24. Penyembuhan Tuhan Yang Ajaib

​Sdri. Salvetah Sala

Dalam nama Tuhan Yesus menyampaikan kesaksian.

Semasa saya mengandung anak yang keempat, pada usia kandungan 7 bulan saya telah berjumpa dengan doctor untuk pemeriksaan kandungan. Selepas pemeriksaan, doktor mencadangkan agar saya menjalani BTL (ikat rahim) selepas bersalin memandangkan sudah berusia 35 tahun dan tidak baik untuk mengandung lagi. Ini kerana banyak risiko bagi wanita yang mengandung melebihi umur 35 tahun. Doktor menasihatkan saya supaya jangan lagi berkira-kira, mesti berhenti lalu menulis ‘For BTL’ dengan dakwat merah di depan kad klinik saya. Apabila bercerita dengan rakan seusia saya yang juga mengandung pada masa itu dan mempunyai jumlah anak yang sama dengan saya, mereka tidak diarah oleh doktor untuk menjalani BTL pun.

Syukur puji Tuhan, pada 26hb November 2008 saya melahirkan anak tanpa bermasalah. Sesudah anak dilahirkan, dalam beberapa jam kemudian anak saya asyik muntah lendir sahaja. Doktor pakar bayi telah dipanggil untuk memeriksa dan mengambil ujian darah bagi anak saya. Selepas itu jururawat berusaha menjalankan suction sedut lendir dari mulut anak saya dan berjaya melakukannya. Selepas anak saya membuang air kencing, saya dan anak dibenarkan untuk pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, doktor Pakar Neonat menghubungi wad bersalin supaya tidak membenarkan saya balik dan perlu ditahan di bahagian neonat kerana ada jangkitan kuman dikesan dalam darah platlet anak saya. Pada masa itu saya, suami dan anak-anak saya membawa perkara ini ke dalam doa sahaja dan meminta para seiman di gereja untuk membantu doa.

Selepas 7 hari ditahan di hospital, ubat antibiotik juga telah mencukupi dan sepatutnya boleh pulang ke rumah, tetapi doktor masih tidak membenarkan kami pulang kerana tahap billirubin (kuning) anak saya telah mencapai 395. Saya sebagai ibu yang baru bersalin merasa tertekan dengan keadaan sebegini kerana tubuh sendiri sudah begitu lemah, malahan terpaksa menjaga bayi saya secara berterusan di dalam wad dan merasa lebih tertekan apabila melihat bayi disuntik dan diambil darahnya berkali-kali. Saya memohon kebenaran untuk pulang ke rumah daripada doktor dengan berkali-kali tetapi tidak dibenarkan. Saya berfikir, sekiranya saya berada di rumah, saya akan berasa selesa untuk berdoa. Setelah 4 hari berlalu, paras billirubin anak saya hanya turun sedikit sahaja. Akhirnya doktor membenarkan kami pulang ke rumah dengan syarat mesti datang pada keesokan harinya untuk pemeriksaan darah bayi lagi. Sebaik saja balik ke rumah, saya bertekad untuk tidak datang ke wad lagi. Saya sudah tidak sanggup lagi melihat bayi saya disuntik berkali-kali dalam satu masa. Saya yakin Tuhan itu sentiasa beserta sekiranya kita memohon dengan bersungguh-sungguh. Saya berserah kepada Tuhan sahaja untuk menjaga bayi saya. Sejak hari itu, saya tidak kembali ke hospital lagi dan syukur pada Tuhan anak saya sentiasa dalam keadaan yang sihat sehinggalah sekarang.

Sebulan kemudian, iaitu pada January 2009, saya berjumpa dengan doktor pakar untuk menjalankan BTL seperti yang telah diarahkan. Semasa berjumpa dengan doctor untuk pemeriksaan, dia melakukan scanning untuk memastikan kedudukan rahim. Wajah doctor itu berkerut sambil memberitahu ada mengesan ketumbuhan di bahagian kiri ovari saya sebesar 5.6cm. Sekali lagi saya merasa teruji. Doktor mengatakan bahawa saya terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan sekali gus ikat rahim.

Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana saya tidak mengalami sebarang masalah sewaktu mengandung walaupun ketumbuhan itu sudah lama berada di ovari saya. Saya pun tidak tahu ketumbuhan tersebut ada di ovari saya. Selama ditahan di wad, saya bersyukur kerana suami saya sabar menjaga bayi yang kecil walaupun saya tahu dia tertekan juga dengan masalah yang asyik datang. Pembedahan dijalankan dengan selamat. Syukur puji Tuhan.

3 bulan selepas pembedahan, bulan Mac 2009, saya diminta untuk berjumpa dengan doktor bagi memeriksa keadaan ovary . Bila scanning dilakukan, sekali lagi doctor mengesan ada ketumbuhan sebesar 2.5cm. Doktor berasa agak terkejut tetapi memberitahu bahawa ketumbuhan itu hanyalah jenis cyst yang tidak merbahaya. Doktor tidak meyarankan saya untuk dibedah kerana pembedahan pertama tidak lama, belum sampai setahun. Dia hanya membenarkan saya dibedah pada bulan November 2009. Apabila saya mendengar ada lagi ketumbuhan, saya berasa tertekan, sekalipun ia hanyalah ketumbuhan yang biasa. Tetapi untuk menjalani pembedahan berulang kali adalah hal yang tidak baik. Setiap malam saya tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan banyak perkara. Suami menasihati saya supaya menyerahkan semuanya kepada Tuhan kerana tidak ada perkara yang mustahil bagi Tuhan. Saya sangat yakin dengan perkataan itu dan hanya berserah kiranya semua itu adalah ketentuan daripada Tuhan, biarlah Dia sendiri yang mengaturkannya. Pada bulan Ogos, selepas diperiksa dan mendapati ketumbuhan itu sudah sebesar 3cm .

Pada bulan Oktober, unit pendidikan Bumiputera gereja Keningau merancang untuk mengadakan aktiviti perkhemahan kali pertama bagi murid-murid pendidikan pada bulan Disember dan saya adalah salah seorang petugas dalam aktiviti perkhemahan tersebut. Tetapi bila teringat bahawa saya akan dibedah pada pertengahan November, mungkinkah saya dapat menyertai mereka? Saya memberitahu suami, sekiranya 3 minggu selepas saya dibedah dan merasa baik, saya akan menyertai untuk membantu perkhemahan tersebut. Setiap kali saya memohon kepada Tuhan agar memberi petunjuk dan membenarkan saya melaksanakan tugas saya dahulu.

Pada pertengahan November, saya dikehendaki masuk ke dalam wad. Sewaktu menjalani scanning, doctor tidak nampak ada sebarang ketumbuhan yang jelas. Pada petang hari itu, pakar bedah datang menemuramah kami. Pada waktu petang, saya diarah oleh doctor supaya minum air yang banyak sehingga penuh pundi kencing agar ketumbuhan itu boleh dilihat dengan jelas. Pada jam 4 petang, doctor datang sekali lagi untuk memastikan kedudukan ketumbuhan tersebut. Doktor masih juga tidak dapat melihat sebarang ketumbuhan yang jelas .

Pada jam 7 malam, saya menghantar mesej kepada rakan-rakan koir Horeb supaya membantu doa untuk saya. Kebetulan pada malam itu pendeta Erastus menelefon saya. Saya minta bantu doa dari pendeta. Pada jam 9 malam sebelum di arah supaya berpuasa, sekali lagi doktor tersebut datang menjalani scanning terhadap saya, dia masih tidak berpuas hati. Saya diminta untuk minum air yang banyak sekali lagi. Pada malam itu, saya hanya kenyang dengan air sehingga memenuhi pundi kencing saya. Bila menjalani scanning, doctor mengesahkan ketumbuhan itu benar-benar tidak ada di ovari saya. Akhirnya malam itu juga doctor membatalkan pembedahan saya. Doktor pun merasa hairan, ke manakah perginya ketumbuhan itu? Saya sendiri pun merasa hairan. Tetapi, hati saya berasa sangat bersyukur kerana semuanya itu adalah keajaiban dari Tuhan. Pada pagi keesokan hari, saya dibenarkan untuk keluar wad. Jururawat dan rakan di sebelah katil pun bertanya kepada saya, macam mana ketumbuhan tersebut boleh hilang? Mereka bertanya apakah yang saya makan untuk menghilangkan ketumbuhan tersebut. Saya hanya menjawab: “makan saya seperti biasa, tetap kerana kita bersandar pada Tuhan ”.

Dengan banyak perkara yang dialami selama itu, saya dapat menikmati kasih Tuhan terhadap keluarga saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana Dia telah mendengar doa saya. Terima kasih juga kepada teman seiman yang sentiasa membantu saya di dalam doa. Bagi Tuhan, tidak ada perkara yang mustahil dan saya sentiasa merasa betapa indahnya dan beruntungnya kita yang hidup di dalam Tuhan.

Semoga nama Tuhan sentiasa dimuliakan. Haleluya!

(Dibaca : 872 kali)

1 Comment

  1. Syukur puji Tuhan, semoga iman bertambah teguh.

    Haliluyah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *