20. Kesaksian Menerima Kasih Karunia

Sdri. Chia Siew Chu

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya memberi kesaksian. Saya ialah saudari Chia Siew Choo yang berasal dari gereja Inanam.

Kesaksian (1)

Pada malam hari saya dibaptis ke dalam gereja benar pada tahun 1986, saya telah mendapat satu mimpi ngeri. Walaupun kisah ini telah berlalu selama dua puluh lebih tahun, namun saya masih mengingatinya sehingga kini.

Dalam mimpi itu, saya melihat saya sedang berjalan seorang diri di atas jalan tidak jauh dari sebuah gereja. Gereja itu merupakan gereja saya yang dahulu. Dari jauh gereja itu kelihatan terang dan menarik perhatian. Ada ramai orang yang berhimpun di dalamnya. Ada orang yang sedang berjalan, ada juga yang sedang berdiri tetapi kebanyakan mereka adalah sedang duduk. Apa yang lebih istimewa lagi ialah saya juga dapat melihat ada banyak meja yang berbentuk bulat di dalam aula gereja itu. Mereka semua sedang menikmati jamuan besar di situ.

Mata saya melihat ke dalam aula gereja itu secara spontan. Saya nampak banyak pemercaya gereja dahulu itu juga berada di dalam. Walaupun saya sedang berdiri di kawasan luar gereja tersebut, tetepi saya juga tertarik dengan keadaan di dalam gereja.

Maka saya pun melangkah menuju ke tangga gereja itu. Saya seperti telah lupa bahawa saya merupakan orang luar bagi mereka. Sewaktu saya naik ke tangga dan ingin masuk ke dalam pintu aula gereja, di sebelah kanan saya muncul dua bayangan hitam yang menghalang laluan saya. Apabila saya mendongakkan kepala saya untuk melihat, saya terperanjat! Ini disebabkan ada 2 muka tajam hitam yang dahsyat sedang menjeling saya dengan mata mereka yang jahat dan merah-kemerahan itu. Gigi mereka tajam dan mempunyai telinga yang pelik. Ketinggian tubuh badan dan kepala mereka hampir mencapai ketinggian pintu besar. Bayang hitam itu juga berpakaian jubah hitam yang longgar. Rupa mereka amat menakutkan.

Namun, pada masa itu saya masih berfikiran naif dan ingin meluru masuk ke dalam aula gereja kerana ada kawan-kawan saya yang berada di dalam. Saya tidak mempedulikan 2 hantu yang hitam itu, saya cuba melanggar mereka sekali demi sekali sehingga kepala saya berpeluh, tetapi masih tidak dapat masuk ke dalam pintu itu. Hantu-hantu hitam itu terlalu kuat sehingga menolak saya keluar. Pada masa itu, saya terkejut dan bangun dari tidur. Saya terkejut sehingga denyutan jantung saya menjadi cepat. Saya duduk di atas katil dan asyik bernafas dengan sekuat hati sambil berpeluh.

Selepas duduk termenung sebentar, saya berbaring semula. Saya menutup mata sambil memikirkan sebab-sebab saya mendapat mimpi itu. Saya mengimbas kembali sejak saya meninggalkan gereja saya yang dahulu itu, ada pemercaya dari gereja itu kadang-kala akan menghubungi saya, melawat saya, dan memujuk saya supaya saya dapat kembali ke persahabatan mereka. Mereka juga memberi isyarat kepada saya agar jangan tersesat dan masuk agama yang salah.

Pada waktu itu, saya tidak tahu bagaimana hendak memberi respon terhadap keprihatinan mereka. Sebenarnya fikiran saya masih jelas dan tidak bercelaru. Sebaliknya, saya berharap mereka juga dapat pergi ke gereja benar untuk menyelidiki kebenaran. Namun, apabila saya mencerita serba sedikit tentang kebenaran kepada mereka, mereka pula menunjukkan tindak balas bahawa mereka menentang dan tidak menerimanya.

Syukur kepada Tuhan, mimpi ini telah menyedarkan saya. Ia juga telah membolehkan saya mengetahui perbezaan di antara gereja benar dengan gereja lain. Dalam mimpi, keadaan dalam aula gereja mereka seperti sedang menikmati pesta-pora. Namun gereja adalah tempat yang kudus, bagaimanakah keadaan tersebut boleh terjadi di dalam aula gereja? Di samping itu, saya telah dibaptis di dalam gereja benar. Pintu besar gereja dahulu sememangnya tidak akan mengalu-alukan kedatangan saya lagi. Oleh sebab itu, laluan saya dihalang oleh kedua-dua hantu hitam itu. Hal ini memang munasabah dan juga membuktikan saya telah dikuduskan Tuhan. Saya bukan lagi sebahagian daripada mereka.

Syukur atas pemilihan dan peringatan Tuhan. Semoga Tuhan terus memelihara langkah kaki saya, berjalan di atas jalan yang benar selama-lamanya, tidak menyimpang ke kiri mahupun ke kanan, mentaati dan mengikuti pimpinan Tuhan sehingga bertemu dengan-Nya di Syurga pada suatu hari nanti.

Kesaksian (2)

Pada akhir tahun 2009, lebih kurang jam 11 malam, saya berasa sukar untuk tidur. Hal ini adalah sesuatu yang kurang normal bagi saya kerana selama ini saya dapat tidur lena dengan mudah. Semasa saya berguling-guling di atas katil, saya terdengar bunyi ada orang yang sedang membaling batu. Pada mulanya, saya tidak mempedulikannya tetapi semakin saya mendengar semakin saya merasa ada sesuatu yang tak kena. Selepas itu, saya pun bangun dan membuka sedikit langsir untuk melihat. Pada masa itu, saya tidak memasang lampu. Oleh itu, orang itu tidak perasan akan kewujudan saya. Saya terlihat ada seorang lelaki berbangsa Cina membaling batu ke arah lampu jalan yang ada di luar pintu pagar rumah saya. Pada masa itu, saya tidak tahu mengapa dia berbuat sedemikian. Saya hanya menganggapnya sebagai seorang kutu embun yang tidak bermoral dan bertanggungjawab. Memandangkan saya tidak dapat tidur maka saya pun melihat dari tingkap rumah saya.

‘Ding’!!! Dia telah terkena pada sasarannya – lampu jalan itu. Pada ketika itu, keadaan di sekeliling menjadi gelap-gulita. Orang itu melenyap di dalam kegelapan. Saya melihat ‘wayang’ ini seperti sudah tamat, maka saya pun balik ke bilik untuk tidur semula. Namun, sebelum saya tertidur lena saya terdengar suatu bunyi yang menggerunkan. Ahhh..! Bunyi itu adalah bunyi cuba untuk membuka mangga kunci pintu. Saya juga dapat mendengar bunyi itu, seakan-akan orang itu tidak sabar-sabar lagi untuk membuka pintu saya.

Pada masa itu, hanya saya dan ibu saya yang sudah tidur lena di dalam rumah. Oleh sebab saya tidak ingin mengejutkan ibu saya maka saya terfikir untuk mengambil telefon bimbit lalu meminta pertolongan secara senyap. Tetapi malangnya, pada malam itu saya tertinggal telefon bimbit saya di pejabat dan terlupa membawanya pulang. Saya dapat bayangkan betapa cemasnya saya pada waktu itu. Saya berdoa dalam hati saya namun kedua-dua kaki dan tangan saya menjadi lembik dan tidak bertenaga. Saya berasa amat cemas tetapi saya tidak berani menjerit.

Saya takut jika saya menjerit, ia akan memburukkan lagi keadaan. Maka saya hanya berjalan sambil kaki saya menggeletar menuju ke ruang tamu dan menggunakan telefon rumah untuk memberitahu saudara-mara saya tentang keadaan saya. Saya berharap mereka dapat melindungi saya. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, saya mengubah niat saya dan menyuruh mereka melapor kepada polis untuk meminta bantuan kerana saya tidak tahu ada berapa orang di luar rumah dan sama ada mereka ada membawa senjata yang mencederakan orang atau tidak.

Sebelum pihak polis tiba, saya membuka sedikit celah langsir tingkap dan melihat bayangan pemuda tadi yang membaling batu itu. Adakah dia merosakkan lampu jalan adalah supaya ia memudahkanya untuk menceroboh ke dalam rumah dan melakukan jenayah atau dia mempunyai motif yang lain? Jika saya berbaring di atas katil dan tertidur lena maka saya tidak akan dapat melihat segala perbuatannya itu. Akibatnya tidak dapat saya bayangkan. Apabila saya mendapat tahu bahawa pihak polis telah sampai di rumah saya, saya pun menghidupkan semua lampu di dalam dan di luar rumah saya. Kemungkinan orang yang berada di luar rumah telah melihat keadaan itu terjadi di luar jangkaannya, maka dia pun melarikan diri. Pihak polis meronda di kawasan sekeliling rumah saya, tetapi tidak ternampak bayangan orang lain. Anggota polis hanya menenangkan hati saya lalu beredar dari situ.

Kita tahu sekarang, bahwa Allah turut bekerja dalam segala sesuatu untuk mendatangkan kebaikan bagi mereka yang mengasihi Dia (Rm 8:28). Jikalau bukan Tuhan yang menyebabkan saya sukar untuk tidur pada malam itu, tambahan lagi jika orang itu tidak membalingkan batu sehingga mengejutkan saya, saya pun tidak akan keluar dan melihat keadaan itu.

Sangat bersyukur kepada Tuhan kerana Dia senantiasa menjaga dari tempat yang tinggi. Dia mengaruniakan kita kedamaian dan sukacita. Kasih Tuhan amatlah luas dan besar, kasih-Nya tidak dapat saya lupakan buat selama-lamanya. Kiranya jiwa rohani saya sentiasa mara ke depan dan mengikuti jejak langkah Tuhan Yesus sampai selama-lamanya.

Haleluya, Amin!

(Dibaca : 390 kali)


Gereja Yesus Benar Sabah

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *