23. Pengalaman Antara Kerajaan Syurga Dan Neraka

Sdri. Wong Oi Chu

Haleluya! Dalam nama Tuhan Yesus memberi kesaksian. Saya ialah saudari Wong Oi Zhu, berasal dari gereja Kota Kinabalu. Saya ingin mengisah tentang penglihatan saya yang berkaitan dengan pengalaman saya melihat kerajaan Syurga dan neraka.

Pada hujung bulan Jun 2004, saya mengalami penyakit batuk yang serius. Saya tidak dapat tidur pada waktu malam. Penyakit ini telah berterusan selama 3 hari. Saya telah berjumpa dengan doktor sebanyak 3 kali, namun tidak ada kelihatan sebarang tanda perubahan yang positif pada penyakit saya. Sehingga 2 Julai, ibu kepada kakak ipar saya, Mary menemani saya ke klinik Damai Specialist untuk berjumpa dengan doktor. Selepas pemeriksaan, doktor mengatakan bahawa saya perlu tinggal di dalam wad untuk membuat peninjauan selanjutnya. Pada masa itu, pendeta Thomas Kam dan saudari Liew datang menjenguk saya dan membantu doa untuk saya.

​Pada masa itu, saya mula mengambil pil ubat tidur namun kesannya tidak memberangsangkan. Keadaan ini berlanjutan sehingga 4hb Julai. Selama lima hari empat malam saya tidak dapat melelapkan mata saya. Selepas doktor menjalankan rawatan fisioterapi akhirnya barulah saya dapat tidur dengan nyenyak. Dalam mimpi, saya melihat saya sedang menelefon kakak saya, Ai Yan, yang berada di Kuala Lumpur. Saya memberitahunya bahawa Tuhan ingin menyambut saya pulang ke Syurga. Saya berpesan kepadanya agar menjaga anak perempuan saya, Sherlyn dan membawanya ke Gereja Yesus Benar sehingga dia menjadi dewasa. Saya juga memberitahu kepada suami kakak saya, saudara Tang bahawa saya melihat kerajaan Syurga dan ia merupakan satu tempat yang sungguh indah. Di sana saya juga berjumpa dengan seorang yang tua.

Saya berterbang dengan gembira dan mengikuti orang tua itu menuruni satu lurah. Saya terjaga dari mimpi dan mendapati Penatua Tham bersama dengan anak perempuannya, Khen Siung serta adik saya berada di depan katil saya untuk menjenguk saya. Penatua Tham berkata kepada saya bahawa kerja saya masih belum selesai, maka Tuhan tidak akan menyambut saya pulang dengan begitu cepat. Selepas itu, mereka membantu doa bagi saya.

​Selepas itu, doktor datang melihat keadaan saya. Dia ingin menyuntik ubat ke dalam badan saya dan membuat pengimbasan otak. Saya memberitahu doktor bahawa saya tidak mahu disuntik kerana saya percaya Tuhan merupakan doktor yang paling agung. Saya juga meminta agar dia datang ke gereja benar kerana ia merupakan satu-satunya gereja benar yang dapat diselamatkan. Saya juga memberitahunya bahawa saya baru balik dari Syurga. Selepas doktor mendengar kata-kata saya, dia tidak mempercayainya. Selepas itu, dia menghantar saya untuk membuat pemeriksaan bahagian otak. Namun, laporan pemeriksaan menunjukkan keadaan saya normal segalanya. Selepas menjalani pemeriksaan, saya masih lagi insomnia. Pada malam itu, saya terasa seakan-akan telah masuk ke neraka.

​Saya melihat banyak orang yang sedang dibakar secara hidup-hidup. Saya bukan sahaja melihat keadaan ini dengan mata saya sendiri, malahan saya juga terhidu bau hangus. Saya berasa terperanjat sehingga berpeluh dan ingin melarikan diri dari tempat yang menakutkan itu. Kemudian, ada seorang yang muncul dari kegelapan dan menanyakan saya apakah cara yang saya ingin untuk melangsungkan upacara pengkebumian saya, sama ada menggunakan cara Hindu atau cara Buddhist? Saya menjerit dengan kuat bahawa saya tidak mahu apa-apa pun! Kemudian saya terjaga dari mimpi. Saya sangka saya telah meninggal dunia namun saya masih dapat merasa badan saya sedang bergerak. Tambahan pula, kata-kata penatua Tham mengingatkan saya sekali lagi bahawa Tuhan tidak akan menyambut saya pulang dengan begitu cepat kerana kerja saya masih belum selesai. Kata-kata ini telah menghiburkan hati saya. Oleh itu, saya dapat tidur dengan nyenyak untuk beberapa jam. Selepas itu, roh jahat datang mengganggu saya lagi. Namun selepas berdoa, saya kembali tidur semula.

​ Pada 5 Julai, pihak gereja telah mengadakan Seminar Penyempurnaan Rohani Para Penatua dan Pendeta. Saya telah dibantu doa oleh pihak gereja. Selepas itu, ada juga beberapa orang pendeta yang datang melawat saya. Pada masa itu, saya telah mendapat satu mimpi. Saya melihat diri saya diikat di atas satu rangka besi. Di bawahnya adalah api alam maut. Saya terdengar suara bantu doa gereja untuk saya.

Disebabkan saya berasa amat takut, maka saya berdoa dengan suara yang kuat. Saya berdoa dalam nama Tuhan Yesus, “Ya Tuhan, saya ialah seorang yang berdosa, memohon kiranya Tuhan mengampuni dosaku, memohon kiranya Engkau menyelamatkan aku!” Pada jam 7:30 pagi, ada banyak seiman yang datang melawat saya, termasuk penatua James Wong dan ahli keluarganya yang berasal dari Tenom. Anak buah saya juga datang melawat saya dan menyanyi 2 buah lagu kidung kanak-kanak bagi saya, ’Dalam hatiku ada dua raja, seorang mahu saya masuk ke Syurga, seorang lagi mahu saya masuk ke neraka…’. Saya berasa terharu dengan kidung ini. Sememangnya ada 2 orang raja di dalam hati saya. Ia terpulang kepada saya ingin mengikuti raja yang mana satu. Pada malam itu, saya diganggu oleh roh jahat sekali lagi. Waktu itu adalah jam 2 pagi. Suami saya asyik menggunakan kata-kata penatua Tham untuk menasihati saya, maka barulah saya dapat tidur.

​Pada 6 Julai, akhirnya doktor membenarkan saya untuk pulang ke rumah. Sewaktu tiba di rumah, saya dan keluarga saya berdoa untuk bersyukur kepada Tuhan. Saya berfikir, mungkin Tuhan masih ingin saya menjaga ibu mertua saya. Lantaran itu, saya masih diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di dunia ini. Pada jam 2 pagi hari tersebut, si iblis datang lagi mengganggu saya. Namun selepas berdoa, saya dapat tidur semula. Syukur kepada Tuhan.

​Pada 7 Julai, saya mengikuti kebaktian malam di gereja Kota Kinabalu. Semasa berdoa, penatua Timotius menumpangkan tangan ke atas saya. Selepas itu, saya pulang ke rumah bapa saya dan tinggal di sana selama 10 hari. Adapun pada jam 2 pagi ada roh jahat yang datang mengganggu, namun selepas berdoa saya masih dapat tidur semula.

​Pada 10 Julai, semasa saya duduk bersama dengan koir gereja Kolombong, saya terdengar sebuah kidung yang berbunyi, ’Ada orang yang berdoa bagimu’. Saya terharu sehingga mencucurkan air mata. Bukankah kidung ini merupakan gambaran bagi keadaan saya sekarang?

​Syukur atas kasih Tuhan. Syukur atas bantu doa yang bersungguh-sungguh dari saudara dan saudari gereja sekalian. Dengan adanya bantuan doa daripada mereka, barulah penyakit saya dapat disembuhkan, membolehkan saya mendapat kesejahteraan sehingga dapat mengharungi lembah kekelaman serta berjalan di atas jalan Tuhan. Ya Tuhan! Tongkat-Mu dan gada-Mu menghiburkan hatiku. Saya mahu diam di dalam bait-Mu dan melayani-Mu dalam kehidupan saya ini untuk membalas kasih besar-Mu terhadap saya, sampai selama-lamanya. Amin!

(Dibaca : 509 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *