19. Tuhan Mengalahkan Perbuatan Jahat Si Iblis

Sdri. Ernest

Kesaksian ini dicatat melalui seorang wakil iaitu Diaken Epafras Chung.

Dalam nama Tuhan Yesus Kristus saya mewakili saudari Ernest (berasal dari gereja Putatan) untuk memberi kesaksian.

​Pada petang 22 April 2010, Diakenis Aphia Wong menghubungi saya dan berkata bahawa ibu saudari Ernest menelefon dan memberitahu bahawa anak perempuannya menggunakan masa aktiviti kokurikulum di sekolah untuk menonton filem ngeri Tohyol bersama dengan rakan-rakannya. Disebabkan anak perempuannya mengalami kejutan yang berlebihan, maka emosinya menjadi tidak terkawal. Dengan itu, si Iblis menggunakan peluang ini merasuki badannya. Rakan-rakannya yang menonton filem ngeri Tohyol itu bersama turut dirasuki setan dan roh jahat. Di antara mereka, ada juga yang menjadi tidak sedar diri. Ibunya yang amat menyayangi anak perempuan itu dapat merasakan terdapat sesuatu yang tak kena dengan keadaan ini. Dengan itu, dia menghubungi Diakenis Wong supaya pergi ke rumahnya pada malam itu untuk membantu doa. Pada malam itu, seramai 5 orang telah pergi ke rumahnya, iaitu Diaken Chung dan puannya, Diaken Kieu dan puannya dan juga Diakenis Wong.

Sampai Ke Rumah Pemangsa Melihat Keadaan

Semasa kami sampai dan masuk ke dalam rumahnya, mula-mulanya kami berjabat tangan dan berkata “Haleluya”, lalu menanyakan khabar seperti biasa. Selepas itu, ibu saudari Ernest pun menjemput kami duduk di rumahnya. Saya melihat dan meninjau di sekeliling rumah. Saya mendapati bahawa terdapat sesuatu yang tak kena dengan keadaan dan situasi di dalam rumahnya. Hati saya berasa gentar dan saya dapat merasa bahawa mesti akan terjadi sesuatu nanti. Dari riak muka saudari Ernest yang kelihatan berbeza itu, saya sedar akan ada satu peperangan rohani yang akan tercetus. Pada masa itu, saya tidak tahu bagaimana isi hati 4 rakan sekerja yang lain.

Keadaan Mangsa Apabila Diganggu Setan

Saya tidak duduk bersama-sama dengan rakan sekerja yang lain kerana saya sengaja duduk sebaris dengan saudari yang dirasuki roh jahat. Ini kerana saya ingin lebih memahami tahap saudari yang diganggu roh jahat itu. Disebabkan saya juga pernah bertemu dengan kes yang sebegini sebelum ini, maka saya mula bertanya kepada saudari itu sama ada dia masih ingat saya atau tidak. Dia berdiam dan berdiri serta berjalan ke arah pintu besar yang telah dikunci.

Pada masa itu, saya mula memimpin semua orang berdoa bersama-sama dalam hati, kemudian menaikkan kidung pujian bilangan 186 yang berjudul “ Laskar Kritus”. Apabila seiman menyanyi ayat kedua kidung tersebut, tiba-tiba saudari itu menjerit dan berteriak. Pada masa yang sama, dia juga menutup telinganya sekuat hati dengan menggunakan tangannya. Pada masa itu, kami semua tidak sedar bahawa dia sedang menutup telingannya kerana dia tidak ingin dan berasa takut ketika mendengar kidung pujian Tuhan. Mengimbas kembali hal ini, jika kami menarik tangannya dan membiarkan dia mendengar firman Tuhan, apakah yang akan terjadi pada masa itu?

​Setelah habis menyanyi kidung, kami mula berdoa dengan bersungguh-sungguh. Kami memohon Tuhan menyertai kami agar tubuh jasmani dan jiwa saudari itu mendapat kesejahteraan. Apabila saya dan Diaken Kieu berjalan ke tempat saudari itu dan mengusir iblis dalam nama Tuhan Yesus Kristus dengan nada suara yang tegas, kami nampak roh jahat yang berada di dalam tubuh badannya itu memberi tentangan yang kuat dengan menjerit dan berteriak. Saudari yang kasihan itu terpaksa menanggung keletihan tubuh badan.

Namun, apabila kami berdoa pada kali yang kedua, dia memberi tindak balas yang lebih agresif lagi. Dia terus menjerit dan berteriak, badannya juga meronta-ronta untuk menentang. Sampailah pada doa kali yang ketiga, akhirnya kami dapat melihat kesannya. Kami telah mengusir iblis itu keluar dan akhirnya saudari itu menjadi tenang semula dan sedar diri. Kami semua melihat kesemua hal ini dengan mata sendiri. Kami berasa amat bersukacita dan lega. Kami bersyukur kepada kekuatan Tuhan dalam hati kerana Dia telah menolong kami. Pada masa itu, saudari itu berasa lapar dan dia mengatakan bahawa dia ingin makan. Saya meminta ahli keluarganya supaya menyediakan makanan kepadanya untuk dimakan.

​Maka dapat dilihat apabila seseorang itu diganggu oleh si iblis, dia akan kehilangan kesedaran diri dan langsung tidak tahu apa-apa lagi. Setelah saudari itu memperoleh ketenangan, saya pun menasihati keluarganya supaya senantiasa datang mengikuti kebaktian, lebih mendekati Tuhan dan takut akan Tuhan. Pada awal pagi keesokan hari, saya menelefon Diakenis Wong untuk menanya khabar tentang keadaan saudari itu. Saya mendapat tahu bahawa dia telah mula pergi ke sekolah. Hati saya juga berasa lega.

Syukur kepada Tuhan. Di sini saya ingin mengutarakan bahawa kami sebagai diaken hanyalah hamba Tuhan yang tidak berguna. Kami hanyalah bekerja untuk melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab kami sebagai hamba sahaja, kami sememangnya tidak tahu akan apa-apa kuasa ajaib. Kesaksian ini juga menunjukkan kekuatan Tuhan dan membolehkan keluarga saudari tersebut sedar dan memahami serta lebih mengenali Tuhan.

Kita tidak boleh memandang ringan terhadap kesaksian yang kelihatan tidak seberapa ini, sebaliknya kita harus tahu ada kekuatan dan kasih Tuhan yang tidak dapat diukur terkandung di dalam peristiwa ini. Kesaksian ini juga telah menambahkan iman kita, pengalaman dalam kerohanian dan membolehkan kita tahu bagaimana Tuhan mengalahkan perbuatan jahat si iblis selepas pengujian peperangan rohani ini. Ia juga telah menggenapi janji Tuhan yang indah kepada kita iaitu ‘yang ditawan dapat dibebaskan, yang dipenjarakan dapat dikeluarkan, yang dianaiyai dapat kebebasan……’.

(Dibaca : 319 kali)


Gereja Yesus Benar Sabah

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *