RM120 sahaja.

Tepat jam 8.00 pagi, saya cuba menghubungi pejabat Hal Ehwal Pelajar, Politeknik Kota Bharu dengan menggunakan telefon awam yang berdekatan dengan persimpangan jalan masuk ke Politeknik dan bertanya bagaimana untuk sampai ke tempat itu. Mereka memaklumkan kepada saya supaya berjalan kaki. Namun, barang-barang keperluan saya berat dan juga saya tidak tahu berapa jauh lagikah jarak perjalanan yang akan saya tempuhi. Dalam hati saya berdoa kepada Tuhan supaya Dia mengaturkan perjalanan saya. Syukur puji Tuhan, seorang lelaki berbangsa Cina kebetulan lalu di tempat itu dan bertanya arah tuju saya.

Sekali lagi saya bersyukur kepada Tuhan kerana destinasi kami adalah tempat yang sama dan dia merupakan pelajar senior di Politeknik Kota Bharu. Bukan sahaja dia, malah dia telah menumpangkan saya, menunjuk arah dan terus menghantar saya ke pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP). Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana telah mengatur perjalanan saya. Dalam perjalanan, saya mendapat maklumat bahawa jarak antara jalan raya utama dengan Politeknik berkenaan adalah lebih kruang hingga 4KM jauhnya.

Sebaik sahaja tiba di pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), saya terus mendaftar. Seperti yang kita sedia maklum, setiap kali mendaftar di mana – mana institusi pengajian tinggi sudah pasti harus membayar yuran pendaftaran terlebih dahulu. Walaupun yuran di Politeknik antara yang termurah berbanding mana-mana institusi pengajian tinggi lain, tetapi saya tidak mampu membayar yuran sebanyak RM200 itu. Pada waktu itu, wang dalam saku saya hanya RM120 sahaja. Jika menggunakan duit itu untuk membayar yuran, sudah tentulah saya tidak mempunyai wang saku lagi untuk membeli makanan atau minuman. Oleh itu, saya telah merayu kepada pihak HEP untuk menangguhkan pembayaran yuran. Syukur, puji Tuhan kerana permohonan saya diterima.

Selepas saya mendaftar di HEP, saya kemudiannya diarahkan ke pejabat asrama untuk mendaftar sebagai pelajar asrama. Ketika berada di pejabat asrama, saya diwajibkan untuk membayar yuran asrama sebanyak RM60. Memandangkan wang saku saya hanya tinggal RM120, saya sekali lagi cuba merayu kepada pengawai asrama itu untuk menangguhkan pembayaran, malangnya pengawai itu tidak menunaikan rayuan saya. Dalam keadaan terpaksa, saya membayar yuran asrama tersebut. pada waktu itu, baki wang saku saya tinggal RM60 sahaja lagi. saya tidak dapat membayangkan apakah yang bakal terjadi kepada saya selepas ini.

Selesai sahaja mendaftar sebagai pelajar asrama, pegawai asraam itu memberikan saya kunci dan menunjukkan bilik saya. Saya mendapati rakan sebilik saya merupakan pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang berasal dari Tenom Sabah, namanya ialah Roger. Sekali lagi saya bersyukur lagi kepada Tuhan.

Keesokan harinya pula saya menghadiri kelas dan cuba mencari lebih ramai kawan bagi memudahkan saya untuk mendapatkan nota pelajaran memandangkan saya telah lewat dua minggu berbanding mereka.

Setelah beberapa hari berada di sana, baki wang saku saya hanya tinggal kira-kira RM30. Saya berasa sangat sedih kerana tidak dapat menghubungi keluarga yang berada di kampung mahupun di Semenanjung. Sebagai langkah berjimat-cermat, saya hanya menggunakan RM 1 untuk membeli makanan, sekadar cukup untuk menghilangkan rasa lapar. Saya juga hanya makan sekali sehari sahaja iaitu pada waktu petang atau ketika saya betul-betul kelaparan; sekiranya makan lebih awal, masa lapar saya juga akan lebih awal juga.

Saya sering berdoa kepada Tuhan untuk menunjukkan jalan kerana saya percaya bahawa Tuhan ada perancangan-Nya sendiri. Saya juga kerap menangis dalam doa dan kadang-kala saya akan menangis di kamar madni. Saya sengaja membuka shower pipe supaya tiada orang yang mendengar tangisan saya. Pada waktu tidur pula saya sering mengigau dan kadangkala sangat mengganggu rakan sebilik.

Sehingga suatu ketika duit poket saya habis, saya merasa sangat tertekan dan hilang arah. Pada waktu itu, saya sudah hilang semangat untuk belajar dan ingin menarik diri daripada pengajian. Keadaan itu bertarutan sehingga hampir dua bulan. Saya memberitahu kawan – kawan saya tentang hasrat itu dengan alasan tidak mempunyai wang untuk meneruskan hidup di kolej tersebut. Syukur puji Tuhan kerana Dia telah menggerakkan hati rakan-rakan saya untuk menghulurkan bantuan dari segi kewangan. Saya sangat terharu dan berasa segan dengan mereka.

Pada masa yang sama, saya sangat kesunyian dalam rohani kerana selama berada di Kolej itu, saya tidak pernah menghadiri kebaktian Sabat.

Berbanding sewaktu berada di Sabah dahulu, saya sering berpeluang untuk menghadiri kebaktian Sabat cuma saya sendiri yang tidak pernah menghargai dan menggunakan kesempatan itu. Kini, saya sangat menyesal dengan sikap dahulu dan mula merindui untuk bertemu dengan saudara seiman.

Syukur puji Tuhan, pada awal bulan Februari 1997, abang sulung saya yang bekerja di Kuala Lumpur memasukkan wang sebanyak RM500.00 ke dalam akaun bank saya. Setelah saya mendapat wang itu, saya terus membeli tiket bas untuk berjumpa dengan adik-beradik saya yang berada di Kuala Lumpur sewaktu cuti perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya.

Semasa berada di Kuala Lumpur, saya tidak sabar-sabar lagi untuk menghadiri kebaktian Sabat di gereja yang berhampiran dengan tempat tinggal abang saya. Syukur puji Tuhan, abang saya yang seorang (Adik beradik yang ke-4) lagi membawa saya menghadiri kebaktian di gereja Gombak. Di gereja itu, saya berusaha mendapatkan maklumat tentang saudara seiman yang berada di Kelantan. Malangnya saudara seiman dari gereja Gombak memaklumkan kepada saya bahawa seiman yang ada di Pantai Timur Semenanjung hanya ada di negeri Terengganu. Bagaimanapun, saya telah mengambil nombor telefon bimbit dan telefon rumah seorang seiman ialah saudara Sunny Tan.

Selepas bercuti,saya kebali ke POliteknik Kota Bharu, Kelantan dan terus menghubungi saudara Sunny Tan. Ketika saya menghubungi nombor telefon bimbit untuk bercakap dengannya, namun beliau memberitahu bahawa saya tersalah nombor. Akan tetapi saya tidak berputus asa, sekali lagi saya menghubungi nombor rumahnya pula. Beliau tertanya-tanya bagaimanakah saya mendapat nombor telefon beliau, lalu saya menjelaskan perkara sebenar dan memperkenalkan diri saya.

Setelah memperkenalkan diri, saya mendengar nada suara beliau yang gembira, seakan-akan bertemu semula dengan ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Kami kemudiannya mengatur masa untuk berjumpa dan syukur puji Tuhan kerana rumah beliau terletak berdekatan dengan Bandar Kota Bharu. Rupanya mereka sekeluarga telah berpindah dari Terengganu ke Kelantan. Sejak itu, kami sering berkebaktian bersama-sama di rumahnya setiap minggu. Dengan itu, kami menjalankan kebaktian Sabat pada hari Jumaat malam dan kami berkebaktian sekali lagi selepas matahari terbenam. Kami berkebaktian dengan cara ini disebabkan negeri Kelantan merupakan negeri yang melaksanakan sistem bekerja dari hari Sabtu hinggalah pada hari Khamis. Hubungan seiman di sana sangat rapat walaupun bilangan jemaat hanya 10 orang termasuk kanak-kanak.

5. Latihan Iman daripada Tuhan (Tahun 1998-1999, Pulau Pinang)

Syukur kepada Tuhan, atas bantuan keluarga, rakan-rakan dan jemaat di Kelantan saya berjaya menamatkan pengajian selama dua tahun di Politeknik Kota Bharu. Kemudian saya berpindah ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan. Pada mulanya saya hanya merancang untuk bekerja sementara kerana ingin kembali ke Sabah. Tetapi minat yang mendalam terhadap jawatan Juruteknik Elektrik di sebuah kilang swasta di Seberang Perai, Pulau Pinang menyebabkan saya terus bekerja di tempat berkenaan sehingga penghujung 1999.

Dalam pada itu, atas arahan oleh majikan di tempat bertugas, saya terpaksa bekerja dari Isnin hingga Sabtu. Ini menyebabkan saya tidak dapat menghadiri kebaktian pada setiap Sabat. Di Pulau Pinang pula hanya terdapat sebuah gereja pada waktu itu. Lantaran itu, saya sentiasa berusaha mencari peluang untuk menghadiri apa sahaja kebaktian yang diadakan di gereja tersebut pada hari-hari yang lain.

Nota: Kesaksian ini akan bersambung pada Hujan Musim Semi Terbitan 21 (Jul-Sep 2011)

RUANG KESAKSIAN

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus, menyampaikan saksian. Segala pujian, hormat dan kemuliaan bagi nama Tuhan Yesus yang Mahakudus, yang mengetahui masa depan dan jalan-jalan hidup bagi segenap makhluk di bumi.

Seperti biasa menjelang cuti sekolah, saya dan isteri (Sdri. Erniee Logidu) telah merancang perkara yang harus dilakukan sepanjang cuti sekolah khasnya pada kali ini iaitu semester 1, 2011 yang memakan masa selama dua minggu (27 Mei – 12 Jun 2011).

Kami sudah membahagikan masa untuk mengurus hal-hal kehidupan keluarga kami sendiri juga gereja. Justeru itu, kami merancang akan mengajak semua pelajar sekolah dan belia seiman di Gereja Guong, Gentuong serta Bambangan untuk bergotong-royong memungut batu sungai di Kg. Rantai, Kota Belud pada 02 hingga 03 Jun 2011 (Rabu – Khamis). Batu tersebut akan digunakan untuk membuat gabion yang akan dibina di cerun tanah yang ditarah di belakang Gereja Guong.

Peringatan Melalui Mimpi

Pada malam 30 Mei 2011 (Isnin), saya telah bermimpi melihat sebuah sungai yang besar. Dalam mimpi itu, saya sedang berdiri di tebing sungai tersebut. Ketika itu, saya mendengar bunyi seperti air yang sedang mendidih dan bergerak laju ke arah saya. Apabila saya mengangkat muka, saya melihat kereta saya telah dihanyutkan oleh air yang deras. Air itu datang secara tiba-tiba tanpa ada hujan di tempat saya sedang berdiri. Maka dengan hati yang cemas, saya telah mencapaia kereta yang sedang hanyut itu secepat mungkin dan sekuat tenaga menggunaakn tangan kanan.

Tangan sebelah kiri pula saya gunakan untuk berpaut pada dahan kayu di tebing sungai itu. Oleh kerana hati saya amat cemas dalam mimpi itu, maka saya terjaga daripada tidur.

Pada waktu pagi, saya merenungi mimpi tersebut. Ketika itu, saya berpendapat bahawa mimpi itu hanyalah mainan tidur.

Pada tanggal 01 Jun 2011 (Rabu) , isteri saya pula bermimpi terdapat bukit tinggi yang ditarah. Bukit tersebut kelihatan seperti tebing tinggi dan amat curam. Di bawah ada beberapa orang sedang berjalan. Tiba-tiba bukit itu mula runtuh dan kelihatan batu-batu yang besar dan kecil jatuh berguling-guling. Dalam keadaan yang cemas, isteri saya pun berteriak menyeru orang yang berada di dekat bukit tinggi itu untuk berlari jauh. Isteri saya amat lega kerana tiada yang cedera atau meninggal dunia akibat runtuhan tananh itu. Pada keesokan pagi iaitu pada 02 Jun 2011 (Khamis) isteri saya ingin menceritakan mimpinya itu kepada saya, tetapi tidak sempat berbuat demikian pada masa itu. Tambahan pula, isteri saya beranggapan mimpi itu tidak mempunyai makna yang penting untuk diceritakan. Isteri saya hanya menyertai rombongan gotong-royong pada hari itu kepada menjaga anak di rumah dan menyiapkan kerja-kerja sekolah.