Soal Jawab  : PERJAMUAN KUDUS

Terjemahan oleh: Rose Patsy 

Soalan 1

Perjamuan kudus bukanlah perkara yang wajib diadakan. Mengambil roti dan cawan adalah sekadar tradisi untuk memperingati kematian Tuhan semasa zaman para rasul. Pada zaman ini, terdapat banyak cara lain untuk umat Kristian memperingati kematian Tuhan.      

  • Setelah Tuhan Yesus mengucap syukur, memecah roti dan memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia berseru, ”Inilah daging-Ku yang diserahkan bagimu; perbuatlah ini menjadi peringatan akan Aku” (Luk 22:19; lihat juga I Kor 11:23-25). Tuhan jelas memberi arahan bahawa perjamuan kudus adalah cara untuk memperingati kematian-Nya. Melalui perjamuan kudus, kita memberitakan kematian Tuhan (I Kor 11:26). Bagaimanakah pula kita boleh mengetepikan kepentingan perjamuan kudus?
  • Mengambil bahagian dalam roti dan cawan untuk memberitakan kematian Tuhan dilaksanakan bukan sahaja oleh para rasul malah semua pemercaya walaupun pada zaman moden sehinggalah kedatangan semula Tuhan (I Kor 11:26).
  • Mengambil bahagian dalam roti dan cawan semasa perjamuan kudus bukan sekadar tatacara tradisi atau formaliti. Perbuatan ini membawa makna yang besar dan keberkesanan rohaniah.

Soalan 2

Perjamuan kudus hanyalah semata-mata waktu untuk kita memperingati kematian Tuhan.

  • Walaupun perjamuan kudus adalah suatu waktu iaitu kita memperingati dan memberitakan kematian Tuhan, namun beberapa fungsi rohaniah yang penting berlaku pada masa tersebut. Apabila kita mengambil bahagian dalam perjamuan kudus:

1. Kita bersatu dengan Tuhan di dalam Roh Kudus (I Kor 10:16; istilah Yunani untuk ‘perjamuan’ dalam I Kor 16:16  adalah ‘Koinonia’ yang bermaksud ‘persahabatan’; Yoh 6:56); dan kita juga bersatu sesama kita (I Kor 10:17).

2. Kita menerima hidup kekal (Yoh 6:53-54).

3. Kita akan dibangkitkan pada akhir zaman (Yoh 6:54).

Soalan 3

‘Transubstansiasi’ bermaksud setelah diberkati, roti dan jus anggur bertukar secara fizikal menjadi daging dan darah Tuhan Yesus. ‘Konsubstansiasi’ bermakna daging  dan darah fizikal wujud bersama roti dan jus anggur. Kenapakah Gereja Yesus Benar tidak bersetuju dengan kedua-dua pandangan ini? 

  • Roti dan jus anggur menjadi daging dan darah Tuhan setelah doa ucapan syukur.  Dengan memakan dan meminum perjamuan, kita memperolehi kesan rohaniah yang dijanjikan oleh Tuhan. Tetapi dari segi fizikalnya, roti dan jus itu tidak berubah bentuk.
  • Manna yang dimakan oleh kaum Israel di padang gurun merupakan gambaran awal kepada roti sejati dari syurga iaitu daging Tuhan Yesus (Yoh 6:31-33; 49-51). Menurut Paulus, kaum Israel memakan ‘makanan rohani’ dan meminum ‘minuman rohani’ (I Kor 10:3-4).  Bayangan awal ini adalah dari segi pengertian rohani. Oleh itu semasa perjamuan kudus, kita mengambil bahagian dalam daging dan darah rohani Tuhan.
  • Tuhan Yesus berkata, ”Rohlah yang memberi hidup, darah daging sama sekali tidak berguna” (Yoh 6:63). Di sini Tuhan mengulas kembali perenggan sebelumnya (ayat 32-57) kerana pengikut-pengikut-Nya sukar menerima ungkapan ini (ayat 60). Dalam erti kata lain, daging dan darah yang dimaksudkan oleh Yesus adalah daging dan darah rohani dan bukan fizikal.

Soalan 4

Simbolisme menerangkan bahawa roti dan cawan hanya sekadar simbolik kepada daging dan darah Yesus. Mengapakah pandangan ini salah? Tuhan Yesus tidak mungkin telah memberikan daging dan darah-Nya kepada pengikut-pengikut-Nya sedangkan Dia belum lagi disalibkan semasa Dia memberi syukur terhadap roti dan cawan.

  • Apabila Tuhan Yesus memulakan perjamuan kudus, Dia tidak melafazkan “Ini menggambarkan daging-Ku”  atau  “Ini menggambarkan darah-Ku”; sebaliknya, Yesus berkata  “Inilah daging-Ku”  dan  “Inilah darah-Ku” (Mat 26:26; 28).
  • Tuhan Yesus berseru “daging-Ku adalah benar-benar makanan dan darah-Ku adalah benar-benar minuman”  (Yoh 6:55).  Semasa perjamuan kudus, roti yang kita makan sebenarnya adalah tubuh Tuhan Yesus dan cawan yang kita minum sebenarnya adalah darah Tuhan Yesus.  Walau bagaimanapun, daging dan darah itu adalah secara rohani dan bukan secara fizikal (lihat soalan sebelumnya).

Soalan 5

Hanya paderi sahaja yang boleh mengambil bahagian dalam kedua-dua roti dan cawan. Pemercaya lain boleh mengambil bahagian dalam perjamuan roti sahaja.

  • Apabila Tuhan Yesus memulakan perjamuan kudus, pengikut-pengikut-Nya mengambil bahagian dalam kedua-dua roti dan cawan (Mat 26:26-27). Mereka merupakan golongan pemercaya dan bukan paderi.
  • Apabila Paulus menulis kepada jemaat di Korintus berkenaan dengan perjamuan kudus, dia secara khususnya menuliskan kepada kesemua jemaat di sana (lihat I Kor 10:16; 11:26). Oleh itu, semua pemercaya berhak untuk mengambil bahagian dalam roti dan juga cawan.

Soalan 6

Mengapakah gereja anda tidak membenarkan mereka yang bukan ahli Gereja Yesus Benar untuk mengambil bahagian dalam perjamuan kudus?

  • Dalam Kitab Perjanjian Lama, bangsa asing tidak dibenarkan memakan paskah (Kel 12:43). Jamuan Paskah adalah bayangan awal kepada perjamuan kudus dalam Kitab Perjanjian Baru (I Kor 5:7-8). Oleh itu, sesiapa yang tidak mengambil bahagian dalam penyelamatan Tuhan tidak boleh mengambil bahagian dalam perjamuan kudus kerana mereka adalah orang asing dalam kerajaan Tuhan.
  • Daging dan darah Tuhan adalah kudus dan suci; sesiapa yang dosanya masih belum dibersihkan melalui pembaptisan tidak layak untuk mengambil bahagian dalam perjamuan kudus (lihat I Kor 11:27-29). Hanya mereka yang telah menerima pembaptisan untuk penghapusan dosa secara benar dan tepat yang berhak menerima perjamuan kudus.
  • Perjamuan kudus adalah satu persahabatan (Koinonia) di kalangan pemercaya dalam gereja. Mereka yang tidak percaya atau mereka yang bukan seiman dengan kita tidak tergolong dalam persahabatan gereja sejati ini. Oleh itu, mereka tidak boleh mengambil bahagian dalam perjamuan kudus.

(Dibaca : 347 kali)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *